Categories
AGENDA NASIONAL

Pekerja asing wajib buat saringan Covid-19 mulai 1 Januari 2021

SHAH ALAM, 24 DIS: Semua pekerja asing dalam pelbagai sektor diwajibkan menjalani saringan Covid-19 berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.

Menteri kanan keselamatan berkata kos ujian ditanggung sepenuhnya oleh majikan termasuk kuarantin dan rawatan jika pekerja tersebut dijangkiti virus.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan arahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) membolehkan tindakan undang-undang dan penalti untuk majikan yang ingkar.

“Kementerian Sumber Manusia mengesahkan seramai 49,248 pekerja asing sudah menjalani saringan melibatkan 1,990 majikan, namun masih ramai (majikan) enggan memberi kerjasama,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bermula 1 Disember, kerajaan mengarahkan semua pekerja asing menjalani saringan Covid-19 dan kos tersebut ditanggung sepenuhnya oleh majikan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan turut mempergiat pemeriksaan kediaman pekerja asing mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Categories
AGENDA NASIONAL

Kossan kesan pertambahan 563 kes Covid-19, kilang terlibat tutup hingga 30 Dis

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Kossan Rubber Industries Bhd mengesan pertambahan 563 kes Covid-19 pada 21 Disember dan kilang yang terlibat akan ditutup sehingga 30 Disember.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar sarung tangan getah itu berkata 7,000 lagi pekerjanya disaring untuk Covid-19 berikutan kenyataannya pada 16 Disember bahawa 427 kes positif dikesan di premis salah satu daripada kilangnya.

Syarikat berkenaan telah menjalankan saringan semula untuk para pekerjanya di premis kilang yang terlibat, katanya.

“Sebanyak 563 kes positif dikesan pada 21 Disember setelah saringan semula dijalankan.

“Berikutan usaha berterusan bagi mengurangkan, membendung dan mencegah penularan pandemik, premis kilang yang terjejas akan ditutup sehingga 30 Disember, 2020,” katanya.

Kossan berkata ia akan terus memantau situasi dengan rapat dan menjalankan saringan semula secara berterusan.

“Kami memandang serius situasi pandemik dan kesihatan awam dan akan memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak yang berkepentingan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pecca sahkan pekerja pengeluaran anak syarikat positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Pecca Group Bhd (Pecca) mengesahkan pekerja pengeluaran anak syarikatnya, Pecca Leather Sdn Bhd (PLSB) positif ujian Covid-19 dalam saringan yang dijalankan oleh syarikat baru-baru ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pecca berkata PLSB menjalankan saringan segera terhadap 597 pekerja serta mengesan kontak dan langkah-langkah kuarantin untuk mengurangkan penularan Covid-19.

“Selain itu, PLSB menguatkuasakan penjarakan fizikal dan langkah-langkah perlindungan yang dipertingkatkan, menyediakan tempat tinggal berasingan untuk pekerja yang tidak terjejas dan menjalankan aktiviti pembasmian kuman dan sanitasi di kawasan pengeluaran dan ruang awam.

“Bagi melindungi keselamatan pekerja dan kemudahan, PLSB turut memutuskan untuk menutup operasi aras pengeluaran dari 21-27 Disember, 2020,” katanya.

Sehingga 21 Disember, semua hasil ujian swab yang diterima menunjukkan 246 kes positif dan pekerja yang terjejas mendapat rawatan perubatan yang diperlukan, manakala kontak rapat menjalani kuarantin dan akan menjalani ujian selanjutnya.

Setakat ini, katanya tiada kes positif yang dicatatkan dalam kalangan pekerja yang bekerja di pejabat.

“Kos untuk ujian swab, langkah-langkah kuarantin dan proses pembasmian kuman dianggarkan sehingga RM500,000.

“Impak daripada penutupan operasi pengeluaran selama tujuh hari dijangka terhad kepada kurang daripada lima peratus daripada pendapatan tahun kewangan 2021 kumpulan,” katanya.

Pecca berkata sementara menunggu perkembangan lanjut dalam tempoh ini dan rundingan selanjutnya dengan Kementerian Kesihatan, PLSB menyasarkan untuk menyambung semula operasi pengeluaran selewat-lewatnya pada 28 Disember, 2020.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan wajib pastikan pekerja asing jalani saringan Covid-19 mula 1 Jan 2021

PUTRAJAYA, 21 DIS: Semua majikan diwajibkan untuk memastikan pekerja asing yang digajikan mereka menjalani ujian saringan Covid-19 bermula 1 Januari 2021 bagi menangani penularan pandemik itu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata kos bagi ujian saringan itu akan ditanggung oleh majikan.

