Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Menyeluk laba pekasam, bekas guru bangkit selepas rugi

SHAH ALAM, 23 OKT: Peluh membasahi liang-liang kulit Nor Liela Zaharah Ngabiah. Bajunya lencun, nafasnya tercungap. Namun, wanita berumur 36 tahun itu terus menggemburkan tanah dan menyemai benih tanaman.

Ada enam ekar yang perlu diusahakannya. Falsafah berbudi pada tanah tersemat kukuh dalam minda bekas guru itu. Baginya, pertanian adalah segala-galanya biarpun terpaksa berpanas, berhujan. Bukan lagi di bilik pendingin hawa.

Beliau lazimnya membanting tulang dari pagi hingga tengah hari. Tiba masa membaja, Nor Liela Zaharah mengerah kudrat memikul guni baja. Walau penat, tidak sedikit pun melunturkan semangat ibu empat anak itu. Suami Saidin Sabran, 52, turut membantu.

Wanita itu juga mengusahakan ternakan ikan keli, puyu dan tilapia kolam. Lali berendam dalam kolam untuk mengred benih ikan. Ada masanya, beliau sendirian memandu jauh ke luar Selangor menghantar benih ikan kepada pelanggan.

Sebagai usahawan tani, beliau mengerti ada masanya kerugian tidak dapat dielak. Lebih-lebih lagi ketika wabak Covid-19 melanda negara Mac tahun lalu.

Hasil tanaman sayur tidak dapat dijual. Sebahagiannya terbiar busuk. Kerugian dianggar lebih RM20,000. Jualan keli salainya turut terjejas angkara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Masa mula PKP, lima kolam keli sudah boleh dituai tetapi permintaan hilang mendadak. Ada yang buat tempahan tetapi batalkan sebab tidak boleh adakan majlis.

“Lima kolam tidak dapat dipasarkan. Setiap kolam lebih kurang setengah tan ikan keli dengan nilai lebih RM3,000 bermakna saya kehilangan paling kurang RM15,000,” katanya kepada Selangorkini di Kampung Seri Keledang, Hulu Bernam baru-baru ini.

Dalam talian

Kelewatan tuaian menyebabkan saiz ternakannya sukar dijual. Justeru, beliau sedekahkan ikan itu kepada penduduk kampung.

Hasil cadangan rakan, Nor Liela Zaharah cuba menternak ikan puyu untuk dijadikan pekasam. Cadangnya mahu dijual dalam pasaran dalam talian, kedai makan dan pasar.

Nor Liela Zaharah Ngabiah meninjau kolam ternakan ikan puyu untuk dijadikan pekasam di Kampung Seri Keledang, Hulu Bernam baru-baru ini. Foto SELANGORKINI

Kali ini usahanya berhasil. Tidak seperti keli salai, puyu pekasam lebih tahan lama dan tidak rosak ketika proses penghantaran.

Nor Liela Zaharah mula menjadi usahawan pada 2010. Beliau tekad berhenti kerja walau bergaji bulanan. Terasa sia-sia jika tanahnya seluas enam ekar tidak diusahakan.

Berbekal tunjuk ajar suami dan bimbingan jabatan pertanian, beliau mengusahakan pelbagai tanaman. Pelbagai kursus dihadirinya untuk menambah pengetahuan.

Pendapatan kasarnya agak lumayan. Sekali tuai mencecah RM20,000. Kalau sayur, boleh dituai dua kali setahun. Tanaman pisang bergantung kepada jenis. Kalau pisang emas, empat bulan boleh dituai. Pisang tanduk lebih lama sedikit, antara lapan hingga setahun untuk mengeluarkan hasil.

Kendali jengkaut

Pada 2015, Nor Liela Zaharah membeli jentera. Mula-mula pembajak, kemudian jengkaut. Sejak itu, beliau tidak mencangkul lagi. Bahkan jentera itu dikendalikannya sendiri. Mula-mulanya kekok, lama kelamaan seronok.

Tiga tahun kemudian, beliau dengan modal RM5,000 menternak ikan keli untuk dijadikan keli salai dan dijual.

Bermula sebuah rumah salai, permintaan meningkat menyebabkan usahawan itu menambah dua rumah lagi. Setiap satu mampu menyalai 200 ekor sekali gus.

“Bagi mendapat hasil terbaik proses menyalai memakan masa yang panjang sekurang-kurangnya 12 jam.

“Ikan keli salai kami ada aroma yang istimewa dengan menggunakan kayu pokok rambutan selain tempurung kelapa sebagai bahan bakar utama untuk menyalai,” katanya.

Nor Liela Zaharah juga membuat pinjaman skim Hijrah Selangor sebanyak RM5,000 pada awal 2020.

“Pada asalnya saya buat pinjaman Hijrah Selangor untuk projek kebun sayur tetapi disebabkan projek tanaman sayur bermasalah saya gunakan pinjaman ini untuk bina kolam keli, puyu dan tilapia,” katanya.

Perusahaan keli salai itu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung. Lapan orang bekerja dengannya. Beliau juga memenuhi permintaan benih keli kepada pengusaha ternakan hingga ke luar Selangor.

Hasil keli dituai setahun tiga kali dengan setiap satu mampu memberi pulangan kira-kira RM15,000.

Kerugian ketika pandemik banyak mengajarnya. Justeru, beliau mahu mempelbagaikan cabang perniagaan.

Selain keli salai dan puyu pekasam, beliau menternak itik dan arnab. Sebanyak 110 itik dipeliharanya bagi mendapatkan telur untuk dijadikan telur masin. Arnab pula cuma menunggu reban siap. Pada masa ini, kerja membina lima lagi kolam ikan, reban itik dan arnab giat dijalankan.

Nor Liela Zaharah juga memasang impian untuk membuka kilang produk asas tani di tanahnya pada masa depan.

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Perubahan iklim berisiko tinggi jejas jaminan bekalan beras

Oleh Kurniawati Kamarudin & Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Tanaman padi yang merupakan tanaman makanan ruji masyarakat negara ini, adalah antara yang paling berpotensi terkesan oleh perubahan iklim, sekali gus mengancam sekuriti bekalan beras negara.

Ini berikutan fenomena itu meningkatkan risiko dan kejadian bencana seperti banjir, kemarau yang berpanjangan, anjakan musim hujan serta kenaikan aras air laut sehingga mempengaruhi ketersediaan air.

Kesan perubahan iklim terhadap tanaman itu semakin ketara kebelakangan ini apabila dalam tempoh lima tahun dari 2017 hingga 2021 sebanyak 40,828.28 hektar tanaman padi di Semenanjung Malaysia musnah akibat banjir, manakala 9,336.45 hektar pula terjejas oleh kemarau.

Dalam satu temu ramah bersama Bernama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata sekuriti makanan negara ini terjejas berikutan Malaysia mengalami pertambahan purata hujan tahunan setiap dekad, berdasarkan rekod hujan tahunan selama 40 tahun iaitu dari 1978 hingga 2017.

Malah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) turut menyedari saiz kawasan yang mengalami taburan penurunan purata hujan tahunan juga bertambah, terutama di bahagian pantai barat, selatan serta tengah Semenanjung Malaysia seperti Lembangan Sungai Pahang dan Lembangan Sungai Kuantan.

“Menurut laporan Malaysia’s 3rd National Commmunication and 2nd Biennial Update Reports (TNC and BUR2), secara keseluruhannya kira-kira 18 peratus daripada 350,000 hektar kawasan tanaman padi terdedah kepada kekerapan berlakunya musim kering yang berpanjangan, melibatkan kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia.

“Biarpun demikian, peratusan kerosakan akibat banjir adalah lebih tinggi, yang mana menurut laporan itu kawasan yang terdedah adalah 25 peratus daripada kawasan penanaman padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA),” kata Ronald.

Pesawah Fairuz Zaini melihat tanaman padinya yang rebah akibat ditiup angin kuat dan hujan lebat susulan berlakunya peralihan iklim ketika tinjauan di sekitar Tanjung Karang pada 3 Oktober 2021. Foto BERNAMA


Pelan transformasi padi

Berpandukan laporan Climate Change Scenarios For Malaysia 2001-2099 yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kekerapan musim kering dan panas telah meningkat sejak 2005 di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Antara tahun-tahun yang direkodkan oleh negara ini sebagai mengalami musim panas dan kering yang panjang ialah 1982, 1983, 1997, 1998, 2014, 2015, 2016 dan 2020. Penyebab utama kejadian musim kering ini ialah fenomena El Nino yang kerap melanda seluruh rantau Asia Tenggara.

“Keadaan kemarau yang berpanjangan serta kesan peningkatan suhu dan kelembapan tinggi ini boleh meningkatkan serangan serta kehadiran serangga perosak dan penyakit tertentu terhadap tanaman,” kata Ronald.

Golongan pesawah di Semenanjung Malaysia paling terjejas oleh fenomena itu apabila merekodkan nilai kerosakan paling tinggi berbanding tanaman agromakanan yang lain.

Data permohonan Tabung Bencana sejak 2017 hingga 2021 merekodkan nilai kerosakan bagi tanaman padi akibat bencana kemarau sebanyak RM21.6 juta manakala nilai kerosakan akibat banjir pula dianggar berjumlah RM128.8 juta.

Bagi tanaman agromakanan lain seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kontan dan komoditi bernilai tinggi pula, anggaran nilai kerosakan keseluruhannya ialah sebanyak RM21.4 juta, melibatkan kawasan seluas 1,944.57 hektar yang terjejas banjir.

Menyedari impak perubahan iklim kepada sekuriti makanan negara, MAFI merangka inisiatif untuk mentransformasikan industri padi dan beras secara menyeluruh melalui Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 bagi meningkatkan pengeluaran padi dan pendapatan pesawah.

“DSMN 2021-2025 meliputi peluasan penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan pengeluaran makanan dengan kaedah teknologi berasaskan iklim.

“Ini kerana tumpuan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) ialah untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras dalam negara hingga 75 peratus menjelang 2025,” jelas beliau.

(SSL adalah kayu ukur kebergantungan negara kepada makanan tempatan berbanding makanan yang diimport)

Antara inisiatif bagi merealisasikan objektif itu ialah melaksanakan penanaman padi menggunakan konsep Program SMART Sawah Berskala Besar (Smart SBB), mengaplikasikan formulasi baja secara spesifik mengikut tanah, menggunakan kaedah penanaman secara moden seperti penggunaan dron bagi tujuan meracun selain menggunakan jentera penanaman dan penuaian terkini dan sebagainya.

Amaran awal

Peruntukan tahunan secara berterusan turut dilaksanakan bagi menambah baik sistem pengairan sawah, antaranya membina telaga tiub dan takungan seperti empangan bagi penyimpanan air memandangkan aktiviti sawah di sebahagian besar kawasan masih bergantung pada curahan air hujan.

Langkah lain yang turut diambil dalam menangani polemik tersebut ialah pelaksanaan pengairan sawah secara Alternate Wetting and Drying (AWD) bagi menggantikan pengairan secara “banjir”.

Pembangunan dan penggunaan varieti benih padi tahan banjir atau tahan kemarau (padi anaerob dan padi aerob) turut dilakukan selain memperkenalkan insurans pertanian untuk mengurangkan risiko perubahan iklim, katanya.

MAFI juga menyokong Program National Water Balance Management System (NAWABS) oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang bertujuan mengimbangi pembangunan dan pengurusan sumber air negara sebagai rujukan pengurusan padi.

Pesawah menanam padi di Sungai Leman, Sekinchan. Foto ARKIB SELANGORKINI

“Melalui program ini, beberapa data ramalan hujan daripada MetMalaysia dan kajian Impak Perubahan Iklim oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) disepadukan bagi memberikan maklumat ramalan kemarau dan ketersediaan sumber air seawal dua bulan ke hadapan dan amaran seawal 14 hari ke hadapan kepada pihak berkaitan dalam pengurusan air di negeri dan persekutuan.

“Dengan menggunakan sistem ini sepenuhnya, pengurusan air negeri dapat membuat keputusan terutamanya dalam penentuan pengurusan pengairan padi seperti mencadangkan pembenihan awan di sekitar kawasan tadahan empangan apabila tiada hujan dan baki simpanan air di empangan semakin berkurang,” katanya.

Sistem ini juga dapat membantu perancangan masa yang lebih sesuai untuk penanaman padi dengan merujuk kepada ketersediaan sumber air hujan dan kuantiti isi padu sungai dan empangan.

Dasar agromakanan negara

Tidak hanya memberi tumpuan kepada pengurusan padi, MAFI turut komited menangani sekuriti makanan dalam beberapa sektor agromakanan lain seperti buah dan sayur, ternakan, perikanan dan akuakultur khususnya melalui pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

“Pelaksanaan DAN 2.0 ini dilihat wajar bagi menjamin sekuriti makanan kerana perubahan iklim turut menjejaskan sumber perikanan negara, yang mana fenomena itu akan menyebabkan peningkatan kandungan karbon dioksida dalam air, sekali gus menambahkan keasidan air laut dan menjadi punca kemusnahan terumbu karang yang menampung 25 peratus bekalan ikan laut negara.

