Categories
AGENDA NASIONAL

Pekerja asing beberapa negeri layak jalani ujian Covid-19 secara subsidi

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Semua pekerja asing yang merupakan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bekerja di beberapa negeri layak menjalani ujian saringan Covid-19 secara subsidi di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata tarikh kuat kuasa akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

Beliau berkata Sidang Khas MKN pada 20 November lepas memutuskan semua pekerja di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, wajib menjalani ujian saringan Covid-19.

“Ujian saringan yang menggunakan kaedah RTK Antigen ini perlu dijalankan di klinik atau hospital yang berdaftar sebagai Klinik Panel Program Saringan Kesihatan Perkeso (HSP). Direktori klinik panel boleh dirujuk di Portal PSP (https://psp.perkeso.gov.my),” katanya.

Katanya kos saringan itu hendaklah dibayar oleh majikan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan subsidi PSP daripada Perkeso.

Saravanan berkata Perkeso akan membuat bayaran subsidi sehingga RM60 bagi setiap ujian saringan Covid-19 yang dijalankan, dengan bayaran itu hanya dibuat sekali sahaja untuk setiap pekerja.

“Di samping itu, majikan perlu mengambil langkah proaktif dalam mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Sumber Manusia bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan program itu, katanya akan dikemas kini di Portal PSP Perkeso (https://psp.perkeso.gov.my), manakala sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Perkeso melalui e-mel [email protected] atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan saringan PKPD asrama Top Glove diketahui esok

SHAH ALAM, 22 NOV: Keputusan penuh saringan individu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) asrama pekerja Top Glove, Klang dijangka diketahui esok.

Ketua polis Klang Utara berkata ujian yang dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terhadap pekerja Top Glove serta penduduk selesai sepenuhnya semalam.

“Jadi kita memerlukan dua hari untuk mendapatkan hasil ujian semalam. Keputusan diterima berperingkat dan mereka yang jalani ujian awal sudah diterima.

“Sebaik menerima keputusan penuh, kita akan adakah perbincangan dengan PKD untuk tindakan lanjut terutama membabitkan saringan kali kedua,” kata Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, proses berkenaan berjalan lancar selepas semua pekerja dan penduduk memberi kerjasama penuh.

“Kita tidak alami sebarang masalah. Mereka faham kepentingan saringan ini sekali gus memudahkan pihak berkuasa,” katanya.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di asrama pekerja Top Glove Klang selepas Kementerian Kesihatan mengesan 215 kes positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 5,700 pekerja serta 1,200 penduduk sekitar dikenakan PKPD 14 hari dan perlu menjalani saringan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan PKPD asrama Top Glove dijangka selesai esok

SHAH ALAM, 21 NOV: Saringan Covid-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) asrama pekerja Top Glove, Klang dijangka selesai esok.

Pegawai daerah dan tanah Klang berkata hari ini saringan dijalankan terhadap pekerja lelaki kilang serta penduduk Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Sesenduk 21 Off Jalan Teratai.

“Semalam hampir 3,000 individu telah disaring dan 937 keputusan masih belum diterima.

“Keseluruhan individu menjalani saringan dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Klang seramai 4,167. Semua terlibat memberi kerjasama,” kata Mohd Zainal Mohd Nor kepada SelangorKini.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan PKPD di asrama pekerja Top Glove Klang selepas Kementerian Kesihatan mengesan 215 kes positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 5,700 pekerja serta 1,200 penduduk sekitar dikenakan PKPD selama 14 hari dan perlu menjalani saringan.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Sabah terus ‘diamuk’ badai Covid-19, kes aktif lebih 8,000

Oleh Melati Mohd Ariff

*Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai Covid-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta dunia dari 17 Oktober hingga jam 12.30 tengah hari, 23 Oktober.

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Sabah terus menjadi mangsa amukan badai Covid-19 dengan 578 kes atau 68.2 peratus daripada keseluruhan 847 kes baharu positif yang dilaporkan, sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 22 Oktober.

Daripada 578 kes itu, 155 kes adalah dari Kluster Penjara Kepayan yang pertama kali diumumkan pada 18 Okt dengan 49 kes awal. Setakat semalam, jumlah kes positif Covid-19 Kluster Penjara Kepayan adalah 582.

Kluster ini dikhuatiri akan terus melonjakkan jumlah kes harian di negeri di bawah bayu itu dan kebimbangan ini disuarakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun semalam.

