Categories
NASIONAL

MOA dengar rintihan petani, nelayan sebelum gubal dasar Agro 2020

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEKINCHAN, 24 OGOS: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengadakan program turun padang ke seluruh negara bagi mendengar sendiri keluhan dan rintihan petani, sebelum dasar Agro Makanan Negara 2020 digubal, pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri, Sim Tze Tzin berkata, pihak kementerian sentiasa mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan golongan terbabit dalam forum dua hala itu.

“Kita tidak nafikan wujud masalah dihadapi golongan petani dan nelayan bukan sahaja di Sekinchan tetapi seluruh negara.

“Saya dan Yang Berhormat Menteri sangat pro aktif turun padang mendengar rintihan dan beliau sudah turun di banyak tempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Dialog Timbalan Menteri Pertanian YB Sim Tze Tzin Bersama Komuniti Petani dan Nelayan Sekinchan, di Kilang Padi PLS Marketing, di sini, hari ini.

Tze Tzin berkata, pandangan peringkat akar umbi sangat penting bagi kementerian merangka dasar yang memastikan bekalan makanan dipertingkatkan.

Sebelum itu, pada forum yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Sue Lim dan pegawai jabatan kerajaan, pelbagai persoalan dibangkitkan masyarakat petani dan nelayan, di kawasan itu.

Antaranya, isu serangan haiwan perosak tanaman padi, kualiti benih padi, penggunaan pekerja asing di bot nelayan tempatan dan lain-lain.

Categories
NASIONAL

Waspada janji Najib kekal kadar GST

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 MEI: Rakyat diingatkan supaya lebih berwaspada terhadap janji Datuk Seri Najib Razak untuk mengekalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pada kadar enam peratus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Strategi Pusat KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, hal itu kerana Najib berkuasa menyemak semula kadar GST dalam Belanjawan 2019, dengan kemungkinan kadar sekarang hanya kekal untuk tempoh lima bulan sahaja lagi.

“Kami berpendapat pengumuman ini sekadar politik desperado sahaja. Beliau tahu rakyat begitu benci dengan GST dan jaminan Najib tidak pernah ditepati.

“Najib juga tidak mengumumkan kadar GST enam peratus itu akan kekal untuk tempoh berapa lama selepas PRU14.

“Jika beliau berjaya merompak mandat untuk memerintah negara, beliau sebenarnya akan mempunyai kuasa menyemak semula kadar GST dalam pembentangan Belanjawan 2019,” katanya dalam kenyataan.

Tze Tzin yang juga calon P52 Bayan Lepas berkata, rakyat sememangnya tidak boleh mengharapkan kadar GST kekal pada kadar enam peratus sahaja di bawah pentadbiran Najib.

Justeru, katanya, pilihan terbaik kini adalah menghapuskan GST dan memberi undi kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam PRU14.

“PAKATAN sendiri menawarkan untuk menghapuskan GST sebagai salah satu daripada 10 Janji dalam 100 hari, justeru pilihannya amat jelas iaitu undi PAKATAN.

“Pangkah KEADILAN untuk hapuskan GST,” katanya.

Categories
NASIONAL

Putrajaya tiada komitmen pulih imej polis

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Persekutuan didakwa tidak mempunyai kesungguhan memulihkan imej dan budaya korupsi yang dikaitkan dengan institusi polis di negara ini, kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata, kelemahan itu sekali gus mendorong kepada tanggapan negatif umum terhadap institusi kepolisan di negara ini.

“Sejak 2004 lagi, pimpinan pembangkang berkali-kali membawa usul supaya badan khas bertindak seperti IPCMC dibentang di Parlimen dan ditubuhkan.

“Tetapi Kerajaan Persekutuan tidak ke arah itu, sebaliknya terus melindungi budaya korup yang diamalkan pentadbiran Putrajaya ketika ini,” katanya kepada SelangorKini.

IPCMC merujuk kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis – berperanan menjalankan siasatan terhadap mana-mana anggota polis yang melanggar etika ketika menjalankan tugas.