“Justeru, bagi mengukuhkan rantaian sekuriti makanan negara, DAN 2.0 akan dipacu oleh lima teras dasar seperti meningkatkan pemodenan dan pertanian pintar, mengukuhkan pasaran domestik dan pengeluaran produk berorientasikan eksport,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) yang merupakan usaha kerajaan untuk mencapai sekuriti makanan yang lebih holistik.

Prihatin dengan impak perubahan iklim yang dilihat sangat memberi kesan kepada petani, kerajaan, melalui Belanjawan 2021, telah meluluskan peruntukan berjumlah RM80 juta kepada MAFI bagi penubuhan Tabung Bencana Pertanian (TBP) yang kini dikenali sebagai Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

PPSPA ini bertujuan membantu meringankan beban kumpulan sasaran iaitu petani, penternak, nelayan, pengusaha akuakultur, pengusaha agropelancongan dan Industri Asas Tani (IAT) yang terkesan oleh bencana yang merupakan antara impak langsung perubahan iklim.

Ronald berkata bantuan dan sokongan bukan berbentuk kewangan ini meliputi input pertanian, peralatan dan mesin serta bantuan bukan kewangan lain yang bersesuaian bagi membantu golongan sasaran membangunkan semula aktiviti agromakanan.

“Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) melalui obligasi sosialnya kepada kerajaan, turut menyumbangkan dana sebanyak RM10 juta setiap tahun sepanjang tempoh konsesi serta Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyumbang RM2 juta setiap tahun bagi membantu mengisi tabung berkenaan.

“Hingga 15 September 2021, sejumlah RM4,346,239.00 telah disalurkan oleh MAFI kepada jabatan-jabatan dan agensi di bawahnya untuk membantu meringankan beban gologan sasaran yang terjejas bencana,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL RENCANA WAWANCARA

Soal Jawab: Buku sirah terjemahan pupuk cintai Rasulullah

Sebagai biografi Rasulullah SAW paling terkenal di dunia, penterjemahan buku Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources memerlukan ketekunan jitu.

Sedaya upaya mengekal gaya penyampaian dan lenggok bahasa penulis asal Martin Lings atau Abu Bakar Sirajuddin, usaha Kerajaan Negeri mahu pembaca menjiwai perjuangan baginda menjadi cabaran dua penterjemah ini.

Sempena sambutan Maulidur Rasul pada 19 Oktober, wartawan FARIDZWAN ABDUL GHAFAR dan NAZLI IBRAHIM menelusuri pengalaman Ketua Pengarang Inisiatif Darul Ehsan (IBDE) Al-Mustaqeem Mahmod Radhi dan Pengarah Eksekutif IBDE, Farhan Affandi menterjemah buku paling laris syarikat itu.

Bagaimana proses awal menterjemah buku ini?

Mustaqeem:

Awalnya Farhan memujuk saya agak lama untuk terlibat dalam penterjemahan buku ini. Sebenarnya saya sudah lama berniat menterjemahkan buku ini tetapi belum bersedia kerana bahasa Inggeris Martin Lings memang tinggi dan paling utama buku ini melibatkan cerita tentang Nabi Muhammad SAW sendiri. Jadi saya rasa ini tanggungjawab berat.

Rupanya, Martin Lings sendiri, semasa hendak menulis merasakan dia bukan orang yang layak untuk menulis tentang baginda tetapi rasa seperti ada panggilan untuk menulis. Dia sendiri fikir, siapalah Martin Lings ini untuk menulis tentang Rasulullah SAW.

Buku ini mungkin sirah nabi paling laku di dunia. Diterjemahkan dalam berpuluh-puluh bahasa dan setiap terjemahan pula tersebar luas.

Begitu juga di Malaysia buku ini laris. Indonesia pula menterjemahkannya lebih awal. Apabila kami mula buat, itulah rasa beratnya tanggungjawab. Selepas itu, barulah masalah teknikal lain.

Sebelum kita mula, kita sedar ada cabaran teknikal sebab pengarang asal buku ini menggunakan dua gaya bahasa. Kalau dalam cerita, dia gunakan bahasa Inggeris yang agak moden. Kalau petikan hadis dan al-Quran, guna bahasa Inggeris ‘Shakespearean’ yang lebih klasik dan tinggi.

Farhan:

Sebenarnya beberapa kali juga saya pujuk Mustaqeem untuk terjemah buku ini kerana kalau ingin buat terjemahan selepas ini tanpa sokongan Kerajaan Selangor memang kita tidak mampu.

Bila Mustaqeem setuju, dia mahu buat penterjemahan seorang pula. Saya mahu juga menterjemah tokoh paling penting dalam hidup kita tetapi saya tahu saya akan menyusahkan dia kerana buku ini susah. Kedua, gaya bahasa dan istilah akan berbeza walaupun kami ada berbincang tetapi boleh ‘hilang’ bila kita menterjemah berasingan.

Akhirnya, inilah sebab prosesnya menjadi panjang sebab kita banyak kena semak balik daripada awal untuk selaraskan bahasa.

Pengalaman lain selepas menterjemah buku ini, saya ada perasaan kurang minat menterjemah buku lain kerana bagi saya menterjemah buku ini kemuncak dalam karier saya sebagai penterjemah.

Bagi saya, ini penghormatan untuk diri saya. Saya rasa puas apabila terjemah buku ini. Kalau sudah tidak lagi terjemah buku atau terlibat dalam dunia penerbitan lagi pun saya puas.

Berapa lama proses penterjemahan dan bagaimana sambutan pembaca?

Farhan:

Penterjemahan bermula hujung 2018 dan selesai pada 2020. Setahun lebih untuk disiapkan. Masuk pasaran awal 2021 dan buku habis dijual dalam masa sebulan setengah. Cetakan kedua siap pun hampir habis dalam tiga bulan.

Itu pun momentum jualan terganggu sedikit kerana kami hentikan jualan buku sebab ada kerosakan. Jadi kami cetak semula untuk jilid kedua. Sekarang hampir masuk cetakan ketiga.

Sepanjang dua puluh tahun kami terbabit dalam dunia penerbitan dan terjemahan buku, belum pernah ada buku yang laris secepat dan sebanyak ini.

Apakah cabaran sepanjang penterjemahan buku ini?

Mustaqeem:

Banyak. Contohnya kata ganti nama. Sampaikan saya telefon Faisal Tehrani untuk dapatkan kata ganti nama yang sesuai. Kalau bahasa Arab senang, guna ‘ana’. Begitu juga bahasa Inggeris, gunakan ‘I’ tetapi bahasa Melayu ada ‘saya’, ‘aku’, ‘daku’, bergantung kepada keadaan, emosi dan orang yang bercakap. Saya hubungi Faisal Tehrani kerana beliau banyak mengkaji teks klasik.

Al-Mustaqeem Mahmod Radhi

Kita orang Melayu, bila bercakap dengan orang pangkat lebih tinggi atau kalau marah sekalipun, kita ada ganti nama berbeza, tidaklah terus ‘aku’.

Kemudian, apabila ada petikan hadis perbualan dengan sahabat (Rasulullah SAW), naskhah bahasa Inggeris beralih kepada gaya ‘Shakespearean’. Kita yang terjemah tidak boleh gunakan ‘saya’ sebab tidak senada.

Sebab itu, kata ganti nama ‘saya’ ada masa menjadi ‘aku’, ada masa ‘sahaya’ dan ada masa jadi ‘daku’, bergantung keadaan dan siapa yang bercakap.

Begitu juga kata ganti nama sama ada ‘kamu’, ‘kau’, ‘engkau’ atau ‘anda’. Setiap perkataan kami timbang semasak-masaknya, adakah sesuai bergantung kepada penutur.

Kami berdua lama menetap di Jordan dan Mesir. Kita memang tahu orang Arab agak kasar. Jadi, tidak susah untuk membayangkan mereka menggunakan perkataan ‘aku’ dengan kawan-kawan. Namun, apabila dengan nabi, mereka jadi macam makhluk lain, bukan Arab.

Mereka jadi terlalu takzim. Jadi, kita tidak boleh bayangkan orang Arab gunakan ‘aku’ dengan nabi. Sebab itu, kami menggunakan perkataan ‘daku’ sebagai contoh.

Itu kalau nabi dengan sahabat. Kalau isteri dengan nabi pula macam mana? Ini sepasang kekasih. Hendak formal tidak masuk akal. Kita hendak tentukan kata ganti nama mana yang hendak digunakan. Pro-ses ini memakan masa.

Akhirnya, apa yang kita faham daripada sirah, pandangan isteri kepada nabi sebagai rasul lebih tinggi berbanding pandangan seorang isteri kepada suami. Jadi kita gunakan ganti nama yang bersesuaian.

Kita juga ada baca buku Al-Amin oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said untuk pinjam beberapa perkataan.

Boleh ceritakan sumber terawal yang dimaksudkan bagi buku ini?

Farhan:

Sumber terawal dalam buku ini ialah kitab perjanjian lama iaitu Injil, al-Quran, hadis dan sirah-sirah terawal seperti sirah Ibnu Ishaq, Ibnu Al-Tabari, Ibnu Hisham dan Al-Waqidi. Kitab-kitab sirah yang terakhir pun sudah lebih 1,200 tahun.

Martin Lings adalah penjaga manuskrip ‘oriental’ di Muzium Britain. Dia pakar sumber-sumber atau kitab lama. Perkara ini diakui Sheikh Hamza Yusof, tokoh Islam yang berpengaruh di dunia Barat. Dia kagum ketepatan fakta dalam buku Martin Lings.

Apa bezanya dengan riwayat Nabi Muhammad yang lain?

Mustaqeem:

Kalau mahu rasa seolah-olah kita hidup zaman nabi, inilah bukunya sebab apabila kita baca tidak terganggu kerana perjalanan ceritanya sangat lancar. Pembaca boleh rasa dekat dengan nabi.

Semasa berbincang dengan Farhan dan rakan lain, oleh sebab latar belakang kami syariah, kami banyak baca kitab sirah yang digunakan masa mengaji dahulu tetapi tidak pernah rasa betul-betul dekat dengan nabi.

Berselawat ramai-ramai di masjid, program munajat, program selawat atau sertai mana-mana program keagamaan tetapi rasa macam sukar hendak mencapai be-tul-betul rasa sayang pada nabi. Boleh dikatakan kita rasa macam berlakon sayang kepada nabi pun ada.

Terjemahan buku judul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal

Kita selalu cakap sayang nabi tapi kita tidak rasa. Cuma otak kita suruh sayang nabi. Berbeza apabila baca buku ini, kita dapat rasa perasaan itu.

Ada babak-babak yang rasa macam boleh nampak. Contohnya, adegan Saidina Umar masuk bilik masa nabi berseorangan, apabila baginda kalihkan badan, ternampak kesan tikar pada badan baginda. Baca adegan ini seolah-olah kita ikut belakang Saidina Umar masuk bilik itu.

Peristiwa ini berlaku semasa nabi ada masalah dengan isterinya lalu mengasingkan diri daripada isteri. Masalah apa, kena baca buku ini.

Semasa belajar di Jordan, kelas saya mengkaji peristiwa nabi dan isterinya Saidatina Aishah difitnah. Berhari-hari kami berbincang dalam kelas. Namun apabila baca buku ini, barulah dapat rasa betapa beratnya fitnah ditanggung.

Farhan:

Kita tidak dapat hendak bandingkan semua buku sirah yang lebih kurang sama tetapi gaya penceritaan, naratif yang disusun itu membezakan antara satu buku dengan satu buku yang lain.

Buku ini macam novel. Penyampaiannya menggunakan kaedah bercerita. Kita baca seolah-olah berada di tempat itu, melihat watak disebut dengan dialog yang responsif. Bagi saya, buku ini paling menyentuh hati.

Boleh kongsi bab paling menyentuh perasaan?

Farhan:

Cabarannya, kadang-kadang tengah seronok menterjemah, apabila sampai bahagian sedih, kita tidak boleh menulis. Terpaksa berhenti untuk tenangkan hati. Banyak kali menangis. Memang tidak boleh teruskan dan terpaksa berhenti. Cuba rehat sekejap, barulah cuba sambung. Kalau tidak boleh juga, sambung esok.

Farhan Affandi

Ramai tahu cerita nabi dan Saidatina Aisyah difitnah dan disebar golongan munafik di Madinah tetapi kita tidak pernah rasa apa perasaan Saidatina Aisyah dan nabi sendiri ketika berdepan beban fitnah.

Serba salah Saidina Abu Bakar sebab ini anak dia, kawan baik nabi. Saidatina Aisyah sendiri berkecil hati kerana nabi seolah-olah tidak membela beliau. Masa baca buku ini barulah dapat rasa, sampai begini beratnya ujian fitnah ditanggung.

Benarlah kata pepatah, tidak kenal maka tidak cinta. Baca, kenal susuk nabi, peribadinya, selepas itu barulah cinta itu hadir. Boleh baca bab 64, bertajuk Kalung.

Ada bab lain yang beri kesan emosi?