Jumlah kes positif di Sabah dijangka meningkat mendadak susulan saringan daripada Kluster Penjara Kepayan yang giat dijalankan. Jumlah banduan di penjara tersebut sekitar 2,700 orang.

Selepas Sabah, negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan pertambahan sebanyak 164 kes (19.4 peratus dari jumlah keseluruhan kes) semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 20 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Mengumumkan perkembangan terkini Covid-19 di Malaysia semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan 847 kes baharu itu (lima daripadanya kes import), jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia kini menjangkau 23,804 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 juga meningkat melepasi angka lapan (8) ribu kepada 8,183 kes.

Di sebalik peningkatan kes baharu, sesuatu yang membanggakan adalah jumlah pesakit yang pulih terus menunjukkan prestasi tinggi. Semalam, 22 Oktober, seramai 486 orang lagi pesakit Covid-19 pulih. Jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah 15, 417 iaitu 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pada 18 Oktober, negara mencatat 701 kes pulih, yang tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda Malaysia.

Pecahan kes yang pulih semalam, mengikut negeri adalah Sabah (250 kes), Selangor (109 kes), Kedah (67 kes), Pulau Pinang (30 kes), Perak (13 kes), Johor (9 kes), Sarawak (6 kes) dan Terengganu (2 kes).

Kes kematian dan kes-kes lain

Sebanyak lima lagi kes kematian dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 22 Oktober. Kelima-lima kes iaitu tiga perempuan dan dua lelaki berlaku di Sabah. Ini menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia sebanyak 204 iaitu 0.86 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang rangkuman mingguan adalah 5 kes (22 Oktober), 6 kes (21 Oktober), 3 kes (20 Oktober), 3 kes (19 Oktober), 7 kes (18 Oktober) dan 4 kes (17 Oktober). Daripada 28 kes kematian dari 17 hingga 22 Oktober, sebanyak 27 dilaporkan di Sabah dan satu (1) di Selangor.

Sementara itu, 90 orang pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk rekod, kes baharu Covid-19 sepanjang rangkuman ini adalah 847 kes (22 Oktober), 732 kes (21 Oktober), 862 kes (20 Oktober), 865 kes (19 Oktober), 871 kes (18 Oktober) dan 869 kes (17 Oktober).

Untuk kes pulih pula yang dilapor, iaitu 486 kes (22 Oktober), 580 kes (21 Oktober), 634 kes (20 Oktober), 485 kes (19 Oktober), 701 (18 Oktober) dan 302 (17 Oktober).

Sementara itu, jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah sebanyak 465 kes termasuk 11 kes yang diumumkan semalam.

Landaikan R-Naught

“Usaha landaikan nilai R-Naught perlu kerjasama semua pihak”. Demikian kata Dr Noor Hisham Abdullah sewaktu mengadakan sidang media khas pada 18 Oktober lepas untuk menjelaskan nilai R atau R-Naught (Ro).

Ini bukan kali pertama beliau menyatakan betapa pentingnya mengawal nilai Ro. Pada 30 September, beliau membangkitkan kebimbangan yang sama.

Imej komputer yang dihasilkan oleh Nexu Science Communication bersama Kolej Trinity College di Dublin menunjukkan struktur model betakoronavirus, yang dikaitkan dengan Covid-19, dikongsi bersama REUTERS pada 18 Februari 2020.

Nilai Ro adalah kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Menurunkan nilai Ro kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Pada sidang media 18 Oktober itu, Dr Noor Hisham memberitahu wakil media gelombang ketiga wabak Covid-19 yang sedang melanda Malaysia sekarang adalah lebih mencabar.

Menurut beliau, nilai Ro pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September adalah 2.2, tetapi dalam tempoh empat minggu ianya berjaya diturunkan kepada 1.5.

Tegas beliau, usaha untuk melandaikan nilai Ro ini kepada kurang daripada 1.0, memerlukan kerjasama semua pihak.

Kluster dan status terkini kes Covid-19

Sehingga Khamis 22 Oktober, Dr Noor Hisham mengumumkan keseluruhannya terdapat 207 kluster yang direkod sepanjang berlakunya wabak Covid-19 di negara ini dan 108 sudah ditamatkan.

Setakat 22 Oktober 2020, masih terdapat 99 kluster termasuk enam (6) kluster baharu yang diumumkan semalam.

