Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 4,000 individu dirawat di pusat kuarantin Serdang

SERDANG, 13 MEI: Seramai 4,120 pesakit menerima rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) buat masa ini.

Pengarahnya, Dr Shahabuddin Ibrahim berkata jumlah itu lebih 70 peratus daripada 5,869 katil yang ditempatkan di pusat berkenaan.

Pegarah PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim

“Tugas kita adalah sentiasa bersiap sedia dan memberikan kelegaan kepada sistem kesihatan di sekitar Selangor dan kita akan pastikan sistem kesihatan di hospital-hospital di Selangor terkawal.

“Iaitu kita dapat ‘support’ pesakit-pesakit Covid-19 supaya hospital lain boleh meneruskan perkhidmatan kesihatan yang lain seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan singkat Dato’Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari hari ini.

Katanya, antara kaedah digunakan bagi membantu mengurangkan beban hospital lain adalah dengan menambah bilangan katil sekiranya berlaku pertambahan kes Covid-19.

“Melihat kepada pertambahan angka ketika ini kita juga merencana membuka semula sebuah lagi dewan. Ketika ini kita beroperasi dengan lima dewan.

“Sebelum ini kita pernah buka (dewan) dengan kapasiti mencecah 9,000 katil iaitu ketika saringan besar-besaran terhadap pekerja asing,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit Covid-19 rai Syawal di pusat kuarantin Serdang

SERDANG, 13 MEI: Suasana Hari Raya tetap ada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) bagi merai pesakit serta petugas.

Bermula malam tadi, para pesakit di setiap dewan mula bertakbir dan masing-masing menunaikan solat sunat Aidilfitri pagi tadi.

Pengarah PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS berkata pesakit juga dirai dengan juadah Aidilfitri bagi membangkitkan suasana berhari raya.

Pegarah PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim

“Juadah seperti ketupat, lemang disediakan bagi menghidupkan suasana raya untuk memastikan mereka tidak terlalu sedih.

“Ada kalangan mereka dari tahfiz jadi kita bekalkan mereka ‘mic’ untuk mereka memimpin takbir dan solat,” kata Dr Shahabuddin Ibrahim.

Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan singkat Dato’Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Katanya, bagi petugas pula pertandingan dekorasi Aidilfitri diwujudkan bagi memeriahkan suasana di sekitar dewan.

“Setiap dewan dan setiap agensi yang bertugas akan menggunakan kreativiti masing-masing untuk membuat dekorasi.

“Ada dekorasi membakar lemang, membuat dodol yang direka mereka. Malah ruangan bergambar turut disediakan bagi masing-masing merakam gambar kenangan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Petugas, pesakit pusat kuarantin Serdang terima juadah Aidilfitri

SERDANG, 13 MEI: Lebih 6,000 pek juadah Aidilfitri disumbangkan Kerajaan Negeri kepada petugas dan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan berkenaan diberi kepada lebih 4,000 pesakit dan 1,200 petugas yang sebahagian besarnya adalah warga Selangor.

“Ini sumbangan kecil kami terhadap pesakit serta petugas yang telah bertungkus lumus selama berbulan-bulan untuk menangani ledakan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari melawat bilik operasi dan melihat jumlah terkini pesakit di Pusat Kuarantin Dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Serdang pada 13 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bagi pihak Kerajaan Negeri sudah pasti kita ingin ucapkan ribuan terima kasih dan syabas kepada mereka yang terus menerus membantu serta menyelenggara penempatan kuarantin yang majoriti dari Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan singkat bertemu petugas dan menyampaikan pek juadah Aidilfitri di PKRC Bersepadu 2.0 di MAEPS hari ini.

Katanya, beliau juga dimaklumkan pesakit dari negeri lain seperti Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka turut dihantar ke pusat kuarantin berkenaan.

“Kita berbangga kerana Selangor dipilih dan MAEPS dipilih sebagai lokasi rawatan. Petugas kita akan sentiasa membantu dari masa ke semasa bagi terus melawan dan mengekang wabak Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua pesakit Covid-19 PKRC Serdang ditahan curi telefon bimbit

PUTRAJAYA, 11 FEB: Polis menahan dua pesakit Covid-19 yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang kerana disyaki mencuri telefon bimbit pesakit lain, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kejadian kira-kira pukul 10.30 malam tadi menyebabkan pegawai perubatan berusia 34 tahun yang bertugas di Dewan C, PKRC terpaksa mengaktifkan kod oren, yang menandakan kecemasan dan meminta bantuan polis.

“Kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 40 tahun itu disyaki mencuri empat telefon bimbit milik pesakit lain. Mereka dipindahkan ke dewan lain bagi tujuan keselamatan dan akan ditahan polis selepas sembuh daripada Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang daripada suspek akan mendapat pelepasan dari PKRC hari ini, manakala seorang lagi esok, dan menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

“Polis telah merampas empat telefon bimbit yang disyaki dicuri kedua-dua lelaki itu dan telah mengambil butiran mereka untuk tindakan lanjut,” katanya.

