Categories
NASIONAL

Isu Bayan Mutiara: Guan Eng Rela Berundur Jika Benar

PULAU PINANG, 17 FEB: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersedia melepaskan jawatannya sekiranya dakwaan fitnah pemimpin Umno negeri itu berhubung penjualan tanah Bayan Mutiara di Batu Kawan tidak dilakukan secara tender terbuka.

“Apabila Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk menjual tanah Bayan Mutiara seluas 102.3 ekar (67.5 ekar tanah dan 35 ekar tanah tebusguna melalui tambak laut) melalui tender terbuka pada tahun 2010.

“Satu harga rizab sebanyak RM200 kaki persegi telah ditetapkan. Harga rizab sebanyak RM200 kaki persegi adalah tinggi telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri pada 7 April 2010 sungguhpun Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan pada 5 November 2009 menganggarkan harga penilaian adalah sebanyak RM65 kaki persegi.

“Apabila tender terbuka yang dijalankan ditutup pada 31.12.2010, keputusan berani Kerajaan Negeri dibuktikan tepat dan benar apabila harga tender terbuka yang paling tinggi adalah sebanyak RM240 kaki persegi atau RM1.07 bilion.

“Saya kecewa apabila harga anggaran penilaian sebanyak RM65 kaki persegi yang disediakan oleh Jabatan Penilaian Harga yang dikeluarkan Kementerian Kewangan tidak dilaporkan oleh media English dan Melayu.” jelas lim dalam kenyataan medianya.

Kenyataan tersebut ekoran minggu lalu, Pengerusi UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman dan Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan mendakwa kerajaan Pulau Pinang melakukan urusan tanpa tender terbuka

Selain itu turut didakwa harga penjualan dijual kepada pemaju swasta adalah 50% lebih rendah daripada harga pasaran iaitu RM420 kaki persegi; dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memandang rendah kepada rakyat tempatan dengan melantik HDB Singapura sebagai pakar perunding untuk projek perumahan mampu milik Kerajaan Negeri di Batu Kawan.

Sehubungan itu Lim mencabar Zainal Abidin dan Abdul Rahman mengemukakan bukti fitnah tersebut. Lim turut mencabar Umno serta kroni-kroni mereka mendapatkan tanah dikawasan tersebut pada harga yang lebih rendah dari itu.

“Sehingga sekarang, UMNO dan Abdul Rahman masih tidak menyahut cabaran saya untuk membeli 102.3 ekar tanah dengan harga RM420 jika itu adalah harga pasaran yang dituntut oleh UMNO. UMNO perlu masukkan duit ke dalam mulut mereka dengan membayar RM420 kaki persegi. Sekiranya UMNO atau kroni- kroni mereka membeli pada harga RM420 kaki persegi, Kerajaan Negeri boleh mendapat tambahan RM800 juta atau RM1.87 bilion berbanding RM1.07 bilion untuk RM240 kaki persegi.” kata beliau yang juga Setiausaha Agung DAP.

MP Bagan itu berkata tender terbuka tanah Bayan Mutiara telah diiklankan di dalam akhbar pada tahun 2010.

Berhubung tindakan kerajaan negeri melantik HDB Singapura sebagai pakar perunding, Lim berkata pemimpin Umno tidak perlu bersikap anti-Singapura.

“Memainkan sentimen anti- Singapura adalah bukan sahaja provokasi perkauman tetapi juga double- standard kerana apabila Singapura datang ke Iskandar, Johor tiada masalah tetapi tidak di Pulau Pinang. Taktik ekstremis sedemikian oleh UMNO tidak berkesan di Pulau Pinang,” kata beliau.

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng Chang Kim: SELCAT Minta Noh Beri Keterangan

SHAH ALAM, 17 FEB: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bersedia pada bila-bila masa untuk mendengar keterangan dari Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berhubung dakwaan penyelewengan pasir di Selangor.

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim berkata Noh boleh berhubung dengan jawatankuasa SELCAT bagi membolehkan beliau mengemukankan pendengaran dan pembuktian berhubung pelbagai isu.

“Bukan sahaja isu pasir malah apa sahaja isu boleh di kemukakan kepada SELCAT.

