Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah runtuh: Kerja baik pulih tebing Apartment Teratai ambil masa dua bulan

SHAH ALAM, 3 JAN: Kerja pemulihan kekal tebing di Apartment Teratai, Bandar Baru Selayang yang runtuh akibat hujan lebat baru-baru ini dijangka mengambil masa dua bulan untuk siap.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berkata ketika ini, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam proses melantik kontraktor untuk pelaksanaan kerja terbabit.

“MPS memasang kanvas di tebing yang terjejas sebagai langkah pemulihan awal sementara menunggu kerja pembaikan kekal dilaksanakan bagi memastikan pangsapuri berkenaan lebih selamat.

“Apabila kerja berkaitan siap, jawatankuasa pengurusan bersama akan lihat sama ada masih berlaku pergerakan (tebing). Jika semua dalam keadaan baik, penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut memaklumkan seramai 12 keluarga apartment terbabit masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sri Siantan, Gombak dengan diberi bekalan makanan dan kemudahan lengkap.

Menurutnya, mangsa juga dibenarkan untuk pulang ke rumah keluarga terdekat atau menyewa di mana-mana tempat yang lebih kondusif mengikut kemampuan.

“Baru-baru ini, Kerajaan Negeri turut bersetuju memberi bantuan RM1,000 melalui inisiatif Selangor Bangkit kepada penghuni apartmen berkenaan yang terpaksa mengosongkan kediaman berikutan insiden itu.

“Maka, terpulang kepada mereka sama ada mahu guna bantuan tersebut untuk cari tempat lain atau kekal di PPS, asalkan tidak kembali ke kediaman asal buat masa ini,” katanya.

Apartment Teratai antara enam lokasi bawah pentadbiran MPS yang kritikal dan perlu pembaikan segera susulan tebing runtuh berpunca hujan lebat pada 18 Disember lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh tanah runtuh dikesan hari ini, enam di Selangor

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Tujuh kejadian tanah runtuh melibatkan enam di Selangor dan satu di Negeri Sembilan dilaporkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sehingga 10 pagi, pada hari pertama tahun ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 140 kejadian tanah runtuh di seluruh negara berlaku sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

“JMG telah memaklumkan kejadian tanah runtuh di kawasan seliaan masing-masing kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengemukakan laporan kepada JMG Negeri, bagi inventori tanah runtuh sepanjang MTL 2021/2022,” menurut kenyataan dikeluarkan Nadma itu.

Agensi itu memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) melaporkan kejadian bencana di 53 buah lokasi merangkumi banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap, jambatan rosak atau runtuh, setakat 10 pagi ini.

Mengenai status terkini infrastruktur komunikasi yang terjejas susulan bencana banjir, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan sejumlah 1,007 daripada 1,039 infrastruktur komunikasi dibaik pulih, iaitu 96 peratus daripada jumlah keseluruhan lokasi terjejas.

MCMC memaklumkan berdasarkan data kumulatif bermula 19 Dis, baki 32 lokasi struktur komunikasi masih dalam proses baik pulih, manakala infrastruktur komunikasi yang telah dibaik pulih sepenuhnya dilaporkan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Port Dickson, Rembau, Seremban, Pekan, Raub, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Gombak.

Selain itu, Nadma memaklumkan setakat semalam (30 Dis), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaporkan SW Corp Malaysia selesai melakukan kerja pembersihan di 85 peratus kawasan yang terjejas banjir di lima negeri.

Negeri terlibat adalah Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor dengan anggaran jumlah sisa di tapak transit adalah 2,269 tan dan di tapak pelupusan lain sebanyak 4,142 tan, melibatkan 2,286 pekerja dan 908 jentera bagi kerja pembersihan.

Sementara itu, susulan kemas kini Amaran Cuaca Berterusan Buruk oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana yang dikemas kini dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC).

“Semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

“Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut kenyataan itu lagi.

