Categories
SELANGOR

MB: Banyak lagi tindakan terhadap Kerajaan Negeri sebelum PRU14

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 26 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, banyak lagi tindakan dilakukan pihak berkuasa di bawah Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan Negeri menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

Beliau berkata, ia bagi memberi persepsi negatif terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri diketuainya yang banyak mencatat pencapaian cemerlang pelbagai bidang termasuk ekonomi.

“Tindakan sebegini akan berterusan sehingga ke PRU ke 14 nanti.

“Memang kita menjangkakan banyak pihak yang cemburu dengan kejayaan demi kejayaan dicatat Selangor,” katanya kepada media berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Universiti Selangor (UNISEL).

Mohamed Azmin berkata demikian sekembalinya beliau dan rombongan daripada lawatan kerja ke Zurich, Switzerland di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

BANGUNAN SUKBagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri bersedia memberi kerjasama kepada SPRM dalam siasatan berkenaan namun agensi itu disaran menjalankan siasatan secara adil dan profesional bagi mengelak prasangka negatif masyarakat terhadap agensi berkenaan.

“Kita menuntut SPRM bertindak secara profesional kerana sekiranya tidak, ia menimbulkan persepsi tidak baik dalam masyarakat kerana gagal untuk kembalikan keyakinan terhadap institusi itu untuk membanteras rasuah.

“Saya gembira beberapa pegawai tertinggi MBI dan UNISEL telah memberi kerjasama baik dalam siasatan maka Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama penuh dalam perkara ini,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

TPM kata PRU-14 bukan September ini

SHAH ALAM, 17 JULAI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak akan berlangsung, pada September ini.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam.

“(September) awal sangat, ia (PRU) akan didakan selepas itu,” katanya lapor Malaysiakini yang dipetik dari Channel News Asia.

Spekulasi berkenaan tarikh sebenar PRU-14 bertiup kencang sejak awal tahun ini dengan ramai menjangkakan ia mungkin berlangsung selepas sambutan Aidilfitri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai tempoh sehingga Ogos 2018 untuk membubarkan parlimen bagi membolehkan PRU-14 diadakan.

Kebanyakan penganalisis menyatakan kemungkinan Najib mengadakan PRU-14, pada September adalah kecil kerana Kuala Lumpur menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA kali ke-29, pada bulan sama.

Perdana Menteri China, Xi Jinping pula dijadual melawat Malaysia, pada Oktober.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PRU-14 terkotor jika SPR gagal jelas status pemilih

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bakal menyaksikan penipuan terbesar jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mengemukakan asas kukuh terhadap tindakannya melupuskan alamat 136,272 pemilih di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana jumlah terbabit adalah sangat besar yang menyebabkan lokaliti pemilih terbabit tidak dapat dikenal pasti.

“Bagaimana 136,272 pemilih di Selangor dihilangkan alamat dan hujah barisan peguam, mereka tidak boleh buat eksais persempadanan semula tanpa alamat.

“Bagaimana mereka mahu meletakkan pemilih di lokaliti tanpa alamat? Ini menyebabkan daftar pemilih itu tidak bersih, kotor dan menimbulkan suasana pilihan raya itu kotor dan tidak adil.

“Jumlah ini besar bagi sesebuah pilihan raya,” katanya selepas menghadiri perbicaraan permohonan semakan kehakiman berhubung persempadan semula oleh SPR di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, semalam.

AZMINBeliau yang yakin hujah barisan peguam mewakili Kerajaan Negeri berkata, pihaknya dalam perbicaraan semalam turut memohon mahkamah memanggil Pengerusi SPR bagi memberi penjelasan berhubung tindakan melupuskan alamat pemilih.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri mempunyai asas kukuh untuk memohon supaya Pengerusi SPR memberi keterangan bagi mengelakkan perbicaraan pada 10 Mac nanti dijalankan berasas keterangan dan dokumen tidak lengkap.

Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Yang Arif Azizul Azmi Adnan menetapkan keputusan permohonan memanggil Pengerusi SPR, pada 9 Mac ini.

-AA-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Satu undi BN, satu undi rasuah

SHAH ALAM, 3 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) melahirkan kebimbangan berhubung amalan rasuah yang makin berleluasa di bawah pentadbiran Najib Razak.

Barometer Korupsi Global Transperancy International (Asia Pasifik) bagi 2016 mendedahkan seramai 60 peratus rakyat Malaysia bersetuju tahap rasuah di negara ini semakin teruk dengan pertambahan dua kali ganda berbanding 30 peratus, pada 2014.

Kenyataan ini disokong kajian Barometer Edelmen Trust Malaysia 2017 yang menyatakan seramai 52 peratus rakyat Malaysia hilang kepercayaan kepada institusi dan sistem pentadbiran, ekonomi serta sosial, manakala 83 peratus bersetuju rasuah sebagai punca utama.

