Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Kebajikan Guru KAFA Terus Dibela

MB guru Kafa SAR 01

SHAH ALAM 29 JAN: Kerajaan Negeri akan berusaha untuk mengangkat martabat dan mengatasi masalah guru Kelas Fardhu Ain (Kafa) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dalam usaha menjadikan Selangor sebagai hub ilmuan dan pendidikan.

MB guru Kafa SAR 02Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, masalah seperti prasarana sekolah yang kurang memuaskan, gaji, ketetapan jawatan, pencen dan elaun guru Kafa dan SAR akan terus diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid berkata masalah yang dihadapi SAR adalah kerana pada zaman pentadbiran Umno-BN, SAR dibina tanpa perancangan yang rapi.

Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri memerlukan masa untuk memikirkan cara terbaik bagi mengatasi masalah prasarana yang kurang memuaskan, kata Abdul Khalid.

“Bagi membendung perkara ini, saya telah mengarahkan setiap pembangunan perumahan supaya menyediakan plan tapak bagi sekolah, surau dan masjid supaya perkara ini diambil perhatian daripada awal,” katanya.

MB guru Kafa SAR 03Abdul Khalid berkata demikian dalam ucapannya dalam program Perhimpunan Guru-Guru Besar Sekolah Agama Selangor di Kompleks Belia Selangor di sini hari ini.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Marzuki Husin, dan hampir 4,000 guru Kafa dari seluruh Selangor.

Abdul Khalid juga berkata, beberapa inisiatif awal diambil Kerajaan Negeri seperti menaikkan elaun guru KAFA daripada
RM 700 kepada RM 1,000 sebulan yang telah memberi manfaat kepada hampir 6,000 orang guru Kafa di seluruh Selangor.

Dalam satu sesi soal jawab bersama guru Kafa, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri sedang berbincang bersama Jais supaya semua guru Kafa yang berjawatan sementara akan diserap ke jawatan tetap.

“Kerajaan akan terus melakukan perbincangan bersama Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) dan beberapa pihak lain seperti kesatuan guru agama supaya tiada satu pun guru Kafa yang berjawatan sementara di masa akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, kemudahan selepas bersara seperti wang pencen tidak dapat disediakan kerana guru Kafa bukan merupakan kakitangan awam.

“Kita menggalakkan Guru Kafa supaya mencari alternatif lain seperti mencarum di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya tidak menghadapi masalah di kemudian hari,” katanya.

Ketika menjawab soalan mengenai tambahan kenaikan gaji guru Kafa, Abdul Khalid menjelaskan, Kerajaan Negeri menitikberatkan hasil pendapatan setiap isi rumah dan bukannya individu untuk digunakan sebagai penilaian paras kemiskinan.

Katanya, Kerajaan Negeri menetapkan garis kemiskinan pada kurang RM 3,500 sebulan setiap isi rumah.

“Untuk itu, kita akan sediakan kursus kemahiran tertentu supaya mereka dapat menambah kemahiran dan dapat meningkatkan lagi taraf hidup yang lebih baik,” katanya.

Categories
NASIONAL

JAIS Boleh Siasat Izzah Untuk Lerai Kekeliruan

SHAH ALAM 7 NOV : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengalu-alukan siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berhubung dakwaan menyokong kebebasan beragama.

Dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO petang tadi, beliau menganggap ia langkah positif untuk membuka perbincangan sesama Islam dan menguatkan persefahaman ummah.

“Menjadi tanggungjawab JAIS untuk pro-aktif dan memahami maksud sebenar kenyataan Nurul Izzah seterusnya menyelesaikan sebarang kekeliruan supaya tiada perbezaan pemahaman.

?Satu perkara yang jelas ialah tiada orang Islam yang mahukan saudara Islamnya meninggalkan agama kerana adalah menjadi tanggungjawab orang Islam untuk menjaga masyarakat Islam lain dengan lebih baik,? katanya lagi.

Beliau juga menyokong dan memuji kesediaaan Nurul Izzah untuk berjumpa JAIS bagi menerangkan maksud sebenar di sebalik ucapannya yang didakwa diputar belitkan oleh media dan penulis blog.

?Saya dapati ada sesetengah laporan berita yang lari konsep awal (maksud sebenar) termasuk Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan seolah-olah kenyataan Nurul Izzah itu ke arah ?kenerakaan?.

?Pada saya ini perkara ini tidak betul dan kita perlu selesaikan dengan baik demi kebaikan umat Islam bersama,? katanya.

Izzah sebelum ini, dalam satu forum di Subang Jaya didakwa berkata bahawa tiada paksaan wajar dikenakan dalam beragama.

Susulan kenyataan tersebut, Pengarah JAIS, Marzuki Husin berkata tindakan boleh dikenakan ke atas Izzah jika didapati bersalah mengeluarkan kenyataan yang boleh memesongkan akidah.

Categories
NASIONAL

MB Nafi Ketepikan Sultan, Ia Cuma Amalan Biasa

SHAH ALAM 31 OGOS : Kerajaan Negeri menafikan laporan media pro Umno-BN, Utusan Malaysia yang menyatakan pentadbiran Selangor mengenepikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menghadiri majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke -55 negara di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini malam tadi.

Sebaliknya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata memang menjadi amalan dan kebiasaan Sultan Selangor tidak dijemput bagi menghadiri majlis tersebut.

“Memang tiada dalam program menjemput Sultan. Memang biasa kita buat macam ini setiap tahun. Itu sahaja,” katanya kepada pihak media selepas menghadiri majlis bacaan Yassin dan Tahlil sempena Hari Kemerdekaan serta solat sunat Jumaat di Masjid Negeri di sini hari ini.

Abdul Khalid turut menyangkal dakwaan akan kemurkaan Sultan Selangor berhubung insiden itu sambil menjelaskan perkara tersebut tidak berlaku.

“Tidak ada…..tiada ada,” ujarnya.

Sambutan kemerdekaan peringkat negeri Selangor malam tadi bertemakan Sebangsa, Senegara, Sejiwa itu dihadiri lebih 10,000 hadirin.

Sementara itu, majlis bacaan Yassin dan Tahlil sempena Hari Kemerdekaan serta solat sunat Jumaat di Masjid Negeri dianjurkan Kerajaan Negeri hari ini dihadiri ramai rakyat Selangor dari pelbagai lapisan masyarakat kerana Aidilfitri masih diraikan umat Islam.

Majlis tersebut turut dihadiri Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Marzuki Husin; Pengarah Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Adun Negeri Selangor.

Tambahan pula hari ini adalah cuti umum sempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Hadirin tidak melepaskan peluang berbaris di sepanjang laluan dilalui Sultan Selangor untuk berjabat salam dengan Tuanku.

Ternyata majlis mesra ini mengeratkan silaturrahim antara Sultan Selangor dan barisan pembesar negeri bersama rakyat jelata.