Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Banjir di Terengganu, Kelantan semakin pulih, cuaca baik

KUALA TERENGGANU, 6 DIS: Terengganu dan Kelantan terus pulih daripada banjir dengan cuaca semakin baik dan bilangan mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di Terengganu, jumlah mangsa terus berkurang kepada 295 orang daripada 73 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 437 mangsa daripada 107 keluarga, petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata hanya lima PPS beroperasi ketika ini, masing-masing dua di Besut dan Setiu dan satu di Marang.

“Mangsa paling ramai ketika ini ialah di Besut iaitu 199 orang diikuti Setiu (61) dan Marang (35). Lebih ramai dijangka akan pulang ke rumah masing-masing sekejap lagi kerana cuaca yang semakin baik hari ini,” katanya.

Di Kelantan, bilangan mangsa banjir juga berkurangan kepada 108 orang daripada 22 keluarga berbanding 109 orang semalam.

Kesemua mereka ditempatkan di empat PPS membabitkan dua jajahan, masing-masing dua di Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pasir Mas menjadi daerah mencatat jumlah tertinggi mangsa banjir dengan 58 mangsa daripada 12 keluarga yang dipindahkan di dua PPS, manakala di Pasir Puteh melibatkan 50 orang daripada 10 keluarga di dua PPS.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), http://publicinfobanjir.water.gov.my, setakat 8 pagi ini menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.39 meter (m) (bahaya 9m).

Cuaca di Kelantan keseluruhan cerah tanpa hujan pada pagi ini.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Banjir Kuala Selangor, 10 mangsa dipindah di PPS

SHAH ALAM, 26 NOV: Seramai 10 mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di daerah Kuala Selangor sehingga jam 7.30 malam tadi.

Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Faizal Abdul Raji berkata PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharajalela.

“Daripada jumlah itu seramai tiga wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki, dua lelaki dewasa dan dua bayi lelaki,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, banjir kilat itu berlaku kira-kira jam 4.30 petang semalam di Kampung Bukit Hijau, Kuala Selangor.

“Mangsa bencana ini diberikan sumbangan daripada tabung bencana daerah termasuk bantuan daripada ahli dewan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Pihak kami sentiasa memantau keadaan banjir dan bersiap siaga membantu mereka yang terjejas untuk dipindahkan ke PPS,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Empat pusat pemindahan dibuka di Kuala Selangor, Sepang

SHAH ALAM, 21 NOV: Empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 137 mangsa banjir sekitar Sepang dan Kuala Selangor, kata Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPNB).

Pegawai Operasi, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor, Desa Coalfield yang dibuka sejak Rabu menempatkan 25 mangsa dari 10 keluarga selepas kediaman mereka dinaiki air separas 0.3 meter.

“UPNB terpaksa membuka PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang dan SK Ijok di Kuala Selangor mulai kelmarin dan semalam selepas 61 rumah dinaiki air. Ia membabitkan 95 mangsa.

“Semalam satu PPS di Sepang di Sekolah Rendah Agama Labu Lanjut turut dibuka. Mangsa seramai 17 orang dari tiga keluarga ditempatkan di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Izzat berkata unit itu akan terus memantau serta mengambil tindakan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi masalah banjir.

“Antara langkah akan diambil adalah melakukan kerja pembersihan parit, mengkaji semula sistem saliran, pemasangan pam bergerak, pembinaan rumah pam dan meninggikan ban sedia ada,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Patuh SOP di PPS elak risiko jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan individu yang tinggal di Pusat Penempatan Sementara (PPS) untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan berlakunya jangkitan Covid-19.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata agensi bertanggungjawab dalam pengurusan dan kebajikan mangsa di PPS perlu mengambil berat perkara berkenaan kerana penghuni yang ramai boleh membawa risiko penularan jangkitan dalam kalangan mangsa dan petugas.

“Amalan seperti penjarakan sosial yang selamat, mencuci tangan dengan air dan sabun, etika batuk dan bersin perlu diamalkan sepanjang masa.

