Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor antara lima negeri pindahkan lebih 1,000 penduduk akibat banjir

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Hujan lebat di lima negeri mengakibatkan lebih 1,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kediaman mereka dilanda banjir.

Di Melaka, seramai 590 orang daripada 155 keluarga di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah ditempatkan di sembilan PPS pagi ini berbanding 493 orang daripada 130 keluarga tengah malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol Cuthbert John Martin Qudra dalam kenyataan berkata daripada sembilan PPS itu, tiga daripadanya adalah di Melaka Tengah yang menempatkan 257 orang daripada 60 keluarga, tiga di Jasin yang menempatkan 182 orang daripada 48 keluarga serta tiga lagi di Alor Gajah yang menempatkan 151 orang daripada 47 keluarga.

Di Selangor, 267 orang ditempatkan di empat PPS setakat 5.30 pagi tadi selepas sembilan kawasan mengalami banjir kilat susulan hujan lebat sejak petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis dalam kenyataan berkata 200 orang daripadanya ditempatkan di PPS Surau Abadi, PPS Balai Raya Kampung Salak Tinggi (17) dan PPS Bukit Tampoi (12) kesemuanya di Sepang manakala 31 orang lagi dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Dato Hamzah, Klang.

Selain itu, tujuh orang dari dua rumah di Jalan Batu Bata, Bukit Kemuning di Shah Alam terpaksa berpindah ke rumah saudara berhampiran ekoran air banjir naik setinggi kira-kira 0.6 meter.

Di Kedah, 162 orang daripada 39 keluarga di Kuala Muda, Sungai Petani ditempatkan di tiga PPS setakat 8 pagi ini iaitu di Dewan Kampung Bukit Belah, Surau Taman Kenari serta Masjid Al-Huda di Kampung Jerung.

Ketua Bahagian Operasi Bencana APM Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah dalam kenyataan berkata PPS Dewan Kampung Bukit Belah dibuka pada 11.32 malam tadi, PPS Surau Taman Kenari dibuka pada 1.30 pagi manakala PPS Masjid Al-Huda dibuka pada 12.30 tengah malam.

Di Negeri Sembilan, sebuah PPS di Balai Raya Kampung Permatang Pasir, Port Dickson, dibuka pada 11.35 malam tadi bagi menempatkan 25 orang penduduk dari kawasan Pusat Darul Widad.

Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor dalam kenyataan berkata PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mohd Said, Nilai masih beroperasi bagi menempatkan sembilan orang dari Kampung Tanjung, manakala lima orang dari Kampung Pedas, Rembau pula dipindahkan ke kediaman keluarga terdekat.

Di Perak, hujan lebat berterusan menyebabkan 14 orang daripada tiga keluarga di Kampung Sungai Temelok, Taiping dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Temelok susulan banjir kilat melanda kawasan itu awal pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, PPS itu yang dibuka pada 3 pagi tadi menempatkan 10 wanita dan empat lelaki.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

88 klinik, fasiliti kesihatan swasta di Selangor tawar vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 18 OKT: Warga Selangor yang mahu mendapat suntikan vaksin Covid-19 boleh membuat tempahan di 88 klinik atau fasiliti kesihatan swasta di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata individu berkenaan perlu menghubungi fasiliti terpilih terlebih dahulu bagi mendapatkan tarikh janji temu.

Menerusi info grafik dikongsikan di Facebook, Amirudin memaklumkan kaedah itu ditawar kepada golongan dewasa yang baru mendaftar dan belum mendapat janji temu selain mereka yang terlepas suntikan dos pertama atau kedua.

Semua klinik dan fasiliti kesihatan swasta melibatkan daerah Petaling (22), Hulu Langat (18), Gombak (13), Kuala Langat (sembilan), Klang dan Sepang (lapan) manakala Kuala Selangor dan Sabak Bernam (tiga).

