Categories
NASIONAL

Rafizi: Najib Bohong, Pinjaman PTPTN RM 24.5B Bukan RM 43B

SHAH ALAM, 11 APR: Kerajaan negara ini mampu menampung hutang PTPTN sebanyak RM24.7 bilion yang sedang ditanggung oleh kebanyakkan bekas pelajar lulusan institusi pengajian awam dan swasta hari ini.

Jumlah pinjaman PTPTN sebanyak RM43 bilion seperti yang disebut oleh Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini juga merupakan satu pembohongan kerajaan untuk lari dari memikul tanggungjawab memberi pendidikan percuma kepada rakyat negara ini.

Sebaliknya jumlah sebenar pinjaman PTPTN yang telah dibayar kepada peminjam sehingga Disember 2011 hanya RM27.5 bilion, kurang  hampir separuh dari yang disebut Perdana Menteri itu.

Setelah ditolak jumlah bayaran yang telah dibuat oleh pelajar, menjadikan jumlah hutang PTPTN yang tinggal adalah 24.7bilion, merupakan satu jumlah yang mampu dibayar kerajaan.

Demikian beritahu Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli dalam majlis dialog ‘Rundingcara PTPTN dan Masa Depan Pembiayaan Pendidikan Tinggi yang diadakan di Quality Hotel, Shah Alam malam tadi.

“Jumlah diluluskan dengan jumlah yang telah dibayar kepada peminjam sebenar adalah berbeza dan jumlah yang saya keluarkan ini datangnya dari sumber dalaman PTPTN sendiri.

“Jumlah pinjaman sebenar ataupun yang telah dibayar kepada peminjam itu lah angka sebenar iaitu RM27.5 bilion.

“Sebab itu kalau ada yang sebut RM43bilion,  itu adalah satu pembohongan untuk menakut-nakutkan rakyat,” kata beliau dalam majlis anjuran Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu.

?Kalau kerajaan tidak mahu maafkan RM24.7 bilion ini, ini memang betul-betul jahatlah,” ujarnya lagi.

Rafizi turut menjelaskan mekanisma pembayaran hutang PTPTN yang akan dipraktikkan adalah sama dengan amalan pembayaran hutang oleh kerajaan-kerajaan di dunia termasuk Malaysia.

“Kerajaan sengaja menakutkan rakyat, kalau kerajaan bayar RM43 bilion boleh jadikan kerajaan bankrap.

“Kenyataan ini sebenarnya cuba sembunyikan fakta sebenar dan menakutkan rakyat.

“Walaupun hutangnya RM24.7 bilion, jumlah hutang ini bukanlah dibayar sekaligus.

“Bila kita umumkan kita akan maafkan hutang PTPTN RM24.7 bilion, bukannya  esok kita kena kosongkan akaun perbendaharaan, KWSP, Petronas bayar hutang PTPTN.

“Mana-mana ahli ekonomi tahu, sudah jadi amalan mana-mana negara, hutang akan dibayar dalam satu jangkamasa tertentu.

“Kerajaan Malaysia pinjam dengan Bank Dunia yang Mahathir buat pada 1999 baru habis bayar pada tahun lepas 2011.

“Pembayaran hutang yang diambil paling kurang pun sepuluh tahun.

“Ini satu lagi kenyataan yang membodohkan rakyat menggambarkan seolah-olah hutang PTPTN kena bayar sekaligus kalau nak dihapuskan.

“Jadi kalau untuk bayar semula pinjaman PTPTN yang dah dibayar kepada pelajar sebanyak RM24.7 kita boleh anggarkan sebanyak RM2 bilion selama 15 tahun.

Dalam pembentangan Rafizi, beliau turut menyediakan ‘plan B’ untuk  pembayaran semula kepada PTPTN sekiranya negara terpaksa menghadapi senario buruk.

“Kalau anda ambil ‘kos financing’ anda akan faham, dalam ‘worse case senario’ hutang ini boleh di refinancing kan (pembiayaan semula), supaya hutang boleh distrukturkan semula dengan jumlah lebih sesuai untuk dibayar kerajaan,” katanya.

Ketika menjawab satu soalan dari salah seorang pelajar yang hadir, Rafizi  merumuskan PTPTN masih boleh dimansuhkan tanpa mengambil kira soal ketirisan yang berlaku dalam kerajaan hari ini.

?Hari ini saya tidak sebut langsung soal ketirisan. Dalam ketirisan sekali pun kita masih boleh hapuskan PTPTN.

