Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa tragedi selalu cerita kisah tanah runtuh Cameron Highlands

IPOH, 3 DIS: Pemandu lori yang maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Km 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley selalu berkongsi cerita berkaitan kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands sebelum beliau sendiri menjadi mangsa tragedi kejadian tanah runtuh di kawasan peranginan tanah tinggi itu, kata abangnya Mohd Kamal Hamdi.

Mangsa Muhammad Hafiz Hamdi, 31, bapa kepada dua anak, seorang berusia dua tahun dan seorang lagi masih bayi, memandu lori dengan muatan sayur-sayuran dari kawasan tanah tinggi itu setiap hari.

Mohd Kamal, 40, berkata dia berasa hairan apabila arwah adiknya itu secara tiba-tiba berdiam diri apabila dia berkongsi mengenai kejadian tanah runtuh berkenaan di dalam pesanan WhatsApp keluarga mereka.

“Gerak hati saya terasa lain sebab tiada tindak balas daripadanya seperti sebelum ini jadi saya menghubungi rakannya untuk mendapatkan kepastian kerana bimbang akan keselamatannya.

Apabila rakannya memaklumkan adik saya terlibat dalam kejadian, saya terus pulang ke Ipoh dengan memandu lori dari Kuala Lumpur dan segera membawa kereta ke lokasi tanah runtuh kerana masih tidak percaya ia menimpanya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian semalam.

Mohd Kamal berkata beliau sendiri melakukan pengecaman mayat adiknya kerana isteri mangsa masih berada dalam keadaan trauma.

Menurutnya jenazah akan dikebumikan di kampung mereka di Tanjung Piandang, Parit Buntar selepas segala urusan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selesai.

Sementara itu di Jabatan Forensik HRPB, abang ipar mangsa tanah runtuh yang ditemui memberitahu arwah seorang yang ceria dan baik hati.

Rosli Saidin, 52, dari Butterworth, Pulau Pinang berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 malam tadi daripada isteri mangsa yang merupakan adik perempuannya.

“Pada mula anak saya melihat gambar kejadian yang tular namun tidak dapat pengesahan daripada sesiapa sama ada mangsa itu adik ipar saya.

“Kami sekeluarga reda namun agak terkejut dengan kejadian ini,” katanya.

Beliau yang juga pemandu lori sayur berkata arwah memang kerap berulang-alik ke Cameron Highlands untuk mengambil sayur untuk dijual di sekitar Parit Buntar.

Rosli berkata arwah mempunyai sepasang anak berusia kira-kira dua dan setahun hasil perkahwinan dengan adik perempuannya sejak empat tahun lalu.

Katanya isteri mangsa yang mengetahui mengenai kejadian itu terus bergegas dari Tanjung Piandang, Parit Buntar ke lokasi kejadian.

Setakat ini dua mangsa maut tertimbus yang ditemui iaitu Muhammad Hafiz dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dikenali sebagai Tan Chee Heng, 36, yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pulau Pinang.

Difahamkan, Chee Heng yang berasal dari Klang, Selangor ingin melawat neneknya dengan membawa buah strawberi di dalam kenderaan dipandunya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua maut kejadian tanah runtuh Simpang Pulai-Cameron Highlands

IPOH, 2 DIS: Dua lelaki disahkan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di laluan FT 185, Km 27.10 Jalan Simpang Pulau-Blue Valley di sini hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata mangsa yang terkorban ialah pemandu lori Muhammad Hafiz Hamdi, 31, manakala seorang lagi adalah pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang belum dikenal pasti identitinya.

Beliau berkata pada masa ini, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sedang giat membawa keluar mangsa daripada kenderaan masing-masing dalam runtuhan itu dan akan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Mior Faridalathrash berkata pemandu lori sayur itu sedang dalam perjalanan ke Simpang Pulai dari Cameron Highlands manakala pemandu MPV terbabit dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Pulau Pinang.