Pada Mac tahun lalu, majalah ‘Time’ menempatkan Malaysia sebagai negara kedua paling korup di dunia selepas Brazil.

Sama seperti dilaporkan pada Mei 2016, Malaysia berada di kedudukan nombor dua di dunia selepas Russia di dalam The Economist’s Crony Capitalism Index 2016.

Dua bulan kemudian, nama Malaysia sekali lagi dimalukan di seluruh dunia apabila Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menyatakan negara kita mengamalkan dasar kleptokrat akibat skandal 1MDB.

Pada 2015, Global Financial Integrity (GFI) menempatkan Malaysia dalam senarai lima negara utama di dunia yang mengamalkan aliran tunai keluar secara haram dengan jumlah terkumpul bersamaan RM1.8 trilion antara 2004 dengan 2013.

Dengan skandal 1MDB, Jabatan Air Negeri Sabah, Felda, dan Majlis Amanah Rakyat, ini membuktikan budaya korupsi diamalkan Kerajaan Umno BN semakin membarah.

Kos rasuah terpaksa ditanggung rakyat dalam bentuk kemerosotan nilai mata wang ringgit, pemotongan peruntukan untuk sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan, GST, serta kenaikan kos sara hidup.

Kerajaan PAKATAN menawarkan permulaan baru dengan:

1. Memastikan tiada campur tangan politik dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), agensi pelaburan dan khazanah negara. Kesemua ini akan dibenarkan membuat keputusan berdasarkan mandat pelaburan daripada mandat rakyat;

2. Melantik seseorang yang berwibawa menjadi peguam negara yang diberi kebebasan menjalankan tugas siasatan terhadap sesiapa sahaja mengikut Perlembagaan; dan

3. Memastikan kebebasan media, termasuk agensi dan penyiaran berita milik rakyat dibenarkan berfungsi secara bebas dan saksama

Oleh demikian, PAKATAN menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang menentang rasuah dan inginkan perubahan untuk segera mendaftar serta keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
PAKATAN HARAPAN:

YB Datuk Raja Kamarul Bahrin
Parti Amanah Negara
(AMANAH)

YB Rafizi Ramli
Parti Keadilan Rakyat
(PKR)

YB Tony Pua
Parti Tindakan Demokratik
(DAP)

Categories
NASIONAL

Daftar undi sebelum 31 Mac jika PRU-14 pada September

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 21 FEB: Warganegara berumur 21 tahun dan ke atas perlu mendaftar sebagai pemilih sebelum 31 Mac 2017 jika ingin mengundi sekiranya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) jatuh pada September nanti.

Timbalan Pengerusi BERSIH 2.0, ‎Shahrul Aman Mohd Saari berkata, ia berikutan lazimnya proses pewartaan setiap pendaftar baru memakan masa selama enam bulan.

“Cuma mereka yang mendaftar sebelum 31 Mac 2017 boleh mengundi dalam PRU-14 sekiranya ia diadakan pada September 2017.

“Oleh itu adalah mustahak untuk mereka yang belum mendaftar untuk mendaftar secepat mungkin di pejabat pos terdekat,” kata Shahrul pada sidang media di Pejabat BERSIH 2.0 di Eight Avenue, di sini, hari ini.

IMG_20170221_115944-800x570Beliau turut menggesa pengundi yang sudah sedia mendaftar supaya membawa ahli keluarga dan rakan-rakan yang belum mendaftar ke Pejabat Pos untuk mendaftar sebagai pemilih.

Jelasnya, mengundi dalam pilihan raya merupakan hak paling berkuasa bagi rakyat dalam sistem demokrasi.

Selain itu, ia juga merupakan pendekatan paling terus membawa perubahan bagi memastikan suara rakyat tidak diabaikan.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu media, berdasarkan maklumat diterima, beliau menjangkakan PRU-14 bakal diadakan pada September nanti.

=EZY=

Categories
NASIONAL

PAS ramal PRU-14 Mei 2017

SHAH ALAM 21 DIS: PAS meramalkan pilihan raya umum ke-14 bakal diadakan pada Mei tahun depan, berdasarkan maklumat diterima daripada agensi kerajaan dan faktor lain.

Naib Presiden PAS, Dato’ Iskandar Samad berkata kesimpulan dibuat berdasarkan pelaksanaan projek kerajaan persekutuan apabila lazimnya projek baru ilancarkan ketika tempoh kempen pilihan raya.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah mengeluarkan jadual taklimat petugas pilihan raya.

“Masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru Cina pada akhir Januari dan suasana perayaan itu berlarutan hingga Februari.

“Tentu sekali BN akan menggunakan peluang sambutan tersebut untuk berkempen dan mengumumkan gula-gula untuk rakyat.