“Penghuni dan petugas juga dinasihatkan supaya mengamalkan 3W dan mengelakkan 3S iaitu kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat sepanjang masa di PPS,” kata ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, 18 PPS dibuka di tujuh daerah yang menempatkan seramai 1,267 mangsa banjir daripada 303 buah keluarga selepas banjir kilat berlaku di Johor, Pahang, Selangor dan Melaka.

Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan bahawa negara sedang mengalami cuaca lembap dari semasa ke semasa dan dijangka berterusan sehingga hujung Julai ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,271

JOHOR BAHRU, 14 JULAI: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat mendadak kepada 1,271 orang daripada 331 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 707 orang daripada 164 keluarga malam tadi, dengan Batu Pahat merupakan daerah terbaru dilanda bencana alam itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sampurna menempatkan 15 orang daripada empat keluarga dari Kampung Sungai Punggor, Kampung Sungai Punggor Kecil dan Kampung Parit Mengkudu.

Menurutnya, jumlah mangsa banjir di tiga lagi daerah membabitkan 267 orang daripada 63 keluarga di tiga PPS di Tangkak, Muar (lapan PPS membabitkan 818 mangsa daripada 215 keluarga); dan Pontian (tiga PPS dengan 171 mangsa daripada 49 keluarga).

“Di Muar, satu lagi PPS iaitu di SK Ismail Satu dibuka pada 11 malam tadi bagi menempatkan penduduk dari Kampung Kelantan dan Kampung Dato’ Sri Amar Diraja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa melakukan pemantauan di kawasan-kawasan berisiko dilanda banjir berikutan cuaca mendung ketika ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 1,210

KOTA KINABALU, 29 JUN: Jumlah mangsa banjir di Sabah semakin meningkat tengah hari ini apabila 1,210 mangsa daripada 375 keluarga ditempatkan di 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa daerah setakat 12 tengah hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan bahawa 323 mangsa daripada 102 keluarga ditempatkan di empat PPS di Kota Belud dan 634 mangsa daripada 192 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Tenom.

“Selain itu, 62 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di satu PPS di Papar, 19 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di satu PPS di Penampang dan 49 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di satu PPS di Beaufort,” menurut kenyataan itu.

Sebanyak 11 daerah melibatkan 152 kampung di Sabah terjejas akibat hujan lebat Sabtu lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Johor turun kepada 475

JOHOR BAHRU, 25 JUN: Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Johor berkurangan kepada 475 orang daripada 115 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 575 orang daripada 143 keluarga yang direkodkan malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata ini berikutan penutupan dua lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok di Pontian dan SK Tiga Serangkai di Batu Pahat.

“Sehingga kini, daerah Muar masih mencatatkan jumlah mangsa banjir terbanyak iaitu 197 orang daripada 53 keluarga.

“Ini diikuti Batu Pahat dengan sebanyak 158 orang daripada 34 keluarga dan Pontian 120 orang daripada 28 keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Setakat ini, secara keseluruhan sebanyak sembilan PPS masih beroperasi di tiga daerah berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 798

JOHOR BAHRU, 24 JUN: Jumlah mangsa banjir di empat daerah di negeri ini meningkat kepada 798 orang daripada 206 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 687 orang di pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R.Vidyananthan berkata kesemua mereka ditempatkan di 16 PPS di Kulai, Pontian, Batu Pahat dan Muar.

“Seramai 292 orang daripada 82 keluarga masih berada di lima PPS di Muar iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Nawi, SK Orang Kaya Ali, SK Batu 18, SK Parit Bulat serta SK Seri Menanti.

“Di Batu Pahat pula, 205 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Peserai, Sekolah Agama 3 Serangkai dan SK 3 Serangkai,” katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Vidyananthan berkata di Pontian, 282 orang daripada 75 keluarga berada di tujuh PPS iaitu SK Seri Bukit Panjang, SK Seri Bunian, SK Kampung Melayu Raya, SK Agama Kayu Ara, SK Belokok serta SK Penerok dan SK Sanglang.