Perincian kes baharu yang dilaporkan KKM setakat pukul 12 tengah hari 22 Oktober, iaitu Sabah: 578 kes. Daripada jumlah itu, 223 kes daripada kluster sedia ada, termasuk enam (6) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Tinusa dan Kluster Sauh.

Di Selangor, daripada 132 kes, sebanyak 59 kes daripada kluster sedia ada, termasuk enam (6) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Jambu dan lapan (8) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Negeri Sembilan mencatat 38 kes dan 33 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Sofi. Di Wilayah Persekutuan Labuan, sebanyaj 29 kes dilaporkan. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat 23 kes termasuk satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bah Mutiara.

Di Perak, dilaporkan 14 kes; Pulau Pinang, 10 kes; Wilayah Persekutuan Putrajaya terdapat empat (4) kes; Kedah, tiga (3); Melaka, tiga (3) kes termasuk satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Umboo; Kelantan melaporkan tiga (3) kes; Pahang, dua.

Sementara itu, Terengganu, Johor dan Sarawak, masing-masing melaporkan satu (1) kes.

Pelbagai langkah kekang Covid-19

Peningkatan kes baharu positif Covid-19 membuatkan kerajaan melaksanakan pelbagai langkah untuk mengekang penularan ganas koronavirus ini.

Sabah yang kini pusat penularan Covid-19 dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri itu berkuat kuasa 13 hingga 26 Oktober.

PKPB kemudiannya diisytiharkan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa 14 sehingga 27 Oktober untuk memutuskan penularan Covid-19.

PKPB dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan berkuatkuasa 17 sehingga 30 Oktober.

Anggota polis dan tentera memeriksa penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Trend peningkatan kes positif Covid-19 di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Sabah, membuatkan kerajaan memperketatkan kawalan aktiviti pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan berkenaan.

Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan mengarahkan pekerja bagi sektor awam dan pekerja swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan tidak perlu untuk hadir ke pejabat dan hanya bekerja dari rumah.

Maksimum 30 peratus pekerja sektor awam dibenar berada di pejabat, mulau 22 Okt sehingga tamat tempoh PKPB.

Arahan ini melibatkan hampir 800,000 pekerja sektor industri dan hampir 200,000 ribu penjawat awam dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah.

Pengecualian diberikan bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang terlibat dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan.

Pekerja yang tinggal di kawasan zon merah amat disaran melakukan ujian saringan Covid-19, jika perlu bekerja di pejabat. Ini untuk memastikan pengesanan awal jangkitan Covid-19 bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu di tempat bekerja.

Saringan Covid-19 untuk pekerja asing

Sementara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kerajaan juga memutuskan pekerja asing membabitkan pengawal keselamatan dan pekerja binaan di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu menjalani semula saringan Covid-19.

Ini berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga asing khususnya kes membabitkan pengawal keselamatan di pusat beli-belah One Utama baru-baru ini.

Turut diwajibkan untuk menjalani ujian saringan itu adalah bagi mereka yang bergejala. Bagi pekerja dari zon merah yang perlu bekerja di pejabat, mereka juga amat disarankan untuk menjalani swab test.

Memandangkan kes baharu Covid-19 yang melibatkan pesakit yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah semakin meningkat dengan kemunculan juga kluster baharu, semua pengembara yang tiba dari Sabah wajib menjalani saringan kesihatan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa dan Domestik, diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh ketibaan, dipakaikan gelang (wristband).

Mereka juga perlu memantau kesihatan kendiri menggunakan Home Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera. Langkah ini bermula 11 Oktober sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Statistik global Covid-19

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia, setakat ini menghampiri 42 juta.

Setakat rangkuman mingguan ini, kes Covid-19 global sebanyak 41,992,013 (rangkuman minggu lalu 39,230,164 ) dengan 1,141,731 kematian (minggu lalu 1,103,724 kematian ). Jumlah pesakit sembuh ialah 31,184,436 (minggu lalu 29,410,149).

Amerika Syarikat masih di tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda pandemik Covid-19 dengan 8,661,651 kes (minggu lalu 8,219,088 kes). Angka kematian 228,381 (minggu lalu 222,754). Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

Seorang wanita mengenakan pelitup muka bagi mencegah penularan Covid-19 ketika berjalan di Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada 6 Ogos 2020. Foto REUTERS

India, di tempat kedua dengan 7,759,640 kes (minggu lalu 7,372,394 kes) dengan 117,336 kematian (minggu lalu 112,214 kes kematian).

