Categories
NASIONAL

Banjir di Terengganu beransur pulih, 10 PPS ditutup

KUALA TERENGGANU, 14 DIS: Situasi banjir di Terengganu semakin pulih pada tengah dengan penutupan 10 pusat pemindahan sementara (PPS), hari ini.

Perkembangan itu sekali gus menyaksikan jumlah penduduk terjejas banjir berkurang kepada 666 orang daripada 194 keluarga berbanding 1,622 orang daripada 506 keluarga setakat pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, hanya tujuh PPS beroperasi di Kemaman menempatkan 383 mangsa dan dua lagi PPS beroperasi di Hulu Terengganu menempatkan 283 mangsa.

“Satu-satunya PPS di Setiu ditutup secara rasminya pada pukul 9.15 pagi dan kita menjangka lebih banyak PPS akan ditutup pada sebelah petang ini sekiranya cuaca cerah berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kit makanan kepada 220 mangsa di Pusat Latihan Darul Iman di Teluk Kalong, hari ini.

Bagaimanapun, penduduk terjejas banjir dinasihatkan tidak tergesa-gesa pulang ke rumah mereka atas faktor keselamatan.

“Kami berharap penduduk terjejas banjir akan terus tinggal di PPS sehingga rumah mereka disahkan selamat untuk diduduki semula,” katanya.

– BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Pusat penempatan sementara banjir Terengganu kekal sebuah di Dungun

KUALA TERENGGANU, 6 DIS: Jumlah pusat penempatan sementara (PPS) mangsa banjir di Terengganu kekal sebuah setakat jam 9 pagi ini walaupun berlaku hujan, malam tadi.

Portal info banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan, PPS di Surau Kampung Besop Lama, Dungun, menempatkan lapan keluarga dengan 31 mangsa terdiri daripada 18 dewasa, sembilan kanak-kanak dan empat bayi.

Semalam, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah Dungun, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, pemindahan itu bukan disebabkan kenaikan paras air sungai tetapi air hujan yang bertakung di kawasan rumah mangsa dan dijangka pulih dalam tempoh tiga hari, bergantung keadaan cuaca, lapor BERNAMA.

Foto: BERNAMA

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, menerusi satu kenyataan berkata, semua sungai utama di negeri itu menunjukkan trend turun naik aras sungai disebabkan hujan sekejap-sekejap dan adakala lebat.

Dua sungai melepasi aras bahaya pada malam tadi juga menurun pada aras waspada pagi ini iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu.

“Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu, kembali normal serta Sungai Tumpat, Kemasik menurun daripada paras bahaya kepada amaran. Sungai lain masih normal,” katanya menurut kenyataan itu, hari ini.

Selain itu dilaporkan bahawa hujan lebat direkodkan di Lembangan Sungai Marang, Lembangan Sungai Kemaman dan Lembangan Sungai Terengganu, sekitar jam 8 pagi ini.

Ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu, Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Terengganu menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir sentiasa bersiap siaga memandangkan hujan masih berlaku di kebanyakan tempat, di seluruh Terengganu.

 

Categories
NASIONAL

Selesaikan segera kemelut MB Terengganu

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 APR: Adun Bandar, Azan Ismail beranggapan kemelut Menteri Besar Terengganu adalah rentetan daripada usul undi tidak percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mac lalu.

Beliau secara peribadi berpandangan, kemelut ini tidak berpanjangan dan menjadi buah mulut awam sehingga kini sekiranya usul undi tidak percaya itu dibuat ketika itu.

“Ia adalah lanjutan cadangan usul undi tidak percaya. Usul yang baik untuk Menteri Besar dan Barisan Nasional (BN) ambil peluang untuk terus mematikan spekulasi perpecahan.

“Kalau dibuat BN boleh menang tetapi sayangnya mereka takut dan Speaker menolaknya hingga menjadi parah apabila diperkatakan ramai,” katanya.

DUN TerengganuBeliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika diminta mengulas mengenai krisis Menteri Besar Terengganu yang disandang Ahmad Razif Abdul Rahman.