Sebelumnya, Tze Tzin yang juga Pengarah Strategi KEADILAN mengulas tinjauan Transparency International-Malaysia (TI-M) yang mendedahkan kira-kira 57 peratus peserta hasil tinjauan itu merasakan institusi polis sebagai pasukan paling korup.

Sim Tze TzinHasil tinjauan turut menunjukkan 13% daripada responden pernah merasuah kakitangan polis.

Tze Tzin berkata, kebimbangan umum terhadap amalan korupsi polis boleh dikembalikan jika komitmen itu dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

“Ia tidak mengejutkan kalau sebuah badan khas ditubuhkan sejak awal lagi, budaya korupsi dan amalan rasuah itu mampu ditangani.

“Tetapi sejak 2004 gesaan supaya IPCMC ditubuhkan dan kini sudah hampir 13 tahun, tanggapan negatif masyarakat terhadap polis kekal negatif dan tidak pernah berubah,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan menolak cadangan penubuhan IPCMS kononnya tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan bertentangan dengan konsep keadilan.

-AA-

Categories
NASIONAL

Jangan tergesa-gesa lancar projek HSR

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 DIS: Kerajaan Persekutuan diingatkan untuk tidak tergesa-gesa melancarkan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang bakal menelan kos RM50 bilion.

Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sepatutnya diberikan peluang melancarkan perkhidmatan ETS (electric train service) antara Kuala Lumpur dan Singapura terlebih dahulu.

Katanya, keputusan untuk meneruskan HSR hanya boleh ditentukan selepas ETS mula beroperasi, pada 2020.

“Mengikut analisis pakar kewangan, projek HSR memerlukan 140 juta trip setahun untuk ‘break even’, bersamaan 384,000 trip setiap hari.

“Populasi Malaysia, Singapura dan pelancong tidak mencukupi untuk memenuhi 384,000 trip setiap hari.

“Maka, walau tidak diingini, projek HSR mungkin akan bankrap juga,” katanya dalam kenyataan.

Sim Tze TzinSebelum ini, media melaporkan perjanjian projek HSR Kerajaan Persekutuan dengan Singapura yang sepatutnya ditandatangani, pada 5 Disember lalu ditangguhkan ke 21 Disember ini.

Pada masa sama, Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, kos sebenar projek HSR dijangka jauh lebih tinggi ekoran inflasi juga nilai ringgit yang semakin lemah.

Katanya, kemampuan kerajaan untuk membiayai projek mewah itu juga meragukan dengan mengambil kira hutang negara yang menjangkau RM655 bilion dan faedah hutang RM73 juta ringgit sehari.

“Adakah kerajaan akan menjual tanah di sepanjang landasan HSR kepada syarikat dari China atau Jepun yang dijangka memenangi tender untuk membiayai kos tinggi projek berkenaan.

“Jika benar, ingin kita bertanya, berapa banyak tanah yang akan dikorbankan demi projek mewah HSR ini?” soalnya.

Buat masa ini, kerja pembinaan trek berkembar Gemas-Johor Bahru baru sahaja bermula dengan kos RM7.13 bilion dan dijangka siap penghujung 2020, sementara pembinaan HSR pula dijangka bermula pada 2018 dan siap, pada 2026.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Lawak terbesar negara bila Menteri akui SPRM tak siasat Riza, Jho Lo

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menjalankan siasatan terhadap Riza Shahriz Abd Aziz dan Low Taek Jho atau Jho Lo berhubung skandal 1MDB bukan sahaja mengejutkan.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin turut menganggap jawapan itu sebagai satu lawak jenaka paling besar di negara ini.

“Semalam saya tanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) adakah mereka dah siasat Jho Lo, Riza Aziz dan hari ini saya tanya Menteri di JPM adakah SPRM dah panggil mereka.

sim-tze-tzin“Jawapan Menteri hari ini mengejutkan saya lebih kerana SPRM tak jalankan siasatan kes 1MDB sebaliknya dijalankan Polis.

“Ini mengejutkan kerana ini adalah klepotrasi terbesar dalam dunia dan kalau sprm tidak jalankan siasatan kes 1MDB, apa maknanya ada SPRM. Ini adalah lawak terbesar negara ini,” kata Tze Hin.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya di Lobi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Terdahulu, Tze Hin dalam soalan lisannya meminta Perdana Menteri menjelaskan sama ada SPRM sudah memanggil Riza dan Jho Lo serta tempat dan tarikh pertemuan diadakan.