Mustaqeem:

Dalam satu bab Perang Badar. Kita tahu kisah perang ini ada malaikat turun tetapi belum pernah betul-betul rasa gerun. Kita rasa kagum tetapi apabila baca buku ini sampai naik bulu roma sebab cara penyusunan penceritaannya.

Farhan:

Kalau saya secara peribadi, ada banyak bahagian yang sedih dan gembira. Bila bab menggembirakan, memang rasa seronok. Kalau bab mendebarkan, misalnya bagaimana pada pagi menjelang Perang Badar, burung hering mula bertenggek di atas batu-batu seolah-olah burung pun tahu akan berlaku pertumpahan darah sebab sudah dua pasukan duduk berdepan untuk berperang.

Bila masuk bab sedih, antara paling menyentuh perasaan, bab waktu nabi di Makkah, macam-macam baginda kena. Ada sekali, nabi dalam perjalanan balik, orang kafir baling debu hingga penuh di rambut baginda sampai anaknya menangis.

Namun, nabi cakap “tidak mengapa Allah akan jaga ayahmu.” Macam-macam orang kafir buat ke atas baginda, akhirnya baginda terpaksa bawa diri untuk perlindungan.

Waktu nabi jumpa pembesar-pembesar untuk ajak masuk Islam, baginda dihina dan mereka panggil orang lain untuk ikut hina nabi sampai baginda bawa diri masuk satu kebun dan tenangkan diri.

Apa perasaan apabila selesai menterjemah buku ini?

Mustaqeem:

Buku ini berkenaan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, manusia paling disayangi umat Islam. Jadi, apabila baca buku ini, kita nampak tujuan pengarang supaya mampu merasai perasaan sayang yang be-tul-betul kepada nabi, bukan sayang yang hanya dalam otak.

Pengalaman saya belajar agama berpuluh-puluh tahun tetapi bila sebut sayang nabi, hanya otak kata kena sayang nabi tetapi kita tidak rasa. Mahu rasa itu susah.

Macam mana kita sayang ibu bapa kita, sayang anak kita tetapi apabila baca buku ini, kita hendak kata sayang nabi lebih daripada itu sudah jadi lebih yakin.

Al-Mustaqeem Mahmod Radhi dan Farhan Affandi membelek helaian buku judul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal

Mengapa setiap rumah perlu ada buku ini?

Mustaqeem:

Sebagai seorang Islam yang mengaku sayangkan Nabi Muhammad SAW, mesti ada buku sirah nabi paling kurang setiap rumah. Tidaklah semestinya buku ini, buku sirah lain pun tidak mengapa. Seperti al-Quran dan hadis ada di setiap rumah, begitu juga buku ini.

Bagi bukan Islam pula, mereka boleh memahami kenapa orang Islam begitu sayang dengan baginda iaitu tokoh paling berpengaruh dalam sejarah dunia. Buku ini memang tidak beri perhatian kepada sebab politik atau kenapa berlakunya peperangan tetapi bila baca, kita faham sebab apa berperang atau kenapa terjadi sesuatu peristiwa.

Bagi bukan Islam, mereka boleh baca buku ini untuk faham kenapa Nabi Muhammad SAW tokoh paling berpengaruh dalam Islam, juga di dunia ini.

Farhan:

Buku ini sangat istimewa ditulis oleh seorang kekasih yang menulis tentang kekasihnya. Menariknya, pembacaan buku ini seolah-olah hidup dan berada pada zaman nabi, duduk di sisi baginda, melihat perjalanan sejarah dengan suasananya, emosinya dan konfliknya yang boleh kita rasa sampailah hari kewafatan nabi dengan kesedihan amat mendalam.

Selepas selesai menterjemah, barulah saya rasa macam mana rasa cinta kepada baginda.

Beli dan beri anak muda kita baca. Saya sendiri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bacakan buku ini untuk anak paling kecil berumur tujuh tahun sampai yang besar 17 tahun. Setiap malam dari satu bab ke satu bab. Bila kita baca, anak-anak seronok.

[BACA: Penceritaan hidup, riwayat Rasulullah sentuh emosi]

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pujukan di hujung nyawa

Lelaki itu menyiram tubuhnya dengan petrol. Sebelah tangannya memegang pemetik api, menunggu masa untuk dinyalakan. Sebelah lagi, terhunus sebilah parang.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azizulhakim Idris perlu waspada. Padah jika tersilap langkah. Dinding dan lantai ruang tamu rumah juga ada kesan simbahan petrol. Bau kuat menusuk hidung.

Bila-bila masa sahaja individu berusia 35 tahun itu yang dirundung kemurungan menyalakan api. Ternyata, bukannya nyawa lelaki tersebut sahaja terancam tetapi nyawa sendiri dipertaruh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azizulhakim Idris. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELAGORKINI

Berdasarkan latihan dan pengalaman, Muhammad Azizulhakim mengajaknya berbual-bual, seolah-olah telah lama kenal. Setiap kali lelaki itu membuka mulut, bau petrol bertambah ketara.

“Masa itu dada saya tambah berdebar. Perasaan takut memang ada, lebih-lebih lagi lelaki tersebut ada parang tetapi saya kuatkan semangat dan ajak berbual. Alhamdullilah dia mahu,” katanya kepada Selangorkini sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang dirai pada 10 Oktober.

Selepas beberapa belas minit, akhirnya beliau berjaya memujuk. Lelaki yang murung akibat kucing kesayangannya dibuang ahli keluarga kemudian diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Dia ada tunjukkan gambar kucing yang dibeli di China semasa umur empat tahun. Sekarang mungkin sudah lebih lapan tahun. Macam kartun ‘Garfield’ pun ada,” kata beliau.

Sebenarnya, ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong itu mengambil masa sekitar 30 minit memujuk sebelum dibenar masuk seorang diri ke rumah teres dua tingkat di Puchong pada awal tahun ini.

Itupun selepas beliau meminta ahli keluarga berada jauh dari rumah. Lelaki tersebut mengancam untuk mencederakan sesiapa jua termasuk anggota bomba jika mereka  memecahkan pintu rumah.

Lelaki yang masih bujang mendakwa kucingnya dibuang kerana haiwan itu membuang najis di kawasan rumah ibunya.

Tekanan emosi

Berdasarkan pengalaman hampir 10 tahun, Muhammad Azizulhakim mengenal pasti beberapa ciri seseorang yang mengalami tekanan perasaan.

Anggota bomba cuba memujuk lelaki yang mahu membunuh diri

“Berdasarkan pengalaman beberapa kali memujuk orang yang cuba bunuh diri, saya dapati mereka biasanya tengah lapar sebab tidak makan beberapa hari dan suka memerap diri dalam bilik.

“Mereka juga biasanya tidak mandi dan tidak tidur beberapa hari. Mungkin sebab mereka tidak kesah lagi soal kebersihan dan kesihatan diri,” katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai lebih peka terhadap perubahan sikap ahli keluarga atau teman rapat bagi mencegah kejadian bunuh diri.

Balai Bomba dan Penyelamat Puchong menyelesaikan tujuh kes cubaan bunuh diri pada tahun lalu. Sebanyak 10 kes pula antara 1 Januari hingga 8 September 2021.

Bagi ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Muhammad Hazrin Zulkifli, beliau pernah berdepan kes gadis berusia 20-an cuba membunuh diri di sebuah kondominium di Petaling Jaya akibat tekanan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Hazrin Zulkifli. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELAGORKINI

Sambil memegang pisau, gadis yang menjalin hubungan dengan seorang selebriti mengugut untuk terjun bangunan dan mencederakan diri sendiri.

“Saya lupa tingkat berapa belas. Bila kami sampai mendapati dia berdiri di balkoni sambil pegang pisau tetapi alhamdullilah setelah kami pujuk dia jadi tenang.

“Selepas berjaya bawa dia masuk rumah, barulah tahu rupa-rupanya dia tertekan disebabkan hubungannya dengan seorang selebriti,” kata Muhammad Hazrin yang mengambil masa setengah jam untuk memujuk.

Paling diingatinya cubaan wanita dalam pengaruh dadah yang mahu terjun tingkat 18 sebuah kondominium di Petaling Jaya pada Mac tahun lalu.

Mengimbau kejadian itu, beliau mendapati wanita itu berdiri di ruang sempit di pinggir bangunan yang hanya boleh memuatkan dua orang.

Menganggap diri dibuang keluarga, wanita itu berdepan masalah kewangan hingga tidak mampu membayar sewa rumah dan ansuran kereta.

Operasi itu mengambil masa lebih sejam sebelum Muhammad Hazrin berjaya mencapai tangan dan pinggang wanita terbabit.

“Masa itu saya sedang berbual dengan wanita itu, tiba-tiba dia cakap ada angin sejuk bertiup sepoi-sepoi bahasa dan dia kata inilah detik terbaik bunuh diri kerana petanda dia akan masuk syurga.

“Masa itulah dia terleka, cepat-cepat tangan kiri saya sempat mencapai tangan dan pinggang dia dan anggota lain bantu tarik dia keluar ke tempat selamat,” katanya.

Elak himpun

Muhammad Hazrin juga pernah berhadapan dengan remaja lelaki berumur 18 tahun yang cuba terjun daripada jejambat di Shah Alam kerana putus cinta.

Bagaimanapun, remaja berjaya diselamatkan dengan bantuan sebuah lori kontena di tempat kejadian.

“Sebenarnya kita sudah berjaya pujuk dia tetapi disebabkan ada ramai orang menonton di atas jejambat menyebabkan dia malu untuk naik semula.

“Akhirnya dia turun ke atas lori kontena yang tunggu di bawah. Sampai di bawah dia ada meronta sedikit hingga terpaksa dikawal polis,” katanya.

Justeru, Muhammad Hazrin menasihati orang ramai tidak berkumpul menonton cubaan bunuh diri kerana dikhuatiri memberi isyarat salah.

Sesetengah individu yang tertekan emosinya berasa tercabar atau menganggap orang ramai tertunggu-tunggu untuk melihat aksinya terjun bangunan.

Mengikut pengalaman beliau, cubaan bunuh diri biasanya membabitkan peringkat umur remaja hingga 40 tahun, majoritinya wanita berbanding lelaki.

Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELAGORKINI

Sehingga 8 September tahun ini, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik mengendalikan 15 kes bunuh diri berbanding 11 kes sepanjang 2020.

Beliau yang berkhidmat selama 13 tahun menyifatkan tahun 2020 dan 2021 tempoh paling mencabar berikutan peningkatan kes cubaan bunuh diri.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pesona setem

Dibida US$8.3 juta (RM34.7 juta) pada 8 Jun lalu, setem unik Guyana yang dicetak di atas kertas magenta pada 1856 antara barangan paling ringan yang termahal di dunia.

Bernilai satu sen dan diterbit ketika negara Amerika Selatan itu dijajah Inggeris, ia dimiliki Vernon Vaughan, kanak-kanak Scotland yang menjumpainya di dalam kumpulan surat keluarga pada 1873.

Sekeping setem Pahang keluaran Pos Malaysia yang dicetak syarikat Harrison & Son Limited, London pada 1965 tidak mempunyai tanda harga. Ia diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai setem tertua yang tiada tanda harga.

Menyedari keunikan setem, Kerajaan Negeri membina Muzium Setem Selangor bagi menyimpan koleksi khazanah tersebut. Selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, muzium yang mula dibangunkan pada Februari tahun lalu dijadual siap sepenuhnya pada 2023.

Sempena Hari Pos Sedunia pada 9 Oktober, wartawan Nadiah Zamlus dan jurufoto Ahmad Zakki Jilan bertemu EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah bagi meninjau perkembangan projek tersebut pada 4 Oktober.

 

  • Setem ulang tahun pertama kemerdekaan dicetak pada 1958. Satu rekaan memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad bersama alat kebesaran diraja. Satu lagi rekaan menunjukkan Stadium Merdeka, lokasi laungan keramat bebas daripada penjajahan

 

 

  • Borhan Aman Shah menunjukkan koleksi lengkap 21 setem Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj bertarikh 1950 yang belum digunakan dalam warna dan nilai berbeza

 

 

 

  • Setem ketika Inggeris mengisytiharkan Malayan Union pada 1946 dengan muka Raja England George VI berlatar belakang bangunan Westminster. Ia berada dalam simpanan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT

 

 

 

  • Dua setem hasil bernilai $250 setiap satu yang tertera wajah Sultan Selangor keenam Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj digunakan pada surat perjanjian bertulisan tangan syarikat petroleum terkenal Shell. Ia dicop pada 11 Disember 1953

 

 

 

 

 

 

 

 

 

  • Setem Negeri-Negeri Selat yang dikeluarkan pada 1881 bercop Selangor digunakan sebelum setem negeri ini diterbitkan 10 tahun kemudian. Artifak ini akan dipamerkan di Muzim Setem Selangor apabila ia siap kelak

 

 

 

  • Penolong Kurator Unit Dokumentasi PADAT Siti Syabana Mohd Yusop menunjukkan seragam lama posmen. Baju dan motosikal Suzuki GT185 sumbangan Pos Malaysia. Khidmat pos menggunakan basikal klasik jenis New Hudson untuk menghantar surat

 

 

  • Dibina mulai Februari 2020, seni bina Muzium Setem Selangor diilhamkan daripada bentuk sampul surat. Bahagian kanan bangunan ini mengambil idea dari setem berimej rama-rama yang dikeluarkan pada 1970, 1971 dan 2008

 

 

  • Satu daripada empat cadangan pintu utama Muzium Setem Selangor yang memaparkan setem hasil berimej empat ekor gajah dengan nilai $1. Setem ini digunakan antara 1891 hingga 1900 di Selangor

 

 

 

 

  • Bayangan artis cadangan ruang lobi muzium dari pintu masuk utama. Berkeluasan 8,580 kaki persegi, muzium itu sedang dibina di sebelah Pejabat Pos Besar, Shah Alam
Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Perubahan iklim jejas jaminan bekalan makanan negara

Oleh Kurniawati Kamarudin & Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Musim kedua penanaman padi di Tanjung Karang pada Julai lepas, tidak seperti yang diharapkan pesawah apabila cuaca panas yang dijangka tidak menjadi kenyataan, sebaliknya hujan lebat melanda dengan kerap.

