Categories
AGENDA NASIONAL

Bah di Terengganu, Kelantan makin buruk, bilangan mangsa pindah meningkat

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) — Keadaan banjir dilaporkan semakin buruk di Terengganu dan Kelantan apabila bilangan mangsa meningkat di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan masing-masing 3,434 orang dan 2,186 orang, setakat 5 petang ini.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan 67 PPS dibuka di lima daerah iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Besut, Setiu dan Dungun membabitkan 985 keluarga.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan iaitu Jalan Pelantoh (Kampung Pelantoh), Jalan Teladas Air Putih (Jambatan Lama Teladas), Jalan Air Putih (Masjid Kampung Tebak), Jalan Air Putih (susur keluar Tol Chukai) dan Jalan Air Putih (Kampung Dadong-Sawah Padi) di Kemaman.

Selain itu, Jalan Jerteh-Keruak (Kampung Duek) dan Jalan Jerteh-Keruak (Kampung Jerubun), Besut; Jalan Pengkalan Merbau-Pelong (Kampung Seri Kenangan), Setiu; Jalan Tepus-Kuala Jengai (Kampung Rantau Panjang), Dungun dan Jalan Simpang Gaung-Simpang Sungai Tong (Kampung Kuala Ping) dan Jalan Bukit Diman-Tersat (Kampung Pengkalan Ajal), Hulu Terengganu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, lapan sungai iaitu Sungai Chalok, Sungai Setiu dan Sungai Nerus di Setiu; Sungai Telemong, Sungai Marang (Marang),  Sungai Kemaman dan Sungai Tebak di Hulu Terengganu serta Sungai Dungun telah melepasi paras bahaya.

Di KELANTAN, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, mengingatkan penduduk di negeri ini supaya tidak menjadikan bencana banjir sebagai pesta tahunan, walaupun situasi yang dihadapi ketika ini dianggap sebagai air hujan bertakung.

“Begitu juga warga emas atau orang dewasa yang mahu pergi melihat haiwan ternakan dan sebagainya sekiranya ditenggelami air, kalau boleh pergi ke tempat tersebut biarlah berteman bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas, di sini hari ini.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan, sebanyak 30 PPS dibuka masing-masing sembilan di Kuala Krai dan Tanah Merah manakala tujuh di Pasir Mas dan lima di Jeli melibatkan 622 keluarga.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 35.27 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.69m), Sungai Kelantan di Temangan, Machang (22.04m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.13m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.42m).

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rumah dilanda bah, pengantin harung air ke masjid langsung majlis nikah

HULU TERENGGANU, 26 FEB: Seorang pengantin perempuan terpaksa mengharungi banjir beberapa meter untuk menuju ke Masjid Kampung Matang di sini bagi melangsungkan majlis pernikahannya pagi tadi.

Zaleha Ahamad, 25, berkata majlis pernikahan itu sepatutnya diadakan di rumahnya di Kampung Matang di sini, namun terpaksa bertukar lokasi ke masjid itu kerana rumahnya dinaiki air lebih satu meter sejak semalam.

“Mengikut perancangan asal, selepas bernikah, saya dan suami Sayed Khalil Khusairi Tuan Hamzah (26 tahun) terus bersanding di rumah namun apakan daya, ia terpaksa dibatalkan.

“Tak sangka majlis pernikahan yang sepatutnya menjadi kenangan indah seumur hidup bertukar menjadi begini. Namun, saya fikir positif bahawa pengalaman mengharung banjir ini akan menjadi sesuatu yang manis untuk kami kongsikan kepada anak cucu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Kampung Matang adalah antara kampung yang sering terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu kerana lokasinya terletak di kawasan yang agak rendah berhampiran Sungai Telemong.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata dia tidak menyangka banjir akan berlaku kali ini kerana kebiasaannya banjir di daerah itu hanya terjadi dalam tempoh November hingga awal Januari sahaja.

“Majlis ini dirancang sebulan lepas kerana kedua-dua keluarga pengantin beranggapan banjir sudah selesai. Walaupun tidak dapat melalui pengalaman sepertimana pengantin lain, saya dan suami tetap bersyukur kerana telah menghalalkan ikatan perhubungan.

“Khemah untuk jamuan semua tetamu pula terpaksa dialihkan ke atas jalan kerana halaman rumah dinaiki air,” katanya yang mengenali suami sejak sekolah menengah.

