Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 16,000 mangsa banjir dipindahkan di enam negeri

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Enam negeri dilanda banjir dengan kejadian terbaharu di Kelantan dan Perak, manakala jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara termasuk di Johor, Pahang, Terengganu dan Selangor terus meningkat seramai 16,546 orang, pagi ini.

Di KELANTAN, Gua Musang menjadi jajahan pertama dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak malam tadi dengan dua PPS dibuka bagi menempatkan 296 mangsa daripada 73 keluarga.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 279 daripada 68 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 1 manakala 17 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Papan.

Menurut infobanjir.water.gov.my, paras Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 59.27 meter, setakat 8 pagi ini.

Tiga lagi sungai iaitu Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Kelantan di Kuala Krai serta Sungai Galas di Dabong mencatatkan bacaan melepasi paras waspada.

Di PERAK, tiga daerah mula dilanda banjir menyebabkan 615 penduduk daripada 161 keluarga dipindahkan ke 10 PPS setakat 8 pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata Muallim menjadi daerah paling teruk terjejas banjir apabila 477 mangsa dipindahkan ke tujuh PPS.

Di daerah Kampar, 27 mangsa dari Kampung Batu 20 dipindahkan ke dewan kampung itu dan 26 mangsa dari Kampung Pasir Kuala Dipang dipindahkan ke Dewan Dato Azman Mahalan selepas rumah mereka dinaiki air.

“Di Hilir Perak pula, 85 mangsa dari Kampung SC Ayer Hitam, Kampung Tengah Ayer Hitam, Kampung Sungai Rambai Chikus dan Batu 9 Simpang 3, Jalan Changkat Jong di Teluk Intan ditempatkan ke Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan,” katanya.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 7,112 orang daripada 1,854 keluarga di lapan daerah setakat 8 pagi tadi, berbanding 6,391 orang malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor R Vidyananthan berkata setakat ini, 68 PPS dibuka dengan 20 di Kota Tinggi, Kluang (19), Johor Bahru (10), Mersing (enam), Kulai (lima), Segamat dan Pontian, masing-masing tiga dan dua di Batu Pahat.

Kluang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,527 orang, diikuti Kota Tinggi (2,029), Johor Bahru (1,279), Kulai (581), Mersing (513), Pontian (347), Batu Pahat dan Segamat, masing-masing 65 orang.

Sementara itu, tiga laluan di Kota Tinggi masih ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Sungai Sayong di Jambatan Sungai Sayong, Jalan Tun Sri Lanang di Bandar Kota Tinggi, Jambatan Jalan Semangar manakala Jalan Mawai Lama dibuka untuk laluan kenderaan berat sahaja.

Jalan Haji Suhud Taman Muhibbah, Johor Bahru masih ditutup untuk semua kenderaan berikutan jambatan runtuh manakala di Mersing, Jalan Jemaluang-Batu Pahat serta Jalan Kota Tinggi-Mersing dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

“Sementara itu, Jalan Batu Pahat-Mersing di Ladang Pak Loh serta Jalan Batu Pahat-Kluang di Sekolah Menengah Kahang juga masih ditutup kepada kenderaan ringan. Jalan Batu Pahat-Mersing di Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan Hock Huat ditutup untuk semua kenderaan,“ katanya.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS meningkat kepada 7,603 orang daripada 2,708 keluarga berbanding 3,979 orang, malam tadi.

Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 7.30 pagi ini, 164 PPS telah dibuka membabitkan sembilan daerah terjejas di negeri itu.

Kuantan masih mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 2,174 orang diikuti Raub (1,401), Maran (943), Jerantut (878), Rompin (704), Lipis (684), Temerloh (509), Bentong (219) dan Pekan (91).

Portal berkenaan turut memaklumkan Sungai Semantan dan Sungai Pahang di daerah Lipis, Kuantan, Raub, Jerantut kini melepasi tahap bahaya.