“Bagaimanapun, bagi pekerja asing yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), ujian saringan boleh dibuat di klinik-klinik yang dilantik oleh Perkeso,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 dijangka dikuatkuasakan dalam masa terdekat dan mana-mana majikan yang gagal mematuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan diseru kerjasama saring Covid-19 pekerja asing – menteri

SHAH ALAM, 15 DIS: Majikan diseru memberi kerjasama untuk menjalankan saringan Covid-19 ke atas pekerja warga asing bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kegagalan berbuat demikian memberi kesan lebih besar termasuk kerugian apabila kilang mereka ditutup sekiranya pekerja didapati positif Covid-19.

“Kita meminta peguam negara untuk melihat perundangan yang ada supaya kita boleh ambil tindakan kepada majikan yang enggan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Kesihatan  (KKM) dalam membuat saringan Covid-19 terhadap pekerja.

“Kepada majikan, mereka tidak perlu tunggu sehingga tindakan diambil kerana apa yang kita buat adalah untuk kepentingan bersama supaya tidak berlaku jangkitan (Covid-19) dan penutupan kilang,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan hampir 17,000 pekerja asing di Wilayah Persekutuan, Labuan, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah disaring sejak 1 Disember lalu sehingga semalam.

Menurutnya, daripada jumlah itu 555 individu dikesan positif wabak manakala selebihnya negatif.

“Sebanyak 663 kilang atau industri terlibat dan 652 klinik bekerjasama dengan KSM dalam menjalankan proses saringan dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata seramai 888,342 pekerja asing di semua negeri terbabit diminta untuk menjalani saringan Covid-19.

Katanya, ia sebagai pelan tindakan dan mekanisme awal dilakukan KSM selepas kerajaan memutuskan supaya semua pekerja asing di negara ini perlu berbuat demikian.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Covid-19: Saringan bersasar sumbang peningkatan kes tempat kerja

SHAH ALAM, 15 DIS: Pertambahan kes Covid-19 melibatkan kluster tempat kerja di negeri ini susulan saringan bersasar yang dilaksanakan oleh majikan.

EXCO kesihatan awam berkata perkara tersebut sudah dijangka sekali gus menyaksikan Selangor terus mencatatkan kes harian tertinggi dalam negara.

“Selangor memiliki kilang dan industri paling banyak di Malaysia, termasuk pekerja asing. Apabila banyak saringan dibuat, maka lebih banyak kes baharu dapat dikesan,” kata Dr Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan dua kluster baharu di Selangor, termasuk satu jangkitan tempat kerja.

Kluster Tanjung Suria membabitkan pekerja kilang dikesan di Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor. Sementara Kluster Lestari dikesan sekitar Petaling, Hulu Langat, Klang dan Sepang selain Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Sebanyak 119 kluster berkaitan tempat kerja dilaporkan setakat 24 November. Daripada jumlah itu, 83 kluster masih aktif.

Pada 20 November, kerajaan mewajibkan semua pekerja asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan termasuk Labuan dan Sabah menjalani saringan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perlu buktikan negatif Covid-19 sebelum masuk Labuan

LABUAN, 7 DIS: Semua individu masuk termasuk penjawat awam dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang masuk ke Labuan menerusi laluan udara atau laut perlu menjalani saringan Covid-19 di tempat asal, tiga hari sebelum tiba di pulau bebas cukai itu.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Nurzalizah Kartika Abdullah berkata mereka perlu mendapatkan keputusan negatif dan berdaftar dengan aplikasi MySejahtera di tempat berlepas dan ketibaan.

“Pematuhan tatacara operasi (SOP) bagi syarat kemasukan ke Labuan adalah berdasarkan analisis risiko oleh Jabatan Kesihatan Labuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, mereka yang gagal menjalani saringan sebelum tiba di pintu masuk Labuan – Lapangan Terbang Labuan dan dua terminal feri – perlu menjalani calitan ujian Covid-19 dan akan dikenakan kuarantin sehingga keputusan dikeluarkan.

“Bagaimanapun, individu yang datang ke Labuan tidak perlu memohon permit daripada polis mulai hari ini memandangkan pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih diteruskan.

“Tetapi individu dengan sejarah perjalanan ke luar negara perlu mengemukakan perintah pelepasan oleh KKM dan diuji negatif Covid-19 sebelum dibenar masuk ke pulau itu,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Klang rekod 235 kes, majoriti saringan pekerja

SHAH ALAM, 7 DIS: Klang mencatatkan 235 kes baharu Covid-19, lebih separuh daripada 426 kes yang dicatatkan Selangor hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan kes tertinggi dicatatkan mukim Klang iaitu 163 kes yang kebanyakan hasil saringan pekerja.