“Tiada penumpang lain di dalam lori dan MPV yang terperangkap dalam runtuhan itu,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Terdahulu, pasukan penyelamat berjaya mengesan kepala lori dan berusaha menarik pintu lori itu serta melakukan kerja mengangkat timbunan tanah menggunakan jengkaut selain menggunakan dron bagi melihat pergerakan tanah dari pandangan atas.

JBPM Perak menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.44 tengah hari dan tiga kenderaan didapati tertimbus dalam runtuhan tanah berkenaan termasuk sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti jenisnya.

Mior Faridalathrash berkata orang ramai diminta menggunakan laluan alternatif di Jalan Persekutuan FT059 Tapah-Ringlet yang dibuka sepenuhnya untuk semua kenderaan bermula pukul 5 petang tadi untuk melakukan perjalanan ke Cameron Highlands.

Tinjauan Bernama mendapati ahli keluarga mangsa terlibat turut tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 7.30 malam walaupun dalam keadaan hujan renyai.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata hujan yang berterusan dipercayai menyebabkan berlaku hakisan tanah di kawasan cerun potong di laluan berkenaan.

“Runtuhan tanah berlaku sepanjang 100 meter dan laluan utama ke Cameron Highlands itu tidak selamat untuk semua jenis kenderaan dan masih dikawal ketat oleh pihak konsesi.

“Bagaimanapun, punca tanah runtuh masih dalam siasatan dan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah dan pihak konsesi jalan persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Pawong Ismail Baloh, 51, berkata kejadian tanah runtuh itu disedari pada kira-kira pukul 2 petang semasa dia dalam perjalanan untuk ke Simpang Pulai.

“Saya nampak ada dua kenderaan bomba naik sebelum orang kampung cemas memberitahu tentang kejadian tanah runtuh ini,” kata Ismail.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kenderaan terperangkap tanah runtuh laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands

IPOH, 2 DIS: Dua kenderaan dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 hingga Seksyen 30, selepas Pos Raya di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 1.44 tengah hari tadi.

Beliau berkata difahamkan terdapat sebuah lori dan sebuah kereta tertimbus dan sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dikerahkan bagi kerja-kerja menyelamat.

“Setakat ini seorang pemandu lori memberi respons daripada runtuhan berkenaan dan pihak bomba sedang menjalankan kerja mengalihkan tanah runtuh dan menyelamat semua mangsa terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata jumlah mangsa terlibat masih belum dapat dipastikan setakat ini dan kejadian itu juga menyebabkan laluan utama ke Cameron Highlands di kedua-dua arah ditutup kepada semua kenderaan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

PBT siap siaga hadapi banjir, tanah runtuh akibat peralihan monsun

SHAH ALAM, 24 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bersedia hadapi fasa peralihan monsun yang berisiko menyebabkan masalah banjir dan tanah runtuh, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata selain keperluan peralatan, majlis turut memastikan semua dewan masyarakat dalam keadaan baik dan boleh berfungsi untuk dijadikan pusat pemindahan sementara.

Ng Sze Han

“Skuad Pantas yang menjadi pasukan sokongan akan mengendalikan kes kecemasan dan bencana di setiap PBT juga bersiap siaga untuk digerakkan ke kawasan terjejas.

“Saya harap semua pihak dapat menggembleng tenaga bersama-sama berdepan fasa ini serta membantu mangsa banjir,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Kelmarin, hujan lebat lebih tiga jam di Lembah Klang menyebabkan kawasan sekitar Ampang, Hulu Langat dan Gombak dilanda banjir kilat sehingga mencecah ketinggian 1.5 meter.

Susulan itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan PBT, KDEB Waste Management bersama pusat khidmat dan penyelaras DUN memberi bantuan kecemasan serta perpindahan.

Manakala Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE) membantu mangsa membersihkan rumah dan persekitaran.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ubah suai rumah bukan punca tanah runtuh di Kemensah Heights

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights, Ampang Jaya pada Jumaat bukan berpunca daripada pengubahsuaian tanpa kebenaran yang dilakukan penduduk.