Akibatnya, beberapa kawasan tanaman padi di utara Selangor itu ditenggelami air dan merosakkan anak benih padi yang menyebabkan pertumbuhannya terbantut, bermakna hasil yang dijadualkan dituai pada November ini juga akan merosot.

Ketidaktentuan cuaca akibat perubahan iklim ini bukan hanya melibatkan Tanjung Karang dan kawasan berhampiran seperti Sekinchan hingga Sabak Bernam yang bersempadan dengan Perak, tetapi berlaku di seluruh negara.

Perubahan iklim ini berlaku susulan fenomena pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada aktiviti manusia yang kini berada pada tahap membimbangkan, dan jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan GHG, dunia dijangka berdepan bencana alam lebih dahsyat.

Menurut seorang pesawah, Fairuz Zzaini Mohd Toif, 36, perubahan cuaca mula memberi kesan kepada tanaman padinya sejak 10 tahun lalu, namun semakin kerap dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Katanya, paling buruk ialah pada musim penanaman tiga tahun lepas apabila kawasan itu dilanda musim panas yang berpanjangan dan membantutkan tumbesaran benih padi, sekali gus hasil tuaian juga berkurangan.

“Cuaca sekarang sudah tidak terjangka. Musim tengkujuh contohnya yang biasa berlaku pada hujung bulan 11 (November), tapi tahun ini bulan September hujan turun dengan kerap dan lebat berserta ribut.

“Apabila air laut pasang, banjir berlaku sehingga sawah ditenggelami air dan tanaman padi banyak yang rebah disebabkan ribut kuat,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Pesawah Fairuz Zaini melihat tanaman padinya yang rebah akibat ditiup angin kuat dan hujan lebat susulan berlakunya peralihan iklim ketika tinjauan di sekitar Tanjung Karang pada 3 Oktober 2021. Foto BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Modal tinggi hasil kurang

Dia yang mengusahakan kira-kira 12 hektar sawah warisan keluarganya sejak 15 tahun lalu, berkata pendapatannya merosot hampir 60 peratus semusim sejak tiga tahun lepas.

Kemerosotan pendapatan itu bukan sahaja disebabkan penurunan hasil tuaian tetapi juga kerana gred padi yang rendah selain terpaksa mengeluarkan modal lebih besar bagi menangani kesan perubahan cuaca, sama ada cuaca panas dan kemarau atau hujan lebat.

“Ketika El Nino yang menyebabkan panas melampau, air terpaksa dipam ke sawah bagi memastikan keperluan air mencukupi untuk padi membesar dan mengeluarkan hasil yang baik, manakala apabila hujan lebat dan banjir, pesawah terpaksa pula mengeluarkan modal baharu untuk (menggantikan) anak benih yang rosak bagi penanaman semula.

“Perubahan cuaca yang berlaku ini juga menyebabkan kemunculan penyakit atau perosak baharu yang sebelum ini tidak pernah ditemukan. Penyakit baharu ini pula mempunyai daya tahan sangat tinggi dan ini memerlukan pelaburan yang besar untuk racun perosak,” jelasnya.

Masalah sama turut dihadapi Suhaili Samsuri, 40, yang mengusahakan sawah padi di Sekinchan.

Menurutnya, sejak 2000 hingga sekarang, perubahan cuaca semakin ketara dan berlaku dengan lebih ekstrem, sama ada panas atau hujan, sekali gus menjejaskan hasil dan kualiti padi yang dikeluarkan.

“Apabila cuaca panas, suhunya terlalu tinggi dan ini tidak sesuai untuk padi yang sentiasa memerlukan air, manakala kadar hujan yang lebat dan ekstrem pula menyebabkan banjir di sawah dan turut mengganggu tumbesaran padi sehingga ada tanaman padi mati.

“Makhluk perosak baharu juga turut datang bersama perubahan cuaca ini dan merebak terlalu cepat dari satu lot ke lot lain, sekali gus menjadi punca kos racun turut meningkat hingga 30 peratus,” katanya.

Untuk rekod, anggaran nilai kerosakan bagi penanaman padi berdasarkan data permohonan Tabung Bencana bagi tempoh 2017 hingga sekarang, menunjukkan nilai kerosakan akibat banjir ialah sebanyak RM128.8 juta dan akibat kemarau RM21.6 juta.

Langkah lebih efektif

Hakikatnya, perubahan iklim bukan sahaja memberi kesan fizikal kepada alam tetapi juga terhadap sektor pertanian khususnya tanaman makanan, sekali gus mengancam jaminan makanan yang telah mula menunjukkan kemerosotan.

Ini bukan polemik baharu, sebaliknya sudah menjadi perhatian di peringkat global sejak hampir tiga dekad lepas. Namun hingga kini masih belum nampak usaha dan tindakan serius diambil oleh beberapa kuasa besar yang boleh menghasilkan perubahan positif dalam isu iklim, sepertimana termaktub dalam pelbagai perjanjian pengurangan kesan GHG.

Ini bermakna negara perlu bersedia dengan langkah-langkah lebih efektif termasuk dasar kerajaan bagi mengurangkan kepelbagaian ancaman akibat perubahan iklim yang tidak terduga, kata Dr Saiful Irwan Zubairi, pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya, perbincangan di peringkat global memberi fokus kepada kemusnahan terhadap jaminan makanan dunia, terutama dengan pengurangan pengeluaran makanan dan keberhasilan sektor agrikultur dan perikanan.

Pesawah Fairuz Zaini melihat tanaman padinya yang rebah akibat ditiup angin kuat serta hujan lebat ekoran berlakunya peralihan iklim ketika tinjauan di sekitar Tanjung Karang pada 3 Oktober 2021. Foto BERNAMA

 

Topik ini menjadi isu yang hangat kebelakangan ini bersandarkan kepada model pembuktian kesan gas rumah hijau semasa dan masa depan, antaranya Laporan Kumpulan Kerja Pertama Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) 2021 yang menjangkakan suhu permukaan bumi meningkat dari 1.1 hingga 6.4 darjah Celsius menjelang 2100.

Jangkaan itu berdasarkan elemen pemodelan hierarki terkini iaitu Earth System Models of Intermediate Complexity dan Atmosphere-Ocean General Circulation Models (AOGCMs).

“Secara asasnya, terdapat dua faktor pencetus utama yang memberikan impak kerugian dan kerosakan kepada produktiviti sektor agrikultur, iaitu peningkatan suhu dan corak perubahan taburan hujan yang tidak menentu.

“Perubahan corak cuaca boleh memberi kesan kepada pengurangan pengeluaran makanan dan sumber hasilan agrikultur yang mana perubahan suhu yang terjadi secara langsung memberi kesan kepada struktur habitat, bekalan makanan dan keberadaan sumber sedia ada,” katanya kepada Bernama.

Antara perkara utama dalam perubahan iklim ialah jangkaan peningkatan paras air laut yang akan menenggelamkan tanah agrikultur yang subur di kawasan yang berada di bawah paras laut seperti Belanda dan Jakarta, Indonesia.

Namun, data terkini cerapan perubahan imbangan jisim ais di Artik (Ogos 2021) yang dikeluarkan oleh Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA), menunjukkan julat pencairan dan pembentukan ais adalah stabil sejak ia dicerap pada 2002.

“Indikator ini belum menunjukkan sebarang kesan besar perubahan iklim semasa dunia dan kerana itu ia wajar diambil perhatian serius dalam persediaan rapi menghadapi krisis bencana alam pada masa hadapan,” katanya.

Kesan terhadap pertanian

Pakar bidang teknologi makanan itu juga menjelaskan peningkatan suhu dunia akan memberikan tiga peringkat impak terhadap jaminan makanan iaitu impak berterusan, sementara dan kekal.

Impak berterusan akan menyebabkan perubahan hasil akibat peningkatan tahap air masin di kawasan berdekatan pesisir pantai yang kebanyakannya perkampungan nelayan, manakala impak sementara akan meningkatkan kegagalan penuaian disebabkan corak cuaca yang ekstrem sehingga mempengaruhi kemunculan makhluk perosak dan wabak penyakit yang tidak terjangka akibat perubahan mendadak.

Impak kekal pula adalah kehilangan tanah kekal dan tidak dapat dipulihkan disebabkan oleh kenaikan paras laut, katanya.

“Ekosistem marin juga akan turut terancam disebabkan faktor-faktor perubahan iklim persekitaran seperti peningkatan suhu dan kemasinan air laut yang mengganggu kestabilan ekosistem dan rantaian pemakanan kompleksnya,” kata beliau.

Selain itu, perubahan iklim juga akan memberi impak kepada sistem semula jadi dan kehidupan manusia seperti pengeluaran makanan dan rantaian pasaran komoditi dengan implikasinya terhadap ketersediaan makanan dan keupayaan untuk diakses oleh masyarakat.

Oleh itu, pembuat dasar sedia ada bakal berdepan dengan pelbagai kesukaran yang tidak terjangka dalam menilai dan memperhalusi ancaman yang akan terjadi bagi memastikan jaminan makanan kekal konsisten.

Namun, kerajaan boleh mengambil langkah-langkah drastik untuk jangka panjang dan pendek. Contohnya untuk jangka panjang, kerajaan boleh memperkenalkan geran penyelidikan khas bagi meningkatkan daya tahan tanaman (manipulasi genetik) dan sumber tanah yang dapat memperkaya sumber elemen makro dan mikro genetik yang tinggi untuk cuaca ekstrem.

Selain itu, perlu juga diperkenalkan spesies tanaman baharu yang lebih berdaya tahan dan tempoh penuaian yang singkat agar dapat meningkatkan pengeluaran hasil walaupun dalam keadaan cuaca semasa.

Untuk jangka pendek pula, adalah amat penting bagi kerajaan memperhebat kempen gaya hidup dan diet pemakanan alternatif dan mampan bagi mengurangkan lagi kesan GHG yang kian meningkat.

“Pengambilan diet yang sihat dan mampan antaranya ialah pengambilan sumber bijiran, buah-buahan, kekacang dan sayur-sayuran.

“Proses mitigasi perubahan diet sebegini bergantung sepenuhnya pada pilihan pengguna dan tahap kesedaran mereka terhadap isu ini,” katanya.

Semua ini sangat bergantung pada dasar semasa kerajaan berdasarkan kepada tahap kehidupan sosial masyarakat, budaya, alam sekitar, faktor tradisi dan keupayaan sumber pendapatan semasa penduduk, jelas beliau.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Promosi guna aplikasi digital, rancak semula pelancongan negeri

SHAH ALAM, 2 OKT: Mulai 1 Oktober, Selangor memasuki fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) seterusnya mengecapi pelbagai kelonggaran tatacara operasi piawai termasuk rentas daerah.

Justeru, orang ramai berpeluang mengunjungi pelbagai destinasi menarik setelah sekian lama ‘terkurung’ akibat pandemik.

Sempena Hari Pelancongan Sedunia pada 27 September, wartawan Nadiah Zamlus dan Alang Bendahara menemu bual Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad bagi mengupas perancangan membangunkan semula industri pelancongan.

Apakah langkah Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor bagi membantu penggiat industri pelancongan selepas berhadapan pandemik?

Kesan pandemik terhadap industri pelancongan amat teruk, khususnya di Selangor. Banyak pengendali pelancongan terpaksa menamatkan operasi dan banyak hotel ditutup.

Bagi memastikan industri pelancongan di Selangor kekal bernyawa, Tourism Selangor bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi negeri.

Pada 2020, Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor memperuntuk RM2.6 juta kepada industri pelancongan negeri. Pada 2021, sebanyak RM2.55 juta lagi disalur menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 iaitu:

  • Geran program insentif/aktiviti promosi pelancongan Selangor berjumlah RM1 juta
  • Baucar Pelancongan Selangor 2.0 berjumlah RM1 juta
  • Program Latihan Digitalisasi Pelancongan Selangor berjumlah RM300,000
  • Insentif sekali bayar kepada 17 persatuan penggiat pelancongan negeri sebanyak RM255,000

Apakah langkah untuk mempergiat kegiatan pelancongan selepas pandemik?

