Categories
SELANGOR

PAKATAN yakin kekal dengan sokongan rakyat berbilang kaum

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 APR: Kerajaan Selangor diyakini kekal di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) berasaskan sokongan yang ditunjukkan masyarakat berbilang kaum menerusi pelbagai kecemerlangan Kerajaan Negeri.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, hal itu terbukti apabila pola pengundian meningkatkan jumlah kerusi daripada 36 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan PRU-13 kepada 44 kerusi.

Katanya, kajian dan sokongan yang dilaksanakan nyata memihak kepada PAKATAN walaupun tahaluf siyasi Pakatan Rakyat sebelum ini terputus.

“Pola politik baru PAKATAN juga tidak boleh dipandang enteng. PRU-14 merupakan cabaran besar tetapi jika dilihat pada kajian, kemenangan kawasan bandar mahupun kampung ia disokong oleh penghuni bukan Melayu.

“Selepas pemutusan gabungan itu, kita melihat PAS bukan ancaman kerana rakyat mengundi atas kerjasama itu. Mungkin ahli PAS tegar, akan mengundi PAS, tetapi peminat lain belum tentu,” katanya.

Shuhaimi percaya walaupun gabungan itu tidak lagi bersama, namun kepercayaan pengundi di atas kecemerlangan tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti, rakyat akan memilih PAKATAN.

“Dalam konteks Negeri Selangor, Kerajaan Negeri berpaksikan rakyat, rakyat akan lihat sebuah kerajaan yang baik dan peduli rakyat serta mampu menyelesaikan masalah rakyat.

“Dengan tiket itu, sudah tentu sokongan rakyat tidak berbelah bagi,” katanya.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Beri peluang PAKATAN terajui perubahan demi masa depan negara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 APR: Calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N 49), Shuhaimi Shafiei mahu Pakatan Harapan (PAKATAN) terus diberikan peluang untuk melaksanakan perubahan bagi semua penduduk DUN terbabit.

Beliau berkata wakil rakyat yang terbaik sememangnya menjadi ejen perubahan kepada penduduk.

“Saya harap agar terus diberikan peluang untuk bersama penduduk Sungai Kandis dalam melakukan perubahan demi masa depan Selangor dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Shuhaimi turut menzahirkan rasa terharu apabila melihat sokongan ribuan penyokong yang tidak berbelah bagi kepadanya.

Beliau berkata penyokong PAKATAN itu muncul sejak awal pagi mengiringinya ke pusat penamaan calon di Dewan Kemuning Utama.

“Alhamdulillah, saya disahkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon Pakatan Harapan untuk kerusi N49 Sungai Kandis.

“Saya amat terharu dengan sokongan ribuan penyokong yang muncul sejak awal awal pagi untuk berarak ke pusat penamaan calon,” katanya.

Shuhaimi berkata pencalonan itu dicadangkan rakan seperjuangannya, Azwan Mat Amid dan disokong oleh Hazlina Abdul Razak.

“Saya berdoa agar Allah SWT akan terus memberkati usaha murni kita di sini untuk menegakkan keadilan, ketelusan dan kebertanggungjawaban serta menjadi agen perubahan bagi rakyat N49 Sungai Kandis,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Bilik Gerakan Utama (BGU) Sungai Kandis sudah memulakan operasinya sejak beberapa hari lepas.

“BGU ini terletak di No 49, Jalan B/34B, Off Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 34, Shah Alam dan akan dibuka kepada sukarelawan parti setiap hari.

“BGU ini akan menjadi pusat aktiviti utama bagi menyelaraskan jadual kempen saya,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pengundi dakwa nama hilang dalam senarai daftar undi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 27 APR: Kebanyakan pengundi Cina di Parlimen Kota Raja mendakwa nama mereka tiada dalam senarai daftar pengundi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Calon Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei berkata, aduan itu diterima daripada penduduk setempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

“Ada yang sudah mengundi lebih tujuh kali, namun nama mereka tiada dalam senarai.

“Ini adalah sesuatu yang perlu kita beri perhatian serius kerana adanya unsur menafikan hak rakyat untuk mengundi selain ia menyukarkan proses pengundian,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sudah memberi penerangan kepada penduduk di kawasan itu berkenaan persempadanan semula.