“Kalau kerajaan sekarang yang banyak ketirisannya sekalipun, duit yang ada masih mampu tampung hutang PTPTN,? katanya lagi.

Sebelum itu Rafizi turut menjelaskan keuntungan yang diperolehi kerajaan dari Petronas wajar disalurkan dalam institusi pendidikan termasuk membayar balik hutang PTPTN yang ditanggung oleh pelajar lepasan universiti.

Menurut Rafizi, di kebanyakkan negara-negara lain, satu tabung khas  pendidikan diadakan untuk tujuan tersebut.

Hutang PTPTN yang ditanggung oleh kebanyakkan pelajar lepasan pengajian tinggi hari ini mula dianggap sebagai ‘badi’ bagi golongan tersebut apabila terpaksa menanggung dalam satu masa yang panjang.

Selain itu, bagi sesetengah bekas pelajar pula melabelkan hutang PTPTN sebagai ‘Along Berlesen’ apabila mereka dikenakan faedah hutang yang tinggi.

Ketika menyentuh perkara itu, Rafizi menganggap ianya sebagai kesan buruk apabila pinjaman tersebut dikomersialkan dan berorientasikan keuntungan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rafizi: Pendidikan Percuma Tanggungjawab Kerajaan Pusat.

SHAH ALAM, 11 APR :Tanggungjawab terhadap dasar, penambahbaikan dan kaedah sistem pendidikan negara  merupakan tanggungjawab dan bidang kuasa Kerajaan Pusat dan bukan dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Justeru sebarang hala tuju dan mekanisma perlaksanaan sistem pendidikan negara ini termasuk pelbagai caj yang dikenakan kepada penjaga dan para pelajar ditentukan oleh Kementerian-kementerian berkenaan.

Manakala kerajaan-kerajaan negeri hanya melaksanakan apa yang telah ditetapkan oleh kementerian tersebut di atas dasar federalisme.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli menegaskan, Kerajaan Pusat dibawah Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang sepatutnya memikirkan cara terbaik untuk menaik taraf sistem pendidikan di negara ini.

Rafizi berkata, adalah tidak adil bagi Kerajaan Pusat untuk terus menekan Kerajaan Selangor untuk melaksanakan dasar pendidikan percuma kerana ini bukan dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Katanya, jika Selangor ingin melaksanakan pendidikan percuma, Kerajaan Pusat seharusnya berlaku adil dengan memberi agihan kewangan yang sepatutnya kepada Kerajaan Negeri.

“Jika dari sudut polimik politik, Kerajaan Pusat tidak boleh menuduh kenapa Selangor tidak memberikan pendidikan percuma kerana Kerajaan Pusat sendiri yang mengehadkan agihan kewangan kepada  Selangor,” jelas beliau ketika sesi rundingcara PTPTN dan masa depan pembiayaan pendidikan tinggi di Quality Hotel semalam.

Bagaimanapun, menurut Rafizi, soal pendidikan adalah lebih penting untuk dibincangkan berbanding soal politik kerana generasi muda kini terhimpit dengan bebanan hutang yang melampau akibat sistem yang digunapakai sekarang.

“Bagaimana Kerajaan Pusat boleh mengeluarkan bajet hampir 200 peratus yang melebihi belanjawan hanya untuk memberikan biasiswa pendidikan pada era 70 an dan kenapa sekarang tidak boleh?,” tambah beliau lagi.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat tidak berlaku adil bagi agihan kewangan yang telah disumbang Kerajaan Negeri kerana Selangor menyumbang hampir 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2011.

Malah, Kerajaan Selangor hanya mendapat hampir dua peratus agihan kewangan yang diberikan Kerajaan Pusat dan ini menunjukkan sikap Kerajaan Pusat yang ternyata berat sebelah.

Categories
NASIONAL

Cagar Harta Keluarga Shahrizat Untuk Bayar Balik Pinjaman NFC

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: PKR mendesak Kerajaan Malaysia agar mencagarkan harta keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai timbal balik pembayaran bagi pinjaman RM 250 juta untuk Projek Fidlot Nasional (NFC).

Cara tersebut adalah yang paling berkesan bagi memastikan yang NFC Corp, syarikat yang mengendalikan NFC, dapat membayar balik pinjaman tersebut mengikut jadual yang ditetapkan.

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata tanggungjawab bagi mendapatkan semula wang tersebut terletak di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Menurut beliau, memandangkan operasi dan prestasi kewangan NFCorp tidak memungkinkan syarikat itu membayar balik pinjaman, maka tindakan paling wajar ialah mengenakan syarat ‘jaminan peribadi’ ke atas keluarga beliau.