Hari ini tular beberapa video yang memaparkan anggota polis memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) dan topi seperti Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berada di PKRC, MAEPS bagi menahan dua lelaki yang disyaki mencuri telefon bimbit.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB harap sumbangan tablet, inisiatif taska bantu KKM

SHAH ALAM, 4 FEB: Sumbangan tablet dan pembukaan taska untuk anak petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Serdang diharap dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif tersebut merupakan salah satu bentuk kerjasama Kerajaan Selangor dan kerajaan persekutuan dalam menangani wabak Covid-19 di negeri ini.

“Saya menyerahkan tablet sumbangan Kerajaan Negeri untuk kegunaan para petugas barisan hadapan di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Saya turut mengambil kesempatan melawat taska sementara untuk anak-anak petugas di PKRC,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Pada Selasa lalu, Amirudin berkata taska yang menempatkan anak petugas hadapan di PKRC Serdang bakal beroperasi mulai Isnin depan dan 41 kanak-kanak sudah berdaftar setakat ini.

Beliau turut menyerahkan 14 unit tablet bagi melancarkan urusan petugas kesihatan yang berkhidmat di pusat rawatan tersebut.

Kerajaan Selangor melaksanakan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan secara percuma selama dua bulan untuk meringankan beban petugas hadapan yang berusaha menangani penularan Covid-19.

Program itu melibatkan pembukaan dan operasi taska serta pusat jagaan sementara di hospital awam juga premis sementara yang bakal memanfaatkan hampir 400 keluarga.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBI sumbang 14 tablet untuk petugas PKRC Serdang

SHAH ALAM, 29 JAN: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menyumbang 14 unit tablet bagi kegunaan petugas kesihatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan peranti mudah alih itu membabitkan perbelanjaan berjumlah RM45,000.

“Semasa lawatan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ke MAEPS minggu lalu, terdapat permintaan daripada operator bertugas yang memaklumkan mereka kekurangan tablet untuk memantau pesakit di situ.

“Jadi, beliau (Amirudin) bersetuju untuk bantu sebelum kita selaras bantuan ini dengan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Dato’ Zamani Ahmad Mansor,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sesi penyerahan dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek kepada Zamani yang juga pengerusi bersama PKRC kelmarin.

Sementara itu, Ahmad Azri berharap sumbangan tersebut melancarkan kerja petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengekang penularan Covid-19.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: 10 Bas Smart Selangor khas bawa pesakit Covid-19 ke Maeps

SHAH ALAM, 21 JAN: Kerajaan Negeri menyediakan 10 Bas Smart Selangor untuk membawa pesakit Covid-19 berisiko rendah ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang.

EXCO pengangkutan berkata bas terpilih ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di situ memang khusus untuk tujuan tersebut dan kerap disanitasi.

“Kita turut mendapat nasihat dari Kementerian Kesihatan dan Unit Pengurusan Bencana Negeri supaya pemandu bertugas menghantar pesakit terjamin keselamatan mereka.

“Masyarakat juga tidak perlu bimbang kerana kenderaan itu tidak digunakan untuk perkhidmatan lain,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa berusaha pelbagai cara demi memerangi pandemik dan berharap orang ramai bersama berganding bahu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Kita Selangor berjumlah RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Pelan itu antara lain menggiatkan usaha memerangi wabak Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bangunkan pusat kuarantin Maeps 2.0, PM anggap tindakan luar biasa

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Perdana Menteri menyifatkan pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang dibangunkan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang dalam tempoh tiga hari sebagai satu tindakan luar biasa dalam situasi yang luar biasa.

Menzahirkan rasa bangga dengan usaha barisan hadapan dari pelbagai agensi bagi membangunkan fasiliti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia merupakan langkah bagi memastikan penyediaan fasiliti dan perkhidmatan terbaik kepada para pesakit.

“Saya sangat bangga melihat kesungguhan serta kesabaran mereka dalam melaksanakan tugas menjaga kebajikan dan memberikan rawatan yang terbaik buat semua pesakit,” katanya dalam satu catatan kemas kini di laman Facebook rasminya malam tadi.

Semalam, beliau meluangkan masa melawat Hospital Bersepadu Maeps 2.0 di Serdang bagi melihat sendiri pengurusan PKRC dan pesakit-pesakit Covid-19.

Beliau diiringi Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba ke sesi taklimat tertutup pengoperasian oleh Pengarah Kesihatan Selangor merangkap Komander Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 Wilayah Tengah Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Dalam kemas kini sama, Muhyiddin berkata beliau sempat berinteraksi dengan pesakit yang sedang dirawat salah satu dewan di pusat berkenaan dan menitipkan kata-kata semangat kepada mereka.

“Alhamdulillah, mereka semua kelihatan bersemangat, ceria dan berpuas hati dengan perkhidmatan serta rawatan yang diberikan. Pada sesi interaksi itu, saya mengingatkan mereka supaya kuat semangat dan banyakkan bersabar dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Beliau juga tidak lupa menitipkan doa kepada semua pesakit Covid-19 agar terus bersemangat menjalani tempoh sukar dan diberikan kesembuhan serta barisan hadapan dikurniakan kesabaran dan kekuatan untuk terus berjuang menentang pandemik tersebut.