“SELCAT tidak memilih bulu dan segala tindakan juga tidak memilih sesiapa sama ada menteri, Menteri Besar atau perdana Menteri sekali pun.” ujar beliau ketika dihubungi TV Selangor.

Menurut beliau, Noh perlu mengikuti prosiding yang ditetapkan supaya semua dapat berjalan secara lancar.

“SELCAT tidak akan memanggil Noh untuk memberi keterangan kerana SELCAT tidak akan menjadikan kenyataan media sebagai asas untuk memanggil seseorang untuk memberi keterangan.

“Sebagai sebuah institusi dibawah kuasa Dewan Undangan Negeri SELCAT tidak boleh bertindak berdasarkan kenyataan media Noh.

“Sekiranya Noh mahu memberikan keterangan dan membuktikan apa-apa berhubung apa sahaja isu, beliau dipersilakan untuk berbuat demikian.”kata beliau yang juga Speaker Dun Selangor.

Dalam kenyataan media semalam, Noh berkata beliau sendiri akan hadir dan tampil bersama saksi dan bukti kepada SELCAT.

Noh berkata beliau bersedia mematuhi syarat-syarat yang bakal dikemukakan kerajaan negeri sekiranya beliau gagal membuktikan dakwaan beliau.

Dua hari lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Ahli Lembaga Pengarah Bebas Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) dan Transparency International bertemu Noh untuk mendapatkan keterangan dakwaan penyelewengan pasir di Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno-BN Salah Guna Sekolah Untuk Kempen

SHAH ALAM, 16 FEB : Tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) yang mengambil peluang dengan menggunakan sekolah sebagai medan politik dibantah sekeras-kerasnya sebilangan besar pihak termasuk ibu bapa dan pemimpin masyarakat kerana dilihat akan mencemarkan institusi terbabit.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi TV Selangor berkata, kenyataan itu dibuat sejurus beliau menerima aduan daripada ibu bapa menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan bahawa satu ceramah ekonomi akan diadakan (semalam) di Sekolah Menengah Sri Andalas anjuran bekas Adun-adun Selangor.

Bagaimanapun menurutnya, ia telah disalahgunakan oleh pihak terlibat dengan mengutarakan isu politik semata-mata selain turut menyampaikan mesej bahawa Umno-BN akan menawan semula kawasan Kota Raja semasa Pilihan Raya ke-13 (PRU-13) nanti.

“Mereka (penganjur) mengeluarkan satu jemputan kepada ibu bapa. Pada asalnya, ia adalah program Umno iaitu mereka hanya menjemput orang-orang tertentu sahaja. Tetapi apabila ibu bapa pakat telefon sekolah untuk bertanyakan tentang hal berkenaan, mereka membukanya kepada semua orang.

Jadi ibu bapa telah menaikkan kain rentang untuk membantah program ini dan murid-murid sekolah juga dilepaskan awal pada jam 5.45 petang. Saya difahamkan, aktiviti kokurikulum juga terpaksa dibatalkan untuk memberi laluan kepada program tersebut,” tegasnya.

Tambah Dr Mariah, ibu bapa murid-murid sekolah berkenaan telah menghubungi Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk mendapat pengesahan, namun pihak PPD memaklumkan mereka tidak dimaklumkan mengenai program tersebut.

Beliau berkata, program yang dianjurkan di sekolah itu mendapat kebenaran daripada Pengetua serta turut disertai pihak PIBG dan sebilangan besar guru-guru sekolah.

Perkara ini jelas katanya, menunjukkan salah guna kuasa Pengetua kerana membenarkan program politk berlangsung tanpa kebenaran PPD, mengarahkan murid-murid untuk pulang awal sebelum tamat sesi persekolahan selain memaksa para guru untuk hadir.

“Kita akan menulis surat kepada Kementerian Pelajaran untuk mengambil tindakan kepada Pengetua kerana secara terang-terangan melanggar tugas dan membenarkan satu program politik dijalankan di sekolah,” ujarnya.

Difahamkan, program politik tersebut dihadiri oleh Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Datuk Dr Abu Hassan Omar, Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Mohamad Ezam Mohd Nor dan beberapa pemimpin tempatan lain.