“Jika NFCorp gagal membayar jumlah pinjaman pertama dalam tempoh dua minggu maka Najib perlulah mengambil tindakan melelong harta-harta tersebut untuk mendapatkan kembali dana rakyat,” katanya.

Tegas Rafizi, jika cagaran harta peribadi tidak berlaku dalam seminggu, PKR akan mendedahkan harta-harta lain yang telah diperoleh keluarga Shahrizat dan penyelewengan lain yang bersabit NFCorp.

Sebelum ini, skandal NFC Corp, syarikat yang dikendalikan oleh suami dan anak lelaki Shahrizat, memaksa beliau melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kommuniti.

Pada March 12, suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, dihadapkan ke mahkamah sesyen Kuala Lumpur di atas dua caj pecah amanah bersabit pembelian dua unit condo bernilai    RM 49.7 juta.

Mohammad Salleh mengaku tidak bersalah.

Categories
NASIONAL

PKR Dakwa NFC Cuba Lupus Harta

KUALA LUMPUR, 5 APR : PKR menggesa Kerajaan Persekutuan membekukan semua transaksi aset dan kepentingan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) kerana kemungkinan besar perolehan harta oleh syarikat tersebut menggunakan dana awam RM250 juta yang diselewengkan dari tujuan asalnya.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata tanpa kesungguhan kerajaan pimpinan Umno-BN menyiasat penyelewengan ini dikuatiri NFC dan pemiliknya didakwa sedang dalam usaha melupuskan harta dan aset dipercayai dibeli menggunakan dana tersebut.

Menurutnya, isu ini tidak harus dipinggirkan hanya kerana tindakan mahkamah yang mendakwa Pengarah Urusan NFCorp, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan perletakan jawatan Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkuatkuasa pada 8 April ini.

“Setakat ini telah terbukti bahawa pemilik NFC iaitu keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil telah menggunakan sebahagian dari dana awam berjumlah RM250 juta untuk tujuan yang tidak ada kena mengena dengan penternakan lembu terutamanya pelbagai pelaburan di dalam bidang hartanah.

“Persoalannya yang paling kritikal ialah bagaimana semua RM250 juta ini akan dapat dipulangkan kembali kepada rakyat,” katanya.

Pembekuan harta dan aset dimaksudkan itu menurutnya adalah semua pegangan syarikat, saham dan pelaburan di dalam apa-apa entiti yang dibuat selepas 2007 iaitu selepas NFCorp dianugerahkan kontrak RM250 juta untuk mengusahakan NFC.

“Selain itu semua hartanah, plot tanah dan pelaburan di dalam bidang hartanah yang dibuat selepas 2007 sama ada pembelian di buat atas nama NFC, syarikat yang dikuasai pemilik NFC ataupun atas nama mereka sendiri.” kata Rafizi ketika mengadakan sidang media di Lobi parlimen petang tadi.

Selanjutnya beliau berkata, ia juga termasuk sebarang pemindahan wang kepada syarikat atau individu selain dari bayaran operasi biasa NFC dan sebarang pertukaran kepentingan melibatkan aset lain termasuklah kereta, dana, kelengkapan dan yang lainnya.

“Oleh sebab itulah PKR telah mendesak berkali-kali supaya kerajaan mengambil langkah segera dan tegas untuk membekukan semua harta dan transaksi melibatkan NFC dan pemiliknya termasuklah harta-harta peribadi tetapi perkara ini tidak berlaku.

“Hari ini saya nak mendedahkan bagaimana dalam ruang masa sebulan di antara masa Datuk Seri Shahrizat meletak jawatan sehingga sekarang telah digunakan pada pendapat saya untuk mengalihkan pandangan rakyat dari skandal NFC dan membolehkan pihak terbabit iaitu keluarganya mengatur urusniaga yang melupuskan hartanah yang sepatutnya dibekukan,” katanya.

Rafizi berkata, pemilik NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya, Wan Shahinur Izran kini dalam proses memuktamadkan penjualan tiga aset hartanah kepada sebuah syarikat, Insun Development Sdn Bhd.

Menurutnya, tiga hartanah dimaksudkan dibiayai bank yang sama sebelum ini membiayai pembelian lapan unit hartanah mewah di KL Eco City lalu menimbulkan persoalan sama ada pembiayaan ketiga aset hartanah itu juga adalah berasaskan simpanan deposit dana NFC yang ditempatkan di bank tersebut.