Sementara Kapar melaporkan 72 kes melibatkan saringan pekerja, bergejala, kontak, kontak rapat, prakemasukan hospital dan prapekerjaan.

“Hulu Langat pada kedudukan kedua mencatatkan 91 kes meliputi Kajang 64 kes, Hulu Langat (15), Cheras (enam), Ampang (empat) dan dua kes import,” maklum jabatan itu.

JKNS menjelaskan Petaling mencatatkan 40 kes iaitu mukim Petaling (14), Damansara (11), Sungai Buloh (11), dan Bukit Raja (empat).

Manakala Gombak melaporkan 27 kes iaitu 24 di Batu, Hulu Kelang (dua) dan Rawang (satu). Sepang pula merekodkan 13 kes iaitu Dengkil (11) dan Labu (dua).

Kuala Langat mencatatkan 12 kes iaitu lapan di Telok Panglima Garang, Tanjung Dua Belas (tiga) dan Morib (satu). Tujuh kes di Kuala Selangor iaitu dua di Ijok dan selebihnya mukim Kuala Selangor.

Hanya satu kes dicatatkan di Hulu Selangor iaitu Serendah.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan Covid-19 pekerja kilang warga asing mulai esok

SHAH ALAM, 30 NOV: Saringan Covid-19 terhadap semua pekerja kilang warga asing akan dijalankan bermula esok, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai permulaan, ia tertumpu di kawasan berisiko tinggi di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Labuan, Pulau Pinang dan Sabah.

“Syarikat terlibat dikehendaki menyediakan stesen kuarantin (QS) dan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) bersesuaian serta menyediakan pengangkutan membawa pekerja ke lokasi terbabit.

“Syarikat juga perlu menanggung kos pengurusan QS dan PKRC, saraan makan minum, penginapan pekerja serta kos saringan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata pekerja yang dikesan positif ujian RTK-Antigen dan tiada gejala akan ditempatkan di asrama pekerja dengan pengasingan daripada mereka yang negatif.

“Pekerja positif ujian RTK-Antigen dan mempunyai gelaja ringan ditempatkan di PKRC manakala pekerja positif dengan mempunyai gelaja serius perlu dimasukkan ke hospital.

“Bagi pekerja disahkan positif melalui ujian RT-PCR pula perlu ditempatkan di PKRC atau dimasukkan ke hospital,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan pekerja asing di zon merah bermula 1 Disember

PUTRAJAYA, 28 NOV: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan melaksanakan Program Saringan Covid-19 Bagi Pekerja Asing secara bersasar berdasarkan lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing yang tinggi, bermula Selasa depan (1 Disember).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata bagi membolehkan program dijalankan secara komprehensif, saringan Covid-19 ini akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama klinik dan hospital swasta.

“Ujian saringan ini akan menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan kit ujian akan dibiayai oleh Perkeso.

“Majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital. Bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan,” katanya.

Beliau berkata ujian saringan ini akan dijalankan secara berjadual dan berperingkat dengan memberi tumpuan kepada daerah yang berisiko tinggi, di mana ia akan dimulakan dengan pekerja asing di Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa depan.

“Lain-lain daerah zon merah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang akan bermula pada 9 Disember depan manakala seluruh negeri Sabah, Labuan dan lain-lain daerah di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan bermula pada 16 Disember,” katanya.

Saravanan berkata program saringan ini merupakan kolaborasi di antara agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan ia dilaksanakan secara menyeluruh, yang meliputi aspek saringan, pemantauan dan pengurusan kes selepas ujian dijalankan.

Beliau berkata program ini akan dikuatkuasakan oleh KSM di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi mencegah penularan Covid-19 di kalangan pekerja asing.

Maklumat lanjut berkenaan program ini akan dikemaskini di Portal PSP (https://psp.perkeso.gov.my).

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel [email protected] atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Top Glove diarah saring, kuarantin 2,263 pekerja tinggal luar kawasan PKPD

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) diarah melakukan saringan Covid-19 ke atas 2,263 pekerjanya yang tinggal di luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah bergerak bagi mengelak penularan wabak tersebut di kawasan komuniti.

“Sebelum ini, mereka ada asrama pekerja lelaki serta perempuan dan rumah yang disewa di kawasan yang dikenakan PKPD tetapi ramai juga pekerja tinggal di tempat lain. Jadi kita sudah arahkan syarikat buat saringan kepada pekerja ini dan dikuarantin.

