Categories
RENCANA WAWANCARA

Kebenaran kaji kanabis, khabar gembira bagi penyelidik

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Tidak mustahil satu hari nanti kanabis, atau lebih dikenali sebagai ganja dalam kalangan masyarakat tempatan, menjadi antara tanaman yang mampu menjana ekonomi negara khususnya bagi industri perubatan, apabila kajian meluas tentang potensinya dapat dilakukan selepas ini.

Ini susulan kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar baru-baru ini, iaitu mereka yang berkenaan boleh mengemukakan permohonan penggunaan kanabis untuk perubatan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bagi dinilai dan didaftar sekiranya ada bukti saintifik yang mencukupi.

Kenyataan itu disambut baik oleh kebanyakan penyelidik dan pakar merawat ketagihan dadah yang ditemu bual Bernama, dengan masing-masing melihat perkembangan tersebut sebagai lembaran baharu dalam usaha meneroka potensi kanabis untuk perubatan yang sebelum ini berdepan jalan sukar.

Bahkan Bernama difahamkan beberapa pakar merawat ketagihan dadah sudah mengemukakan permohonan kajian berkaitan penggunaan kanabis untuk penyakit tertentu susulan kenyataan Khairy itu.

Dalam pada itu, mereka berharap tumbuhan tersebut dapat ditanam sendiri oleh penyelidik bagi memudahkan pemerolehan bekalan bahan untuk kajian mereka.

NEGARA PENGELUAR

“(Langkah ini) sangat bertepatan, sebab penyelidik sudah lama berusaha tetapi gagal kerana sangat sukar mendapatkan kelulusan etika perubatan disebabkan stigma tumbuhan herba ini yang dikaitkan dengan ketagihan, sedangkan bukan semua bahagian pokok hemp (antara tumbuhan kanabis) boleh menyebabkan ketagihan.

“Misalnya CBD atau cannabidiol (antara kandungan aktif dalam pokok kanabis), tidak menyebabkan ketagihan atau ‘high’ malah berpotensi sebagai ubat untuk autisme, tahan sakit, antimurung dan mengubati penyakit ketagihan ganja itu sendiri,” kata Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid kepada Bernama.

Kanabis atau nama saintifiknya Cannabis, adalah tumbuhan daripada keluarga Cannabaceae. Antara spesies pokok daripada genus Cannabis ialah cannabis sativa, cannabis indica dan cannabis ruderalis.

Tumbuhan ini menghasilkan kompaun dipanggil cannabinoid dan difahamkan terdapat lebih 100 jenis cannabinoid di dalamnya – paling lazim ditemukan ialah CBD dan THC (Delta 9 tetrahydrocannabinol).

Bagaimanapun kadar kandungan CBD dan THC dalam setiap varieti tumbuhan itu adalah berbeza. Marijuana misalnya, antara tumbuhan kanabis dengan kandungan THC yang sangat tinggi, berbeza dengan hemp yang langsung tidak mempunyai THC tetapi tinggi kandungan CBD.

Di Malaysia, semua varieti kanabis diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kandungan bahan aktifnya yang bersifat psikoaktif, iaitu THC yang merujuk kepada semua bahan yang mampu memberi kesan kepada otak, sekali gus boleh menyebabkan perubahan dari segi kewarasan, tingkah laku dan kebolehan berfikir.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata stigma menebal dalam kalangan masyarakat terhadap kanabis perlu dikikis selain diterapkan kesedaran bahawa tumbuhan itu tidak hanya membawa keburukan, sebaliknya berpotensi menjadi ubat bagi mereka yang ketagihan ganja.

“Didiklah orang awam mengenai kebaikan tumbuhan ini. Masyarakat tidak perlu bimbang kerana sekiranya diperakukan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk digunakan nanti, pesakit memerlukan preskripsi doktor untuk mendapatkannya, bukan boleh didapati sewenang-wenangnya.

“(Bagi saya) keterbukaan menteri kesihatan dalam isu ini bukan sahaja memberi nafas baharu kepada penyelidik bagi memulakan kajian penggunaan CBD mahupun ketum untuk membantu pesakit, tetapi juga membuka ruang mendidik masyarakat mengenainya.

“Mana tahu suatu hari nanti Malaysia boleh menjadi pengeluar ubat-ubatan berasaskan ketum dan hemp,” kata beliau.

KETINGGALAN?

Bagaimanapun untuk sampai di tahap itu, kerajaan wajar menimbang kebenaran tumbuhan tersebut ditanam secara besar-besaran di negara ini.

“Lebih menguntungkan kalau kita buat kajian menggunakan produk dari Malaysia kerana negara akan mendapat keuntungan sebagai antara pembekal ubat CBD dunia. Tetapi kita perlu pantas memandangkan kita agak ketinggalan berbanding negara lain seperti Thailand,” kata Dr Rusdi.

Pada 2018, Thailand membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perubatan, sekali gus menjadi negara pertama serta pemain utama di rantau ini yang berbuat demikian.

Mengulas mengenai perkara itu, pensyarah di Jabatan Anatomi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohamad Aris Mohd Moklas berkata proses liberalisasi penggunaan kanabis terus berkembang di negara berkenaan, apabila pada tahun ini Lembaga Kawalan Narkotik Thailand mengeluarkan kanabis daripada senarai narkotik kategori lima bagi membolehkan penggunaan lebih meluas untuk tujuan perubatan.

Ini bermakna penanaman kanabis dibenarkan tetapi melalui proses permohonan dan pemantauan yang ketat oleh agensi yang berkenaan.

“Sejarah menunjukkan bahawa kanabis merupakan tanaman yang pernah hidup subur di Malaysia pada satu ketika dahulu dan seharusnya potensi tanaman asli yang berpotensi ini dieksploitasi untuk kemakmuran negara dalam bidang perubatan.

“Apa yang kami perjuangkan ialah membenarkan tanaman kanabis untuk perubatan, maksudnya bila untuk perubatan ia masih lagi dikawal. Mengapa kita tidak mahu memanfaatkan pokok ini hanya semata-mata kerana takut nanti ramai (jadi) penagih?

“Kita tidak akan ke mana selagi terus beranggapan begitu, walhal negara jiran kita, Thailand, sudah maju ke depan memanfaatkan peluang yang ada. Saya percaya setiap tumbuhan kurniaan Allah ini ada kegunaannya,” kata Mohamad Aris.

Selain Thailand, penggunaan kanabis perubatan dengan dos terkawal dan dipreskripsi oleh doktor atau pakar dilantik turut dibenarkan oleh 30 lagi negara, antaranya Argentina, Australia, Kanada, Itali, Jerman, Turki dan Denmark.

Kanabis digunakan dalam rawatan untuk mengurangkan simptom penyakit tertentu seperti menghilangkan loya yang dialami oleh pesakit kanser semasa rawatan kemoterapi, dan antara ubat-ubatan yang berasaskan THC yang kini berada di pasaran ialah Dronabinol, Nabilone dan Sativex.

KOS MAHAL

Beliau berpandangan ada kewajaran untuk kerajaan menimbang kebenaran tumbuhan itu ditanam di negara ini kerana kenyataan Khairy itu secara tidak langsung akan mendorong lebih ramai penyelidik tempatan membuat kajian tentang tumbuhan tersebut.

Namun, jika ada kekangan untuk mendapatkan bekalan kanabis seperti perlu diimport, kajian tersebut akan memerlukan kos yang tinggi.

Menceritakan pengalamannya semasa membuat kajian praklinikal untuk mengaitkan kebolehan kanabis dalam pencegahan dan perawatan penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer dan Parkinson, beliau mengakui kos untuk membeli bahan kanabis yang mempunyai kandungan aktif THC sangat tinggi.

“Kajian saya berkaitan penyakit Alzheimer menggunakan kanabis bermula pada 2003 semasa membuat ijazah kedoktoran di University of Nottingham, United Kingdom. Masa itu bahan kanabis senang dapat, tidak jadi isu.

“Tetapi masalah timbul apabila saya membuat kajian praklinikal di Malaysia menggunakan model haiwan, memandangkan kanabis agak mahal kerana terpaksa dibeli dari negara luar. Bayangkan, untuk membeli kandungan aktif kanabis iaitu THC dalam ‘pure form’, sebanyak RM30,000 diperlukan bagi satu gram.

“Sebab itu saya amat bersetuju dan menaruh harapan yang sangat tinggi supaya kanabis dapat ditanam di negara ini dalam kerangka perundangan jelas dan ketat. Ini bukan sahaja bagi membantu sektor perubatan tetapi juga ekonomi,” katanya.

Beliau berkata kajiannya itu masih lagi diteruskan bersama-sama pelajarnya bagi mengenal pasti punca Alzheimer dan rawatan sesuai berasaskan THC namun hanya setakat praklinikal, iaitu menguji dadah menggunakan haiwan.

Justeru, beliau berharap susulan pengumuman Khairy itu, kajian dapat dilaksanakan di peringkat klinikal kerana dapatan kajian praklinikal dilihat berpotensi merangsang pertumbuhan sel saraf pada haiwan, iaitu petunjuk positif untuk merawat Alzheimer, penyakit yang berpunca daripada kematian saraf otak.

“Kajian dilakukan secara berfasa, yang mana terdapat kumpulan tikus yang diaruh (ubat mencetuskan atau mempercepat) menggunakan bahan kimia terlebih dahulu untuk menghasilkan pembentukan Alzheimer pada model tikus.

“Selepas itu barulah tikus tersebut menerima rawatan cannabinoid atau THC dengan dos berbeza dan secara umumnya, saya boleh simpulkan bahawa kanabis mempunyai potensi untuk merawat penyakit Alzheimer yang mana THC mampu merencatkan kemerosotan neuron, dan pada masa sama mengembalikan fungsi normal neuron terjejas,” katanya.

KEBENARAN PERMIT

Berdasarkan dapatan positif kajian itu, termasuk penyelidikan lain di luar negara berkenaan potensi kanabis dalam perubatan, UPM kini dalam proses mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menanam tumbuhan tersebut bagi tujuan R&D perubatan.

Menurut beliau, sudah ada beberapa buah syarikat tempatan dan luar negara menyatakan minat untuk bekerjasama dengan UPM sekiranya permohonan untuk mendapatkan permit tersebut berjaya.

“Sekiranya dapat kebenaran, syarikat tersebut akan melabur untuk membantu dari segi peralatan seperti penyediaan rumah hijau kerana kosnya bukanlah murah. Malah, untuk beli biji benih pokok induk, iaitu pokok asal kanabis pun mahal, mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Untuk tujuan itu, beliau berkata UPM mempunyai beberapa perancangan, antaranya ialah menghasilkan pokok kanabis paling optimum iaitu pokok dengan kandungan THC tinggi, menghasilkan pokok dengan CBD tinggi, dan seterusnya pokok kanabis yang mempunyai kandungan serat tinggi.

Jelas beliau, kandungan serat tinggi itu boleh didapati daripada varieti hemp yang tidak mempunyai sebarang THC tetapi tinggi CBD dan boleh memberi pulangan baik kepada ekonomi negara sekiranya dimanfaatkan.

Ini kerana katanya serat berasaskan pokok kanabis mempunyai ciri unik berbanding serat daripada pokok lain serta berpotensi untuk dikembangkan kerana mempunyai permintaan tinggi di pasaran global selain tempoh kitaran penanaman yang singkat, sekali gus memberi pulangan modal dengan cepat.

“Saya yakin kanabis akan dapat ditanam di negara ini suatu hari nanti. Lagipun perancangan di UPM untuk tujuan R&D perubatan, bukannya komersial, dan saya mengharapkan, sekiranya UPM dapat kelulusan ini, ia akan menjadi titik tolak kepada penanaman kanabis di negara ini untuk tujuan perubatan sahaja.

“Ini kerana kanabis mempunyai nilai potensi yang sangat tinggi, bukan sahaja dari segi perubatan tetapi juga sektor ekonomi negara. Bagi saya, dengan adanya penubuhan badan yang mengawal atur peringkat kebangsaan yang berperanan sebagai pusat kawalan dan pemantauan lebih ketat serta undang-undang yang ada, salah guna kanabis tidak akan menjadi isu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pakar ekonomi: Belanjawan Selangor selesaikan kemelut pascapandemik

SHAH ALAM, 25 NOV: Semua pihak menunggu Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November. Tumpuan utama ialah manfaat rakyat menerusi pembentangan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pada masa sama, belanjawan negeri juga diharapkan berupaya memacu perkembangan Selangor selaku gerbang ekonomi utama negara, yang mempengaruhi 6 juta rakyat Malaysia secara langsung.

Ikuti kupasan pra-Belanjawan Selangor 2022 menerusi wawancara ALANG BENDAHARA bersama Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Afzanizam Abdul Rashid dan Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Bagi pasca Covid-19, apakah perkara yang sepatutnya menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dalam Belanjawan 2022?