Beliau berkata, ketiga-tiga hartanah dinyatakan adalah di No B-00-22, B-01-22 dan B-02-22 di Plaza Damas 3, Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur yang dilupuskan kepada Insun Development Sdn Bhd dengan nilai RM1.5 juta, RM759,000 dan RM741,000 yang kesemuanya berjumlah RM3 juta.

“Cuma saya nak sebut bahawa harga pasaran bagi ketiga-tiga hartanah ini dianggarkan  berjumlah RM4 juta maka pelupusan ini dibuat pada diskaun sebanyak 25 peratus.

“Saya membidas sekeras-kerasnya kecuaian pihak berkuasa sebab dari awal tahun ini mereka janji untuk lantik pihak audit dan kemudian dikatakan semua harta dibekukan. Kalau kedua-dua ini berlaku sudah tentu urusniaga aset-aset pada harga yang murah ini tidak berlaku,” katanya.

Maka dengan itu katanya, jika perkara sebegini boleh terlaksana tanpa sebarang pengawasan, bermakna perkara sama boleh juga berlaku dengan aset lain dimiliki oleh keluarga Shahrizat tetapi dibeli menggunakan dana awam seperti didedahkan sebelum ini.

“Iniseperti Kondominium One Menerong (RM14 juta), dua plot tanah di Putrajaya (RM3 juta, Kondominium di Orchard Scotts (RM10 juta), dua kondominium di Marina Bay Suites (RM34 juta) dan lapan unit rumah kedai pejabat di KL Eco City (RM12 juta).

“Urusniaga yang melupuskan harta milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil seperti ini membuktikan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berbohong. Bila dia umumkan  pada 14 Januari lalu bahawa harta dan operasi telah dibekukan tetapi tiada apa yang berlaku. Ia hanya satu pengumuman,” katanya.

Rafizi menambah, arahan dikeluarkan Najib tidak diendahkan dan dihormati keluarga Shahrizad.

Katanya, pihaknya menegaskan segala urusniaga dan operasi NFC perlu dihentikan segera kecuali melibatkan kos pendapatan pekerja dan keperluan asas.

Categories
NASIONAL

Hasrat SPRM Siasat Tanpa Laporan, Tidak Releven- Rafizi

SHAH ALAM 2 APRIL : Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini kononnya mampu mengambil siasatan terhadap kes tanpa laporan dan aduan rasmi dianggap sebagai tidak releven oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, kenyataan seumpama itu sama sekali tidak terpakai dalam kes pembongkaran penyelewengan skandal lembah daging National Feedlot Corporation (NFC), sedangkan ia disertakan dengan pelbagai bukti dan dokumen berkaitan.

“SPRM sekarang sedang berdepan dengan persoalan imej di mata rakyat.

“Dalam kes NFC sudah cukup menunjukkan bahawa masa yang diambil SPRM untuk bertindak dan membuat siasatan bukan sahaja tidak seperti apa yang dikatakan tetapi memberi tanda tanya dan kemarahan rakyat,”jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata SPRM mempunyai kuasa menyiasat mana-mana kes rasuah daripada sumber lain termasuk melalui laporan akhbar mahupun internet, asalkan ia mempunyai unsur-unsur berlakunya kegiatan jenayah.

Mengulas lanjut perkara ini, Rafizi berkata apa yang dilafazkan oleh Abu Kassim adalah satu bentuk cabaran baru kepada SPRM untuk membuktikan segala kenyataannya itu benar-benar dilakukan.’

“Kenyataan itu tidak sama sekali melambangkan tindakan yang diambil terhadap sepanjang penyiasatan kes NFC.

“Sehingga kini kita tidak lihat apa-apa bentuk tindakan terhadap mana-mana invidu dalam NFC sedangkan kes berstatus ‘national’ ini disertakan dengan pelbagai  bukti,”tambahnya lagi.

Categories
NASIONAL

Idris Ahmad: NFC Cuba Alih Isu Penyelewengan

SHAH ALAM 1 APRIL : Terkesan dengan pelbagai pembongkaran penyelewengan skandal lembah daging dari  Pakatan Rakyat dan menerima kemarahan rakyat, National Feedlot Corporation (NFC) cuba mengalih perhatian dengan mendakwa pemimpin Pakatan Rakyat membocorkan rahsia dokumen bank syarikat itu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Idris Ahmad berkata sewajarnya negara menyokong usaha pihak yang membongkarkan salah laku dana rakyat dan bukannya berpeluk tubuh melenggahkan skandal yang nyata ini.

