Categories
NASIONAL

TH akan lingkup jika terus ditadbir kerajaan lama

SEREMBAN, 8 APRIL: Tabung Haji (TH) akan terus mengalami kerugian teruk jika ia masih di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), isu kelemahan tadbir urus kewangan yang membelenggu TH sebelum ini sudah dan sedang diatasi.

Justeru, beliau mengingatkan pengundi supaya jangan termakan dakyah dan fitnah daripada pembangkang kononnya TH diuruskan DAP.

Beliau berkata demikian dalam ceramah PH di Kampung Mambaxu di sini, malam ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir dan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar.

Hadir sama, calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram.

Mohamad, yang juga Menteri Pertahanan, juga menegaskan bahawa di bawah kerajaan PAKATAN, bukan sahaja orang Melayu dibela bahkan semua kaum di negara ini turut terbela dan tuduhan pembangkang kononnya keistimewaan yang dinikmati kaum Melayu akan terhakis adalah tidak benar.

Beliau berkata UMNO dan PAS memainkan sentimen perkauman untuk menarik orang Melayu dengan mendakwa PH dikuasai oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan.

Dalam pada itu, Mohamad menyeru pengundi DUN Rantau khususnya orang Melayu tidak mempercayai momokkan bahawa nasib mereka tidak terbela di bawah PH dan menyokong calon PAKATAN bagi kelestarian kehidupan dan kawasan berkenaan.

PRK DUN Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, calon Barisan Nasional (BN) yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Prokas tidak urus aset TH – Mujahid

KUALA LUMPUR, 2 APR: Syarikat tujuan khas (SPV), Prokas Sdn Bhd berperanan menjalankan proses rehabilitasi kesemua aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang tidak menguntungkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Muhajid Yusof.

Beliau menegaskan SPV itu tidak menguruskan aset dan harta TH, sebaliknya harta itu diuruskan oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang mempunyai kuasa eksekutif.

“Keputusan semua akan kembali pada ahli lembaga pengarah SPV iaitu Urusharta Jamaah,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.

Isu berkenaan dibangkitkan blok pembangkang yang mendakwa aset TH dikawal oleh ​​​​​​​bukan ​​​​​​​Islam ​​​​​​​yang diketuai Chen Yin Heng selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

Mujahid berkata, Lembaga Pengarah UJSB terdiri daripada antaranya Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebagai Pengerusi UJSB, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir dan Rashidah Mohd Sies selaku Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan.

Dalam pada itu, Mujahid berkata pengagihan hibah TH akan dilakukan setelah semakan terhadap kedudukan kewangan bagi 2018 dimuktamadkan.

“Dengan kata lain, tidak lagi dimuktamadkan kerana kita masih lagi terikat dengan pelbagai kekangan untuk memastikan kedudukan kewangan yang berakhir 2018 mematuhi sepenuhnya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia iaitu polisi tentang rosot nilai,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan usul menjunjung ​​​​​​​kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bakal haji terima surat tawaran perlu sahkan status

IPOH, 17 FEB: Bakal jemaah haji yang menerima surat tawaran menunaikan fardu haji perlu memberi pengesahan status mereka di pejabat cawangan Tabung Haji (TH) berhampiran dalam tempoh dua minggu.

Menteri di Jabatan Perdana, Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ini kerana mereka yang layak perlu menandatangani surat pengesahan sama ada berkemampuan atau tidak untuk menyempurnakan kerja-kerja haji dan ibadah lain semasa di Tanah Suci.

Katanya, pengesahan itu penting untuk mengemaskini sistem dan memberi laluan kepada bakal jemaah yang membuat rayuan.

“Sering kali apabila mereka menerima surat tawaran, dia ingat sudah selesai dan boleh pergi tanpa datang ke pejabat untuk tujuan pengesahan.

“Pengesahan ini penting kerana jemaah haji yang betul-betul boleh pergi, nama mereka akan dimasukkan ke dalam sistem, kerana kalau mereka tidak boleh pergi, kita akan keluarkan dari senarai dan memberi laluan kepada bakal jemaah yang membuat rayuan,” katanya.

Mujahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Tahun Baru Cina yang disertai kira-kira 500 orang termasuk golongan mualaf di Masjid Muhammadiah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mujahid menasihati bakal jemaah haji untuk tidak mudah mempercayai berita palsu di media sosial, berhubung pelbagai isu yang ditularkan mengenai Lembaga Tabung Haji.

Beliau berkata, isu yang dibangkitkan pihak tidak bertanggungjawab boleh menimbulkan keraguan dan kesangsian, serta rasa cemas orang ramai terhadap agensi berkenaan.