Sementara itu, ANIH Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan laluan kilometer (KM) 84.6-84.7 (Lanchang) Lebuhraya Pantai Timur 1 di kedua-dua hala ditutup sepenuhnya mulai 11.30 malam tadi susulan limpahan air melibatkan kedalaman satu meter.

Pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif iaitu persimpangan Lanchang-Felda Lakum-Bukit Damar-Mempaga-Chinta Manis- Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK).

Bagi laluan Lanchang di KM113 hala Timur, lorong kiri dan kecemasan ditutup manakala bagi arah barat hanya lorong kecemasan sahaja ditutup susulan dinaiki air.

Di TERENGGANU, mangsa banjir meningkat kepada 804 orang daripada 205 keluarga setakat 8 pagi berbanding 138 orang pada petang semalam, menurut Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Beliau berkata di Kemaman, jumlah mangsa meningkat kepada 609 orang daripada 145 keluarga dengan penambahan lima PPS menjadikan keseluruhan enam PPS ketika ini di daerah itu.

“Di Dungun pula, mangsa bertambah kepada 195 orang daripada 60 keluarga berbanding 92 orang daripada 29 keluarga sebelum ini. Terdapat penambahan satu lagi PPS menjadikan jumlah keseluruhan PPS beroperasi ialah di tiga lokasi setakat ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan stesen bacaan di tiga sungai iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik di Kemaman serta Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun merekodkan kenaikan air sungai melebihi paras bahaya setakat 8 pagi ini.

Di SELANGOR, 116 mangsa banjir daripada 36 buah keluarga masih ditempatkan di dua PPS di Hulu Bernam setakat 8 pagi tadi.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Baru A dan Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah Sungai Selisek.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mayat bakal pengantin ditemukan pagi tadi – polis

MARANG, 27 DIS: Mayat bakal pengantin yang dikhuatiri lemas di Pantai Kelulut Jumaat lepas, ditemukan terdampar di Pantai Alur Tuman di sini pagi tadi.

Mayat Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Kuala Lumpur ditemukan pada 8.55 pagi oleh pasukan penyelamat yang membuat rondaan di pantai itu, kira-kira tiga kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris berkata ayah mangsa Kamaruddin Abdullah, 59, telah dipanggil untuk membuat pengecaman dan mengesahkan bahawa mayat tersebut adalah anaknya berpandukan beberapa identiti.

“Mayat dijumpai dalam keadaan yang sempurna tanpa sebarang kecederaan dan akan dihantar ke forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

“Dengan penemuan ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pantai Kelulut ditamatkan dan tumpuan akan diberi untuk satu lagi operasi mencari lelaki yang masih belum ditemukan di Pantai Jambu Bongkok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Naim Hariri datang ke Terengganu pada Khamis lepas dijadualkan bernikah dengan tunangnya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27, di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Terengganu kini dalam tempoh ‘bertenang’

KUALA NERUS, 24 DIS: Selepas banjir gelombang keempat berakhir semalam, Terengganu kini berada dalam tempoh ‘bertenang’ dan cuaca diramalkan berkeadaan baik tanpa berlaku sebarang hujan lebat yang berterusan.

Pengarah Pejabat Meteorologi Terengganu Rosli Zakaria berkata tempoh ‘bertenang’ yang bermula semalam dijangka berterusan untuk beberapa hari ini.

“Berdasarkan tinjauan kira-kira seminggu ke hadapan, tidak kelihatan tanda-tanda hujan lebat berterusan akan berlaku. Hujan masih dijangka berlaku mungkin pada sebelah pagi atau petang tetapi ianya tidak lebat dan berterusan,” katanya kepada Bernama di sini.

Rosli berkata bagaimanapun, penduduk di negeri ini masih perlu berwaspada memandangkan fasa Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang bermula November lepas dijangka hanya akan berakhir Mac 2021 dan sepanjang tempoh itu hujan lebat masih boleh berlaku bila-bila masa.