Sebagai langkah mempergiatkan aktiviti industri pelancongan, kempen Tourism Selangor sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021 dijalankan bermula 20 September hingga 8 Oktober menerusi platform digital dan laman media sosial rasmi Tourism Selangor.

Antara strategi kempen ialah sesi Live-Talk Edisi WTD 2021, webinar bersama penggiat industri pelancongan, siri ‘Virtual Tour’ ke tempat pelancongan Selangor serta penganjuran Focus Tourism Talk (pelancongan perubatan), Program CSR dan Sesi Tiktok Live.

Bagi meneruskan momentum positif demi merancakkan kembali industri pelancongan negeri pasca pandemik, kami anjurkan Konvensyen Global Pelancongan Selangor (Tourism Selangor Global Convention).

Konvensyen ini akan diadakan pada 29 dan 30 November depan. Ia merangkumi Malam Anugerah Pelancongan (MTC Golf Award 2021). Konvensyen ini akan disusuli dengan Pameran Jualan Pelancongan mulai 3 hingga 5 Disember.

Kempen Pusing Selangor Dulu! yang memfokuskan pasaran pelancongan domestik sejak Disember 2020 diteruskan. Kita melantik selebriti tempatan Che Puan Juliana Evans sebagai duta kempen. Setakat ini, kempen menerima sambutan menggalakkan terutama platform digital dengan lebih 20 juta capaian sejak pelancaran kempen.

Bagi pasaran antarabangsa, Tourism Selangor menganjurkan kempen ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere!’ Kempen digerakkan menerusi pelbagai atas talian seperti sesi webinar di lokasi luar negara, walaupun pelancongan antarabangsa masih belum dibenarkan.

Duta Kempen, Che Puan Juliana Evans bersama gegantung promosi kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah pada 17 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI


Bagaimana kelonggaran rentas daerah membantu menghidupkan semula kegiatan pelancongan?

Industri pelancongan negeri sudah bergerak mengikut tatacara operasi piawai (SOP) fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN). Perkembangan positif ini membolehkan penduduk Lembah Klang merentas daerah meneroka tempat pelancongan sekitar negeri.

Sehubungan itu, industri ini mampu pulih secara berperingkat kepada keadaan sebelum pandemik. Selain itu, bilangan rakyat Malaysia dewasa menerima dua dos vaksin Covid-19 yang ramai juga membantu pemulihan sektor pelancongan negeri.

Apakah aktiviti pelancongan yang menarik minat orang ramai di Selangor?

Juadah tradisi dan antarabangsa mudah didapati di Selangor. Justeru, ramai yang gemar melakukan aktiviti ‘food hunting’ mendapatkan juadah berkenaan. Kafe hipster dengan dekorasi serta pembentangan hidangan menarik juga menjadi lokasi tumpuan pempengaruh media sosial.

Untuk penginapan, Selangor ada pelbagai hotel bertaraf empat dan lima bintang. Hotel-hotel ini menawarkan pakej penginapan dengan potongan harga menarik pada masa ini. Penginapan berkonsep ‘glamping’ di sini buat pelancong yang ingin dekat alam semula jadi dalam keselesaan juga menarik minat orang ramai.

Bagi pelancongan-agro, Sekinchan di Sabak Bernam merupakan lokasi yang diminati ramai terutama yang gemar berkongsi foto di media sosial. Kawasan sawah padi menjadi latar unik dan menarik untuk sesi fotografi. Sekinchan ada elemen tradisi pemandangan yang sesuai untuk pempengaruh. Di sini juga ada penyedia perkhidmatan mengambil gambar di tepi sawah padi yang menjadi pilihan selebriti Malaysia.

Bagi penggemar keindahan alam sekitar atau sukan lasak, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor destinasi popular. Sky Mirror, Kuala Selangor pula destinasi eko-pelancongan unik iaitu benteng pasir di tengah lautan di sini memantulkan keindahan langit dengan jelas. Ia hanya muncul pada sesetengah tarikh dalam bulan lunar dan sesuai untuk sesi fotografi terutama jika berpakaian berwarna-warni.

Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto Sky Mirror Tour & Travel Sdn Bhd

Apakah strategi mempopularkan destinasi menarik menggunakan aplikasi digital?

Penggunaan aplikasi mobil amat meluas pada tahun 2015. Ketika itu Tourism Selangor menyokong dan menyediakan tenaga pakar untuk aplikasi Discover Selangor. Bagaimanapun, aplikasi itu tidak lagi aktif di pasaran. Tourism Selangor mengalihkan fokus kepada hanya satu platform digital aktif iaitu laman web rasmi; Selangor.Travel.

Ketika ini, Selangor.Travel adalah saluran digital utama yang mempromosi inisiatif Tourism Selangor selain platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, LinkedIn, TikTok dan YouTube.
Selangor.Travel juga boleh dicapai menerusi versi mobil yang lebih ringan dan mesra gajet. Pengguna memperoleh maklumat lengkap industri pelancongan negeri di hujung jari sahaja.

Apakah harapan untuk industri pelancongan dalam Belanjawan Selangor 2022?

Kerajaan Negeri senantiasa memikirkan pemain-pemain industri pelancongan negeri. Bagaimanapun, tahun demi tahun, pandemik Covid-19 menjadi kebimbangan utama dan Tourism Selangor mahu melihat lebih banyak peruntukan disalur memandangkan usaha membangunkan semula industri pelancongan negeri bukan mudah.

Selain meraih semula kepercayaan ramai untuk melancong, infrastruktur pelancongan perlu diberi perhatian selain memupuk kreativiti dalam idea-idea pelancongan negeri. Ini akan menghidupkan industri dan pastinya ia perlu dilengkapi dengan layanan serta perkhidmatan berkualiti.

Pengunjung beriadah di kolam terbesar Taman Tema Sunway Lagoon ketika tinjauan pada 4 Julai 2020. Foto BERNAMA

Apakah pesanan kepada orang ramai yang ingin melancong ketika pandemik Covid-19 masih belum reda?

Pelancong perlu patuh garis panduan dan SOP kendiri termasuk menjaga jarak sosial di tempat umum. Elak pergi ke kawasan sesak. Perlu rancang ke tempat pelancongan yang kurang sesak jika ada pilihan. Dalam pada orang awam meneruskan aktiviti pelancongan, jangan lupa untuk menyokong peniaga tempatan atau pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) di sekitar kawasan yang dituju bagi membangunkan ekonomi setempat.

Orang awam juga boleh membantu menguar-uar di media sosial mereka tentang kepentingan pematuhan garis panduan atau SOP ketika melancong, memuat naik gambar pengalaman percutian ke media sosial atau mengongsikan bahan promosi digital Tourism Selangor kepada rakan, keluarga dan juga kumpulan aplikasi mesej pilihan mereka.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Kembali ke sekolah, antara kelegaan guru dan dilema ibu bapa

Oleh Fatin Najmi Mohammad Shah

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka membabitkan kelompok pelajar tertentu di negeri-negeri fasa dua dan ke atas bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 3 Oktober ini, dijangka dapat meleraikan beberapa isu pendidikan yang membelenggu guru, pelajar dan ibu bapa sejak Covid-19 menular di negara ini pada awal tahun lepas.

Selain menangani isu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang penuh dengan pelbagai ragam dan kisah, pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka dilihat dapat membantu mengurangkan kelesuan dan kehilangan motivasi pelajar yang kini pada tahap membimbangkan.

Meskipun terdapat kekhuatiran dalam kalangan ibu bapa berikutan kes jangkitan yang masih lagi tinggi selain vaksinasi ke atas pelajar belum menyeluruh, perlu ada langkah permulaan ke arah pemulihan bagi memastikan sistem pendidikan terus berjalan lancar.

Beberapa guru yang dihubungi meluahkan kelegaan dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) itu berikutan pelbagai masalah dihadapi mereka semasa melaksanakan PdPR.

Lega sekolah bersemuka dibuka

Nur Sabrina Mansor, 30, meluahkan keterujaan untuk kembali berada di hadapan kelas fizikal dan mengajar secara bersemuka yang baginya adalah kaedah pengajaran terbaik.

Guru pemulihan di Sekolah Kebangsaan Seksyen 27(2) Shah Alam, Selangor itu berkata kepuasan mengajar baginya adalah apabila dapat memantau dan memberikan bimbingan kepada pelajar secara bersemuka.

“Lega apabila pengumuman pembukaan sekolah secara berperingkat ini dibuat. Walaupun ada kebimbangan terutama dengan bilangan kes yang masih lagi tinggi, pengumuman itu memberi ruang untuk membuat persiapan rapi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama.

Selangor kini berada di bawah Fasa Dua PPN dan pengoperasian sekolah secara bersemuka hanya untuk sekolah rendah Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, sementara sekolah menengah pula melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan itu pada akhir Oktober ini.

Pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Matang Kuching beratur untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer di Klinik Kesihatan Kampung Telaga Air pada 8 September 2021. Foto BERNAMA

Turut meluahkan perasaan sama Nor Amirah Abdul Hamid, 31, yang mengakui tidak sabar untuk kembali ke sekolah bertemu dengan pelajarnya secara bersemuka, namun buat masa ini terpaksa akur apabila hanya murid berkeperluan khas dan prasekolah sahaja dibenarkan hadir pada 3 dan 4 Oktober ini untuk sekolah di bawah Fasa Tiga PPN.

Guru subjek Sejarah di Sekolah Kebangsaan Dr Sulaiman, Tampin, Negeri Sembilan itu mengakui cabaran besar yang dihadapinya ketika sesi PdPR ialah memastikan kehadiran murid.

Di sebalik kesukaran itu, PdPR juga mempunyai sisi positif apabila semakin ramai guru menguasai kemahiran teknologi maklumat.

“Saya kini lebih mahir membuat slaid yang interaktif bagi menarik perhatian pelajar berbanding semasa awal pelaksanaan PdPR dahulu.

“Selain itu, kami (guru) dapat mengetahui apakah kekangan yang dihadapi seseorang pelajar apabila kami kerap berkomunikasi secara terus dengan ibu bapa, dan perkara ini menjadikan kami lebih bertimbang rasa serta mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu pelajar,” katanya.

Bantu kembalikan motivasi pelajar

Bagi ibu bapa pula, mereka berharap pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka mengikut fasa itu akan dapat mengembalikan motivasi anak-anak yang sudah lesu mengikuti pembelajaran secara PdPR.

Sekalipun begitu, hakikat penularan Covid-19 masih tinggi di negara ini meletakkan ibu bapa dalam dilema seperti yang dikongsikan oleh Ahmad Qhuffry Hazlan, 36.

Katanya beliau belum dapat memutuskan sama ada akan membenarkan dua anaknya – Ahmad Qhaliff Imran Ahmad Qhuffry, 12, dan Ahmad Qhayyum Zaquan Ahmad Qhuffry, 9, – ke sekolah atau sebaliknya.

Beliau yang menetap di negeri fasa empat iaitu Wilayah Persekutuan Labuan, tetap berasa bimbang walaupun kes jangkitan di wilayah itu sudah terkawal.

“Murid sekolah rendah iaitu Tahun 1 dan Tahun 2 dibenarkan hadir secara penggiliran bermula 17 hingga 31 Oktober nanti, namun kegusaran saya ialah kemampuan guru-guru untuk mengawal murid sekolah rendah ini mematuhi SOP.

“Pada masa sama, saya juga risau jika anak-anak terlalu lama mengikuti PdPR kerana penumpuan mereka terganggu selain kemudahan Internet di Labuan kurang memuaskan, sekali gus menyukarkan mereka belajar dari rumah,” katanya.

Sementara itu, Nor Hasimah Hassan, 58, menyambut positif langkah pembukaan sekolah kerana yakin anaknya, Nur Aliyyah Mohd Raszali, 19, pelajar tingkatan enam di Putrajaya yang sudah lengkap vaksinasi mampu mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan pihak sekolah.

Utamakan kelas peperiksaan

Di sebalik ketetapan KPM berhubung pembukaan semula persekolahan bersemuka, masih ada pakar pendidikan berpendapat langkah itu sepatutnya cuma membabitkan pelajar yang akan berdepan dengan peperiksaan seperti STPM dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor berpendapat kesesakan di sekolah boleh dikawal sekiranya hanya pelajar peringkat menengah atas dibenarkan hadir sehinggalah pandemik dapat dikawal dengan lebih baik atau sehingga 90 peratus rakyat Malaysia yang layak telah lengkap vaksinasi.

“Pelajar peringkat menengah rendah masih boleh meneruskan PdPR seperti biasa,” katanya kepada Bernama.

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan mengaminkan doa sebelum menduduki peperiksaan itu pada 22 Februari 2021. Foto BERNAMA

Sementara itu, kebenaran kehadiran untuk sekolah rendah pula lebih wajar bagi murid Tahun 2 sahaja manakala murid-murid Tahun 1 perlu meneruskan PdPR.

Kaedah itu dijangka lebih baik berbanding kehadiran secara penggiliran kerana tidak semua sekolah mempunyai infrastruktur dan prasarana yang lengkap dan berfungsi.

“Kekeliruan dan kesukaran juga dijangka berlaku kepada ibu bapa dalam hal penjagaan anak-anak apabila kaedah penggiliran persekolahan dijalankan.

