Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor pantas tangani Covid-19, SELangkah aplikasi pertama jejak kontak

SHAH ALAM, 28 OGOS: Selangor proaktif menangani penularan Covid-19 meskipun mencatat bilangan kes tertinggi dalam negara, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tersebut dibuat melalui sistem Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan penubuhan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

“SELangkah merupakan sistem menjejaki kontak rapat pesakit Covid-19 pertama di Malaysia yang sangat praktikal walaupun tanpa telefon pintar dan menghimpun data masuk keluar individu di sesebuah premis.

“Kerajaan Selangor sentiasa menitik beratkan kesejahteraan warganya. Inisiatif sebegini memberi ketenangan jiwa dan minda ketika kita masih diancam Covid-19,” tulisnya di Facebook hari ini.

Inisiatif SELangkah yang diumumkan pada 4 Mei lalu merekod 6.15 juta pengguna setakat 15 Julai, menghampiri jumlah keseluruhan rakyat negeri ini berjumlah 6.5 juta orang.

Pengguna juga boleh mendaftar masuk menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS) tanpa sebarang caj dengan memasukkan kod kawasan masing-masing.

STFC pula diketuai bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi memantau, mengawasi serta memberi pendidikan kepada rakyat berkenaan pandemik Covid-19.

Categories
AGENSI SELANGOR

SELangkah kesan bekas pesakit Covid-19, bantu Kerajaan Negeri salur bantuan

SHAH ALAM, 26 OGOS: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kini sedang membantu Kerajaan Selangor mengesan bekas pesakit Covid-19.

Pengesanan itu dilakukan apabila orang ramai mengimbas kod QR SELangkah sebelum memasuki premis atau bangunan kerajaan.

Tinjauan SelangorKini mendapati, pengguna perlu menjawab soalan ‘Kerajaan Negeri sedang menyampaikan bantuan bagi mangsa Covid-19. Adakah anda pernah disahkan positif Covid-19 bermula 1 Januari 2020?’.

Langkah berkenaan sekali gus membantu Kerajaan Selangor yang kini sedang mencari bekas pesakit wabak itu bagi membolehkan mereka menerima bantuan sebanyak RM1,000.

Pada 17 Ogos lalu, EXCO Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud menyeru supaya lebih ramai bekas pesakit dan ahli keluarga mangsa Covid-19 di negeri ini memohon bantuan khas RM1,000.

Bantuan khusus itu boleh didaftar melalui pautan www.selangorprihatin.com.

Sebelum ini, sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan kepada mangsa Covid-19 melalui pakej rangsangan yang diumum pada 1 April lalu mengikut beberapa syarat.

Antaranya warganegara yang bermaustautin di Selangor lebih lima tahun dan disahkan positif Covid-19 oleh hospital, klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ambil iktibar kewujudan kluster Sivagangga – STFC

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kes penularan tempatan sifar dicatatkan Selangor hari ini boleh dikekalkan sekiranya tatacara operasi piawaian (SOP) dipatuhi.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) mengingatkan masyarakat mengambil pengajaran terutamanya bagaimana kewujudan kluster Sivagangga.

“Amalkan norma baharu dan sebagai langkah keselamatan, sentiasa merekodkan pengunjung di premis atau kediaman masing-masing menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Hari ini satu kes baru dilaporkan melibatkan kes import bukan warganegara dan keseluruhan kes Selangor menaik ke 2,151,” katanya di Facebook hari ini.

Sementara itu, Bilik Gerakan Covid-19 negeri melaporkan kes hari ini membabitkan jangkitan dari Bangladesh.

Laporan turut memaklumkan hari ini merupakan kali ke-47 Selangor tidak merekodkan jangkitan tempatan sejak 18 Mac lalu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

SELangkah diperkasa, fungsi dikembangkan

SHAH ALAM, 13 OGOS: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) akan diperkasa berikutan kebolehfungsiannya dikembangkan lagi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua data dan operasi kini dikendalikan Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya, Selgate Corporation.