Dalam pada itu, Rosli tidak menolak kemungkinan terdapat episod hujan lebat bermula sekitar hujung tahun atau awal tahun hadapan namun masih terlalu awal untuk pihaknya memberi sebarang amaran atau meramalkan negeri yang terlibat dengan keadaan cuaca tersebut.

“MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) akan terus memantau keadaan semasa. Semua pejabat meteorologi negeri dan pejabat meteorologi utama iaitu stesen-stesen pemantauan kita beroperasi 24 jam sehari dan kita sentiasa kemas kini maklumat terkini terutama kepada sekretariat pengurusan bencana negeri,” katanya.

Beliau berkata pihak Pejabat Meteorologi Terengganu juga sentiasa berkomunikasi dengan semua agensi pengurusan bencana di negeri ini terutama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menyalurkan maklumat mengenai keadaan cuaca terkini supaya langkah kesiapsiagaan dapat diambil.

“Kita guna pelbagai platform yang tersedia seperti aplikasi WhatsApp dan telefon supaya kami sentiasa kekalkan komunikasi berterusan dalam menyampaikan maklumat,” katanya.

Banjir di Terengganu menyaksikan gelombang pertama bermula pada 17 hingga 19 November lepas manakala gelombang kedua bermula pada 23 November hingga 2 Disember.

Gelombang ketiga banjir bermula pada lewat malam 2 hingga 9 Disember lepas. Seminggu selepas itu, banjir gelombang keempat pula berlaku pada 17 Disember dan tamat semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Kelantan, Terengganu tidak berubah

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Keadaan banjir yang melanda pantai timur Semenanjung tidak berubah pagi ini tanpa penambahan bilangan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Pasir Mas kekal 37 orang sehingga 8 pagi ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas Azizan Aziz berkata kesemua mangsa terdiri daripada lapan keluarga termasuk masing-masing seorang bayi lelaki dan perempuan yang ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Pasir Mas.

“Kesemua mangsa masih kekal berada di PPS berikutan penempatan mereka masih digenangi air disebabkan banjir termenung memandangkan kediaman mereka berada di tempat yang rendah.

“Sehingga petang semalam keadaan banjir di penempatan mereka sudah mulai surut sedikit dan sekiranya keadaan bertambah baik kemungkinan ada di antara mereka yang boleh dibenarkan pulang pada petang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang Imran Ismail berkata setakat 8 pagi, paras Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 7.89 meter (m) iaitu melepasi paras waspada 7 m dengan trend menurun.

Katanya, trend paras Sungai Golok di Rantau Panjang dilihat semakin menurun dan bertambah baik berbanding bacaan pada petang semalam yang melepasi paras amaran 8.53 m (amaran 8 m).

Di TERENGGANU, situasi banjir juga tidak berubah dengan hanya sembilan orang daripada empat keluarga masih berada di satu PPS setakat 8 pagi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata satu-satunya PPS yang masih beroperasi ketika ini ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, Marang yang menempatkan empat keluarga tersebut.

“Banjir termenung di sekitar kawasan rumah mereka masih belum surut. Mungkin mereka akan lebih lama berada di PPS itu memandangkan pagi ini, Terengganu menerima taburan hujan yang agak lebat,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di enam daerah iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun yang dijangka berterusan hingga 9 pagi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Banjir di Terengganu, Kelantan semakin pulih, cuaca baik

KUALA TERENGGANU, 6 DIS: Terengganu dan Kelantan terus pulih daripada banjir dengan cuaca semakin baik dan bilangan mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di Terengganu, jumlah mangsa terus berkurang kepada 295 orang daripada 73 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 437 mangsa daripada 107 keluarga, petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata hanya lima PPS beroperasi ketika ini, masing-masing dua di Besut dan Setiu dan satu di Marang.