Azan merupakan Adun tunggal KEADILAN berkata, penarikan peruntukan DUN Kijal seperti yang diumumkan Ahmad Razif disifatkan Datuk Seri Ahmad Said seolah-olah ‘tidak layak mewakili kerajaan’.

“Penarikan peruntukan itu sama seperti layanan yang diterima Adun Pembangkang.

“Sekarang kedudukan Adun BN selaku Kerajaan sudah menjadi 16 sementara Pembangkang menjadi 15 + 1. Ahmad Said masih berdiam diri dan tidak mengisytiharkan dirinya Adun Bebas.

“Jika menjadi Adun Bebas komposisi menjadi 16 Adun BN, 14 PAS, 1 Keadilan dan 1 Bebas. Keadaan terhgntung ini tidak baik untuk Dewan kerana negeri memerlukan belanjawan tambahan,” katanya.

Azan secara peribadi berkata pembentukan kerajaan campuran yang berperanan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah jalan terbaik bagi mengelakkan krisis sebegini timbul semula.

“Pada saya ada tiga pilihan penyelesaian. Pertama adalah menggantikan MB dengan Adun lain, kedua membubarkan DUN sementara ketiga adalah membentuk kerajaan campuran sehingga.

“Pilihan satu dan dua bergantung kepada budi bicara Istana tetapi bagi saya pilihan ketiga adalah terbaik kerana apabila ada kerajaan campuran, kedua-dua pihak tidak akan sesuka hati untuk menukar Menteri Besar,” katanya.

Beliau turut berkata tidak berminat untuk mengulas soal penarikan gelaran darjah kebesaran ‘Datuk Seri’ yang hangat diperkatakan hari ini kerana ia melibatkan Ahmad Razif dan Istana Terengganu.

Sebaliknya beliau menggesa isu ini perlu diselesaikan segera kerana berlanjutan terlalu lama dan tidak baik bagi rakyat Terengganu.

EZY

Categories
NASIONAL

Ahmad Said kemuka undi tak percaya MB Terengganu

KUALA TERENGGANU 8 MAC: ADUN Kijal Datuk Seri Ahmad Said meminta Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif dan ahli majlis mesyuarat (exco) Kerajaan Terengganu menawarkan peletakan jawatan berikutan beliau didakwa tidak lagi mendapat sokongan majoriti Adun di negeri itu.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu membuat cadangan berkenaan ketika mengemukakan usul tersebut pada sidang DUN hari ini.

DUN Terengganu“Perkara 15/6 Undang-undang Tubuh kerajaan negeri Terengganu menyatakan, jika menteri besar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan negeri, maka ketika itu melainkan dengan perintah Duli Yang maha Mulia Tuanku membubarkan DUN, hendaklah dia menawarkan keberhentian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” kata Ahmad dalam usul itu lapor The Malaysian Insider.

Usul itu dikemukakan menjelang waktu rehat tengah hari tadi dan speaker Dewan menangguhkan perbincangannya selepas Dewan kembali bersidang jam 2.30 petang ini.

DUN Terengganu mempunyai 32 ahli dengan Barisan Nasional (BN), termasuk Ahmad, 17 orang, PAS (14) dan KEADILAN (1).

Jika Ahmad tidak lagi menyokong BN, bermakna DUN Terengganu mempunyai bilangan ahli yang sama antara kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, dalam perkembangan terkini DUN Terengganu menolak usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif yang diusulkan bekas Ahmad Said.

EZY

Categories
SELANGOR

MB hulur sumbangan banjir kepada Kerajaan Terengganu

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA TERENGGANU, 30 DIS: Demi kemanusiaan dan kesejahteraan rakyat, perbezaan idealogi politik antara Kerajaan Selangor dan Terengganu diketepikan.

Hal itu dibuktikan apabila Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sanggup turun ke negeri itu bagi menyampaikan bantuan wang tunai RM100,000 kepada Kerajaan Terengganu dan bertemu sendiri mangsa banjir.

IMG-20141230-WA0010Perkara sama turut ditunjukkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman apabila beliau menyambut baik hasrat Kerajaan Selangor dan bersikap terbuka bagi meringankan penderitaan mangsa banjir di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, pertemuan dua Menteri Besar itu terpaksa ditunda ekoran Ahmad Razif menghadiri majlis lawatan rasmi Perdana Menteri di Kemaman.