Mohd Afzanizam Abdul Rashid

Mohd Afzanizam: Berdasarkan langkah kerajaan persekutuan, saya percaya lebih baik mengekalkan pengembangan dasar fiskal memandangkan pemulihan ekonomi masih peringkat awal dan terdedah kepada kejutan. Ketika ini, wujud kebimbangan terhadap tekanan peningkatan inflasi susulan masalah penawaran global. Maka, Kerajaan Selangor wajar mengekalkan langkah pengembangan bagi membolehkan pemulihan ekonomi lebih konsisten pada 2022 dan tahun seterusnya.

Dr Ahmed Razman: Fokus untuk Kerajaan Selangor dalam Belanjawan 2022 perlu lebih banyak, usaha memastikan tiada individu atau kumpulan tercicir daripada menerima bantuan Covid-19, menyuntik ekonomi negeri dengan memastikan proses pemulihan pelbagai kumpulan khususnya usahawan kecil dan sederhana berjalan lancar dan memulakan usaha menarik pelaburan mampan ke dalam negeri. Kerajaan Negeri juga perlu lebih agresif mencipta lebih banyak peluang untuk warganya dan perniagaan menuju ke arah ekonomi baharu seperti ekonomi digital dan meneroka potensi ekonomi lain seperti Revolusi Industri 4.0, sukan dan industri kreatif.

Sebagai individu yang tinggal di Lembah Klang dan juga rakyat negeri, apa yang dijangkakan daripada belanjawan kali ini?

Mohd Afzanizam: Lazimnya, dasar yang akan dibuat adalah pemberian tunai, geran perniagaan dan pinjaman mikro. Saya fikir ia akan terus relevan selagi warga Selangor, khususnya yang terjejas akibat Covid-19 sangat bergantung kepada bantuan untuk pulih. Selain bantuan kewangan, peningkatan kemahiran menerusi latihan dan juga padanan kerja juga penting kerana pembangunan kapasiti baik untuk manfaat jangka panjang.

Dr Ahmed Razman: Warga Selangor berharap lebih banyak peluang untuk mereka meningkatkan kemahiran dan latihan semula bagi memastikan mereka mendapat upah kerja lebih banyak memandangkan kos hidup meningkat saban tahun terutama di Lembah Klang. Wujud kebimbangan bilangan miskin bandar meningkat dan jurang pendapatan melebar antara bandar dan luar bandar.

Maka, jenis pelaburan yang dibawa penting untuk tidak perlu lagi bergantung kepada industri pembuatan yang menggunakan tenaga kerja murah, tetapi menumpukan industri berasaskan perkhidmatan seperti perkhidmatan kewangan memandangkan Tun Razak Exchange (TRX) akan beroperasi tidak lama lagi dan kemungkinan juga industri agro makanan yang khusus dalam pertanian urban. Jika Kerajaan Negeri dapat menarik pelaburan dan memulakan jenis industri seperti ini, rakyat mampu meningkatkan pendapatan menerusi kerja berkemahiran tinggi dan upah lebih banyak.

Pada Belanjawan Selangor 2021, salah satu fokus utama negeri ialah pendigitilan dan adakah perkara itu masih relevan untuk tahun depan?

Mohd Afzanizam: Pendigitalan akan berlanjutan untuk tempoh yang lama. Ia akan terus diguna sama ada dengan atau tanpa campur tangan kerajaan. Kerajaan Selangor perlu sedar tindakan mengabaikannya akan mendatangkan risiko pada kerajaan dan melebarkan lagi jurang pendapatan dan ketidaksamaan kekayaan. Sesetengah bidang yang perlu ada berkaitan dengan pendigitalan antaranya pemilikan telefon pintar, kemampuan melanggan internet, kelajuan data dan liputan. Justeru, sesetengah prasarana adalah bawah kerajaan persekutuan.

Sehubungan itu, penyelarasan antara persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan amat penting bagi memastikan kejayaan pendigitalan. Geran perniagaan yang ditawarkan peringkat persekutuan terutama dalam bidang berkaitan penggunaan digital dalam kalangan pemain industri kecil dan sederhana amat penting. Maka, penyelarasan yang baik akan membantu meningkatkan kadar pendigitalan yang membantu pemain industri kecil dan sederhana di Selangor.

Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

Dr Ahmed Razman: Ya, ia masih relevan memandangkan fasa pertama program Jalinan Digital Negara akan selesai menjelang 2022 dan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertajuk “Laporan Ekonomi Digital Sedunia 2021” menumpukan fakta bahawa ekonomi seluruh dunia menuju pendigitalan dan jika kita tidak mengejarnya, kita akan ketinggalan. Negara-negara Asia Pasifik masih ketinggalan di belakang negara maju dalam aspek langganan telefon bimbit dan jalur lebar.

Penggunaan 5G dalam kalangan negara Asia Pasifik hanya sekitar 11 peratus berbanding Amerika Utara (47 peratus) dan China (46 peratus). Justeru, untuk mengekalkan daya saing dan meningkatkan rangkaian serta komunikasi dalam negeri, pendigitalan wajar kekal sebagai fokus utama untuk belanjawan tahun depan.

Belanjawan Selangor 2022 akan menumpukan peningkatan hasil negeri, pendidikan, inisiatif membantu mereka yang terjejas kerana Covid-19?

Mohd Afzanizam: Hasil negeri berkait rapat dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri (KDN). Dengan peningkatan perdagangan global, Selangor akan mendapat manfaat dan membolehkannya meningkatkan upaya mengutip lebih banyak cukai. Pendidikan adalah mengenai pembangunan kapasiti. Jadi, kita tidak salah dengan pendidikan. Yang penting keusahawanan. Kita telah melihat ramai rakyat Malaysia terbabit dengan perniagaan hasil perkembangan teknologi memberi pilihan untuk orang Selangor menambah pendapatan. Sehubungan itu, latihan keusahawanan perlu digalakkan supaya rakyat lebih tahu bagaimana untuk mengendalikan perniagaan, terutama apabila pendigitalan dalam setiap perniagaan.

Dr Ahmed Razman: Saya setuju perkara ini patut diberi perhatian tahun depan memandangkan 2022 adalah masa untuk menjana hasil lebih tinggi susulan peningkatan keyakinan pembeli. Pada masa sama, pandemik menyebabkan pelajar berdepan sukar kerana tidak dapat pendidikan sempurna dan kehilangan banyak jam pembelajaran khususnya dalam kalangan penduduk di luar bandar dan golongan berpendapatan rendah (B40).

Adakah perlu lebih banyak bantuan dan insentif lain kepada pengusaha industri kecil dan sederhana? Mengapa?

Mohd Afzanizam: Covid-19 menjejaskan banyak industri antaranya pelancongan, makanan dan minuman, peruncitan dan hiburan. Meski larangan rentas negeri ditarik semula, rentak pemulihannya akan mengambil masa. Sementara itu, akan ada lompang kutipan hasil, tidak sebaik dahulu. Justeru, geran dan pinjaman mikro akan membantu industri kecil dan sederhana dalam urusan perniagaan khususnya dalam bidang berkaitan modal kerja. Ini peluang untuk meminta industri kecil dan sederhana untuk menaik taraf perniagaan supaya layak mendapat bantuan kewangan. Jika tidak, ia hanya urusan perniagaan biasa bagi mereka.

Dr Ahmed Razman: Ya, penting untuk terus membantu mereka memandangkan industri kecil dan sederhana masih dalam fasa pemulihan dan memerlukan masa serta bantuan kewangan sebelum mereka boleh menjana pendapatan seperti sebelum ini dan menjadi mampan. Bagaimanapun, penekanan perlu diberi kepada jenis bantuan untuk memastikan kemampanan perniagaan berbanding bantuan sekali beri.

Pakej bantuan untuk pihak yang terkesan kerana Covid-19 telah diberi semasa pandemik. Adakah program kebajikan wajar diteruskan atau perlu mencari kaedah lebih kreatif?

Mohd Afzanizam: Antara isu utama dalam pemberian bantuan kewangan adalah kriteria terutama untuk program pemberian tunai. Kebiasaannya, ia bersandarkan tahap pendapatan. Pendapatan mungkin tidak memberi gambaran sebenar. Contohnya, seorang pesara yang pencennya separuh daripada gaji. Jadi mereka boleh dikategorikan sebagai B40 jika gaji akhir adalah RM4,000 yang bermakna mereka menerima RM2,000. Tetapi jika kita lihat lebih teliti misalnya rumah, simpanan dan mungkin elaun bulanan yang diterima daripada anak-anak bekerja, mereka mungkin tidak layak untuk bantuan. Pokoknya, kita perlu lebih cakna dalam menilai penerima bantuan bagi mengelakkan ketirisan dan pembaziran.

Muhammad Huzaifi Ismut (kiri) bersama rakan menunjukkan kotak makanan diterima ketika penyerahan bantuan makanan kepada mahasiswa di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 8 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI


Dr Ahmed Razman:
Program kebajikan wajar diteruskan kerana masih ramai yang memerlukan bantuan dan bilangan orang yang tidak bekerja masih tinggi. Bagaimanapun, harus ada usaha bersepadu antara Kerajaan Negeri, swasta, badan bukan kerajaan, persatuan peniaga dan orang perseorangan. Selangor mencatat kutipan hasil RM1.79 bilion daripada sasaran iaitu RM2.2 bilion tahun ini setakat 30 September 2021.

Sehingga hari ini, kira-kira RM819.27 juta atau 67.18 peratus dibelanjakan ke atas pengurusan. Belanja pembangunan sebanyak 47 peratus atau RM523.45 juta. Lebihan dianggar RM449.15 juta. Adakah perkara sama berlaku di negeri lain atau peringkat nasional?

Mohd Afzanizam: Prestasi fiskal tidak sama dalam kalangan negeri-negeri. Selangor adalah penyumbang KDN terbesar negara dan prestasinya akan menggambarkan prestasi nasional. Berdasarkan angka, Kerajaan Selangor mempunyai kemampuan kewangan untuk pengembangan belanjawan.

Dr Ahmed Razman: Ini pengurusan fiskal yang baik oleh Kerajaan Negeri berikutan seluruh negara dan dunia pada 2021 terjejas akibat perintah kawalan pergerakan dan kelembapan ekonomi. Tentunya setiap negeri mempunyai isu dan cabaran tersendiri seperti kerajaan persekutuan. Namun yang penting kerjasama antara negeri dan persekutuan perlu dipertingkat untuk mendapat penyelarasan lebih baik dalam membantu orang memerlukan.

Kerajaan Selangor membelanjakan kira-kira suku daripada RM2.2 bilion Belanjawan Selangor 2021 untuk program kebajikan. Belanjawan negeri 2022 akan mengimbangi aspek pembangunan dan kebajikan. Pandangan?

Mohd Afzanizam: Saya fikir lebih baik menilai penerima bantuan kewangan tahun ini dan bagaimana keadaan mereka pada tahun depan. Jika ada antaranya telah pulih, maka bantuan itu wajar dihentikan. Dengan kata lain, pemantauan perlu cekap bagi memastikan semua sumber dioptimumkan.

Dr Ahmed Razman: Saya setuju perlunya ada keseimbangan antara pembangunan dan kebajikan. Ia keseimbangan yang baik dan seharusnya kita mempunyai lebih daripada satu kaedah bagi menyelesaikan semua masalah. Kerajaan harus turun padang dan memahami keperluan semua kumpulan dan membantu mengikut keperluan itu. Kebertanggungjawaban dan ketelusan aspek penting untuk memastikan segala usaha dan hasil perbelanjaan memberi keputusan yang diingini.

Kerajaan Selangor belanjakan hampir RM1.1 bilion untuk membantu rakyat mendepani pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu antaranya Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin dan Pakej Kita Selangor. Apa komen berhubung langkah-langkah ini?

Mohd Afzanizam: Ini jelas menunjukkan Kerajaan Selangor bertindak berdasarkan persekitarannya. Kejutan ekonomi kerana Covid-19 memerlukan reaksi proaktif campur tangan Kerajaan Negeri. Tindakan seperti ini melegakan rasa resah orang ramai yang bimbang dengan pandemik yang memberi impak kepada kehidupan.

Dr Ahmed Razman: Saya fikir langkah Kerajaan Selangor mengusahakan semua program ini menunjukkan sisinya sebagai kerajaan prihatin namun pada masa sama memastikan semua kumpulan terjejas mampu pulih dan menjadi lebih berdaya tahan untuk tahun ini dan seterusnya.

Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media khas berhubung perkembangan terkini Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasminya di Shah Alam pada 15 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI


Apa nasihat atau pendapat untuk Belanjawan Selangor 2022 bagi negeri yang mempunyai populasi seramai 6.56 juta orang, teramai di Malaysia sekali gus ekonominya yang terbesar mengikut KDN?

Mohd Afzanizam: Pandangan saya ialah peranan Kerajaan Selangor mengemudi ekonomi negeri terutama ketika pandemik amat penting. Kita telah melihat hasil daripada kelulusan pelaburan besar sepanjang tahun. Pada masa sama, Kerajaan Negeri perlu berjaga-jaga dengan pengurusan fiskal. Saya melihat Kerajaan Negeri mempunyai perkara yang diperlukan untuk berkembang baik pada tahun depan dan tahun seterusnya.