Penduduk di kawasan sekitar tidak perlu bimbang sebab pekerja Top Glove disaring dan ditempatkan di pusat kuarantin,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata kesemua pekerja Top Glove yang positif Covid-19 dihantar ke hospital manakala yang negatif dikuarantin di hotel ditetapkan iaitu Hotel Gold Coast, Kelang Sentral dan stadium di Pandamaran.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata sebuah pasukan petugas diwujudkan bagi menyelaras gerak kerja melibatkan proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove dianggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Dearah Klang, Majlis Perbandaran Klang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang.

“Pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan pasukan Task Force khas yang ditubuhkan akan sentiasa memantau dan membuat penilaian dari semasa ke semasa.

Kerajaan juga mengarahkan 28 kilang syarikat itu ditutup secara berperingkat bagi membolehkan pekerja menjalani saringan serta proses kuarantin dan sehingga semalam 20 kilang ditutup, tujuh kilang ditutup hari ini dan satu lagi kilang akan menyusul (ditutup),” katanya.

Beliau berkata sehingga 24 November, sebanyak 5,795 ujian saringan dilakukan daripada 11,215 jumlah keseluruhan pekerja dan seramai 2,684 kes positif di kawasan PKPD direkodkan.

“Semalam, jumlah kumulatif kes di seluruh negara adalah sebanyak 2,188 dan daripada jumlah itu, 1,623 kes direkodkan di Selangor dan sebanyak 1,511 merupakan kes positif Covid-19 daripada kluster yang melibatkan kilang Top Glove.

Jumlah kes di kilang Top Glove merupakan penyumbang jumlah tertinggi kes Covid-19 di Selangor dan seluruh negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kenal pasti lima kluster baharu, tiga lagi diisytihar tamat

PUTRAJAYA, 25 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima kluster baharu manakala tiga kluster diisytiharkan tamat hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif setakat ini sebanyak 169.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kluster yang tamat ialah Kluster Idaman melibatkan Daerah Petaling, Gombak, Titiwangsa dan Cheras; Kluster Bayu (Johor Bahru dan Muar), serta Kluster Bah Kota di Negeri Sembilan.

Beliau berkata kluster baharu yang dikenal pasti adalah Kluster D’Bajaru, Kluster Gangsa, Kluster Batu Tujuh, Kluster Tanjung Bunga dan Kluster Kerengge yang melibatkan Johor (dua kluster), Sabah (satu), Selangor (satu) dan Terengganu (satu).

“Bagi Kluster D’Bajaru, ia melibatkan Daerah Lahad Datu, Sabah. Kes-kes bagi kluster ini mula dilapor positif Covid-19 sejak 11 Nov lalu hasil saringan komuniti di dua kampung berisiko tinggi. Sehingga hari ini, sejumlah 609 individu disaring dengan 90 kes dikesan positif dalam kluster ini.

“Kluster Gangsa pula melibatkan Daerah Kuala Langat, Selangor. Kes indeks (kes ke-56,262) dilaporkan positif hasil saringan di tempat kerja pada 23 November lalu. Sehingga hari ini, sejumlah 78 individu disaring, dengan 30 kes dikesan positif melibatkan 29 bukan warganegara,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kluster Batu Tujuh melibatkan Daerah Batu Pahat dan Johor Bahru, dengan kes indeks (kes ke-54,703) merupakan kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dilaporkan positif pada 22 November lepas.

Beliau berkata sehingga hari ini, sejumlah 144 individu disaring dengan 13 kes dikesan positif bagi kluster tersebut.

Mengenai Kluster Tanjung Bunga, beliau memaklumkan ia melibatkan Daerah Johor Bahru, Johor, dengan kes indeks (kes ke-53,639) merupakan kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dilaporkan positif pada 21 Nov lepas.

Sejumlah 87 individu disaring, dengan 11 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini, setakat hari ni.

“Kluster Kerengga ini melibatkan Daerah Marang, Terengganu. Kes indeks (kes ke-49,709) dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 17 November. Sehingga hari ini, sejumlah 680 individu disaring, di mana enam kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan dengan pertambahan lima kluster itu, secara keseluruhan sebanyak 339 kluster dilaporkan setakat hari ini, manakala kluster tamat pula sebanyak 170 kluster.

Jumlah kluster aktif yang merekodkan pertambahan kes hari ini pula adalah sebanyak 40 kluster, katanya.

-BERNAMA