Categories
SELANGOR

LGE : Tang Hak Ju Memang Skandal Kerajaan Umno-BN

SHAH ALAM, 7 FEB : Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyangkal dakwaan Barisan Nasional (BN) bahawa bayaran RM14.7 juta oleh Kerajaan Negeri dalam skandal tanah Tang Hak Ju adalah demi kepentingan peribadinya sungguhpun kes tersebut masih dalam proses rayuan.

Sebaliknya beliau mencabar Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan bagi menunjukkan bukti terhadap dakwaan yang dibuat itu.

Menurutnya, pihaknya memahami Dr Teng dan BN menyatakan rasa marah terhadap dirinya kerana enggan memohon maaf atau menarik balik kenyataannya bahawa kes tanah Tang Hak Ju itu adalah satu skandal era pentadbiran BN.

“Kerajaan Negeri menghormati keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 19 Februari 2009 lalu itu dan telah mendepositkan wang sejumlah RM14,678,135.50 pada 18 Mei 2009.

“Namun berikutan satu keputusan oleh Mahkamah Rayuan baru-baru ini telah mengurangkan bayaran ganti rugi untuk Tang Hak Ju kepada RM500,000.

“Akan tetapi perkara ini belum muktamad kerana proses perundangan belum selesai dan mungkin dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim seterusnya berkata, sama ada kerugian kepada Kerajaan Negeri adalah RM40 juta, RM14.7 juta atau RM500,000 namun ia tetap satu skandal sepertimana yang haram tidak boleh dihalalkan hanya disebabkan jumlah tersebut dikurangkan.

Tegasnya, apa yang diperkatakan itu adalah benar dan tidak boleh dinafikan berikutan BN dan Dr Teng sendiri tidak

Categories
NASIONAL

Serangan Ala Samseng Bukti Umno Selangor Terdesak

SHAH ALAM 26 JAN : PAS Selangor mengutuk keras tindakan samseng ahli dan penyokong Umno di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) Jalan Kebun yang menyebabkan kecederaan beberapa individu yang hadir pada penerangan Asal Bukan Umno (ABU) dan Hindraf.

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, kejadian itu membuktikan ketidakmampuan Umno-BN memimpin dan memerintah negara yang berbilang bangsa dan agama.

“Ia turut membuktikan keadaan terdesaknya Umno khususnya yang terpaksa menggunakan tindakan samseng untuk mempertahankan kedudukannya dan pembohongan kepada rakyat,” kata Hasbullah semasa sidang media PAS Selangor di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini.

Sidang media itu turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, Timbalan Pesuruhjayanya, Khalid Samad, Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib dan Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan.

Menurut Hasbullah, pihaknya mendesak polis menjalankan siasatan secara professional dan menahan pihak yang bersalah dalam peristiwa yang memalukan itu.

“Adalah tugas dan tanggungjawab polis untuk mempertahankan hak rakyat dan segala tindakan samseng yang perlu dikenakan tindakan yang tegas.

“Politik samseng adalah corak politik golongan yang kehabisan modal dan terdesak sedangkan Islam tidak sekali-kali kehabisan modal ataupun terdesak. PAS menyeru ummat Islam untuk berhijrah kepada politik Islam dan meninggalkan Umno dan politik samsengnya,” katanya.

Sebelum ini, pada 22 Januari lalu menyaksikan serangan keterlaluan oleh sekumpulan samseng terhadap orang ramai.

Samseng yang dipercayai penyokong tegar Umno itu bertindak ganas dengan mensasarkan kaum India sahaja tanpa memperdulikan kaum Melayu dan Cina yang turut berada di dalam dewan itu.

Akibat daripada tindakan tersebut seorang ahli Kelab Penyokong PAS, cedera parah apabila diserang oleh Umno dan dimasukkan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.

Categories
NASIONAL

Samseng Umno Terbabit Serang Ceramah ABU-Hindraf

KUALA LUMPUR, 24 JAN : Kumpulan Aktivis ABU (Asal Bukan Umno) dan Hindraf hari ini tampil membuat laporan polis berhubung serangan ganas terhadap orang ramai pada satu ceramah di Jalan Kebun baru-baru ini.

Koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata serangan tersebut dipercayai didalangi oleh Umno selain mengesyaki terdapat anggota polis bersekongkol dalam serangan tersebut.

Badrul menambah, pihaknya akan menyerahkan salinan gambar, CD rakaman video insiden itu untuk disiasat pihak polis berhubung campur tangan dan kerja jahat penyokong Umno dalam kejadian tersebut.

“Serangan tersebut secara jelas dilihat oleh pagawai polis tidak berpakaian serangam dan apabila polis berpakaian seragam datang, pihak kita menunjukkan orang-orang yang terlibat menyerang, malanganya langsung tidak ada apa-apa tindakan yang diambil.

“Malah dalam laporan ini, kita menamakan beberapa pimpinan Umno tempatan termasuk diperingkat bahagian yang dikenal pasti oleh penduduk tempatan hadir pada malam tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian sejurus selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini hari ini.

Ceramah Umum ABU di Dewan MBSA seksyen 30, Jalan Kebun,Shah Alam pada 22 Januari lalu menyaksikan satu serangan keterlaluan oleh sekumpulan samseng terhadap orang ramai.

Samseng yang dipercayai penyokong tegar Umno itu bertindak ganas dengan mensasarkan kaum India sahaja apabila dilihat hanya menyerang kaum India tanpa memperdulikan kaum Melayu dan Cina yang turut berada di dalam dewan itu.

Akibat daripada tindakan tersebut seorang ahli Kelab Penyokong PAS, Krishnan cedera parah (gambar) apabila diserang oleh Umno dan dimasukan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.

Badrul menambah, sekiranya benar ianya didalangi Umno, maka parti itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan bersifat perkauman itu.

Sementara itu, Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan berkata pihak polis tidak memainkan peranan ketika serangan tersebut berlaku sekaligus memperlihatkan peranan pihak berkuasa itu seolah-olah seperti bersekongkol dengan penjenayah.

“Polis tidak memainkan peranan sedangkan mereka ada dikawasan kejadian, Sekirannya polis tahu kebarangkalian akan berlakunya kekacauan, polis seharusnya menggembeling seluruh kekuatan polis yang ada disitu untuk menghindar serangan.

“Serangan ini terlalu jelas dan kita berpendapat bahawa pihak polis bersengkongkol dengan pihak yang menyerang, lebih memalangkan lagi polis berjaya datang selepas kejadian serangan,”katanya kepada pemberita.

Dalam perkembangan yang sama, Koordinator Kebangsaan Hindraf, W.Sambulinggam menzahirkan rasa kesal diatas provokasi dan serangan keras disetiap kali gerakan itu melakukan aktiviti.

Lebih memalangkan lagi, Sambulinggam berkata bukan sahaja pihaknya menerima provokasi malah mereka juga akan dituduh sebagai punca berlakunya kekacauan.

“Perkara ini telah membuka mata rakyat untuk melihat siapa sebenarnya punca kekacauan disetiap kali penganjuran program secara aman.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa Hindraf sememangnya kenal akan kaum Melayu dan mereka yang beragama Islam, kami tidak bermusuh dengan mereka, sebaliknya kami hanya tidak bersetuju dengan sebuah parti politik yang digelar sebagai ‘UMNO’,”jelas Sambulinggam.

Categories
NASIONAL

Srikandi : Puteri Umno Tak Tahu Bezakan Antara Kritikan dan Fitnah

SHAH ALAM, 24 JAN : “Kalau itu peranan yang dimainkan oleh Ketua Puteri Umno, saya menganggap ia sebagai satu sikap mencari populariti murahan,” itulah reaksi Ketua Srikandi PKR, Siti Aisyah Shaik Ismail ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Siti Aisyah memberi respon berhubung kenyataan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang mempersoalkan tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah RM50 juta terhadap akhbar Utusan Malaysia yang menyiaran artikel bertajuk “Tolak Anwar – Hassan”.

Beliau juga menempelak Timbalan Menteri Kesihatan itu yang secara jelasnya tidak dapat membezakan di antara kritikan dan tohmahan fitnah.