Bagaimanapun pengarah jabatan kejuruteraan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata faktor utama kejadian masih belum dapat disimpulkan, lapor Berita Harian.

“Kejadian itu membabitkan dua bahagian. Tanah runtuh memberi kesan kepada banglo berkenaan, bukan ia menjadi punca kejadian.

“Jabatan dan agensi berkaitan diberi tiga hari untuk mencari punca kejadian. Masih terlalu awal untuk kita simpulkan apa yang menjadi penyebab utama tanah runtuh berkenaan,” kata Zafrul Fazry Mohd Fauzi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan terima 26 laporan daripada penduduk membabitkan kerosakan harta benda dan isu kawalan keselamatan.

“Setakat ini, kita kenal pasti 110 penduduk terkesan dengan kejadian terbabit. Seorang ditempatkan di pusat pemindahan sementara manakala selebihnya tinggal di rumah saudara.

“Saya dimaklumkan jabatan berkaitan tiada lagi pergerakan tanah di kawasan ini, namun seorang pegawai dan 10 anggota polis masih ditempatkan di sini menerusi tiga syif sehari bagi membuat kawalan keselamatan,” katanya.

Pada Jumaat tiga banglo dan 24 rumah bandar membabitkan 27 keluarga terjejas akibat kejadian tanah runtuh namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Susulan itu semua penduduk diminta berpindah sementara waktu selain Kerajaan Negeri turut mengisytihar lokasi berkenaan sebagai kawasan bencana.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi bantuan awal RM500 kepada keluarga terlibat untuk urusan pemindahan atau menampung kos mengeluarkan barang.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang duit, keperluan harian kepada mangsa tanah runtuh

SHAH ALAM, 19 SEPT : Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyantuni dua keluarga yang terkesan dalam kejadian tanah runtuh di Blok J Rumah Pangsa Sri Chempaka, Sri Damansara.

Agensi itu menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan pihaknya diwakili Eksekutif Kebajikan Muhammad Zubair Azizian menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada mangsa.

“Dua keluarga ini terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka yang terletak di tingkat bawah flat itu mengalami sedikit kemusnahan dan tidak selamat didiami.

“Bagaimanapun, penghuni lain masih dibenarkan tinggal di rumah masing-masing selepas pihak bomba mengesahkan flat itu masih selamat untuk diduduki,” menurut kenyataan semalam.

Yide turut mengalu-alukan orang ramai memberi maklumat berkaitan musibah, malapetaka atau bencana alam dengan menghubungi eksekutif kebajikannya menerusi talian 017-7569476.

Pada Rabu, berlaku kejadian runtuhan tebing dan tanah di Blok J, Rumah Pangsa Sri Cempaka kira-kira jam 4.45 petang, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Pemilik rumah banglo terkejut dimaklum kejadian tanah runtuh

HULU KELANG, 19 SEPT: Pemilik salah sebuah rumah banglo yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights terkejut apabila dimaklumkan berhubung kejadian tersebut.

Dr Wan Kamariah Abu Bakar berkata ketika kejadian beliau berada di sebuah rumahnya di Cyberjaya dan mendapat maklumat daripada pembantu rumah yang berada di lokasi mengenai perkara itu.

Dr Wan Kamariah Abu Bakar. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Pembantu rumah tidak mendengar sebarang bunyi tetapi terkejut kerana tiba-tiba bekalan elektrik terputus.

“Bersyukur kerana tiada sebarang kejadian buruk menimpa dan reda kerana ia merupakan bencana alam. Namun berasa agak sedih kerana rumah dibina merupakan rekaan arwah suami,” katanya kepada SelangorKini.

Juruteknik TNB Elyas Abdul Rahman, 33, berkata walaupun kediaman jenis rumah bandar bukan unit terlibat namun tetap berasa sedih dan bimbang keselamatan jiran-jiran.

Elyas Abdul Rahman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Alhamdulillah tiada mangsa terlibat dalam kejadian tanah runtuh ini dan selama 10 tahun tinggal di sini tidak pernah berlaku kejadian sebegini.