Di Kulai pula, seramai 19 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Batu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

614 mangsa banjir di sepuluh pusat pemindahan di Johor

JOHOR BAHRU, 23 JUN: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat sedikit pagi ini dengan seramai 614 orang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 607 orang, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata, setakat 8 pagi ini, kesemua mereka yang melibatkan 156 keluarga di Muar, Batu Pahat dan Pontian itu, berada di 10 PPS.

Beliau berkata, berlaku sedikit pertambahan mangsa yang dipindahkan ke PPS di Muar dan Batu Pahat malam tadi, manakala di Pontian, tidak berubah.

“Setakat pagi ini, seramai 229 orang daripada 64 keluarga berada di empat PPS di Muar, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Nawi, SK Orang Kaya Ali, SK Batu 18 dan SK Parit Bulat, manakala 183 orang daripada 39 keluarga berada di tiga PPS di Batu Pahat iaitu SK Peserai, Sekolah Agama 3 Serangkai dan SK 3 Serangkai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata di Pontian, seramai 202 orang daripada 53 keluarga berada di tiga PPS, iaitu SK Seri Bukit Panjang, SK Seri Bunian serta SK Kampung Melayu Raya.

Banjir di beberapa daerah di negeri ini berlaku sejak Sabtu lepas, apabila beberapa kawasan rendah dinaiki air berikutan hujan lebat melebihi kadar biasa ditambah fenomena air pasang.

Sementara itu, hujan lebat berterusan dapat dilihat di beberapa daerah sejak 6 pagi tadi.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PPS kunjungi sekolah sebulan sekali atasi isu disiplin

PUTRAJAYA, 18 FEB: Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), diminta melakukan kunjungan ke sekolah sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi memberi nasihat berkenaan kepolisan kepada pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, PPS boleh membuat kunjungan pada bila-bila masa dan bukan hanya pada hari perhimpunan sekolah semata-mata.

Katanya selain hari perhimpunan, PPS juga boleh menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bertemu guru besar, bermesyuarat dengan guru atau berjumpa terus dengan pelajar.

“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian adalah untuk memastikan PPS masuk ke sekolah sekurang-kurangnya sebulan sekali dan kita percaya kehadiran polis mampu mengurangkan kes disiplin serta jenayah dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan PDRM di Sekolah Rendah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa dan Guru Besar Norihan Ismail.

Katanya, selepas tiga tahun dilaksanakan, program yang berjaya membantu pihak sekolah menangani isu disiplin dan jenayah itu kini diperkukuhkan dengan pengenalan papan kenyataan PPS di semua sekolah.

“Semua sekolah digalakkan menyedia dan menggunakan papan kenyataan itu untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar dan polis berkaitan aktiviti serta program yang berlaku di sekolah terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam perutusan yang dibacakan Rusdi sempena program itu berkata, PPS berperanan dalam membantu mewujudkan suasana sekolah yang selamat seperti digariskan dalam Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah.

Antara perkara yang dilakukan ialah mengumpul maklumat daripada sekolah untuk diambil tindakan oleh kementerian dan PDRM.

“Jika perlu, kita akan melakukan rondaan, lawatan berjadual di kawasan sekolah dan memberikan ceramah berkaitan hal keselamatan kepada warga sekolah, katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pulau Pinang alu-alukan SPRM siasat peruntukan PPS

Oleh: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng

Serangan politik ganas terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang melalui tuduhan palsu dan penipuan terhadap Pasukan Peronda Sukarela berterusan tanpa henti dengan dakwaan palsu terbaru berkenaan rasuah dalam peruntukan kerajaan negeri yang diluluskan kepada PPS.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menyembunyikan apa-apa dan mengalu-alukan sebarang siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuktikan dakwaan terbaru ini sebagai satu pembohongan.

Kerjasama penuh akan diberikan kepada SPRM, yang pastinya hanya akan membuktikan semua perbelanjaan menepati prosedur kewangan kerajaan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berkali-kali dipuji oleh Laporan Tahunan Audit Negara sebagai antara negeri yang menunjukkan prestasi terbaik di negara ini.