Ketika ini, seramai 493 penduduk daripada 156 keluarga terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu dan ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) daerah itu.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Jumlah penduduk Terengganu, Kelantan berpindah meningkat

KUALA TERENGGANU, 26 FEB: Hari kedua banjir di Terengganu menyaksikan peningkatan mendadak jumlah penduduk terjejas kepada 2,525 orang daripada 712 keluarga pagi ini berbanding 1,237 orang daripada 339 keluarga malam tadi.

Peningkatan itu susulan penambahan 29 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi ketika ini ialah sebanyak 51 buah di lima daerah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan Dungun menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di Terengganu dengan 69 individu daripada 24 keluarga ditempatkan di empat PPS ketika ini.

“Daerah Kemaman merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,203 orang daripada 328 keluarga di 18 PPS diikuti Hulu Terengganu (650 orang, 196 keluarga di 11 PPS), Setiu (198 orang, 71 keluarga di tujuh PPS) dan Besut (405 orang, 93 keluarga di 11 PPS).

Jumlah mangsa banjir di KELANTAN juga terus menunjukkan peningkatan setakat 8 pagi ini, iaitu 853 orang daripada 237 keluarga berbanding 400 orang daripada 113 keluarga, malam tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 21 PPS dibuka melibatkan masing-masing lapan di Tanah Merah dan Jeli manakala empat di Kuala Krai dan satu di Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan beberapa sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Sungai berkenaan ialah Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli merekodkan bacaan 29.75 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (26.79 m), Sungai Kelantan di Temangan, Machang (21.50 m), Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (42.50 m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.32 m).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Video tiba-tiba tular, peniaga risau nasi dagang tidak cukup

SHAH ALAM, 11 JAN: Seorang peniaga nasi dagang ikan aya atau ikan tongkol tidak menyangka video dokumentari berdurasi 10 minit memaparkan kisah perniagaannya yang tular menerusi Facebook beberapa hari lepas menjadikan nasi dagangnya yang dijual menggunakan motosikal roda tiga ‘diserbu’ peminat juadah tradisional negeri Terengganu itu.

Muhammad Khairul Nizam Mamat, 43, berkata hal itu disedarinya sejak Jumaat lepas apabila melihat orang ramai beratur panjang kira-kira 100 meter seawal 6 pagi di kawasan Persiaran Alam Perdana, Bandar Puncak Alam untuk mendapatkan juadah berkenaan walaupun perniagaannya mula beroperasi sekitar 7 pagi.

“Saya terkejut pada pagi itu (Jumaat), tiba-tiba orang ramai datang dan siap beratur tunggu saya yang baru nak pasang payung dan sebagainya. Masuk 7.30 pagi ke atas, orang semakin ramai beratur. Saya memang cemas sebab risau makanan tidak cukup memandangkan orang beratur panjang dan lama untuk dapatkan makanan.

“Bila semak balik, rupanya video dokumentari sebuah produksi yang saya jalani penggambaran sebelum ini tular. Saya terkejut sebab video tersebut asalnya bukan untuk mempromosikan perniagaan saya sebaliknya untuk memaparkan macam mana seseorang yang ‘jatuh’ ketika COVID-19 melanda negara, bangun kembali mulakan kehidupan,” katanya yang ditemui Bernama di sini hari ini.

Muhammad Khairul Nizam yang merupakan anak jati Kampung Tengkawang, Kuala Berang berkata susulan tular, beliau kini perlu menambah sukatan beras basmati untuk menghasilkan nasi dagang tersebut hingga 10 kali ganda sehari berbanding kira-kira lima hingga lapan kilogram sehari ketika mula menceburi perniagaan itu pada November lepas.

“Sekarang kami masak nasi dagang hingga 50 kilogram beras sehari untuk memenuhi permintaan yang tiba-tiba mendadak ini. Disebabkan itu, empat adik lelaki yang menetap di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang serta ibu saya dari kampung datang membantu untuk menghasilkan nasi yang agak banyak sebab saya hanya berniaga seorang diri,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata dalam masa terdekat ini beliau belum menggajikan pekerja kerana masih dibantu adik ketiga, Muhammad Firdaus Mamat, 38, yang turut berniaga nasi dagang di kawasan Seri Kembangan dan adik bongsunya, Muhammad Khairul Aiman, 20.