Dr Ahmed Razman: Belanjawan Selangor 2022 akan menjadi belanjawan mesra rakyat dan peniaga. Saya berharap belanjawan ini mampan dan berani, yang bermakna kerajaan sanggup meneroka portfolio baharu untuk mempelbagaikan ekonominya dan menjana lebih banyak pendapatan untuk kerajaan tahun depan.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Covid-19 ubah landskap berita misi kemanusiaan

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 235 juta orang di seluruh dunia memerlukan bantuan kemanusiaan dan perlindungan pada tahun ini, iaitu peningkatan kepada satu dalam 33 orang berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Penularan pandemik Covid-19 memburukkan lagi situasi kerana jangkitan virus maut itu turut memberikan kesan hebat terhadap mereka yang terlibat dalam misi kemanusiaan di kawasan krisis, baik akibat konflik bersenjata, kesihatan mahupun bencana alam.

Turut terkesan ialah organisasi media yang mana menurut penganalisis keselamatan dan politik Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, merupakan antara pemain terpenting dalam pelaporan krisis kemanusiaan.

Menurut pensyarah kanan di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara itu, penularan Covid-19 memaksa kerajaan-kerajaan di dunia mengubah dasar mereka dan tadbir urus di negara masing-masing menjadi lebih ketat, merangkumi semua aspek termasuk hal berkaitan misi kemanusiaan.

“Untuk menangani cabaran ini, sesebuah organisasi media perlu terus peka dengan perkembangan perubahan tadbir urus global itu, selain menjadikannya penanda aras baharu untuk media, selaku pengantara di antara kawasan konflik dan masyarakat antarabangsa, bagi membaiki tatacara operasi piawai (SOP) pelaporan berita mereka,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Susun strategi sesuai

Noor Nirwandy berkata untuk memudahkan pelaporan berita, organisasi media perlu memahami tiga garis panduan yang dibentuk oleh PBB, iaitu penjagaan hak asasi manusia, kemajuan manusia dan keselamatan kemanusiaan.

“Berlandaskan tiga garis panduan ini, organisasi media boleh menyusun strategi bagi menterjemahkan isu dan krisis kemanusiaan yang berlaku itu dalam bentuk penyampaian berita yang mudah difahami masyarakat umum. Bukan mudah untuk pembaca (audiens) memahami punca sebenar sesuatu krisis serta bentuk bantuan yang diperlukan penduduk di kawasan terjejas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata media juga perlu menjadikan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB sebagai antara panduan utama dalam pelaporan berita berkaitan krisis kemanusiaan agar isu tersebut terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat umum.

Setiausaha Agung MAPIM Zulhanis Zainol (tiga, kiri) menyampaikan bantuan barangan keperluan seperti gasolin, selimut dan pek makanan spada Misi Bantuan Kemanusian Musim Sejuk ke-10 dan ke-11 di kem pelarian Beyrouti, Beqaa Tengah pada 5 April 2019. Foto BERNAMA

Menurutnya, ini kerana hati manusia pada amnya mudah tersentuh apabila melihat ada manusia lain berada dalam kesusahan walaupun berbeza kewarganegaraan, bangsa dan agama.

Sehubungan itu, katanya, menjadi tanggungjawab organisasi media untuk terus melaporkan dan menyalurkan berita berkaitan krisis kemanusiaan di dalam dan luar negara.

“Kita ambil contoh berdasarkan sasaran ke-16 SDG, iaitu keamanan, keadilan dan institusi yang kukuh. Organisasi media di Malaysia khususnya boleh menterjemahkan pelaporan mereka dalam bentuk komparatif, iaitu membandingkan elemen kemanusiaan yang sedang tergugat di sesebuah negara berisiko tinggi dengan situasi di negara kita.

“Dari situ kita dapat lihat adakah negara kita berada di landasan terbaik dalam membantu mereka yang memerlukan, berdasarkan pada usaha-usaha dan bantuan kemanusiaan yang telah kita salurkan,” katanya.

Lancar perang saraf

Noor Nirwandy turut berpandangan sudah tiba masa untuk organisasi media memulakan perang saraf bagi mendidik ahli masyarakat bahawa krisis kemanusiaan yang berlaku merupakan ancaman serius kerana melibatkan kelangsungan dan ketamadunan manusia untuk jangka panjang.

Jelas beliau, perang saraf boleh dijadikan sebagai antara instrumen propaganda positif yang diharap dapat membuka mata dan memahamkan masyarakat bahawa pengurusan krisis kemanusiaan merupakan tanggungjawab sosial komuniti global.

Selain itu, Noor Nirwandy berkata ada sembilan teras keselamatan negara di bawah Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang perlu difahami oleh organisasi media di negara ini untuk diterjemahkan dalam pelaporan berita mereka agar artikel yang disiarkan tidak memburukkan imej mahupun menggugat keselamatan negara.

“Oleh itu, apabila laporan sesebuah berita itu sudahpun mematuhi konsep Keselamatan Menyeluruh (COMSEC) seperti yang termaktub di bawah DKN, sekali gus ini boleh meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman berkaitan, termasuk krisis kemanusiaan, agar negara kekal aman, tenteram dan berdaulat,” tambahnya.

Mengulas lanjut tentang cabaran baharu yang dihadapi oleh dunia media moden, Noor Nirwandy berkata penularan pandemik Covid-19 misalnya, mengubah landskap pemberitaan dan hal ini menuntut organisasi media beradaptasi dan membina rangkaian perhubungan yang lebih luas, membabitkan kerajaan luar dan agensi keselamatan yang berkenaan.

“Namun, harus dipastikan rangkaian kita itu ialah sumber yang diiktiraf dan mempunyai kredibiliti, dengan itu memudahkan proses pelaporan berita yang benar dan menyeluruh. Rangkaian perhubungan yang cukup besar turut membolehkan media mewujudkan satu segmentasi berbentuk perisikan untuk mendapatkan persepsi orang ramai terlebih dahulu terhadap sesuatu krisis kemanusiaan.

“Media juga perlu memastikan pemberita mereka mendapat akses kepada naskhah dan manual keselamatan kendiri mengikut piawaian antarabangsa serta memahami asas persekitaran yang dilihat boleh menimbulkan ancaman keselamatan.

“Selain itu, wartawan juga harus diberikan latihan kecemasan dan kawal selia kendiri sekiranya berlaku kecemasan. Perbanyakkan juga kursus keselamatan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan supaya mereka boleh mempersiap diri mereka bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika menjalankan tugas di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Hayati erti tugas

Sementara itu, bekas pemberita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Syed Azwan Syed Ali menasihati pengamal media agar mendalami erti profesion mereka, iaitu melaporkan perkara yang benar secara objektif dan bermanfaat kepada masyarakat umum, bukan sekadar mencari bahan berita.

Berkongsi pengalamannya sepanjang 16 tahun menjadi pemberita termasuk menyertai beberapa misi kemanusiaan di zon konflik, beliau berkata antara yang paling penting ialah mengkaji terlebih dahulu isu kemanusiaan serta situasi di kawasan yang bakal dituju.

“Sediakan pelan kontingensi kendiri untuk sebarang kemungkinan, selain memastikan telefon bimbit dan capaian Internet berfungsi dengan baik,” katanya yang pernah bertugas di beberapa organisasi media tempatan.

Seorang rakyat Palestin mengebarkan bendera tanda solidariti buat negaranya di Washington, Amerika Syarikat pada 18 Mei 2021. Foto AFP

Selain itu katanya wartawan juga perlu mempunyai kekuatan mental dan fizikal sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pascatrauma.

“Wartawan mungkin lalui pascatrauma selepas liputan di zon konflik dan bencana. Saya sendiri pernah tengok mayat, budak kecil makan tanah, terperangkap dalam insiden tembak-menembak dan mereka yang cedera teruk sebab perang. Ada mangsa putus tangan, jadi macam mana nak tangani situasi ini,” katanya.

Menurutnya, antara insiden yang tidak boleh dilupakan ialah beliau pernah diacu pisau dan senjata oleh tentera pemisah ketika menyertai Tim Misi Kemanusiaan Mercy Malaysia ke Yaman pada penghujung 2019.

“Kira-kira 11 malam hari kejadian, tim kami ditahan di sebuah pusat pemeriksaan di bandar pelabuhan Aden di selatan Yaman. Pemandu kami yang juga warga tempatan dipukul oleh anggota tentera terbabit akibat salah faham, sementara beg kami digeledah. Mujurlah kami semua selamat,” katanya.

Pengalaman yang diraih membolehkan wartawan menjadi mata, telinga dan suara masyarakat yang lebih baik, khususnya menerusi pelaporan berita yang objektif dan adil.

Laporan-laporan sebegini berupaya membantu masyarakat membuat pertimbangan dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengurangkan kesan krisis dalam kalangan mereka yang terjejas.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Radang paru-paru ancam bekas pesakit Covid-19

Oleh Balkish Awang

Artikel ini bersempena Hari Radang Paru-Paru (Hari Pneumonia) yang disambut pada 12 November setiap tahun.

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Pesakit Covid-19 yang jangkitannya berlarutan hingga kepada kategori tiga, empat dan lima boleh mendapat apa yang dipanggil Covid-19 Pneumonia atau Radang Paru-Paru.

Menurut Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa, Covid-19 Pneumonia mula menyerang pesakit apabila mencapai kategori tiga dan ini dapat dilihat apabila terdapat tompok putih di bahagian paru-paru semasa ujian x-ray.

“Kes ini antara yang kerap berlaku dalam kalangan pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima. Kategori satu dan dua kebiasaannya tidak ada pneumonia lagi.

“Bagi pesakit Covid-19 kategori satu dan dua, virus penyakit itu, SARS-CoV-2 hanya menjangkiti bahagian hidung, tekak dan saluran pernafasan atas.

“Untuk pesakit kategori ketiga dan seterusnya, jangkitan Covid-19 sudah mula sampai kepada paru-parunya yang menyebabkan tompokan putih serta keradangan paru-paru,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Imej komputer yang dihasilkan oleh Nexu Science Communication bersama Kolej Trinity College di Dublin menunjukkan struktur model betakoronavirus, yang dikaitkan dengan Covid-19, dikongsi bersama REUTERS pada 18 Februari 2020.

 

Parut Pneumonia

Selain Covid-19 Pneumonia, bekas pesakit ini juga boleh mendapat penyakit baharu yang digelar Organizing Pneumonia.

Dr Nurul Yaqeen berkata, Organizing Pneumonia berlaku apabila paru-paru pesakit berparut setelah sembuh daripada Covid-19.

“Organizing bermaksud parut iaitu parut yang disebabkan dari keradangan yang telah sembuh. Umpamanya seseorang itu mengalami luka di kulit, walaupun sudah sembuh parutnya tetap ada. Jadi parut di paru-paru itu yang kita panggil Organizing Pneumonia,” jelasnya.

Menurut beliau, pesakit Covid-19 yang datang ke hospital terutama mereka yang kategori tiga, empat dan lima, virus SARS-CoV-2 sudah menyerang tisu paru-paru seterusnya menyebabkan keradangan.

“Keradangan ini juga dipanggil kecederaan paru-paru. Kebiasaannya, setelah pesakit sembuh, keradangan atau kecederaan itu akan sembuh. Bagaimanapun, bila sembuh, ia akan meninggalkan parut.

“Untuk pesakit Covid-19, biarpun telah sembuh, ada kemungkinan mereka mempunyai parut di paru-paru. Ini menyebabkan berlaku beberapa gejala seperti susah bernafas dan batuk berpanjangan,” katanya, sambil menambah kebanyakan pesakit yang beliau temui adalah pesakit Covid-19 yang sudah discaj dari hospital.

Organizing Pneumonia, kata beliau, boleh juga berlaku kepada pesakit lain yang bukan dijangkiti Covid-19, namun begitu bekas pesakit Covid-19 lebih berisiko untuk menghidap Organizing Pneumonia.
Di samping jangkitan Covid-19, paru-paru berparut juga berlaku akibat individu atau pesakit terdedah kepada habuk dan debu secara berpanjangan atau terdedah kepada jangkitan kulat.

Vaksin cegah Pneumonia

Menurut Dr Nurul Yaqeen, sebelum negara dilanda wabak Covid-19, beliau amat menggalakkan pesakit berisiko untuk mengambil vaksin influenza dan pneumokokal berikutan kebanyakan penyakit penumonia disebabkan oleh bakteria pneumokokal dan virus influenza.

“Kita akan cadang dan nasihatkan untuk memberi vaksin influenza dan pneumokokal kepada pesakit yang kita rasakan berisiko untuk mendapatkan pneumonia ini. Untuk vaksin influenza kita cadangkan pesakit berisiko mengambilnya setiap tahun sebab virus influenza ini boleh bermutasi. Virus ini boleh mengubah struktur genetik, setiap tahun, struktur genetik bertukar, sebab itu pesakit perlu ambil vaksin influenza setiap tahun,” katanya.

