Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tegas sekat perjalanan rentas negeri

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Polis membuat pemeriksaan teliti terhadap semua kenderaan yang mahu melintasi sempadan negeri di semua sekatan jalan raya bagi memastikan tiada perjalanan rentas negeri yang bertujuan menyambut Aidilfitri dilakukan.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias menasihati mereka yang berhasrat untuk berbuat demikian agar tidak mencuba nasib.

“Mereka yang ingkar akan diarah berpatah balik. Kami tidak akan berkompromi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya sikap golongan ini juga mengganggu aliran trafik bagi kenderaan perkhidmatan penting kerana menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di sekatan jalan raya.

Ditanya mengenai aliran trafik di Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak yang merupakan laluan utama ke selatan, utara dan pantai timur, beliau berkata pergerakan di ketiga-tiga plaza tol terbabit adalah lancar setakat ini.

Beliau berkata polis turut mengadakan sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Bukit Mahkota dan Plaza Tol Skudai di samping jalan-jalan susur keluar di plaza tol di setiap negeri.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak setakat 6.30 petang tadi mendapati tahap pematuhan pengguna jalan raya adalah baik dan trafik juga lancar.

Kesesakan yang berlaku di plaza tol utama terbabit adalah berpunca daripada sekatan jalan yang dilakukan pihak berkuasa.

Seorang anggota polis yang sedang bertugas di Plaza Tol Gombak berkata rata-rata pengguna jalan raya ketika ini merupakan mereka yang perlu merentas negeri untuk ke tempat kerja.

“Hampir semua yang ditahan (untuk pemeriksaan) merupakan mereka yang bekerja merentas negeri dan mereka mempunyai surat kebenaran untuk berbuat demikian.

“Sekiranya terdapat daripada mereka yang lolos dalam usaha untuk merentas negeri. Ingatlah bahawa terdapat sekatan jalan raya yang ketat turut diadakan di susur keluar setiap negeri,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Permohonan rentas negeri ditutup – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan telah menutup permohonan perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung mulai hari ini, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut diambil selepas mendapati semakin ramai rakyat mengambil kesempatan pulang ke kampung tanpa alasan munasabah.

“Mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk menguat kuasa larangan ini dan semalam sebanyak 2,412 kenderaan telah cuba rentas negeri dan kita arahkan patah balik.

“Malah saya dimaklumkan kira-kira 1,300 orang beratur di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam untuk memohon surat kebenaran rentas negeri dan perkara ini tidak boleh diterima sama sekali,” katanya pada
sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata, rakyat perlu menjadikan pengajaran kes perjalanan rentas negeri melibatkan seorang wanita yang pulang dari Kuala Lumpur ke Kuala Krai sejak Jumaat lalu, sebelum disahkan positf Covid-19.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata wanita hamil yang disahkan positif apabila berkunjung ke klinik ibu dan anak di Kelantan, melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang, Selangor yang berada dalam kategori zon merah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPN: Pasukan khas kesan individu rentas negeri tanpa kebenaran

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Polis menubuhkan pasukan khas bagi mengesan individu yang melakukan pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut Aidilfitri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pasukan khas yang turut dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu ditugaskan untuk melakukan pemantauan di kawasan perumahan dan kampung di seluruh negara.

“Arahan telah dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Negeri untuk mengambil tindakan (pemantauan di seluruh negara).

“Polis ada rekod siapa yang telah mendapat kebenaran rentas negeri dan siapa tidak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata orang ramai yang ingin melakukan pergerakan rentas negeri perlu mempunyai alasan munasabah serta mendapat kebenaran pihak polis terlebih dahulu.

“(Pergerakan rentas negeri) boleh dilakukan tetapi perlu ada alasan yang wajar serta mendapat permit polis,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata sebanyak 1,175 kenderaan dikesan cuba merentas negeri pada Sabtu diarah berpatah balik.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk melupakan hasrat merentas negeri untuk balik kampung kerana ia sudah tentu menyusahkan diri sendiri apabila diarahkan untuk berpatah balik.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata tindakan kompaun kini boleh dikenakan oleh polis ke atas individu ditahan kerana merentas sempadan negeri tanpa kebenaran.