“Mangsa paling ramai ketika ini ialah di Besut iaitu 199 orang diikuti Setiu (61) dan Marang (35). Lebih ramai dijangka akan pulang ke rumah masing-masing sekejap lagi kerana cuaca yang semakin baik hari ini,” katanya.

Di Kelantan, bilangan mangsa banjir juga berkurangan kepada 108 orang daripada 22 keluarga berbanding 109 orang semalam.

Kesemua mereka ditempatkan di empat PPS membabitkan dua jajahan, masing-masing dua di Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pasir Mas menjadi daerah mencatat jumlah tertinggi mangsa banjir dengan 58 mangsa daripada 12 keluarga yang dipindahkan di dua PPS, manakala di Pasir Puteh melibatkan 50 orang daripada 10 keluarga di dua PPS.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), http://publicinfobanjir.water.gov.my, setakat 8 pagi ini menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.39 meter (m) (bahaya 9m).

Cuaca di Kelantan keseluruhan cerah tanpa hujan pada pagi ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Mangsa banjir Kelantan, Pahang meningkat, Terengganu berkurangan

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Banjir di Kelantan dan Pahang masih mencatat peningkatan manakala keadaan di Terengganu semakin baik.

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di tiga jajahan di Kelantan terus meningkat kepada 400 orang sehingga 8 pagi ini, berbanding 323 orang petang semalam.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 87 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) jajahan Kota Bharu iaitu 26 mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Melor, SK Tiong (50) dan 11 mangsa di Islamic Out Reach ABIM Kok Lanas.

Pasir Puteh pula mencatat jumlah mangsa tertinggi setakat ini dengan enam PPS dibuka iaitu Dewan Kompleks Kamil yang menempatkan 67 mangsa, SK Changgai (17), SK Bukit Jawa 2 (37), SK Kamil 3 (44), SK Sungai Petai (23) dan SK Wakaf Raja (31).

Di Pasir Mas, seramai 74 mangsa daripada 16 keluarga di tempatkan di PPS SK Gual Tok Deh dan 20 mangsa di PPS SK Kubang Kual, manakala di PPS Balai Raya Padang Kijang, Tanah Merah yang menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga sebelum ini, ditutup.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my setakat 8 pagi ini, Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.59 meter (m) (bahaya 9 m) namun ia adalah trend menurun.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 156 mangsa melibatkan 52 keluarga berbanding petang semalam iaitu 109 mangsa daripada 34 keluarga dengan lapan PPS di Raub beroperasi.

Menurut aplikasi Info Bencana JKM, SK Ulu Sungai menempatkan mangsa paling ramai iaitu 42 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Sungai Ulu diikuti Masjid Kampung Kuala Semantan (38 orang, 12 keluarga), Dewan Serbaguna Kampung Pia (26 orang,10 keluarga) dan Masjid Kuala Temau (16 orang, tujuh keluarga).

Selain itu, Balai Raya Kampung Sengkela pula menempatkan 12 orang daripada empat keluarga, SK Tersang (11 orang, tiga keluarga), Balai UMNO Kampung Batu Talam (enam mangsa, empat keluarga) dan Balai Raya Kampung Chenua (lima orang, satu keluarga)

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my setakat 8 pagi, Sungai Jempol di Ran Felda Jengka, Maran telah melepasi tahap waspada dengan mencatat 29.6 meter paras air berbanding 29 meter setakat 8 pagi ini.

Di PERAK, banjir termenung di Kampung Matang Tengah, Beriah dalam daerah Kerian belum surut dan menyebabkan 27 orang masih berada di PPS SK Changkat Lobak, Bagan Serai setakat pukul 8 pagi ini.

Di TERENGGANU pula, situasi banjir bertambah baik dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 1,621 orang daripada 416 keluarga setakat 8 pagi tadi, berbanding 2,130 orang daripada 550 keluarga pada 4 petang semalam.