Bagi vaksin pneumokokal pula, Dr Nurul Yaqeen berkata individu disarankan atau dinasihatkan untuk mengambil dua jenis vaksin pneumokokal.

“Pertama adalah vaksin pneumokokal diambil sekali seumur hidup, tidak kisah umur berapa hendak ambil vaksin ini namun digalakkan kepada orang berisiko seperti pesakit kencing manis, masalah jantung, warga emas berusia 65 tahun ke atas dan pesakit asma.

“Kedua adalah vaksin pneumokokal yang diambil lima tahun sekali. Jadi secara keseluruhan kita nasihatkan untuk ambil tiga vaksin ini bagi mencegah pneumonia. Walau bagaimanapun sekarang ia bertambah kepada empat iaitu vaksin Covid-19 yang perlu diambil,” katanya.

Petugas kesihatan membuat persiapan mencucuk bebuli vaksin sebelum memberi suntikan secara pandu lalu kepada kakitangan Sirim di Shah Alam pada 31 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 

Tingkat sistem daya tahan

Sementara itu ahli jawatankuasa Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Zubaidi Ahmad berkata, jangkitan virus perlu diberi perhatian rapi kerana ia sejenis virus yang datang dan pergi.
“Ia akan datang setiap tahun, seperti jangkitan virus influenza yang sering berlaku di musim sejuk di negara Eropah dan Amerika Utara. Kadang kala ia merebak ke negara tropika akibat manusia dapat merentas benua dengan mudah menggunakan kapal terbang.

“Jadi akan sukar mengawal kehadiran jangkitan virus. Apa yang boleh kita lakukan adalah meningkatkan sistem daya tahan kita, antaranya, mengamalkan makanan bernutrisi, minum air secukupnya setiap hari bagi mengelakkan dehidrasi serta memastikan cukup rehat serta tidur.

“Selain itu melakukan pergerakan fizikal atau senaman yang bersesuaian, mengawal penyakit yang ada dengan baik, jauhi arak dan rokok dan mengawal stres dengan baik,” katanya.

Mengenai pneumonia, beliau berkata, penyakit ini tidak boleh dipandang ringan kerana berdasarkan Laporan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2019 yang disiarkan pada 30 Oktober 2019, pneumonia adalah punca kematian kedua tertinggi di negara ini iaitu 11.8 peratus bersamaan dengan 13,851 kes, secara keseluruhan.

Selain itu, laporan daripada Jabatan Statistik Malaysia 2019 turut mencatatkan, radang paru-paru adalah punca kematian tertinggi bagi golongan wanita iaitu 12.8 peratus berbanding kanser payudara (malignant neoplasm of breast) iaitu 4.4 peratus.

Bergantung ketahanan tubuh

Gejala teruk pneumonia bergantung kepada tahap ketahanan seseorang, sama ada pesakit mengalami gejala yang ringan atau pun yang berat.

Antara golongan yang berisiko mendapat gejala pneumonia yang teruk adalah warga emas berusia 60 tahun ke atas, kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah, wanita hamil, pesakit kronik seperti pesakit diabetes dan kanser, individu yang obes dan pesakit yang menjalani rawatan steroid, radioterapi atau kimoterapi,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, secara amnya, pesakit akan mengalami batuk berkahak, demam tinggi, sukar bernafas serta rasa letih akibat tidak cukup oksigen.

“Dalam kalangan masyarakat Melayu, pneumonia juga dikenal sebagai paru-paru berair kerana terlalu banyak kahak yang terkumpul pada kantung udara (alveoli).

“Lendiran tersebut tidak berwarna kerana ia merupakan proses keradangan tetapi akan bertukar menjadi kuning apabila terdapat jangkitan kuman di salah satu atau kedua paru-paru. Akibatnya, alveoli akan dipenuhi cairan atau nanah sehingga menyebabkan penghidapnya sukar bernafas, ” katanya.

Ruangan sisi

Penyakit Pneumonia atau lebih sinonim dengan Radang Paru-Paru tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kerana ia antara penyakit berbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Pneumonia berlaku apabila paru-paru mengalami keradangan. Ia boleh disebabkan oleh kuman (bakteria dan virus) atau bahan toksin dalam bentuk gas atau butiran dalam bentuk habuk. Apabila ia masuk ke dalam paru-paru, ia merangsangkan proses keradangan, menyebabkan saluran pernafasan bronkus menjadi sempit dan lendiran berkumpul dalam alveolus.

Hari Radang Paru-Paru (Hari Pneumonia) yang disambut pada 12 November setiap tahun bertujuan untuk menyedarkan masyarakat termasuk di negara ini akan bahaya penyakit ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Tingkat ekonomi masyarakat India seiring kemajuan negeri

Pelbagai dasar diperkenal bagi membantu segenap lapisan rakyat termasuk kaum India bagi memastikan pembangunan mereka seiring kepesatan kemajuan negeri.

Inisiatif Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) dan Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) antara program yang banyak membantu memajukan ekonomi orang India selain bantuan kepada sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Wartawan AMIN RIDZUAN ISHAK menemu bual Penyelaras Perhubungan Masyarakat (India) kepada Dato’ Menteri Besar, Dr G Gunarajah yang juga Ahli Dewan Negeri Sentosa berkaitan usaha dan perancangan membangun masyarakat India di negeri ini.

Bagaimana YB melihat nasib kaum India sejak Dato’ Seri Amirudin Shari menjadi Dato’ Menteri Besar pada 2018?

Banyak kelebihan kerana ada bantuan di Selangor khas untuk masyarakat India. Pada masa sama boleh memohon bantuan yang disalur secara terbuka.

Antara inisiatif paling memberi manfaat ialah Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) untuk meningkatkan sosioekonomi kaum itu.

Selain Sitham, ada bantuan naik taraf sekolah Tamil, rumah ibadat dan Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed). Inisiatif-inisiatif ini ilham Dato’ Menteri Besar untuk masyarakat India.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan kepada SJKT Taman Melawati

Boleh YB jelaskan kelebihan program Sitham?

Kerajaan Negeri memperuntuk RM2 juta bagi menjayakan program tersebut. Usahawan India dibantu daripada segi kewangan dan kemahiran bagi memajukan perniagaan ke peringkat seterusnya.

Program mentor-mentee juga disediakan dengan kerjasama profesional seperti Persatuan Usahawan Profesional Malaysia India untuk memberi khidmat nasihat selok belok perniagaan.

Sejak diperkenal pada 2019, seramai 2,000 usahawan dilahirkan sekali gus meningkatkan taraf ekonomi peserta program. Sebagai ahli jawatankuasa Sitham, saya sering tekankan pada masa kini seseorang tidak boleh bergantung kepada satu pendapatan sahaja.

Masyarakat harus menjana pendapatan kedua. Inilah sebab mengapa kita laksana Sitham. Kita minta peserta terbabit beri komitmen bukan sahaja dalam mendapat bantuan kewangan tetapi latihan supaya mereka berjaya.

Prestasi dan kadar kejayaan peserta agak tinggi termasuk ada yang perlu peruntukan tambahan untuk mengembangkan perniagaan. Bagi keadaan itu, kita perkenalkan Skim Hijrah kepada kaum India.

Bagaimana pula dengan program I-Seed?

Program itu satu lagi ilham Dato’ Menteri Besar dan diletakkan bawah EXCO Pembangunan Sosio-Ekonomi, V Ganabatirau yang memperuntuk  dana RM1.7 juta.

I-Seed dilaksana untuk meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang mereka usahakan. Contohnya jika seseorang hendak berniaga air tebu dan memerlukan mesin perah, Kerajaan Negeri akan beri mesin. Kerajaan mengalu-alukan mereka yang berkelayakan tampil untuk memohon inisiatif ini bagi mengubah kehidupan mereka.

M Batumalai, 68, menerima bekas peralatan membaiki kereta dalam program I-Seed.

 

Boleh YB nyatakan bantuan Kerajaan Negeri bagi pembangunan kuil?

Setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntuk dana kepada tokong, kuil, gereja dan gurdwara berjumlah RM6 juta. Bagi kuil, jawatankuasanya perlu memohon dan bantuan disalur berdasarkan pemohonan mereka.

Contohnya jika mereka hendak mengadakan kelas agama, kelas tadika atau tuisyen untuk membantu penganutnya memajukan diri, Kerajaan Selangor boleh bantu. Tidak silap saya, kuil menerima bantuan sekitar RM1.5 juta.

Boleh YB jelaskan bantuan kepada SJKT?

Pendidikan adalah keutamaan Kerajaan Negeri. Dato’ Menteri Besar tidak pernah lupa memberi peruntukan kepada semua sekolah termasuk SJKT.

Bantuan ini khusus kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjalankan aktiviti dan menaik taraf kemudahan di sekolah seperti makmal komputer.

Baru-baru ini, timbul isu perumahan membabitkan masyarakat India.Bagaimana usaha menyelesaikannya?

Saya lihat Dato’ Menteri Besar mempunyai keazaman menyelesaikan masalah perumahan terutama mereka yang menjadi mangsa projek terbengkalai.

Saya ingin jelaskan mengenai isu Ladang Dusun Durian di Banting, Kuala Langat. Masalah berpunca membabitkan pemaju dan 109 pemilik rumah yang membuat perjanjian tetapi projek tidak disiapkan.

Timbul juga masalah apabila ada penduduk yang masih tinggal di ladang perlu berpindah. Sebaik mengetahui masalah itu, Dato’ Menteri Besar terus berjumpa saya dan menyatakan untuk membantu selesaikan masalah itu.

Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor diarah mencari rumah kosong dalam projek Kerajaan Negeri untuk menempatkan mereka. Itulah hasrat Dato’ Menteri Besar untuk menyelesaikan masalah perumahan orang India yang kebanyakannya tinggal di ladang.

 

Bagaimana pula masalah tanah terutama membabitkan kuil?

Masalah ini sudah berlarutan. Ada antara kuil menduduki sesebuah kawasan tanah lebih 20 hingga 30 tahun. Sukar untuk memahami mengapa mereka tidak memohon tanah berkenaan lebih awal.

Contohnya di Shah Alam, jawatankuasa kuil memaklumkan mereka menduduki tanah berkenaan sejak 50 tahun lalu tetapi tidak memohonnya. Tanah itu telah dijual kepada pemilik baharu yang sekarang meminta mereka keluar dari tanah berkenaan.

Jadi, Kerajaan Negeri mencari jalan untuk membantu dan meminta EXCO serta pejabat daerah dan tanah mencari tanah lain. Dato’ Menteri Besar turut menyatakan kesediaan membantu cari tempat
yang sesuai.

Bagaimana YB melihat pembabitan kaum India dalam pentadbiran Kerajaan Negeri umpamanya sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT)?

Di Selangor, pelantikan ahli majlis turut dibuat antaranya menerusi cabang parti politik. Ada kuota kepada setiap parti. Kita mengagihkannya sebaik mungkin untuk memastikan setiap kawasan ada wakil untuk membantu menangani isu berbangkit.

Di Selangor, ahli majlis PBT daripada kaum India agak ramai iaitu 40 daripada 244 ahli majlis. Mereka diberi peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Secara keseluruhan, bagaimana YB melihat aspirasi Dato’ Menteri Besar untuk membantu masyarakat India?

Saya lihat beliau mempunyai aspirasi untuk terus memberikan tumpuan khas kepada masyarakat India di Selangor. Beliau mementingkan kebajikan dan sentiasa memastikan nasib masyarakat India dibela.

Sebagai Penyelaras Perhubungan Masyarakat kepada Dato’ Menteri Besar, apa peranan YB untuk membantu kaum India di Selangor?

Banyak aktiviti saya sudah rancang namun tidak dapat dilaksana kerana kekangan Covid-19. Walaupun begitu, kita tetap teruskan rancangan yang boleh dilakukan contohnya jelajah aktiviti Deepavali seperti diminta Dato’ Menteri Besar yang dibuat sederhana. Dalam jelajah ini, pakej bantuan diserah kepada kaum India sempena pe-rayaan itu.

Dalam aspek sosioekonomi pula, saya akan pastikan program seperti Sitham diteruskan. Kalau boleh ada tambahan dana pada tahun depan.

Selain itu, saya juga minta lebih banyak peluang perniagaan disediakan di setiap PBT. Berikan ruang berniaga di kios, sedia latihan dan bantuan kewangan. Peluang pekerjaan untuk masyarakat India di agensi kerajaan juga harus menjadi keutamaan. Saya sudah bangkitkan perkara ini di Dewan Negeri Selangor supaya kaum India diberi tempat dalam agensi Kerajaan Negeri.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Program usahawan negeri bantu peniaga India jana pendapatan

Kemeriahan sambutan Deepavali pastinya menceriakan masyarakat India, lebih-lebih lagi perayaan kali ini disambut dengan banyak kelonggaran berbanding tahun sebelumnya.

Lebih teruja tentunya usahawan yang menikmati kemajuan perniagaan menerusi Selangor Inthiyar Thozhil Arvalar Maiyam (Sitham) atau Program Pembangunan Usahawan India Selangor.