“Saya minta mereka jangan menularkan berita yang tidak betul kononnya kerajaan (PAKATAN) tidak prihatin terhadap jemaah haji, kononnya hendak mansuhkan subsidi (kos mengerjakan haji), tidak peduli orang susah.

“Bagi saya isu yang ditimbulkan ini lebih kepada politik kerana ada pihak yang sentiasa menunggang isu agama semata-mata untuk meraih simpati dan sentimen kononnya kerajaan hari ini tidak prihatian kepada jemaah haji. Jangan mudah percaya kepada Whatsapp, percaya kepada TH,” katanya.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

TH belum muktamad pemohonan rayuan haji

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) belum memuktamadkan atau mengeluarkan surat tawaran kepada semua pemohon rayuan haji yang berjaya.

TH dalam kenyataan hari ini berkata, sehingga kini pihaknya masih dalam proses penilaian setiap permohonan rayuan secara individu dengan mengambil kira semua kategori rayuan yang akan dinilai dengan terperinci.

“Sebarang keputusan bagi rayuan haji akan dipertimbangkan dengan berasaskan prinsip istito’ah (kemampuan).

“Surat tawaran akan dimaklumkan kepada pemohon rayuan haji yang berjaya sahaja dalam masa terdekat. TH berharap semua pihak bersabar menunggu keputusan rayuan masing-masing,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kos sebenar mengerjakan haji pada musim 1440 Hijrah/2019 Masihi ialah RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah.

Kos itu menurut TH, merangkumi bayaran harga tiket penerbangan carter pergi-balik, penginapan, pengangkutan, sajian makanan dan bayaran kepada pihak berkuasa Arab Saudi bagi tempoh lebih 40 hari jemaah berada di tanah suci.

“Ini belum mengambil kira perbelanjaan TH untuk menyediakan perkhidmatan secara percuma seperti pelbagai kursus haji di seluruh negara, urusan stesen berlepas dan ketibaan di tanah air, pemeriksaan kesihatan, bekalan ubat-ubatan, buku-buku bimbingan, pembimbing ibadat haji, kaunter kewangan, kaunseling dan petugas haji, perubatan serta peronda,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengumumkan bayaran menunaikan haji bagi jemaah haji muassasah yang menunaikan haji kali pertama kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920.

Kos menunaikan haji tahun ini ialah sebanyak RM22,900 berbanding RM22,450 pada musim lalu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pendeposit TH patut lega, jangan layan golongan rasis pekat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 DIS: Golongan mendakwa langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menyelia perkembangan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai percubaan pihak tertentu merosakkan institusi itu dibidas.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, dakwaan ini hanyalah suara golongan berfahaman rasis pekat dan tidak berlandaskan fakta sebenar.

“Dakwaan kononnya TH diletak bawah BNM, BNM bawah Menteri Kewangan yang seterusnya percubaan untuk ambil alih dan rosakkan TH sebenarnya bermain sentimen, bukan fakta tetapi retorik yang tak berasaskan fakta dikeluarkan oleh suara yang pekat fahaman rasisnya.

“Apabila orang yang tak reti kewangan ini kata BNM ambil alih urusan TH, itu adalah pandangan yang tak betul tetapi sebenarnya BNM hanya menyelia, fokus untuk membantu TH sehinggalah dipulihkan sementara TH terus menguruskan asetnya,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau yang juga Bekas Timbalan Pegarah BNM itu berkata, justeru pendeposit TH wajar berasa lega ekoran BNM mengaktifkan langkah penyeliaannya terhadap institusi itu.

Katanya, langkah ini mampu menyelamatkan TH daripada terjebak dengan masalah aset dan kerugian lebih buruk.

“Sebelum ini BNM hanya pandang atau pantau dari jauh sahaja tetapi bila TH bermasalah barulah BNM mengaktifkan penyeliaannya terhadap TH,” katanya.

Categories
NASIONAL

TH disaran kaji tubuhkan syarikat penerbangan haji serantau

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 JUN: Lembaga Tabung Haji (TH) disaran supaya mengkaji untuk menubuhkan syarikat penerbangannya sendiri bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan haji di Malaysia dan beberapa negara serantau lain.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, beliau yakin cadangan itu boleh dilaksanakan dan mampu memberi pulangan menguntungkan kepada TH sendiri.

“Saya sendiri suka melihat Tabung Haji mempunyai penerbangannya sendiri dan saya dah kaji ianya boleh dilaksanakan dan berbaloi tetapi perlukan kajian teliti terlebih dahulu.

“Saya juga pernah dengar pandangan beberapa sahabat saya dalam dan luar negara yang terlibat dalam industri penerbangan yang mengatakan langkah ini berbaloi dan berdaya maju,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Rosli berkata, selain memberi perkhidmatan membawa jemaah haji Malaysia, syarikat itu juga boleh menjalankan operasinya di beberapa negara lain seperi Indonesia dan China.