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan memaklumkan penduduk di Lembah Klang yang belum menerima janji temu vaksinasi Covid-19 atau melengkapkan dos kedua boleh mendapatkan imunisasi secara percuma di 98 klinik swasta terpilih atau klinik kerajaan.

 

 

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan Covid-19 di Selangor turun sedikit, catat 1,163 kes

SHAH ALAM, 15 OKT: Selangor mencatat 1,163 kes baharu Covid-19 hari ini, turun sedikit berbanding
1,630 semalam.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan daripada jumlah itu 1,084 kes merupakan jangkitan dalam komuniti.

Mengikut data dikongsi jabatan itu, Hulu Langat mencatat kes harian paling banyak dengan 244 diikuti Klang 214, Gombak (137), Kuala Langat (116) dan Sepang (113).

Petaling pula merekodkan 93 kes, Kuala Selangor (74), Hulu Selangor (57) dan Sabak Bernam (36).

Data yang dikongsi menerusi Facebook itu juga memaklumkan tujuh daripada keseluruhan kes mendapat jangkitan dari luar negara manakala 72 kes dalam penjara/lokap.

Sementara itu ketua pengarah kesihatan memaklumkan sebanyak 7,420 jangkitan baharu Covid-19 direkodkan hari ini, menurun berbanding 8,084 kes dicatatkan semalam.

Data dikongsi Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook itu menunjukkan jumlah keseluruhan jangkitan wabak kini mencecah 2,377,033 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN: Selangor lebih awal laksana sistem FTTIS

SHAH ALAM, 13 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor berkata negeri itu lebih awal melaksanakan sistem FTTIS (kenal pasti, uji, kesan, kuarantin dan sokong) yang bakal dilaksanakan kerajaan persekutuan bagi mengawal penularan Covid-19.

Pengarahnya berkata Kerajaan Negeri lebih awal menyahut tuntutan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam melaksanakan sistem berkenaan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), lapor Malaysia Gazette.

Azli Yusof menjelaskan walaupun agak terlewat, pihaknya menyambut baik langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu yang terbukti banyak membantu mengawal penularan wabak khususnya di Selangor.

“Data dan maklumat diperolehi FTTIS sangat berguna untuk mengenalpasti dan mengawal penularan wabak secara bersasar dan berkesan.

“Ia juga membolehkan kerajaan negeri melaksanakan program pemberian vaksin secara menyeluruh melalui program Vaksinasi Selangor (Selvax) kepada rakyat Selangor sekali gus membantu kerajaan persekutuan mencapai sasaran imuniti kelompok dengan kadar segera,” katanya.

Azli menambah Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) yang terdiri dari pakar perubatan berkaitan telah lama mendesak, memberi nasihat dan advokasi agar KKM memberi keutamaan dalam melaksanakan FTTIS dengan kadar segara.

Ahad lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM bakal melaksanakan sistem yang dapat digunakan sepenuhnya dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Katanya, sistem yang dituntut WHO itu akan mengurangkan masa antara mereka yang didapati positif Covid-19 sehinggalah menerima rawatan atau pemantauan daripada KKM.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

98 projek tangani banjir Selangor di bawah RMK12 diluluskan

SHAH ALAM, 8 OKT: Sebanyak 98 projek tebatan banjir Selangor membabitkan peruntukan RM533 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) telah diluluskan, maklum Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’Seri Amirudin Shari satu daripada 98 projek berkenaan iaitu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 1 sudah dilaksanakan.

“Sebanyak 78 buah projek dengan peruntukan RM425.33 juta di bawah RMK11 telah disiapkan, manakala terdapat 98 projek diluluskan melalui RMK12 dengan peruntukan RM533 juta.

“Bagi projek di bawah RMK12, sejumlah RM440 juta disalurkan dan satu daripada 98 projek sudah dilaksanakan iaitu projek RTB Sungai Buloh Fasa 1,” katanya menerusi Twitter.