Wartawan Nazli Ibrahim menyelami jatuh bangun lima usahawan sebelum mendapat manfaat dan laba daripada program tersebut.

Termengah-mengah Rashwin Ramaselvan untuk menyudahkan basuhan kereta pelanggan. Lepas satu, sebuah kereta lagi datang. Tak tercapai kudratnya memenuhi permintaan tiap pelanggan.

Namun, sejak memiliki peralatan cuci kenderaan antaranya alat semburan dan generator pengepam air, keupayaan beliau untuk mencuci banyak kereta meningkat drastik. Bahkan jauh lebih cepat.

Sekurang-kurangnya puluhan kereta datang ke kedainya saban hari. Perkhidmatan yang dimulakan pada 2019 di Taman Sri Putra, Banting, Kuala Langat memudahkan penduduk setempat membersihkan kenderaan. Apatah lagi, cuciannya bersih lagi berkilat serta pantas.

Rashwin yang berusia 26 tahun mendapat bantuan untuk memiliki peralatan mencuci kereta menerusi program Sitham. Ini sekaligus meningkatkan kecekapan perkhidmatan beliau.

Selain itu, beliau juga memperoleh bantuan dua mesin penyedut hampagas berkuasa tinggi untuk kerja pembersihan dalaman dan pembersih kusyen, kompresor serta mesin pengilat.

“Bantuan itu memberi makna besar kepada saya kerana kalau hendak beli sendiri memang agak mahal, semuanya dianggar bernilai RM3,800. Sudah tentu saya terpaksa kumpul modal untuk tempoh agak lama,” kata Rashwin kepada Selangorkini.

Justeru, beliau menambah segmen perkhidmatan iaitu mencuci kusyen dan mengilatkan kereta. Sejak mendapat bantuan itu, pendapatan perniagaannya juga bertambah kira-kira 20 hingga 30 peratus sebulan.

Tahun ini, anak muda itu banyak membantu menampung perbelanjaan keluarganya menjelang sambutan Deepavali. Rashwin juga menyimpan harapan untuk menyediakan beberapa mesin dan peralatan tambahan supaya lebih banyak perkhidmatan dapat ditawarkan.

Moganarubini Panirselvam

Pendapatan meningkat

Moganarubini Panirselvam yang menjalankan perniagaan membekal air minuman ke pejabat dan kediaman sekitar Lembah Klang juga antara peserta Sitham yang berjaya.

Wanita berusia 36 tahun itu mula berniaga pada 2012. Sungguhpun perkhidmatannya berpotensi besar untuk dikembangkan, beliau berdepan kesukaran untuk meluaskan pasaran.

Membekal air minuman dalam balang gelen 19 liter ke pejabat dan kediaman selain menyediakan perkhidmatan menukar penapis air rumah ke rumah, pemilik syarikat Ruby Water Enterprise buntu mencari kaedah untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan.

Namun, Moganarubini lega apabila mendapat pinjaman Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) bagi membiayai kempen pengiklanan menerusi media sosial. Pinjaman Hijrah digunakan untuk menggaji seorang pekerja mahir khusus untuk mempromosi dan mengendali semua akaun media sosial perniagaannya.

“Mahu urus sendiri pengiklanan dalam talian memang susah. Saya tidak pandai semua ini tetapi selepas saya gajikan pekerja mahir, pelanggan semakin tahu perniagaan saya,” katanya.

Sejak itu, pendapatan perniagaannya meningkat. Ini mendorong beliau meningkatkan pengeluaran daripada 600 gelen kepada 1,500 gelen air minuman sehari. Bagi melancarkan lagi operasi, beliau turut menyertai program Sitham.

Melalui program tersebut, beliau memperoleh komputer riba dan komputer meja bagi melancarkan
kerja pengiklanan selain memperkemas akaun syarikat dan urusan dokumentasi.

“Dengan bantuan komputer riba dan komputer meja melalui Sitham memudahkan lagi untuk membuat
iklan berbanding melalui telefon pintar sahaja,” katanya.

Kesan peningkatan pelanggan, perniagaannya kini dikembangkan dengan menjalankan operasi
pengeluaran di sebuah kilang di Rawang menggunakan mesin penapis berkuasa tinggi.

Rajeswari Mokan

Tempahan siap segera

Usahawan jahitan Rajeswari Mokan pula tidak menang tangan dalam mengambil tempahan membuat pakaian tradisi India sejak memulakan perniagaan pada lapan tahun lalu. Pakaian yang banyak mendapat tempahan antaranya sari, skirt, blaus dan pakaian tradisi Punjabi.

Masakan tidak, ibu tiga anak hanya menggunakan mesin jahit jenis lama. Tempahan pula bertambah saban tahun khususnya menjelang perayaan Deepavali.

Sedikit sebanyak kekangan itu menjejaskan perniagaan yang diusahakan di rumahnya di Bandar Utama, Batang Kali, Hulu Selangor. Hasrat menambah pendapatan keluarga juga terbantut dek mesin jahit usang. Beliau memerlukan mesin baharu berkeupayaan tinggi.

Melalui bantuan Sitham, Rajeswari memperoleh mesin jahit automatik elektrik baharu. Sejak itu, beliau mampu menyiapkan dua hingga tiga helai baju sehari
berbanding sehelai sebelumnya.

“Dulu hendak siapkan satu tempahan memang agak ambil masa sikit tetapi sekarang lebih cepat dan pelanggan juga puas hati kerana tidak perlu tunggu terlalu lama.

“Saya harap selepas ini saya mampu memiliki mesin jahit automatik lebih besar supaya dapat
mempelbagaikan jenis jahitan dan lebih cepat,” kata Rajeswari.

Muganeswari Karupiah

Bagi Muganeswari Karupiah pula, beliau menceburkan diri dalam perniagaan untuk membantu suami. Ketika mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan pada 2019, beliau membuka perniagaan menjual madu.

Beliau juga menceburi bidang yang diminatinya iaitu dandanan rambut. Berbekal peralatan ala kadar, beliau menyediakan perkhidmatan menggunting rambut dari rumah ke rumah sekitar Batu 14, Puchong sejak tahun ini.

Namun, kekurangan peralatan dan kemahiran mengehadkan potensi wanita berumur 41 tahun itu untuk menjana lebih banyak pendapatan.

Justeru, Muganeswari mengikuti kursus kemahiran dan pembuatan anjuran Sitham bagi meningkatkan
kecekapannya. Malah, beliau turut diberi bantuan set peralatan dandanan lengkap selepas tamat kursus.

Berbekal ilmu itu, juga peralatan tersebut, beliau kini bukan sahaja dapat meneruskan perkhidmatan
rumah ke rumah, bahkan menyediakan perkhidmatan mencuci rambut.

Berbanding sebelumnya, ibu tiga orang anak itu menjana pendapatan sampingan sekitar RM600 sebulan
dan kini mencecah lebih RM1,000.

“Saya harap suatu hari nanti saya dapat belajar lebih banyak teknik menggunting rambut mengikut fesyen yang dimahukan pelanggan,” katanya.

Melvin Dinish Gurubatham

Percaya diri

Sitham juga banyak mengubah tahap keyakinan diri terhadap Melvin Dinish Gurubatham. Beliau yang mengambil upah memberi perkhidmatan mengimpal mengakui tidak tahu langsung teknik kimpalan.

Namun, dorongan kuat untuk menambah pendapatan membawa anak muda berusia 25 tahun mengikuti kursus kemahiran dan pembuatan disediakan Sitham.

“Saya memang kosong pengetahuan. Tidak pernah sekali pun buat kerja mengimpal. Saya hanya tahu mengimpal selepas sertai kursus untuk peserta Sitham selama lebih kurang sebulan,” katanya.

Selepas tamat kursus, beliau yang masih bekerja sebagai pekerja am di syarikat menyewa kanopi, diberi bantuan set peralatan untuk memulakan perniagaan sampingan di rumahnya di Pelabuhan Klang. Melvin Dinish juga mengambil upah mengimpal di rumah pelanggan.

Sitham dilancarkan pada 2019 bermatlamat menaik taraf kehidupan dan ekonomi menerusi janaan pendapatan melalui kemahiran sendiri.

Program itu menyediakan geran dan peralatan perniagaan melahirkan ramai usahawan mikro masyarakat India yang berkemahiran.

Sitham terdiri daripada latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, program bimbingan perniagaan atau Grow dan geran bantuan peralatan perniagaan.

Melalui latihan disediakan memudahkan usahawan mempelajari teknik menambah jualan, memahami keperluan terkini dalam perniagaan seperti pengurusan perniagaan, pemasaran dalam talian, peluang pinjaman, permohonan perlesenan dan pendaftaran syarikat.

Kursus kemahiran dan pembuatan kursus jangka pendek memberi latihan kepada peserta juga disediakan.

Grow pula program latihan minimum tiga bulan, pakej latihan kemahiran dan bantuan alatan kendalian syarikat peneraju yang dilantik.

Bantuan peralatan juga disediakan kepada peniaga yang memulakan perniagaan sekurangkurangnya enam bulan dengan nilai had maksimum sebanyak RM10,000.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Nostalgia filem pecah panggung MGR, Rajni

Masih jelas dalam ingatan anak keempat Veraman dan Bullama. Beliau yang bersekolah bersama lapan beradik sangat meminati bintang filem India, MG Ramachandran.

Acapkali terpandang misai nipis pada wajah pelakon yang popular dengan nama MGR, hatinya mesti melompat riang. Poster sedemikian banyak menghiasi pawagam di Teluk Intan, Perak ketika itu.

Kenangannya pada dekad 1970-an cukup mengusik jiwa EXCO Kebajikan Masyarakat, Pekerja & Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau. Bagi beliau, dalam banyak-banyak filem lakonan MGR, filem Tamil klasik Padagotti paling meresap ke jiwanya.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Pekerja & Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau

Arahan T Prakash Rao, filem ini mengisahkan dua kampung nelayan sering bertelagah berikutan didalangi seorang kaya yang menguasai ekonomi kampung itu. MGR memegang watak hero bernama Manickam yang memimpin salah satu kampung berkenaan.

Manickam yang perwatakannya digambar sebagai jujur dan berprinsip telah jatuh cinta dengan anak kepada ketua kampung yang memusuhi kampungnya.

Kemuncak plot, orang kaya itu cuba mengurung perempuan dicintai Manickam. Pemuda itu kemudian menyelamatkannya.

Filem yang mula ditayangkan pada 1964 di India, banyak menelusuri isu sosioekonomi dan budaya masyarakat nelayan negara itu. Sikap tamak menjadi tema utama kepada karya berkenaan.

“Saya suka filem ini kerana ceritanya ada unsur perjuangan dua kampung nelayan tetapi sebenarnya yang jadi kaya-raya adalah orang kaya yang memberi pinjaman kepada mereka, juga yang memborong ikan, kalau nelayan beli sampan, pukat dan bermacam lagi kena beli dengan dia.

“Orang kaya ini akan pecah dan perintah dua kampung ini dan penduduk pula terlalu taasub dengan kampung masing-masing. Akhirnya penduduk dua kampung ini sedar,” kata Ganabatirau yang berkongsi minatnya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Filem kegemaran

Selain Padagotti, bapa empat anak itu menyenaraikan filem lakonan Rajinikanth sebagai kegemarannya. Paling diminatinya, filem Muthu lakonan bintang hebat itu.

Pelakon terkenal India Rajinikanth

Diterbitkan pada 1995, filem turut dibintangi Meena, Sarath Babu, Ponnambalam dan Senthil. Jalan ceritanya memberi kesan mendalam, malah mengajak penonton untuk menghormati orang lain tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

“Filem lakonan Rajinikanth tiada yang gagal. Sama seperti Shah Rukh Khan, walaupun sudah tua tetapi kita masih terbayangkan dia muda. Orang masih boleh terima dia.

“Saya nampak dalam cerita ini menunjukkan kalau seseorang ada integriti, dia boleh berjaya sama seperti Muthu yang sebenar pewaris sah harta keluarganya,” katanya.

Menariknya, filem arahan K S Ravikumar menjadi filem Tamil pertama menembusi pasaran Jepun sekali gus kutipannya pecah panggung di Negara Matahari Terbit itu.

Filem itu mengisahkan seorang pekerja bawahan yang setia (Muthu) terlibat dalam percintaan tiga segi dengan seorang artis pentas. Beliau dipandang rendah oleh orang kaya di tempat tinggalnya. Tanpa diketahui, Muthu sebenarnya pembesar wilayah (zamindar) yang mewarisi kekayaan luar biasa keluarganya.

Sebagai ahli politik, filem Tamil berjudul Kamaraj arahan A Balakrishnan yang diterbitkan pada 2004 memiliki daya tarikan tersendiri buat Ganabatirau.

Walaupun pelakon filem tersebut kurang terkenal, antaranya Richard Madhuram, Sambathraj Sumant, Mahendran dan Vijayan, tetapi ia memberi inspirasi untuk beliau berkhidmat penuh dedikasi di Selangor.

