Categories
NASIONAL

Rafizi: Majlis Hari Lahir PM Berjumlah Hampir RM80,000

SHAH ALAM,14 MAC : Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak digesa menjawab perbelanjaan  sekitar RM79,053 untuk satu majlis meraikan hari lahir beliau pada 24 Julai 2011 lepas dengan ikhlas dan telus demi menjaga integriti kerajaan.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli berkata berdasarkan Banquet Event Order (BEO) tersebut, tempahan  dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, walaupun ia jelas adalah majlis peribadi Perdana Menteri.

Berbanding dengan majlis pertunangan anak beliau, majlis ini dengan jelas menyatakan bahawa ia majlis peribadi Perdana Menteri.  Ini menimbulkan persoalan kenapa majlis pertunangan anak Perdana Menteri tidak dinyatakan secara jelas sebagai majlis peribadi, sebaliknya disebut sebagai “Majlis Pejabat Perdana Menteri”.

Pada hari Ahad 24 Julai 2011, Perdana Menteri telah mengadakan satu jamuan meraikan hari lahir beliau di Sri Perdana. Banquet Event Order (BEO) majlis tersebut menyatakan perbelanjaan sekitar RM79,053 untuk satu majlis meraikan hari lahir beliau; pecahannya seperti berikut:

Bufet untuk 100 tetamu @ RM207 setiap seorang         RM20,700

Band Syed Sobri @ RM7,300 + 6% cukai                          RM7,738

Band Batak @ RM5,000 + 6% cukai                                   RM5,300

Minuman 5 gallons @ RM750 + 6% cukai                         RM795

Gubahan bunga @ RM30,000 + 6% cukai                        RM31,800

Caj pengendalian @ RM12,000 + 6% cukai                      RM12,720

JUMLAH                                                                                  RM79,053

Majlis tersebut menyajikan 47 juadah antarabangsa termasuklah daging panggang yang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan Barat dan lain-lain.

“Saya memandang serius kenyataan-kenyataan penafian yang dibuat tanpa disertakan bukti berhubung dakwaan salah guna kuasa Perdana Menteri yang ditimbulkan mutakhir ini.  Walaupun saya mengalu-alukan kenyataan yang dibuat oleh Shangrila Hotel, ada dua aspek yang mempersoalkan ketelusan Perdana Menteri dalam berdepan dengan rakyat:

“Sehingga sekarang, tidak ada sebarang maklumbalas dari Perdana Menteri mengenai lapan bukti yang sewajarnya diberikan kepada rakyat agar sebarang keraguan dapat PKR dan Perdana Menteri seolah-olah merasakan kenyataan penafian oleh pejabat beliau dan Shangrila Hotel sudah memadai untuk memadamkan isu ini,” tegas Rafizi.

Menurut Rafizi, persoalan yang dibawa bukanlah semata-mata siapa yang menanggung kos majlis pertunangan tersebut, tetapi

ketelusan dan operasi Pejabat Perdana Menteri yang sewajarnya mengasingkan di antara kepentingan peribadi dan tugasan umum.

Perdana Menteri menjanjikan transformasi politik, ekonomi dan sosial sebagai jawapan kepada tuntutan rakyat agar rasuah dan salahguna kuasa pimpinan diperangi sehabis-habisnya; maka Perdana Menteri perlulah memberikan teladan yang baik bahawa segala urusan Pejabat Perdana Menteri bebas dari sebarang unsur salah guna kuasa dan pecah amanah.

Ini adalah piawaian integriti baru yang dituntut rakyat Malaysia.  Mungkin Perdana Menteri merasakan isu ini remeh, tetapi sikap Perdana Menteri menangani isu ini membayangkan sama ada beliau betul-betul ikhlas dalam menjalankan transformasi politik, ekonomi dan sosial negara.

“Sebab itu PKR berpendapat masih banyak persoalan yang belum dijawab dalam hal ini, terutamanya apabila dibandingkan dengan satu lagi majlis peribadi yang menggunapakai khidmat Shangrila Hotel,” tegas Rafizi.