Menurut Muhammad Khairul Nizam, beliau akan memohon lesen penjaja tepi jalan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam masa terdekat dan jika nasi dagangnya terus mendapat sambutan menggalakkan, beliau bercadang membuka dua lagi gerai di Selangor dengan satu daripadanya di Puchong yang akan diusahakan seorang adiknya.

Ditanya mengapa jualan nasi dagang menjadi pilihannya, Muhammad Khairul Nizam berkata kesukaran untuk mendapatkan juadah yang asli seperti didapati di kampung halamannya antara sebab beliau berniaga selain turut menjual nasi lemak ikan tongkol.

Katanya proses penyediaan dan memasak nasi yang agak kompleks antara sebab nasi dagang Terengganu sukar didapati malah bahan untuk menghasilkan kari ikan tongkol juga kebanyakannya terdapat di negeri itu.

“Itu antara sebab saya pilih juadah ini (nasi dagang) untuk dijual di sini. Memang majoriti pembeli juga dari pantai timur Semenanjung khususnya Terengganu. Ramai yang kata (respons) bila makan teringat pada kampung. Alhamdulillah orang suka.

“Tidak kurang juga kecaman sebab apabila tular, orang meletakkan harapan yang tinggi pada masakan kita tetapi kita boleh belajar daripada teguran dan cuba baiki mana yang kurang,” katanya yang pernah bekerja sebagai cef di sebuah hotel lima bintang di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Muhammad Khairul Nizam berkata hanya ‘bermodalkan’ masakan juadah tradisional kampung halamannya dan sebuah motosikal roda tiga bukan penghalang untuk beliau berniaga.

Jelasnya ia dibuktikan oleh Muhammad Firdaus yang terlebih dahulu menggunakan resipi nasi dagang ibunya untuk berniaga di sekitar Seri Kembangan sejak enam tahun lepas dan sehingga kini masih mendapat permintaan pelanggan.

“Adik saya adalah idola dan menguatkan semangat saya untuk berniaga bermula dari bawah. Memang ada yang memperlekeh bila saya putuskan untuk berhenti kerja dan menjual nasi dagang. Alhamdulillah, yang penting keluarga terutama adik-adik sokong apa yang saya buat walaupun kami jauh dari kampung halaman,” katanya yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam miliki sijil vaksin palsu berdepan tindakan

KUALA NERUS, 10 JAN: Kerajaan Negeri Terengganu akan memantau dan mengambil tindakan sekiranya terdapat penjawat awam negeri yang didapati memiliki sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata pihaknya memandang serius isu berkaitan sijil vaksinasi palsu ini memandangkan ia melibatkan keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Kita akan arahkan jabatan-jabatan kerajaan untuk memantau golongan yang terutamanya antivaksin satu hal, yang keduanya dia beli pula sijil vaksin palsu. Ini satu kesalahan yang serius dan perkara ini akan dipantau oleh jabatan-jabatan berkenaan, untuk pastikan perkara ini (pembelian sijil vaksin palsu) tidak berulang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang doktor sebuah klinik swasta oleh pihak polis Terengganu di Marang pada Sabtu lepas, selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Dr Alias berkata kerajaan negeri juga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memantau dan mengenal pasti sekiranya terdapat lagi pengamal perubatan di negeri ini yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Terdahulu, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dalam sidang media hari ini memberitahu doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

Rohaimi berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik tersebut bagi tujuan vaksinasi, dan daripada jumlah itu pihak polis masih menyiasat jumlah sebenar individu yang tidak mendapatkan suntikan, namun hanya mendapatkan sijil vaksinasi palsu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran cuaca buruk, siap siaga hadapi banjir di Kelantan, Terengganu

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) hari ini menasihatkan pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi hujan lebat berterusan yang dijangka berlaku melibatkan kawasan berisiko tinggi.

NDCC dalam kemas kini notis kesiapsiagaan operasi bencana juga memohon supaya pihak jawatankuasa itu memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), selain memastikan aset pengoperasian mencukupi dan sedia digunakan.

Terdahulu hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap jingga dengan jangkaan hujan lebat berterusan melibatkan kesemua jajahan di Kelantan dan daerah di Terengganu sehingga esok.

