Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

200 masyarakat India memeriahkan sambutan Pesta Ponggal

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 12 FEB: Seramai 200 masyarakat India memeriahkan sambutan Pesta Ponggal anjuran MPP Zon 9, Sri Muda, bertempat di Dewan Azalea, Seksyen 25 di sini.

Ahli Dewan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, program itu bertujuan meraikan perayaan bagi masyarakat India di kawasan berkenaan.

“Setiap tahun kita mengadakan program ini di lokasi berbeza dan melalui program seumpama ini, diharapkan masyarakat sekeliling tahu bahawa saya ada turun kawasan.

“Ini juga adalah landasan terbaik yang mana saya dapat mendengar luahan masalah dan isu berbangkit dari penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Pesta Ponggal di sini, semalam.

Pada masa sama, Shuhaimi berkata, lebih 70 peratus isu berbangkit di kawasan itu berjaya diselesaikan sehingga kini.

Katanya, ia termasuk isu setempat seperti masalah masjid, pasar, banjir dan jenayah.

“Ada masalah yang sampai ke pengetahuan kita dan ada yang sebaliknya.

“Diharap masyarakat dapat bersama-sama membantu menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai sebarang masalah atau cadangan,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN YB ACTIVITIES

240 golongan ibu terima kad KISS di DUN Sri Muda

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 11 FEB: Seramai 240 golongan ibu yang berkelayakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda menerima kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), hari ini.

Ahli Dewan Negerinya, Shuhaimi Shafiei berkata, ia adalah pemberian peringkat pertama di kawasan berkenaan.

“Diharap penerima dapat menggunakan kemudahan kad ini sepenuhnya bagi manfaat seluruh ahli keluarga.

“Semoga pemberian bantuan kad ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh golongan ibu dan suri rumah di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kad KISS di Dewan Cendana, di sini.

Shuhaimi berkata, sebelum ini pihaknya telah menghantar 500 permohonan untuk ditandatangani namun sempat dikeluarkan sebanyak 240 sahaja.

“Oleh itu, bagi pemberian kad peringkat kedua, saya menjangkakan program pemberiannya akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, penerima kad KISS, P. Tanggam, 55 dari Alam Megah yang juga suri rumah berkata, kad itu akan digunakan bagi tujuan membeli barang keperluan asas dapur.

“Saya bersyukur dan gembira dengan pemberian kad ini kerana ia dapat mengurangkan beban kewangan kami sekeluarga.

“Ia kerana, saya sering menghadapi masalah untuk membeli barang keperluan akibat tidak mempunyai wang yang mencukupi,” katanya.

Bagi Salmah Ahmad, 50, yang mempunyai tujuh anak mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas bantuan diberikan.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana kad KISS ini dapat membantu keluarga saya untuk membeli barang keperluan dapur,” katanya.

Seorang lagi penerima, Tan Siew Tin, 55, berkata pemberian kad KISS dapat membantu dirinya dan keluarga membeli barang-barang untuk keperluan rumah.

“Terima kasih Selangor kerana membantu kami. Saya harap kad ini boleh digunakan untuk membeli barang bagi sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif KISS bertujuan mengangkat martabat golongan wanita di bawah peruntukan RM72 juta.

Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri mengiktiraf setiap ibu yang layak untuk menerima bantuan sebanyak RM2,400 setahun, atau RM200 setiap bulan.

Peserta KISS akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di lebih 500 pasaraya dan kedai runcit berdaftar.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Mahkamah ketepi penghakiman Akta Hasutan ADN Sri Muda

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 JAN: Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan, pada November 2016 berhubung keperluan pihak pendakwaan membuktikan niat individu yang didakwa sebagai menghasut.

Memetik laporan Malaysiakini, mahkamah juga menyifatkan rayuan sivil Anggota Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei supaya Seksyen 3 (3) Akta Hasutan diisytiharkan tidak berpelembagaan sebagai penyalahgunaan proses mahkamah.

Bagaimanapun, Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop yang menulis keputusan sebulat suara berkenaan tidak membuat keputusan berkenaan bahagian perlembagaan berkenaan.