Nadma juga memaklumkan Met Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran akan memberi pemakluman awal yang dikemas kini dari semasa ke semasa agar semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dapat bersiap siaga.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh lagi insiden tanah runtuh dilapor, keseluruhan 133

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Tujuh lagi kejadian tanah runtuh dilaporkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) hari ini menjadikan keseluruhan 133 insiden tersebut berlaku sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pertambahan itu menjadikan keseluruhan insiden tanah runtuh yang berlaku di Selangor adalah 55 kes, Pahang (42), Negeri Sembilan (17), Kuala Lumpur (lapan), Sarawak (enam), Terengganu (tiga), Melaka dan Sabah masing-masing satu.

Agensi itu memaklumkan Bilik Gerakan Bencana Jabatan Kerja Raya melaporkan kejadian bencana di 52 lokasi melibatkan cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap, jambatan rosak atau runtuh.

“Sepanjang MTL 2021/2022, terdapat 46 lokasi tanah runtuh seluruh Malaysia yang sedang diambil tindakan baik pulih oleh pihak Jabatan Kerja Raya,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, NADMA memaklumkan setakat semalam (30 Dis), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaporkan SW Corp Malaysia telah selesai melakukan kerja-kerja pembersihan di 80.6 peratus kawasan yang terjejas banjir di lima negeri.

Negeri terlibat adalah Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor dengan anggaran lebih 7,280 tan sisa sampah dilupuskan melibatkan 2,286 pekerja dan 908 jentera bagi kerja pembersihan.

Sementara itu, susulan amaran hujan berterusan sehingga 3 Jan depan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memberi pemakluman awal yang dikemas kini dari semasa ke semasa agar semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) boleh bersiap siaga.

“Semua PKOB Negeri dan Daerah diminta sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan oleh MetMalaysia dan JPS, serta sentiasa bersiap siaga dengan pelbagai kemungkinan termasuk banjir kilat, terutamanya di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Tanah runtuh: 38 keluarga Apartmen Teratai diarah pindah sementara

GOMBAK, 30 DIS: Sebanyak 38 keluarga di Apartmen Teratai, Bandar Baru Selayang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan tebing pangsapuri itu runtuh akibat hujan lebat pada 18 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berkata apartmen berkenaan antara enam lokasi di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang kritikal dan perlu pembaikan segera.

“Semua penduduk di pangsapuri itu ditempatkan di Dewan Sri Siantan sementara kawasan berkenaan dibaik pulih manakala lima lagi kawasan yang juga melibatkan penduduk dalam pemantauan dan jika ada keperluan mengosongkan rumah kita akan berikan notis.

“Bagi pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pula terdapat lima kawasan kritikal. Kita jangka kos baik pulih di kawasan MPS memerlukan RM11.5 juta manakala MPAJ (RM2.02 juta),” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar hari ini meninjau tiga lokasi tanah runtuh di daerah Gombak yang merupakan kawasan kritikal akibat hujan lebat pada 18 Disember lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau Apartmen Teratai, Bandar Baru Selayang sebelum ke dua lokasi lain di Persiaran 3 Jalan FT01 dan Jalan Melati 20, Taman Melati.

Penduduk di pangsapuri itu diarah berpindah ke PPS berikutan tebing berhampiran kediaman mereka runtuh. Susulan kejadian, MPS telah meletakkan kanvas di tebing itu bagi mengelakkan situasi bertambah teruk.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima lagi insiden tanah runtuh direkodkan, keseluruhan 126

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Lima lagi insiden tanah runtuh direkodkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) hari ini menjadikan keseluruhan 126 kejadian tanah runtuh berlaku sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2021.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pertambahan lima kejadian tanah runtuh itu berlaku membabitkan Pahang (dua kes) Selangor (dua kes) dan Kuala Lumpur (satu kes).