“Saya pasrah apabila dimaklumkan rumah sarang kelulut dibina tiga tahun lepas perlu dirobohkan bagi memberi laluan kepada jengkaut untuk melakukan kerja melancarkan aliran sungai,” katanya yang mengusahakan madu kelulut secara sambilan.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hadir meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agensi diarah pastikan insiden tanah runtuh tidak jejas penduduk

SHAH ALAM, 18 SEPT: Agensi kerajaan diarah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden tanah runtuh di Kemensah Heights tidak menjejaskan penduduk.

Dato’ Menteri Besar berkata Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya perlu memastikan kesan runtuhan tidak memberi kesan terhadap lokaliti penduduk dalam waktu terdekat.

“Jabatan Mineral dan Geosains telah diminta untuk membuat laporan segera mengenai keadaan, potensi dan implikasi bencana untuk tujuan penilaian Jawatankuasa Bencana Daerah bagi mekanisme penyelesaian jangka sederhana dan panjang.

“Semoga semua keluarga mangsa terlibat tabah dan sabar menghadapi ujian ini,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Beliau menambah Kerajaan Negeri turut menghulurkan bantuan kecemasan segera kepada setiap keluarga yang terlibat berupa wang tunai sebanyak RM500 serta bakul makanan asas.

“Petang tadi saya telah turun ke Kemensah Heights di Ampang bagi meninjau lokasi dan mendengar taklimat dari petugas keselamatan di tapak kawasan tanah runtuh yang berlaku semalam.

“Sebanyak 28 buah rumah telah menerima kesan dari kejadian ini,” katanya.

Semalam, berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights dan pihak bomba memaklumkan berlaku aliran air bawah tanah menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada jam 9.30 malam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

27 keluarga terlibat tanah runtuh terima RM500, kos pindah ditampung

HULU KELANG, 18 SEPT: Kerajaan Negeri memberi bantuan awal RM500 kepada 27 keluarga yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mangsa turut menerima bantuan bakul makanan sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Bantuan awal ini diharap boleh digunakan oleh keluarga terjejas untuk urusan pemindahan atau menampung kos mengeluarkan barang buat sementara waktu.

“Kita juga akan dapatkan maklumat dari semasa ke semasa sama ada kawasan ini selamat atau tidak untuk mereka pulang,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan awal meletak kanvas di lokasi terjejas bagi mengelakkan terdedah kepada air atau unsur lain yang mungkin boleh mengakibatkan runtuhan baharu.

“Selain itu Jabatan Pengairan dan Saliran juga akan memastikan aliran sungai di lokasi kejadian tidak tersekat,” katanya

Terdahulu Amirudin meluangkan masa lebih satu jam di lokasi kejadian bagi bertemu beberapa mangsa kejadian.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Nor Azmie Diron dan Ahli Dewan Negeri Hulu Klang Saari Sungib.

Semalam, berlaku kejadian tanah runtuh yang menjejaskan bahagian belakang rumah teres dua tingkat di Jalan Kemensah Heights.

Timbalan pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata aliran air bawah tanah menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada jam 9.30 malam semalam.

Susulan kejadian, semua mangsa berpindah ke dua buah pusat penempatan sementara di AU2 dan AU5 Lembah Keramat, Kuala Lumpur sebagai langkah keselamatan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB tinjau lokasi tanah runtuh Kemensah Heights

HULU KELANG, 18 SEPT: Dato’ Menteri Besar meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa lebih satu jam di lokasi kejadian bagi bertemu beberapa mangsa kejadian.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Nor Azmie Diron dan Ahli Dewan Negeri Hulu Klang Saari Sungib.

Keadaan lokasi tanah runtuh di Kemensah Heights, Hulu Klang pada 18 September 2021. Foto RADIN WAZIR

Semalam, berlaku kejadian tanah runtuh yang menjejaskan bahagian belakang 19 rumah teres dua tingkat di Jalan Kemensah Heights.