“Mahkamah Rayuan salah dalam membenarkan rayuan responden (Mat Shuhaimi) yang mewajarkan campur tangan kami.

“Keputusan Mahkamah Tinggi dikembalikan dan keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan. Kami menolak untuk menjawab soalan dua dan tiga daripada cabaran yang dikemukakan,” katanya.

Mahkamah menyifatkan permohonan sivil berkenaan sebagai penyalahgunaan proses mahkamah kerana Mat Shuhaimi sebelum ini tidak berjaya mengetepikan seksyen 4 akta sama.

Hakim lain dalam panel itu ialah Datuk Ramly Ali, Datuk Balia Yusof Wahi, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Mahkamah kemudian tidak membuat sebarang perintah mengenai kos walaupun peguam kanan persekutuan yang diketuai Awang Armadajaya Awang Mahmud meminta RM15,000.

Dengan keputusan hari ini, Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan bagi Shuhaimi akan disebutkan, di Shah Alam pada Rabu ini.

Shuhaimi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari 2011 atas tuduhan menghasut dengan memuat naik satu artikel berhubung pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Shah Alam pada 30 Disember 2010.

Categories
SELANGOR

Noh, apa jadi subsidi beras rakyat?

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 SEPT: Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar perlu membuktikan dirinya bersih terlebih dahulu dalam isu berbangkit termasuk ketika menjawat jawatan menteri kabinet.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafie berkata, Noh kini dilihat terdesak hingga begitu kelam kabut memburukkan imej Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri dengan pelbagai tuduhan palsu, salah guna kuasa serta penyelewengan.

“Apa berlaku pada program SUBUR (Baucer Subsidi Beras Untuk Rakyat) atau sumbangan beras pada rakyat? Di mana beras itu sekarang?

“Apakah penjelasan status 30 ekar tanah miliknya yang dibeli dengan harga RM100,000 di kawasan Tanjong Karang seperti dibangkitkan dalam sidang Dewan Negeri yang lalu?

“Begitu juga isu penyelewengan ratusan juta duit rakyat oleh NFC ketika Tan Sri Noh menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, malang buat Umno Selangor yang sehingga hari ini gagal membuktikan setiap dakwaan dan tohmahan terhadap Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri, sebaliknya mendakwa Noh hanya ‘mengikut skrip’ disediakan pihak lain bagi terus memburukkan imej Kerajaan Negeri.

shuhaimiKatanya, Kerajaan Negeri tetap berlapang dada dan membuka pintu untuk siasatan oleh pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Terbukti tidak pernah seorang pun ahli politik daripada Pakatan Negeri Selangor didakwa atas salah laku rasuah atau penyelewengan atas tuduhan yang dilemparkan itu. Apa yang ada hanyalah dakwaan tidak berasas, palsu dan belum pun dibawa ke muka pengadilan.

“Hakikatnya, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya seperti KSSB dan PKNS menjunjung teguh integriti seawal tahun 2013 lagi dengan memeterai ‘integrity pact’ dan ia dibuktikan dengan tindakan, bukannya sekadar mengangkat tangan membaca ikrar.

“Hasilnya, khazanah negeri bertambah dan pada masa sama, khazanah ini diagihkan kepada rakyat Negeri Selangor menerusi lebih 40 program Inisiatif Peduli Rakyat atau IPR,” katanya.

Shuhaimi berkata, Kerajaan Negeri juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang jelas menfitnah secara jijik terhadap Kerajaan Selangor.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Noh bukan bersih, boleh rujuk cermin politik

Kebelakangan ini, Kerajaan Negeri ditohmah bertubi-tubi oleh pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai tuduhan palsu, salah guna kuasa dan penyelewengan. Tan Sri Noh Omar jelas sangat terdesak hingga begitu kelam kabut memburukkan imej Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri pilihan rakyat.

Tuduhan rasuah dimuat naik dalam blog tertentu dijadikan sandaran politik naif pimpinan UMNO, untuk mengolah persepsi wujudnya rasuah dalam pentadbiran Negeri Selangor.