“Perkara ini menyukarkan terutamanya bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah kerana perlu memantau anak mana yang akan ke sekolah dan yang mana duduk di rumah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan KPM lebih luwes dalam hal persekolahan bersemuka itu dengan mengambil kira pandangan dan budi bicara pengetua dan guru besar yang lebih memahami situasi ketersediaan guru, sumber dan infrastruktur teknologi maklumat di sekolah masing-masing.

Jangan risikokan pelajar

Sependapat dengan Azlin Norhaini, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, UKM Dr Anuar Ahmad meluahkan kebimbangan dengan risiko yang akan dihadapi pelajar terutamanya mereka yang belum divaksinasi.

Mengambil contoh kes di Texas, Amerika Syarikat bulan lepas, Anuar berkata sekolah di sana terpaksa ditutup kembali selepas beberapa minggu dibuka apabila berlakunya penularan Covid-19 secara besar-besaran di sekolah.

“Selain itu, sistem penggiliran dijangka memberi bebanan kepada guru apabila mereka terpaksa mengajar dua kali.

“Saya cadangkan sistem penggiliran ini dijalankan mengikut tingkatan, yang mana lebih mudah untuk guru-guru mengajar dan pemantauan pematuhan SOP juga mudah untuk dijalankan,” katanya.

Anuar berkata keupayaan guru untuk mengajar secara PdPR juga sudah meningkat jika dibandingkan semasa awal pelaksanaannya dahulu.

“Kejayaan PdPR ini dapat dilihat berdasarkan keputusan cemerlang SPM 2020 dan Laporan Tahunan 2020 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,” katanya.

Mengulas mengenai isu itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan tidak menafikan pelan perancangan pembukaan sekolah yang diumumkan tersebut adalah komprehensif, rapi dan tuntas, namun ada beberapa isu yang perlukan kepastian.

“Beberapa perkara harus diambil kira seperti berapakah peratusan vaksinasi yang menjamin sesebuah sekolah itu selamat? Jika hanya 30 peratus warga sekolah yang divaksinasi, adakah ia selamat?” katanya.

Beliau berkata dasar pemberian vaksin kepada pelajar yang berumur 12 hingga 15 tahun juga harus dimuktamadkan kerajaan bagi melancarkan proses PdP secara bersemuka itu.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pengarah: Pulihara HSKLU telan kos jutaan ringgit, mudah terbakar (SOAL JAWAB)

SHAH ALAM, 10 SEPT: Sebanyak 536.7 hektar daripada keseluruhan 991.90 Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dinyahwarta susulan kemerosoton 40 peratus kawasan hutan itu.

Hutan simpan Sungai Panjang di Sabak Bernam, Ampang Pechah (Hulu Selangor) dan Bukit Broga (Hulu Langat), keseluruhannya seluas 581.48 hektar, menggantikan lokasi tersebut.

Wartawan Khairul Azran Hussin dan Amin Ridzuan Ishak mewawancara Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid bagi mendapatkan perincian.

Temu bual itu dibuat dua hari sebelum Kerajaan Negeri menarik balik nyahwarta pada 8 September kecuali tanah Kampung Orang Asli Busut Baru dan rancangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Tiga kawasan gantian kekal sebagai hutan simpan.

Boleh Dato’ ulas perkara berbangkit berkaitan Orang Asli susulan cadangan menyahwarta sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU)?

Asalnya mereka dipindahkan apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibina di Sepang. Mereka dipindah ke kawasan berhampiran HSKLU. Sebenarnya bukan dalam hutan simpan sebaliknya diberi tanah kerajaan lain.

Sebahagian kawasan tanah gambut dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara dilihat dari menara tinjau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ketika lawatan pada 26 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ketika itu, mereka dijanjikan Kerajaan Negeri (zaman Barisan Nasional) tanah seluas 1,000 ekar. Isu yang sering dibangkit adalah kawasan tidak cukup, hanya 870 ekar. Bermaksud kekurangan lebih 100 ekar. Melalui nyahwarta, kita cukupkan rizab itu. Salah satu komponen nyahwarta HSKLU adalah mencukupkan rizab tersebut. Jadi, Kerajaan Negeri (sekarang) cukupkan kepada 1,000 ekar kepada mereka yang berpindah supaya tiada lagi isu tuntutan.

Maksudnya, kerajaan melunaskan janji memberi penempatan kepada Orang Asli di sekitar Kuala Langat. Itu janji dan kerajaan tepati walaupun ambil masa lebih 20 tahun. Tetapi kita berjaya selesaikan isu Orang Asli.

Dalam isu HSKLU, ada beberapa kawasan diteroka sejak Orang Asli berpindah ke sana. Sebahagiannya dijadikan jadi rizab untuk mereka. Tetapi ada kawasan lain yang turut ditanam. Kita tengok macam mana sama ada pihak berkuasa negeri beri permit atau musnahkan. Perkara itu akan diputuskan kemudian.


Benarkan dakwaan ada tanah perkuburan Orang Asli di HSKLU?

Ada ditunjukkan satu kubur, satu sahaja. Dalam lawatan dengan EXCO alam sekitar (Hee Loy Sian), berkemungkinan penduduk berpindah dari Sepang mengebumikan mayat di hutan simpan.

Asalnya HSKLU dikategori hutan pengeluaran, aktif keluar kayu balak berdasarkan pengurusan hutan. Konsepnya keluar pokok kayu matang dan cukup had batasan tebangan. Ada ditinggal untuk pusingan seterusnya. Sebab itu, kita tidak jangka ada Orang Asli. Kalau ada daripada awal, mesti ada bantahan aktiviti pembalakan tetapi tiada.


Benarkah dakwaan sumber makanan penduduk Orang Asli terjejas jika nyahwarta diteruskan. Apakah pula spesies haiwan terdapat di HSKLU?

Dari segi pencarian makanan dan kebergantungan Orang Asli kepada hutan, ada hidupan liar untuk sumber daging. Spesies HKSLU banyak mamalia kecil, contohnya musang dan tupai. Tiada mamalia besar macam gajah, seladang, harimau dan badak. Mungkin ada tapir tetapi sepanjang pengetahuan saya tiada.

Saya tidak pasti kegunaan hidupan liar kecil kepada Orang Asli. Secara am, kita tidak nampak kebergantungan Orang Asli terhadap kawasan itu untuk mencari makanan. Mengapa? Sebab kawasan itu aktif pembalakan. Jadi, jika ada kebergantungaan itu, tentu sejak mula lagi mereka bantah proses pembalakan.


HSKLU diklasifikasi berisiko tinggi kerana mudah terbakar. Boleh Dato’ jelaskan usaha Jabatan Perhutanan negeri dan agensi lain untuk mencegahnya?

Secara purata sejak awal tahun 2000 kawasan itu terbakar. Jika memandu di lebuh raya berhampiran, boleh nampak asap. Kebakaran memusnahkan banyak pokok. Bila tumbuh semula, nampak dari atas memang hijau, tetapi pokok baru hendak naik kadang-kala terbakar semula.

Secara am, keseluruhan HSKLU kategori hutan paya gambut. Namun, kawasan itu tersisih dari kompleks hutan besar. Maksudnya, jadi ‘pulau’ dan dihimpit pembangunan pesat di sekeliling hingga menyebabkannya tersepit.

Ditambah lagi penerokaan haram, buat tanaman kontan dan sawit yang menambah tekanan kepada hutan. Ada program pulihara tetapi kita berdepan pencerobohan dan kebakaran. Kita tanam, tahun depan terbakar.

Kos menanam kawasan rosot termasuk penyelenggaraan dan rawatan mencecah RM30,000 satu hektar. Untuk cegah kebakaran, kita bina parit dan telaga tiub untuk mendapat bekalan air secukupnya apabila berlaku kebakaran.

Kita juga mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar yang menggajikan anggota Rela. Bina menara untuk kesan penceroboh. Di Malaysia, banyak kebakaran akibat perbuatan manusia. Ada pemancing tangkap ikan. Buat unggun dan merokok. Ia menyebabkan hutan terbakar. Inilah konflik Jabatan Perhutanan negeri. Kos tinggi dan berdepan masalah sama setiap tahun.


Difahamkan proses ini mengambil masa lama untuk dilulus selain pelbagai prosedur termasuk sesi pendengaran awam. Boleh Dato’ jelaskan perjalanannnya?

Dalam kes HSKLU, cadangan diterima sejak 2014 lagi. Lama orang memohonnya. Pada 2019, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan satu permohonan untuk dibangunkan. Dari situ, baru ada peranan Jabatan Perhutanan negeri. Namun, Selangor ada syarat supaya perlu adakan proses pendengaran awam untuk mendapat pandangan pelbagai pihak.

Pada 2020, pendengaran dibuat. Kita terima ulasan dan pandangan semua pihak termasuk dari luar negara. Selepas proses itu, kita iklankan, buat sesi pendengaran awam sebanyak tiga kali. Jawatankuasa pendengaran awam ditubuh dan dipengerusikan EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian yang turut dianggotai agensi teknikal.

Jawatankuasa ini akan putuskan sama ada hendak teruskan nyahwarta atau sebaliknya. Bukannya Jabatan Perhutanan seperti sangkaan ramai. Kita sebagai penjaga cuma hendak pastikan hutan itu kekal. Dasar di Selangor, sekurang-kurangnya 30 peratus keluasan kekal hutan simpan. Dasar itu masih kekal. Sekarang keluasan hutan 31.6 peratus daripada seluruh keluasan negeri.


Boleh Dato’ jelaskan jumlah aduan dalam sesi pendengaran dan proses selepasnya?

Memang apabila kita buat pendengaran awam, hampir semua bantah dengan pelbagai alasan berulang dan disokong beberapa individu atau badan bukan kerajaan (NGO). Laporan pendengaran awam kita sediakan, kategorikan dan bentangkan kepada jawatankuasa pendengaran awam. Tugasan kami hanya itu. Yang lain terserah jawatankuasa untuk tentukan. Ia dianggotai agensi negeri dan persekutuan. Bukan hanya wakil Selangor, ada dari kementerian dan wakil teknikal dari kerajaan pusat.

Hasil perbincangan selepas menilai bantahan, saya tidak pasti kerana tidak hadir. Tetapi ada wakil dari Jabatan Perhutanan. Semua beri ulasan, akhirnya bantahan didapati tidak begitu kukuh untuk kekalkan kawasan itu. Keputusan dipersetujui untuk nyahwarta.

Keputusan itu dibawa kepada EXCO untuk diputuskan, barulah dibawa keluar. Sebab itu, kita kata proses itu bukan mudah. Kalau kita tengok, bermula 2014 hingga 2021, hendak nyahwarta ambil masa tujuh tahun. Harus lalui pelbagai proses. Pihak berkuasa kerajaan negeri akhirnya putus atas faktor pembangunan sosioekonomi negeri, maka dinyahwarta dan diganti kawasan lain.


Bagaimana penilaian Jabatan Perhutanan terhadap tiga kawasan gantian itu?

Menariknya, Jabatan Perhutanan dapat kawasan ganti yang kualitinya lebih baik. Pertama, dari segi kedudukan hutan simpan. Kita dapat hutan simpan di Ampang Pechah, Hulu Selangor, Bukit Broga, Semenyih yang terkenal dengan kegiatan pendakian dan Sungai Panjang, Sabak Bernam yang juga hutan simpan paya gambut.

Sebahagian kawasan tanah gambut dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara dilihat dari menara tinjau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ketika lawatan pada 26 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kenapa saya kata lebih baik? Hutan simpan di Sungai Panjang dan Ampang Pechah merupakan tambahan kepada kompleks hutan sedia ada. Bukannya tersisih. Kita boleh perbesarkan dan memudahkan kawalan. Memang Bukit Broga tersisih tetapi ia sebagai sebuah bukit lebih mudah dikawal.

Kita sebenarnya telah lama minta dijadikan hutan simpan. Tetapi agak sukar untuk tukar tanah kerajaan kepada hutan simpan. Banyak daerah perlukan tanah untuk pembangunan.

Oleh sebab kompleks ini belum terusik dan diceroboh, kita boleh kata Jabatan Perhutanan bertuah kerana dapat kawasan gantian itu.


Boleh Dato’ jelaskan lebih lanjut keistimewaan dua kawasan gantian terbabit?

Kawasan gantian di Sungai Panjang dan Ampang Pechah menyambung kompleks hutan lebih besar. Kalau tengok dalam konteks Selangor mungkin tidak besar sangat. Tetapi ia sebenarnya kompleks hutan Banjaran Titiwangsa mengunjur dari Utara bawa ke Selatan hingga ke Johor.

Maksudnya, Selangor menyumbang kepada kompleks lebih besar. Ia bersambung di sempadan dengan hutan simpan Pahang manakala di sebelah utara bersambung dengan hutan simpan di Perak. Di bahagian bawah pula mengunjur ke hujung banjaran iaitu di Hutan Simpan Panti, Johor. Ia bermula dari Hutan Simpan Bintang Hijau, Kedah.