 

Categories
SELANGOR

Tambah baik infrastruktur untuk kemudahan rakyat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 27 APR: Penyandang Ahli Dewan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berhasrat menambah baik beberapa infrastruktur, di kawasan Sungai Kandis, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Shuhaimi berkata, beliau sudah menulis surat kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk mempertimbangkan cadangannya menaik taraf Jalan Kesas sehingga ke bulatan Batu 5, Jalan Kebun.

“Kita berhasrat melebarkan dari dua lorong kepada empat lorong sepanjang kira-kira 4 kilometer.

“Manakala, jalan kedua adalah di persimpangan Jalan Raya Timur dengan saya bercadang melebarkan di beberapa bahagian menjadi empat lorong hingga di persimpangan Taman Sri Muda kerana jalan itu mengalami kesesakan, pada waktu tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika mengadakan lawatan turun padang ke Sungai Kandis, hari ini.

Shuhaimi berkata, beberapa prasarana juga perlu penambahbaikan, termasuk menaik taraf masjid di Kampung Teluk Menegon dan penurapan jalan di beberapa kawasan.

“Bagaimanapun, perkara itu dapat dilaksanakan jika saya menang PRU14,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Pertembungan empat penjuru di Sungai Kandis?

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 27 APR: Pertembungan sengit bakal berlaku bagi kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis apabila perebutan kerusi itu dijangka membabitkan pertembungan empat penjuru.

Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Sungai Kandis, Jamberi Amri berkata, bagaimanapun jentera pilihan raya KEADILAN Sungai Kandis sudah membuat persediaan rapi berhadapan sebarang kemungkinan.

“Kita menjangkakan pertarungan sengit berlaku di sini nanti,” katanya pada program Pelancaran Bilik Gerakan dan Jentera Pilihan Raya N49 Sungai Kandis, di sini, semalam.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan parti mana dijangka bertanding di kawasan itu.

Sementara itu, KEADILAN meletakkan Shuhaimi Shafiei di kerusi itu selepas kerusi Sri Muda yang disandangnya sebelum ini ‘hilang’ dalam persempadanan baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selain, KEADILAN, parti yang disebut-sebut bertanding di kerusi yang 70 peratus pengundi Melayu ini nanti adalah PAS dan Barisan Nasional (BN).

Categories
SELANGOR

Persempadanan semula: Jangan ingat BN boleh menang

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 27 APR: Persempadanan semula kawasan pilihan raya di Selangor dengan mewujudkan 33 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu tidak lagi memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda bagi penggal 2013-2018, Shuhaimi Shafiei berkata, pengundi Melayu kini memilih menolak BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) nanti.

“Kawasan ini dahulu di bawah N49 Seri Andalas tetapi ia berubah kepada Sungai Kandis selepas berlaku pecahan persempadanan, mereka (BN) sangka dengan cara itu mereka boleh menang.

“BN boleh rancang, boleh pecah tetapi 33 kerusi Melayu akan kekal dengan Pakatan Harapan (PAKATAN),” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Pelancaran Bilik Gerakan dan Jentera Pilihan Raya N49 Sungai Kandis, di sini, semalam.

Jelasnya, senario sokongan Melayu kepada PAKATAN hari ini sudah jauh berbeza berbanding mood pengundi Melayu di awal proses persempadanan dijalankan pada 2016 lalu.

Katanya, pada masa ini, rata-rata pengundi Melayu tidak lagi teragak-agak menolak BN dan memberikan sokongannya kepada PAKATAN.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikatakan terpaksa menunggu proses persempadanan semula diselesaikan sebelum beliau membubarkan parlimen.

Beliau dipercayai mengambil langkah itu selepas mengkaji pola undian masyarakat pada PRU-13 lalu di mana BN menguasai di kawasan majoriti Melayu.

Categories
SELANGOR

Shuhaimi lancar bilik gerakan, jentera Sungai Kandis

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 27 APR: Pelancaran bilik gerakan dan jentera bagi N.49 Sungai Kandis berlangsung penuh bersemangat apabila ia dibanjiri lebih 500 hadirin, malam tadi.

Majlis dimulakan dengan Solat Maghrib dan diikuti Majlis Munajat serta Solat Isyak berjemaah.

