Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Pakej Prihatin ikut keupayaan fiskal negara

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebanyak RM250 billion yang diumumkan hari ini berdasarkan keupayaan fiskal semasa dan ketersediaan mudah tunai pasaran kewangan domestik yang mencukupi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan pakej tersebut berkata strategi dan langkah yang akan dilaksanakan adalah manifestasi kerajaan yang mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata kerajaan akan membuat suntikan fiskal langsung berjumlah RM25 bilion untuk membantu mengurangkan beban rakyat dan pemilik perniagaan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang sukar.

Selain itu, katanya, kerajaan akan sentiasa memastikan akaun semasa fiskal mempunyai lebihan dan tidak menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasi.

“Hampir semua langkah ini adalah secara one-off (sekali) supaya tidak membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana. Langkah ini penting untuk memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan,” kata Muhyiddin.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang.

Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion di Bangunan Perdana Putra pada 27 Mac 2020. Foto BERNAMA

Beliau berkata langkah yang diperkenalkan dalam Pakej Prihatin ini bertujuan untuk memastikan aktiviti ekonomi negara berterusan, terutamanya dengan penyaluran tunai melalui Bantuan Prihatin Nasional.

Di samping itu, katanya, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada aktiviti pelaburan domestik yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan mengekalkan pekerjaan.

Perdana Menteri juga memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, khususnya di Sabah dan Sarawak, untuk memastikan semua bantuan yang disediakan oleh kerajaan sampai dengan cepat.

Jelas beliau lagi, bagi menzahirkan keprihatinan dan kepedulian pimpinan kerajaan terhadap keperitan rakyat pada masa ini, perdana menteri serta jemaah menteri dan timbalan masing-masing telah bersetuju untuk memotong dua bulan gaji mereka untuk disalurkan ke Tabung Covid-19.

“Selain itu, saya juga mengarahkan semua Kementerian mengkaji semula belanjawan masing-masing untuk mencari penjimatan agar ianya dapat digunakan untuk menampung langkah-langkah jangka sederhana bagi menangani wabak virus ini.

“Saya juga telah mengarahkan Kementerian Kewangan melalui Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) untuk memastikan pakej Prihatin bernilai RM250 bilion ini sampai kepada rakyat dengan cepat,” katanya.

Muhyiddin dalam ucapan beliau turut meminta sokongan rakyat untuk berganding bahu dalam mengharungi krisis ini.

“Kita tidak sempurna, tetapi kita melakukan sedaya yang kita mampu untuk mengharungi krisis ini bersama-sama sebagai sebuah negara. InsyaAllah, apabila krisis ini berakhir kita akan bangkit semula dengan lebih kukuh lagi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Prihatin: Dana tambahan RM4.5 bilion bantu peniaga kecil

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk usahawan mikro, yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dana tambahan itu merangkumi lima inisiatif utama.

Inisiatif pertama, katanya, RM3 bilion akan di masukkan ke dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas bagik PKS yang akan menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM5 bilion.

“Kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75 peratus kepada 3.5 peratus,” kata Muhyiddin semasa mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) di sini, hari ini.

Kedua, saiz dana di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi ditingkatkan sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.

Manakala, ketiga, dana tambahan sebanyak RM500 juta disediakan di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah.

“Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah 2.0 peratus sahaja tanpa cagaran.

“Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi,” katanya sambil menambah amaun pembiayaan ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan.

Perdana Menteri berkata inisiatif itu terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, pengendali bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga dalam talian.

inisiatif keempat, katanya, PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada empat tahun boleh juga memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i oleh Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Bhd untuk pembiayaan sehingga RM300,000.

Manakala inisiatif Kelima, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70 peratus kepada 80 peratus bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

“Menerusi inisiatif-inisiatif di atas, saya percaya institusi kewangan akan terus memberikan sokongan padu kepada PKS yang berdaya maju, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi yang agak muram pada masa ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pencarum KWSP boleh keluar RM500 sebulan untuk setahun

SHAH ALAM, 23 MAC: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenar mengeluarkan wang simpanan dalam akaun dua sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pencarum boleh berbuat demikian mulai bulan hadapan dan dijangka memberi manfaat kepada 12 juta ahli.

“Kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum KWSP membabitkan RM40 bilion dan semua ahli berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam akaun dua masing-masing.