Melalui urus tadbir CAT yang cekap, akauntabiliti dan telus, Pulau Pinang juga telah mencatatkan lebihan tahunan dan peningkatan rizab aset sebanyak 50% dari tahun 2008 kepada RM1.2 bilion pada tahun 2013.

Kerajaan negeri berhasrat untuk mengulangi pengumuman sebelum ini berhubung jumlah yang dibelanjakan untuk PPS adalah seperti berikut:

2011 – RM 869,820.00
2012 – RM 1,363,827.00
2013 – RM 1,592,482.90

Jumlah ini bukan RM 1.5 bilion yang didakwa oleh UMNO pada mulanya, yang kemudian dengan cepat “ditarik balik” dan berundur apabila dicabar untuk memberikan bukti.

Jumlah yang dibelanjakan untuk 9,002 anggota sentiasa di bawah kawalan kerana mereka bekerja secara sukarela tanpa gaji dan kerajaan negeri hanya menyediakan pakaian dan walkie-talkie.

Peranan PPS adalah terhad untuk membantu dalam perkara kecemasan dan menyahut seruan pihak polis untuk kerja-kerja komuniti polis bagi memerangi jenayah. Tidak ada sebarang masalah dengan pihak polis dalam tempoh 4 tahun lepas.

Hanya kerana satu dua orang anggota melakukan salah laku, tidak bermakna bahawa semua patut dihukum.

Jika itu logik yang digunapakai, maka wajarkah 120,000 anggota polis dihukum kerana kesalahan beberapa anggota polis menggunakan bahan letupan C4 untuk membunuh atau kes salah tembak baru-baru ini terhadap Puan Norizan Salleh, seorang ibu tunggal, yang memenangi pampasan RM300,000 akibat penderita yang beliau tanggungi?

Sekarang BN telah menjadikan PPS sebagai isu emosi yang sensitif kerana bermotifkan politik, terutamanya apabila ahli-ahli kini adalah berbilang kaum dengan 57% Cina, 33% Melayu dan 10% India.

Dengan meningkatkan bilangan orang Melayu yang mengambil bahagian, PPS akan menjadi 45% Melayu, 45% Cina dan 10% India menjelang akhir tahun 2015.

Kerajaan negeri mengulangi pendiriannya bahawa adalah sah untuk membentuk PPS sebagai unit sukarela.

Jika BN atau oleh Ketua Polis Negara (KPN) kini mempertikaikannya sedangkan PPS tidak pernah menjadi isu sejak 4 tahun lepas, biarkan mahkamah membuat keputusan dan kerajaan negeri akan menghormati dan mematuhi keputusan mahkamah.

Malah menegakkan kedaulatan undang-undang dilihat sebagai mencabar Ketua Polis Negara. Pemimpin PR berbeza daripada pemimpin-pemimpin BN.

Walaupun pemimpin PR berkemungkinan ditangkap, kami tidak akan membiarkan diri kami dibuli kerana melakukan tindakan yang betul. Sebagai pemimpin, kita mesti memimpin dari hadapan dan tidak memimpin atau bersembunyi di belakang.

Pembohongan oleh BN dan media BN terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan berterusan. Saya telah bersabar tetapi apabila kenyataan saya sendiri diputarbelitkan tanpa ada pembetulan dan pemohonan maaf, saya tidak mempunyai pilihan melainkan untuk memfailkan prosiding undang-undang.

Saya akan memulakan tindakan saman fitnah terhadap akhbar New Straits Times jika akhbar tersebut gagal menarik balik dan meminta maaf atas laporan palsu mereka.

LIM GUAN ENG

Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu PPS: Mengecam keras arahan Ketua Polis kerana menyalahguna kuasa

Dalam satu mesyuarat EXCO tergempar hari ini yang disokong oleh semua 30 ADUN PR daripada DAP, PAS dan PKR, 8 usul berikut telah dicapai.

