Categories
AGENDA NASIONAL

Buka sempadan perkara terakhir kerajaan tangani Covid-19

PONTIAN, 11 JULAI: Pembukaan pintu sempadan menjadi perkara terakhir dilaksanakan kerajaan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 dan memastikan trend jangkitan kes import berkurangan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata langkah itu diambil kerana kebanyakan kes baharu yang direkodkan dalam negara merupakan kes dari luar (kes import).

“Dalam protokol kita menjaga atau menangani Covid-19, antara perkara yang kita sangat berhati-hati ialah kawalan terhadap sempadan.

“Sempadan kita bukan hanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tetapi Johor, sempadan bersama Thailand, sempadan di Sabah serta Sarawak dan pintu masuk melalui jalan,” katanya yang ditemui dalam sebuah majlis di sini hari ini.

Kenyataan itu bagi mengulas sama ada kementeriannya bersedia untuk menyaring lebih ramai individu susulan terdapat rancangan membuka pintu sempadan kepada negara yang dikategorikan sebagai zon hijau dalam kes Covid-19, termasuk Singapura.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sempadan Malaysia-Singapura dibuka berperingkat, utamakan pekerja profesional

SHAH ALAM, 28 JUN: Sempadan Malaysia-Singapura dibuka secara berperingkat bergantung kepada tahap keselamatan dan kesihatan kedua-dua negara, kata menteri luar.

Datuk Seri Hishamuddin Hussien berkata keutamaan kepada kategori pertama dan kedua iaitu 25,000 pekerja sektor profesional yang tidak pulang ke Malaysia lebih tiga bulan.

“Bagi kategori ketiga dan empat membabitkan 200,000 hingga 250,000 pekerja harian, perkara perlu difikirkan adalah kemampuan membuat saringan yang memerlukan masa panjang,” katanya lapor Harian Metro.

Hishamuddin berkata sekiranya perkara tersebut berjalan lancar, maka pembukaan sepenuhnya sempadan juga tidak menghadapi masalah.

Beliau berkata semua keputusan bergantung kepada persetujuan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan kedua-dua negara.

Categories
AGENDA GLOBAL NASIONAL

Singapura sedia bekerja dengan Malaysia tarik sekatan sempadan

SINGAPURA, 21 JUN: Singapura bersedia untuk bekerja dengan Malaysia dalam menangani keperluan pelawat rentas sempadan ketika penularan pandemik Covid-19.

Pelawat terbabit termasuk mereka yang berkunjung atas urusan perniagaan dan rasmi serta warga Singapura dan Malaysia yang sebelum ini berulang-alik di antara kedua-dua negara.

Kementerian Luar Singapura berkata demikian dalam kenyataan sebagai menjawab pertanyaan media mengenai cadangan Malaysia untuk menarik balik sekatan sempadan di antara Singapura dan negara itu.

“Persetujuan dua hala sedemikian perlu merangkumi protokol kesihatan awam yang dipersetujui kedua-dua belah pihak bagi memelihara kesihatan awam dan keselamatan rakyat di kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara akan memerlukan sedikit masa untuk mengusahakan perincian bagi menarik balik sekatan secara beransur-ansur untuk memastikan proses pemulihan yang stabil daripada pandemik Covid-19,” kata jurucakap kementerian itu.

Pada Jumaat (19 Jun), Malaysia secara dasarnya bersetuju membenarkan rakyat Singapura dan Brunei memasuki sempadan negara tanpa perlu memohon kepada Jabatan Imigresen Malaysia atau menjalani saringan Covid-19 dan kuarantin di rumah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tekong perjudikan kedaulatan negara seludup Pati diburu – NTF

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Demi mengaut keuntungan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit, ada segelintir rakyat tempatan sanggup memperjudikan kedaulatan tanah air dengan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini.

Tekong darat dan laut itu dikatakan menerima bayaran tinggi kira-kira RM13,000 hingga RM15,000 untuk setiap pendatang asing tanpa izin yang dibawa masuk secara haram.

Mendedahkan perkara itu, Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata, pihaknya akan memperhebatkan usaha membanteras penyeludupan Pati yang didalangi kebanyakannya tekong terdiri daripada rakyat tempatan.

“Keuntungan diperoleh mereka (tekong) ini luar biasa, malah jumlah bayaran juga berbeza mengikut kawasan dan aktiviti,” katanya dalam satu temu bual khas bersama Bernama di ibu pejabat NTF di sini baru-baru ini.

Contohnya, jika pendatang asing tanpa izin dibawa bergerak dari satu tempat ke tempat lain melalu sempadan yang dekat, tekong terbabit akan menerima bayaran antara RM800 dan RM1,500 untuk setiap seorang Pati.

“Jika sempadan yang (jaraknya) jauh, sudah tentu dikenakan bayaran tinggi sekitar RM13,000 hingga RM15,000 dan mempunyai harga tertentu,” katanya.

Pihak NTF telah mengenal pasti laluan masuk Pati terbabit melibatkan kawasan utara Pulau Langkawi di Kedah; selatan Kuala Selangor, Selangor ke Tanjung Piai, Johor; dan tenggara Johor.

“NTF mempunyai anggota yang bertugas 24 jam setiap hari di kawasan panas itu,” katanya.

NTF juga membuat pemantauan kira-kira 500 laluan tikus masing-masing di Sabah dan Sarawak, yang dijadikan laluan untuk membawa masuk Pati.

Aris berkata lorong tikus di Malaysia di bahagikan kepada tiga kategori iaitu laluan yang mempunyai rekod tangkapan sebelum ini tetapi aktif berjumlah 203; laluan pernah digunakan sebelum ini namun kurang aktif (202); dan laluan tidak aktif dan dianggap jalan terakhir jika laluan satu dan dua dikawal ketat (106).

