Categories
AGENDA NASIONAL

Tabung Haji lantik hampir 400 sukarelawan ‘Sahabat Maktab’

MAKKAH, 29 JULAI: Lembaga Tabung Haji (TH) melantik hampir 400 sukarelawan dalam kalangan jemaah haji sebagai ‘Sahabat Maktab’ yang berperanan membantu jemaah dan melancarkan operasi musim haji tahun ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, sukarelawan yang dipilih antara lain terdiri daripada mereka yang sihat tubuh badan, berusia muda, mempunyai pengalaman sebagai sukarelawan dan ada kepakaran diperlukan untuk membantu jemaah haji.

Beliau berkata, mereka yang dilantik sebagai Sahabat Maktab itu memohon sendiri untuk menjadi sukarelawan program itu, malah ada yang bertanya untuk memohon, ketika mengikuti kursus haji dianjurkan TH di tanah air.

“Ada tiga kategori (Sahabat Maktab) iaitu sahabat umum bantu kita untuk tugas umum, sahabat medic terdiri daripada sukarelawan ada latar belakang perubatan dan sahabat ibadah mereka punya latar belakang dan pengalaman agama bagi bantu pembimbing gerakkan aktiviti surau juga di Arafah dan Mina.

“Program ini bermula sejak 2006 dan ditambah baik daripada tahun ke tahun, ia memain peranan penting dalam membantu Tabung Haji menyantuni duyufurrahman (tetamu Allah) ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Sahabat Maktab di sini hari ini.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Syed Saleh berkata sembilan maktab penginapan kendalian TH di sini masing-masing akan mempunyai 35 hingga 40 sukarelawan Sahabat Maktab yang ia akan membantu petugas TH yang terhad untuk mengurus setiap maktab.

Beliau berkata sebagai seorang Sahabat Maktab, mereka perlu mempunyai sifat tidak pentingkan diri sendiri dan suka membantu orang lain.

“Ia memerlukan pengorbanan yang amat besar, malah di Arafah dan Mina ketika jemaah berada dalam khemah, mereka di luar dalam cuaca panas membantu jemaah haji untuk pergi melontar dan pelbagai lagi, kami di Tabung Haji ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada mereka semua,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Aset Tabung Haji kembali kukuh

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Pelan rasionalisasi serta langkah penyusunan semula kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah kerajaan Pakatan Harapan berjaya mengukuhkan asetnya melebihi liabiliti, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan situasi kewangan TH sudah hampir pulih seterusnya memberi manfaat kepada para pendeposit TH.

“Apabila TH buat rasionalisasi kita kenal pasti syarikat-syarikat yang ‘non performance’ serta telah dikeluarkan dan diletakkan di dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV). Apabila kita betulkan, jumlah kesemuanya setelah kita transfer kepada SPV itu ialah lebih kurang RM 19.1 bilion iaitu nilaian yang diganti ke dalam akaun TH sekarang.

“Apabila perkara ini berlaku maka telah dipenuhi dua syarat dalam Akta Tabung Haji iaitu aset mesti melebihi liabiliti dan keuntungan mesti mencukupi untuk beri hibah,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Sabani Mat mengenai apakah jaminan kerajaan mengenai pelan rasionalisasi TH yang dilaksanakan akan memberi pulangan dividen yang tinggi kepada pendeposit.

Fuziah berkata apabila hanya syarikat yang berprestasi baik yang kini tinggal di dalam TH, ia akan memberikan satu pulangan serta hibah lebih baik, pada masa akan datang.

TH mengumumkan pengagihan hibah bagi tahun kewangan 2018 sebanyak 1.25 peratus,

Ia turut merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM440 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019.

TH juga telah merekodkan pendapatan berjumlah RM623 juta bagi tempoh dikaji dan jumlah asetnya juga melebihi jumlah liabiliti RM1.2 bilion.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tunai haji guna saluran betul

MAKKAH, 23 JULAI: Orang ramai yang berhasrat menunaikan fardu haji disaran mengikut prosedur permohonan visa melalui saluran yang betul, kata Lembaga Tabung Haji (TH).

TH dalam kenyataan berkata, permohonan mengerjakan haji warganegara Malaysia menetap di Malaysia tertakluk kepada giliran haji bakal jemaah mengikut tahun pendaftaran dan permohonan, kelulusan serta pengeluaran visa perlu diperoleh melalui Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

“Permohonan untuk melaksanakan haji bagi visa haji Furada adalah di luar bidang kuasa TH, namun kedua-dua permohonan visa haji itu mestilah dilaksanakan di Kuala Lumpur.