Majlis terus dihangatkan dengan ceramah calon, antaranya Calon N.46 Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri; N.50 Kota Kemuning, Ganabatirau a/l Veraman dan kemuncaknya, Calon N.49 Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei.

Shuhaimi selepas itu menerima penyerahan bendera KEADILAN sebagai simbolik kepada pelancaran bilik jerakan dan jentera pilihan raya Sungai Kandis.

Serentak dengan itu, konvoi beberapa kenderaan jentera Pilihan Raya Sungai Kandis melalui tapak majlis sambil diiringi laungan bersemangat dan tepukan orang ramai.

Categories
SELANGOR

Tapak baru SJKC Kota Kemuning, manfaat 1,000 pelajar Cina

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 MAC: Pentadbiran negeri berjaya menyediakan sebuah tapak baru bagi pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Kota Kemuning.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, sekolah berkenaan dipindahkan dari kawasan Batu 8, Kota Kemuning yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Dengan bantuan Majlis Persatuan Penduduk (MPP) Zon 12, Tan Ah Kow, kita berjaya mendapatkan tapak sekolah baru. Ia bukan mudah kerana halangan yang kita hadapi sebelum ini.

“Tapi atas bantuan Persatuan Penduduk Kota Kemuning, kita berjaya mendapatkan tapak baru itu.

“Walaupun cuma sebuah sekolah, ia melibatkan 1,000 pelajar sekolah Cina yang dapat menikmati fasiliti dan kemudahan sekolah yang lebih luas dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat dan Dialog ADN dan Ahli Majlis bersama Penduduk Kota Kemuning, di Dewan Liparis Kota Kemuning, 24 Mac lalu.

Terdahulu, RM6 juta diperuntukan Kerajaan Negeri bagi pembaikan fasiliti dan pembangunan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Pengumuman itu dibuat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada pembentangan Belanjawn 2018 di Dewan Negeri Selangor, November lalu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Henti serang peribadi Azmin, fokus isu lain

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 FEB: Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei, menolak dakwaan Faekah Husin bahawa beliau membuat serangan peribadi kepada mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam isu tanah Ijok.

Sebaliknya, beliau mendakwa, Faekah dilihat menyerang peribadi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali secara bertubi-tubi.

Beliau berkata, kenyataan Faekah yang juga Pegawai Khas Abdul Khalid itu tidak berasas dan fitnah semata.

“Kenyataan saya bukan menyerang peribadi. Kalau pasal serang peribadi, Faekah lebih teruk serang peribadi Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. Nak jawab apa?

“Saya tidak pernah ‘twit’ mengutuk Abdul Khalid. Bahka,n saya memuji sebahagian tindakannya sebelum ini tetapi adakala tindakan merugikan Kerajaan Negeri, maka sebab itu saya menentangnya,” katanya kepada SelangorKini.

Shuhaimi berkata, beliau mengambil pendirian untuk menjawab isu tanah Ijok itu kerana tindakan mantan Menteri Besar itu dilihat merugikan Kerajaan Negeri.

“Walaupun ketika dulu saya angkat dan menyokongnya tetapi bila beliau bertindak merugikan Kerajaan Negeri secara keseluruhannya, maka perlu nyatakan pendirian saya,” katanya.

Beliau mahu Faekah dan Abdul Khalid berhenti menjatuhkan Kerajaan Negeri serta tidak menjadi ejen Barisan Nasional (BN).

“Saya bertindak berasaskan fakta. Pada saya zaman beliau sudah berlalu, maka usah dipergunakan BN dan jaga kesihatan diri. Itu sahaja,” katanya.

Shuhaimi juga mahu isu terbabit tidak diperbesarkan lagi oleh semua pihak dan memberi fokus pada perkara lain. Kita sudah serahkan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka tunggu sahaja,” katanya.

Baru-baru ini, Faekah dalam kenyataan mendakwa, Shuhaimi tidak menjawab soalan pokok dan lebih membuat serangan peribadi kepada Abdul Khalid.

Sebelum ini, isu Ijok menjadi panas selepas Abdul Khalid melalui wawancara yang disiarkan sebuah akhbar tempatan mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri memulangkan tanah Ijok yang dirampas sebelum kawasan itu dijual kepada pihak lain.