Selain itu, Amirudin berkata sebanyak RM1.3 bilion peruntukan tambahan dipohon bagi melaksanakan lima projek menangani isu perubahan iklim dan kejadian banjir berulang.

“Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor telah membuat permohonan tambahan sejumlah RM1.3 bilion untuk membina lima projek RTB,” katanya.

Berikut cadangan projek RTB:
– RTB Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar (Meru dan Klang)
– RTB Sungai Langat Fasa 2 (Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat)
– RTB Sungai Buloh Fasa 2 (Petaling dan Kuala Selangor)
– RTB Anak Sungai Udang Fasa 2 (Selayang dan Gombak)
– RTB Sungai Kundang (Bandar Baru Kundang dan Rawang)

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba: Fenomena air pasang besar di lima daerah terkawal

SHAH ALAM, 7 OKT: Keadaan di kawasan pesisiran pantai di Selangor yang dilanda fenomena air pasang besar masih terkawal walaupun berlaku sedikit limpahan air di beberapa tempat, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Norazam Khamis.

Beliau berkata limpahan air berlaku di Pantai Remis di Kuala Selangor; Jeti Pelabuhan Klang, Jeti Pulau Indah dan Telok Gong, Pelabuhan Klang; Jeti Tok Muda, Kapar; selain Bagan Sungai Lang, Bagan Parit Baru, Bagan Nahkoda Omar, Bagan Sekinchan dan Pantai Batu 3 di Sabak Bernam.

Norazam berkata fenomena air pasang besar dijangka berterusan membabitkan lima daerah di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat, Klang dan Sepang dengan bacaan tertinggi dilaporkan hari ini adalah setinggi 5.6 meter pada 6.30 pagi tadi.

“Kami menasihatkan orang awam terutamanya yang tinggal di kawasan berkenaan agar mengambil maklum tentang tarikh yang dijangka berlakunya fenomena tersebut dan segera berpindah ke rumah saudara mara terdekat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Kuala Langat (MPKL) Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata anggotanya telah digerakkan bagi melakukan pemantauan di beberapa kawasan yang dikenal pasti mengalami limpahan air laut.

Beliau berkata kawasan di bawah pemantauan MPKL adalah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

“Berdasarkan jadual air pasang surut, daerah ini dijangka mengalami paras air tertinggi pada esok hingga 9 Okt dengan ketinggian 5.6 meter sekitar 6.30 pagi hingga 7.40 pagi. Manakala pada 10 Okt menunjukkan penurunan dengan paras air tertinggi hanya 5.4 meter pada 8.13 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MPKL akan menutup kawasan peranginan di pantai dan kemudahan-kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk, selain orang ramai dinasihatkan agar tidak mendekati atau memasuki serta menjalankan aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh dan kawasan yang terlibat.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA BUDAYA RENCANA

Libur santai, 45 destinasi unik gamit pengunjung

Masih banyak tempat menarik belum kita teroka, sebahagiannya hanya pernah dengar cerita atau lihat gambar. Apabila wabak Covid-19 perlahan-lahan terkawal, kini tiba peluang Pusing Selangor Dulu! bagi mengurangkan tekanan selepas menempuh perintah kawalan pergerakan selama beberapa bulan.

Memang banyak lokasi menarik di negeri ini, sekurang-kurangnya 150 hingga 200 taman rekreasi, kedai makan, tapak bersejarah, pusat perkelahan dan kompleks beli-belah yang boleh kita kunjungi.

Wartawan Nadiah Zamlus memilih 45 lokasi pelancongan unik di semua sembilan daerah yang mesti kita lawat bersama keluarga. Kerajaan Negeri menyediakan 10,000 keping baucar percutian bernilai RM100 setiap satu yang boleh dimohon mulai Oktober.