PKRC Maeps kini meliputi tujuh buah dewan yang telah digunakan dengan kapasiti maksimum 10,000 katil dan sehingga hari ini, sebanyak 9,200 katil sedang digunakan.

Fasiliti itu kini dinaik taraf secara berfasa sebagai Hospital Bersepadu Maeps 2.0 dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 24 Januari ini bagi merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima untuk distabilkan sebelum dihantar mendapatkan rawatan rapi di hospital.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas barisan hadapan PKRC MAEPS 2.0 tabah melangkah tahun baharu

SERDANG, 1 JAN: “Mungkin kerana saya berkorban, Allah permudahkan urusan saya,” kata seorang petugas barisan hadapan, Intan Rosmawannie Adlan, yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC MAEPS 2.0).

Intan Rosmawannie, 34, yang merupakan pegawai penyelaras Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) PKRC MAEPS 2.0 bekerja di di pusat itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada Mac 2020.

Terdahulu dari bulan Oktober hingga Disember 2019, beliau membuat persiapan menghadapi monsun timur laut, sebelum jangkitan Covid-19 pertama dikesan dalam negara awal tahun 2020, yang meletakkan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai penyelaras data bagi individu di bawah pengawasan (PUS) yang baru tiba dari luar negara.

Menurut Intan, beliau masih melaksanakan tugas yang sama di KLIA sehingga sekarang, sebagai tambahan kepada kedudukan beliau sebagai penyelaras NADMA bagi PKRC MAEPS pertama dari Mac hingga Julai 2020 dan PKRC MAEPS 2.0 sejak awal Disember 2020.

“Cuti panjang tiada langsung, sejak Okt tahun lepas (2019). Cuti yang dibekukan pun tidak ‘cair’ lagi,” kata ibu kepada dua anak itu secara berseloroh.

“Saya harap diberi kekuatan untuk meneruskan kerja di sini. Sepanjang bekerja, Alhamdulillah saya tidak pernah sakit atau demam walaupun tempat yang saya pergi semua berisiko tinggi dan saya juga tidak pernah kena swab test sebab tiada gejala,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Intan mengakui bahawa ia merupakan tempoh yang sukar bagi keluarganya kerana beliau tidak dapat bersama untuk tempoh yang panjang seperti sebelumnya, dan pada masa yang sama suaminya yang bekerja dalam industri penerbangan pula telah kehilangan pekerjaan November lepas.

“Saya datang kerja, orang selalu nampak saya ‘happy’, tapi sebenarnya saya sedih sangat, keluarga macam terabai. Kalau ikutkan, saya juga ‘down’, suami saya juga ‘down’ sebab tiada kerja. Selalu terfikir mengenai kewangan kami,” katanya.

Bagi Timbalan Pengarah 2 PKRC MAEPS 2.0 Kol Dr Aeriza Mohd Yusak pula, beliau berharap para petugas barisan hadapan akan diberikan kesihatan dan kekuatan dalam menempuh saat yang sukar ini, dan menurutnya mereka yang bertugas memerangi pandemik semasa tempoh yang sukar ini, tidak kira sama ada petugas barisan hadapan atau sebaliknya, mereka telah melakukan pengorbanan yang amat besar kepada negara.

“.. dari segi tenaga, mental, fizikal dan serba serbi, ia adalah pengorbanan kepada setiap kita. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah, dan saya harapkan semua daripada kami petugas di sini dan semua ‘frontliners’ untuk meneruskan kerja,” katanya.

Dr Aeriza, 42, yang juga Pakar Perubatan Keluarga di Jabatan Perubatan Tentera Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, sebelum ini ditugaskan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) pada bulan Jun lepas, sebelum ditukarkan ke PKRC MAEPS 2.0.

“Jadi tahun 2020 ini memang banyak yang berlaku dalam diri saya secara individu. Untuk PKRC MAEPS 2.0, ini lapangan baharu. Proses kerja dan pasukan sini semuanya baharu, jadi saya kena cepat adaptasi dengan apa yang baharu ini, supaya perjalanan menjadi lancar.

“Alhamdulillah, saya mempunyai suami yang sungguh memahami yang sokong saya daripada belakang, kerana tanpa dia sokongan ibu bapa, saya tidak akan sampai ke tahap saya berada hari ini,”katanya.

Terdahulu di PKRC MAEPS 2.0, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas) Datin Mastura Mohd Yazid melawat pusat kuarantin sementara, dan mengadakan mesyuarat dengan petugas barisan hadapan dari semua agensi.

Bercakap kepada media selepas lawatan itu Mastura berkata tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar bagi seluruh rakyat Malaysia, terutama kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat kepada negara tanpa mengira waktu dan keselamatan sendiri.

Melihat kepada trend jangkitan Covid-19, beliau berkata rakyat Malaysia boleh membantu petugas barisan hadapan dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam memutuskan rantaian jangkitan, di samping menyuarakan empati.

– BERNAMA