Dalam kenyataan sama, amaran hujan berterusan tahap kuning atau waspada juga dikeluarkan untuk kawasan di Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan dan Lipis (Pahang); Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak) dan kesemua daerah di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 23,000 polis, keluarga dijangkiti Covid-19

MARANG, 5 DIS: Seramai 23,766 pegawai dan anggota polis serta ahli keluarga mereka telah dijangkiti Covid-19, sejak pandemik tersebut melanda negara tahun lalu sehingga hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata daripada jumlah tersebut seramai 1,794 orang merupakan pegawai kanan polis; 10,577 orang pegawai rendah polis; 1,137 orang pegawai awam; manakala 10,258 orang adalah ahli keluarga.

“Bagi jumlah kematian pula, sebanyak 39 kes kematian direkodkan dalam kalangan pegawai dan anggota polis. Ia terdiri daripada empat pegawai kanan dan 35 pegawai rendah. Pegawai awam yang meninggal dunia akibat Covid-19 pula adalah seramai tiga orang dan anggota keluarga polis pula seramai 118 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan Pasukan Toyota Hilux GS Cargo Kepada Kontinjen Terengganu di Pangkalan PSP Unit 6, di Wakaf Tapai di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Mazlan menyerahkan 26 pacuan empat roda jenis Toyota Hilux GS Cargo bagi kegunaan ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negeri yang bakal membantu penugasan pegawai dan anggota di negeri ini termasuk operasi pada musim banjir.

Katanya penyerahan pada hari ini merupakan sebahagian daripada 400 Toyota Hilux GS Cargo yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), melibatkan peruntukan sebanyak RM62 juta.

Sementara itu, Mazlan berkata sebanyak 32 pasukan di Terengganu melibatkan 65 pegawai dan 190 anggota serta pegawai awam bersiap siaga menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh ini.

“Kami telah bersiap sedia dari segi keanggotaan, kursus dan kefahaman tentang tindakan yang perlu diambil sekiranya banjir berlaku. Kami juga telah menyiapkan aset-aset yang diperlukan terutama bot-bot yang banyak,” katanya.

Pada majlis tersebut Mazlan turut mengumumkan pembinaan 10 unit kuarters bagi pegawai dan anggota polis di Pulau Redang yang memperuntukkan kos sebanyak RM13 juta.

Katanya proses dokumentasi dan tender bagi pembinaan kuarters di bawah Rancangan Malaysia ke-12 itu akan bermula tahun hadapan.

“Sekarang hanya terdapat lapan unit kuarters di Pulau Redang tetapi pegawai dan anggota di sana adalah seramai 28 orang. Kebanyakan mereka tinggal di tanah besar dan terpaksa ulang-alik menaiki bot untuk bertugas. Jadi amat membahayakan keselamatan mereka terutama musim tengkujuh ini,” katanya.

— BERNAMA 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kematian akibat Covid-19 meningkat di Terengganu dalam dua minggu

KUALA TERENGGANU, 24 NOV: Sebanyak 74 kes kematian direkodkan akibat Covid-19 sejak dua minggu lepas di Terengganu, kata Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Kasemani Embong.

Beliau berkata trend peningkatan itu agak membimbangkan dengan lapan kematian direkodkan pada 18 Nov, sembilan kematian pada 15 Nov dan 17 Nov manakala kematian tertinggi dilaporkan pada 20 Nov iaitu sebanyak 12 kes.

“Peningkatan kes kematian ini berkemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor seperti kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (melebihi dua), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit berumur lebih 50 tahun

“Contoh komorbid adalah seperti diabetes, penyakit jantung, obesiti dan tekanan darah tinggi yang meningkatkan risiko seseorang itu mudah dijangkiti dan mendapat gejala serius,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jumlah kumulatif kematian Covid-19 di Terengganu hingga semalam ialah 558 kes manakala jumlah kumulatif kes Covid-19 pula sebanyak 75,051.

Kematian tertinggi direkodkan di daerah Kuala Terengganu dengan 118 kes diikuti Besut (105), Kemaman (92), Dungun (91), Marang (54), Kuala Nerus (52), Setiu (27) dan Hulu Terengganu (19) sejak bermula pandemik Covid-19.

