Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wilayah Persekutuan, Selangor antara enam negeri dikenakan PKP

SHAH ALAM, 11 JAN: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meliputi tiga peringkat untuk tempoh 14 hari bemula 13 Januari.

Perdana menteri memaklumkan PKP dikenakan ke atas enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PKP Bersyarat pula dilaksana di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Sementara PKP Pemulihan (PKPP) dikuat kuasa bagi Perlis dan Sarawak serta akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka di tempat awam ketika tinjauan di ibu kota pada 9 Januari 2021. Foto BERNAMA

Beliau berkata PKP dikenakan ke atas negeri berisiko tinggi hasil penilaian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selain keupayaan khidmat kesihatan mencapai tahap maksimum.

Sementara itu, Muhyiddin berkata aktiviti sosial melibatkan perkumpulan ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan dan sukan berkumpulan tidak dibenarkan.

Menurutnya, hanya negeri di bawah pelaksanaan PKPP boleh melakukan aktiviti tersebut, tertakluk kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

“Pergerakan rentas negeri juga tidak dibenarkan di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga dilarang.

“Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini, operasi sekatan jalan raya akan mula berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam, 13 Januari 2021,” kata Muhyiddin.

Jelasnya, bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan terhad dalam radius 10 kilometer dan hanya dua anggota isi rumah dibenarkan untuk membeli barangan keperluan.

Tegasnya, individu yang melanggar larangan tersebut boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Genting tercetus selepas kes indeks rentas negeri – KKM

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Kluster Genting yang dikenal pasti baru-baru ini tercetus apabila kes indeks, iaitu seorang warga asing dari Bangladesh merentas negeri ke Genting Highlands, Pahang untuk melawat rakan-rakannya, seterusnya menjangkiti mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes indeks merentas dari Selangor ke Genting Highlands, Pahang.

“Kluster Genting dikenal pasti iaitu kes indeks seorang warga asing Bangladesh merentas sempadan negeri dari Selangor ke Genting Highland, melawat dan menjangkiti rakan-rakan.

“PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dikuatkuasakan di Amber Court, Ria Apartment dan Rumah Kongsi Kg Semaut,” katanya menerusi Twitter rasminya hari ini.

Pada 4 Disember lepas, Dr Noor Hisham memaklumkan kluster itu dilaporkan dikesan di Kuala Lumpur dan Pahang yang melibatkan Daerah Titiwangsa juga Bentong apabila kes indeks (kes ke-66878) dilapor positif pada 1 Disember hasil saringan tempat kerja.

Susulan itu, pada 9 Dis, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di ketiga-tiga kawasan membabitkan Apartmen Amber Court, Apartmen Ria dan Rumah Kongsi Kampung Semaut di Bentong, Pahang mulai 10 hingga 23 Disember ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

STFC: Rakyat Selangor disaran elak rentas negeri, daerah

SHAH ALAM, 11 DIS: Rakyat Selangor disaran tidak merentas negeri atau daerah susulan negeri ini dalam kategori zon merah yang masih terdedah dengan virus Covid-19.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata langkah itu dapat mengelak jangkitan kepada ahli keluarga memandangkan negeri ini mempunyai banyak kluster tempat kerja yang berisiko menjangkiti orang ramai.

“Lebih 90 peratus kes adalah dari kluster tempat kerja contohnya Seruling, Hentian, Teratai, Perigi, Bah Manggis, Usaha dan Sri Jujur.

“Meskipun kita tidak bergejala namun kita mungkin pembawa kerana terdedah kepada virus ini memandangkan Selangor masih dikategorikan dalam zon merah,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak merentas negeri atau daerah untuk pulang ke kampung dalam waktu terdekat.

“Kita perlu ingat Selangor masih negeri dalam zon merah kecuali Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor,” katanya.

Mulai Isnin lalu, kerajaan membenarkan pergerakan merentas daerah dan negeri di seluruh negara kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Categories
AGENDA NASIONAL

Nadma: Patuhi SOP ketika rentas negeri terutama kawasan banjir

KUALA TERENGGANU, 7 DIS: Kelonggaran sekatan jalan raya untuk rentas daerah dan negeri bermula hari ini bukanlah ‘lampu hijau’ untuk orang ramai pulang ke kampung terutama di kawasan banjir tanpa berwaspada terhadap pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata pihak berkuasa akan memberi tumpuan penguatkuasaan tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) untuk mencegah penularan pandemik itu.