“Watak utama dalam cerita ini tidak pernah dapat pendidikan tetapi beliau adalah pejuang kemerdekaan India, membela rakyat Tamil Nadu yang miskin dan kurang berpendidikan,” katanya merujuk filem biografi mengenai ahli politik Tamil Nadu era 60-an, K Kamaraj.

Romantis

Seperti kelaziman, tidak lengkap sambutan Deepavali tanpa tayangan filem bertema percintaan. Bagi Ganabatirau pula, filem Sangam jadi pilihan utama.

Filem itu meletup di pawagam termasuk Malaysia ketika ditayang pada 1964, bahkan kekal sebagai karya Hindi terbaik pernah dihasilkan. Ganabatirau menganggapnya antara karya klasik paling romantis.

Poster filem Sangam lakonan Raj Kapoor

“Bukan orang India sahaja, orang Melayu juga ramai suka cerita ini kerana kisah percintaan yang sangat romantis, jalan cerita dan dilakonkan pula oleh Raj Kapoor,” katanya.

Arahan Raj Kapoor, filem yang dibintangi Rajendra Kumar dan Vyjayanthimala mengisahkan Sundar, Gopal dan Radha bersahabat baik sejak kanak-kanak tetapi setelah dewasa mereka terperangkap dalam percintaan tiga segi. Sundar jatuh hati kepada Radha tetapi Radha mencintai Gopal. Demi sahabat baik, Gopal mengorbankan perasaan cintanya.

Sebuah lagi kisah percintaan yang mendapat tempat di hati Ganabatirau ialah Kabhi Khushi Kabhie Gham. Filem Hindi itu ditayangkan ketika beliau masih belajar di Universiti Malaya.

Filem tersebut mengingatkannya supaya tidak membezakan kedudukan seseorang dan menjauhi sifat ego selain betapa pentingnya hubungan kekeluargaan.

Terbit pada 2001, filem arahan Karan Johar dibarisi Shah Rukh Khan, Kajol, Amitabh Bachchan, Kareena Kapoor, Hrithik Roshan, Rani Mukerji, Jaya Bachchan dan Farida Jalal.

Banyak lagi filem menjadi kegemaran beliau antaranya filem keluaran 1998, Kuch Kuch Hota Hai lakonan Shah Rukh Khan, Kajol dan Rani Mukerji, Mohabbatein (2000) juga dibintangi Shah Rukh Khan di samping Shamita Shetty, Jugal Hansraj serta Preeti Jhangiani.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Kenali sindrom tourette, fahami psikologi penghidap

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Mungkin bagi kebanyakan rakyat negara ini sindrom tourette ialah satu istilah asing, sekalipun menurut pakar kira-kira 0.3 hingga 1.0 peratus daripada populasi Malaysia berkemungkinan mengalami sindrom itu.

Antara gejala utama sindrom itu ialah mereka yang mengalaminya membuat sesuatu pergerakan atau mengeluarkan bunyi dan kata-kata secara tiba-tiba serta berulang di luar kawalan. Insiden juga boleh melibatkan perkataan yang dikeluarkan adalah kesat berbentuk makian dan cacian.

Pakar neurologi Hospital Kuala Lumpur Dr Ahmad Shahir Mawardi berkata sindrom tourette merupakan sejenis penyakit neurologi dan selalunya bermula dengan gejala tik (tics).

Jelas beliau, tik ialah pergerakan yang tidak boleh dikawal dan keadaan itu berlaku secara tiba-tiba serta berulang, namun hanya sekejap pada peringkat awal kerana keadaan boleh menjadi semakin teruk dan melibatkan lebih daripada satu pergerakan dan anggota badan.

“Mereka akan didiagnosis sebagai penghidap sindrom tourette sekiranya mengalami tik (pergerakan dan suara) selama lebih setahun,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain pesakit itu sendiri, kehadiran sindrom tourette pada seseorang juga boleh dikesan oleh orang di sekelilingnya.

“Selalunya pesakit yang ada pergerakan tik atau tourette, dia boleh mengawal atau memberhentikan pergerakan atau suara itu untuk tempoh masa tertentu.

“Bagaimanapun, bila dia cuba kawal, dia akan berasa tidak selesa, lebih lama mereka cuba mengawal lagi bertambah ketidakselesaan mereka. Pesakit kena lakukan juga untuk melegakan ketidakselesaan. Sindrom ini tidak mengenal masa, malah boleh berlaku semasa tidur,” katanya, menambah penyakit itu biasanya berlaku pada kanak-kanak dan juga individu berusia 12 tahun ke atas.

Belum ketahui punca, tiada ubat khusus

Menegaskan penyakit itu bukan disebabkan keturunan, Dr Ahmad Shahir berkata hingga kini punca sindrom tourette belum dikenal pasti dengan tepat, selain tiada ubat yang spesifik untuk merawat pesakit agar pulih sepenuhnya.

Sebaliknya kata beliau, buat masa masa ini pesakit hanya diberikan rawatan dan ubat-ubatan bagi mengawal gejala.

“Untuk rawatan, pertama sekali kita akan lihat tahap keseriusan pesakit itu. Ini kerana pesakit sindrom tourette lazimnya turut mengalami masalah lain seperti gangguan kebimbangan, gangguan obsesif kompulsif (OCD), sindrom kurang daya tumpuan (ADHD), gangguan hiperaktif serta keresahan (anxiety).

“Biasanya pesakit sindrom tourette akan datang bersama-sama dengan satu daripada simptom-simptom yang disebutkan tadi. Maka rawatan pertamanya kita akan bagi pendedahan kepada pesakit, keluarga pesakit, guru atau rakan sekerja pesakit ini,” katanya, menambah kebiasaannya pesakit sering berasa rendah diri, malu hendak bergaul dan bersosial.

Dr Ahmad Shahir berkata kaedah rawatan lain ialah dengan merujuk pesakit kepada pakar psikiatri atau ahli psikologi untuk terapi sekiranya ada keperluan.

“Langkah seterusnya digunakan apabila pesakit mengalami simptom yang agak teruk. Kita akan mula bagi ubat-ubatan, antaranya ialah haloperidol, pimozide, aripiprazole yang telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).

“Kaedah rawatan lain ialah menerusi deep brain stimulation, membabitkan pemasangan perentak pada bahagian otak pesakit. Ini untuk pesakit teruk, namun keadaan ini jarang berlaku,” jelasnya.

Hidup dengan sindrom tourette

Bagi penghidap sindrom tourette, Nur Syakina Mohd Shah, 23, yang lebih mesra dipanggil Tia, bukan mudah baginya untuk menjalani kehidupan seharian, apatah lagi rata-rata masyarakat sekeliling tidak mengetahui tentang sindrom itu.

Menurut ibu tunggal kepada dua anak berusia enam dan tiga tahun itu, dia hampir membunuh diri disebabkan kemurungan gara-gara keadaan dirinya yang pernah diejek dan dimalukan, termasuk oleh rakan sekerja yang bertindak merakam video ketika dia “diserang” gejala sindrom yang kemudian disebarkan.

“Selepas insiden itu yang berlaku pada Jun lalu, saya ke Hospital Serdang bagi mendapatkan rawatan akibat kemurungan. Saya juga mula perasan tentang tik yang saya alami dan saya maklumkan kepada doktor. Selepas pemeriksaan lanjut, saya didiagnosis sebagai penghidap sindrom tourette.

“Sejak itu saya nekad untuk bangkit, dan selepas menerima rawatan di hospital, terdetik di hati saya untuk membuat perkongsian melalui media sosial tentang pengalaman saya hidup dengan tourette,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, selepas perkongsian menerusi TikTok dan Instagram itu, dia berasa gembira kerana kebanyakan netizen memberi maklum balas positif.

“Ada juga dalam kalangan pengikut Tia kata mereka macam 20 peratus ada tanda-tanda tourette,” katanya yang menetap di Seri Kembangan dekat sini.

Dia juga menegaskan pengakuannya tentang hasrat menamatkan riwayat hidup itu bukan untuk mencari publisiti murahan, sebaliknya ingin memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa gejala yang dialaminya – dan mungkin ramai lagi di luar sana – bukan dibuat-buat.

“Jujur, ada cubaan bunuh diri sebanyak dua kali, sebab Tia alami kemurungan. Namun semasa di hospital, Tia tengok ramai pesakit warga emas (menghidap pelbagai penyakit) yang walaupun sudah tua tapi tetap kuat dan ceria meneruskan hidup.

“Dari situ timbul kesedaran di hati Tia, sedangkan Tia masih muda. Lebih baik Tia dedahkan tentang tourette ini daripada ambil tindakan bodoh,” katanya.

Video yang dikongsikan oleh wanita itu berjaya meraih perhatian warga media sosial yang rata-rata memberikan kata-kata semangat kepadanya selain memuji keberaniannya berkongsi pengalaman tentang tourette. Selain itu, ramai yang mengakui dalam ruang komen bahawa mereka tidak tahu tentang sindrom berkenaan.

Bercerita tentang penyakitnya itu, Nur Syakina berkata dia mula mengalami tik ketika berusia lapan tahun, namun tidak mendapatkan rawatan kerana keluarganya tidak tahu tentang sindrom berkenaan.

“Kini saya akur bahawa saya perlu hidup dengan sindrom ini,” katanya yang turut berkongsi cerita tentang sering dibuang kerja akibat penyakit tersebut, dan menambah dia memerlukan masa lebih dua jam hanya untuk mengemas rumah akibat ‘diganggu’ gejala sindrom.

Namun, dia berkata kehidupan hariannya kini semakin baik menerusi pengambilan ubat-ubatan.

Urus emosi, psikologi

Sementara itu, ahli psikologi perkembangan Nurhafizah Ramli berkata pendekatan psikologi digunakan bagi membantu individu menguruskan emosi dan kelakuan.

“Ini kerana kekerapan tik yang hadir juga dipengaruhi oleh keadaan emosi individu. Lebih tinggi tekanan yang dihadapi, tik akan hadir lebih kerap dan boleh semakin memburuk,” jelas pengasas Mind Scheme Psychological Services yang menawarkan perkhidmatan psikologi secara bergerak.

Menurutnya, individu yang hidup bersama sindrom Tourette sering kali berasa tertekan, rendah diri serta lebih gemar mengasingkan diri daripada masyarakat.

“Perkembangan emosi yang terjejas seterusnya akan mempengaruhi tingkah laku mereka. Ada yang memilih untuk tidak bekerja, bertukar-tukar kerja, bertindak agresif dan defensif dengan orang lain, mengurungkan diri.

“Sekiranya mereka sukar untuk menerima keadaan mereka, lebih sukar untuk orang lain memahami mereka,” katanya, menambah perkara pertama yang dilakukan oleh ahli psikologi ialah memastikan pesakit menerima keadaan diri mereka.

Sementara itu, menyedari tentang kurangnya pengetahuan masyarakat berkenaan sindrom tersebut mendorong Yasmin Nadhirah Mohamad menjalankan kempen kesedaran mengenai sindrom tourette.

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu, dia sendiri hanya tahu tentang Tourette selepas pensyarahnya menyentuh tentang penyakit tersebut semasa subjek pendidikan khas.

“Sekiranya masyarakat lebih arif tentang perkara ini, saya percaya keadaan itu akan membuang stigma negatif terhadap individu yang mengalami sindrom tourette. Sindrom tersebut kurang mendapat perhatian kerana individu yang mengalaminya kurang mendapat pendedahan sebagai OKU di Malaysia.

“Kebanyakan maklumat tentang orang kurang upaya (OKU) dalam silibus pengajaran di sekolah juga tidak mengetengahkan sindrom tourette ini sebagaimana golongan masalah penglihatan, pendengaran, pertuturan dan fizikal.

“Maka, bukan sahaja masyarakat, guru juga tidak mempunyai modul khas atau kaedah bagi mewujudkan program inklusif untuk melibatkan golongan yang mengalami sindrom itu bersama murid normal lain di dalam bilik darjah,” katanya.

Tambahnya kaedah pengajaran khas dan modul pembelajaran perlu dibangunkan bagi pelajar yang mengalami sindrom Tourette untuk membantu mereka supaya dapat belajar seperti kanak-kanak yang lain.

“Tik yang tidak terkawal boleh menyebabkan masalah buli dan masalah kesihatan mental yang teruk pada individu yang mengalami sindrom ini, akibat ejekan selain kekurangan sokongan dan penerimaan daripada masyarakat sekeliling.

“Oleh itu, golongan dewasa terutamanya guru dan ibu bapa, perlu membantu mereka dengan sekurang- kurangnya mengetahui tentang kewujudan sindrom Tourette,” katanya yang tidak kisah melakukan kempen itu bersendirian.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Terjual ribuan bungkus sehari, tuah ‘nasi terbang’

Foto HAFIZ OTHMAN

SHAH ALAM, 1 NOV: Bergenang air mata usahawan Azwan Anuar, 43, menyaksikan iklan lelongan rumah di Shah Alam, kediamannya sendiri yang dibeli sejak 2006.