Terdahulu, sejurus mendarat di Lapangan Terbang Kuala Terengganu (LTKT) pada jam 7.55 pagi tadi, Mohamed Azmin dan delegasi seramai 15 orang dibawa ke Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir yang diselia Pertubuhan Tindakan Segera Selangor (Pantas) di Dungun.

Mohamed Azmin yang diiringi Exco Kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, Ean Yong Hian Wah, Zaidy Abdul Talib dan Dr Daroyah Alwi turut sempat menyerahkan barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Mohamed Azmin dan delegasinya kemudian di bawa ke Kemaman bagi bertemu Ahmad Razif di daerah berkenaan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kemelut politik Umno Terengganu, satu lagi ‘bala’ buat Najib

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 MEI: Kepincangan Barisan Nasional (BN) di Terengganu kian memuncak apabila satu demi satu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu mula mengikut jejak langkah bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said yang bertindak keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk A Kadir Jasin menyifatkan tindakan luar jangka daripada beberapa pemimpin Umno itu adalah satu lagi ‘bala’ buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Beliau juga berpendapat, perkara itu pastinya memberi tamparan hebat buat kepimpinan Najib yang dianggap Perdana Menteri Malaysia ‘paling kurang bernasib baik’.

najib mugshot interview 01“Secara teknikal, BN kini kekurangan tiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri dan meletakkan ia setanding dengan Pakatan Rakyat (PR).

“Pelbagai perkara mustahil boleh berlaku iaitu sama ada PAS menyertai Umno dalam membentuk kerajaan campuran di negeri itu atau BN akan kehilangan Terengganu.

“Atau adakah Terengganu berkemungkinan akan terperangkap dalam satu lagi krisis politik yang berlaku pada tahun 1960-an dan 70-an?” tulisnya di blog.

Kurang 24 jam ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru, dua lagi ADUN Umno, Roslee Daud (Bukit Besi) dan Ghazali Taib (Adun Ajil) menghantar surat meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ADUN Bebas.

Hal itu menjadikan Menteri Besar Terengganu hilang majoriti dalam DUN apabila hanya mempunyai 14 ADUN berbanding PR iaitu 15 kerusi (PAS 14, PKR 1) dan Bebas (3) dalam DUN yang mempunyai 32 ahli itu.

kadirjasinA Kadir berkata, jika tiga pemimpin itu tetap dengan keputusan mereka untuk meninggalkan Umno dan mengisytiharkan diri mereka ahli bebas, maka PR boleh menuntut hak membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya ahli politik boleh mengubah keputusan mereka sesuka hati jika ditawarkan ‘harga’ yang tepat daripada pihak kerajaan supaya tidak meninggalkan parti.

“Keadaan akan menjadi lebih teruk kepada BN jika benar lebih ramai ADUN Umno akan mengikut jejak langkah Ahmad, Roslee dan Ghazali. Namun, ia dijangka boleh berubah bila-bila masa jika mereka diberikan ‘harga’ yang tepat,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kembalikan hak memilih kepada rakyat Terengganu

Oleh :  ROSLEE MD SHARIFF

Melihat kepada situasi politik terkini di Terengganu di mana pesta keluar parti begitu rancak setelah Datuk Seri Ahmad Said digulingkan dari jawatan Menteri Besar yang disandangnya, maka tersebarnya pelbagai khabar mengenai peluang Pakatan Rakyat mengambil alih kepimpinan negeri tersebut melalui jalan belakang.

Suasana politik negara tidak harus disemarakkan dengan pelbagai tindakan dan keputusan yang tidak berlandaskan jalan demokratik. Pemilihan sebuah kerajaan itu haruslah dilakukan oleh rakyat sendiri melalui pilihanraya dan bukanlah melalui rundingan atau percaturan pemimpin politik.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini mendesak Datuk Seri Ahmad Said dan rakan-rakan beliau yang lain untuk turut meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi DUN masing-masing, bukannya menggunakan kesempatan ini sebagai “bargaining power” untuk memusatkan dendam amarah mereka apabila digulingkan.