Oleh yang demikian, tambah Rafizi, beliau ingin mengajukan soalan-soalan berikut kepada Perdana Menteri jika beliau benar-benar telus dan ikhlas untuk menjadi teladan kepada seluruh rakyat Malaysia:

1. Bilakah beliau akan mengemukakan lapan bukti yang disyorkan PKR agar nama beliau dapat dibersihkan?

2. Dalam masa lebih kurang satu bulan, Perdana Menteri membelanjakan setengah juta ringgit untuk dua majlis mewah di Sri Perdana.  Jika beliau bertegas ini dibayar oleh beliau sendiri, bagaimanakah beliau mampu berbelanja sedemikian rupa sedangkan pendapatan Perdana Menteri tidaklah seberapa?

3. Jika perbelanjaan mewah ini ditanggung oleh rakan taulan yang memberi tajaan, siapakah mereka ini dan apakah bukti Perdana Menteri bahawa sumbangan kepada majlis peribadi tidak mempengaruhi apa-apa keputusan beliau selama ini?

4. Wajarkah Perdana Menteri berbelanja besar sebegini untuk majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini? Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat.

Menurut Rafizi lagi, Perdana Menteri boleh sahaja tidak mengendahkan soalan-soalan ini, tetapi dengan bertanyakan soalan sebeginilah rakyat dapat membongkar pelbagai penyelewengan yang berlaku di dalam pengurusan dana awam NFC sehinggakan Barisan Nasional terpaksa tunduk kepada tekanan rakyat.

“Perdana Menteri membuat keputusan tidak menyambung tempoh perkhidmatan Shahrizat Jalil apabila persoalan moral bersabit integriti sebegini diajukan kepada Shahrizat Jalil.

“Apabila soalan-soalan yang sama diajukan kepada beliau sekarang, wajarlah beliau juga membuat “pengorbanan” seperti yang dilakukan oleh Shahrizat Jalil dengan menjawab satu persatu secara ikhlas dan telus, demi menjaga integriti kerajaan,” kata Rafizi.

Categories
NASIONAL

Shahrizat Letak Jawatan April ini

SHAH ALAM, 11 MAC : Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan meletakkan jawatannya sebagai menteri selepas tempoh perlantikannya sebagai senator tamat bulan April depan.

Shahrizat yang dilantik sebagai senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai Senator pada 8 April depan.

Beliau bagaimanapun hanya berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi masih kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Keputusan itu diumumkan oleh beliau dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Shahrizat meletakkan jawatan sebagai menteri selepas kontroversi panjang isu skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang diterajui suaminya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail.

Skandal NFC dalam projek lembah daging di Gemas, Negeri Sembilan itu turut mengaitkan dirinya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan kedudukan Shahrizat pada waktu yang sesuai ekoran pelbagai khabar angin mengatakan Senator itu akan meletakkan jawatan.

Sebelum ini, Shahrizat kelihatan berbincang dengan Najib beberapa ketika sebelum perdana menteri memberitahu perkara itu akan diumumkan tanpa mahu mengulas lanjut soal berkenaan.

Selain desakan banyak pihak termasuk pihak pembangkang, beberapa individu dalam Umno seperti bekas ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee juga menggesa Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan menjadi bebanan parti.

Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan menasihatkan bekas anggota parlimen Lembah Pantai itu agar “jangan sayang kepada jawatan.”

Sementara itu semalam, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli memfailkan saman balas terhadap Shahrizat.

Tujuan saman balas tersebut menurut Zuraidah dan Rafizi berikutan khuatir pihak plaintif mungkin mengambil keputusan untuk melengah-lengahkan perbicaraan atau menarik balik saman dalam masa terdekat untuk mengelakkan dokumen penting dan pemimpin tertinggi BN diseret ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Pada 19 Januari lalu Ketua Wanita Umno tersebut bertindak menyaman Zuraidah dan Rafizi kerana mengkaitkan beliau terlibat dengan skandal penyelewengan NFC.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rafizi dan Zuraida Fail Saman Balas Terhadap Shahrizat

PETALING JAYA 9 MAC : Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin hari ini memfailkan pembelaan berhubung saman RM100 juta yang dikemukakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap mereka.

Saman Shahrizat, yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita dan Komuniti menerusi Muhammad Shafee dan Co difailkan terhadap Rafizi dan Zuraida pada 19 Januari lalu berhubung dakwaan beliau terbabit dalam skandal Projek Fidlot Kebangsaan (NFC).

“Pendirian saya dan YB Zuraida sememangnya konsisten daripada awal lagi dan kita memang menunggu peluang untuk ke mahkamah bagi merungkai sedalam-dalamnya penyelewengan yang berlaku dalam NFC.