“Kemudian secara tiba-tiba Parlimen akan dibubarkan pada akhir bulan Mac atau pada bulan April agar satu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari,” kata Iskandar dalam satu kenyataan.

Katanya satu lagi pertimbangan untuk mengadakan pilihan raya tidak lama lagi adalah kelemahan ringgit dan masalah dalaman Umno yang pada boleh menjadi semakin parah.

Mengenai PAS, Iskandar percaya parti itu adalah antara pembangkang terkuat dengan jentera pilihan raya yang mantap.

Menurutnya, PAS mempunyai kelebihan sebagai penyandang di Kelantan, dan ia juga memiliki kerusi yang banyak di Kedan, Terenganu dan Selangor.

PAS, katanya, mempunyai harapan cerah untuk merampas Kedah dan Terengganu.

“Kita perlu bersedia dengan pilihan raya umum mengejut. Selesaikan apa saja perkara belum diselesaikan dan lengkapkan segala persiapan.

“Inilah peluang terbaik menumbangkan BN atau meluaskan penguasaan di negeri-negeri,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PRU-14: KEADILAN terbuka bincang pembahagian kerusi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 DIS: KEADILAN bersikap terbuka bagi membincangkan pembahagian kerusi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara terbabit sudah dibincangkan bersama pimpinan parti yang mengambil kira persefahaman dijalinkan dengan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Kita harus mengambil sikap terbuka kerana ketika KEADILAN dibentuk, kita tiada kerusi sebaliknya diberikan DAP dan PAS.

“Justeru, kini giliran kita untuk bersikap terbuka dan bertanggungjawab dalam isu pembahagian kerusi kerana apa yang kita mahu adalah kemenangan dalam PRU-14,” katanya selepas merasmikan Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu di Bangunan SUK, di sini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, pembahagian kerusi tertakluk pada kekuatan dan keupayaan parti di sesuatu kawasan selepas perbincangan diadakan.

AZMINBagaimanapun, katanya, soal strategi tidak boleh dibincangkan secara terbuka dan menegaskan kerjasama terbabit tidak spesifik kepada beberapa negeri sahaja.

“Ketika ini, PAKATAN hanya mewakili tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Sudah tentu BERSATU di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kekuatan tersendiri di selatan Semenanjung,” katanya.

Terdahulu, PAKATAN dan BERSATU bersetuju untuk menjalin kerjasama berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/1963.

Melalui kerjasama itu, pimpinan bersetuju untuk menggunakan satu calon sahaja dalam PRU-14.

-AA-

Categories
NASIONAL

Azmin: Pembahagian kerusi dapat diselesaikan pastikan satu lawan satu

OLEH NAZLI IBRAHIM

MUAR, 8 OKT: Pembahagian kerusi di antara parti pembangkang dapat diselesaikan bagi memastikan tiada pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata hal ini berikutan wujudnya kesepakatan di antara parti pembangkang untuk sama-sama menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan Umno.

“Saya bertekad dengan pasukan yang ada, dengan PAS, dengan KEADILAN, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahawa di Selangor kita kerja sebagai satu pasukan untuk terus maju ke hadapan.

azmin-jb“Kita sedang dalam proses pengagihan kerusi di seluruh negara. Dengan kesepakatan ini saya percaya kita berjaya selesaikan,” kata Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor itu.

Beliau berkata demikian pada program ceramah Bicara Rakyat Bersatu di Sungai Terap, Pagoh di sini, malam tadi.

Ucapan beliau itu turut disokong oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut terlibat dalam rundingan pembahagian kerusi yang dipertandingkan pada PRU-14.

Ketika mengulas kehadirannya di program ini, Mohamed Azmin dengan nada berseluroh berkata beliau tidak percaya diberi peluang berucap di hadapan penduduk Pagoh kerana kawasan itu merupakan salah satu kubu kuat Umno di era Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjawat jawatan Timbalan Presiden Umno.

Bagaimanapun katanya, perkara itu berubah dengan sekelip mata apabila Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu menyertai pakatan pembangkang.

EZY

FORUM : Mampukah Parti Pembangkang Memenangi Undi Melayu pada PRU-14? – Part 1


Mampukah Parti Pembangkang Memenangi Undi Melayu pada PRU-14?

FORUM : Mampukah Parti Pembangkang Memenangi Undi Melayu pada PRU-14? – Part 2


Mampukah Parti Pembangkang Memenangi Undi Melayu pada PRU-14?

FORUM : Mampukah Parti Pembangkang Memenangi Undi Melayu pada PRU-14? – Part 3


Mampukah Parti Pembangkang Memenangi Undi Melayu pada PRU-14?

FORUM : Mampukah Parti Pembangkang Memenangi Undi Melayu pada PRU-14? – Part 4


Mampukah Parti Pembangkang Memenangi Undi Melayu pada PRU-14?