Beliau berkata ekoran kelonggaran itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan pergerakan orang ramai yang tinggi hujung minggu ini, dan pihaknya akan bekerjasama meningkatkan pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Mungkin akan ada pergerakan balik ke kampung melihat keluarga di kawasan banjir serta bantuan sukarelawan dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan)… kita harap pergerakan ini tidak membawa musibah kerana niat datang untuk membantu tapi dikhuatiri bawa balik Covid-19,” katanya selepas mendengar taklimat pengurusan banjir di Bilik Gerakan Bencana Negeri (BGBN) hari ini.

Sementara itu di Kelantan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata kerajaan negeri bimbang kemunculan kluster baharu susulan jangkaan lebih ramai perantau pulang ke negeri itu nanti, memandangkan beberapa negeri termasuk Kelantan masih memiliki bilangan kes Covid-19 yang agak tinggi.

“Sekarang ini di Kelantan kita ada Kluster Huma di Pasir Puteh yang perlu dikawal, begitu juga di negeri-negeri lain masih ada kluster-kluster tertentu… kami risau jika ramai rentas negeri, akan berlaku penularan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Negeri Kelantan kepada 14 pemilik di Taman Wadi Iman, Pasir Genda hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas daerah, negeri dibenar bermula Isnin kecuali kawasan PKPD

SHAH ALAM, 5 DIS: Pergerakan rentas daerah dan negeri di seluruh negara dibenarkan bermula 7 Disember, kata menteri kanan keselamatan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu dikecualikan untuk kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Bermula Isnin (7 Disember), polis tidak lagi melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguat kuasa pematuhan tatacara operasi piawai (SOP),” katanya dalam sidang media hari ini.

“Perlu ada keseimbangan antara keperluan ekonomi dan menjaga kesihatan. Seperti yang kita tahu pada 31 Disember ini, PKP Pemulihan akan berakhir tetapi kita masih belum tahu sama ada akan disambung atau sebaliknya.”

Sementara itu, beliau berkata semua kenderaan dibenarkan membawa penumpang mengikut jumlah kapasiti tempat duduk kenderaan masing-masing.

Ismail Sabri juga berharap masyarakat terus menjaga keselamatan diri dan mengambil langkah pencegahan bagi mengekang penularan Covid-19.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan pertimbang cadangan benarkan guru rentas negeri

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Kerajaan bersedia menimbang untuk membenarkan guru dari Semenanjung yang bertugas di Sabah serta Sarawak dan sebaliknya pulang ke kampung memandangkan sesi persekolahan secara bersemuka dijadualkan hanya bermula awal tahun depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Rentas negeri ini ada pengecualiannya, selain kecemasan, bagi guru yang PJJ (perhubungan jarak jauh) memang kita benarkan pulang untuk menjenguk keluarga dengan kebenaran polis.

“Tetapi bagi yang bujang kita akan beritahu KPM (Kementerian Pendidikan) berbincang dengan PDRM supaya benarkan juga mereka balik dan tidak perlu berada di sana (tempat mengajar),” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan sesi akademik secara bersemuka untuk semua sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara ditangguhkan hingga Januari tahun depan berikutan penularan gelombang ketiga Covid-19.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra pada 3 Jun 2020. Foto BERNAMA

Sehubungan itu, aktiviti pembelajaran dan pengajaran hanya diadakan secara dalam talian.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sedang meneliti tatacara operasi piawai (SOP) bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi membenarkan aktiviti pelancongan antara kawasan hijau di negara ini.

“Sebagai contoh, orang Sabak Bernam nak melancong ke Pulau Langkawi atau sebaliknya, kedua-duanya kawasan hijau, jadi polis perlu sediakan surat kebenaran bagi menentukan mereka ini benar-benar dari daerah hijau, ini semua kita sedang kaji,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata mereka masih perlu mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan kerajaan termasuk jumlah individu yang dibenarkan di dalam sesebuah kenderaan jika melancong ke zon hijau yang terletak di negeri di bawah PKPB.