“Apa yang jelas, tindakan pemimpin Pakatan Rakyat itu adalah mengemukakan bukti, kerana dakwaan tanpa bukti adalah fitnah.

“Isu pokok sekarang ialah scandal tersebut, kenapa perlu mengalih perhatian rakyat dengan perkara ini,”jelas Idris ketika dihubungi Selangorku hari ini.

Idris menambah, kepincangan kepimpinan negara hari ini adalah punca kepada berlakunya perkara-perkara pelik seumpama ini.

“Lihat sahaja dakwaan yang lengkap dengan pelbagai bukti dan dokumen yang telah disertakan oleh Pakatan Rakyat, adalah sangat malang kes ini masih terus dipandang sepi seakan tiada apa yang berlaku kepada dana rakyat.

“Kalau dibiarkan Polis atau pihak Penguam Negara untuk membongkar kes ini saya rasa tidak mungkin akan terbongkar sebagaimana sekarang.

“Malah Timbalan Ketua Polis Negara pernah menyatakan tidak ada kes yang melibatkan penyelwengaan dana dari wang rakyat oleh NFC.

“Sekarang apabila di bongkar oleh Pakatan Rakyat semua pihak gelabah termasuk polis dan Pejabat Peguam Negera.

Inilah juga puncanya mengapa rakyat tidak menghormati lagi integriti badan-badan kerajaan yang terpaksa tunduk dengan kezaliman kerajaan Umno-BN.

“Ingatlah, dalam kes ini, negara berdepan dengan kemarahan rakyat,”tambah Idris.

Jumaat lalu, NFC tampil membuat satu laporan polis dengan mensabitkan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Lembah Pantai,Nurul Izzah Anwar dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin atas kesalahan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) yang memperuntukkan hukuman penjara 3 tahun dan denda RM3 juta.

Kesalahan itu didakwa ekoran PKR mendedahkan pembelian 8 unit rumah kedai mewah dan keterlibatan Datuk Seri Shahrizat Jalil dan keluarga beliau di dalam pembangunan KL Eco City dalam satu sidang akhbar 7 Mac lalu.

Dalam perkembangan sama, Rafizi di dalam responnya berkata beliau dan pemimpin PKR lain bersedia  memberi sepenuh kerjasama kepada pihak penyiasat sekiranya ada pendakwaan.

“Saya juga yakin untuk berhadapan dengan NFC di dalam mahkamah kerana semangat rakyat yang mahukan penyelewengan yang berlaku di dalam NFC dibongkar wajib dihormati,”ujarnya.

Categories
NASIONAL

NFC: PKR Tidak Tunduk Ugutan Undang-Undang

PETALING JAYA, 31 MAC: PKR tidak gentar dengan ugutan undang-undang untuk mendakwa tiga pemimpin parti tersebut berhubung pembongkaran penyelewengan skandal lembah daging NFC membabitkan keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata beliau yakin untuk berhadapan dengan NFC di dalam mahkamah kerana semangat rakyat yang mahukan penyelewengan yang berlaku di dalam NFC dibongkar wajib dihormati.

“Saya menghormati hak NFC dan pengurusan kanan mereka menggunakan ruang undang-undang untuk mendakwa kami, saya juga mengingatkan NFC supaya tidak cuba untuk menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang kini semakin aktif mendedahkan penyelewengan di kalangan pimpinan dan golongan elit.

“Maqassid undang-undang di dalam sesebuah masyarakat adalah untuk menjamin keadilan dan mencegah kezaliman, bukannya untuk melindungi penyelewengan dan memberi ruang kepada si pesalah melepaskan diri.” kata beliau melalui sebuah kenyataan media.

Jelas Rafizi beliau dan pemimpin PKR lain bersedia  memberi sepenuh kerjasama kepada pihak penyiasat sekiranya ada pendakwaan.

“Saya juga yakin untuk berhadapan dengan NFC di dalam mahkamah kerana semangat rakyat yang mahukan penyelewengan yang berlaku di dalam NFC dibongkar wajib dihormati.” ujarnya

Semalam NFC telah membuat satu laporan polis mensabitkan Rafizi, MP Lembah Pantai,Nurul Izzah Anwar dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dengan kesalahan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) yang memperuntukkan hukuman penjara 3 tahun dan denda RM3 juta.

