Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Iringi Sultan Ke Majlis Tahlil, Yasin

SHAH ALAM 27 JUL : Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mencemar duli menyertai Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Sempena Hari Pahlawan sebentar tadi.

Majlis yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu turut disertai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selain kehadiran anggota tentera dan polis.

Majlis yang bermula kira-kira jam 12.45 tengah hari itu diketuai bacaannya oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Sejurus selesai bacaan tahlil dan yasin, beliau mengiringi baginda serta tetamu mengerjakan Solat Jumaat bersama ribuan jemaah yang lain.

Selain Menteri Besar, turut hadir mengimarahkan majlis tadi ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr. Yaakob Sapari, Dr. Ahmad Yunus Hairi selain Adun Hulu Kelang, Saari Sungib.

Categories
SELANGOR

Program Pembasmian Kemiskinan Dilakukan Secara Tender Terbuka

SHAH ALAM, 12 JUL : Kerajaan Selangor akan memberikan kontrak program pembasmian kemiskinan melalui tender terbuka.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pecahan kepada program pembasmian kemiskinan bernilai RM 28 juta akan dilakukan dengan adil dan betul.

“Program ini akan dilakukan dengan betul supaya tidak lagi menjadi tohmahan kepada mereka-mereka yang menyatakan kita tidak memberikan kontrak secara tender terbuka,” katanya ketika menjawab soalan daripada Saari Sungib (Hulu Kelang-PAS).

Sebelum ini, pelbagai pihak mempertikaikan pemberian kontrak membekalkan hamper Hari Raya dan Deepavali tidak dilakukan melalui tender terbuka.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk meletakkan program ini di bawah Pejabat Daerah bahagian Pembangunan Luar Bandar.

Katanya, penggunaan dana ini akan dibentangkan dan disebarkan secara meluas dan akan dipantau bagi memastikan ianya diberikan terus kepada pogram-program yang dirancang.

“Saya minta semua Adun-Adun dan Ahli Parlimen supaya bekerjasama untuk memantau dana ini dan menilai tentang kualitinya,” katanya yang juga Adun Ijok.

Categories
SELANGOR

Selangor Mahu Bangunkan Industri Air Bumi

SHAH ALAM 10 JULAI : Kerajaan Negeri sedang mengkaji projek perintis bagi membangunkan sumber air bumi Selangor bagi menyokong industri pembekalan air.

Projek itu dikendalikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama satu jawatankuasa khas dari Jabatan Mineral dan Geosains negeri (JMG) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) .

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr A. Xavier Jayakumar berkata kerajaan juga sedang mengkaji kaedah ‘river bank filtration’ serta beberapa cadangan telaga air bumi di Jenderam Hilir, Kampung Sungai Serai dan Bukit Badong.

“Bagaimanapun, pandangan teknikal berkenaan lokasi, kebolehlaksanaan projek, kos dan sebagainya sedang dalam penelitian dan perincian lanjut jawatankuasa khas tersebut,” katanya yang menjawab soalan Saari Sungib (Hulu Kelang-PAS).

Selain itu katanya, LUAS sudah menyediakan Peraturan-Peraturan Ekstraksi Sumber Air negeri yang sedang disemak di Kamar Undang-Undang negeri.

“LUAS juga mengarahkan semua pengekstrak sumber air bumi sedia ada untuk memasang meter bagi memastikan sumber air bumi yang diekstrak tidak melebihi kuantiti yang diluluskan dan ia dilaksanakan secara mampan.

“Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar berdasarkan peruntukan di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dilaksanakan sekiranya ekstraksi sumber air bumi yang dicadangkan adalah melebihi 4,500 meter padu setiap hari.

?Perkara ini adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar negeri,” jelasnya.

Beliau berkata pembangunan sumber air bumi perlu mengikut garis panduan teknikal seperti yang ditetapkan oleh JMG seperti ujian pengepaman, ujian analisis kualiti air bumi dan sebagainya.

Categories
NASIONAL

Protes Anti Lynas Berlangsung Secara Aman di Shah Alam

SHAH ALAM, 13 APR : Protes terhadap kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation berlangsung petang tadi di Dataran Bandaraya Shah Alam di sini sebagai sebahagian daripada himpunan anti-Lynas yang berlaku serentak di seluruh negara.

Himpunan yang di anjurkan Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada beberapa pemimpin tempatan bersama badan bukan kerajaan (NGO).

Demonstrasi aman itu dimulakan dengan laungan ‘Henti Lynas, Hidup Rakyat’ oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau di sokong oleh individu dari 31 badan bukan kerajaan (NGO) seperti Badan Bertindak Anti Nadir Bumi(Badar), Stop Lynas Coalition (SLC), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Asalkan Bukan Umno (ABU) dan lain-lain.

Dalam ucapannya, Mat Sabu menegaskan projek tersebut hanya akan membawa kemusnahan, kesan buruk kepada alam sekitar sekaligus menyebabkan penderitaan.

Beliau berkata, projek nadir bumi itu juga hanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu di samping merugikan rakyat.

“Ini bukan berkenaan kepentingan Umno-BN, tapi ia berkaitan hal kemanusiaan. Kita akan menentang projek ini secara berterusan kerana ia membawa kesan buruk dan berbahaya kepada rakyat,” katanya. 

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula mendedahkan syarikat yang menjalakan projek tersebut diberi hak istimewa dan kedudukan luar biasa sehingga tidak perlu membayar cukai selama 12 tahun walaupun menerima keuntungan berbilion ringgit.

Beliau turut menyelar tindakan kerajaan pusat yang seolah-olah lepas tangan terhadap keselamatan rakyat walaupun sudah sedia maklum projek bernilai jutaan ringgit itu akan menghasilkan sisa radioaktif.

“Kerajaan tidak akan menutup kilang ini sehingga kita membuktikan kilang itu tidak selamat. Nak buktikan macam mana lagi? Nak tunggu sehingga rakyat mati baru terbukti?

?Patutnya, kalau terbukti ia selamat, baru dibuka, bukan sebaliknya. Ada satu penjelasan yang boleh memberi penerangan kenapa kerajaan bertindak sedemikian rupa iaitu pihak-pihak tertentu telahpun menerima duit dan sogokan.

?Pada pandangan saya, mereka telah diberikan duit atau dijanjikan duit berterusan sehingga kerajaan tidak sanggup untuk menukar keputusan yang dibuat,” selarnya.

Turut serta dalam himpunan itu adalah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib dan Pengerusi Solidariti Hijau SeMalaysia, Zulkefly Mohamad Omar.

Juga hadir Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohamad Safwan Anang dan wakil ABU, Haris Ibrahim.

Himpunan yang sama turut berlangsung di 10 lokasi lain seperti di Pahang (Masjid Al-Fatah, Batu 3, Kuantan), Perak (Tapak kilang ARE Bukit Merah, Menglembu), Sarawak (Masjid At Takwa, Miri) dan Kelantan (Dataran Ilmu, Kota Bharu).

Lokasi lain yang turut terbabit adalah Negeri Sembilan (Taman Tasik Seremban), Kedah (Dataran Jam Besar, Sungai Petani), Johor (Masjid Daerah Batu Pahat), Melaka (Masjid Al Azim), Terengganu (Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu), Pulau Pinang (Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh).

Kilang bernilai RM700 juta di Gebeng, Kuantan oleh itu diusahakan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia.

Ia menimbulkan kontroversi kerana didakwa akan menghasilkan sisa radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.