Jumlah itu menjadikan keseluruhan insiden tanah runtuh yang berlaku di Selangor adalah 51 kes, Pahang (40), Negeri Sembilan (17), Kuala Lumpur (lapan), Sarawak (enam), Terengganu (tiga) dan Melaka (satu).

Dalam pada itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) Careline menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bekalan elektrik di 852 kawasan yang terjejas banjir di Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan telah dipulihkan setakat pukul 12 tengah hari ini.

Ia meliputi 525 kawasan di Pahang, 183 kawasan di Selangor, 119 kawasan di Kuala Lumpur dan 25 kawasan di Negeri Sembilan.

“Jika banjir sudah surut di kawasan anda tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, hal ini disebabkan oleh pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis anda masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan,” menurut hantaran itu.

TNB Careline turut memberitahu tiga kawasan di Selangor, dua kawasan di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kawasan di Pahang serta Kuala Lumpur masih belum mendapat bekalan elektrik demi keselamatan pengguna setempat.

Selain itu menurutnya usaha sedang giat dijalankan oleh TNB bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

TNB Careline juga menasihati pelanggan supaya memastikan peralatan elektrik yang ditenggelami banjir telah kering terlebih dahulu sebelum digunakan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RM46 juta baik pulih tanah runtuh kawasan Selayang, Ampang Jaya

SELAYANG, 30 DIS: Sejumlah RM46 juta diperlukan untuk pemulihan kekal di lokasi tanah runtuh bagi seluruh kawasan Selayang dan Ampang Jaya, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 11 kawasan tanah runtuh kritikal di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dikenal pasti memerlukan baik pulih segera.

“Antara kerosakan di Apartment Teratai dan Kerajaan Negeri akan berbelanja kira-kira RM1.6 juta untuk betulkan tebing runtuh yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan.

“Secara asasnya kejadian yang berlaku di tanah kerajaan kita tiada masalah dan mungkin ada dua kes melibatkan tanah individu yang akan diselesaikan. Kita juga akan bincang dengan Kerajaan Pusat berkaitan jumlah bantuan yang boleh dibantu, namun Kerajaan Negeri laksana dahulu kawasan kritikal,”katanya selepas meninjau Apartment Teratai hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, seramai 38 keluarga di Apartment Teratai menerima RM1,000 menerusi inisiatif Selangor Bangkit dan membantu mengusahakan bantuan zakat.

“Walaupun penduduk tidak terkesan akibat banjir kita tetap masukkan mereka dalam senarai penerima bantuan kerana harus berpindah lama ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan.

“Selain PPS, mereka juga boleh berpindah ke rumah keluarga lain atau lokasi yang dirasakan bersesuaian sekiranya tidak berasa selesa,” katanya.

Selepas meninjau Apartment Teratai, Bandar Baru Selayang kira-kira jam 10.45 pagi, Amirudin bergerak ke dua lokasi lain di Persiaran 3 Jalan FT01 dan Jalan Melati 20, Taman Melati.

Seramai 38 keluarga di pangsapuri itu diarah berpindah ke PPS berikutan tebing berhampiran kediaman mereka runtuh. Susulan kejadian MPS telah meletakkan kanvas di tebing itu bagi mengelakkan situasi bertambah teruk.

Categories
AGENDA NASIONAL

121 insiden tanah runtuh di seluruh negara sepanjang musim monsun

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Sebanyak 121 insiden tanah runtuh dilaporkan berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022, berdasarkan laporan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan JMG dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah dan sedang mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara itu.

“Pihak JMG dan JKR telah diminta untuk menyelaras pelaporan tanah runtuh supaya lebih menyeluruh dan turut melibatkan kawasan cerun di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, NADMA memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diarah mengenal pasti kaedah penyelesaian terbaik bagi menempatkan penduduk yang perlu mengosongkan rumah sudah tidak selamat didiami berikutan tanah runtuh.