Perkara yang digambarkan rasuah itu sebenarnya adalah usaha Kerajaan Negeri mengikut undang-undang dan ketetapan mahkamah bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul akibat kelemahan urus tadbir Kerajaan Negeri terdahulu di bawah pimpinan UMNO BN termasuk yang pernah dipimpin oleh Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang baru dibawa masuk semula ke dalam UMNO oleh Tan Sri Noh dan rakan-rakannya.

Di sebalik fitnah dilemparkan, Kerajaan Negeri tetap berlapang dada dan membuka pintu untuk siasatan oleh pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terbukti bahawa tidak pernah seorang pun ahli politik daripada Pakatan Negeri Selangor didakwa atas salah laku rasuah atau penyelewengan atas tuduhan yang dilemparkan itu. Apa yang ada hanyalah dakwaan tidak berasas, palsu dan belum pun dibawa ke muka pengadilan.

Hakikatnya, Kerajaan Negeri melalui anak-anak syarikatnya seperti KSSB dan PKNS menjunjung teguh integriti seawal tahun 2013 lagi dengan memeterai ‘integrity pact’ dan ia dibuktikan dengan tindakan, bukannya sekadar mengangkat tangan membaca ikrar. Hasilnya, khazanah negeri bertambah dan pada masa sama, khazanah ini diagihkan kepada rakyat Negeri Selangor menerusi lebih 40 program Inisiatif Peduli Rakyat atau IPR.

Noh-omar-projek-udangMalang buat UMNO Selangor diketuai Tan Sri Noh yang sehingga hari ini gagal membuktikan setiap dakwaan dan tohmahan terhadap Menteri Besar dan Kerajaan Selangor. Beliau hanya mengikut skrip yang disediakan pihak lain bagi terus memburukkan Kerajaan Negeri hari ini.

Ingin ditegaskan, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang jelas menfitnah secara jijik terhadap Kerajaan Negeri Selangor.

Tan Sri Noh perlu membuktikan dirinya bersih terlebih dahulu dalam isu-isu yang berbangkit termasuk ketika menjawat jawatan menteri kabinet. Apa berlaku pada program SUBUR atau sumbangan beras pada rakyat? Di mana beras itu sekarang? Apakah penjelasan status 30 ekar tanah miliknya yang dibeli dengan harga RM100 ribu di kawasan Tanjong Karang seperti dibangkitkan dalam sidang Dewan Negeri yang lalu?

Begitu juga isu penyelewengan ratusan juta duit rakyat oleh NFC ketika Tan Sri Noh menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Rakyat menanti jawapan beliau dan saya turut menuntut beliau memperjelaskan segera sebelum beliau galak melemparkan pelbagai tuduhan liar.

SHUHAIMI HAJI SHAFIEI
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
NASIONAL

Seksyen tidak perlu niat tidak berperlembagaan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 17 JULAI: Peguam Negara perlu membuktikan niat tertuduh dalam pendakwaan ke atas Ahli Dewan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang kini berlangsung di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Peguam, Latheefa Koya berkata, Seksyen 3(3) Akta Hasutan yang mendakwa tidak perlu niat adalah satu seksyen tidak berperlembagaan.

“Hari ini pendengaran penuh rayuan Peguam Negara terhadap keputusan dalam kes di Mahkamah Rayuan yang mendapati seksyen mengatakan tidak perlu niat itu tidak berperlembagaan.

“Peguam Negara membawa dua persoalan dan kita berhujah untuk persoalan pertama, mereka mengatakan pihak responden (Shuhaimi) tidak boleh membawa isu ini kerana dikatakan diputuskan dalam Mahkamah Rayuan Jenayah sebelum ini,” katanya.

Beliau yang bertindak sebagai salah seorang peguam mewakili Shuhaimi berkata demikian kepada SelangorKini di Kompleks Mahkamah Putrajaya, di sini, hari ini.

Latheefa berkata, Shuhaimi sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 4, sedangkan kes hari ini membabitkan Seksyen 3(3) Akta Hasutan.

“Seksyen 3(3) Akta Hasutan adalah sama ada niat itu diperlukan atau tidak, itu isunya. Kes pertama itu berkenaan seksyen lain, tidak sama.