SABAK BERNAM

1. Pantai Bagan Nakhoda Omar

Sesuai untuk tenangkan jiwa. Berdekatan dengan gerai Mi Udang Bagan Nakhoda Omar yang dibuka hampir setiap petang

2. Kelong Paradise Waterfront Resort

Tumpuan kaki pancing, ia terletak 15 batu nautika dari Sabak Bernam

3. Ah Ma House Sekinchan

Galeri berkonsep rumah tradisi yang membawa nostalgia suasana kampung. Dipenuhi barangan klasik seperti model lama televisyen, radio dan perabot rotan

4. Faridah Mentarang Bakar

Pengunjung boleh merasai masakan mentarang iaitu sejenis spesis siput yang jarang didapati di negara ini. Ia disajikan secara bakar, masak lemak, rebus dan goreng

Faridah Mentarang Bakar

5. Restoran Lembah Bernam

Menawarkan menu daging landak, rusa dan pelanduk. Hidangan lain termasuk jenis ikan baung, tapah, ikan sepat, puyu, udang galah dan ulam- ulaman

KUALA SELANGOR

1. Bukit Malawati

Pusat pentadbiran pertama Kesultanan Selangor. Terdapat meriam lama, makam sultan dan kerabat diraja. Terletak berdekatan Taman Alam Kuala Selangor dan jeti ke Sky Mirror

2. Sky Mirror

Beting pasir ini disamakan dengan Salar De Uyuni, dataran garam di Bolivia. Rakaman foto seperti terapung di kaki langit menjadi aktiviti wajib ketika berada di sini

3. Blue Tears, Sungai Selangor

Lokasi tumpuan untuk menyaksikan fenomena ‘blue tears’, kumpulan alga yang menghasil-
kan cahaya biru terang di air laut

4. Nasi Ambeng Warung Ibu

Terletak di Kampung Sungai Gulang-Gulang, ia menghidangkan juadah nasi etnik Jawa dengan rasa asli

5. Kelip-kelip Kampung Kuantan

Boleh menikmati keindahan kumpulan kelip-kelip berterbangan atau hinggap di pokok bakau dengan menaiki sampan. Dikatakan hanya ada dua santuari serangga ini di dunia

HULU SELANGOR

1. Perigi Tujuh, Serendah

Berpeluang melihat kunci air berusia lebih 100 tahun tinggalan zaman kolonial yang masih teguh. Ia juga kawasan rekreasi yang terjaga rapi

2. Berkayak di Kuala Kubu Bharu

Peminat sukan air boleh menikmati pengalaman aktiviti berkayak sejauh lapan kilometer di hulu Sungai Selangor yang mempunyai jeram besar

Berkayak di Kuala Kubu Bharu

3. Florescence by World of Phalaenopsis, Batang Kali

Kafe di Jalan Batang Kali, Hulu Yam Bharu ini dipenuhi pokok orkid, suasananya seperti di dalam taman

4. Dusun Bonda, Kampung Sungai Tamu

Lokasi pelancongan yang menawarkan khidmat perkhemahan di dalam hutan atau ‘glamping’

5. The Stick Guides, Batang Kali

Asalnya lombong bijih timah, pengunjung boleh mandi di Sungai Meranti dan menaiki titi gantung

GOMBAK

1. Taman Ekstrem Gua Damai

Lokasi tumpuan penggemar sukan mendaki bukit berbatu. Kemudahan di sini antaranya lampu memanjat waktu malam dan taman permainan kanak-kanak

2. Taman Eko Rimba Sungai Kanching

Antara destinasi ekopelancongan di Selangor, ia mempunyai tujuh lapisan air terjun dengan ketinggian 208 meter

3. Resort Taman Eko Rimba Komanwel

Tempat menarik dengan landskap hutan yang indah. Sesuai untuk berkhemah dan berkelah bersama keluarga

4. Tasik Biru Kundang

Diberi nama kerana airnya warna biru. Selain berkelah, anda boleh memancing dan bermain jet ski