“Saya berharap inisiatif ini dan pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak empat peratus berkuat kuasa April ini membolehkan pekerja mempunyai lebih wang untuk membeli barang keperluan harian,” katanya dalam perutusan khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan pada 27 Februari lalu memutuskan penurunan caruman minimum kepada tujuh peratus berbanding 11 peratus ketika ini, sebagai langkah merangsang permintaan domestik.

Kadar caruman baharu itu akan berkuat kuasa 1 April 2020 sehingga akhir tahun ini, untuk ahli berumur 59 tahun dan ke bawah, manakala kadar caruman bagi ahli berumur 60 tahun dan ke atas tidak berubah.

Pekerja bagaimanapun boleh memilih untuk mengekalkan kadar caruman syer pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi KadarBerkanun KWSP 17A (Khas) yang boleh diperoleh melalui laman sesawang kwsp.gov.my.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah kawalan: PM kongsi idea aktiviti di rumah

SHAH ALAM, 21 MAC: Perdana Menteri berkongsi cadangan aktiviti yang boleh dilakukan orang ramai di rumah, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Melalui hantaran di Facebook, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan rakyat bermain permainan papan, membaca dan menonton televisyen.

Dalam hantaran yang disertakan dengan tanda pagar #dudukrumah #juststayathome, Muhyiddin juga mencadangkan aktiviti lain seperti membasuh kereta, mengemas rumah dan bersenam.

Sehingga kini, status pemimpin negara itu mendapat hampir 10,000 tanda suka, 600 komen dan 1,600 perkongsian dalam kalangan warga maya.

Tinjauan SelangorKini di media sosial juga mendapati rata-rata rakyat berkongsi aktiviti di rumah antaranya memasak, berkebun, bermain permainan video dan membaca buku.

Categories
PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Cegah Covid-19, Malaysia umum perintah kawalan hingga 31 Mac

Berikut adalah perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan wabak Covid-19 pada 16 Mac 2020:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi.

Malam ini, sekali lagi saya berada di hadapan saudara-saudari sekalian untuk memaklumkan situasi semasa ancaman wabak Covid-19 yang telah menimbulkan kebimbangan bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia.

Sehingga kini, wabak Covid-19 telah merebak di 135 buah negara. Seramai 162,711 orang telah disahkan positif Covid-19 di seluruh dunia. Daripada jumlah ini, seramai 6,443 orang telah meninggal dunia.

Di Malaysia, telah berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, iaitu
190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pun pulih.

Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua. Keutamaan Kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat. Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.

Untuk itu, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi;

Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan

hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari;

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan

Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Saya sedar bahawa saudara-saudari mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh Kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk saudara-saudari menjalani kehidupan seharian. Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini.

Kita telah melihat peningkatan wabak Covid-19 secara mendadak daripada puluhan orang yang dijangkiti virus ini kepada ribuan orang dalam masa yang

singkat di beberapa buah negara lain. Sudah pasti saudara-saudari tidak mahu keadaan yang sama berlaku di negara kita.

Kita tidak boleh menunggu lebih lama sehingga keadaan menjadi lebih meruncing. Tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai. Inilah satu-satunya cara untuk kita mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa.

Saya harap saudara-saudari dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang. Saya percaya dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan, kita mampu menyekat penularan wabak ini dalam masa yang terdekat.

Kita telah melihat beberapa buah negara yang mengambil langkah yang agak drastik untuk mengawal penularan wabak ini seperti negara China yang telah menunjukkan penurunan mendadak kes-kes jangkitan Covid-19.

Saya juga ingin memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah mencukupi. Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalah Pergerakan ini berkuatkuasa.

Saya merayu kepada saudara-saudari agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak Covid-19. Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini dan memaklumkan kepada saudara-saudari perkembangan situasi wabak Covid-19 dari semasa ke semasa.

Jika saudara-saudari mempunyai sebarang pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, saudara-saudari boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari esok.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus bekerja siang dan malam untuk membendung wabak ini.

Saya berdoa agar saudara-saudari sekalian terus cekal dan tabah dalam menjalankan tugas untuk negara demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini sentiasa terpelihara.

Akhir sekali, saya berdoa agar saudara dan saudari sekalian sentiasa diberikan perlindungan oleh Allah S.W.T.

Wabillahitaufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Malaysia bakal bawa pulang rakyat tempatan di Itali, Iran

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kerajaan dalam proses untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Iran dan Itali, berikutan situasi penularan Covid-19 yang semakin teruk di dua negara berkenaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri berkata seramai 65 rakyat Malaysia yang berada di Iran dan 323 di Itali akan dibawa pulang ke tanah air dalam misi tersebut.

“Kerajaan amat prihatin dengan nasib rakyat Malaysia yang berada di negara-negara yang terjejas teruk dengan wabak Covid-19 seperti China, Iran, Itali dan Korea Selatan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi stesen televisyen, malam ini.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini berjaya membawa pulang rakyat tempatan yang berada di Wuhan, China menerusi dua Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), masing-masing pada 4 dan 26 Februari.

Bagi misi pertama, kerajaan Malaysia berjaya membawa pulang 107 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Hubei, diikuti misi kedua melibatkan seramai 66 orang dari wilayah sama.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan meneruskan sekatan perjalanan untuk tiga wilayah di China iaitu Hubei, Jiangsu dan Zhejiang; wilayah Hokkaido di Jepun, Itali, Iran dan Korea Selatan.

Justeru, perdana menteri menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak melakukan perjalanan ke negara yang terjejas dengan Covid-19.

Di samping itu, Muhyiddin berkata kapal persiaran hanya dibenarkan berlabuh di negara ini untuk penambahan bekalan sahaja.

“Hanya kru warganegara Malaysia dibenarkan turun dari kapal dan mereka dikehendaki melalui saringan kesihatan,” katanya.

Pada 11 Mac lalu, Malaysia membuat keputusan menyekat sepenuhnya kemasukan rakyat Itali, Iran dan Korea Selatan, berkuat kuasa Jumaat (13 Mac).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Kerajaan tambah bilangan hospital rawat Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Dalam usaha menangani penularan Covid-19 yang kini mengancam dan membimbangkan masyarakat dunia, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini menggariskan beberapa tindakan bagi Malaysia mendepani jangkitan itu.

Menyedari negara berdepan peningkatan kes dalam gelombang kedua wabak, perdana menteri berkata kerajaan akan meningkatkan bilangan hospital bagi merawat kes berkenaan.

Beliau berkata sehingga kini, 26 buah hospital kerajaan dan sebuah hospital universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kes Covid-19.

“Di samping itu, terdapat 57 hospital kerajaan dan 170 klinik kesihatan di seluruh negara yang bersedia untuk melaksanakan saringan kesihatan ke atas mereka yang bergejala penyakit Covid-19,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi stesen televisyen malam ini.

Beliau berkata kolaborasi dengan hospital swasta, hospital di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan hospital universiti dimulakan sebagai persediaan untuk menerima pertambahan kemasukan pesakit kes Covid-19.

Muhyiddin berkata kemampuan makmal untuk melakukan ujian pengesanan Covid-19 juga ditingkatkan, termasuk 22 buah makmal di bawah Kementerian Kesihatan dan makmal lain di bawah Kementerian Pertahanan serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mengawal penularan wabak ini, Malaysia masih berdepan dengan peningkatan kes Covid-19, dan dalam gelombang kedua ini terdapat 175 kes.

Malaysia mencatatkan 22 kes pada gelombang pertama dengan catatan kes positif koronavirus di negara ini bermula pada 25 Januari.

Pada 11 Mac, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penularan wabak Covid-19 sebagai pandemik kerana terdapat peningkatan kes yang ketara di seluruh dunia.

Orang ramai memakai penutup hidung dan mulut semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas sebagai langkah berjaga-jaga berhubung penularan Covid-19 pada 12 Mac 2020. Foto BERNAMA

Perdana Menteri berkata kerajaan sedar bahawa langkah penting yang perlu diambil bagi mengekang jangkitan Covid-19 adalah sekatan perjalanan.

“Kerajaan akan meneruskan sekatan perjalanan untuk tiga wilayah di China iaitu Hubei, Jiangsu dan Zhejiang; Hokkaido, Jepun; Itali, Iran dan Republik Korea. Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak melakukan perjalanan ke negara-negara yang terjejas dengan virus Covid-19,” katanya.