“Kerana setakat ini kita tidak dapat maklum balas yang memberansangkan daripada pihak audit mahupun jawapan-jawapan menteri,” ujar Rafizi dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini petang tadi.

Rafizi turut melahirkan kekhuatiran Shahrizat mungkin melengah-lengahkan atau membatalkan saman berkenaan ekoran risiko besar yang bakal timbul jika skandal tersebut dibicarakan di mahkamah nanti.

“Ini kerana beliau tahu jika ia diteruskan, semua pimpinan Barisan Nasional akan terheret ke dalam kes ini.

“Saya juga faham risiko yang dihadapi mereka bilamana kes ini diteruskan maka segala dokumen yang setakat ini dirahsiakan akan terdedah,” jelas Rafizi.

Sehubungan itu, Rafizi bertindak memfailkan saman balas terhadap Shahrizat terutamanya ke atas kata-kata berbaur fitnah yang diucapkannya ketika pembukaan Perhimpunan Agung Wanita Umno pada 30 November 2011 lepas.

“Saman ini bukan soal wang atau peribadi, sebaliknya ia sebagai memberi ruang bagi memastikan kes ini mendapat tarikh perbicaraan di mahkamah.

“Kalau kita defendan dan beliau plantif, beliau berpeluang untuk menangguhkan atau menggugurkan kes.

“Oleh itu, sekarang kita ingin menjadi plantif untuk memastikan kes ini tidak ditangguhkan pihaknya dan dibicarakan di mahkamah,” beritahu Rafizi sambil menambah sekurang-kurangnya kes penyelewengan berkenaan dibawa ke muka pengadilan setelah tidak diambil sebarang tindakan oleh Kerajaan Umno-BN.

Categories
NASIONAL

Anak Najib Tunang, Rakyat Bayar

PETALING JAYA 9 MAC : PKR hari ini mendakwa majlis pertunangan anak perempuan Datuk Seri Najib Abdul Razak di sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur yang bernilai hampir setengah juta ringgit dibiayai duit rakyat.

Bagi membuktikan dakwaannya itu, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendedahkan dokumen tempahan majlis bankuet di Hotel Shangri La yang bernilai RM409,767 yang bertarikh 17 Jun tahun lepas.

Menurut butiran pada dokumen tempahan majlis itu, akaun pembayar bil dan nama majlis dicatit sebagai ?Pejabat Perdana Menteri?.

“Hari ini kita mengemukakan bukti kukuh bahawa majlis tersebut sebenarnya dibiayai oleh rakyat Malaysia apabila keseluruhan urusan tempahan dan pembayarannya dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri.

“Booking Contact adalah Setiausaha Sulit Peribadi PM, Datuk Mohd Po’ad Jelani,” jelas Rafizi yang turut menjelaskan PKR terlebih dahulu melakukan semakan terhadap butiran dan individu yang terlibat dalam dokumen berkenaan untuk memastikan ianya boleh dipercayai.

Rafizi turut mengkritik tindakan Najib yang akhir-akhir cuba menonjolkan sikap kesederhanaan untuk memenangi hati rakyat menerusi program Menu 1 Malaysia tetapi pada masa yang sama, membelanjakan sejumlah wang yang begitu besar untuk satu majlis pertunangan.

“Bagaimanapun itu adalah hak peribadi mereka untuk mempunyai citarasa yang tinggi tetapi adalah memualkan apabila wang rakyat digunakan untuk memenuhi nafsu dan citarasa mereka,” ujar Rafizi sambil mendesak satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat segala penyelewengan yang didedahkan.

Sehubungan itu, Rafizi mohon Najib tampil memberi penjelasan dan sertakan bukti untuk menafikan segala dakwaan yang dikemukakan PKR hari ini.

Mengikut salinan dokumen berkenaan, tempahan itu menunjukkan secara terperinci setiap tempahan jamuan dengan kos jamuan VIP mencecah RM18,792 untuk 36 orang.

Sejumlah RM309,975 pula diperuntukkan untuk kos jamuan seramai 862 tetamu selain kos pengendalian sebanyak RM81,000.