“Sebelum ini SELangkah dengan datanya di bawah jaminan Kerajaan Negeri tetapi kini data dan operasinya dikendalikan Selgate,” katanya di sini petang semalam.

Terdahulu, Amirudin menyaksikan majlis perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Corporation Noor Hisham Mohd Ghouth dan pengasas aplikasi berkenaan Dr Helmi Zakariah.

Sehingga Julai lalu, SELangkah digunakan kira-kira 7.3 juta pengguna dan diakses sebanyak 69 juta kali. Sistem itu dibangunkan bagi memudahkan penjejakan kontak jika berlaku jangkitan Covid-19.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor perkenal SELangkad, khusus untuk OKU

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor memperkenalkan kad SELangkad (Kad Selamat Melangkah) iaitu sistem pendaftaran masuk bagi orang kelainan upaya (OKU) ke premis perniagaan atau jabatan kerajaan.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penjaga premis hanya perlu meminta kad untuk mengimbas kod QR sekali gus memudahkan urusan pengunjung dalam kalangan OKU.

“Alhamdulillah atas komitmen kami, STFC perkenal SELangkad untuk mencapai UHC (perlindungan kesihatan menyeluruh) dengan memastikan tiada sesiapa ditinggalkan,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Dalam perkembangan sama laman Facebook SELangkah berkata kad tersebut diberikan secara percuma kepada golongan OKU di Selangor.

“Hari ini SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) maju setapak lagi menerusi pengenalan kad SELangkad yang merupakan kad fizikal dengan kod QR tersendiri untuk kegunaan warga OKU.

“Mereka tidak perlu lagi melakukan proses mengimbas kod QR yang sukar dilakukan terutama melibatkan OKU penglihatan,” katanya.

Pada 4 Mei lalu Selangor memperkenalkan aplikasi SELangkah bagi memudahkan proses menjejak kontak jika berlaku jangkitan wabak Covid-19.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya untuk diimbas pengunjung.

SELangkah hanya memerlukan maklumat nama dan nombor telefon tanpa mendedahkan data peribadi individu.

Hubungi skuad SELangkad di talian 014-3025655 untuk maklumat lanjut.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Kekal guna SELangkah kesan jangkitan Covid-19

KUALA SELANGOR, 4 OGOS: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dikekalkan meskipun kerajaan mewajibkan penggunaan MySejahtera di semua premis seluruh negara.

Dato’ Menteri Besar berkata keputusan menggabungkan kedua-dua aplikasi bagi menjejaki jangkitan Covid-19 dibincangkan bersama Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba.

“Kita kekalkan SELangkah kerana ia melengkapi MySejahtera, malah perbincangan awal dengan menteri kesihatan untuk menggabungkan kedua-dua aplikasi demi kesejahteraan masyarakat.

“Apa yang penting SELangkah akan terus mengenal pasti kontak rapat Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 di sini hari ini.

Media semalam melapor kerajaan akan mewarta kewajipan pengunaan MySejahtera di setiap premis seluruh negara melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Langkah itu susulan Kementerian Kesihatan berdepan masalah mengesan kontak rapat di premis yang tidak mempunyai rekod maklumat pelanggan sekiranya ada kes positif.

Aplikasi SELangkah yang digunakan di 77,470 premis dimanfaatkan oleh 6.15 juta individu setakat 15 Julai lalu, menghampiri jumlah keseluruhan rakyat Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lindungi rumah, keluarga dengan SELangkah sempena Aidiladha

SHAH ALAM, 31 JULAI: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) diperluaskan ke kediaman bagi melindungi keluarga terutama warga emas dan kanak-kanak daripada ancaman Covid-19.

Inisiatif susulan sambutan Hari Raya Aidiladha meliputi semua jenis rumah yang boleh didaftar melalui pautan www.selangkah.my dan pengguna bakal menerima kod QR.