“Sistem e-Haj bagi visa haji yang dilaksanakan Kerajaan Arab Saudi memerlukan pemohon melengkapkan data seperti perjanjian perumahan di Madinah dan Makkah; perjanjian pengangkutan pergi dan balik dari negara asal; perjanjian sajian makanan serta perjanjian bersama Muassasah,” katanya.

Katanya, umum sedia maklum, warganegara Malaysia yang ingin berkunjung ke Arab Saudi pada bila-bila masa, memerlukan visa sama ada visa umrah, haji, ziarah, urusan perniagaan atau visa bekerja.

Kenyataan itu berkata, TH amat menitikberatkan isu keselamatan jemaah haji dan khuatir dengan tindakan beberapa pihak mutakhir ini yang ingin menunaikan ibadat haji melalui jalan darat seperti menggunakan basikal, motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.

“Penggunaan jalan darat terdedah kepada risiko keselamatan, kemalangan, kegagalan mendapat visa sekali gus menghalang niat menunaikan haji,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman sebagai berkata, TH sentiasa mematuhi prosedur permohonan visa haji dan permohonan luar daripada prosedur ditetapkan dan ketidakpatuhan proses boleh menjejaskan hubungan baik dua negara.

“Kelulusan visa haji adalah hak mutlak kerajaan Arab Saudi. Walaupun ada kemampuan kewangan, umat Islam perlu faham bahawa kewajipan haji merangkumi penggiliran dalam kuota haji, kesihatan dan keselamatan sepanjang perjalanan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

TH patuhi larangan guna gas memasak cecair

MAKKAH, 20 JULAI: Lembaga Tabung Haji (TH) mematuhi langkah dibuat kerajaan Arab Saudi yang melarang penggunaan gas memasak cecair di semua kawasan di Tanah Suci semasa musim haji kali ini.

Pengurus Operasi TH (Katering), Mohd Nober Kassim berkata, kesemua tujuh dapur atau syarikat perkhidmatan katering yang diberikan kontrak oleh TH mematuhi langkah itu dan TH komited untuk memastikan kepatuhan itu semasa tempoh Masyair.

“Memasak ketika tempoh Masyair dikendalikan oleh pengurus operasi Masyair yang akan memastikan semua aktiviti memasak mematuhi langkah yang dikenakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Katering dan Perkhidmatan Alwafa, Ahmad Abdullah yang mengendalikan satu daripada dapur kontrak TH dalam sidang akhbar sama berkata, langkah itu tidak akan memberi kesan langsung kepada operasi pihaknya buat masa ini.

“Pihak kami tiada masalah di dapur, tetapi ada hotel di Tanah Suci yang akan terjejas. Tetapi pada masa hadapan, kerajaan mahu kami menggunakan dapur elektrik dan kami akan mematuhinya,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Saudi Press Agency (SPA) melaporkan Menteri Dalam Negeri, Putera Abdulaziz bin Saud bin Naif bin Abdulaziz mengeluarkan larangan itu untuk memastikan keselamatan jemaah haji terjaga dan dapat melakukan ibadah haji dengan lancar dan selamat.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Media main peranan salur malumat sahih haji

MAKKAH, 17 JULAI: Pasukan media Lembaga Tabung Haji (TH) yang terdiri daripada petugas media Malaysia dan TH memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat tentang perjalanan musim haji tahun ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, dengan maklumat yang disalurkan pasukan media itu, jemaah haji dan waris mereka di tanah air mendapat gambaran sebenar tentang keadaan di Tanah Suci serta isu berbangkit.

Beliau berkata, TH juga mempunyai pasukan media yang memantau isu yang dibangkitkan pengguna media sosial dan akan memberikan menjelasan dan gambaran sebenar berhubung perkara itu.

“Kita faham ada isu cuba diputar belitkan, pihak pasukan media akan beri gambaran betul supaya isu ini tidak disalah erti oleh masyarakat. TH sendiri ada pelbagai landasan media sosialnya sendiri.