“Untuk makluman Yang Berhormat, pihak SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap kes 1MDB tetapi dijalankan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia,” jelas Seng Huan dalam jawapannya hari ini.

Jelas Tze Tzin, jawapan ini membuktikan SPRM tidak membuka kertas siasatan terhadap skandak 1MDB.

-nR-

Categories
NASIONAL

SPR didakwa belakangi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 20 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa membelakangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam membuat cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negara ini.

Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, keputusan dibuat SPR berkenaan perkara itu dilihat tidak mematuhi peraturan ditetapkan jawatankuasa terbabit yang ditubuhkan bagi penambahbaikan proses pilihan raya.

Katanya, penubuhan jawatankuasa pada 2012 dipengerusikan Datuk Dr Maximuss Ongkili itu dipersetujui kerajaan dan pembangkang.

“Kita melihat apa dibuat SPR melanggar keputusan dicapai Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang ditubuhkan di Dewan Rakyat.

“Jawatankuasa ini sudah mengadakan perbincangan dan membuat beberapa cadangan bagi tujuan itu tetapi sekarang kita lihat SPR bukan sahaja tidak mematuhinya, malahan melanggar peraturan juga pada pandangan kita satu penghinaan terhadap Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika ini bukan sahaja parti di dalam Pakatan Harapan (Pakatan) tidak bersetuju dan membantah cadangan SPR tetapi parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan Gerakan juga menyatakan pandangan sama.

“Maka, kita minta supaya cadangan SPR ini ditarik balik dan merujuk kembali syor dibuat jawatankuasa berkenaan,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

KEADILAN lancar HEAP, bantu pelajar buat rayuan

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 11 OGOS: KEADILAN melancarkan Portal Penasihat Pendidikan Tinggi (HEAP) bagi membantu pelajar gagal mendapatkan tawaran IPTA atau ditawarkan kursus luar pilihan.

Pengarah Strategik KEADILAN, Sim Tze Tzin, berkata laman web ini dibuka kepada semua pelajar lepasan STPM atau setaraf dengannya yang ingin mengadu kepada Ahli Parlimen KEADILAN.

“Mereka hanya perlu mengisi borang aduan di laman HEAP, heap.keadilanrakyat.org.

“Sejurus menerima aduan pelajar, kami akan mengumpulkan data diterima untuk dianalisis,” katanya.
Sim Tze TzinTze Tzin berkata, rayuan kepada HEAP adalah kaedah tambahan sahaja dan tarikh tutup penghantaran aduan adalah 22 Ogos 2016.

Namun, pelajar diwajibkan merayu terlebih dahulu kepada UPU menerusi laman upu.mohe.goy.my sebelum tarikh berkenaan.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, beliau berkata pengambilan pelajar IPTA pada 2016 seramai 39,862 orang adalah terendah sejak 2013.

Katanya, penurunan ini disyaki berkaitan pemotongan Bajet IPTA yang mendadak dalam Bajet 2016.

“Pemotongan bajet disebabkan pengurusan ekonomi songsang di bawah Perdana Menteri akibat gagal mengawal hutang negara selain dilanda pelbagai skandal seperti 1MDB.

“Sebenarnya banyak IPTA sekarang dalam keadaan kegawatan bajet,” katanya.

Dalam Bajet 2016, Kerajaan Persekutuan memotong peruntukkan bajet IPTA sebanyak 16.48 peratus yakni RM7.31 bilion untuk pada 2016.

Penurunan sebanyak RM1.44 bilion dicatatkan berbanding RM8.75 bilion pada 2015.

“KEDILAN berpendapat, pendudikan generasi muda adalah yang paling penting dalam pembangunan negara.

“Kerajaan seharusnya meningkatkan Bajet IPTA kerana ia merupakan pelaburan yang bijak,” katanya.