Setakat ini, terdapat 4,297 kes aktif di seluruh Terengganu dan sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jenazah Zolkples Embong selamat dikebumi

DUNGUN, 3 OKT: Jenazah bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yang ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah di Kuala Lumpur pagi tadi, selamat dikebumikan malam ini.

Allahyarham Zolkples, 62, yang menjawat jawatan Ketua Pengarah MSN sejak 2007 hingga 2014 itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya di sini pada pukul 10.40 malam.

Selain ahli keluarga, turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Zolkples telah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Seri Petaling, di Kuala Lumpur sebelum jenazah dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Gong Pasir di sini.

Selain Ketua Pengarah MSN, Zolkples pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2010 yang menyaksikan Malaysia merangkul sembilan pingat emas sekali gus merupakan pencapaian terbaik kontinjen negara sepanjang penyertaan pada temasya sukan berkenaan.

Berikutan kejayaan itu, Allahyarham sekali lagi diberikan kepercayaan sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik London 2012.

Zolkples juga pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan banjir: MB Pahang, Terengganu hargai keprihatinan Selangor

SHAH ALAM, 26 JAN: Menteri besar Pahang merakamkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Selangor yang menghulurkan bantuan banjir kepada negeri itu.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan sumbangan sebanyak RM1 juta memberi makna besar untuk
memulihkan semula kawasan terjejas.

“Berdasarkan anggaran, Pahang memerlukan dana hampir RM60 juta untuk membaik pulih kerosakan infrastruktur, rumah serta membantu meringankan beban 14,000 rakyat terjejas.

“Sumbangan besar atau kecil bukan ukuran, apa yang penting tanda ingatan atas semangat persababatan yang dihulurkan Selangor,” katanya menerusi sidang video bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Perasaan sama dikongsi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menerima RM500,000 bagi membantu penduduk terkesan di negerinya.

“Saya mewakili rakyat Terengganu mengucapkan terima kasih, dengan jumlah ini pelbagai bantuan dapat dihulurkan kepada mangsa banjir,” katanya.

Pada 20 Januari, Kerajaan Negeri mengumumkan Bantuan Banjir #KitaSelangor berjumlah RM2 juta kepada tiga negeri pantai timur yang terjejas.

Sejumlah RM1 juta disumbang kepada Pahang manakala Kelantan dan Terengganu masing-masing menerima RM500,000.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir empat negeri makin pulih, Terengganu tambah buruk

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Keadaan banjir di Johor, Kelantan, Pahang dan Perak beransur pulih malam ini dengan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Bagaimanapun, di Pahang, jumlah kematian lemas akibat banjir meningkat kepada tujuh orang dengan kes terbaru membabitkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang lemas ketika mandi di kawasan banjir di Jalan Kampung Sangkoh, Kuala Tembeling, kira-kira 171 kilometer (km) dari Kuantan.

Temerloh menjadi daerah paling teruk terjejas banjir di antara sembilan daerah di Pahang.

Dalam pada itu, polis menafikan dakwaan berlaku kejadian kepala air di Cameron Highlands seperti video yang ditularkan di media sosial dan meminta mereka yang menerima video tersebut supaya tidak menyebarkannya kerana ia hanya memburukkan keadaan.

Menurut polis, rakaman video berdurasi dua minit yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook sejak semalam itu dipercayai berlaku di Indonesia.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut menafikan dakwaan kononnya TNB melepaskan air dari empangan di Cameron Highlands sehingga memburukkan situasi banjir di Lipis.

Situasi berbeza di Terengganu apabila jumlah mangsa meningkat kepada 13,220 orang pada malam ini berbanding 13,092 orang petang tadi membabitkan tiga daerah iaitu Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.

Daerah Kemaman mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu sebanyak 11,132 orang daripada jumlah keseluruhan mangsa di negeri itu.

Beberapa jalan menuju ke bandar Chukai juga ditutup kepada kenderaan ringan kerana masih digenangi air.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir tiga negeri bertambah buruk, Selangor makin pulih

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Jumlah mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan, manakala keadaan banjir di Perak, Selangor dan Johor bertambah baik dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara semakin berkurangan.