“TH juga mempunyai akaun Twitter, Facebook, Instagram dan sebagainya yang mana semuanya ini cara kita menyalurkan maklumat dan perkembangan terkini jemaah di Tanah Suci,” katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau berkata jemaah haji dan waris mereka dinasihat mendapatkan maklumat sebenar daripada sumber media yang sahih.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu pada musim haji tahun ini dibantu 640 petugas TH.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

TH nasihat jemaah haji dapatkan bimbingan jika hadapi masalah

KUALA LUMPUR, 6 JUL: Jemaah haji yang berdepan masalah atau kemusykilan dalam menjalani ibdah umrah dan haji dinasihat mendapatkan bimbingan guru pembimbing disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) di Tanah Suci.

Pengurus Ibadat Madinah TH, Mohd Zamri Ramli berkata, pihaknya menyediakan 12 guru pembimbing di Madinah bagi membantu menjawab serta membimbing jemaah dan mereka boleh terus berhubung atau berjumpa dengan guru pembimbing ditugaskan di zon hotel penginapan masing-masing.

Beliau berkata, ceramah dan sesi ulangkaji mengenai ibadat umrah dan haji juga turut diadakan bagi mengingatkan semula jemaah mengenai ibadah yang akan dijalankan.

“Mereka juga boleh menghubungi talian hotline yang tertera pada tali tanda nama mereka pada bila-bila masa.

“Petugas yang menjaga talian hotline itu akan menjawab setiap kemusykilan terutama ketika jemaah berada di luar serta sedang melakukan ibadah,“ katanya pada sidang media di Madinah yang dikongsikan TH kepada Bernama di sini, hari ini.

Sejumlah 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima itu tahun ini dibantu oleh 640 petugas daripada TH.

Mohd Zamri, 38, berkata masalah dan kemusykilan ibadah yang paling tinggi diterima pihaknya adalah berkenaan kesihatan wanita seperti permasalahan haid, manakala lelaki turut mengemukakan masalah kesihatan seperti kencing tidak lawas.

“Biasa setiap persoalan itu akan dijawab dengan teliti bagi memberi kefahaman kepada jemaah yang bertanya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Petugas Tabung Haji mula tiba di Makkah dan Madinah

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Kumpulan seramai 151 lagi petugas Tabung Haji (TH) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada 27 Jun lalu.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kumpulan kedua itu adalah petugas awal yang tiba bagi membuat persiapan menyambut ketibaan jemaah haji kira-kira seminggu lagi.

Sebelum ini, kumpulan pertama petugas terdiri daripada 13 orang tiba pada 23 Jun lalu.

“Mereka adalah sebahagian dari 640 orang petugas yang akan menyantuni jemaah haji negara pada musim haji kali ini. Kumpulan petugas lain akan tiba secara berperingkat bersama jemaah haji bermula 4 Julai ini.

“Para petugas haji yang tiba dengan berpakaian ihram ini telah menunaikan umrah sebelum bergerak ke sektor masing-masing di Makkah dan Madinah pada hari Jumaat, 28 Jun,” menurut kenyataan itu.

Suasana di Makkah dan Madinah masih lengang kerana jemaah haji dari seluruh dunia hanya akan mula memasuki Makkah dan Madinah secara berperingkat bermula 1 Zulkaedah atau 4 Julai ini.

Cuaca pada musim haji tahun ini dijangka panas dengan suhu terkini sudah mencecah 32 hingga 47 darjah Celsius dan ia merupakan salah satu cabaran bagi 30,200 Jemaah Haji Malaysia sepanjang mengerjakan haji, menurut kenyataan itu lagi.

TH menyediakan sebanyak 62 penerbangan sewa khas yang akan membawa jemaah haji sehingga 4 Ogos 2019. Hari wuquf dijangka pada 9 Zulhijjah bersamaan 10 Ogos ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor berkenan terima zakat Tabung Haji RM24.7 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat RM24.7 juta daripada Tabung Haji (TH), hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Dato’ Sri Zukri Samat menyampaikan cek zakat itu ketika Majlis Penyempurnaan Kursus Haji Perdana 1440H/2019M Peringkat Selangor.

Penyerahan itu dilakukan di hadapan lebih 3,000 peserta kursus haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Selangor adalah penerima zakat TH tertinggi berbanding negeri lain dan ia meningkat 26.3 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM19.5 juta.

Zukri dalam sembah ucapannya berkata, sokongan dan kepercayaan berterusan dari semua pihak adalah penting bagi memastikan TH terus teguh dan maju.