Categories
NASIONAL

Teruskan pencarian MH370 walaupun bersendirian

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 MAC: KEADILAN menggesa Kerajaan Malaysia meneruskan misi pencarian pesawat MH370 walaupun terpaksa melakukannya bersendirian.

Ia berikutan Joint Agency Coordination Center (JACC) mengeluarkan kenyataan bahawa selepas tamat tempoh pada Julai, 2016, Malaysia China dan Australia bersetuju tidak akan meneruskan kawasan pencarian jika tiada maklumat baru yang boleh dipercayai membawa kepada pengenalpastian lokasi tertentu pesawat.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata ahli keluarga MH370 mempunyai hak untuk diberi jawapan yang pasti kepada kehilangan pesawat utama Malaysia itu.

sim-tze-tzim“MH370 adalah tragedi paling serius dalam sejarah Malaysia dan salah satu misteri terbesar di dunia.

“Ahli keluarga perlu penutupan kepada tragedi itu dan dunia juga ingin tahu mengapa ia hilang.

“Oleh itu, kerajaan Malaysia perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya tidak kira berapa lama atau berapa banyak kos yang mungkin diperlukan,” katanya dalam kenyataan di Lobi Parlimen.

Jelasnya, KEADILAN juga bersolidariti ahli keluarga mangsa pesawat hilang tersebut dan berikrar memberikan sokongan tidak berbelah bahagi untuk misi pencarian itu diteruskan.

-nR-

Categories
NASIONAL

KEADILAN jangka ramai pemimpin pembangkang senasib Zuraidah

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 JAN: KEADILAN menjangkakan lebih ramai pemimpin pembangkang dihalang masuk ke Sarawak menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengarah Strategik KEADILAN, Sim Tze Tzin, berkata jangkaan itu berdasarkan kekerapan pemimpin yang tidak dapat masuk ke negeri itu sejak kebelakangan ini.

sim-tze-tzim“Sudah tentu ramai pemimpin yang tidak dibenarkan masuk. Malah kita menjangkakan lebih ramai lagi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini .

Tze Tzin berkata, tindakan halangan itu adalah salah disisi perlembagaan dan tidak berhak dihalang atas alasan politik.

Beliau menasihatkan supaya Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem membenarkan pemimpin pembangkang memasuki negeri itu dan bertanding secara adil.

“Cara ini salah dari segi perlembagaan. Ketua Menteri perlu benar-benar ikhlas dan membiarkan parti politik bertanding secara sama rata dan adil,” katanya.

Zuraidah Kamaruddin pink 01Baru-baru ini, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraidah Kamarudin dihalang memasuki negeri itu.

Penamaan calon ditetapkan pada 18 April dan PRN Sarawak ke 11 bakal diadakan 30 April ini.

PRN kali ini menyaksikan 82 buah kerusi dipertandingkan yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi selepas persempadanan semula diluluskan Disember 2015.

-nR-

Categories
NASIONAL

1MDB: Buka fail siasatan, beri kerjasama, jaga nama negara

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 JAN: Peguam Negara didesak untuk membuka semula fail siasatan bagi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Strategik KEADILAN, Sim Tze Tzin, berkata hal itu kerana skandal kontroversi terbabit tidak lagi dapat ditutup ekoran membabitkan banyak negara.

Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu menjawab secara jujur kerana membabitkan maruah dan nama baik Malaysia di persada Dunia.

sim-tze-tzim“Siasatan di Switzerland bukan siasatan yang baru. Mereka menjalankan siasatan sejak Ogos lalu dan mempunyai bukti yang kukuh sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Apa yang kita takut Malaysia tidak akan memberikan kerjasama seperti kes pada September lalu di mana Pegawai siasatan Malaysia membatalkan siasatan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Tze Tzin menasihatkan supaya Kerajaan Persekutuan berani berhadapan dan tidak lagi lari daripada sebarang siasatan berkaitan 1MDB.

“Apabila enam buah negara menyiasat perkara ini jadi sudah tentu Malaysia tidak lagi dapat lari.

“Isu ini adalah terburuk dalam sejarah Malaysia yang mana skandal ini dapat perhatian oleh seluruh dunia.