Di Pahang, situasi banjir bertambah buruk apabila mangsa banjir yang dipindahkan di 241 pusat pemindahan mencatatkan angka 18,976 orang daripada 5,032 keluarga setakat pukul 7.30 pagi ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Maran masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,501 orang diikuti Temerloh (3,020), Lipis (2,551), Raub (2,402), Jerantut (2,329), Kuantan (2,321), Rompin (1,012), Pekan (430) dan Bera (410).

Bagaimanapun, keadaan banjir di daerah Bentong pulih, apabila pusat pemindahan di kawasan itu telah ditutup petang semalam.

Portal itu turut memaklumkan Sungai Pahang di daerah Bera, Kuantan, Lipis, Jerantut, Temerloh dan Maran sudah melepasi tahap bahaya setakat 7 pagi.

Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ANIH Berhad dalam kenyataan memaklumkan KM113 dan KM115 ditutup kedua-dua hala susulan kenaikan air.

Keadaan semasa di bandar Mentakab yang ditenggelami air sehingga paras dada ketika tinjauan banjir di sekitar negeri Pahang pada 5 Januari 2021. Foto BERNAMA

Laluan di KM84.6 – KM84.7 (antara Persimpangan Lanchang ke Persimpangan Karak), LPT1 hala Kuantan juga masih ditutup kepada lalu lintas, bagaimanapun laluan antara Lanchang menghala Kuala Lumpur telah dibuka pada 9 pagi semalam.

Di Terengganu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A. Rahman memaklumkan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 267 orang setakat 8 pagi ini berbanding 117 orang pada 3 petang semalam berikutan pembukaan semula dua pusat pemindahan di Dungun yang menempatkan 156 mangsa.

Di Kelantan, Tanah Merah menjadi jajahan kedua dilanda banjir di Kelantan dengan lapan pusat pemindahan diaktifkan bagi menempatkan 125 mangsa daripada 33 keluarga setakat 8 pagi.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebelum ini Gua Musang turut terjejas dengan banjir, namun telah pulih dengan kesemua pusat pemindahan di jajahan itu ditutup semalam.

Sementara itu, menurut infobanjir.water.gov.my setakat 8 pagi, tiga sungai utama di negeri itu merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai 25.62 meter (m) (bahaya 25.00 m), Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah 16.11 m (bahaya 16.00 m) dan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah 24.23 m (bahaya 23.50 m).

Di Perak, sejumlah 520 mangsa banjir daripada 152 keluarga dari tiga daerah masih ditempatkan di pusat pemindahan setakat pukul 7 pagi ini dengan Hilir Perak menempatkan mangsa paling ramai iaitu 484 orang, diikuti Kampar (32), dan Muallim (empat).

Berdasarkan infobanjir.water.gov.my, Sungai Plus di Kampung Lintang, Kuala Kangsar mencecah paras amaran iaitu 54.93 m, manakala Sungai Perak di Kampung Gajah dalam daerah Perak Tengah berada pada paras berjaga-jaga iaitu 6.62 m pagi ini.

Banjir di Selangor pula semakin pulih apabila hanya dua pusat pemindahan masih beroperasi dengan menempatkan 68 mangsa daripada 20 keluarga setakat 6 pagi.

Di Johor, keadaan banjir mula menunjukkan tanda pulih apabila jumlah mangsa terlibat menurun kepada 3,566 orang daripada 903 keluarga setakat pukul 8 pagi berbanding 4,116 orang daripada 1,036 keluarga pada 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan dalam kenyataan berkata di Kota Tinggi yang merupakan daerah terjejas teruk sebelum ini, terdapat 17 pusat pemindahan masih beroperasi bagi menempatkan seramai 2,122 mangsa daripada 533 keluarga.

Di Kluang pula terdapat 919 mangsa daripada 223 keluarga, Mersing (292 mangsa daripada 77 keluarga), Segamat (90 mangsa daripada 24 keluarga), Johor Bahru (72 mangsa daripada 24 keluarga) dan Batu Pahat (71 mangsa daripada 22 keluarga).

Beliau berkata jalan yang masih ditutup kepada semua jenis kenderaan ialah Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi; Jalan Haji Suhud di Taman Muhibbah, Johor Bahru; serta kawasan stesen minyak Nitar 2 dan simpang tiga Kahang ke Kluang di Jalan Nitar Utama-Kluang, Mersing.

Sehingga kini, angka korban akibat banjir di negeri itu kekal seramai tiga orang.

-BERNAMA