5. Kuil Batu Caves

Tempat pelancongan yang amat dikenali di serata dunia. Mempunyai 272 anak tangga ke gua batu kapur yang dicat dengan pelbagai warna

Kuil Batu Caves

KLANG

1. Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah

Diwujudkan pada 2002 bagi memperingati Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Pelbagai dokumen dan bahan bersejarah Kesultanan Selangor dipamerkan di galeri berkenaan

2. Kota Raja Mahadi

Struktur tinggalan perang saudara Selangor. Dibina pada 1866, kubu pertahanan ini masih kukuh dan dijaga rapi

3. Masjid Diraja Sultan Suleiman

Masjid negeri Selangor yang memaparkan seni bina Moor dan Inggeris. Antara mercu tanda Klang sebagai bandar diraja

4. Masjid India Muslim Tengku Kelana

masjid ini dibina pada 1910. Binaannya menonjolkan seni bina Islam Andalusia

5. Tanjung Harapan

Lokasi menarik untuk kaki pancing. Ikan yang sering dibawa pulang termasuklah malong, belukang, duri, sembilang dan kerapu

PETALING

1. Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam

Perpustakaan lengkap dengan bilik tayangan filem 3 dimensi (3D) dan 6 dimensi (6D). Lokasi menarik untuk kanak-kanak bermain sambil belajar

2. Escape Challenge, Paradigm Mall, Petaling Jaya

Pusat aktiviti sukan lasak seperti ‘sling shot’, ‘aerobat’, ‘banana flip’ dan ‘jumping jack’ dalam pusat beli belah. Harga tiket RM45 hingga RM68

Escape Challenge, Paradigm Mall, Petaling Jaya

3. Taman Persahabatan Selangor Jepun, Shah Alam

Terletak di tepi Taman Tasik Shah Alam. Mempunyai tarikan seni taman Jepun seperti Laman Zen, Kolam Maze dan Gerbang Torii Tsukubai

4. Air Rider One Utama

Pengunjung berpeluang merasai pengalaman terjun udara. Latihan dan peralatan turut disediakan

5. Pancutan Air Berirama, Taman Tasik Shah Alam

Tarikan terbaharu di Shah Alam. Air memancur mengikut rentak muzik dan dilengkapi dengan sistem diod pemancar cahaya (LED)

HULU LANGAT

1. Skytrex Sungai Congkak

Pengunjung boleh meluncur atas Sungai Congkak. Aktiviti luncur keluang sejauh 110 meter. Harga tiket RM55 hingga RM80

2. Air Terjun Sungai Tekala

Sebahagian Taman Warisan Negeri Selangor. Pengunjung boleh menyewa chalet atau mendirikan khemah di tapak yang disediakan

3. Gunung Nuang

Perjalanan ke puncak mengambil masa empat hingga lima jam. Pengunjung berkhemah di Kem Lolo atau Kem Pacat di gunung itu. Bayaran RM1 seorang

4. Ajlaa Village Resort

Terdapat 16 chalet terapung atas kolam semula jadi dan pengunjung boleh memancing dari dalam bilik chalet

5. Warung Bunian, Kampung Sungai Merab

Tumpuan ramai khususnya dari Putrajaya dan kawasan sekitarnya. Menawarkan menu masakan kampung, antaranya nasi lemak dibalut telur

KUALA LANGAT

1. Istana Bandar

Pernah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Selangor lebih 100 tahun lalu. Di sebelahnya terletak Masjid Sultan Ala’eddin yang mempunyai seni bina indah

2. Pantai Morib

Pantai paling terkenal di Selangor, kemudahan disediakan lengkap termasuk surau, tandas awam, medan selera, laluan pejalan kaki dan taman permainan kanak-kanak

3. Luncur udara Bukit Jugra

Dari puncaknya yang ada rumah api, ia dijadikan tapak utama aktiviti luncur udara di negara ini. Berdekatan dengannya, pengunjung boleh ke Tadom Hill Resort untuk berakit, menakik turun guna tali (abseiling) dan kenderaan lasak bermotor ATV