Pada 3 Mei, Ismail Sabri berkata orang ramai boleh membuat laporan polis jika terdapat pelanggaran Tatacara Operasi Piawai (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata tindakan ini dapat membantu kerajaan memastikan arahan dan SOP yang dikeluarkan, dipatuhi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

1,248 kenderaan diarah patah balik, degil mahu rentas negeri

SHAH ALAM, 17 MEI: Masih ramai lagi berdegil untuk melakukan perjalanan rentas negeri apabila 1,248 kenderaan diarah berpatah balik ketika cuba melepasi sekatan jalan raya semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah itu meningkat sekali ganda berbanding kelmarin iaitu 508 kenderaan.

“Ini bermakna lebih sekali ganda rakyat yang cuba curi-curi pulang ke kampung dengan pelbagai alasan. Jadi saya harap tak perlu cuba pulang ke kampung, lebih-lebih lagi Aidilfitri nanti.

“Setakat ini polis hanya mengarahkan berpatah balik tetapi jika dikenakan kompaun, sudah pasti kita yang rugi,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Namun beliau memberi peringatan kepada mereka yang mungkin terlepas sekatan pihak berkuasa untuk pulang ke kampung, bahawa mereka akan melalui sekatan untuk pulang semula ke rumah sama ada di Kuala Lumpur atau lokasi lain.

“Tiada jaminan bahawa mereka akan terlepas sekali lagi sekatan jalan untuk pulang semula sama ada ke Kuala Lumpur untuk kembali bekerja kelak,” katanya.

Ismail Sabri berkata menerusi tinjauan dilakukan Majlis Keselamatan Negara, ramai yang mahu kerajaan perketatkan perintah bukan melonggarkannya.

“Ramai kata kerajaan tidak boleh beri kelonggaran, tujuan adanya sekat untuk elak wabak merebak. Kita cuba untuk sekat, jadi jangan kita yang balik (kampung) ini jadi penyebar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai 132 individu ditahan kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

“Nampaknya setiap hari, mereka yang gagal patuh larangan dan SOP bertambah daripada satu ke sepuluh seterusnya meningkat 72 semalam dan hari ini meningkat kepada 132.

“Mungkin ramai anggap PKPB tidak tertakluk dalam mana-mana undang-undang. Justeru saya mohon setiap individu patuh kepada arahan dan SOP,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Suami isteri di negeri berbeza dibenar rentas negeri

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan, dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas negeri bagi membolehkan mereka berjumpa dengan keluarga.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mengambil keputusan untuk memberikan kelonggaran tersebut kerana difahamkan ada pasangan yang terpaksa tinggal berjauhan atas urusan kerja.

“Oleh kerana larangan perjalanan rentas sempadan negeri, ada suami yang dah tak berjumpa anak dan isteri selama dua bulan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen televisyen hari ini.

Sehubungan itu, beliau juga memohon supaya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dapat memberikan kelonggaran yang sama.

Menurutnya permohonan itu boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia atau hadir sendiri ke balai polis yang berdekatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: PKPB disambung, tak boleh rentas negeri balik kampung

SHAH ALAM, 10 MEI: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan sehingga 12 Mei  akan disambung sehingga 9 Jun, kata perdana menteri

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PKPB yang bermula 4 Mei lalu akan disambung empat minggu lagi.

“Ini bermakna, semua peraturan dan tatacara operasi piawai (SOP) yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuat kuasa sehingga 9 Jun.

“Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor dibenarkan beroperasi dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya dalam perutusan khas perdana menteri hari ini.

Beliau berkata,  ada beberapa perayaan utama dalam tempoh itu yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan.

“Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara,” kata beliau.

Perdana menteri berkata ziarah menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

“Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka,” katanya.

PKPB bermula 4 Mei lepas menyaksikan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan untuk beroperasi semula.

Manakala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan selama 47 hari bermula 18 Mac bagi membendung penularan virus Covid-19 dan setelah melalui empat fasa dengan peraturan yang ketat dan menunjukkan kejayaan dalam memastikan jangkitan Covid-19 semakin berkurangan.

PKPB dilaksanakan pula dengan kelonggaran tertentu tetapi perlu mematuhi SOP Kementerian Kesihatan (KKM).