“Lindungi ahli keluarga daripada jangkitan Covid-19 dengan daftarkan rumah kampung anda di mana-mana pelusuk Malaysia menggunakan SELangkah.

“Beraya dengan selamat, lindungi keluarga anda,” tulis Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor di Twitter malam tadi.

Sistem pendaftaran keluar masuk premis secara digital itu diumumkan pada 4 Mei lalu untuk pengesanan kontak bagi menangani penularan pandemik Covid-19.

Setakat 31 Mei lalu, aplikasi tersebut mencatat 10.7 juta penggunaan (log in) serta digunakan meluas di Selangor dan negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tidak pakai pelitup muka, pengguna SELangkah boleh lapor

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pengguna aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kini boleh membuat laporan sekiranya melihat ada individu tidak memakai pelitup muka di dalam mana-mana premis.

Ia boleh dilakukan apabila mereka mengimbas kod QR sebelum memasuki premis atau bangunan kerajaan.

Tinjauan SelangorKini mendapati, pengguna perlu menjawab soalan iaitu ‘Berapa orang yang anda perhatikan tidak bertopeng muka di sini?, kosong (0) atau 1-4 atau 5 dan lebih’.

 

Selain soalan berkenaan, pengguna juga akan diberi soalan, ‘Adakah orang di hadapan anda memakai pelitup muka (facemask) dengan betul (menutup hidung dan mulut)?’

Langkah berkenaan dilihat selari dengan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) yang kini sedang meneliti cadangan sama ada akan mengenakan denda RM1,000 atau penjara bagi individu yang tidak memakainya di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua hukuman itu sedang dipertimbangkan untuk dilaksanakan dan pengenalannya termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pada 15 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 6.15 juta individu sudahpun menggunakan aplikasi SELangkah dibangunkan Kerajaan Selangor.

Ia mula diperkenalkan 4 Mei lalu bagi menjejak jangkitan Covid-19 di mana-mana premis perniagaan atau pejabat bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya untuk diimbas pengunjung.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada telefon pintar? Boleh guna SMS ke SELangkah

SHAH ALAM, 19 JULAI: Sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) bagi mengesan penjejakan kontak pesakit Covid-19 boleh digunakan individu tidak mempunyai telefon pintar, kata pengasasnya.

Dr Helmi Zakariah berkata mereka tidak perlu mengimbas kod QR sebaliknya hanya perlu menghantar data seperti nama dan nombor telefon menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) apabila memasuki premis.

“Kita mewujudkan sistem SMS ekoran ada segelintir masyarakat tidak mempunyai telefon pintar. Justeru, apabila wujudnya sistem ini mereka tidak perlu menulis secara manual di kertas sebaliknya hanya ikuti panduan disediakan di poster SELangkah.

Dr Helmi memberikan penerangan berkenaan SELangkah memainkan peranan dalam membentuk jaringan data berkesan untuk membantu mengekang penyebaran wabak Covid-19 kepada wartawan Media Selangor di Pusat Operasi SELangkah, Kuala Lumpur pada 16 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Menariknya, mereka yang menggunakan sistem SMS itu tidak dikenakan caj kerana ia disokong dan ditaja penuh Telekom Malaysia,” katanya ketika ditemui Media Selangor baru-baru ini.

Dr Helmi berkata orang ramai tidak perlu bimbang mengenai keselamatan peribadi atau kerahsiaan data mereka terjejas kerana sistem SELangkah mematuhi sepenuhnya piawaian di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Beliau menggesa masyarakat terus menggunakan SELangkah dengan memberikan maklumat sahih bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan penularan Covid-19.

“Jika anda pemilik perniagaan, paparkan kod QR SELangkah di tempat anda, dan jika anda adalah pelanggan, pastikan peniaga tersebut menyediakan sistem SELangkah,” katanya.