4. Kopi Senget, Teluk Panglima Garang

Bangunannya sedikit senget dan dipenuhi dengan pelbagai pilihan kopi. Selain itu, Roti Canai Terowong di Kanchong Darat juga menjadi tumpuan pelancong

5. Perkampungan Kebudayaan Mah Meri, Pulau Carey

Peluang untuk melihat kehidupan Orang Asli etnik Mah Meri lebih dekat. Turut mempamerkan seni ukiran arca kayu yang unik

SEPANG

1. Pantai Bagan Lalang

Pantainya landai dan ombak tidak terlalu kuat. Sesuai untuk kanak-kanak berlari sambil bermain air

2. Tamarind Square, Cyberjaya

Pusat beli belah terbesar berkonsepkan seni taman di dalam hutan. Mempunyai cawangan kedai buku ‘Book Xcess’ yang terbesar di negara ini

Tamarind Square, Cyberjaya

3. Jeti Sirip Biru, Sungai Sepang Besar

Terdapat rumah bot sepanjang sungai untuk pengunjung khususnya kaki pancing bermalam. Dibina dengan kemudahan tandas dan dapur

4. Aero Bar, Gamuda Cove

Boleh makan dan minum sambil terapung pada ketinggian 35 meter. Waktu terbaik melihat pemandangan ketika matahari terbenam

5. Paya Indah Discovery Wetland

Pengunjung boleh berbasikal, menunggang kuda serta melihat burung, badak air dan buaya

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPRM: Hanya 267 penjawat awam terlibat, Selangor bukan lubuk rasuah

SHAH ALAM, 1 OKT: Selangor tidak boleh digambarkan sebagai negeri lubuk rasuah, kata pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Dato’ Alias Salim menjelaskan statistik sejak 2016 hingga Ogos lalu mendapati hanya 267 daripada 2,616 penjawat awam yang ditahan adalah di Selangor.

“Daripada 267 ditahan seorang merupakan pengurusan tertinggi, 77 individu pula pengurusan dan profesional manakala 189 adalah anggota bawahan.

“Bagi saya tidak boleh kata Selangor lubuk rasuah kerana kita berjiran dengan negeri-negeri lain, Lembah Klang dan menjadi tumpuan pelabur,” katanya dalam siaran langsung Wacana Betul Ke Selangor Lubuk Rasuah malam tadi.

Sementara itu, beliau menjelaskan secara keseluruhan aduan tertinggi diterima ialah di Sabah iaitu 306 kes diikuti Selangor (267), Perak (265), Sarawak (262), Pahang (203) dan Johor (201).

“Setiap aduan diterima bukan semuanya berunsur rasuah tetapi ada juga pentadbiran melibat agensi penguatkuasaan yang lambat menyiasat dan diserah kepada SPRM.

“Jumlah yang diterima ini menunjukkan kesedaran masyarakat dalam melaporkan kegiatan rasuah selain program-program pencegahan dibuat mendapat kerjasama amat baik dengan pentadbiran Kerajaan Negeri dalam memastikan penjawat awam sentiasa berintegriti tinggi,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Loji Langat 2 dibina agensi persekutuan, negeri tidak terlibat

SHAH ALAM, 30 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan pengurusan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL 2) dilaksanakan sepenuhnya oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), sebuah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

Exco Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata Kerajaan Selangor tidak dilibatkan secara langsung dan menyeluruh dalam pelaksanaan projek tersebut.

Jelasnya, Kerajaan Negeri hanya terlibat dalam perkara berkaitan dengan tanah tapak projek dan permit yang dikeluarkan oleh agensi teknikal negeri.

Dalam pada itu, Izham berkata dalam usaha untuk menampung kekurangan bekalan air akibat dari kelewatan penyiapan LRAL 2 itu, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa inisiatif dengan peruntukan kewangan negeri bagi pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang.