Perdana menteri turut menegaskan kapal persiaran hanya dibenarkan berlabuh untuk penambahan bekalan dan hanya kru warganegara tempatan dibenarkan turun dari kapal dan mereka dikehendaki melalui saringan kesihatan.

Beliau berkata kerajaan Perikatan Nasional amat prihatin dengan nasib rakyat Malaysia yang berada di negara-negara terjejas teruk dengan wabak Covid-19 seperti di China, Iran, Itali dan Korea Selatan.

Kerajaan Malaysia menggerakkan dua Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) ke Wuhan di wilayah Hubei, China, masing-masing pada 4 Februari yang membawa 107 rakyat Malaysia dan pasangan serta anak bukan warganegara; serta 68 rakyat Malaysia serta pasangan dan anak bukan warganegara pada 26 Februari.

“Seramai 65 orang rakyat Malaysia yang berada di Iran dan 323 orang yang berada di Itali sedang dalam proses untuk dibawa pulang,” kata Perdana Menteri.

Muhyiddin yang sedia maklum dengan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap situasi semasa gelombang kedua penularan COVID-19 menegaskan, beliau diberikan laporan harian mengenai Covid-19 oleh Jawatankuasa Khas yang dipimpin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membolehkan langkah-langkah terkini diambil untuk menghadapi segala kemungkinan yang boleh berlaku.

“Berhadapan dengan situasi ini, saya menasihatkan saudara dan saudari mengambil langkah bagi menghindarkan diri sendiri, anak-anak serta keluarga daripada dijangkiti wabak ini.

“Paling utama ialah amalkan penjagaan kesihatan yang tinggi dengan sentiasa bersihkan diri, menggunakan topeng muka dan hand sanitizer (cecair pembasmi kuman) serta kurangkan bersentuhan dan bersalaman,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial serta keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April.

Katanya dalam situasi berkaitan, bekalan barang keperluan rakyat dijamin mencukupi dan bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak di sekolah, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah pencegahan termasuk membatalkan sebarang bentuk perhimpunan bagi mengelakkan penularan penyakit ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang terlibat secara langsung dalam usaha menangani Covid-19.

“Saya berdoa semoga wabak ini berjaya ditangani dengan segera dan kita semua dapat menjalani kehidupan bersama keluarga dengan rasa selamat,” katanya mengakhiri ucapan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Provokasi terhadap anggota Imigresen beri impak buruk kepada negara

IPOH, 15 FEB: Provokasi terhadap anggota penguat kuasa Imigresen Selangor semasa melakukan operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves, Selangor baru-baru ini memberi kesan buruk kepada negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja memberi kesan kepada aspek keselamatan negara malah mengganggu peniaga tempatan menjalankan aktiviti harian mereka.

“Dalam hal ini, bila pegawai dapat maklumat mereka hendak jalankan tugas tapi telah dihalang untuk elak timbul pergaduhan dan kecederaan pegawai telah hentikan operasi.

“Pegawai bertindak bijaksana tidak ambil tindakan tapi timbul masalah lain sedangkan pihak terlibat bertindak secara luar batas iaitu menghalang pegawai dan penjawat awam menjalankan tugas, yang merupakan satu kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun ke-48 Rela Peringkat Kebangsaan 2020 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Muhyiddin berkata berdasarkan maklumat terdapat ramai peniaga dari India di lokasi itu dengan disokong oleh warga tempatan yang jelas bercanggah dengan undang-undang.

Semalam, tular di media sosial bahawa kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar dari kawasan peniaga haram dari India dan Pakistan oleh Ahli Jawatankuasa Kuil Batu Caves.

Selain itu, mereka dicemuh dengan bahasa kesat.

Sementara itu, Muhyiddin meminta semua 3.1 juta ahli Rela di seluruh negara agar terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk memelihara keselamatan negara dan pada masa sama, berharap lebih ramai tampil menyertai unit beruniform tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemegang Pas Sementara Sabah tidak layak mohon warganegara

PAPAR, 11 JAN: Pemegang Pas Sementara Sabah (PSS) masih dikategorikan sebagai warga asing tanpa dokumen perjalanan dan tidak layak memohon permit masuk, taraf pemastautin tetap dan kewarganegaraan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pengeluaran PSS bagi menyelesaikan isu kepelbagaian dokumen kepada warga asing yang ada di Sabah, sekali gus memudahkan operasi penguatkuasaan.