Kompleks ini penting untuk tulang belakang hutan tengah (CFS). Kita bertuah kerana dapat menambah keluasan. Ini penting untuk menjadi kawasan perayauan spesies mamalia besar seperti harimau, gajah selain hidupan liar rusa serta beruang. Mereka memerlukan kawasan luas dan tidak terusik. Maksudnya konflik manusia dan haiwan dapat dikurangkan.

Keluasan HSKLU pula tidak boleh ditambah kerana dihimpit pembangunan. Sukar buat pemuliharaan atas sebab pencerobohan dan saban tahun terbakar. Mungkin ada yang membangkitkan kepentingan menjaga spesies endemik. Dalam zaman sains dan teknologi, ia boleh dibawa dan tanam semula. Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Selatan tidak selamat kerana terdedah kepada kebakaran. Baru hendak cambah sudah terbakar.

Jabatan Perhutanan negeri berbelanja hampir RM1 juta untuk lawan kebakaran tahun lalu. Tahun ini RM500,000 perbelanjaaan mengaktifkan pam, beli peralatan dan bayar elaun. Kos memadam kebakaran lebih tinggi berbanding penanaman pokok.

Apabila buat penanaman di kawasan terosot, dua tiga tahun selepas itu terbakar. Kira-kira 90 peratus punca kebakaran akibat manusia. Jarang petir jadi punca kerana hutan kita bukan terlalu kering hingga kena petir hutan boleh terbakar.


Apakah HSKLU mempunyai ciri-ciri hutan simpan baik?

Umumnya semua hutan ada peranannya. Tidak dinafikan ia mampu menjadi tebatan banjir, menyerap karbon dan mengeluarkan oksigen. Sesebuah kawasan seluas 0.5 hektar yang ada pokok boleh dikategori sebagai hutan.

Kompleks hutan kita ada kepelbagaian spesis dan banyak belum dikenal pasti. Cuma dahulu, sebut hutan orang kaitkan dengan pembalakan. Sekarang masyarakat tahu fungsinya yang lain. Hanya dengan kualiti baik, hutan dapat berfungsi. Contohnya Hutan Simpan Raja Musa yang komponen spesiesnya tidak terganggu dan kompleksnya lebih besar membolehkannya menjalankan fungsinya.

Tetapi hutan simpan kecil seperti HSKLU hanya tinggal 1,000 hektar. Sebahagian besarnya belukar akibat diteroka dan terbakar. Fungsinya ada tetapi kualitinya kurang. Sebab itu, kita bertuah mendapat gantian lebih baik.

Hanya 56 peratus HSKLU yang dinyahwarta. Masih ada baki kekal hutan termasuk kubur dan penempatan Orang Asli. Kawasan dinyahwarta hanya kawasan mudah terbakar dan diceroboh.

Jabatan juga akan cuba menentusahkan dakwaan segelintir pihak bahawa ada spesies tertentu di HSKLU. Kita akan minta mereka tunjukkan supaya pemuliharaan dapat dibuat. Kalau betul ada musang pandan seperti dakwaan, kita akan minta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tangkap, pelihara dan biakkan di kawasan lebih selamat.

Spesies endemik yang didakwa hanya ada di HSKLU juga akan ditentukan. Misalnya, Meranti Paya yang dikatakan ada di situ tetapi sebenarnya juga ada tempat lain. Pokok itu juga ada di Hutan Raja Musa dan Sungai Panjang. Dari segi kepentingan kurang kerana ada di hutan lain.


Apakah ulasan Jabatan Perhutanan Selangor terhadap cadangan nyahwarta sebahagian HSKLU?

Biasanya kita tidak sokong kerana membabitkan hutan simpan. Sebab itu, orang kata tengok Jabatan Perhutanan pun bantah. Memang betul tetapi kita beri syarat. Jika diluluskan mereka kena ganti. Dalam Akta Perhutanan pun bukan kata tidak boleh langsung (nyahwarta) tetapi harus diganti dengan keluasan dan kualiti sama. Apabila Kerajaan Negeri bermesyuarat, ada timbang tara dan kajian dari segi kepentingan sosioekonomi, kita terima. Syaratnya harus diganti.


Bahagian HSKLU yang dinyahwarta terletak berhampiran pembangunan. Berdasarkan pengalaman, apakah risiko terhadap kawasan hutan simpan yang tepu pembangunan di sekitarnya?

Apabila buka kawasan bersempadan, tentu terdedah kepada penerokaan dan pencerobohan. Contohnya ada orang menceroboh untuk tanam pisang di tanah seluas satu ekar. Kalau 20 orang, maka 20 ekar dibuka. Lama kelamaan jadi luas.

Kedua, timbul banyak isu penguatkuasaan kerana banyak aduan bakal diterima termasuk pencerobohan bagi aktiviti riadah. Contohnya, Bukit Lagong, Taman Templer, Selayang sering ada aduan orang mendaki dan masuk tanpa kebenaran. Setiap aduan harus ada tindakan. Ikhlasnya kami tidak mampu kesan semua pencerobohan kerana sempadan hutan luas.

Maksudnya NGO dan aktivis alam sekitar kena terima hakikat HSKLU tidak lagi selamat untuk spesies flora dan fauna?

Mereka kena terima hakikat. Kita tidak boleh kawal kebakaran saban tahun. Tahun ini hampir RM2 juta dibelanja. Bomba contohnya terpaksa guna pesawat amfibia dan kerah 100 anggota.

Saya faham NGO mempertahan hak Orang Asli. Tetapi adakah kita hendak melihat Orang Asli terus duduk di hutan? Adakah kita tidak mahu Orang Asli mengikut arus pembangunan?

Langkah kerajaan banyak bawa arus pembangunan kepada Orang Asli.

Kita bukan hendak hilangkan budaya mereka, boleh diteruskan di kampung baharu. Adakah kita hendak biarkan mereka kais pagi makan pagi dengan kutip herba dan berburu sedangkan tiada haiwan di HSKLU.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Rezeki sayang kucing, usahawan raih RM70,000 sebulan

SHAH ALAM, 9 SEPT: Dek kecintaan mendalam terhadap kucing, Muhamad Ashrof Halil, 28, sanggup melabur hingga RM122,000 bagi membuka kedai penjagaan haiwan berkenaan.

Untuk memperoleh modal sebanyak itu bukan mudah. Terasa peritnya. Terpaksa meminjam RM50,000 daripada ibu selain sumber lain bagi menjayakan impiannya.

Dibuka atas nama Omot Pet Shop pada September 2017, sebuah jenama kedai konsep makanan haiwan antarabangsa, hiasan dan susun atur premis turut diubah suai selaras jenama tersebut.

Kini, anak muda lulusan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Kuala Lumpur – Malaysia France Institute boleh menarik nafas lega. Perniagaannya mampu menjana jualan RM70,000 sebulan.

Mengimbau cabaran peringkat awal berniaga di kedainya di Cyberjaya, Muhamad Ashrof meluahkan detik-detik kesusahan berniaga bahan keperluan kucing peliharaan termasuk produk makanan, aksesori dan khidmat dandanan.

“Pada bulan pertama, jualan hanya cecah RM2,000 sahaja. Hendak bayar sewa kedai RM3,000 sebulan pun tidak lepas. Itu belum lagi bil lain-lain dan gaji pekerja.

Kecintaan terhadap kucing mendorong Muhamad Ashrof Halil membuka kedai haiwan peliharaan menggunakan modal sendiri pada 2017. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Maklumlah kedai baharu, kawasan juga baharu. Lot kedai yang saya sewa pula terletak di blok belakang, agak tersorok sedikit dan masih banyak kosong menyebabkan kurang dikunjungi orang,” katanya kepada Selangorkini.

Emosi terganggu

Beliau mengakui emosinya agak kecamuk ekoran sambutan perniagaannya kurang memberangsangkan. Bukan sekali dua terlintas betapa perniagaan itu bakal berakhir seawal bulan pertama lagi.

“Kalau berterusan macam ini, lingkuplah aku,” bisik Muhamad Ashrof kepada diri sendiri.

Sedangkan, sebelum kedai itu dibuka, pendapatan khidmat mendandan kucing dari rumah ke rumah boleh tahan, sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Namun, sebaik sahaja kedai beroperasi, hal sebaliknya pula berlaku.

Muhamad Ashrof melawan rasa putus asa. Beliau membulatkan tekad untuk meneruskan perniagaan. Dibantu seorang pekerja, mereka ligat membuat promosi menerusi Facebook dan media sosial lain.

Usahanya membuahkan hasil pada bulan kedua. Jualan meningkat, memadai untuk menampung kos operasi perniagaan dan modal pusingan. Tidak sampai lima bulan kemudian, jualan mencecah RM40,000 sebulan.

Beliau juga bersyukur. Meski pertama kali pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, pendapatan meningkat lebih 10 peratus. Kebanyakannya jualan dalam talian.

Sebaik sahaja kelonggaran diberi termasuk kebenaran operasi perniagaan haiwan peliharaan, jualannya melonjak 30 peratus.

Pun begitu, perkhidmatan hotel kucing yang disediakan di tingkat atas kurang mendapat sambutan ekoran larangan rentas daerah.

Grow PKNS

Namun, Muhamad Ashrof tidak cepat berpuas hati. Beliau mengorak langkah dengan menyertai Program Usahawan Siswazah (Grow) PKNS selama enam bulan.

Ternyata keputusannya tepat. Jualan meningkat selepas beliau menyertai program itu pada Jun tahun lalu. Banyak perkara baharu dipelajari termasuk teknik pemasaran menggunakan pengiklanan Google.

Muhamad Ashrof Halil menyertai Program Usahawan Siswazah (Grow) PKNS selama enam bulan dan berjaya melonjak pendapatan syarikatnya pada suku tahun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Menerusi teknik itu, saya hanya keluarkan modal RM10 sehari untuk iklan kedai dan iklan itu memperoleh 120,000 tontonan dalam sebulan.

“Hasilnya, pendapatan syarikat bagi suku tahun 2021 hampir menyamai pendapatan keseluruhan tahun 2020,” kata pengarah urusan Omot Sdn Bhd itu.

Melalui bimbingan tenaga pengajar berpengalaman, beliau menaik taraf perniagaan kepada syarikat sendirian berhad selepas dua bulan menyertai Grow PKNS.

Status sendirian berhad diperoleh meningkatkan lagi keyakinan pembekal dan pelanggan. Lebih-lebih lagi, Muhamad Ashrof terpilih sebagai pemenang anugerah peserta Grow terbaik bagi sektor peruncitan.

Kemajuan perniagaannya mendorong beliau membantu golongan yang hilang pekerjaan akibat wabak Covid-19. Mereka antaranya bekas pramugari dan ibu tunggal. Pada masa ini, beliau menggaji lima pekerja bagi melancarkan operasi perniagaannya.

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Balada si penghibur jalanan, lumrah ditangkap dan diusir

TIGA hari bermalam dalam lokap Penjara Pudu antara pengalaman tidak akan dilupakan pemuzik jalanan sepenuh masa Meor Yusof Aziddin Meor Hassan.

Bukan macam sekarang, dahulu ‘buskers’ dipandang serong. Macam-macam label negatif diberi. Peminta sedekah dan lebih teruk lagi penagih dadah.

Pendapatan pula tidak seberapa. Menyanyi sampai kering tekak belum tentu dapat RM50 sehari. Tidak pasal-pasal pula terpaksa tidur dalam lokap.

Bagi Meor Yusof Aziddin, kini berusia 54 tahun, peristiwa dicekup di kaki lima Pasar Seni di ibu kota Kuala Lumpur pada 2005 tetap segar dalam ingatan.

Sedang asyik bernyanyi sambil memetik gitar, dari lagu Iwan Fals, M Nasir, Kembara hingga Broery Marantika, diikuti tepukan gemuruh pendengar, tiba-tiba tiga lelaki dari celah penonton merentap tangannya. Walau tidak berseragam, bapa empat anak dapat mengagak mereka anggota polis. Memang betul, mereka dari Cawangan Khas.

Meor Yusof Aziddin Meor Hassan dipilih sebagai residen buskers di KL Sentral sejak 2010. Foto ihsan Meor Yusof Aziddin Meor Hassan

Meor Yusof Aziddin dibawa ke Penjara Pudu. Bukan beliau seorang sahaja, beberapa penghibur jalanan juga senasib dengannya. Ujian air kencing dibuat.

“Pada masa itu, saya ada tiga anak. Dalam fikiran, terbayang wajah isteri dan anak-anak terutama anak kedua Adam ketika itu berumur enam tahun kerana dia autisme.

“Saya dapat bayangkan, isteri mesti risau saya tidak balik. Macam-macam dalam fikiran, bagaimana keadaan isteri mahu uruskan keluarga tanpa saya dan macam-macam lagi,” katanya kepada Selangorkini.

Meor Yusof Aziddin dibebaskan pada hari ketiga penahanan selepas ujian menunjukkan beliau negatif dadah. Kejadian sama berulang beberapa tahun kemudian, kali ini Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur City Centre. Cuma tidak sampai bermalam dilokap, sekadar soal siasat di lokasi sahaja.