Categories
NASIONAL

NFC: PKR Akan Heret Ramai Pemimpin BN Ke Mahkamah

PETALING JAYA 7 MAC: Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli akan mengemukakan pembelaan terhadap tuntutan saman berjumlah RM100 juta yang dikemukakan oleh Dato? Seri Shahrizat Jalil pada hari Jumaat ini, 9 Mac 2012 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Menurut Zuraidah, beliau dan Rafizi telah membincangkan secara mendalam mengenai strategi pembelaan sekiranya tuntutan saman ini diteruskan juga oleh Dato? Seri Shahrizat Jalil, selepas mahkamah mendengar pembelaan yang akan dikemukakan Jumaat ini.

“Antara lain, saya dan Saudara Rafizi bercadang untuk memanggil kesemua pimpinan kanan negara yang pernah terlibat di dalam membuat keputusan berhubung NFC atau pernah memberikan komen mengenai NFC untuk dipanggil sebagai saksi memberikan keterangan.

“Saya juga yakin bahawa apabila Dato? Seri Shahrizat Jalil dipanggil menjadi saksi dan disoalsiasat, beliau terpaksa mengaku bahawa beliau sendiri pernah menghabiskan masa di kondominium mewah yang dimiliki oleh keluarga mereka dan dibeli menggunakan dana awam.

” Itu menimbulkan persoalan besar sama ada beliau betul-betul tidak tahu menahu bahawa keluarga beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk membeli harta peribadi, seperti keterangan beliau di dalam tuntutan saman.” kata beliau melalui kenyataan media yang di keluarkan petang ini.

Menurut Zuraidah, pihaknya yakin rakyat Malaysia begitu teruja agar kes saman ini dapat dibicarakan secepat mungkin, supaya kesemua pimpinan kanan Barisan Nasional dapat diheret untuk memberikan keterangan.

Rafizi: Matlamat NFC Untuk Bekalan Daging Bukan Pasaraya

SHAH ALAM , 1 Mac 2012 : Tindakan NFC mempertahankan operasi perniagaan di Singapura bercanggah dengan matlamat penubuhannya bagi memastikan bekalan daging negara mencukupi dan tidak lagi perlu mengimpot dari luar negara.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi (NFC), Datuk Seri Salleh Ismail dalam mempertahankan operasi perniagaan di Singapura yang disiarkan dalam satu laman berita The Malaysian Insider disifatkan sebagai satu alasan yang tidak boleh diterima pakai oleh rakyat Malaysia, kata Pengarah Strategi Keadilan, Mohd Rafizi Ramli.

Salleh Ismail dalam laman berita yang disiarkan pada 1 Mac bertajuk “NFCorp Justifies Its Expansion Into Singapore? itu mempertahankan operasi perniagaan milik keluarganya di Singapura yang melibatkan tiga buah restoren dan sebuah pasaraya mewah yang sebelum ini dipercayai menggunakan dana awam sebanyak RM250 juta.

Beliau berkata Salleh Ismail turut memberikan alasan bahawa pasaran Malaysia untuk membeli daging dari NFC terlalu kecil serta tidak dapat memenuhi pengeluaran NFC, malah turut membayangkan hasrat NFC untuk membuka operasi di Indonesia dalam masa terdekat.

” Saya berasa kesal kerana alasan yang diberikan tidak dapat diterima akal oleh rakyat Malaysia. NFC sehingga sekarang masih gagal untuk mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan sebagai syarat untuk mendapatkan projek Pusat Fidlot Kebangsaan dan dana awam RM250 juta.” katanya dalam satu kenyataan kepada Selangor kini.

Rafizi menyifatkan perbezaan di antara sasaran yang ditetapkan mengikut dasar-dasar utama negara dan pencapaian NFC setakat ini ‘bagai langit dan bumi’.

Hal ini berdasarkan sumber rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di laman web dan sasaran pengeluaran daging yang ditetapkan kepada NFC iaitu sasaran rasmi JPV bagi Output pengeluaran daging mentah menjelang 2009 sebanyak 50,000 tan bagaimanapun pencapaian NFC sepanjang 2008 hingga 2010 hanya purata 400 tan setahun sahaja (berdasarkan purata 1,914 sembelihan setiap tahun, berat bersih daging 200 kg setiap sembelihan).

Manakala bagi Jumlah lembu yang perlu disembelih oleh NFC untuk memenuhi sasaran 40% permintaan daging tempatan, pencapaian NFC hanya Purata 6 ekor sehari sedangkan sasaran JPV sebanyak 800 ekor sehari (berdasarkan berat bersih daging 200 kg setiap seekor lembu, 300 hari operasi setiap tahun).