“Selain itu, PSS sebagai mekanisme kawalan keberadaan dan pergerakan warga asing di Sabah dan dibenarkan untuk tinggal sementara di Sabah tertakluk kepada syarat pas yang ditetapkan.

“Golongan yang akan diberikan PSS terdiri daripada pemegang IMM13 yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sabah, Kad Burung-Burung yang dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Sijil Banci yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara berserta tanggungannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Kenduri Bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Papar, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Pada September tahun lalu, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Isu pelaksanaan PSS sering dimainkan di media sosial oleh pihak tertentu yang menyelewengkan fakta sehingga berlaku kekeliruan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata PSS dikeluarkan dalam bentuk kad bercirikan keselamatan dengan maklumat peribadi pemegang termasuk tempoh sah laku dokumen berkenaan.

Beliau berkata tempoh sah PSS adalah tiga tahun bagi setiap pengeluaran dan perlu diperbaharui semula dan bayaran bagi setiap pengeluaran PSS adalah sebanyak RM120.

“Kuasa pengeluaran PSS adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Negeri Sabah dan ia hanya sah digunakan di Sabah serta tidak boleh digunakan di tempat lain seperi Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Muhyiddin, berkata, tujuan pengeluaran PSS juga adalah bagi pemegang tiga kad berkenaan (IMM13, Kad Burung-Burung, Sijil Banci) untuk bekerja, melakukan urusan bank, mendapatkan pendidikan serta rawatan kesihatan dan berkahwin.

Beliau menjelaskan cadangan pengeluaran pas untuk menggantikan IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci telah dilakukan ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan.

“Kita lihat ada rekod dalam kementerian cadangan untuk melaksana Pas Residen Sementara Sabah (PRSS) yang dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Bilangan II 2015 iaitu sebelum kerajaan baharu memerintah.

“Pada 31 julai 2015, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah melalui keputusan dalam mesyuarat itu memutuskan bahawa PRSS akan diberikan kepada pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah.

“Cadangan dasar PRSS ini juga dibentangkan ke mesyuarat jawatankuasa berkenaan pada 16 Mei 2016 dan mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Dalam Negeri, bersama Ketua Menteri Sabah, pada ketika itu. Namun PRSS berkenaan tidak dapat dilaksana apabila BN kalah dalam pilihan raya lepas, ” katanya.

Muhyiddin berkata selaras peralihan kerajaan diterajui Pakatan Harapan, PRSS itu diteliti semula dan dibentangkan di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

“Kita setuju meneliti cadangan itu secara mendalam dengan penambahbaikan dan dibentangkan dalam Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing pada 6 September 2019 dan mesyuarat bersetuju melaksanakan PRSS dengan menggantikan nama sebagai PSS.

“Saya jelaskan bahawa idea untuk meneliti dan hendak menyelaraskan penggunaan kad yang berbeza ini tercetus sebelum kerajaan sekarang. Namun, tidak apa kerana kerajaan baharu juga bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan Sabah dan perlu ada satu sistem lebih kemas,” jelasnya.

Beliau berkata mengikut rekod, pemegang IMM13 di Sabah adalah seramai 51,646 orang, Kad Burung-Burung (36,892) dan 36,892 pemegang Sijil Banci.

“Ia bereti sebanyak 136,055 orang yang layak diberikan PSS di Sabah,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan kerajaan memberi PSS dan tidak memilih untuk menghantar pulang warga asing itu ke negara asal, Muhyiddin berkata proses itu memerlukan kerjasama erat secara diplomatik bersama negara terlibat serta gerak kerja yang perlu diperincikan lebih teliti dan berhati-hati.

Beliau berkata pemberian PSS adalah keputusan jangka pendek bagi membolehkan kerajaan mempunyai data serta rekod keberadaan kumpulan warga asing tersebut yang telah berada sekian lama di Sabah.