Kesalahan itu didakwa ekoran PKR mendedahkan pembelian 8 unit rumah kedai mewah dan keterlibatan Dato? Seri Shahrizat Jalil dan keluarga beliau di dalam pembangunan KL Eco City dalam satu sidang akhbar 7 Mac lalu.

Categories
NASIONAL

Rafizi Tolak Gesaan SPRM Buat Laporan Senyap-senyap

SHAH ALAM, 30 MAC: Hebahan tentang laporan rasuah kepada pihak berkuasa harus dibuat bagi mengelak kes tersebut disenyapkan.

Ini supaya masyarakat didedahkan dengan isu rasuah yang melanda pentadbiran negara, kata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

“Saya ambil contoh kes NFC, (National Feedlot Corporation) sebab kes itu yang betul-betul saya tahu. Selepas kita dedahkan dokumen, kenyataan yang datang baik dari SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah), baik Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan dan Ketua Polis Negara terus terang sebut tidak ada sebarang masalah.

“Di dalam parlimen contohnya, dua orang pahlawan mempertahankan, seorang Rembau, seorang Kota Belud.

“Sebab itu saya tidak setuju dengan Datuk shukri, Datuk kata jangan bawak gendang dan sebagainya bila buat laporan.

“Isu pasir di Selangor tak sama dengan NFC. Isu NFC kami ada dokumen-dokumen dan gambar yang kita bawa sampai disiasat, didakwa dan dah orang letak jawatan,” ujar beliau di dalam Wacana Sinar Harian semalam.

Hadir bersama Rafizi sebagai ahli panelis  adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri Abdul dan MP Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Rafizi menjawab gesaan Mohd Shukri yang mencadangkan agar laporan SPRM dibuat secara rahsia bagi  memelihara ‘suprise elemen’ dalam sesuatu siasatan badan itu.

Rafizi berpendapat merahsiakan laporan rasuah akan menyebabkan sesuatu kes itu disenyapkan begitu sahaja bagi melindungi kepentingan pihak tertentu.

Dalam masa sama, Rafizi menempelak Umno yang menuduh kononnya terdapat perbuatan rasuah dalam isu penjualan pasir di Selangor, tetapi tidak mempunyai bukti untuk diketengahkan.

“Tetapi Umno cuma cakap sahaja tak ada bukti cuma yang ada adalah laporan akhbar-akhbar perdana setiap hari.

“Mungkin mereka dah lupa SPRM ada meletakkan dua pegawai mereka di pejabat Kumpulan Semesta,” kata beliau lagi.

Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr Chandra Muzaffar juga turut diundang sebagai salah seorang panelis dalam wacana yang mengupas isu bertajuk “Rasuah Politik: Realiti atau Persepsi”.

Categories
NASIONAL

Rafizi: Najib ‘Bapa Pengumuman’

SHAH ALAM, 30 MAC: ‘Bapa Pengumuman’- Mungkin inilah gelaran yang secocok buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menggambarkan sikap obses beliau dalam membuat pelbagai pengumuman.

Ungkapan gelaran tersebut dinyatakan oleh Pengarah Startegi PKR, Mohd Rafizi Ramli ketika cuba menggambarkan beberapa pengumuman Najib yang dianggap tidak disertakan langkah realistik bagi membendung jenayah rasuah di dalam Wacana Sinar Harian semalam.

Menurut Rafizi, meskipun Najib mengumumkan agenda memerangi rasuah termasuk dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), ianya masih tidak memadai kerana tidak disusuli tindakan yang realistik.

“Kalaulah tugas kerajaan cukup sekadar mengumumkan beberapa perkara, mudahlah jadi PM.

“sebab itulah ada orang berjenaka, PM Najib Razak ini suatu hari nanti akan dikenali sebagai bapa pengumuman sebab dia banyak mengumumkan ganjaran,” ujar beliau dan disambut dengan ketawa oleh para hadirin.

“Tetapi tidak cukup dengan itu, yang kita nak tengok kalau pun kita ada NKRA dan GTP (Program Transformasi Kerajaan) untuk membenteras rasuah, kesannya mesti dirasai oleh orang di bawah.

“Setakat ini selepas dua tahun, keadaannya bertentangan. Perancangan satu perkara, tetapi kuasa yang diberikan dan keseriusan kerajaan untuk tidak campur tangan,” ujar beliau.