Jika kes Covid-19 di negeri berkenaan terkawal dan status bertukar kepada hijau, negeri itu akan dikeluarkan daripada senarai PKPB apabila tempoh penguatkuasaan tamat dan aktiviti pelancongan boleh dilakukan seperti biasa, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rentas negeri: Mohon jika perlu, usah beri alasan remeh – polis

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Orang ramai yang ingin membuat permohonan rentas negeri diingatkan supaya tidak memberi alasan remeh dan hanya melakukannya jika ada keperluan mendesak.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata dalam tempoh empat hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 Okt, sebanyak 1,587 permohonan rentas negeri diterima dan daripada jumlah itu, 1,555 permohonan diluluskan manakala bakinya ditolak.

“Kebanyakan permohonan merentas negeri untuk tujuan perubatan, kematian, urusan kecemasan dan keperluan lain yang kita rasa perlu dibenarkan.

“Bagi permohonan yang ditolak kerana mereka mengemukakan alasan remeh seperti ingin bercuti atau melancong di negeri lain, menghadiri kenduri kahwin selain menggunakan alasan mahu menghantar anak pulang ke kampung tanpa tujuan atau bukan kecemasan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas operasi khas pematuhan PKPB di kawasan Selayang Baru dan Sri Gombak, dengan tujuh individu dikompaun serta dua warga asing ditahan dekat sini, tengah malam tadi.

Arifai, bagaimanapun berkata pihaknya akan mempertimbangkan permohonan rentas negeri yang membabitkan ahli keluarga yang sakit tenat dan alasan lain yang dianggap munasabah.

Khamis lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata borang permohonan permit pergerakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dilaksanakan PKPB boleh diperoleh di balai polis atau dimuat turun melalui Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Borang yang lengkap diisi perlu diserahkan kepada balai polis berdekatan bagi mendapatkan tanda tangan ketua balai dan dicap bagi kegunaan sewaktu melalui sekatan jalan raya.

Pada 12 Oktober, Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 hingga 27 Oktober, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekatan rentas negeri, kerajaan jamin beri notis awal

SHAH ALAM, 6 OKT: Kerajaan akan memberi notis mencukupi sebelum mengenakan sekatan rentas negeri bagi mengelakkan ramai penumpang terkandas.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu bagi membolehkan orang ramai membuat
perubahan kepada jadual perjalanan mereka.

“Saya diberitahu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri pagi tadi membuat keputusan untuk menyekat pergerakan antara Sabah dengan Semenanjung, Sarawak dan Labuan berkuat kuasa mulai esok.

“Setelah berbincang dengan beliau, saya membuat keputusan untuk memberi lebih banyak masa sebelum sekatan ini dilakukan. Tarikh baru sekatan berkuat kuasa mulai 12 Oktober jam 12.01 tengah malam hingga 25 Oktober,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk mengehadkan majlis dan perhimpunan membabitkan orang ramai bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan akan mendapatkan input daripada Kementerian Kesihatan Malaysia terlebih dahulu sebelum melaksanakannya, termasuk cadangan mengadakan tatacara operasi piawai (SOP) tambahan jika perlu.

“Yang amat dikehendaki pada masa ini ialah kita semua mesti patuh SOP dan arahan dikeluarkan kerajaan. Petugas barisan hadapan akan dikerah semula ke tempat awam untuk memastikan pematuhan.

“Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat,” kata Muhyiddin lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPP: 10,000-15,000 saman trafik dikeluarkan setiap hari

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula pada Rabu yang antara lain membenarkan pergerakan merentas negeri, polis mengeluarkan 10,000 hingga 15,000 saman trafik setiap hari di seluruh negara atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata antara kesalahan ialah memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan melanggar lampu isyarat.

Ini menunjukkan tahap disiplin pemandu ketika di jalan raya masih rendah, katanya ketika menjadi tetamu dalam talian program ‘Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan: Raya atau Waspada’ terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Azisman turut mengingatkan mereka yang menerima saman trafik berkenaan agar melunaskannya dalam tempoh yang ditetapkan.

Mengulas persiapan JSPT bagi menangani pergerakan masyarakat selepas dibenarkan merentas negeri, beliau berkata selain pasukan respons yang akan digerakkan segera untuk memastikan kelancaran aliran trafik, JSPT setiap kontinjen juga meletakkan unit kereta peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal di setiap hentian rehat dan rawat di lebuh raya.

Mengenai aliran trafik di seluruh negara ketika ini, Azisman berkata keadaan masih terkawal serta tiada kesesakan lalu lintas dilaporkan.