“Sehubungan itu, dengan adanya rekod terkini dan teratur, sebarang tindakan jangka panjang boleh dilaksana secara lebih strategik,” katanya, sambil menjelaskan pelaksanaan PSS itu bukanlah isu politik, sebaliknya melibatkan isu keselamatan bagi rakyat Sabah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin: Malaysia berjaya atasi isu kumpulan pengganas

PUTRAJAYA, 1 JAN: Malaysia berjaya membendung isu berkaitan kumpulan pengganas walaupun pihak berkuasa terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran besar, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata keberkesanan pihak berkuasa menangani isu itu jelas dapat dilihat apabila hasil risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan mereka yang terlibat sebelum serangan dilakukan kumpulan atau individu terlibat.

“Ia merupakan satu pencapaian …ia diuruskan oleh pihak risikan Malaysia, selain menggunakan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

“Saya fikir satu sudut ini berkesan walaupun kita akan mengambil langkah dengan menambah dan membawa pindaan (akta) ke Parlimen tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama.

Muhyiddin berkata Malaysia tidak memandang mudah soal keganasan dilakukan elemen jahat seperti Daesh sama ada dari dalam atau luar negara ataupun kumpulan lain yang cuba menggunakan Malaysia sebagai pangkalan.

“Ini kita tidak pandang mudah dari satu sudut tindakan yang dilakukan oleh risikan Malaysia untuk menahan mereka itu boleh dikatakan berjaya,” katanya.

Ditanya berhubung kebajikan warga PDRM, Muhyiddin berkata Kementerian Dalam Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan warga polis bagi memastikan semangat bekerja dalam kalangan anggota dan pegawai polis sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Agensi sempadan selaras operasi, keselamatan negara

PUTRAJAYA, 26 DIS: Sebuah agensi sempadan akan diwujudkan bagi mengawal, memperkukuh serta mempertingkatkan piawaian pengoperasian dan keselamatan di sepanjang sempadan negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan berkenaan penubuhan badan tunggal untuk mengawal pintu masuk negara itu diterima kerajaan yang menyarankan penubuhannya dilakukan secepat mungkin.

“Kalau boleh dalam tempoh dua tahun akan datang perkara berkaitan penubuhan agensi sempadan dapat diselesaikan dan penubuhannya dimuktamadkan.

“Perkara ini sudah dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan saya akan minta untuk menyegerakan penubuhannya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Muhyiddin berkata ketika ini pengurusan sempadan negara dikendalikan kira-kira 28 badan, pertubuhan, persatuan dan syarikat yang dilihat menjadi antara faktor kesesakan dan kelewatan dalam pengurusan hal ehwal sempadan negara.

Katanya cadangan penubuhan badan tunggal itu akan melalui proses kajian dalam tempoh enam hingga 12 bulan oleh perunding yang akan dilantik Mac depan dengan mengambil kira semua keperluan meliputi kewangan, sumber manusia, logistik dan akta berkaitan.

Berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kajian Cadangan Penubuhan Badan Tunggal Menjaga Sempadan Negara dan Pintu-Pintu Masuk Termasuk Pelabuhan pada 3 Julai lalu, KDN yang dipertanggungjawab sebagai urus setia perlu melaksanakan kajian meliputi tiga domain utama iaitu darat, udara dan laut dengan fokus awal kepada domain darat.

Sehubungan itu, KDN sedia mempelajari pengalaman Amerika Syarikat dalam soal penubuhan agensi tunggal untuk mengawal pintu masuk negara sepertimana yang turut dilaksanakan di beberapa negara lain seperti Singapura dan Australia.

Muhyiddin berkata jika ditubuhkan, badan tunggal berkenaan berperanan untuk meningkatkan penyelarasan proses pemeriksaan secara efisyen melalui ‘single clearance mechanisme’ dalam mempertingkatkan aspek keselamatan disamping memudah cara perdagangan atau trade facilitation.

Kesungguhan kerajaan dalam memperkukuhkan keselamatan kawalan sempadan negara turut dibuktikan apabila hal itu diangkat menjadi satu daripada teras khusus dalam Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober lepas.

Tumpuan KDN pada 2019 juga terarah kepada mengurus serta menangani isu kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Baharu, Johor yang masih berlarutan.

Bagi tujuan itu, Muhyiddin berkata satu Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Bagi Menangani Kesesakan Tambak Johor telah ditubuhkan kerajaan dengan beliau sendiri bertindak selaku pengerusi.