Katanya, melalui cara itu, pendapatan TH dapat ditingkatkan dan sekaligus memberi pulangan lebih tinggi kepada pendeposit.

“TH perlu menceburi perniagaan yang berpotensi dan berdaya maju demi kestabilan kewangan TH dalam jangka masa panjang,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Tabung Haji disaran kaji semula pelaburan berkaitan 1MDB

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 JUN: Lembaga Tabung Haji (TH) disaran supaya mengkaji pelaburannya khasnya membabitkan pelaburan berkaitan syarikat sarat kontroversi, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, langkah itu perlu diambil bagi memastikan kewangan dan hala tuju Tabung Haji berada di landasan yang tepat selain memelihara kepentingan penyimpan.

“Kita kena tengok semula portfolio pelaburan TH. Kita kena pastikan pelaburan Tabung Haji itu mestilah diteliti supaya pulangan kepada pelabur boleh ditambahbaik.

“Nilaikan semula pelaburan terutamanya berkaitan 1MDB. Antaranya langkah membeli tanah pada harga yang tak wajar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Rosli berkata, selain itu TH juga wajar mempertimbangkan pelaburan melibatkan cabang perniagaan baru yang berpotensi menjana pulangan lebih baik kepada pendeposit.

Sebelum ini, TH dilaporkan membeli tanah pada nilai yang sangat tinggi bagi tujuan pelaburan hartanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX).

TRX adalah projek yang dibangunkan 1MDB dan langkah membeli tanah oleh TH itu dilihat sebagai usaha menebus sebahagian hutang 1MDB yang bernilai RM42 bilion.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

Tabung Haji gesa orang ramai kemas kini akaun deposit

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 30 MEI: Orang ramai disaran supaya mengaktifkan kembali akaun pendeposit Tabung Haji (TH) sebelum 8 Jun depan.

Akaun yang tidak aktif melebihi tujuh tahun akan dipindahkan ke Akaun Tidak Aktif dan tidak akan menerima Hibah Tahunan atau Hibah Haji mulai 2018.

Menurut TH, langkah itu sebagai langkah keselamatan serta melindungi akaun pelanggan daripada sebarang transaksi yang mencurigakan.

“TH telah mengenalpasti hampir 500,000 akaun pendeposit TH tidak aktif dengan jumlah simpanan sebanyak RM62.8 Juta.”

“Para pendeposit boleh mengaktifkan akaun dengan melakukan satu transaksi di semua cawangan TH atau rakan strategik seperti Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank,” katanya dalam kenyataan.

TH juga menasihatkan orang ramai mengemas kini maklumat seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris untuk memudahkan urusan penghantaran surat tawaran haji.

Katanya, jika TH tidak dapat menghubungi pendeposit, bakal haji berkemungkinan akan terlepas giliran haji pada tahun berkenaan dan perlu menunggu tahun yang seterusnya untuk mengerjakan ibadah haji.

Categories
EKONOMI

Hampir 500,000 akaun pendeposit TH tidak aktif

KUALA LUMPUR 25 APR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengenal pasti hampir 500,000 akaun pendeposit TH yang tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut.

“Ia membabitkan jumlah simpanan RM62.8 juta. Semua akaun ini akan diklasifikasikan sebagai ‘Akaun Tidak Aktif’ mulai 1 Jun 2018,” demikian menurut TH dalam sebuah kenyataan di sini hari ini.

TH menasihati pendeposit terbabit supaya mengaktifkan akaun masing-masing dengan melakukan sekurang-kurangnya satu aktiviti transaksi simpanan atau pengeluaran wang di mana-mana cawangan TH, kaunter atau transaksi dalam talian rakan strategik TH-Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank, dan membuat urusan simpanan dengan pelbagai saluran Ejen Kutipan TH sebelum 31 Mei 2018, di seluruh negara.

TH berkata, ia akan memindahkan akaun yang masih tidak diaktifkan ke dalam kumpulan ‘Akaun Tidak Aktif’ bermula 1 Jun 2018.

“Setiap tahun, TH sentiasa mengingatkan pendeposit untuk memastikan status akaun sentiasa aktif, terkini dan mengemas kini data peribadi agar kepentingan dan kebajikan para pendeposit sentiasa terjaga,” kata TH.

Pengemaskinian maklumat pendeposit seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris adalah untuk kebaikan pemilik akaun dan penting untuk memudahkan TH menghubungi bakal haji atau waris untuk urusan surat penghantaran tawaran haji dan pengurusan harta.

“Sekiranya TH tidak dapat menghubungi pendeposit, bakal haji berkemungkinan akan terlepas giliran haji pada tahun berkenaan serta perlu menunggu pada tahun yang seterusnya untuk mengerjakan ibadat haji,” kata TH.