“Sesungguhnya tanggungjawab mengurus simpanan dan urusan haji adalah amanah yang besar dan tidak diambil mudah oleh pihak kami.

“Kami berharap semua pihak dapat mendoakan agar Allah SWT memelihara dan memberi keberkatan kepada warga Tabung Haji dalam usaha memartabatkan perkhidmatan kepada umat Islam Malaysia,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Misi selamatkan TH kejayaan besar PAKATAN – Mujahid

PUTRAJAYA, 30 APR: Kejayaan menyelesaikan kemelut Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan antara pencapaian besar Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam setahun mentadbir negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, keutamaannya adalah untuk mengembalikan kredibiliti TH serta mengukuhkan semula kedudukan institusi kewangan Islam itu yang berada di bawah portfolionya.

Katanya, setelah melalui proses pemulihan dan penstrukturan semula, TH telah kembali kepada landasan asal dan kini menuju jalan ke arah masa hadapan yang lebih baik.

“Kita telah mulakan pakej menyelamatkan TH sejak kita (PAKATAN) ambil alih pentadbiran negara. Pada Disember 2018 kita isytiharkan kedudukan TH yang amat menyedihkan dan berlakunya pelanggaran akta yang menyebabkan ia menjadi antara skandal yang besar dalam sejarah negara kita.

“Kita datang menyelamat bagi memastikan TH dan pendeposit serta wang mereka dijamin keselamatannya. Alhamdulillah telah kita lunaskan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini baru-baru ini sempena setahun pentadbiran PAKATAN.

TH berjaya mencatatkan jumlah aset RM76.5 bilion berbanding jumlah tanggungan RM75.5 bilion, sekali gus membolehkan agihan hibah tidak melebihi RM1 bilion dibuat bagi 2018 walaupun tidak pada kadar tinggi seperti sebelumnya memandangkan TH baru sahaja pulih.

Mujahid berkata usaha menyelamatkan TH itu adalah antara perkara utama yang dijanjikan PH dalam manifestonya selain skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pada 9 Mei lepas, PAKATAN mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 setelah 60 tahun mentadbir negara.

Mujahid berkata antara pencapaian lain di bawah pentadbiran kerajaan baharu itu adalah memperkasakan undang-undang Islam bagi membolehkan semua sekolah agama, pusat tahfiz dan tadika Islam di Wilayah Persekutuan berdaftar dan dikawal selia Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Selain itu, katanya, JPM bercadang memperkenalkan Mahkamah Khusus Kes Nafkah dan Hadnanah yang akan dibentang kepada Kabinet pada 8 Mei ini sebagai mahkamah khusus membicara dan menyelesaikan kes-kes Mahkamah Syariah yang melibatkan tuntutan bekas isteri terhadap bekas suami berkaitan pembayaran nafkah dan hak penjagaan anak.

Turut akan dibentangkan kepada Kabinet dijangka pada Jun ini adalah usaha menggubal undang-undang berkaitan profesion guaman Syarie (Wilayah-wilayah Persekutuan) ekoran ketidakseragaman amalan undang-undang itu antara negeri-negeri lain dan dapat ditadbir urus dengan lebih telus.

Menteri itu turut melakukan perubahan dengan tidak memegang sebarang jawatan pengerusi mana-mana agensi di bawahnya berbanding sebelum ini bagi mengelak campur tangan kuasa antara menteri dan agensi serta membolehkan setiap agensi bergerak secara profesional.

Mujahid yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar berkata beliau turut berjaya melaksanakan reformasi agensi dengan memperkenalkan tiga konsep gagasan pentadbiran Islam iaitu Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia kepada 13 agensi yang berada di bawahnya.

Sepanjang tempoh peralihan kepada Malaysia baharu, pencapaian lain yang dihasilkan beliau adalah mewujudkan konsep Masjid RAHMAH bercirikan ramah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat.

Di peringkat antarabangsa pula, Mujahid dilantik oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Khas untuk berurusan dengan Bosnia Herzegovina dan hasil daripada itu, Malaysia Bosnia Trade Cooperation Association (MBTCA) berjaya ditubuhkan sebagai badan induk bagi membantu mengembangkan ekonomi dua hala antara Malaysia dan Bosnia sekali gus meningkatkan pelaburan.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Dr Mahahthir: Deposit TH akan diurus dengan lebih baik

KUALA LUMPUR, 19 APR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kepada pendeposit Tabung Haji (TH) bahawa wang deposit mereka akan diuruskan dengan lebih baik oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata, TH diuruskan dengan buruk bertahun-tahun lamanya sebelum ini, yang mengakibatkan ia tidak memperoleh banyak keuntungan.