“Kalau hendak naikkan nama Malaysia, perlulah menjawab dengan jujur. Peguam Negara perlu membuka semula fail kes ini,” katanya.

1MDBSebelum ini, Ketua pendakwa Switzerland berkata satu siasatan ke atas firma milik kerajaan, 1MDB, didakwa mendedahkan bahawa kira-kira AS$4 bilion (RM16.6 bilion) diselewengkan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan Malaysia.

Pejabat Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber, berkata ia secara rasmi meminta Malaysia membantu siasatannya terhadap kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang negara itu yang berkaitan dengan dakwaan sogokan kepada pegawai asing, salah laku di pejabat awam, pengubahan wang haram dan dakwaan berlaku jenayah salah urus di firma itu.

-nR-

Categories
NASIONAL

Perisian pengintipan: Putrajaya patut beri penjelasan

OLEH: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 JAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azlina Othman perlu menjawab dakwaan jika syarikat Kementerian Kewangan memainkan peranan pada pilihan raya umum ke-13.

Pengarah Stategik KEADILAN, Sim Tze Tzin, berkata sebelum ini jawapan bertulis di Parlimen pada November lalu menjelaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin menggunakan perisian pengintipan.

sim-tze-tzimKatanya, bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebelum ini menafikan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menggunakan perisian itu.

“Jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low menyatakan badan anti rasuah itu mendapat perkhidmatan dari syarikat Kementerian Kewangan.

“Dalam jawapan bertulis itu, Low berkata SPRM memerlukan teknologi baru untuk menjalankan tugasnya dan mendapat peralatan teknikal dan operasi yang terkini dan bersesuaian dari mana-mana syarikat pembekal,” katanya dalam kenyataan.

Tze Tzin berkata walaupun Low tidak menyatakan perisian itu diperoleh dari syarikat itu, jawapan menteri itu bukti dakwaan Rozario, dan bercanggah dengan jawapan Menteri, Azalina sebelum ini.

“Dengan lebih banyak bukti keluar mengesahkan dakwaan Rozario, adalah penting bagi PMO menjawab secara serius sama ada ia membeli spyware dari Hacking Team.

“Jika ya, adakah PMO mempunyai autoriti atau kuasa (di bawah undang-undang) untuk menggunakan spyware?,” soalnya.

EZY

Categories
NASIONAL

Jangan melatah dengan Belanjawan Pakatan

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Pimpinan Pakatan Harapan (Pakatan) menolak tanggapan bahawa pembentangan belanjawan 2016 dibuat gabungan itu tidak realistik dan mahu meraih populariti rakyat.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata dalam sistem demokrasi berparlimen dan Westminster di negara-negara Komenwel, ia adalah amalan biasa dipraktikkan pembangkang.

sim-tze-tzim“Kita sediakan belanjawan alternatif sebagai persediaan mengambilalih pimpinan kerajaan.

“Kita tunjuk kepada rakyat kita mampu bersaing dengan kerajaan bagi mentadbir urus ekonomi ke arah lebih baik,” katanya kepada Selangor Kini di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Tze Tzin berkata, biarpun kerajaan mempunyai pelbagai kemudahan dan akses meluas selain dibantu jabatan serta agensi tertentu tetapi belanjawan dikemukakan Pakatan mungkin lebih baik kerana mendampingi rakyat.

Katanya, apa dinyatakan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkaitan belanjawan Pakatan adalah kebimbangan Umno-BN ekoran pelbagai masalah dibebani rakyat ketika ini.

Sebelum ini, Annuar menyifatkan belanjawan Pakatan hanya mahu menarik perhatian dan meraih populariti rakyat.

Belanjawan Pakatan“Mereka takut kehilangan sokongan kerana menyusahkan rakyat dengan kenaikan harga harga tol dan minyak, subsidi dikurangkan.

“Apabila kita bertindak sebaliknya, sudah tentu rakyat beri perhatian,” kata Tze Tzin.

Semalam, Pakatan membentangkan belanjawan 2016 dengan unjuran defisit kurang RM8 bilion berbanding Umno-BN selain pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta beberapa perkara lain bagi mengurangkan bebanan rakyat.

-nR-