TH berkata, pendeposit atau anak di bawah jagaan yang kehilangan buku akaun, dipohon untuk datang ke mana-mana cawangan TH dengan membawa kad pengenalan/sijil kelahiran bagi tujuan semakan, penggantian buku baharu dan kemas kini maklumat.

Bagi sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 03-6207 1919.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tabung Haji umum hibah 6.25%

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 FEB: Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan hibah atau bonus kepada pendeposit 4.50 peratus dan tambahan hibah haji 1.75 peratus kepada yang belum menunaikan haji, bagi tahun kewangan 2017.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ia membabitkan pembayaran berjumlah RM2.7 bilion.

Katanya, bayaran hibah 6.25 peratus akan memberi manfaat kepada 93 peratus atau 8.7 juta pendeposit yang belum menunaikan ibadat haji.

“Bagi 600,000 pendeposit yang sudah menunaikan haji akan menerima hibah 4.50 peratus,” katanya ketika mengumumkan agihan hibah itu.

Jamil Khir berkata, pengagihan hibah itu mengambil kira pembayaran zakat sebanyak RM68 juta kepada semua pusat pungutan zakat negeri dan asnaf yang layak, di seluruh negara.

TH mencatatkan prestasi kewangan lebih baik pada tahun 2017 berbanding 2016 dengan pendapatan kasar meningkat RM1.1 bilion atau 31 peratus kepada hampir RM4.5 bilion berbanding tahun kewangan 2016 sebanyak RM3.4 bilion.

Untuk rekod, TH mengumumkan 4.25 peratus hibah tahunan dan tambahan hibah haji 1.5 peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan haji bagi tahun kewangan 2016 membabitkan pembayaran berjumlah RM2.88 bilion.

Pendeposit boleh mula menyemak pengkreditan hibah TH 2017, pada 12 Februari lalu.

TH juga merekodkan keuntungan bersih selepas zakat hampir RM2.8 bilion iaitu peningkatan RM0.3 bilion (13%) berbanding tahun 2016 sebanyak RM2.5 bilion,” katanya.

Sementara itu, anak syarikat TH turut menyumbang kepada pendapatan terbabit sebanyak RM1.1 bilion antaranya BIMB Holdings Berhad (RM706 juta), TH Properties Sdn Bhd (RM113 juta), Kumpulan TH Hotel & Travel (RM104 juta), TH Trust (RM82 juta), Kumpulan LTH Property Holdings Ltd (RM82 juta) dan TH Plantations Berhad (RM50 juta).

 

Categories
NASIONAL

Pendeposit TH disaran kemas kini profil peribadi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JAN: Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) disarankan supaya mengemas kini profil peribadi masing-masing sekiranya terdapat sebarang perubahan alamat, nombor telefon dan penamaan waris.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, ia bertujuan memudahkan pihaknya menghubungi pendeposit serta mengelakan kes surat tawaran haji tidak sampai kepada penerima.

Katanya, setakat ini hanya 2.9 juta pendeposit sudah mengemas kini profil peribadi masing-masing, berbanding 9.3 juta jumlah keseluruhannya.

“Saya berharap semua pendeposit mengambil perhatian dan tindakan susulan bagi memastikan kelancaran penyaluran makluman penting oleh TH kepada pendeposit,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, proses kemas kini itu boleh dilakukan di mana-mana Pejabat Cawangan TH, Pusat Perkhidmatan TH dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

“Proses itu juga boleh dilakukan di mana-mana kaunter rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamik di seluruh negara,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji di 03-6207 1919.

Categories
NASIONAL

Kos tunai haji kekal RM9,980

SHAH ALAM, 5 JAN: Pelaksanaan Cukai Nilai Tambah (VAT) pada kadar lima peratus yang diperkenal Kerajaan Arab Saudi tidak memberi impak secara langsung kepada jemaah haji muassasah kali pertama.

Justeru, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah berkata, kos bayaran haji kekal RM9,980.

“TH sedia maklum dan mengambil kira faktor cukai nilai tambah terbabit dalam pengiraan kos operasi musim haji 1439 Hijrah/2018.

“Namun, keseluruhan subsidi haji yang akan ditanggung TH dijangka meningkat kepada RM400 juta,” katanya dalam kenyataan.

Johan berkata demikian mengulas rungutan dan kekeliruan orang ramai berkenaan pelaksanaan VAT dan kesan terhadap kos operasi haji serta jemaah, di negara ini.

VAT diperkenalkan di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) buat kali pertama, pada 1 Januari lalu, dengan lima peratus dikenakan terhadap kebanyakan barangan dan perkhidmatan.

TH dilaporkan menanggung lebih dari RM1 bilion subsidi haji, sejak 2009.