“Sebenarnya mereka tidak membuat sebarang keuntungan, jadi mereka ambil deposit dan menggunakannya sebagai dividen, jadi ramai yang simpan duit mereka di sana kerana mereka lihat banyak pulangan daripada pelaburan.

“Ini tidak boleh diteruskan selamanya,” katanya pada persidangan media di Yayasan Al Bukhary di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, bagi memastikan orang ramai terus menyimpan wang mereka dalam TH, kerajaan akan membayar dividen kepada pendeposit menggunakan hasil dari pelaburan yang dibuatnya, walaupun jumlahnya mungkin kecil.

“Ini bermakna mereka yang berhasrat menunaikan haji, akan masih sanggup menyimpan (dalam TH) kerana ia akan diuruskan dengan baik, bukan seperti sebelum ini apabila deposit mereka digunakan untuk jadi subsidi belanja menunikan haji, dan juga untuk mengumumkan dividen,” katanya.

Awal bulan ini TH mengumumkan agihan dividen 2018 pada kadar 1.25 peratus, kadar paling rendah dalam sejarah penubuhannya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jangan panik, terus kekal dalam TH – Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR, 9 APR: Ketua pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menasihatkan pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) supaya tidak panik, dan terus kekal menyimpan dengan institusi umat Islam itu.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, umat Islam di Malaysia perlu bertanggungjawab mempertahankan TH sebagai satu tindakan jihad ekonomi.

“Saya harap penyimpan jangan rasa panik dengan apa yang berlaku, wang mereka selamat, dijamin oleh kerajaan.

“Saya harap jangan ada yang berfikir untuk mengeluarkan wang mereka daripada TH, malah yang ada wang berlebihan boleh terus menambah simpanan mereka dalam TH,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

TH pada Jumaat lepas mengumumkan agihan hibah 1.25 peratus yang melibatkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendepositnya bagi tahun kewangan 2018.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada pendeposit tutup akaun, malah bertambah – Mujahid

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 APR: Tiada pendeposit Tabung Haji (TH) yang bertindak menutup akaun atau mengeluarkan wang simpanan mereka ekoran permasalahan akar umbi prestasi kewangannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof berkata, setakat tengah hari tadi tiada sebarang pergerakan luar biasa, sebaliknya menerima penambahan pendeposit baharu.

“Setakat ini tiada pergerakan luar biasa, bahkan kita menerima pendeposit baharu.

“Saya harap pendeposit kekal di TH kerana kita mempunyai pelan menyeluruh untuk memulihkan prestasi kewangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Bicara Eksekutif Maqasid Syariah Peringkat Negeri 2019 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Majis negeri, di sini.

Dr Mujahid berkata, bagi memulihkan TH, kerajaan akan memberi suntikan dana RM17.8 bilion dan peruntukan RM500 juta pada 2020, seterusnya RM1.73 bilion setahun mulai 2021 sehingga semua sukuk ditebus semula.

Katanya, menerusi langkah pertama itu, kerajaan akan berjaya mengekalkan kepercayaan orang ramai kepada TH.

“Saya meminta orang ramai supaya terus yakin dan kekal bersama TH kerana kita kini berada di landasan tepat untuk memulihkannya.

“Kerajaan meletakkan kebajikan kepada pendeposit supaya boleh mengerjakan ibadah haji sebagai keutamaan.

“Saya yakin pada masa hadapan, kita mampu memberikan hibah lebih dan pengurusan haji itu dapat dijalankan dengan lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, katanya, beliau dijangka akan membentangkan kenyataan rasmi berkenaan status TH di sidang Parlimen esok.

Setakat 31 Disember lalu, TH merekodkan aset keseluruhan RM76.5 bilion, sekali gus mencatat lebihan aset RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata, ini menunjukkan kedudukan kewangannya kembali pulih berbanding defisit aset RM4.1 bilion berdasarkan laporan kewangan diaudit pada 2017.

Baru-baru ini, TH mengumumkan kadar agihan hibah Tabung Haji bagi Tahun Kewangan 2018 ialah 1.25 peratus.