Beliau berkata, pasukannya berdepan cabaran besar dalam mengesan dan mengenal pasti pergerakan PATI terutamanya etnik Rohingya yang masuk ke negara ini melalui lorong tikus kerana didalangi tekong serta individu rakyat tempatan di sempadan daratan dan maritim negara.

“Selat Melaka dan Selat Singapura juga adalah laluan maritim yang sibuk dengan pergerakan kapal dagang.

“Maka, pendatang asing tanpa izin khususnya di barat dan selatan Semenanjung mengambil peluang dengan menggunakan laluan kapal dagang untuk masuk ke perairan negara,” katanya.

Walaupun perairan negara ini luas, ia tidak mematahkan komitmen NTF untuk membanteras kegiatan pencerobohan pendatang asing tanpa izin sehingga ke akar umbi, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia longgar pintu sempadan, PRK Chini dalam kebiasaan baharu

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Selepas lebih tiga bulan Malaysia menutup pintu sempadan negara bagi menghalang kemasukan warga asing, larangan tersebut mula dilonggarkan secara berperingkat dalam pasca-Covid-19 yang kini memasuki fasa pemulihan.

Memasuki hari ke-11 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kerajaan mula membuka pintu masuk negara dengan membenarkan kemasukan kumpulan ekspatriat tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia.

Kebenaran diberikan kepada ekspatriat yang dalam Kategori Ep1, Pas Lawatan Profesional dan Pas Residen Kepada Golongan Berbakat yang melibatkan pengurusan tertinggi.

Selain itu, dalam pertimbangan untuk memberi kelonggaran kepada warga Singapura dan Brunei yang ingin memasuki negara ini sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Langkah tersebut sebagai timbal balas kepada Singapura dan Brunei yang turut memberi kelonggaran kepada rakyat Malaysia untuk masuk ke negara mereka, tanpa sebarang sekatan.

Walaupun kelonggaran diberikan namun setiap daripada mereka mestilah menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal sebelum berlepas ke Malaysia atau menjalani saringan sejurus tiba di pintu masuk negara.

Langkah ini penting untuk memastikan tidak ada jangkitan Covid-19 import yang masuk ke negara ini bagi memastikan perjuangan membendung penularan wabak ini akan menemui kejayaan sepenuhnya.

Selain itu, hari ini juga adalah hari pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri kawasan Chini, yang mencatat sejarah – kebiasaan baharu perjalanan pilihan raya di negara ini.

Antaranya yang diperkenalkan ialah penyokong parti tidak dibenarkan mengiringi calon dan hanya boleh berada 1.5 kilometer dari dewan itu bagi menjaga jarakan sosial.

Kelonggaran lain kepada calon dan parti ialah berkempen secara berceramah dengan kapasiti tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan tempat serta terhad di premis tertutup sahaja, selain hanya tiga orang dibenarkan berkempen dari rumah ke rumah dan digalakkan menggunakan platform dalam talian dan media sosial.

Semoga semua yang terbabit tidak kira calon, pengundi dan penyokong patuh kepada saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya tidak timbul kluster PRK DUN Chini pula kelak!

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerajaan Persekutuan fokus selesai persempadanan di Lembah Klang

PUTRAJAYA, 28 JAN: Kementerian Wilayah Persekutuan memberi fokus utama kepada penyelesaian isu permasalahan persempadanan di Lembah Klang yang akan dilaksanakan tahun ini.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata terdapat 18 isu berkaitan persempadanan melibatkan Kuala Lumpur dan Selangor yang tidak dimuktamadkan sejak sekian lama dan perkara itu kini dalam perhatian Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan dan PTG Selangor.

“Cadangan ini diserahkan PTG Selangor untuk diselesaikan dan kita menelitinya. Semua pihak memberi pandangan dan respons, kita harap isu persempadanan dimuktamadkan secara rasmi,” katanya dalam temu bual bersama media sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di sini hari ini.

Khalid berkata isu berkenaan perlu diselesaikan segera bagi mengelak kekeliruan antara pihak berkuasa tempatan sekali gus memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan terbaik dan tiada kawasan diabaikan.

“(Contohnya timbul persoalan apabila) pihak berkuasa mana yang nak bertindak jika parit tersumbat? … jadi berbalah, ini KL atau Selangor (yang bertanggungjawab untuk ambil tindakan) begitu juga dengan penyelenggaraan jalan raya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tingkat kawalan sempadan, cegah kemasukan mercun

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Kawalan di sempadan negara dipertingkat bagi mengelak kemasukan mercun dan bunga api secara haram menjelang Aidilfitri ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tugas pemantauan serta risikan dilipat gandakan supaya aktiviti penyeludupan dapat dibanteras dengan lebih berkesan.

Penyeludup akan mengambil peluang membawa mercun dan bunga api terutama pada bulan Ramadan berikutan permintaan yang tinggi.

“Sekarang kita (polis) beri tumpuan untuk kekang penyeludupan mercun dan bunga api kerana barangan ini popular pada Hari Raya… jadi permintaannya tinggi.

“Polis tidak mahu barang terlarang termasuk mercun masuk ke dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Jabatan KDNKA di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya mengesan terdapat kumpulan kecil yang membawa masuk mercun ke dalam negara untuk dijual.

“Mereka ini mungkin individu yang membuat kerja ‘separuh masa’ jual mercun pada bulan Ramadan. Sekarang fokus kita (polis) adalah untuk mencari sindiket penyeludupan yang berskala besar,” katanya.

– BERNAMA