Ini diikuti Brazil, dengan 5,332,634 kes (minggu lalu 5,170,996 kes) dan 155,962 kematian (minggu lalu 152,513 kematian).

Rusia merekod 1,463,306 kes (minggu lalu 1,369,313 kes) dan 25,242 kematian (minggu lalu 23,723 kematian).

Di samping empat negara di atas, terdapat 43 (minggu lalu 40) lagi negara mencatat lebih 100,000 kes Covid-19 antaranya Sepanyol, Argentina, Perancis dan Colombia.

Sementara China, di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-56 dengan 85,747 kes (minggu lalu 85,646 kes) dan angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 46 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes Covid-19.

Minggu ini Indonesia mencatat 377,541 kes (minggu lalu 353,461 kes) dan 12,959 kematian (minggu lalu 12,347 kematian). Filipina merekod 363,888 kes (minggu lalu 351,750 kes) dan 6,783 kematian (minggu lalu 6,531 kematian).

Singapura pula merekodkan 57,941 kes (minggu lalu 57,901 kes) dengan angka kematian kekal 28. Myanmar melaporkan 41,008 kes (minggu lalu 32,351 kes) dan 1,005 kematian (minggu lalu 765 kematian).

Jumlah kes positif Covid-19 di Thailand pula sebanyak 3,719 kes (minggu lalu 3,669 kes) dan angka kematian kekal 59.

Vietnam mencatat 1,148 kes (minggu lalu 1,124 kes) dan angka kematian kekal 35. Kes Covid-19 di Kampuchea minggu ini sebanyak 286 kes (minggu lalu 283 kes) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes Covid-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara Laos, 24 kes dan sifar kematian.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor, kakitangan istana jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM 16 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bersama lebih 100 kakitangan di Istana Bukit Kayangan dan Istana Mestika menjalani saringan Covid-19 pada 7 Oktober.

Menurut Facebook Selangor Royal Office, saringan dibuat berikutan kebimbangan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terhadap peningkatan kes baharu di Shah Alam dan Klang.

“Baginda dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut menjalani ujian saringan sebagai langkah
berjaga-jaga meskipun tidak bergejala dan tidak mempunyai kontak dengan individu berisiko.

“Orang Besar istana juga hadir melakukan saringan yang dikendali petugas Pejabat Kesihatan Daerah Petaling diketuai Dr Abdullah Shafie Muhamad di Istana Bukit Kayangan,” kata pejabat istana.

Kenyataan itu turut memaklumkan keputusan ujian yang diperoleh keesokan hari menunjukkan semua sampel adalah negatif.

Setakat semalam, Selangor mencatatkan 150 kes baharu Covid-19, kedua tertinggi selepas Sabah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri agama positif Covid-19, sedang jalani rawatan

SHAH ALAM, 5 OKT: Menteri hal ehwal agama kini menjalani rawatan Covid-19 selepas disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata keadaannya bertambah baik dan berterima kasih kepada petugas kesihatan yang prihatin terhadap dirinya.

“Saya berdoa semoga Allah SWT selamatkan dan sembuhkan rakyat Malaysia yang menghidap Covid-19 termasuk diri saya. Saya sayang anda semua.

“Patuhi semua tatacara operasi piawai (SOP) yang dikeluarkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara di mana jua anda berada,” tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai yang menghadiri majlis membabitkan kehadirannya antara 24 September hingga 4 Oktober supaya membuat saringan dengan segera.

Dr Zulkifli dilaporkan berada di Sabah untuk menghadiri beberapa program dan pulang ke Kuala Lumpur pada 24 September lalu.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan seorang individu disahkan positif Covid-19 setelah menghadiri satu mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada 3 Oktober.

Ketua pengarah kesihatan berkata individu berkenaan tidak mengalami sebarang gejala ketika itu dan kini dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian serta rawatan mengikut protokol sedia ada.

“Pengesanan dan siasatan kontak kepada individu sedang dijalankan, termasuk saringan gejala dan pengambilan calitan bagi pengesanan jangkitan Covid-19.

“Kontak rapat yang telah dikenal pasti telah diberikan Surat Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan (kontak),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Categories
AGENDA NASIONAL

APM sedia gerak lebih anggota bantu proses saringan Covid-19 di KLIA, klia2

PUTRAJAYA, 28 SEPT: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersedia menggerakkan lebih ramai anggota bagi membantu penyelarasan proses saringan Covid-19 untuk individu yang tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata 50 anggota APM kini bertugas di KLIA dan klia2 dan dengan keanggotaan lebih 4,000 orang, lebih ramai boleh digerakkan ke dua terminal berkenaan.

