Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Junjung titah nasihat Sultan, DNS mercu tanda demokrasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 JUL: Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Sue Lim dan Timbalan Speaker, Mohd Khairuddin Othman menjunjung titah nasihat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menjaga imej Dewan Negeri Selangor (DNS) sebagai mercu tanda demokrasi.

Sue Lim berkata, baginda sangat prihatin terhadap perkembangan DNS yang menjadi contoh kepada dewan-dewan lain di negara ini.

“Suasana mengadap berlangsung dalam suasana ceria, baginda sangat gembira dan prihatin terhadap perkembangan DNS yang selama ini menjadi mercu tanda demokrasi.

“Ia juga menjadi teladan negeri lain sejak 2008 setelah melalui proses reformasi di bawah Dato’ Speaker ketika itu, Dato’ Teng Chang Kim dan selepas itu disusuli dengan Hannah Yeoh.

“Sekarang tiba pula giliran saya dan berharap dapat meneruskan kecemerlangan ini bagi memastikan DNS lain daripada yang lain,” katanya selepas sembah mengadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan di sini, semalam.

Sue Lim berkata, dalam pertemuan berlangsung selama kira-kira satu jam 30 minit itu, baginda turut bertitah supaya kekecohan yang berlaku di Dewan Parlimen baru-baru ini dijadikan iktibar dan perjalanan persidangan hendaklah dikendalikan dengan mengikuti Prosedur Piawaian Operasi (SOP), tertib dan terkawal sejajar dengan kemuliaan DNS.

Katanya, baginda juga menitahkan supaya semua Ahli Dewan Negeri (ADN) mematuhi kod etika pakaian ketika berada di DNS nanti.

“Saya dan timbalan saya sangat banyak menerima nasihat dan kami terima dengan hati terbuka dalam memastikan DNS terus bertenaga, berada di hadapan sebagai peneraju dewan di seluruh negara sebagai dewan yang demokratik, terbuka, dinamik dan berinovasi,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Khairuddin pula berkata, beliau akan memegang teguh titah amanat baginda yang mahukan supaya piawaian tinggi DNS dikekalkan dan tidak membelakangkan peraturan dewan.

Katanya, baginda juga menitahkan supaya pemimpin masyarakat khasnya Ahli Dewan Negeri ADN supaya tidak melupakan fakta sejarah bagi membentuk Selangor yang lebih baik di masa hadapan.

“Ini termasuk menyuburkan lagi keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat yang menuntut semua ADN tanpa mengira parti harus menjadi contoh teladan yang baik kepada rakyat.

“Bagaimana kita mahu menunjukkan contoh teladan yang baik jika sikap kita di dalam dewan tidak menghormati kemuliaan dewan itu sendiri,” katanya.

Katanya lagi, setiap ADN harus ingat bahawa tingkah laku mereka sepanjang Persidangan DNS berlangsung dapat disaksikan rakyat secara langsung menerusi TV Selangor khasnya.

“Kita kena jaga tingkah laku kita kerana ribuan rakyat memerhatikan dan menilai setiap tingkah laku kita dalam dewan termasuklah anak-anak kita,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pimpinan Selangor bincang lantikan Speaker DNS

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 JUN : Kerajaan Negeri sedang mengadakan perbincangan menyeluruh bagi menentukan individu berkelayakan untuk dipilih sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor dan Timbalannya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pelantikan dibuat sebelum Majlis Angkat Sumpah dibuat wakil rakyat negeri.

“Dalam jadual, Ahli Dewan Negeri (ADN) perlu mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri, pada 26 Jun ini.

“Justeru di peringkat Kerajaan Negeri kita sedang mengadakan perbincangan lanjut untuk menentukan pencalonan Speaker Dewan dan Timbalan Speaker Dewan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media di Pejabat Dato’ Menteri Besar, semalam.

Sebelum ini, laporan The Star memetik sumber portal itu mendedahkan, dua nama ADN yang disebut berkelayakan mengisi kekosongan jawatan itu.

Mereka adalah, ADN Paya Jaras; Mohd Khairuddin Othman dan ADN Sekinchan; Ng Suee Lim.

Bagaimanapun, bekas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali enggan mendedahkan sejauh mana kebenaran laporan berkenaan.

“Calon itu adalah ADN dalam kalangan Pakatan Harapan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Jangka Penstrukturan Air Selesai September – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 27062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Selangor bagi jam 6 pagi hingga 10 pagi tadi.

2. Kerajaan Negeri menjangkakan penstrukturan semula industri pembekalan air di Selangor akan selesai pada September tahun ini.

3. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Adun Kuala Besut, Dr Abdul Rahman Mokhtar yang disahkan meninggal dunia pagi semalam akibat kanser paru-paru.

4. Pimpinan DAP mendakwa dua menteri Kabinet yang dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menggotai barisan jemaah menteri memiliki ijazah palsu daripada institusi pemprosesan ‘kilang ijazah’ di Amerika Syarikat.

5. Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh mengariskan empat fokus utama pada penggal ini bagi memperkukuhkan kecemerlangan Dewan Undangan Negeri Selangor seterusnya kecemerlangan Pakatan Rakyat dalam menerajui negeri itu.