Akibat gagal membayar pinjaman bank RM500,000, rumah yang dipajak pada 2013 demi melonjakkan perniagaaan, menjadikan dirinya kusut.

Buntu memikirkan cara mendapatkan secupak beras dan mungkin, telur sebiji dua. Beliau menebalkan muka meminjam daripada rakan-rakannya. Dapat RM10 pun jadilah. Asal perut anak-anak terisi, boleh hantar mereka ke sekolah.

Kehidupannya tidak terurus. Tidur pun mengigau, bingung memikirkan – di mana mahu cekau duit? Lulusan Pentadbiran Perniagaan Universiti Tenaga Nasional itu terpaksa korek sana sini untuk bayar sewa rumah dan sesuap nasi.

“Mahu cerita dengan orang, malu. Ibu dan bapa pun tidak tahu. Sampai sekarang mereka ingat saya ada duit banyak jual rumah tetapi mereka tidak tahu rumah kena lelong,” katanya.

Itu lapan tahun lalu. Kini, Azwan senang dengan perniagaan nasi kapal terbang. Bangkit hasil dorongan semangat keluarga dan kawan rapat.

Berkonsep ‘masak di Kelantan, makan di Lembah Klang’, beliau kini membekal lebih 8,000 bungkusan makanan sehari kepada pelanggan.

Sebenarnya, Azwan mula menceburi perniagaan sejak 2006 dengan membekal cenderamata premium, pencetakan dan beberapa produk secara kecil-kecilan.

Selepas dua tahun, beliau bersama rakan menceburi perniagaan penyedia perisian. Berbekal kejayaan memperoleh kontrak kecil beberapa syarikat swasta, beliau cuba memenangi kontrak sebuah syarikat perkapalan terkemuka.

Kontrak RM2.5 juta

Usahanya berhasil. Azwan ditawar kontrak bernilai RM2.5 juta bagi menyediakan perisian syarikat itu. Untuk memastikan modal cukup, beliau membuat pembiayaan semula rumahnya.

Wang itu untuk menyewa dan ubah suai pejabat, membeli perkakas elektronik teknologi maklumat berkuasa tinggi, pelayan internet, membina pangkalan data dan menggaji pekerja.

Azwan Anuar

Sekitar tahun 2010, memang banyak syarikat swasta dan kerajaan mula menggantikan dokumen fizikal kepada digital.

“Beberapa kali saya dapat kontrak bekalkan perisian kecil-kecilan dengan syarikat perkapalan ini, semuanya lancar. Ini mendorong saya berani pajak rumah untuk dapatkan kontrak RM2.5 juta untuk sistem perisian syarikat. Malangnya syarikat perkapalan itu rugi besar dan tumbang,” katanya.

Selepas kontrak yang hampir dalam genggaman lesap pada 2009, Azwan hanya bergantung kepada kontrak kecil-kecilan. Namun, tidak cukup untuk menanggung beban pembiayaan hingga perniagaannya lingkup.

Akibat tidak mampu membayar sewa unit pangsapuri di Shah Alam sebanyak RM900, Azwan dan keluarga sekali lagi berpindah pada 2016. Kali ini menyewa unit pangsapuri kos rendah di USJ. Ketika itulah beliau memulakan perniagaan nasi kapal terbang.

Tebalkan muka

Azwan mula menjual nasi kapal terbang atas cadangan rakan-rakan. Nama itu dicetuskan selebriti terkenal Kelantan menerbangkan nasi bungkus dengan kapal terbang seminggu sekali untuk pasaran Lembah Klang.

Bermodal RM600 yang dipinjam daripada rakan, Azwan membeli 200 bungkus Nasi Kak Cik di Tumpat, Kelantan dan RM70 lagi untuk upah tumpang bawa barang dengan bas ekspres dari Kelantan ke Kuala Lumpur.

“Tebal muka cari modal pinjam sana-sini. Maklumlah orang banyak meminjam, tidak dipercayai tetapi ada juga bagi pinjam,” katanya.

Sambutan nasi Kak Cik di Lembah Klang menggalakkan. Mendorongnya tambah menu antaranya nasi air dingin, nasi Tumpat, nasi kerabu Azma, nasi tumpang, nasi kerabu Pak Long. Semuanya hidangan popular di Kelantan.

Kini, Azwan membekal kira-kira 8,000 bungkus sehari nasi berharga RM5.50 hingga RM6 sebungkus di Lembah Klang. Daripada perkhidmatan bas ekspres, beliau beralih menggunakan dua van.

Bertolak dari Kelantan jam 12 malam, bekalan tiba di Taman Melati, Gombak sekitar jam 6 pagi sebelum diedar ke seluruh penjual di Lembah Klang.

Pada 2020, beliau menceburi perusahaan cendawan tiram. Pada masa sama, beliau melatih 400 peserta Hijrah Selangor sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

Memandangkan peserta terdiri daripada asnaf fakir dan miskin serta isi rumah berpendapatan rendah, Azwan membantu mereka menerusi penanaman cendawan dengan bekerjasama dengan Oyster Mushroom Resources yang berpengalaman dalam bidang itu.

Fasa pertama projek dibuat di tapak semaian di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat membabitkan 150 peserta pertama. Tapak itu dijangka mengeluarkan hasil pertama Disember ini. Kira-kira 30,000 bongkah cendawan sebulan dijangka dapat dikeluarkan.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pakar: Pedoman hidup bersama Covid-19, amalan norma baharu

SHAH ALAM, 29 OKT: Selepas dua tahun negara bergelut dengan pandemik, Malaysia kini menuju fasa endemik. Dengan lebih 90 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin, pelbagai kelonggaran dinikmati orang ramai.

Namun, ruang kebebasan tidak lagi sama seperti sebelum wabak. Sebaliknya ia tertakluk kepada amalan norma baharu bagi mengelakkan penularan semula Covid-19.

Wartawan FARIDZWAN ABDUL GHAFAR dan NADIAH ZAMLUS menemu bual Pengerusi Jawatankuasa Khas Pematuhan Kawalan Kesihatan Industri Selangor Dato’ Dr Khalid Ibrahim mengenai corak kehidupan dalam fasa endemik.

Bekas pengarah kesihatan negeri ini menekankan tiga amalan asas – pakai pelitup muka, jaga jarak dan cuci tangan – sebagai budaya baharu.

Boleh Datuk kongsikan makna epidemik, pandemik dan endemik?

Epidemik, pandemik dan endemik adalah kitaran penyakit. Ia bermula daripada penularan wabak. Untuk memahaminya, kita berbalik kepada permulaan wabak Covid-19. Penularan virus bermula di Wuhan, China dalam skala kecil di lokasi yang spesifik dan dalam masa singkat. Itu adalah penularan awal.

Selepas itu, virus merebak tanpa batasan melibatkan negara, mungkin dalam sesebuah benua sahaja. Peringkat itu dipanggil epidemik kerana ia dalam lingkungan besar. Apabila melibatkan banyak benua, banyak negara, maka ia adalah pandemik sebab melibatkan seluruh dunia.

Imej komputer yang dihasilkan oleh Nexu Science Communication bersama Kolej Trinity College di Dublin menunjukkan struktur model betakoronavirus, yang dikaitkan dengan Covid-19, dikongsi bersama REUTERS pada 18 Februari 2020.

Endemik adalah lokasi atau lokaliti tertentu dan ia berada dalam tahap lama. Jika Covid-19 berlaku dalam tempoh satu atau dua tahun, setiap hari ada 2,000 atau 4,000 kes sahaja, maka ia keadaan endemik bagi Malaysia.

Jadi, bila melihat kitaran penularan wabak, epidemik, pandemik dan endemik, kita jangan leka. Endemik juga boleh sebabkan penularan semula.

Adakah Covid-19 mungkin berakhir selepas fasa endemik?

Pandemik sebenarnya boleh hilang terus. Contoh Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Influenza A (H1N1) tiba-tiba hilang. Kemungkinan (Covid-19 hilang) boleh berlaku tetapi ramai ahli sains dan pakar kesihatan awam menjangka Covid-19 tidak akan hilang.

Fasa endemik tidak sama antara negara lain. Ia bergantung kepada tiga faktor iaitu perumah (manusia), kedua persekitaran dan ketiga faktor vektor iaitu virus tersebut.

Kerajaan akan pergi kepada peringkat endemik. Untuk sampai kepada peringkat itu, lihat perumah iaitu manusia. Siapa akan jadi perumah? Manusia yang tidak ada imuniti. Siapa tidak ada daya tahan? Mereka yang tidak menerima vaksin dan ada keadaan komorbid (lebih satu penyakit) kerana daya tahan badan akan turun.

Kedua, persekitaran. Covid-19 suka suhu sejuk, tempat sesak, sempit dan pengudaraan sedikit serta kontak rapat. Persekitaran ini membolehkan pembiakan lebih cepat.

Ketiga, faktor virus iaitu sama ada virus bertindak dengan ubat-ubatan. Tiga perkara ini perlu kita lihat sebelum berpindah daripada fasa pandemik kepada endemik.

Boleh ulas tiga faktor yang menjadikan Covid-19 sebagai endemik?

Faktor perumah iaitu imuniti badan akan bertambah jika divaksin. Kerana itu, ada istilah yang diberi nama ‘herd imunity’ atau imuniti kelompok.

Sekarang 91 peratus dewasa sudah divaksin dan 25 peratus remaja baru mene-rima vaksin. Melihat perkembangan ini, kemungkinan pada fasa endemik, mereka yang akan dijangkiti (Covid-19) adalah remaja atau golongan komorbid. Sebab itu, kerajaan beri dos penggalak kepada me-reka yang berisiko.

Faktor kedua persekitaran. Sebab itu, perlu elak tempat sesak. Mesti elak kontak rapat. Kekalkan penjarakan walaupun sudah vaksin. Lebih baik duduk di tempat terbuka.

Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin covid – 19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sungai Ramal di pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall, Bandar Baru Bangi pada 18 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sebab itu, Eropah benarkan tonton bola sepak di stadium sebab ia ruang terbuka tetapi pemakaian pelitup muka masih dijaga. Mereka juga benarkan buka pelitup muka tetapi jika masuk restoran, kereta api, kenderaan awam mesti pakai sebab ia kawasan sempit.

Faktor ketiga adalah virus. Sukar ramal kerana ia varian membimbangkan (VOC). Disebabkan varian baharu muncul, tidak mungkin wabak akan berakhir kecuali endemik. Inilah tiga faktor menentukan fasa endemik.

Apabila kita buat keputusan ke fasa endemik mesti ada pangkalan data. Kita ada nilai ambang dan kerajaan tetapkan nilai ambang misalnya 4,000 atau 2,000 kes adalah pangkalan data. Selepas ini, nilai kita hanya setakat 1,000 hingga 2,000 kes. Itulah fasa endemik kita. Juga kemasukan ke hospital yang berada pada tahap satu dan dua sahaja. Kadar guna unit rawatan rapi (ICU) satu atau dua peratus sahaja. Kematian beberapa sahaja setiap bulan.

Cuba banding denggi yang jadi endemik, bilangan kes lebih kurang setiap tahun. Di Selangor, lebih kurang sama sahaja bilangan kes jangkitan denggi.

Adakah fasa endemik akan mengubah kehidupan?

Kita tidak akan kembali kepada tahun 2019. Jangkaan saya, kita akan hidup begini dalam tempoh dua hingga lima tahun. Kena ingat Covid-19 berbeza dengan penyakit lain. Ia cepat berjangkit, mudah menyerang paru-paru dan komplikasinya menakutkan.

Jangan rasa selesa dan leka kerana endemik boleh jadi pandemik semula. Sesetengah negara buka sempadan tetapi wajib buat ujian tindak balas berantai polimeras (PCR) dan lengkap vaksin untuk elak jadi pandemik.

Kita kena hidup cara ini. Kena jadi budaya. Kerajaan ambil pendekatan betul iaitu turunkan harga kit ujian air liur supaya kita dapat menjaga diri. Apabila selesema, terus ambil kit ujian. Jaga diri supaya tidak rebakkan virus kepada orang lain yang boleh menyebabkan kepada pandemik. Suka atau tidak, itulah kehidupan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Pandangan mengenai amalan sesuai di rumah, tempat kerja atau majlis keramaian?

Perkara ini penting untuk kehidupan kita. Hidup dalam endemik, prinsipnya kena pegang faktor perumah, persekitaran dan virus. Tidak boleh elak tiga faktor ini.

Contoh jika ke masjid, harus jaga diri. Kena ada imuniti melalui vaksin atau buat ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) atau ujian air liur. Persekitaran pula tidak boleh sesak. Tidak semestinya jarak satu setengah meter. Sekarang Arab Saudi pun boleh sembahyang sebelah menyebelah tetapi perlu pakai pelitup muka.

Untuk jaga persekitaran, perumah kena bawa sejadah. Walaupun ada permaidani masjid, kena ingat mungkin kita selsema dan sujud di karpet, kemudian orang lain solat di tempat sama, ia akan berjangkit. Itulah yang harus dijaga.