“APM sebagai barisan hadapan sedia membantu dan jika diperlukan kita akan tambah bilangan anggota kerana kita ada sumber manusia yang mencukupi,” katanya mengulas aduan dan laporan berhubung kesesakan di terminal lapangan terbang ketika proses saringan Covid-19 terhadap individu yang tiba dari Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu mengumumkan peraturan yang mewajibkan semua individu yang baru tiba dari Sabah menjalani saringan Covid-19 di pintu masuk bermula 27 Sept hingga 10 Oktober.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bil 1/2020 hari ini, Mohd Redzuan berkata APM juga boleh membantu menghantar pesakit dalam siasatan (PUI) dan pesakit bawah pengawasan (PUS) ke hospital atau pusat kuarantin.

“Jika ada yang dari Sabah ini dikesan sebagai PUS atau PUI, kita akan bantu hantar mereka ini menggunakan aset sedia ada,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tambah petugas, peralatan saringan Covid-19 KLIA, atasi sesak

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Jumlah petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan peralatan saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 akan ditambah bagi mengurangkan kesesakan proses saringan terhadap individu yang tiba dari Sabah.

KKM menerusi Twitter memaklumkan susulan terdapat aduan kesesakan proses saringan Covid-19, Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk menambah bilangan petugas dan peralatan bagi melancarkan proses saringan.

“Masalah kesesakan akan diselesaikan segera dengan penambahan peralatan dan petugas,” katanya.

Terdahulu, Dr Adham bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meninjau proses saringan Covid-19 yang dilakukan kakitangan KKM di KLIA dan klia2, awal pagi tadi.

Sementara itu, Malaysia Airports menerusi Twitter merakamkan penghargaan kepada Dr Adham dan Dr Noor Hisham terhadap dedikasi dan komitmen mereka bagi memastikan semua langkah keselamatan dan prosedur ujian berjalan lancar.

Pada Sabtu, Dr Noor Hisham berkata bermula semalam hingga 10 Oktober, individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani saringan Covid-19 serta diarahkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Categories
AGENDA NASIONAL

MB Kedah, 55 individu jalani saringan Covid-19

ALOR SETAR, 18 SEPT: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bersama 55 individu lain termasuk dua EXCO kerajaan negeri, hari ini menjalani ujian swab Covid-19 susulan kes positif membabitkan seorang individu, pada majlis dihadirinya Isnin lalu.

Dua EXCO berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Mohd Hayati Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wan Romani Wan Salim.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Kedah hari ini, turut menjalani ujian itu ialah kakitangan Pejabat Menteri Besar Kedah dan beberapa pimpinan PAS Kedah, yang juga hadir pada majlis penyerahan sumbangan bantuan daripada PAS, untuk penduduk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) daerah Kota Setar yang diadakan di Wisma Darul Aman.

Dalam kenyataan sama, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata, sampel ujian dihantar ke makmal Hospital Sultanah Bahiyah dan keputusan dijangka diperolehi esok.

Beliau memaklumkan Muhammad Sanusi tidak termasuk dalam senarai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19 terbabit.

Menurut Dr Mohd Fikri, definisi kontak rapat bagi kes Covid-19 adalah individu yang berada dalam jarak satu meter atau lebih dekat lagi dalam tempoh masa 15 minit atau lebih secara berterusan.

“Dalam kes membabitkan menteri besar, hasil siasatan yang telah dibuat oleh petugas Jabatan Kesihatan Negeri mendapati, beliau bukan merupakan kontak rapat kepada kes yang disahkan positif,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Fikri menjelaskan tidak ada halangan bagi Muhammad Sanusi untuk turun padang menjalankan tanggungjawab perlu selaku menteri besar, bagi membantu penduduk dalam kawasan PKPD secara pentadbiran Kota Setar atau Zon Melur di Ambangan Heights, Sungai Petani.