Selain Rafizi, ahli panel lain yang turut diundang dalam Wacana Sinar Harian siri ke 12 ini adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul dan  Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Manakala ahli panel lain yang turut diundang ialah Presiden JUST, Dr Chandra Muzaffar bagi mengupas isu bertajuk Rasuah Politik: Realiti atau Persepsi.

Pada bulan April 2009, Perdana Menteri telah mengumumkan 6 NKRA dalam GTP, dan salah satu daripadanya merupakan NKRA memerangi rasuah.

Bagaimanapun, disebalik pengumuman mewujudkan NKRA dan meningkatkan peruntukan perangi rasuah,Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) Malaysia berterusan merudum di sepanjang pentadbiran beliau dari tangga ke 43 pada 2007 ke tangga 60 pada 2011, terburuk dalam sejarah.

Manakala markah CPI pada tahun 2007 mencatatkan 5.1 pada 2007 dan jatuh kepada 4.3 pada tahun 2011.

Categories
NASIONAL

Fail Siasatan Rasuah Sangkut di Pejabat Peguam Negara

SHAH ALAM, 29 MAC: Peguam Negara harus ditukar kerana dilihat menyekat pendakawaan rasuah politik di negara ini, kata seorang ahli panel di Wacana Sinar Harian petang tadi.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, Peguam Negara yang ada pada hari ini wajar ditukar kerana banyak keputusan yang dibuat sebelumnya amat mencurigakan.

Walhal Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan menjalankan tugasnya dengan menyiasat dakwaan rasuah tetapi apabila kes-kes ini dibawa ke pejabat Peguam Negara, ia tidak dibawa ke mahkamah pengadilan.

“SPRM siang malam buat kerja, bila sampai laporan kepada Peguam Negara, mati di situ. Mencurigakan betul. Sebab itulah isu rasuah ini jangan kita lihat pada SPRM sahaja,” ujar Rafizi di dalam wacana yang bertajuk ‘Rasuah Politik: Realiti Atau  Persepsi’.

“Kerajaan tidak mahu bersungguh-sungguh membenteras rasuah.

?Kalaulah saya jadi Perdana Menteri tanpa ubah perlembagaan pun kita boleh tolong pegawai-pegawai SPRM macam Datuk Shukri (Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul) ini dengan satu tindakan sahaja, iaitu apa dia, kita tukarkan peguam negara.?

Dalam pada itu, Mohd Shukri, yang juga ahli panel, menyangkal persepsi masyarakat bahawa SPRM hari ini hanya berani menangkap ikan bilis dan bukan jerung besar.

Mohd Shukri berkata SPRM hanya diberi kuasa menyiasat manakala pendakwaan mahkamah pada tangan Peguam Negara.

“Dalam kes-kes yang kita cadangkan kepada peguam negara pada pandangan kita ada kes tetapi pada dia tak cukup bukti.

“Nak dakwa macamana, kita tak ada kuasa untuk dakwa. Kita cuma siasat sahaja, kuasa pemutus untuk mendakwa tertuduh terletak pada Peguam Negara.

“Kalau nak ikutkan, memanglah saya dan pegawai-pegawai nak dakwa mereka ini,” ujar beliau.

Categories
NASIONAL

Tender Baru Kendali NFC Cuba Tutup Kesalahan PM

SHAH ALAM,28 MAC : Pengumuman bidaan baru bagi memilih kontraktor untuk mengambil alih operasi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) hanya untuk menutup kesalahan pentabiran Umno-BN.

Ia dilihat sebagai usaha untuk menutup fakta sebelum ini di mana projek yang bernilai RM250 juta itu diberi secara terus kepada seorang ahli perniagaan yang tidak mempunyai pengalaman.

Pengarah Stratagi PKR, Rafizi Ramli menegaskan selagi persoalan bersabit pertanggungjawaban Perdana Menteri dan pegawai-pegawai tertinggi tidak disiasat dan dirungkai, kerajaan tidak boleh membuka bidaan baru.

“Oleh kerana niat Perdana Menteri untuk menutup kesalahan beliau itu adalah jelas, saya tidak ada pilihan lain kecuali menumpukan kembali fokus untuk membongkar penyelewengan-penyelewengan lain yang telah dan masih berlaku di dalam NFC.

“Tindakan itu mencerminkan kecuaian Perdana Menteri dan memungkinkan berlakunya penyelewengan dan pecah amanah,” kata Rafizi dalam satu kenyataan media.

“Pengumuman pembekuan aset oleh Perdana Menteri, tetapi operasi, perbelanjaan dan penstrukturan aset di dalam NFC dan syarikat-syarikat berkaitan terus berjalan seperti biasa, bertujuan untuk menghapuskan bukti penyelewengan.