“Kerajaan negeri juga telah mendapatkan pinjaman dari Kementerian Kewangan bagi melaksanakan Projek Mitigasi 2 yang melibatkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP 3).

“Dengan adanya projek yang dilaksanakan oleh kerajaan Selangor, bekalan air kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan mengulas berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 tentang pelaksanaan projek LRAL 2 yang belum mencapai objektif yang disasarkan.

Izham berkata Selangor juga membuat beberapa kajian berkenaan keperluan air dan hasil dari kajian tersebut mendapati masih ada sumber air di dalam negeri itu yang boleh dibangunkan menjadi air terawat untuk dibekalkan kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Pada masa sama, kerajaan negeri bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan membangunkan Projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau yang dijangka dapat mengeluarkan sebanyak 1400 juta liter sehari (JLH) bagi kegunaan pengguna di tiga negeri itu sebagai langkah memastikan bekalan air kepada pengguna adalah mencukupi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB seru rakyat lengkap vaksin teroka lokasi pelancongan negeri

SHAH ALAM, 27 SEPT: Dato’ Menteri Besar menyeru rakyat yang lengkap dos vaksin supaya meneroka lokasi pelancongan di Selangor dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sokongan rakyat diyakini mampu memulihkan semula industri pelancongan negeri yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Semoga dengan Selangor memasuki fasa dua PPN dan majoriti masyarakat dewasa telah divaksin, ambil peluang untuk meneroka pelbagai tarikan pelancongan dekat mahupun jauh.

“Industri pelancongan mampu pulih dengan sokongan daripada warga Selangor, jadi ayuh bersama kitarkan ekonomi negeri meneroka tarikan-tarikan yang terdapat di Selangor Darul Ehsan,” katanya.

Menerusi hantaran di Twitter, beliau turut mengucapkan selamat hari pelancongan sedunia buat penggerak industri di Selangor, Malaysia dan seluruh dunia.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN berkuat kuasa 10 September lalu.

Peralihan fasa tersebut memberi kelonggaran kepada rakyat yang mendapat suntikan dua dos vaksin untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Jangan lalai, terus patuh SOP meski kes Covid-19 turun

SHAH ALAM, 27 SEPT: Dato’ Menteri Besar menggesa orang ramai terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) meskipun jangkitan harian Covid-19 di negeri ini menurun kepada 979 kes hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemakaian pelitup muka di tempat awam, penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan diri harus sentiasa diamalkan.

Menurutnya, kes harian direkodkan itu adalah jangkitan terendah dicatat sejak 4 Mei lalu dengan 675 kes.

“Walaupun jumlah kes mencatatkan penurunan, kita tidak boleh alpa dan lalai.

“Teruskan mematuhi SOP, pakai pelitup muka di kawasan awam, jaga jarak fizikal dan kebersihan diri,” katanya di Twitter hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jangkitan Covid-19 di Selangor hari ini turun kepada 979 kes berbanding 1,558 jangkitan semalam.

Jangkitan di seluruh negara juga menurun kepada 10,959 kes.

Categories
BUDAYA RENCANA

Enam rekaan perahu tradisi pernah wujud di Selangor

Perahu menjadi pengangkutan utama di pesisir pantai dan sungai di Selangor pada masa lalu hingga ke saat ini.

 Dr Mohd Rohaizat Abdul Wahab

Tidak terhad untuk menangkap ikan, mengembara dan berdagang, perahu juga diguna ketika peperangan dan diplomasi.

Sempena Hari Sungai Sedunia pada 26 September, Nazli Ibrahim menyenarai beberapa reka bentuk perahu tradisi yang kerap digunakan di negeri ini.

Penyelidik etnomatematik dalam teknologi perkapalan Dr Mohd Rohaizat Abdul Wahab dari Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia berkongsi sebahagian fakta menarik.