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis kini benarkan rentas negeri guna pengangkutan awam, motosikal

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Pergerakan antara negeri menggunakan pengangkutan awam darat dan motosikal kini dibenarkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata untuk itu, pengangkutan awam darat perlulah mempunyai permit sah daripada pihak berkuasa.

“Orang ramai yang menggunakan kenderaan pengangkutan awam darat atau penunggang motosikal hendaklah mendapatkan kelulusan pengerakan antara negeri daripada polis melalui aplikasi Gerak Malaysia atau secara manual dari balai polis berhampiran.

“Kebenaran pergerakan antara negeri ini hanyalah untuk orang ramai yang terkandas di kampung yang ingin untuk kembali ke kediaman masing-masing atau mereka yang pergi dan balik bekerja sahaja,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pergerakan antara negeri bermula semalam hingga 10 Mei dimulai dengan Kuala Lumpur diikuti pergerakan pulang dari Perak, Johor dan Kelantan hari ini, manakala Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang (Sabtu) dan Selangor, Negeri Sembilan, dan Terengganu (Ahad).

Katanya, pemerhatian dan kajian di sepanjang lebuh raya dan jalan persekutuan hari ini mendapati pergerakan kenderaan berjalan lancar.

Sehingga semalam, sebanyak 143,516 permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia diluluskan oleh PDRM bagi mereka yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri.

“Orang ramai diingatkan agar sentiasa menjaga keselamatan diri serta mengamalkan jarakan sosial sepanjang masa, ” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bas ekspres, motosikal tidak dibenar perjalanan antara negeri

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Mereka yang terlibat dalam perjalanan rentas negeri bermula esok hingga 10 Mei ini tidak dibenar menggunakan perkhidmatan bas ekspres atau motosikal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata perkara itu telah dimuktamadkan oleh polis sebelum ini.

“Bagi perjalanan menerusi penerbangan pula perjalanan di Semenanjung Malaysia dibenarkan namun mereka yang mahu ke Sabah dan Sarawak perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui platform disediakan (kerajaan negeri) sebelum membeli tiket penerbangan,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sin hari ini.

Mengulas bilangan individu yang dibenar menaiki sesebuah kenderaan ketika perjalanan rentas negeri, beliau berkata peraturan mengehadkan kepada empat orang.

“Bagaimanapun, ia bergantung pada budi bicara petugas sekatan jalan raya yang membuat pemeriksaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh rehat sehari, dua jika jalan rentas negeri jauh

SHAH ALAM, 6 MEI: Kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada mereka yang melaksanakan perjalanan rentas negeri yang jauh untuk berehat sehari atau dua di negeri berkenaan, kata menteri kanan (kluster keselamatan)

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata namun sebaiknya individu terbabit digalakkan untuk pulang terus ke kediaman selepas selesai urusan rentas negeri dilaksanakan.

“Mulai esok melalui Gerak Malaysia, perjalanan rentas negeri bermula dengan Kuala Lumpur, jadi bagi mereka yang mungkin hendak ambil anak di kampung, boleh ambil dan kemudian kembali semula ke Kuala Lumpur.

“Kalau mereka ingin tinggal satu atau dua hari di kampung, mereka boleh rujuk jadual pergerakan dikeluarkan polis, contoh kalau perjalanan itu jauh dari Kuala Lumpur ke Perlis, mungkin tidak sempat nak balik (Kuala Lumpur) jadi kita benarkan,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Berikut adalah jadual pergerakan merentas negeri:

7 Mei 2020 – Kuala Lumpur

8 Mei 2020 – Perak, Johor, Kelantan

9 Mei 2020 – Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang

10 Mei 2020 – Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengingatkan orang ramai mematuhi beberapa perkara sepanjang perjalanan antaranya:

– Tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat

– Surau akan ditutup dan sebarang aktiviti solat jemaah tidak dibenarkan

– Hanya tandas awam sahaja dibenarkan beroperasi

– Kawasan tempat letak kereta hanya untuk tujuan rehat dan pengguna tidak dibenarkan keluar dari kereta kecuali ke tandas

– Stesen minyak hanya beroperasi dari 6 pagi hingga 12 malam sepanjang lebuh raya

– Pengguna adalah dilarang sama sekali untuk melakukan aktiviti berkumpulan ketika dalam perjalanan