Mengecam dengan sekeras-kerasnya arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kerana menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan tangkapan besar-besaran 156 peserta Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang(PPS) yang tidak bersalah semasa mereka menghadiri perarakan tahunan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2014 di Padang Kota Lama, termasuk Ahli EXCO Kebajikan Masyarakat dan Alam Sekitar YB Phee Boon Poh, yang telah pun dipertanggungjawabkan oleh EXCO Pulau Pinang untuk menguruskan hal ehwal PPS.

Exco P.Pinang

Menganggap semua 156 peserta PPS yang ditahan adalah wira masyarakat Pulau Pinang kerana ditahan bukan kerana melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang tetapi melakukan kerja-kerja amal yang baik.

Menegaskan bahawa PPS adalah badan yang sah diluluskan oleh kerajaan negeri menerusi mesyuarat EXCO pada 8 April 2009.

Cara PPS diluluskan adalah sama dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung(JKKK) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri ataupun JKKK(P) yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan selepas pilihanraya umum 2008.

Matlamat PPS adalah untuk membantu kerja bantuan bencana dan kecemasan serta memberikan segala bantuan kepada pihak polis jika diperlukan.

Semua rakyat Pulau Pinang dibenarkan mengambil bahagian tanpa kira kaum, agama ataupun latarbelakang. Kini peserta-peserta PPS yang berbilang kaum merangkumi 9,002 orang yang terdiri daripada 2,970 orang Melayu(33%), 5,123 Cina(57%) dan 873 India(10%).

Sejak kelulusan itu PPS telahpun menjalankan tugas mereka dengan baik dengan restu pihak polis. Selama 4 tahun ini, PPS tidak menghadapi sebarang masalah dengan pihak polis kecuali satu dua insiden yang telahpun diambil tindakan disiplin oleh kerajaan negeri dan hukuman oleh mahkamah.

Perlu ditekankan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan keras ke atas mana-mana perlakuan tidak berdisiplin atau yang bersifat jenayah oleh peserta PPS.

Mengecam kenyataan menghasut Ketua Polis Negara yang menyatakan bahawa PPS adalah pertubuhan haram dan fitnah jahat beliau bahawa peserta PPS adalah samseng.

Menyokong penuh saranan YAB Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk mencabar Ketua Polis Negara berbahas tentang perkara ini untuk menentukan kebenaran.

Menyediakan bantuan guaman dan kewangan untuk membantu 156 ahli PPS dan YB Phee yang ditahan polis, untuk menghadapi proses perundangan mahkamah.

Semua peserta PPS yang ditahan itu akan diberikan sumbangan RM200 setiap hari ditahan serta apa-apa kerugian munasabah yang dialami semasa dalam tahanan.

Semua peguam yang perlu akan dilantik oleh pihak kerajaan negeri untuk membela mereka serta membuktikan kesahihan PPS.

Memutuskan untuk merehatkan peserta-peserta PPS daripada semua aktiviti berkaitan di Pulau Pinang sehingga keputusan mahkamah dibuat tentang kesahihan PPS.

Melahirkan harapan bahawa masyarakat setempat di Pulau Pinang boleh menggantikan peranan yang dimainkan oleh PPS selama ini dengan membantu pihak polis menjalankan kepolisan masyarakat untuk mencegah jenayah demi mengekalkan kedudukan Pulau Pinang sebagai salah satu negeri yang paling selamat di Malaysia.

Mendesak bahawa kesemua 135 peserta PPS yang ditangkap oleh polis dibebaskan dengan segera dan tidak terus dianiayai dengan perintah reman, selepas 21 peserta PPS dibebaskan dengan jaminan polis pada awal pagi 1 September 2014.

Mengutuk perbuatan khianat dan jahat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang melontarkan “Molotov cocktail” ke dalam kediaman YAB Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang jelas bertujuan untuk mencederakan dan mengugut beliau untuk niat jahat yang belum dikenalpasti.

Meminta pihak polis mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mempertingkatkan keselamatan peribadi dan kediaman YAB Ketua Menteri serta menangkap penjenayah-penjenayah tersebut.

* Diumumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bagi pihak EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan 30 ADUN PR Pulau Pinang