Penurunan itu berikutan penutupan 10 PPS iaitu lima di Besut, Marang (dua), Hulu Terengganu (dua) dan Dungun (satu) menjadikan jumlah terkini PPS adalah 48.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata mangsa paling ramai adalah di Marang iaitu 527 orang daripada 138 keluarga berbanding 769 orang daripada 203 keluarga petang semalam.

Di Dungun, jumlah mangsa berkurangan daripada 166 orang berbanding 190; Besut (359 mangsa daripada 385); Setiu (268 mangsa daripada 294); Kemaman (43 mangsa daripada 116); Kuala Nerus (134 mangsa daripada 218) dan Kuala Terengganu pula berkurangan kepada 124 orang berbanding 139 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM61.32 bilion bayaran hasil petroleum kepada empat negeri

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Jumlah hasil petroleum yang dibayar kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan dari 2008 hingga 2020 adalah RM61.32 bilion, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Beliau berkata jumlah bayaran tunai hasil petroleum yang disalurkan kepada Sarawak dan Sabah bagi tempoh 2008 hingga Ogos 2020 adalah masing-masing RM25.3 bilion dan RM13.2 bilion.

Bayaran khas petroleum kepada Terengganu dan Kelantan bagi tempoh yang sama masing-masing sebanyak RM22.4 bilion dan RM418.9 juta, katanya dalam jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) mengenai jumlah bayaran royalti minyak dan gas yang diterima kerajaan Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu mulai 2008 sehingga 2020.

Mustapa berkata Petroliam Nasional Berhad (Petronas) membuat bayaran tunai hasil petroleum sebanyak lima peratus secara terus masing-masing kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Bagi kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu pula, Petronas menyalurkan bayaran kepada Kementerian Kewangan yang seterusnya membuat bayaran kepada kedua-dua negeri tersebut,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Beri sokongan, pastikan pesakit cepat sembuh

KUALA TERENGGANU, 12 OKT: Setiap individu bertanggungjawab memberi sokongan positif kepada pesakit Covid-19 untuk mempercepatkan proses penyembuhan mereka.

Bekas pesakit Covid-19, Badrol Hisham Zaki, 51, berkata kejian, kecaman dan fitnah hanya akan memburukkan keadaan pesakit dan keluarga sehingga menyebabkan kesan trauma yang menakutkan.

“Pelbagai kecaman dan fitnah saya terima sebaik sahaja disahkan positif Covid-19 pada 25 September lepas hingga menyebabkan perniagaan isteri turut terjejas.

“Namun, berkat doa, mesej dan panggilan telefon yang positif, kasih sayang keluarga dan sahabat handai, ia menguatkan emosi saya untuk terus berusaha melawan Covid-19 ini dan sembuh seperti biasa setelah menjalani rawatan selama 14 hari di Hospital Hulu Terengganu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Badrol Hisham berkata berdasarkan pengalamannya, pesakit Covid-19 akan mudah berasa tertekan terutama di peringkat awal dijangkiti wabak tersebut.

“Tambahan pula pesakit akan bersendirian ketika menjalani proses rawatan dalam bilik yang terasing…waktu inilah pesakit sangat memerlukan sokongan emosi dari keluarga dan rakan terdekat.

“Untuk membina antibodi melawan virus, pesakit perlu sentiasa fokus untuk kembali sihat dan mesti berada dalam keadaan tenang, sentiasa bersangka baik dengan Allah yang telah memilih kita sebagai insan istimewa untuk diuji dengan Covid-19,” katanya.

Beliau juga kecewa kerana persepsi masyarakat terhadap pesakit itu sama seperti pandangan terhadap pesakit kusta yang dipulaukan pada zaman dahulu.

Setakat 12 tengah hari semalam, terdapat 37 kes positif Covid-19 dan 404 individu dalam pemerhatian di seluruh Terengganu.

Sementara itu, seorang lagi bekas pesakit Covid-19, Rubihah Musa 34, berkata masyarakat perlu terus didedahkan dengan ilmu yang tepat mengenai wabak itu agar tidak lagi mengguris hati pesakit dan keluarga mereka.