Sementara itu, susulan ramalan amaran hujan lebat berpanjangan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dilanjutkan hingga 3 Jan, kenyataan itu memaklumkan JPBN dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diarah untuk meningkatkan kesiapsiagaan bagi memastikan operasi pengurusan bencana berjalan lancar.

Menurut NADMA, Polis Diraja Malaysia selaku komander Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) perlu menyelaras persediaan menghadapi banjir yang dijangka berlaku bersama semua agensi responder terlibat.

Berikutan banjir yang dilaporkan mula berlaku di Sipitang, Sabah, semua agensi responder di negeri berkenaan turut diarah bersiap siaga untuk bertindak dan membuka PKTK.

Penduduk terutama di kawasan dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa, selain boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa di laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB tinjau kawasan tanah runtuh kampung Orang Asli, hantar pasukan bantuan

HULU LANGAT, 29 DIS: Dato’ Menteri Besar hari ini meninjau kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Genting Peras di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba di lokasi menunggang motosikal diberikan taklimat oleh bomba berhubung situasi terkini keadaan di kawasan tersebut.

Beliau turut menghantar sukarelawan pendaki dan anggota bomba terlibat untuk mengagih bantuan bekalan makanan serta keperluan harian kepada penduduk terputus hubungan akibat banjir .

Amirudin ketika berucap memaklumkan bantuan tersebut adalah sesi kedua untuk mangsa banjir di perkampungan tersebut.

“Kerajaan Negeri dan unit bencana mengucapkan terima kasih atas komitmen diberikan. Kita faham untuk sampai ke tempat itu mempunyai lebih 20 ke 30 ‘check point’ tanah runtuh.

“Saya harap sukarelawan terlibat terus berhati-hati kerana risiko masih ada berikutan struktur tanah masih lembut. Ini bukan misi kemanusiaan sahaja tetapi faktor keselamatan perlu dijaga untuk elak kemalangan,” katanya.

Amirudin melawat dan membersihkan sekitar Hulu Langat yang terjejas teruk akibat banjir di Batu 16/17 dan Taman Sri Nanding seawal jam 8 pagi tadi.

Beliau turut melepaskan bantuan ke kampung Orang Asli (Malim Gunung) di Pekan Batu 18 dan menyerahkan sumbangan pascabanjir ke pusat pemindahan sementara Sungai Serai.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA NASIONAL

Struktur Kondominium Sri Duta 1 tidak selamat, penghuni diarah pindah

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) serta perunding yang dilantik pemaju mengesahkan struktur bangunan Kondominium Sri Duta 1, Taman Duta, di sini, bermasalah dan berisiko terjadinya runtuhan tanah yang lebih kritikal.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini berkata ia berikutan terdapat tanda-tanda berlakunya pergerakan tanah yang memberi kesan kepada struktur bangunan.

“Antara tanda berlakunya pergerakan tanah adalah column (tiang) dengan dinding yang telah terpisah, surface tension crack (rekahan permukaan akibat ketegangan) di beberapa permukaan tanah serta keretakan di bawah lantai.

“Tanda-tanda ini menunjukan keadaan di kawasan itu adalah tidak selamat dan akan menimbulkan risiko kepada penghuni Kondominium Sri Duta 1 serta penghuni yang berada di tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DBKL berkata terdapat empat blok yang terkesan, membabitkan 34 unit kediaman dan penghuni telah dinasihatkan untuk berpindah atas faktor keselamatan.

“Pihak Badan Pengurusan Bersama telah mengosongkan unit-unit penduduk yang terkesan sebagai tindakan awalan bagi menghalang hakisan yang berterusan dan boleh menyebabkan pergerakan kepada pilecap.

“Kerja-kerja pemulihan cerun dan bangunan di dalam kawasan pemaju akan dilakukan dengan kadar segera dan akan disemak oleh DBKL dan IKRAM,” katanya.

Menurutnya pada masa sama IKRAM juga sedang memantau pergerakan tanah dan bangunan secara dekat.