“Ini bukan menyalahgunakan proses seperti diperkatakan, maka tidak boleh didengar,” katanya.

Katanya, perbicaraan penuh kes itu akan dimulakan apabila mahkamah memberi tarikh keputusan melalui surat.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN Selangor desak siasat segera skandal RM9.5 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JUN: KEADILAN Selangor menggesa siasatan segera dibuat berhubung dakwaan bayaran RM 9.5 juta daripada akaun peribadi Perdana Menteri ke akaun peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafiei berkata, Perdana Menteri juga perlu menjelaskan hubungan istimewa antara beliau dan peguam itu sehingga menyebabkan penyaluran wang berkenaan, jika berlaku seperti dilaporkan.

“Situasi ini menimbulkan keraguan dan konflik kepentingan tatkala waktu penyaluran wang itu berlaku sekitar kes pembunuhan Pengasas AmBank, Hussein Ahmad Najadi dan pendakwaan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti didakwa Sarawak Report.

“Saya menegaskan siasatan bebas dan adil dijalankan segera bagi memastikan isu membabitkan dakwaan terhadap salah laku Perdana Menteri dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau bersama sembilan yang lain membuat laporan polis bagi menggesa siasatan berhubung dakwaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.

Shuhaimi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar berkata, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) boleh menyiasat kes itu berdasarkan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

IMG_5840“Ia mungkin membabitkan situasi pecah amanah termasuk berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International.

“Siasatan juga boleh dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana penyalahgunakan dana awam jika aliran kewangan seperti didakwa berkaitan dengan 1MDB,” katanya.

Pada 31 Mei lalu, Sarawak Report mendakwa RM4.3 juta didepositkan daripada akaun Ambank milik Datuk Seri Najib Razak, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB ke akaun peribadi Shafee.

Pada 1 Jun lalu, media sama turut mendakwa wang itu dimasukkan selepas sebulan setengah Hussein Ahmad mati dibunuh, pada 28 Julai 2013.

Pembayaran kedua berjumlah RM5.2 juta pula didakwa dilakukan menerusi akaun sama, pada 17 Februari 2014 iaitu dua minggu sebelum keputusan rayuan kes liwat Anwar.

Kes rayuan itu menyaksikan Shafee bertindak sebagai Pendakwaraya mewakili Jabatan Peguam Negara.

Categories
SELANGOR

Semangat ADN dan Exco PAS Selangor dipuji

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MEI: Tindakan Ahli Dewan Negeri (ADN) PAS dan Exco PAS yang kekal bersama pentadbiran Kerajaan Negeri wajar dipuji.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, tindakan itu wajar dikekalkan kerana barisan kerajaan hari ini dipilih rakyat.

“Kita diberi mandat pada 2008 dan 2013 bagi membentuk Pakatan Rakyat. Atas semangat itu, Pakatan Rakyat masih wujud.

Shuhaimi 1“Rakyat menilai dan tiada apa yang perlu dirisaukan walaupun mungkin berlaku perubahan keputusan politik daripada pihak tertinggi PAS,” katanya kepada SelangorKini.

Shuhami manasihatkan sebagai ADN yang diberi mandat, semua pihak perlu bertanggungjawab mendahului rakyat dalam sebarang keputusan yang dibuat.

“Mandat yang diterima ini akan berakhir tahun kelima pemerintahan.

“Dalam pemerintahan ketika ini, semua ADN mesti berpegang pada prinsip Pakatan Rakyat dan kita wajib mempertahankannya seperti ditegaskan Dato’ Menteri Besar, baru-baru ini,” katanya.

Pada masa sama, Shuhami mahu pihak terbabit untuk segera berhenti mencemarkan imej Kerajaan Negeri.

“Saya nasihatkan usah menangguk di air keruh. Rakyat tahu kita mengamalkan pemerintahan yang telus dan ‘good governance’.

“Jika ingin menarik simpati politik, gunakan cara berhemah. Lawan secara anak jantan bukan menggunakan badan atau persatuan.