Mohd Suhizam M Shari 

Pembuat replika perahu tradisi Mohd Suhizam M Sakri yang berkecimpung sejak usia 12 tahun turut berkongsi maklumat.

 

Lepap

  • Ada dua jenis iaitu lepap betina dan lepap jantan. Buritan perahu lepap jantan lebih panjang
  • Pernah dijumpai di Sungai Buloh, Kuala Selangor. Panjangnya lima meter dan lebarnya dua meter. Menggunakan dayung gaya Cina dan layar bergantung kepada jarak pelayaran
  • Bahagian perut lebih rata atau leper supaya mudah ditolak atas permukaan berlumpur atau beting pasir
    Lepap betina boleh ditemui antaranya di Kampung Kuantan tetapi menggunakan kuasa enjin
Perahu lepap

Kakap jeram

  • Pernah dijumpai di Kuala Selangor, perahu ini digunakan di pantai
  • Namanya dipercayai berdasarkan nama pelabuhan lama di Kuala Selangor
  • Digunakan untuk perdagangan, pengangkutan dan peperangan
  • Diperbuat daripada kayu meranti
  • Menggunakan layar dan dayung serta sebahagian menggunakan katir (kayu buluh di sisi perahu)
  • Perahu berukuran empat meter panjang yang mampu membawa tiga hingga empat orang digunakan untuk mudik di aliran sungai
  • Bagi saiz besar berukuran lapan meter panjang yang boleh membawa 10 hingga 20 orang digunakan di pesisir pantai
Perahu songkok

Perahu songkok

  • Pada masa dahulu digunakan untuk mengambil barang dagangan dari kapal besar yang berlabuh jauh dari pelabuhan
  • Masih digunakan di Sungai Klang, Sungai Bernam dan Sungai Langat
  • Digunakan untuk menangkap udang dan menjaring ikan di pesisir pantai dan muara
  • Panjang lima meter dan dua meter lebar. Boleh memuatkan tiga penumpang dewasa

Kolek Melaka

  • Tapak pembuatannya ditemui di Morib, Kuala Langat pada 1951
  • Dipercayai digunakan masyarakat dari Sungai Buloh, Kuala Selangor hingga ke Batu Pahat, Johor
  • Banyak digunakan penduduk Pantai Barat. Bentuknya seakan-akan sampan Riau. Memiliki lunas lurus manakala bentuk haluan dan buritan sama
  • Kolek bersaiz kecil sepanjang 3.5 meter
  • Saiz besar antara 6.5 meter hingga tujuh meter digunakan tiga anak perahu.
  • Digunakan di sungai dan pesisir pantai dalam kegiatan harian
  • Mempunyai hiasan pada haluan dan buritan perahu
Perahu nelayan Selangor

Perahu nelayan Selangor

  • Ada enam kegunaan iaitu pukat tunda, pukat jerut, pukat pesisir pantai, pukat udang, merawai dan pukat hanyut atau pukat hijau
  • Jabatan Laut Malaysia menetapkan perahu nelayan Selangor berwarna merah
  • Diperbuat daripada gentian kaca, rekaan ini mula digunakan sejak 1980-an
  • Beroperasi di kawasan dibenarkan bergantung kepada jenis lesen
  • Panjang antara 11 hingga 14 meter. Bahagian buritan dibina leper supaya mudah menyusur di laluan cetek dan berlumpur
  • Menggunakan kuasa enjin dan dikawal alat kemudi kaki

Anak bedar

  • Turut dikenali perahu tambang
  • Dicatat dalam teks klasik Melayu antaranya Salasilah Melayu dan Bugis, Hikayat Siak, Tuhfat al-Nafis dan Hikayat Acheh
  • Berbentuk unik, haluannya bermuncung seperti paruh itik
  • Dijumpai di Kuala Langat. Digunakan untuk membawa penumpang, barang dagangan dan menangkap ikan laut dalam
  • Dianggar berukuran 25 meter panjang dan empat meter lebar