” Daripada perbezaan itu, NFC juga tidak ada hak untuk bercakap mengenai pasaran baru diluar negara selagi tidak memenuhi sasaran 40 peratus permintaan tempatan sepertimana tujuan NFC ditubuhkan sebelum ini,” katanya.

Menurut Razali lagi, beliau masih menunggu kenyataan rasmi dari NFC dan kerajaan untuk menjawab kenapa sejumlah wang rakyat dibenarkan dilaburkan dalam aktiviti perniagaan di luar negara yang tidak ada kena mengena dengan tujuan pembiayaan RM250 juta diluluskan.

Categories
NASIONAL

PKR: Usaha Jahat Pindahkan Wang Felda Pada BN

SHAH ALAM, 24 FEB: PKR melihat usaha kerajaan untuk menyenaraikan kepentingan warga Felda di pasaran terbuka sebagai usaha jahat untuk memindahkan wang rakyat Felda kepada kerajaan.

Ikuti kenyataan bersama Pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Biro Felda dan Orang Asli, Suhaimi Said.

Keputusan Kerajaan BN mengenepikan terus pandangan dan penyertaan Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang mewakili kepentingan peneroka dan kakitangan Felda bermakna proses penyenaraian Felda Global Ventures Berhad (FGVB) yang cuba dilakukan akan membelakangkan dan mengorbankan kepentingan penoraka dan kakitangan Felda.

Kerajaan BN memerlukan persetujuan KPF yang kini mempunyai pegangan 51% di dalam Felda Holdings Berhad (FHB) untuk memindahkan keseluruhan pegangan itu kepada FGVB yang ingin disenaraikan.

Keuntungan sebenar di dalam kumpulan Felda datang dari FHB, bukannya FGVB. Bagi tahun berakhir 31 Disember 2010 misalnya, perbandingan perolehan dan keuntungan kedua-dua kumpulan ini amat ketara.

FHB memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak RM760 juta berbanding FGVB yang hanya mencatat keuntungan RM366 juta.

Malah, bagi tahun-tahun berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, keuntungan sebelum cukai Felda Holdings Berhad melangkaui RM800 juta, iaitu RM804 juta (2009) dan RM819 (2008).

Rancangan jahat BN adalah untuk memindahkan syarikat-syarikat dan aktiviti perladangan yang menguntungkan di dalam Felda Holdings Berhad dari KPF (yang dimiliki peneroka dan kakitangan) kepada FGVB (yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan).

Melalui cara ini, suara peneroka dan kakitangan Felda dalam keseluruhan aktiviti perniagaan dan operasi Felda akan berkurangan, terutamanya apabila kerajaan menjemput pelabur-pelabur lain untuk turut serta membeli saham di dalam FGVB.

Anggaran PKR menunjukkan pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam aktiviti syarikat dan perniagaan Felda Holdings Berhad yang menguntungkan itu akan berkurangan dari 51% sekarang (turut menjadi pemegang saham majoriti) kepada sekitar 42.7% selepas disenaraikan (bertukar menjadi pemegang saham minoriti).

Walau bagaimana pun, keberanian peneroka-peneroka yang menggunakan hak mereka untuk menyekat penyerahan saham KPF di dalam FHB kepada FGVB dan kenyataan Tan Sri Isa Samad bahawa kerajaan akan menubuhkan sebuah syarikat khas (SPV) yang mengenepikan KPF bagi tujuan penyenaraian; kini menimbulkan beberapa persoalan:

1. Jika penyenaraian FGVB diteruskan tanpa melibatkan suntikan aset dari FHB akibat tindakan mahkamah peneroka, nilai penyenaraian adalah jauh lebih rendah iaitu sekitar RM3 billion sahaja, bukannya RM21 billion seperti yang diwar-warkan kerajaan;

2. Jika ini diteruskan, keuntungan dari penyenaraiaan dan dividen yang bakal diperolehi peneroka pada masa akan datang adalah jauh lebih rendah dari yang disebut-sebut oleh kerajaan sekarang;

3. Penubuhan SPV tersebut membelakangkan KPF dan menunjukkan sikap BN yang tidak menghormati suara peneroka dan kakitangan Felda. Kewujudan SPV itu dijangka akan digunakan untuk secara perlahan-lahan mengambil alih fungsi yang dimainkan oleh KPF; dan

4. Sebarang tindakan untuk menggunakan SPV tersebut bagi menyuntik aset FHB adalah bertentangan dengan undang-undang dan mengkhianati peneroka dan kakitangan Felda.