Langkah penggunaan SELangkah menerusi SMS :

1) Taip kod kawasan (berbeza mengikut premis, kod terdapat di bawah kod QR)
2) Hantarkan ke 66399

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SELangkah dibangun bakat tempatan, terbukti penuhi kehendak pasaran

SHAH ALAM, 16 JULAI: Peluang menbangunkan aplikasi digital seharusnya diberikan kepada bakat tempatan yang berjaya di peringkat antarabangsa untuk manfaat masyarakat sesuai dengan kehendak semasa.

Dato’ Menteri Besar berkata kepercayaan diberikan Kerajaan Negeri terhadap Dr Helmi Zakariah dan pasukannya untuk mewujudkan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) terbukti apabila ia diimbas lebih 41 juta kali oleh 6.1 pengimbas sejak mula diperkenalkan.

“Kita rasa sangat bangga kerana beberapa insiatif dan usaha bagi menangani Covid-19 serta kesan sampingannya mengggunakan pendekatan digitalisasi mendapat sambutan baik.

“Bakat tempatan merupakan satu nilai yang sebenarnya sangat berkualiti dan baik cuma bagaimana arah serta iltizam politik juga sangat penting,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika diwawancara dalam program Agenda Awani malam tadi.

Berbanding aplikasi MySejahtera yang didakwa dibangunkan dengan usaha sama syarikat luar negara, SELangkah dilancarkan pada 4 Mei lalu bertujuan mengesan kontak jika terdapat kes Covid-19 di sesebuah premis turut digunakan di negeri lain.

Dengan hanya mengimbas kod QR menggunakan telefon bimbit dan mendaftar maklumat, akses sistem tersebut turut dikongsi bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

6.15 juta individu guna aplikasi SELangkah – MB

SHAH ALAM, 15 JULAI: Seramai 6.15 juta individu menggunakan aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) yang dibangunkan Kerajaan Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata angka berkenaan sekali gus menghampiri jumlah keseluruhan rakyat negeri itu yang berjumlah 6.5 juta orang.

“Oleh itu kita boleh beranggapan 95 peratus penduduk Selangor menggunakan aplikasi berkenaan, dan penduduk Kuala Lumpur adalah kedua tertinggi yang menggunakannya.

“Pada masa sama, 77,470 premis menggunakan sistem berkenaan di premis mereka dan 332 diimbas melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sesi penggulungan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Amirudin juga menegaskan data peribadi individu menggunakan aplikasi SELangkah dikawal sepenuhnya oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.

“MBI akan pastikan data-data ini menjadi hak milik Kerajaan Negeri dan hanya menggunakannya untuk tujuan pencarian kontak rapat Covid-19 sahaja,” katanya.

SELangkah mula diperkenalkan 4 Mei lalu bagi menjejak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya untuk diimbas pengunjung.

Ia hanya memerlukan maklumat nama dan nombor telefon tanpa mendedahkan data peribadi individu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

STFC latih lebih 30 petugas kesihatan, jejak kontak Covid-19

SHAH ALAM, 5 JUN: Pasukan Petugas Khas Covid-19 (STFC) melatih lebih 30 kakitangan kesihatan sejak 20 Mei lalu untuk mengesan penjejakan kontak melalui Aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dengan keupayaan itu sehingga kini lebih 250 carian dijalankan daripada 14 juta log pengunjung yang mendaftar menerusi aplikasi tersebut.

“Untuk tempoh permulaan, carian kontak ini menggunakan dua sistem iaitu SELangkah dan MySejahtera Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Justeru, dalam masa terdekat pengguna boleh menggunakan aplikasi dikendali kementerian untuk mengimbas Kod QR SELangkah selain menggunakan kemudahan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata penguatkuasa dari pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan juga boleh menggunakan sistem berkaitan bagi tujuan pemantauan dan audit kepatuhan tatacara operasi piawai pembukaan ekonomi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Kerajaan Negeri berharap dengan usaha ini akan memudahkan urusan petugas barisan hadapan menjejak kontak sekali gus melancarkan kegiatan ekonomi ketika situasi pandemik,” katanya.