“Laksanakan program mereka kepada rakyat kerana rakyat memilih bukan berasaskan adu domba,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

KEADILAN Selangor dukung usaha positif martabat undang-undang syariah

OLEH SHUHAIMI SHAFIEI

KEADILAN Selangor mendukung penuh kenyataan serta pendirian yang telah dikeluarkan oleh Ketua Umum KEADILAN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkaitan usul Rang Undang-Undang meminda Akta 355.

Jesteru KEADILAN Selangor menyeru bersungguh-sungguh semua pihak supaya menghormati hak asas seseorang Ahli Parlimen untuk membentangkan apa-apa juga cadangan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen yang dibenarkan oleh peraturan dewan.

Seharusnya proses serta ruang demokrasi yang wujud di Parlimen dimanfaatkan oleh mana-mana Ahli Parlimen untuk membangkitkan cadangan penambahbaikan polisi-polisi yang berkepentingan kepada rakyat serta memberi lebih banyak manfaat.

Apa yang dinyatakan oleh Anwar Ibrahim bukanlah perkara baru atau bersifat ‘U-Turn’. Apa lagi ia pastinya bukan disebabkan konon adanya tekanan terputusnya tahaluf siyasi dengan PAS maka Anwar mengeluarkan kenyataan itu, sedangkan usul untuk memutuskan hubungan dengan KEADILAN sudah lama wujud dan telahpun di bawa ke muktamar PAS setahun lalu. Anwar hanya mengulangi kenyataan oleh Presiden KEADILAN Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Ismail bertarikh 23hb November 2016 yang dengan tegas; pertama, untuk menghormati hak YB Marang membentang usulnya; dan kedua, untuk mendapatkan jawapan segera daripada Perdana Menteri samada kerajaan sedia membentuk satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk meneliti Rang Undang-Undang pindaan tersebut yang dicadang oleh YB Marang.

Setelah menunggu dua tahun dengan pelbagai ‘janji manis’ kepimpinan UMNO seperti mana dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak akhirnya telah menyatakan bahawa kerajaan tidak akan mengambilalih RUU tersebut dan membentangnya seperti dicadang atau dengan pindaan atau perubahan, jika ada. Ini sangat jelas, sudah terang lagi bersuluh bahawa UMNO hanya mempergunakan cadangan usul RUU 355 sebagai alat pemecah perpaduan politik Pakatan. Saat ini nampaknya ia berjaya memecahkan, namun ia juga mungkin boleh menyantumkan kembali Pakatan kerana niat buruk UMNO semakin kelihatan terbonjol keluar.

Walaupun keputusannya sedemikian, KEADILAN Selangor menyeru agar pihak Yang DiPertua Dewan Rakyat akan dapat membenarkan usul RUU 355 dibahaskan di Parlimen pada sidang akan datang walaupun kami terpaksa melalui ranjau di padang permainan kotor politik UMNO.

Ini penting bagi memberi peluang kepada semua Ahli Parlimen untuk memberikan pandangan mereka melalui perbahasan yang matang demi kepentingan rakyat.

KEADILAN Selangor menyokong apa-apa usaha positif untuk memartabatkan undang-undang syariah serta institusi Mahkamah Syariah di negara kita dan sebarang kenyataan yang dikeluarkan mana-mana anggota parti jika berlainan dengan dasar yang dipersetujui secara bersama dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat, ia adalah bersifat peribadi sepertimana yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk NGO Invoke.

Pencerahan yang dibuat oleh YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan YB Takiyuddin Hassan adalah bukti bahawa RUU 355 bukanlah berkaitan undang-undang hudud dan ianya tidak melibatkan orang bukan Islam dan ini sekaligus menghilangkan kegusaran umum. Di ulangi, ia bukan hudud! Ini adalah satu langkah pertama dalam proses membincangkan pemerkasaan undang-undang Syariah secara menyeluruh dan tidak akan memberikan kesan kepada masyarakat bukan Islam.

Maka, KEADILAN Selangor ingin sekali lagi menegaskan bahawa RUU 355 ini wajar untuk diberikan sokongan dan perhatian oleh umat Islam dan ianya tidak sama sekali akan menyentuhkan hukuman kepada orang bukan Islam bahkan dalam waktu yang sama KEADILAN juga kekal menghormati hak beragama bagi penganut agama yang lain.