Rakyat di kawasan tersebut telah membuat keputusan untuk memilih mereka melalui parti yang mereka dokong dan tindakan untuk keluar parti dan menjadi bebas adalah satu lagi siri pengkhianatan terhadap amanah rakyat.

Jika sebelum PRU 13 yang lepas, apabila beberapa politisi oposisi memilih untuk keluar parti, maka kedengaranlah suara-suara dari blok Pakatan Rakyat mendesak mereka-mereka ini melepaskan kerusi masing-masing, maka prinsip ini jugalah yang harus ditegaskan dalam krisis politik Terengganu ini. Masih segar di ingatan, bagaimana PR melaungkan slogan Kerajaan Haram sewaktu krisis di Perak dulu, apakah kini PR akan menggunakan cara yang sama untuk memegang kuasa?

SAMM menegaskan bahawa jalan demokratik harus diambil dan pembubaran DUN Terengganu atau gerombolan Datuk Seri Ahmad Said meletakkan jawatan bagi membuka jalan PRK diadakan adalah pilihan terbaik. Kembalikan hak rakyat Terengganu untuk memilih wakil rakyat dan Kerajaan mereka.

Sebarang percaturan politik mengikut “precedent” krisis Perak wajar ditolak oleh  semua parti politik. Jalan belakang yang tidak berlandaskan demokrasi adalah penghinaan kepada seluruh rakyat Malaysia dan juga amalan demokrasi berperlembagaan yang dijunjung negara ini.

Tiada apa yang perlu ditakutkan oleh BN mahupun PR. Jika benar kamu punyai asas sokongan yang kukuh, kejayaan pasti milik kamu. Cukuplah mencabuli prinsip dan amalan demokrasi. Janganlah diulangi dan dijadikan satu amalan biasa.

Tak kira siapa yang menjadi pilihan Istana Terengganu menjadi Menteri Besar ketika ini, perkara pertama yang perlu dilaksanakan adalah adakan Pilihanraya Negeri Terengganu diadakan. Hormati kematangan rakyat Terengganu dalam membuat pilihan mereka. Binalah sebuah kerajaaan yang berlegitimasi bukannya separuh masak.

# Roslee Md Shariff adalah Penyelaras SAMM Kebangsaan

Categories
NASIONAL

Krisis politik Terengganu, PAS negeri adakan mesyuarat khas

SHAH ALAM, 13 MEI: Badan Perhubungan PAS Terengganu sedang mengadakan mesyuarat khas berhubung krisis politik yang sedang berlaku ketika ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Satiful Bahri Mamat dalam satu kenyataan media berkata, pemimpin PAS berharap semua pihak bertenang dan bersabar.

“Insya Allah, atas kepentingan seluruh rakyat, kita akan memutuskan perkara yang terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini.

satiful bahri pas“Dari semasa ke semasa, PAS Terengganu akan membuat pemberitahuan kepada media, melalui media rasmi bagi mengelakkan sebarang khabar angin dan kenyataan di luar daripada keputusan pemimpin.

“Pemimpin PAS Terengganu mengikuti dengan teliti perkembangn yang berlaku ini daripada awal dan tindakan yang perlu sedang diambil,” katanya.

Semalam, bekas Menteri Besar Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said dan ADUN Ajil Ghazali Taib mengisytiharkan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.

Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu tidak lama selepas penggantinya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah memegang jawatan di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.

Bantuan banjir di Pantai Timur

Sinopsis:

200 petugas ditugaskan di Pahang dan Terengganu bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir.

Categories
NASIONAL

Mangsa banjir Terengganu terus meningkat

KUALA TERENGGANU 8 DIS : Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Terengganu terus meningkat kepada 22,391 orang pagi ini, berbanding 22,040 orang malam tadi.

BERNAMA melaporkan, portal Majlis Keselamatan Negara memperlihatkan peningkatanberlaku di daerah Dungun apabila 360 lagi mangsa dipindahkan, menjadikan jumlah mangsa 3,764 orang daripada 936 keluarga berbanding 3,402 orang daripada 837 keluarga, sebelum ini.