Lali dihalau

Selain kerenah pihak berkuasa, penghibur jalanan termasuk beliau juga lali dihalau pemilik kedai makan. Sesetengahnya tidak senang kehadiran kelibat mereka, dianggap mengganggu pelanggan.

Meor Yusof Aziddin mula mencebur diri dalam bidang muzik sejak hujung 80-an. Sekitar awal 90-an, beliau berpeluang mengadakan persembahan di kelab malam.

Pada 2000, beliau mula bergerak sebagai seniman jalanan, malah menjadikannya sebagai karier empat tahun kemudian.

Bukan mudah. Pendapatan tidak menentu. Kalau bernasib baik, boleh dapat lebih RM50 sehari untuk menyara isteri dan empat anaknya. Tambahan pula membesarkan Adam, kini 22 tahun, cabarannya berbeza dengan anak biasa.

Dapur tak berasap juga menjadi perkara biasa. Namun Meor Yusof Aziddin dan keluarga cekal mendepani dugaan hidup. Disokong isteri yang setia, Adam menjadi tunjang kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Rakam album

Sebenarnya, adik kepada penyanyi Sohami Meor Hassan yang popular dengan lagu Epilog Cinta Dari Bromley bukan calang-calang pemuzik. Beliau pernah merakam album terbitan M Nasir pada 1993.

Sayangnya, album itu tidak sempat memasuki pasaran berikutan isu komersial. Beliau tidak berputus asa. Pada 2001, beliau menghasilkan album menerusi syarikat rakaman indie Nebiula Production dengan judul Pesta Jiwa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan 10 album berkonsep indie, semuanya bertema kehidupan dan kemanusiaan.

Meor Yusof Aziddin Meor Hassan aktif mengadakan persembahan sejak hujung 80-an. Foto ihsan Meor Yusof Aziddin Meor Hassan

Walaupun hasil jualan tidak selaris album komersial, yang penting beliau puas. Apatah lagi, sokongan penggemar muzik indie sedikit sebanyak menambah pendapatannya. Lebih-lebih lagi, diam di kota metropolitan serba-serbinya duit.

Selain muzik, Meor Yusof Aziddin juga berbakat dalam mencipta lagu dan menulis. Buku pertama beliau, Sembang Tepi Jalan diterbitkan pada 2009 diikuti Syurga Yang Hilang, Sembang Kehidupan dan Gila Muzik. Buku ini masih dijual di Shopee dan Lazada.

Beliau juga pernah menjadi kolumnis tetap di Malaysia Insider, Malaymail Online dan Malaysian Insight, kebanyakannya berkisar isu muzik, budaya dan kehidupan.

Tidak seperti dahulu, pemuzik jalanan kian diiktiraf pelbagai pihak. Dari kerajaan hingga ke syarikat swasta dan badan bukan kerajaan. Bahkan, mereka sering mendapat undangan persembahan.

Meor Yusof Aziddin sendiri dipilih Keretapi Tanah Melayu Berhad sebagai residen buskers di KL Sentral sejak 2010. Beliau juga antara 500 pemuzik jalanan yang terlibat dalam Kita Buskers Selangor, program yang menempatkan mereka ke enam pusat pemberian vaksin.

Bersama anak ketiga, Aqeef, 19, mereka memetik gitar di PPV Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 24 Ogos lalu.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, ramai pemuzik jalanan tertekan kerana putus mata pencarian. Alhamdullilah, Kerajaan Selangor peka. Negeri lain wajar mengikuti contoh langkah ini,” katanya.

Sepanjang PKP, beliau membuat persembahan menerusi akaun Facebooknya. Biarpun pendapatan berkurangan hampir separuh berbanding persembahan di luar tetapi beliau cekal mendepani Covid-19.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Banyak kepuasan buat kerja amal kebajikan

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Secara jujur, tidak semua insan sanggup mengabdikan diri melakukan sesuatu yang tidak menjanjikan pulangan besar termasuklah kerja amal, apatah lagi kebanyakannya dibuat secara sukarela.

Di sebalik pujian, tidak kurang juga ada yang dilemparkan dengan kata-kata nista dan sindiran, seperti yang dikongsikan sendiri oleh Datuk Chua Sui Hau, 47, pengasas serta pengerusi pusat kebajikan One Hope Charity and Welfare yang berpejabat di Padang Lalang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Biarpun niat murni beliau mahu membantu insan dalam kesusahan tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama, masih ada terdengar suara hasutan yang meminta beliau hanya menghulurkan bantuan kepada kaum Cina semata-mata.

Tidak mengalah dengan hasutan itu, Chua tetap bertekad untuk menyempurnakan impiannya iaitu membantu mereka yang dalam kesempitan, kesusahan sekali gus mengembalikan keceriaan insan yang perlu dibantu, tanpa mengira latar belakang, kaum serta agama yang dianuti.

Menyingkap kisah penubuhan One Hope Charity and Welfare, Chua berkata, semuanya bermula pada tahun 2002 ketika beliau berumur 27 tahun.

Pada masa itu, beliau mempunyai karier yang stabil namun acap kali Chua melihat dalam masyarakat ada ahli keluarga yang ditimpa kesusahan, menghidap sakit kritikal serta dihimpit masalah kewangan untuk melunaskan bayaran rawatan. Bukan sahaja kesihatan semakin merosot bahkan ada yang sehingga meninggal dunia.

“Kita maklum, ada pesakit yang tidak boleh tunggu lama, perlu segera jalani pembedahan, jadi saya tubuh One Hope Charity untuk membantu orang yang seperti itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sepanjang menjalankan kerja-kerja amal, Chua tidak menafikan ada sahaja cabaran yang terpaksa dilalui ketika mengendalikan pusat kebajikan berkenaan.

“Sejak hari pertama memulakan kerja amal, saya menanam hasrat ingin membantu orang Melayu, Cina dan India. Tidak juga kira agama, saya akan memberi pertolongan yang sama kepada mereka yang benar-benar memerlukannya. Saya pernah dikritik dengan sindiran dan kata-kata nista oleh masyarakat sekeliling yang cuba menghasut untuk tidak menolong kaum lain selain kaum saya.

“Bagaimanapun, semuanya itu tidak langsung mematahkan semangat dan menjadi penghalang kepada saya. Saya pernah diaju pertanyaan oleh segelintir pihak mengapa harus bantu kaum lain selain kaum Cina sedangkan setiap kaum mempunyai persatuan kebajikan masing-masing yang boleh membantu mereka yang susah,” katanya.

Kepercayaan dan sokongan masyarakat jadi kekuatan

Pendorong utama untuk Chua tekad meneruskan kerja amal sudah tentunya kepercayaan dan sokongan masyarakat umum.

Beliau berasa puas apabila melihat ramai pesakit yang dahulunya menderita kini ceria dan semakin sihat menjalani kehidupan bersama keluarga.

“Kita semua maklum, sebenarnya ramai rakyat Malaysia yang pemurah dan baik hati. Mereka memberi sumbangan tanpa mengira kaum dan agama. Bagi mereka, walaupun warna kulit kita berbeza, namun darah kita semuanya berwarna merah dan nyawa lebih bernilai daripada segala-galanya,” jelasnya.

Chua berharap agar lebih ramai masyarakat bersatu padu memperjuangkan hal kebajikan kerana ia dapat melahirkan suasana hidup bertoleransi dan muhibah.

“Sebelum pandemik Covid-19 ini, ibu bapa sering datang mengunjungi pejabat One Hope Charity dengan anak-anak mereka yang sudah pulih dari rawatan. Ketika melihat kanak-kanak ini yang diselamatkan di Unit Rawatan Rapi sebelum ini tersenyum riang sambil memeluk ibu bapa mereka dan berlari-lari di sekitar kawasan pejabat membuatkan saya gembira kerana mereka kembali pulih dan lincah,” katanya sambil menambah, ada juga yang sebelum ini mempunyai masalah pendengaran kini mampu mendengar semula.

Menurut Chua, beliau juga berasa bangga apabila semakin banyak pertubuhan kebajikan muncul dalam masyarakat, masing-masing menabur bakti untuk sama-sama membantu tanpa mengira kaum dan sekaligus dapat memupuk semangat perpaduan.

Mahu tubuh hospital kebajikan

Apabila ditanya tentang impian masa hadapannya, Chua berkata beliau mahu membuka sebuah hospital kebajikan dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

Fokus utamanya mahu memberikan sinaran kegembiraan kepada ramai pesakit di luar sana.

Di musim pandemik Covid-19 ini, Chua berkata, pihaknya aktif menyokong hospital bagi memerangi koronavirus yang boleh membawa maut ini.

Antara aktiviti yang dilakukan termasuk menderma peralatan perubatan, peralatan perlindungan peribadi (PPE), pelitup muka serta penyerahan dua buah katil ICU (Unit Rawatan Rapi) kepada Wad HDU Cardiothoracic Hospital Pulau Pinang.

“Selain itu, kami juga membuka Pusat Pemberian Vaksin One Hope Charity di Auto City, Juru, Bukit Mertajam. PPV ini adalah yang pertama dibuka oleh NGO (Badan Bukan Kerajaan) di negara ini,” katanya.

Kepuasan yang sukar ditafsir

Bernama turut menemu bual Maziiana Mhd Azhari, Ketua Projek Aktiviti Kemanusiaan & Media NGO di Al-I’tisam Relief Program yang berpejabat di TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Menurut beliau, melakukan kerja amal merupakan kepuasan yang tidak terhingga dan sukar untuk ditafsir dengan kata-kata apabila berpeluang melibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan.

Aktiviti sedemikian, katanya sudah sebati dalam dirinya sejak dari kecil bermula dari aktiviti keluarga yang suka memberi makanan kepada insan yang memerlukan.

“Walaupun ketika itu keluarga saya juga bukanlah dari kalangan orang senang namun niat dan sikap ibu yang suka membantu dan berkongsi rezeki. Sikap ini menjadi kebiasaan sehingga saya dewasa.

“Apabila diberi peluang sepenuh masa menjadi pekerja sosial ianya merupakan satu hadiah yang paling bermakna. Saya sangat berharap saya terus istiqamah dalam kerja-kerja kebajikan ini hingga akhir hayat,” kongsi wanita itu dalam perbualan telefon bersama Bernama baru-baru ini.

Selain menjadi pekerja kemanusiaan di NGO Al-I’tisam, Maziiana turut aktif menyertai aktiviti sukarelawan bersama NGO lain serta menjalankan aktiviti amal sendiri bersama kawan-kawannya.

Sepanjang sembilan tahun melaksanakan kerja amal itu, antara misi kemanusiaan di luar negara yang disertai Maziiana adalah di Kemboja sejak tahun 2012, misi kemanusiaan ke Gaza di Semenanjung Utara Gaza (Februari 2013), Bangladesh (2015) serta misi kemanusiaan Gempa Bumi di Palu, Sulawesi.

Manakala misi kemanusiaan di dalam negara yang pernah disertai Maziiana ialah Misi Banjir (seluruh negeri) bermula tahun 2014 hingga kini. Terkini membantu mangsa banjir di Yan, Kedah.

Selain itu, beliau turut menyertai misi Bantuan Dapur Panas (memasak masakan panas), misi Bantuan Pek Makanan termasuk perkampungan orang asli dan misi Bantuan Joran (memberi bantuan perniagaan kepada peniaga kecil).

Selain aktif dengan badan yang disertainya, Maziiana turut melakukan kerja amal secara peribadi bersama kenalan rapatnya antaranya mengutip sampah di pantai, memberi makan kepada gelandangan, membersihkan rumah asnaf, bantuan pek makanan asnaf serta membersihkan kubur tidak berwaris.

Kerja amal di luar negara

Maziiana berkata, sebelum berlakunya pandemik Covid-19, beliau kerap berada di Kemboja setiap tiga bulan bagi memastikan projek di negara itu dijalankan dengan baik dengan dibantu oleh sukarelawan Kemboja yang merupakan anak tempatan Kemboja.

Menurut Maziiana, dalam menjalankan misi kemanusiaan itu sudah tentu harapan utama adalah misi yang disertainya itu mencapai matlamat.

“Kami berharap, menerusi misi yang kami jalankan ini, generasi yang kurang berkemampuan di negara berkenaan akan berubah dan keluar daripada kemelut kemiskinan.

“Miskin ini bukan satu pilihan tetapi kita mampu mengubahnya. Di samping itu dapat mengurangkan beban penderitaan yang ditanggung walau adakalanya bantuan yang diberikan hanya seketika,” katanya yang bertanggungjawab dalam mengendalikan video serta bertindak sebagai jurukamera sepanjang misi berlangsung.

Bagi Maziiana, peluang melihat sendiri keadaan sebenar yang berlaku di negara lain banyak memberi keinsafan kepada dirinya.

“Kita boleh mendidik hati dan minda kita sendiri dengan bermuhasabah diri dengan setiap apa yang dilihat di hadapan mata. Selain itu kita sedar bahawa kita tidak senantiasa berada dalam zon selesa kerana di sekeliling kita lebih ramai yang memerlukan bantuan,” katanya.

 

Rencana ini bersempena dengan sambutan Hari Amal Antarabangsa yang disambut pada 5 Sept.

– BERNAMA