Timbalan pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata aliran air bawah tanah menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada jam 9.30 malam semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

60 runtuhan dikesan halang laluan di Bukit Fraser

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Sebanyak 139 runtuhan dikesan di sepanjang laluan naik dan turun Bukit Fraser dengan 60 daripadanya dilaporkan menghalang laluan, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata perkara ini dikesan selepas Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menggerakkan “response team” ke tempat berlakunya tanah runtuh khususnya di tempat peranginan, Fraser Hill dan Jalan Lama Raub-Bentong untuk membuat penilaian risiko di lapangan.

“Sementara itu, Jalan Lama Raub – Bentong dilaporkan masih ditutup akibat tanah runtuh dan ‘response team’ JMG dalam tindakan untuk memasuki kawasan bagi membuat penilaian risiko di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Selain itu katanya, JMG menjalankan pemantauan sebanyak tiga kali setahun di cerun kritikal yang memerlukan tindakan segera khususnya di Cameron Highlands.

“Tiga puluh satu cerun kritikal dibuat mitigasi oleh JKR serta Jabatan Pengairan dan Saliran dengan peruntukan sebanyak RM31.74 juta,” katanya sambil menambah kerja-kerja mitigasi masih diteruskan.

Menyentuh perancangan tahun ini, beliau berkata JMG bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk menjalankan pemetaan kerentanan risiko tanah runtuh dengan peruntukan sebanyak RM758,000 bagi menyelesaikan isu tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.

Katanya, orang ramai berada di kawasan berisiko seperti kawasan pernah mengalami tanah runtuh perlu peka dengan keadaan sekeliling sekiranya berlaku runtuhan atau pergerakan kecil cerun tanah, retakan atau rekahan pada dinding, tembok, tiang rumah, kesan bonggolan, mendapan jalan dan pokok yang berterusan condong.

“Sekiranya perkara itu berlaku, orang ramai boleh menghubungi pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat atau mendapatkan bantuan di talian 05-540 6000 atau 019-389 4757. Kementerian sentiasa bersedia memberi khidmat kepakaran teknikal bagi penilaian ancaman tanah runtuh,” katanya.

Beliau juga berkata cuaca buruk dan hujan berterusan ketika musim monsun timur laut di kebanyakan negeri di Malaysia mampu menimbulkan risiko bencana tanah runtuh di kawasan berbukit tinggi, bercerun dan laluan dengan sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik.

Shamsul Anuar juga berkata tanah runtuh boleh berlaku secara mendadak atau berperingkat-peringkat dalam skala kecil atau besar.

“Hasil kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) melalui Projek Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC), faktor geologi, sudut cerun, kawasan tadahan dan saliran, kerja pemotongan lereng bukit yang tidak terkawal serta pembersihan hutan atau ladang telah dikenal pasti sebagai kawasan-kawasan yang terdedah kepada risiko bencana tanah runtuh,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh: Jalan satu lorong dibuka di KM18.5 KL-Kuala Lipis

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Polis membuka jalan satu lorong kepada kenderaan ringan di Kilometer 18.5 Jalan Kuala Lumpur-Kuala Lipis berhampiran Sungai Gumut, Hulu Selangor susulan kejadian tanah runtuh di lokasi berkenaan tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arshad Kamaruddin berkata pembukaan lorong itu akan membolehkan kenderaan ringan dari kedua-dua arah, Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Arshad berkata pihaknya sebelum ini menutup kedua-dua arah jalan berkenaan bagi kerja pembaikan dan pembersihan yang dijangka mengambil masa dua hari untuk disiapkan pihak Jabatan Kerja Raya Hulu Selangor.

“Pihak polis sebelum itu menerima maklumat kejadian tanah runtuh itu pada 12.30 tengah hari tadi daripada pusat kawalan Bilik Gerakan Hulu Selangor.

“Susulan kejadian itu, papan tanda amaran bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan ditempatkan di situ,” katanya kepada Bernama.

Arshad berkata kerja-kerja berkenaan masih diteruskan dan tiada kejadian tidak diingini berlaku ekoran kejadian itu.

-BERNAMA