Banjir Kuantan 2Bagaimanapun, tidak berlaku peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan di Kemaman iaitu 18,576 orang daripada 4,177 keluarga, Kuala Terengganu (6), Hulu Terengganu (19) dan Marang (26).

Sementara itu, bilik gerakan banjir Jabatan Kerja Raya negeri melaporkan semua jalan utama antara Kuala Terengganu ke Kota Baharu dan Kuala Terengganu ke Kuantan boleh dilalui semua kenderaan.

Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaporkan pada umumnya paras air semua sungai utama di Terengganu berada di bawah paras bahaya, pagi ini.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Rafizi Dedahkan Pembelian Undi Pos di Terengganu

SPR pengundi hantu selangor 01

PETALING JAYA 4 JUN : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendedahkan satu lagi laporan polis yang mendakwa seorang individu bertindak merampas dan memangkah kertas undi pos dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu.

Malah, individu tersebut turut membayar wang tunai RM 100 bagi satu kertas undi di dalam insiden yang didakwa berlaku di sebuah kerusi di Terengganu.

“Laporan polis itu dibuat oleh seorang petugas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di Balai Polis Jerteh pada 4 Mei lalu.

” Dalam kandungan laporan itu petugas (namanya dirahsiakan) mengaku bahawa beliau bersama 24 petugas SPR diarahkan menyerahkan kertas undi pos yang kosong kepada calon BN.

?(Mereka) dibayar RM 100 bagi setiap kertas undi pada 29 April,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Bagaimanapun, keesokkan harinya petugas itu kemudiannya bertemu semula dengan wakil BN terbabit untuk meminta kembali kertas undi itu.

Rafizi mendakwa kertas undi itu sudah dipangkah dan 24 kertas undi itu dimasukkan ke dalam peti undi.

Pengadu itu memaklumkan selepas membuang kertas undi pos, jari beliau tidak dicalitkan dengan dakwat kekal seperti yang sepatutnya mengikut peraturan pilihanraya, katanya.

Sehubungan itu, Rafizi berkata laporan polis itu dijadikan bukti wujudnya penipuan dan penyelewengan pada PRU13 sebelum difailkan petisyen di mahkamah.

Categories
SELANGOR

Syarikat Balak Trengganu Dipaksa Beli Syer Syarikat Tidak Aktif

rafizi bongkar skandal

PETALING JAYA, 26 FEB: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa sebuah syarikat yang memperolehi kawasan pembalakan di Terengganu dikehendaki memeterai perjanjian pembelian saham (Share Sale Agreement) sebuah syarikat tidak aktif iaitu Berkat Seribumi Sdn Bhd.

Saham syarikat yang dipercayai bernilai RM2 itu dibeli dengan harga tinggi yang tidak sepadan dengan aset dan kedudukan syarikat yang tidak mempunyai aktiviti perniagaan.

Wang dari jualan saham itu kemudiannya disyaki disalurkan kepada orang-orang tertentu yang mempunyai pengaruh menentukan hak membalak.

“Pada 17 Julai 2012, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengeluarkan surat kelulusan membalak kepada sebuah syarikat bagi kawasan seluas 1,000 ekar di hutan simpan Hulu Setiu.

“Keputusan itu diluluskan oleh Lembaga Mengambil Hasil Hutan yang dipercayai dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

“(Enam bulan sebelum itu) satu perjanjian ditandatangani pada 28 Disember 2011, agar syarikat terbabit (yang memperolehi kawasan pembalakan) membayar RM2.5 juta untuk membeli sebuah syarikat ‘dorman’ bernama Berkat Seribumi Sdn Bhd,” kata Rafizi di sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Menurut Rafizi lagi beliau mempunyai bukti jelas perjanjian ini mempunyai kaitan dengan kelulusan balak yang diberikan Kerajaan Terengganu di bawah Ahmad dan akan didedahkan dalam tempoh dua minggu sebelum menjelang pilihan raya.

Jesteru, Rafizi juga menasihati agar media milik Umno-BN tidak terlalu ghairah mereka cerita mengenai penyelewengan balak di negeri Pakatan Rakyat kerana kes rasuah balak di Terengganu lebih besar dan lengkap dengan bukti-buktinya.