PKR merasakan cara terbaik untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku adalah secara berhadapan dengan peneroka dan kakitangan Felda. PKR bersedia membentangkan hujah-hujah dan analisa kami kenapa penyenaraian ini dikira tidak baik demi kepentingan peneroka dan kakitangan Felda.

Bersempena dengan budaya baru berdebat secara ilmiah yang semakin popular di Malaysia dan memenuhi citarasa rakyat, PKR melontarkan jemputan kepada Dato? Ahmad Maslan atau Tan Sri Isa Samad untuk turut serta di dalam debat ulung Felda membincangkan penyenaraian FGVB yang akan dianjurkan oleh PKR dalam masa terdekat.

Buat masa ini, sebarang maklumbalas negatif dari mereka berdua membayangkan ketidaksediaan mereka mempertahankan hujah BN di kalangan rakyat.

Categories
NASIONAL

Rafizi: SPRM Perlu Segera Siasat Muhyiddin

SHAH ALAM 12 FEB: Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyoal siasat Timbalan Perdana Menteri, Tan Muhyiddin Yasin berhubung skandal lembu Fidlot (NFC).

Menurut beliau, Muhyiddin seharusnya menjadi orang pertama dipanggil memandangkan beliau merupakan orang yang meluluskan dana RM250 juta kepada keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

“Isu pokok NFC adalah salahguna kuasa dan pemberian dana sebegitu besar pada keluarga menteri. Ini membenarkan lagi bagaimana amalan rasuah yang begitu menyerlah berlaku dalam kerajaan.

“Keduanya adalah wang negara dan wang rakyat berjumlah RM250 juta diserahkan kepada kroni yang tidak ada pengalaman langsung dalam bidang ternakan lembu.

“Saya rasa orang-orang Umno lebih faham tindakan Muhyiddin tersebut menyerahkan projek mega yang begitu besar kepada keluarga Shahrizat.” kata beliau.

Sehubungan itu beliau menyelar tindakan SPRM yang masih tidak memanggil Muhyiddin untuk di soal siasat sedangkan hal tersebut adalah perkara asas siasatan.

“Saya kira sekiranya SPRM mengambil tindakan terhadap Muhyiddin sekarang akan diberi persepsi oleh rakyat sebagai sudah terlambat.

“Saya tidak mahu memperkatakan sesuatu perkara yang tidak berfakta tetapi SPRM perlu bersikap profesional dan tidak memilih bulu.

“Janji BN dan tranformasi Najib akan dianggap sebagai hipokrasi sekiranya masih agensi-agensi kerajaan masih bersikap menjaga kepentingan pemimpin tertenyu.” kata beliau ketika di hubungi.

Pada 8 Februari lalu, Rafizi turut mendedahkan maklumat terbaru kepada pihak media berhubung dakwaan pembelian dua kondo mewah di Singapura oleh NFC bernilai RM34.6 juta.

Sehubungan itu pada sebelah petangnya pula Shahrizat dipanggil oleh SPRM untuk di soal siasat. Shahrizat sebelum itu telah mengambil cuti selama tiga minggu namun SPRM tidak mengambil sebarang tindakan menyiasat terhadap beliau.

Ketika ditanya kepada Rafizi kenyataan Muhyiddin bahawa BN tidak tergugat dengan serangan pembangkang kerana isu yang dibangkitkan membabitkan serangan individu beliau berkata kenyataan tersebut disebabkan Muhyiddin merasakan diri beliau tidak lagi selamat.

“Muhyiddin telah merasakan diri beliau tidak lagi selamat kerana orang Umno sendiri telah tahu agenda disebalik pemberian projek tersebut kepada keluarga Shahrizat.

“Lagi pun ini bukan isu individu, isu ini libatkan dana rakyat bernilai RM250 juta. Rakyat nak tahu kemana wang tersebut telah disalurkan dan apakah faedah yang dapat dinikmati oleh rakyat hasil dari sumbangan wang mereka keluarga menteri tersebut.” kata beliau.

Menurut beliau, gesaan Pakatan Rakyat supaya ditubuhkan suruhanjaya di raja untuk menyiasat isu NFC dianggap jalan terbaik.