“Begitu juga bagi 55 individu lain yang menjalani ujian saringan hari ini kerana ujian itu sekadar ‘community test’ atau ‘surveillance test’ yang tidak menyebabkan mereka perlu dikenakan kuarantin atau dipakaikan gelang merah jambu. Bagaimanapun, amalan norma baru perlu dilaksanakan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis sedia wujud pasukan petugas khas kesan individu keluar PKPD

ALOR SETAR, 12 SEPT: Polis mungkin menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi mengesan penduduk yang keluar meninggalkan daerah Kota Setar sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dikuatkuasakan di daerah Kota Setar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Nor Azman Mohd Noor berkata buat masa ini pihaknya sedang memantau situasi dan jumlah kes positif wabak Covid-19, sebelum merealisasikan penubuhan pasukan khas berkenaan.

“Kita tengok dahulu sama ada individu yang keluar dari Kota Setar itu ada bawa jangkitan ke kawasan luar dari PKPD ini. Sekiranya ada, kita akan ambil tindakan terhadap individu itu kerana telah membahayakan orang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Justeru katanya, semua pihak diminta untuk kekal dalam kawasan selain mematuhi arahan dan tatacara operasi piawai (SOP).

Sementara itu, Nor Azman berkata pihaknya telah menambah dua lagi sekatan jalan raya di laluan keluar dan masuk antara Kota Setar dan Jabi, Pokok Sena yang menjadikan jumlah keseluruhan sekatan jalan di kawasan PKPD ialah sembilan.

Katanya, buat masa ini, jumlah anggota yang bertugas adalah seramai 350 orang termasuk dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan permohonan penambahan anggota polis di kawasan itu telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

“Unit pemantau buat masa ini kekal 21 kerana kami kekurangan anggota. Dalam tempoh dua, tiga hari ini kita akan pantau laluan utama yang menghubungkan sempadan Kota Setar dan apabila sudah stabil kita akan tengok pula laluan mana yang masih lopong termasuk laluan tikus,” katanya.

Sehingga hari ini, polis mengadakan sembilan sekatan jalan yang melibatkan kawasan di hadapan Restoran Haji Ramli Simpang Empat; Jalan Batas Paip, Kuala Kedah; hadapan Balai Polis Alor Janggus; hadapan Balai Polis Kepala Batas; Jalan Hutan Kampung; Tol Alor Setar Utara; Tol Alor Setar Selatan; Jabi (Pokok Sena-Alor Setar) dan Jabi (Alor Setar-Pokok Sena).

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri Dr Mohd Fikri Ujang yang dihubungi Bernama berkata seramai 5,700 individu disaring pada hari pertama PKPD Kota Setar.

“Saringan yang dilakukan adalah secara bersasar. Jumlah individu yang akan disaring bergantung kepada bilangan kes positif yang dikesan, iaitu kontak rapat kepada kes positif akan disaring termasuk kontak lain yang berpotensi untuk mendapat jangkitan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: 868,394 disampel Covid-19, saringan setanding Korea Selatan

SHAH ALAM, 16 JULAI: Seramai 868,394 individu disampel untuk Covid-19 di negara ini setakat hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu bersamaan 27.14 individu bagi setiap 1,000 populasi.

“Data awal di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan menunjukkan Malaysia menjalankan 1,577,417 ujian (rt-PCR dan RTK-Antigen).

“Bilangan ujian di negara ini setanding dengan negara Korea Selatan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata walaupun kapasti makmal untuk persampelan bertambah sehingga 37,000 sampel sehari namun kadar positif hanya 1.05 peratus.

“Ini bermakna hampir 99 peratus keputusan ujian Covid-19 yang telah dijalankan adalah negatif,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan 88,048 ujian Rapid Test Kit-Antigen dijalankan dengan 197 daripadanya dikesan positif Covid-19 setakat semalam.

“Daripada jumlah ini, 25,038 adalah saringan di semua pintu masuk antarabangsa termasuk Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2, Johor, Kedah dan Pulau Pinang dengan purata 357 orang disaring setiap hari,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Caj saringan atas permintaan, dari luar negara

SHAH ALAM, 3 JULAI: Caj bagi membuat saringan Covid-19 hanya dikenakan kepada pesakit yang minta untuk jalani ujian ke atasnya dan mereka yang baru pulang dari luar negara, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mengenakan caj kepada pesakit di bawah pengawasan (PUS), pesakit di bawah siasatan (PUI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (Sari).

“Walaupun kawasan itu diisytihar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan individu di situ juga disaring dengan tanggungan KKM.

“Caj hanya dikenakan kepada mereka yang kembali dari luar negara dan atas permintaan pesakit untuk disaring,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.