Kerajaan Negeri pula berjaya menyelesaikan isu tanah itu apabila Kerajaan Negeri memberi pampasan RM180,000 dan rumah bernilai sekurang-kurangnya RM400,000.

Categories
SELANGOR

Tiada krisis dalam PAKATAN

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 FEB: Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei menolak dakwaan segelintir pihak berhubung krisis dalaman antara parti komponen dalam Pakatan Harapan (PAKATAN).

Sebaliknya, beliau berkata, ia lebih kepada luahan pendapat masing-masing dengan setiap parti memiliki kaedah tersendiri untuk melakukannya.

“Saya tidak lihat ia sebagai krisis, melainkan pentadbiran yang cukup telus dengan setiap parti komponen ada cara tersendiri.

“Suasana itu sekali gus mewujudkan keadaan yang sedikit keras sehingga musuh politik mula mengambil kesempatan untuk mencipta propaganda,” katanya ketika ditemu bual Sinar Harian.

Shuhaimi berkata, sejak PAKATAN ditubuhkan, fokus gabungan itu adalah menguatkan jentera dan menganjurkan konvensyen sebagai medan luahan pandangan.

Katanya, di Selangor, PAKATAN mengorak langkah pantas dengan terus memfokuskan agenda kebajikan rakyat walaupun terkait beberapa isu kecil.

“Jika diberi peluang mentadbir selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), saya yakin mandat itu akan dibalas dengan perkhidmatan jauh lebih baik dengan apa dinikmati sekarang,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Sri Muda.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor pelopor kebajikan rakyat

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 FEB: Selangor menjadi pelopor kepada amalan berkebajikan demi kepentingan rakyat yang menjadi asas kukuh pentadbiran Kerajaan Negeri, hari ini.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, ia dapat dilihat apabila Selangor muncul negeri pertama menawarkan air percuma 20 meter padu, sejak 2008.

“Pada 2008, kita bermula dengan keadaan ‘zero’ dan tiada apa yang boleh dibanggakan kerana rizab ketika itu hanya RM400 juta.

“Justeru, kita cuba sedaya upaya menawarkan dan memenuhi manifesto untuk diterjemahkan kepada rakyat antaranya pemberian air percuma, yang tidak pernah dilaksanakan di mana-mana negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual FB Live bersama Sinar Harian, baru-baru ini.

Kerajaan Selangor memperkenalkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang menawarkan pelbagai manfaat bermula dari awal kelahiran sehingga meninggal dunia.

Antara inisiatifnya merangkumi Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Hadiah Anak Masuk Universiti (HAMU), Skim Peduli Sihat dan terbaru, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

 

Categories
SELANGOR

Muafakat julang pentadbiran Selangor

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 FEB: Sikap muafakat diamalkan pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berjaya mengangkat Selangor ke tahap lebih baik.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, perkara itu dapat dilihat apabila rizab negeri berjaya ditingkatkan daripada RM400 juta, sebelum 2008 kepada hampir RM4 bilion, setakat ini.

“Rakyat bersetuju dengan kecemerlangan pentadbiran Dato’ Menteri Besar. Mereka yang mengkritik atau keluarkan fakta tidak benar mungkin musuh politik yang mencemburui kejayaan Selangor.

“Di bawah pentadbiran hari ini, pertumbuhan ekonomi dilakukan dengan baik dan telus, tiada usaha mendominasi serta dilakukan secara sepakat juga muafakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif FB Live bersama Sinar Harian, baru-baru ini.

Sementara itu, ketika mengulas dakwaan mengatakan KEADILAN cuba menguasai pentadbiran Selangor, Shuhaimi menyifatkan perkara terbabit tidak benar dan sengaja dicipta bagi menghangatkan suasana.

Beliau yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Selangor berkata, parti itu sentiasa mengamalkan perjuangan sihat dengan menekankan amalan sepakat serta berbincang sebaik mungkin berhubung sebarang perkara.

“Sejak Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali diberi amanah mengepalai Pakatan Harapan Selangor, saya turut terbabit secara langsung mengaturkan pertemuan dengan semua parti komponen bagi mengadakan perbincangan.

“Justeru, jika ada yang mengatakan KEADILAN mahu berkuasa, itu semua tidak benar kerana semangat perjuangan kita berpakat dan berbincang sebaik mungkin serta membuat keputusan bersama,” katanya.