Pada 18 Dis lepas, media melaporkan berlaku tanah runtuh di kawasan berhampiran kondominium Sri Duta 1 berikutan hujan lebat berterusan di Lembah Klang.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh: 128 penghuni asrama UIAM diarah kosongkan bangunan

KUALA LUMPUR, 27 DIS:  Kira-kira 128 penghuni asrama lelaki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak diarah mengosongkan bangunan asrama itu selepas satu kejadian mendapan jalan serta tanah runtuh dikesan berhampiran dengan bangunan berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya bergegas ke lokasi untuk membuat pemantauan selepas menerima laporan pada kira-kira pukul 9 malam tadi mengenai kejadian itu.

Beliau berkata kejadian dikesan berlaku kira-kira pukul 6.45 petang semalam berikutan aduan pelajar di kawasan berkenaan, dan tinjauan mendapati keluasan mendapan jalan adalah sekitar lima meter persegi melibatkan kedalaman kira-kira tiga meter.

.”Setakat ini tiada kesan rekahan pada dinding atau lantai (bangunan) ditemui,” katanya kepada Bernama hari ini.

Norazam berkata pihak pengurusan UIAM telah bertindak menutup kawasan itu dengan kon serta pita keselamatan.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam UIAM Roslan Rusly berkata kejadian tanah runtuh berkenaan dikesan di Mahallah Zubair Al-Awwam, sementara mendapan tanah berlaku berhampiran Mahallah Ruqayyah berikutan hujan lebat selama kira-kira 45 minit di kawasan itu semalam.

— BERNAMA

 

 

Categories
PBT SELANGOR

Paip IWK pecah sebabkan tanah runtuh di Selayang

SHAH ALAM, 19 DIS: Insiden paip pecah menyebabkan berlakunya tanah runtuh berhampiran Pangsapuri Teratai di Bandar Baru Selayang, Gombak malam tadi.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memaklumkan pemeriksaan awal mendapati paip Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) pecah pada jam 9 malam, lapor Berita Harian.

“Tindakan awal Unit Cerun Jabatan Kejuteraan MPS adalah menutup paip itu dan airnya dilencongkan ke longkang berdekatan.

“Kita akan meratifikasi kejadian itu secara menyeluruh selepas situasi hujan lebat dan banjir kembali reda. Saya turut dimaklumkan tiada mangsa cedera akibat kejadian berkenaan,” kata jurucakap MPS.

Selain itu, insiden tanah runtuh turut berlaku di bahu jalan berdekatan Tahfiz Al-Munawarah, Taman Melawati dan Jalan Bunga Anggerik Dataran Ukay, Hulu Klang, Ampang malam ta

Categories
ADN SELANGOR

Tiga lokasi tanah runtuh dikesan di DUN Bukit Antarabangsa

SHAH ALAM, 19 DIS: Terdapat tiga lokasi tanah runtuh dikesan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa susulan hujan berterusan di negeri ini beberapa hari lalu.

Sebuah rumah terjejas susulan tanah runtuh yang dikesan berlaku di DUN Bukit Antarabangsa pada 19 Disember 2021. Foto Facebook DUN Bukit Antarabangsa

Tiga lokasi berkenaan ialah di Taman Sering Ukay, Ukay Heights dan Dataran Ukay yang melibatkan dua kediaman.

“Yang dipertua MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) telah dimaklumkan oleh Pejabat Penyelaras DUN Bukit Antarabangsa dan Unit Cerun.

“Jabatan Kejuruteraan MPAJ telah diarahkan oleh yang dipertua untuk tindakan segera,” menurut DUN terbabit di Facebook.

Semalam, Selangor mengalami banjir kilat di beberapa kawasan disebabkan taburan hujan lebih dua kali ganda paras tertinggi pernah direkodkan sebelum ini.

Antara daerah yang terjejas teruk ialah Shah Alam, Klang, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.