“Hati siapa tidak terluka apabila diberitahu kedai makan kawan diboikot dan anak-anak diejek di sekolah hanya disebabkan saya positif Covid-19.

“Biarlah pesakit menjalani rawatan dengan tenang, usah menghukum mereka kerana Covid-19 boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira warna kulit, bangsa atau agama. Paling penting, sentiasa beri sokongan dan berdoa pesakit sembuh kerana ini adalah peperangan yang musuhnya tidak kelihatan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas MB Terengganu meninggal dunia

KUALA TERENGGANU, 21 SEPT: Bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, meninggal dunia pada pukul 6.20 pagi tadi di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur, akibat komplikasi jantung.

Berita duka itu dimaklumkan oleh anaknya Wan Abdul Hakim melalui Facebook miliknya.

Wan Abdul Hakim turut memberitahu jenazah ayahnya akan disembahyangkan di Masjid Bukit Jelutong, selepas solat zohor nanti dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam Selangor.

Allahyarham Wan Mokhtar, 88, yang berasal dari Kuala Terengganu, berkhidmat sebagai menteri besar Terengganu selama 25 tahun dari 1974 hingga 1999.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Jambatan angkat dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun

KUALA TERENGGANU, 20 Mei: Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun hingga 17 Jun ini sebagai percubaan kepada prestasi sistem operasinya.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya berkata, selepas itu, jambatan angkat yang pertama di Asia Tenggara itu akan ditutup semula bagi melihat dan menambah baik kelancaran operasinya dan dijangka dibuka sepenuhnya pada akhir Jun.

“Kami akan buka sebagai testing untuk orang ramai lalu sempena Hari Raya ini, dan kami akan tengok balik dan dijangka dibuka sepenuhnya akhir Jun.

“Sekarang ini jambatan itu sudah siap 99 peratus. Yang lagi satu peratus itu adalah kerja-kerja finishing seperti pemasangan papan tanda jalan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu akan menjadi jambatan keempat yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Jambatan yang mula dibina pada Ogos 2014 itu boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Agenda kukuh ekonomi desa antara dibincang bersama PM

KUALA TERENGGANU, 12 MEI: Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, agenda pengukuhan ekonomi masyarakat desa adalah antara perkara yang dibincangkan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan di Putrajaya, pada 10 Mei lalu.

Menyifatkan pertemuan selama satu jam tersebut adalah positif, Ahmad Samsuri berkata, beliau mendapatkan pandangan Dr Mahathir mengenai langkah memperkukuhkan ekonomi masyarakat terutama yang tinggal di desa yang memerlukan satu lonjakan dalam tindakan kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Dengan mengambil kira kedudukan Terengganu yang menerima wang royalti petroleum sejak 1974, tetapi tidak banyak perubahan daripada segi pergerakan terhadap struktur masyarakat (terutama) daripada segi data kemiskinan, dan sebagainya.

“Yang mana ia tidak begitu pantas berbanding dengan apa yang sepatutnya, setelah Terengganu menerima wang tunai petroleum sejak sekian lama.

“Jadi, ini antara perkara yang saya bincangkan dengan perdana menteri untuk mendapatkan pandangan beliau yang berpengalaman luas dalam proses menaik taraf kehidupan masyarakat. Pandangan itu akan kerajaan (negeri) cuba perhalusi dan tengoklah apa yang boleh dilaksanakan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Pemeriksaan Draf Rancangan Struktur Negeri Terengganu (RSNT) 2050 (Kajian Semula), di Wisma Darul Iman di sini.