“Pengumuman perlantikan juruaudit bebas oleh Timbalan Perdana Menteri  tetapi sehingga kini skop audit, kepada siapa juruaudit akan bertanggungjawab dan bilakah laporan audit akan dibentangkan kepada Dewan Rakyat tidak diketahui rakyat,? kata beliau.

Rafizi berkata beliau khuatir audit yang dijalankan ini hanyalah untuk mengenalpasti segala penyelewengan yang berlaku agar bukti-bukti penyelewengan dapat dihapuskan secepat mungkin.

Justeru menurut beliau, siri pembongkaran skandal NFC itu akan diteruskan bermula minggu depan.

Categories
NASIONAL

Najib Perlu Perjelas Geran RM976.7J untuk MHSB

SHAH ALAM, 18 MAC: Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak hari ini didesak agar memberikan pengesahan samada syarikat Maju Holdings Sdn Bhd (MHSB) mengembalikan dana rakyat berjumlah RM976.7 juta yang diterima dari kerajaan melalui geran kerajaan.

Menurut Pengarah Startegi Keadilan, Mohd Rafizi Ramli hari ini, keengganan PM berbuat demikian akhirnya nanti mengundang kemarahan rakyat kerana MHSB dikatakan mengaut keuntungan berlipat kali ganda dari hasil geran kerajaan dari dana awam.

“Saya mendesak PM selaku Menteri Kewangan mengesahkan samada MHSB akan mengembalikan dana rakyat sejumlah RM976.7 juta itu, kerana jika tidak ia menimbulkan lebih banyak persoalan yang akan terus menaikkan kemarahan rakyat,” kata beliau.

Menurutnya penjualan konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya oleh MHSB kepada EP Manufacturing Bhd yang bernilai RM1.7 bilion menyebabkan MHSB mengaut keuntungan mudah bernilai RM1.33 bilion sedangkan modal pelaburannya dianggarkan RM60 juta sahaja.

“Ini menimbulkan keraguan serta memandangkan pembinaan lebuhraya tersebut menggunakan dana awam yang besar melalui geran kerajaan bernilai RM976.7 juta.

“Kos keseluruhan lebuhraya tersebut dianggarkan bernilai RM1.32 bilion dan sebahagian besarnya dibiayai oleh rakyat melalui geran RM976.7 juta yang diberikan kerajaan kepada Maju Holdings Sdn Bhd.

“Selain geran tersebut, saya menganggarkan suntikan dana yang dibuat oleh Maju Holdings Sdn Bhd hanyalah sekitar RM60 juta iaitu 4.5% dari kos keseluruhan kerana ia turut meminjam RM370 juta dari institusi kewangan.

“Oleh yang demikian, penjualan berjumlah RM1.7 bilion ini akan memberi durian runtuh kepada Maju Holdings Sdn Bhd sekiranya geran oleh kerajaan berjumlah RM976.6 juta tidak dikembalikan.

“Jika ini berlaku, selepas membayar hutang institusi kewangan berjumlah RM370 juta, bermakna Maju Holdings Sdn Bhd bakal membuat keuntungan berjumlah sekitar RM1.33 bilion sedangkan modal pelaburannya dianggarkan RM60 juta sahaja,” kata beliau lagi.

Rafizi turut memberitahu, tindakan tidak telus kerajaan itu akan menguatkan prasangka rakyat negara ini bahawa wujud kerjasama antara Umno dan MHSB untuk menyalurkan dana pilihan raya kepada Umno.

“Jika keuntungan RM1.33 bilion itu disimpan oleh Maju Holdings Sdn Bhd, apakah perjanjian di antara Perdana Menteri dengan pemilik Maju Holdings Sdn Bhd yang diketahui umum penyokong kuat UMNO?

“Adakah wujud persefahaman agar keuntungan atas angin yang merampas dana rakyat itu akan disalurkan kembali kepada UMNO sebagai dana pilihanraya?

“Sejak akhir-akhir ini, keghairahan PM meluluskan urusniaga melibatkan kroni Umno-BN bernilai berbilion ringgit menguatkan syak wasangka rakyat bahawa harga yang tinggi yang dikenakan kroni merugikan rakyat.

“Tambahan pula, urusniaga dalam serba kerahsiaan dan tiadanya ketelusan boleh menguatkan lagi wasangka rakyat itu,” beritahu Rafizi.