Pada Ahad lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan dengan PKPP mulai 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

PKPP antara lain membenarkan pergerakan rentas negeri dan aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Rentas negeri, pelancongan domestik dibenarkan, patuhi SOP

SHAH ALAM, 7 JUN: Perjalanan rentas negeri mula dibenarkan pada 10 Jun ini kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun orang ramai diingatkan berwaspada sekiranya ibu bapa mereka adalah warga emas kerana golongan itu mudah terdedah kepada jangkitan.

“Justeru, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu bapa tinggal berjauhan di negeri lain boleh berbuat demikian. Cuma nasihat saya sentiasa jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung.

“Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori yang mudah terdedah kepada jangkitan. Walaupun kita seronok dapat menziarahi, tanggungjawab utama ialah melindungi mereka daripada dijangkiti Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di media utama.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata aktiviti pelancongan domestik turut dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tetapi masih mengamalkan norma baharu.

“Namun, bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, tunggu dulu kerana sempadan negara kita masih ditutup,” kata beliau.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekatan jalan raya diperketat, tiada cubaan rentas negeri

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Memasuki hari kedua Syawal, tiada lagi percubaan oleh pengguna lebuh raya untuk melakukan pergerakan rentas negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata kebanyakan orang awam yang menggunakan lebuh raya hari ini hanya bagi pergerakan dalam negeri.

“Kebanyakan kenderaan bergerak di dalam negeri dan daerah yang sama sahaja iaitu di bawah kawalan. Walaupun tiada percubaan rentas negeri tetapi sekatan jalan raya diperketatkan juga,” katanya kepada Bernama.

Tinjauan Bernama di plaza tol utama ibu negara iaitu Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak mendapati ketiga-tiganya dalam keadaan lancar selain tidak terlalu sibuk.

Azisman berkata pergerakan di ketiga-tiga plaza tol berjalan lancar termasuk yang diadakan sekatan jalan raya.

“Alhamdulillah, aliran trafik di ketiga-tiga sekatan jalan raya di plaza tol tersebut berjalan lancar, tiada kesesakan dan jumlah kenderaan sederhana,” katanya.

Selain itu, tinjauan Bernama mendapati pihak berkuasa turut menjalankan sekatan jalan raya di laluan masuk ke Kuala Lumpur dari arah utara dan pantai timur iaitu di Plaza Tol Jalan Duta dan Gombak.

Difahamkan polis berbuat demikian bagi mengenal pasti mereka yang mungkin telah melepasi sekatan jalan raya sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPN: Polis terus buru individu rentas negeri, lolos sekatan

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Polis terus memburu segelintir individu yang mengingkari arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan berjaya ‘meloloskan diri’ daripada sekatan jalan raya untuk merentas negeri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis mula mengenakan tindakan kompaun terhadap mereka yang ingkar PKPB, sejak sehari sebelum Hari Raya.

Beliau berkata mereka yang berjaya meloloskan diri merentas negeri sedang dikesan melalui pemeriksaan dilakukan di lokasi sekatan jalan raya seperti di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Jalan Duta, Plaza Tol Sungai Besi dan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

“Anggota saya yang bertugas di sekatan jalan raya juga digalakkan untuk mengenakan kompaun terhadap mereka yang ingkar PKPB.

“Sudah tiba masanya polis bertindak lebih keras terhadap perkara ini (individu rentas negeri) kerana sebelum ini kompaun tidak dikeluarkan atas budi bicara anggota bertugas,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata tindakan polis kemungkinan dilihat sebagai kejam kerana perlu bertindak menjaga keselamatan orang ramai.

“Apa jua cemuhan terhadap anak buah saya (anggota polis), saya terima dengan hati terbuka kerana tindakan diambil untuk kebaikan masyarakat sendiri,” katanya.

Mengenai kadar pematuhan orang ramai terhadap rentas negeri, beliau berkata kadar pematuhan orang ramai hampir mencapai 100 peratus, namun terdapat segelintir atau lebih kurang lima peratus masih ingkar arahan larangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, selain penugasan di sekatan jalan raya, beliau berkata terdapat juga pasukan pemantau melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan perumahan bagi memastikan masyarakat mematuhi peraturan ditetapkan untuk sambutan hari raya.

“Kami mendapati tiada kereta berkumpul di satu-satu rumah dan pergerakan kenderaan dalam daerah juga terkawal. Ini menunjukkan masyarakat faham dan mematuhi nasihat pihak berkuasa supaya melakukan kuarantin diri,” katanya.

-BERNAMA