Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Rangka Pelbagai Program Bela Ibu Tunggal

 

SHAH ALAM 28 NOV : Seramai 24,009 wanita bertaraf ibu tunggal di seluruh Selangor berpeluang membaiki taraf kehidupan apabila Kerajaan Negeri merancang pelbagai program untuk membawa mereka keluar dari belenggu kemiskinan.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Rodziah Ismail berkata, insiatif itu diambil supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

“Antara program dijalankan ialah Pemberdayaan Wanita Selangor menerusi Pusat Wanita Budaya (PWB), Skim Mikrokredit Luar Bandar (SkimSel), Skim Mikrokredit Bandar (Mimbar), Skim Mikrokredit Wanita Ladang (Wala), Program Pemberdayaan Ibu Tunggal SOHO Selangor (PET-SOHO-S), Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKembar), Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) serta Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.

“Semua program dan skim ditawarkan itu menarik ibu tunggal di Selangor untuk bersama turut serta dan mendaftar bagi melibatkan diri mereka,” katanya ketika menjawab pertanyaan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Rodziah berkata, dari jumlah dinyatakan, ibu tunggal di kalangan bangsa Melayu mencatat bilangan tertinggi seramai 18,011 orang, India (1,574), Cina (792), Orang Asal (dua) dan lain-lain (3,630).

Beliau berkata, kajian beberapa institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa serta NGO mendapati antara masalah dihadapi golongan itu adalah masalah kewangan untuk menampung keperluan harian diri dan keluarga.

Selain itu, tambahnya, ia turut melibatkan masalah berurusan dengan mahkamah seperti tidak mendapat pembelaan dari sudut penerimaan nafkah akibat perceraian di samping terpaksa melalui proses birokrasi mahkamah yang merumitkan dalam jangka masa panjang.

“Masalah dalam penjagaan sempurna anak-anak ketika mencari nafkah dan kesan psikologi khususnya dalam tempoh tiga bulan pertama menjadi ibu tunggal turut membelenggu mereka ini,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Halimah: Tuisyen Rakyat 1Malaysia Tidak Tepati Sasaran

SHAH ALAM, 1 JUL: Program interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk penduduk Selangor gagal menepati sasaran.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, program tersebut seakan meniru inisiatif Pakatan Rakyat Selangor yang memperkenalkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang telah berjalan dari 2009.

Tindakan Kerajaan Pusat Umno-BN jelas menunjukkan program yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri mendapat sambutan positif oleh rakyat Selangor.

?Mengapa PM pilih Selangor? Sedangkan beliau mengetahui Kerajaan Negeri dah lama ada Program Tuisyen Rakyat Selangor untuk pelajar negeri ini.

“Sepatutnya PM boleh salurkan kepada negeri-negeri lain terutama negeri yang memiliki paras kemiskinan yang tinggi yang belum ada program seumpama ini,? Dr Halimah berkata.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) di Shah Alam Convention Centre di sini hari ini.

Di bawah PTRS, pelajar daripada keluarga miskin yang prestasi akademiknya sederhana diberi peluang menghadiri kelas tambahan yang dianjurkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Setakat ini PTRS telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 pelajar Selangor.

Dr Halimah berkata tindakan kerajaan pusat yang hanya menyalurkan program itu ke Selangor menggambarkan niat sebenar BN yang tidak ikhlas, iaitu untuk merampas Selangor kembali dalam pilihanraya umum.