Di Selangor, kita telah berusaha sedaya upaya untuk memertabatkan kedudukan agama Islam dan institusinya termasuk mengangkat kedudukan wanita dimana kita menyaksikan dua Hakim Mahkamah Tinggi Syariah wanita yang pertama di Malaysia telah di lantik dalam masa 2 tahun ini.

KEADILAN Selangor juga bersedia untuk menyertai perbincangan khusus bagi menyampaikan pandangan serta pendirian kami dalam perkara ini sebelum di bawa ke satu jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang mana kami mahu ianya di bentuk segera.

Semoga semua Ahli Parlimen dan pihak-pihak yang berkaitan dapat bersikap terbuka dalam persoalan Rang Undang-Undang Persendirian seumpama dalam isu RUU 355 yang sebenarnya boleh menjadi medan perkongsian ilmu, bertukar pandangan dan memperkasa agenda demi kebaikan rakyat Malaysia. Kita akan lebih di hormati jika saling memahami, tidak emosi dan kekal sederhana dalam menyampaikan pandangan. KEADILAN Selangor berdiri teguh dengan pendirian ini.

# Shuhaimi Shafiei adalah Ketua Penerangan KEADILAN Selangor  merangkap ADN Sri muda

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Keringat Shuhaimi ringan beban penduduk

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 FEB: Ahli Dewan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei hari ini berkesempatan berkongsi penat lelah penduduk menadah dan mengangkut air di Sri Exora Apartment, Seksyen 27, di sini.

Dengan berpakaian rasmi pejabat, Shuhaimi yang juga Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, tidak kekok membantu penduduk mendapatkan bekalan air.

Sebaik tiba di lokasi, beliau dilihat sibuk mengisi air ke dalam baldi dan botol serta membantu penduduk mengangkat air ke kediaman mereka.

“Kerajaan Negeri sentiasa memahami keringat penduduk terutama dalam isu bekalan air yang merupakan keperluan paling asas.

“Saya difahamkan, bekalan air sudah mula pulih secara berperingkat dan diharap pulih sepenuhnya menjelang malam ini,” katanya kepada SelangorKini.

IMG-20170223-WA0010Mengulas lanjut, Shuhaimi berkata, beliau dimaklumkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sudah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri berhubung penggantian paip yang sering pecah dan rosak.

“Kalau boleh kita mahu elakkan kawasan tanah lembut, mendap atau terlalu hampir dengan tebing sungai hingga meningkatkan risiko ia pecah kembali.

“Kita berharap kejadian paip pecah hingga mengganggu bekalan air penduduk sekitar dapat dihindarkan menerusi cadangan dan pelaksanaan Air Selangor nanti,” katanya.

Selain Sri Exora Apartment, kawasan lain yang terjejas di DUN Sri Muda adalah Kampung Baru Hicom, Bukit Kemuning, Bukit Naga, Jalan Kebun, Kampung Lombong, Bandar Putera dan Taman Desa Kemuning.

Kawasan lain termasuk Seksyen 25, Seksyen 26, Seksyen 27, Seksyen 28, Seksyen 32 dan Seksyen 33.

-AA-

Categories
SELANGOR

GHAH bantah rayuan AG kes Akta Hasutan SETPOL MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 FEB : Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) membantah tindakan Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengemukakan rayuan bersabit peruntukan Akta Hasutan terhadap Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Shuhaimi Shafiei.

Pengerusinya, Amir Abd Hadi berkata, keputusan mahkamah membebaskan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda terhadap pendakwaan itu sebelum ini bersifat adil sekaligus menjamin hak kesaksamaan dijamin Perlembagaan.

“Mengapa Peguam Negara perlu merayu bagi keputusan yang membuat undang-undang lebih baik, yang mana menjadikan perbicaraan lebih adil kepada tertuduh kerana ia memerlukan pihak pendakwa membuktikan ‘niat’ seperti dalam semua perbicaraan jenayah?