“Inilah yang Muhyiddin takutkan kerana beliau bimbang dengan trand sokongan rakyat yang semakin menolak BN disebabkan pelbagai amalan rasuah dan salah guna kuasa amat berleluasa berlaku ketika BN memerintah negara.” kata Rafizi lagi.

Categories
NASIONAL

Rafizi: Dedah Perjanjian NFC Kepada Umum

SHAH ALAM, 10 FEB: Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Seri Muhyiddin Yassin diminta mengarahkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan NFC mendedahkan sepenuhnya perjanjian pinjaman RM250 juta itu kepada Umum.

 

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata tindakan tersebut amat perlu supaya rakyat dapat menghakimi kewajaran kerajaan meluluskan pinjaman dengan syarat yang sebegitu longgar.

 

Kenyataan beliau tersebut ekoran kenyataan Wan Shahinur Izmir Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif NFC yang mendakwa bahawa perjanjian pinjaman RM250 juta yang dimeterai NFC dan Kerajaan Malaysia tidak menetapkan syarat bagaimana
wang tersebut boleh digunakan.

 

Menurut Wan Shahinur lagi, NFC menggunakan alasan itu untuk menggunakan wang tersebut bagi tujuan peribadi termasuklah mengumpulkan harta yang mahal seperti kondominium, tanah dan kereta mewah.

 

Kata Rafizi kenyataan Wan Shahinur menimbulkan pelbagai persoalan antaranya;

 

1.Apakah hak menteri-menteri terbabit meluluskan pemberian wang sejumlah RM250 juta kepada keluarga menteri untuk dibelanjakan sesuka hati mereka?

 

2.Bagaimanakah dasar memberikan pinjaman yang longgar begini boleh menjamin projek negara seperti Pusat Fidlot Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan berkesan?

 

3.Berapa banyak lagi perjanjian-perjanjian pinjaman seperti ini yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada peminjam membelanjakan wang rakyat telah diberikan kepada syarikat-syarikat dan orang peribadi yang ada kaitan dengan pimpinan kerajaan?

 

4.Apakah pemilik dan pengurusan NFC yang terdiri dari kaum keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil memberikan jaminan peribadi (personal guarantee) dan mencagarkan harta peribadi mereka sebagai sebahagian dari syarat perjanjian pinjaman?

 

Katanya pendedahan yang dibuat Wan Shahinur tersebut mengukuhkan lagi gesaan Pakatan Rakyat bahawa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat skandal NFC kerana penyelewengan dan kecuaian yang berlaku melibatkan pimpinan tertinggi negara.

 

 

 


Categories
NASIONAL

PKR: NFC Perlu Beri Penjelasan bukan Upah NGO

SHAH ALAM, 23 JAN : Tindakan Perbadanan Fitlot Kebangsaan (NFC) yang cuba menutup pelbagai penyelewengan berhubung salah guna dana rakyat secara politik disifatkan sebagai tindakan menutup isu asal berhubung pemberian projek kepada kroni yang menjadi amalan Umno selama ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, pihak NFC seharusnya menumpukan sedikit masa untuk mengemukakan bukti bagi menafikan dakwaan yang dibuat berhubung penyelewengan dana rakyat oleh syarikat berkenaan yang gagal dilakukan sehingga hari ini.

Namun sebaliknya menurut Rafizi, NFC sejak kebelakangan ini dilihat menggunakan agenda politik dengan membawa masuk ‘kaki-kaki pukul’ seperti Perkasa untuk membela mereka.

Sementara itu menurut Ketua Penerangan PKR, Dr Mohamad Nur Manuty, pihaknya tidak menolak kemungkinan NGO yang digunakan untuk memberi kenyataan kepada media dibayar untuk berbuat demikian.

Ikuti berita lanjut melalui vedio dibawah.

Categories
NASIONAL

Rafizi: Enam Skop Audit Untuk Siasat NFC

SHAH ALAM, 19 JAN: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mempertikaikan kesungguhan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melantik firma juru audit untuk menyiasat dan membongkar penyelewengan dana rakyat yang berlaku di dalam NFC.
Menurut kenyataan medianya, Rafizi berkata juru audit yang di pilih tersebut perlulah memenuhi enam (6) skop utama.

1) Menyiasat proses membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan untuk memastikan tiada campur tangan politik dalam meluluskan projek NFC serta penganugerahan projek kepada keluarga menteri. Ini termasuklah menyemak semua minit mesyuarat untuk menentukan keterlibatan setiap menteri terbabit serta menilai sama ada projek NFC mempunyai daya komersil untuk dibiayai kerajaan.