Jawatankuasa tersebut telah mengemukakan 23 inisiatif bagi mengatasi masalah kesesakan yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang, antaranya mengubah suai dan menaik taraf bangunan CIQ, menambah peralatan untuk sistem kawalan pintu masuk seperti Malaysian Automated Clearance System (MACS) dan M-Bike serta memobilasi pegawai bertugas di kaunter tidak sesak ke kaunter yang lebih sesak dan pembukaan laluan kontra di laluan kereta ketibaan.

Komitmen dalam menangani isu permasalahan rakyat itu diserlahkan apabila kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM85 juta bagi tujuan tersebut seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, 11 Oktober lalu.

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut melanjutkan pelaksanaan operasi 24 jam bagi kenderaan berat dan kargo di CIQ Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Dannok, Songkhala selama sembilan bulan lagi sehingga 17 Jun tahun hadapan.

Pelanjutan operasi 24 jam yang awalnya dijalankan dalam tempoh percubaan selama tiga bulan bermula 18 Jun hingga 17 September yang mencipta sejarah bagi dua negara berjiran itu dijangka akan meningkatkan pelaburan asing, memantapkan usaha perindustrian dan merancakkan proses pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.

Kompleks CIQ Bukit Kayu Hitam yang dibina dengan kos RM385 juta dan beroperasi sepenuhnya pada Ogos lalu dilengkapi pagar keselamatan jenis ‘anti-climb’ di keseluruhan kawasan dan diawasi kira-kira 300 unit kamera litar tertutup berdefinisi tinggi, manakala mesin pengimbas kargo turut dipasang di laluan kenderaan berat bagi memastikan pemeriksaan lebih rapi dijalankan ke atas semua barangan yang memasuki negara ini.

Muhyiddin berkata KDN juga tidak menolak kemungkinan menggunakan dron di kawasan perairan Sabah dan kawasan sempadan, bagi menangani isu-isu keselamatan.

Beliau berkata kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) banyak membantu mengawal sempadan daripada dicerobohi tetapi jarak sempadan di perairan Sabah dengan negara jiran yang terlalu panjang memerlukan satu tindakan yang lebih efisyen dilakukan di masa hadapan.

Penggunaan dron bukan sesuatu perkara asing kerana teknologi tersebut telah digunakan oleh pihak berkuasa Thailand dalam mengawasi sempadan negara itu.

Muhyiddin berkata cadangan penggunaan dron untuk mengawal sempadan masih di peringkat perbincangan dan berharap ada peruntukan disediakan kerajaan bagi membolehkan KDN melakukan ujian rintis di kawasan-kawasan yang penting dan kritikal di sempadan negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tambah baik fasal RUU IPCMC untuk lebih adil

PUTRAJAYA, 11 DIS: Terdapat fasal-fasal tertentu dalam Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 yang memerlukan penambahbaikan bagi dilihat lebih adil dan saksama, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tanpa memperincikan fasal yang perlu ditambah baik, beliau berkata pembentangan semula RUU IPCMC akan memasukkan lebih banyak pandangan daripada pihak berkepentingan dengan undang-undang.

“Banyak pandangan yang belum dilibatkan sebelum ini.

“Sebab itu, ada bantahan terhadap RUU itu dan pihak berkenaan perlu mengemaskini fasal tertentu di dalam akta itu sebelum dibawa semula ke Parlimen untuk dibentang dan dibahaskan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Misi Bantuan Pasca Bencana Pantai Timur di sini, hari ini.

Pada 3 Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong memohon kepada Dewan Rakyat untuk menangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga RUU IPCMC ke sesi persidangan akan datang pada Mac tahun hadapan.

Liew dilaporkan berkata, langkah memperhalusi RUU melalui perbincangan dengan pemegang taruh terutamanya polis adalah perlu bagi memudahkan pelaksanaannya apabila diluluskan kelak selain mengelak isu berbangkit.

“Jarak masa sehingga persidangan Parlimen akan datang akan digunakan sebaik mungkin bagi menyelesaikan perkara berbangkit agar penambahbaikan yang dibuat boleh menghasilkan akta yang adil dan saksama,” kata Muhyiddin.

RUU IPCMC 2019 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada sesi Julai lalu.

IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan pasukan polis dan akan bertindak sebagai badan pemantau bebas bagi menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

– BERNAMA