“Kami menyeru Peguam Negara untuk menarik balik rayuan dibuat dalam kes Mat Shuhaimi,” katanya dalam kenyataan.

Pada bulan November 2016, Mahkamah Rayuan dalam kes Mat Shuhaimi mendapati bahawa Seksyen 3(3) Akta Hasutan, yang menganggap ‘niat’ seseorang tidak relevan dalam kesalahan hasutan sebagai tidak berperlembagaan.

Mahkamah mendapati peruntukan tersebut menjadikan ‘sekatan yang tidak seimbang’ pada kebebasan bersuara dan penghinaan kepada kesaksamaan dan perbicaraan adil yang dijamin didalam Perlembagaan Persekutuan.

Menyambut baik keputusan itu, GHAH juga mengulangi tuntutannya agar akta lapuk itu dimansuhkan selaras tuntutan demokrasi Perlembagaan negara ini.

Terdahulu, Shuhaimi Shafie didakwa di bawah seksyen 4 (1) C Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen berhubung penulisan dalam yang blog.

Shuhaimi didakwa menerbitkan satu penerbitan menghasut di berjudul ; “pandangan saya berasaskan undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959” tentang pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Akta Hasutan: Pendakwaan perlu buktikan niat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 NOV: Mahkamah Rayuan dalam keputusan penting hari ini memutuskan Seksyen 3(3) Akta Hasutan yang menyatakan elemen niat tidak perlu dibuktikan, adalah tidak mengikut perlembagaan.

Dalam membenarkan rayuan saman Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei untuk mengisytiharkan perundangan kolonial itu tidak sah, panel hakim diketuai Datuk Lim Yee Lan dalam keputusan sebulat suara memutuskan Seksyen 3(3) melanggar Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Perintah Mahkamah Tinggi (yang menolak saman asal) diketepikan,” katanya.

Hakim lain dalam panel itu ialah Datuk Varghese George dan Harminder Singh Dhaliwal.

Ketika menyampaikan penghakiman mahkamah, Varghese berkata, di bawah Artikel 8, semua individu mesti sama rata di sisi undang-undang.

“Kami mengingatkan diri sendiri berkenaan hal ini. Jelas, Seksyen 3(3) mencipta ‘rejim’ lain yang menjadikan kecenderungan unsur hasutan. Ia menyimpang daripada kebiasaan,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang lain dalam keadaan biasa, beban membuktikan terletak kepada pihak pendakwaan.

“Tetapi di bawah Seksyen 3(3), beban membuktikan bukan kepada pihak pendakwaan,” katanya.

Sementara itu, Shuhaimi menyifatkan keputusan terbabit akhirnya membawa keadilan dan memberi manfaat besar kepada semua rakyat yang dituduh di bawah akta zalim itu.

whatsapp-image-2016-11-25-at-10-39-00-am“Tahniah kepada semua peguam saya yang handal dalam memberikan hujahan sewaktu rayuan kes ini dibicarakan dahulu. Semoga ada sinar baru di mahkamah dengan keputusan hari ini.

“Cabaran keperlembagaan tehadap Seksyen 3(3), Akta Hasutan 1948 yang menyatakan tidak perlu membukti niat adalah salah diterima makhkamah dan kini Mahkamah memutuskan Seksyen 3(3) dibatalkan.

“Oleh itu pihak pendakwa perlu membuktikan niat di dalam kesemua kes membabitkan akta hasutan yang sedang dibicarakan di mahkamah atau dalam proses rayuan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 7 Februari 2011, Shuhaimi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan memuat naik artikel berbaur hasutan dalam blognya, Srimuda.blogspot.com berkenaan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor yang baharu, ketika itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning di Shah Alam, pada 30 Disember 2010.

Pada 1 April 2011, Mat Shuhaimi memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi di Shah Alam memohon pertuduhan hasutan terhadapnya dibatalkan atas alasan Akta Hasutan melanggar perlembagaan kerana ia bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara.

Mahkamah Tinggi di Shah Alam, pada 26 Ogos 2011 menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan menghasut itu juga tidak berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang ditolak, pada 17 Mei 2015.

-AA-