“Saya sudah beberapa kali tegaskan bahawa sebagai seorang Timbalan Menteri, seorang pemimpin muda, dia harus kembali kepada politik nilai. Jangan terlalu banyak bicara soal pemimpin pembangkang terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sehinggakan jelas hari ini dia sendiri tidak dapat membezakan di antara kritik dan tohmahan fitnah,” ujarnya.

Siti Aisyah berkata, artikel Utusan Malaysia itu yang disiarkan pada 17 Januari lalu adalah nyata sebagai fitnah terhadap Anwar dan bukan kritik sepertimana pernah disuarakan Datuk S Nalakaruppan dan beberapa individu lain termasuk pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Dalam kenyataan media semalam, Rosnah ketika mengulas tindakan Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Utusan Malaysia, turut mencabarnya menyaman Nalakaruppan, Raja Petra, Ummi Hafilda Ali dan Datuk Shazryl Eskay kerana mereka kerap mengkritik secara terbuka kredibiliti Ketua Pembangkang itu.

“Tetapi apa yang disuarakan Raja Petra, Ummi Hafilda itu hanya orang kata kritis-kritis ringan iaitu orang-orang yang takut dengan aura dan juga kehebatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.” katanya.

Mengulas lanjut, tegasnya, perlu juga memperkatakan isu lain termasuk melibatkan pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) yang terlibat dengan soal penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Sebagai seorang Ketua Puteri Umno, dia harus bicara soal penyelewengan yang dibuat oleh pemimpin Umno dan juga bicara soal bagaimana pemimpin mereka memanipulasi ekonomi rakyat,” katanya.

Categories
NASIONAL

Umno Sudah Tidak Layak Mengurus DEB

ALOR SETAR, 14 JAN: Perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh pentadbiran Umno-Barisan Nasional merupakan contoh paling ketara kegagalan mereka untuk menggunakan kekayaan negara untuk mengangkat martabat komuniti Melayu.

Ini kerana, perlaksanaan DEB oleh Umno-BN didorong prinsip pengagihan peluang dan pinjaman perniagaan kepada segelintir kroni tanpa kerpertanggungjawaban. Ini mengakibatkan peluang-peluang tersebut disia-siakan dan duit rakyat dihabiskan tanpa menguntungkan negara mahupun orang Melayu.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan pengurusan DEB oleh Umno-BN selama lebih tiga dekad telah hanya menguntungkan segelintir tauke perniagaan Melayu yang juga merupakan kroni mereka.

“Kita tidak lagi memerlukan Umno untuk menguruskan Dasar Ekonomi Baru. Kita juga menyatakan penswastaan tidak boleh menjadi asas DEB kerana ianya mencengkam rakyat.

“Kita tidak mahu lagi cara pentadbiran dikuasai oleh politik pengagihan kroni,” kata Abdul Khalid ketika membahaskan ucapan Tawaran Jingga dengan tajuk “Anti-monopoli” di konvesyen Pakatan Rakyat di sini hari.

Menurutnya, pentadbiran Pakatan yang sekarang sudah menguasai empat negeri dan bakal mengambilalih Putrajaya perlu menghapuskan programĀ  yang tidak mementingkan rakyat sebagai usaha membetulkan kesalahan pentadbiran Umno-BN.

Beliau juga berkata ekonomi negara perlukan pertumbuhan supaya keuntungan yang diperolehi dapat diberikan kepada rakyat dan bukannya membebankan rakyat dengan hutang negara.

“Perkara terpenting dalam pengurusan ekonomi ialah membetulkan yang salah dan mengutamakan yang betul.

“Bererti kalau program itu salah dan tidak memberikan manfaat kepada rakyat kita hapuskan dan tidak membiarkan ia berlaku. Melalui perkara ini pemberian terus kepada rakyat dapat dilakukan.

“Kalau tiada pertumbuhan kita akan memberikan hutang dan hanya menambahkan masalah. Konsep yang diutarakan membangun negara supaya lebih mewah dengan asas kemewahan diagihkan kepada rakyat bukan mengambil harta orang lain dan berikan kepada orang lain,” katanya.