2) Menyiasat proses pemberian dana kepada NFC oleh Kementerian Kewangan untuk menentukan ia mengikut prosedur Perbendaharaan dan amalan terbaik (best practices). Ini termasuklah menyemak setiap pengeluaran dana (loan drawdown) untuk menentukan bahawa ia menepati syarat perjanjian dan tidak ada penipuan dokumen semasa permohonan mengeluarkan wang dibuat;

3) Menyiasat setiap perbelanjaan oleh NFC untuk memastikan ia benar dan tepat (true and fair) dengan matlamat penubuhan NFC. Ini termasuklah memastikan bahawa setiap perbelanjaan adalah berpatutan, berpada-pada, diluluskan dan ada kena mengena dengan aktiviti penternakan lembu seperti yang dimandatkan kepada NFC;

4) Menyiasat setiap pemindahan wang keluar dari NFC kepada pihak ketiga untuk memastikan tidak ada unsur penyelewengan. Ini termasuklah menyiasat segala pembelian harta, penubuhan syarikat-syarikat lain, perbelanjaan oleh syarikat-syarikat lain yang ditanggung NFC dan segala operasi oleh pihak ketiga yang ditanggung atau berkaitan dengan NFC;

5) Menyiasat setiap pembelian aset oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil bermula dari tempoh kontrak dianugerahkan sehingga sekarang, termasuk pembelian atas nama peribadi untuk menentukan sama ada dana NFC telah digunakan bagi tujuan peribadi; dan

6) Menyiasat setiap pembayaran besar dan berkala oleh NFC dan syarikat-syarikat berkaitan keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil untuk menentukan latar belakang pembekal dan individu terbabit yang berurusan dengan NFC. Ini bertujuan memastikan dana NFC tidak digunakan bagi membiayai kegiatan politik Dato’ Seri Shahrizat Jalil atau mana-mana individu lain.

Menurut Rafizi, selain itu firma juru audit tersebut juga perlu membentangkan keputusan siasatan ketika sidang dewan Rakyat akan datang.

Dalam pada itu beliau juga bersetuju supaya sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk sebagaimana cadangan PAS dan DAP bagi menyiasat penyelewengan projek membabitkan RM250 juta wang rakyat tersebut.

Categories
NASIONAL

NFC: Rafizi, Zuraidah Sedia ke Mahkamah

SHAH ALAM, 19 JAN: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita Zuraidah Kamaruddin sedia ke Mahkamah untuk membuktikan segala pendedahan yang dilakukan berhubung skandal NFC adalah benar dan bukan bermotif politik.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan petang tadi, Rafizi berkata berdasarkan laporan berita internet hari ini bahawa Shahrizat Jalil telah mengemukakan saman menuntut pampasan RM100 juta terhadap beliau dan Zuraidah.

“Saya yakin bahawa semua pendedahan yang dibuat setakat ini adalah benar belaka kerana ia berdasarkan maklumat kewangan dan operasi yang dibocorkan dari dalam NFC sendiri.

“Sebelum memulakan siri pendedahan skandal, pasukan kami telah pun berbincang dengan peguam-peguam KEADILAN mengenai kemungkinan dikenakan tindakan saman.

“Oleh yang demikian, saya dan YB Zuraida Kamaruddin bersedia untuk berdepan dengan peguam-peguam Umno di mahkamah kelak.” jelas beliau.

Katanya peluang ini memang telah ditunggu-tunggu supaya kuasa mahkamah boleh digunakan untuk mencari kebenaran sejauh manakah berlakunya penyelewengan di dalam NFC, selain dari yang didedahkan setakat ini.

“Dato’ Seri Shahrizat Jalil juga perlu berdepan dengan mahkamah rakyat yang mual dengan pelbagai keborosan dan salahguna wang yang didedahkan setakat ini.

“Jika pimpinan Umno seperti Dato’ Seri Shahrizat Jalil beranggapan mereka boleh menutup mulut dan akal rakyat seperti saya dengan mengemukakan saman seperti ini, mereka tersilap besar.

“Peluang di mahkamah kelak akan digunakan sepenuhnya untuk membongkar lebih banyak penyelewengan dan bakal diikuti oleh lebih ramai rakyat.” kata beliau.