Terdahulu, melalui laman Facebooknya Ahmad Samsuri berkata antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut adalah hala tuju pelaburan pihak luar negara ke Terengganu, Rancangan Malaysia Ke-11, wang tunai royalti petroleum dan baki pinjaman oleh Kerajaan Persekutuan untuk projek Lebuhraya Pantai Timur 2.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata selain maklum balas rakyat, Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Pemeriksaan Draf (RSNT) 2050 (Kajian Semula) akan turut melibatkan pihak berkepentingan seperti pemilik Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

“Selain itu dasar-dasar dan falsafah kerajaan negeri melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (Pitas) akan juga diambil kira dalam memastikan rancangan struktur bertepatan dengan apa yang diperlukan kerajaan negeri,” katanya.

Laporan pemeriksaan Draf RSNT2050 (Kajian Semula) itu dipamerkan bermula 1 Mei lepas sehingga 2 Jun ini untuk semakan dan maklum balas semua pihak daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sebarang pandangan boleh diajukan kepada pihak PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) Negeri Terengganu dengan menyerahkan sendiri borang pandangan yang disediakan atau melalui pos.

Kajian RSNT 2050 (Kajian Semula) tersebut menggariskan pelbagai matlamat untuk pembangunan Terengganu antaranya memastikan perancangan yang lebih seimbang antara wilayah-wilayah di negeri ini.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Habis RM2.7 juta tapi ‘bas dua alam’ tidak jadi

KUALA TERENGGANU, 2 APR: Kerajaan Terengganu akan membatalkan projek pembelian sebuah bas amphicoach atau dikenali bas dua alam, meskipun sudah membayar sebanyak RM2.7 juta untuk bas itu dengan baki pembayaran sebanyak RM336,350.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, ia berikutan pihak kontraktor tidak dapat mematuhi syarat dan terma kontrak selaras dengan klausa 20 (a), Penamatan Pengajian Kontraktor.

Ariffin berkata, bas amfibia itu juga gagal mendapat kelulusan pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut Malaysia bagi membolehkannya beroperasi di darat dan laut.

“Modifikasi yang dilakukan terhadap kenderaan itu juga tidak menepati kehendak JPJ dan Taman Laut, malah Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) negeri Terengganu juga bersetuju dengan syor Jabatan Kerja Raya untuk menamatkan kontraktor itu,” katanya di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Terdahulu, pada Awal 2018, bas itu tenggelam di Sungai Terengganu semasa dipandu uji bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menerima semula wang yang telah dibayar itu, Ariffin berkata, lazimnya ia akan dipulangkan apabila proses pembelian ditamatkan dan menyerahkan perkara itu kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk perincian lanjut.

Terdahulu, dalam sesi soal jawab lisan, Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) meminta penjelasan kerajaan negeri mengenai status terkini Amphicoach dan perancangan kerajaan negeri untuk memanfaatkannya dalam industri pelancongan.

Ariffin yang mengumpamakan projek Amphicoach itu sebagai ‘pesakit kronik yang tidak boleh disembuhkan oleh doktor’ menarik perhatian dewan antaranya Ahmad Said, yang merupakan ADUN Kijal, dengan bertanya sama ada JPJ tidak boleh bertolak ansur dalam memberi kelulusan operasi.

Isu itu lebih hangat apabila dewan diberitahu bahawa kenderaan bas amfibia yang tiba di Terengganu ialah daripada jenama MAN bukannya Iveco Bus seperti yang ditempah, namun menjelaskan ia adalah keputusan kerajaan negeri sebelum ini berdasarkan ketahanan dan kelasakan jenama itu.

Selain beberapa masalah teknikal lain, bas jenama MAN yang mempunyai 42 tempat duduk penumpang juga tidak mendapat kelulusan JPJ kerana tidak menepati kehendak teknikal agensi itu termasuk masalah untuk memindahkan penumpang sekiranya berlaku kecemasan di air.

Pembelian Amphicoach itu diilhamkan bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said yang mahu ia digunakan untuk membawa pelancong ke beberapa tempat menarik sekitar bandar sebelum menyusuri Sungai Terengganu.

– BERNAMA