Jemaah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) di ruang solat ketika tinjauan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 15 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Melainkan pengurusan masjid sanitasi setiap kali waktu solat, maka tidak perlu bawa sejadah. Sebab itu, saya cadangkan buka pintu-pintu masjid untuk pengudaraan.

Saya hendak kaitkan tindakan kerajaan mengklasifikasi perintah kawalan iaitu perkhidmatan perlu dan perkhidmatan tidak perlu. Saya tidak setuju dengan klasifikasi sedemikian. Sepatutnya kena bahagi risiko tinggi, sederhana atau rendah. Harus lihat risiko keberjangkitan. Jika hendak adakan pasar tani, pasar malam, bagaimana jaga kawasan ada 200 hingga 300 orang dalam satu masa? Kawal orang masuk, jika bimbang lama, benarkan setiap orang selama 45 minit sahaja. Itu cara kehidupan semasa endemik, jadi budaya.

Bagaimana tempat kerja yang ada pendingin hawa?

Saya cadangkan adakan gelembung atau kumpulan bagi pekerja kilang atau pejabat. Seboleh-bolehnya tidak bercampur dengan kumpulan lain. Jika ada kumpulan positif, kuarantinkan.

Sejak awal isu kluster kilang, saya mempersoal saranan penutupan kilang. Sebab mereka ada jalinan yang berlainan di kilang. Jika kumpulan A bergerak, pastikan mereka yang sama naik bas dan duduk dalam asrama mereka sahaja. Itulah cara kawal gelembung.

Sebab itu ada gelembung pelanco-ngan. Contoh ke London, kena kuarantin tetapi mulai 4 November ini, rakyat kita tidak perlu kuarantin kerana gelembung awal ke London sudah mencapai 90 peratus vaksinasi. Malah, mereka yang pergi itu keputusan ujian PCR mesti negatif. Inilah gelembung yang kena lihat.

Apakah tatacara operasi piawai (SOP) ketika pandemik yang terus boleh diguna pakai sekarang?

Tidak perlu banyak seperti semasa pandemik. SOP penting adalah jaga penjarakan fizikal, pakai pelitup muka dan cuci tangan. Itu SOP utama.

Contohnya semasa pandemik, kenapa perlu tutup kedai basuh kereta? Jika tidak mahu ramai, boleh hanya basuh tiga kereta. Kedua, orang basuh kereta dan pelanggan perlu pakai pelitup muka. Terlalu banyak SOP akan peningkan rakyat.

Sebab itu kena klasifikasi sektor itu sama ada berisiko rendah, sederhana atau tinggi. Jika risiko rendah, SOP lebih terbuka. Jika risiko tinggi, SOP lebih ketat. Bukan tutup sektor berkenaan.

Bagaimana keperluan vaksinasi dalam fasa endemik?

Selepas disuntik vaksin, antibodi meningkat tetapi ada satu peringkat ia mula menurun. Daya antibodi juga kena dikaitkan dengan VOC. Bimbang ada varian lain yang timbul. Kajian menunjukkan dalam tempoh sembilan bulan antibodi akan turun.

Kena bezakan dos penggalak dan dos ketiga, keempat, kelima dan keenam. Dos penggalak atau ‘booster’ diberi kepada mereka yang memerlukan. Siapa perlukannya?

Sukarelawan membantu warga emas yang selesai menerima suntikan ketika program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai Ampang Point, Ampang pada 16 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Jangka imuniti akan menurun bagi individu berusia 60 tahun ke atas, orang ada penyakit komorbid dan petugas barisan hadapan yang berhadapan orang yang berisiko dengan penyakit. Mereka memerlukan dos penggalak.

Sementara dos ketiga untuk mereka yang sihat. Jangan anggap dos penggalak dan dos ketiga sama. Tidak sama. Dos ketiga adalah mereka yang sihat tetapi hendak disuntik.

Pengambilan dos ketiga keperluan atau sekadar galakan?

Kita perlu lihat kepada liputan vaksinasi. Jika remaja dan kanak-kanak telah terima vaksin, mungkin boleh tangguhkan dos ketiga. Tetapi dalam situasi sekarang, saya cadang ambil dos ketiga kerana remaja di negara ini belum mencapai 90 peratus kadar vaksinasi. Kita tidak mahu jadi punca kepada remaja dapat Covid-19 disebabkan antibodi menurun.

Bagaimana sikap segelintir masyarakat yang memilih-milih jenis vaksin?

Vaksin bergantung kepada keberkesanan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan 50 peratus keberkesanan vaksin lulus penggunaannya. Dalam jawatankuasa akses vaksin, saya antara 23 pakar yang menilai dokumen setiap vaksin untuk diluluskan di Malaysia.

Penggunaan adalah berdasarkan pembuat vaksin. Bagi saya, semua vaksin yang ada sekarang keberkesanannya melepasi paras 50 peratus.

Sebenarnya sebelum ambil vaksin, kita perlu guji tahap antibodi. Contoh, tahap antibodi saya 30 peratus dan ambil vaksin yang keberkesanannya 70 peratus, maka saya ada tahap antibodi 100 peratus.

Kita tidak tahu tahap antibodi masing-masing. Tetapi tidak mungkin antibodi setiap manusia adalah sifar peratus. Covid-19 bermula 2020 dan vaksin pula mulai Mac 2021. Dalam setahun, kita dedahkan diri dengan virus. Pada masa sama, antibodi telah ada dalam badan. Vaksin cuma hendak meningkatkan lagi tahap antibodi.

Adakah oximeter (alat pengukur oksigen) atau kit ujian air liur wajib ada di rumah?

Secara peribadi, kalau berada peringkat endemik, bagus untuk ada oximeter. Tidak jadi perkara yang wajib. Kalau masuk fasa endemik, kadar transmisi jangkitan berkurangan dan tahap keterukan sakit Covid-19 menurun. Kemasukan ke hospital juga sudah turun. Dulu kita galakkan oxi-
meter kerana kesesakan di hospital dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang menyebabkan akses kepada perkhidmatan tersebut sukar.

Seorang pengunjung farmasi memilih set kit ujian pantas (RTK) antigen Covid-19 yang dijual pada harga RM19.90 ketika tinjauan di Ayer 8, Putrajaya pada 6 September 2021. Foto BERNAMA


Banyak SOP dilonggar dan banyak pergerakan orang ramai. Adakah kemungkinan kes baharu meningkat semula?

Dalam tempoh dua tiga minggu ini, kes Covid-19 mungkin naik. Bagi remaja, golongan antivaksin atau mereka yang tidak jaga tiga SOP utama berisiko dijangkiti.

SOP asas kena jaga. Jika boleh, kerajaan kena gerakkan pemantau. Pemantau pen-ting terutama tempat awam. Ini perlu dijaga tempat awam.

Seharusnya tidak sukar jika masing-masing menjaga diri. Itu senang tetapi ada yang tidak sayang dan tidak jaga diri, sambil lewa dan tidak kesah.

Adakah undang-undang khas perlu diwujud dalam fasa sekarang?

Akta 342 iaitu kawalan penyakit berjangkit masih relevan dan SOP masih diguna pakai. Kalau tidak patuh SOP, boleh disaman. Begitu juga penjarakan fizikal, boleh saman.

Contohnya di pantai, jika dahulu 2,000 orang boleh muat di pantai, sekarang untuk penjarakan fizikal yang selesa mungkin muat 1,000 orang. Pihak berkuasa tempatan kena keluarkan SOP dan bukan tutup pantai. Kita tidak boleh balik ke tahun 2019. Kita boleh benarkan peminat tengok bola tetapi hanya dalam kapasiti dua pertiga stadium.

Begitu juga kenduri kahwin atau doa selamat. Bagi saya, sangat penting jaga diri. Boleh balik kampung tetapi buat ujian dahulu sebelum sebab kita akan jumpa orang tua. Itulah norma baharu dalam fasa endemik. Kita kena hidup macam itu.

Apa lagi penambahbaikan yang kerajaan boleh lakukan?

Saya rasa kerajaan daripada sekarang kena uar-uarkan apa itu endemik supaya setiap anggota masyarakat daripada pe-ringkat sekolah tahu apa itu endemik.

Dengan kata lain, kitaran tadi perlu diperjelas kepada rakyat supaya tidak sangsi atau takut apa itu endemik.

Kedua, media massa perlu berperanan untuk memahamkan masyarakat apakah cara hidup yang mesti dilalui dalam peringkat endemik. Gunakan media massa sedia ada seperti TikTok dan televisyen. Waktu perdana penting. Kita lihat suri rumah tengok drama Korea, masa itu sesuai untuk tayang mengenai endemik. Seharusnya media tidak kenakan bayaran tinggi atau percuma untuk tayangkan perkara ini.

Kita juga boleh sampaikan dalam khutbah Jumaat perihal endemik supaya mesej sampai kepada rakyat.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Jenayah berkait agama dalam talian perlu dibawa ke Mahkamah Syariah

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Laman media sosial semakin disalah guna untuk melakukan jenayah termasuk yang berkaitan hal agama Islam, namun setakat ini difahamkan belum ada tindakan pendakwaan dibuat di Mahkamah Syariah.

Memuat naik hantaran bersifat jelik menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam serta institusi raja adalah antara perkara yang tular di media sosial dan jenayah agama dalam talian ini yang ibarat penyakit barah, jika tidak “dicantas”, dikhuatiri akan terus berleluasa.

Perbuatan tidak bertanggungjawab ini sudah tentunya akan mencetuskan perasaan marah dan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Islam negara ini khususnya, yang boleh mengeruhkan suasana harmoni hidup antara kaum.

Sebelum keadaan memburuk, sudah tiba masanya peruntukan berkaitan jenayah alam siber, menggunakan media elektronik ini dimasukkan ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Mengulas lanjut, Peguam Syarie Ahmad Jailani Abdul Ghani berkata, jenayah berkaitan agama wajar diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bagi memastikan keadilan dapat dicapai berdasarkan perspektif syariah supaya jenayah tersebut dapat dibendung atau dikawal agar tidak berleluasa.

“Jenayah berkaitan agama apatah lagi melibatkan dalam talian perlu dipandang serius berikutan terdapat kes yang dilihat belum diambil tindakan oleh penguatkuasa agama disebabkan faktor kekurangan tenaga kerja,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, antara perbuatan jenayah syariah dalam talian adalah menghina agama Islam, memuat naik dan turun bahan pornografi, menyebarkan fitnah dan berita palsu, mengaibkan dan memalukan orang serta menipu.

Selain itu, penghinaan terhadap agama turut dibuat dengan memuat naik gambar Nabi Muhammad SAW dalam keadaan dipandang hina, mencerca patung-patung agama bukan Islam, menulis komen jelik dengan cara untuk mentertawakan bentuk ibadat dan sebagainya.

“Ini kerana pemilik sesebuah akaun tidak perlu melalui sebarang proses tapisan. Apa sahaja yang mereka ingin kongsikan, sama ada tulisan, gambar, video dan seumpamanya, mereka boleh terus hantar dan pada detik yang sama bahan tersebut dapat diakses oleh pengguna internet seluruh dunia,” katanya.

Menurut Ahmad Jailani lagi, penyebaran ajaran sesat atau doktrin yang bertentangan dengan akidah Islam juga berlaku dalam talian dan pihak berkuasa agama perlu bertindak tegas dalam hal berkenaan.

“Selain itu, kita juga dihadapkan dengan kandungan secara elektronik yang mengubah dan menokok tambah asas ibadah dalam agama.Tidak ketinggalan juga terdapat banyak status dan komentar dalam media sosial yang dikhuatiri akan membawa perkara yang menyesatkan dan mengkafirkan sesama Islam tanpa bukti yang benar,” katanya.

Perlu perhatian serius

Setakat ini difahamkan masih belum ada negeri di Malaysia yang yang meluluskan Enakmen Undang-Undang Syariah khusus berkaitan kesalahan secara elektronik.

Dalam perkara ini, Ahmad Jailani meminta pihak berkuasa agama negeri memandang serius hal berkenaan dan bertindak lebih proaktif bagi membendung jenayah dalam talian berkaitan agama ini.

“Sudah sepatutnya langkah lebih proaktif dilakukan untuk menggubal enakmen undang-undang berkaitan.

“Pada masa sama, siri latihan profesional kepada semua anggota dan pegawai serbuan, tangkapan, siasatan dan pendakwaan perlu dibuat secara lebih serius,” katanya.

Menurut Ahmad Jailani, banyak pihak yang memperjuangkan perkara tersebut dan meminta pihak berkuasa mengambil langkah segera untuk menangani isu tersebut.

“Selain Majlis Peguam yang lebih banyak berkaitan dengan Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, para peguam syarie ramai yang bernaung di bawah Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Guaman Syarie Malaysia (PGSM) di mana pemimpin dan anggota kedua-dua persatuan ini terlibat dalam pelbagai wacana termasuk menganggotai pelbagai jawatankuasa yang berfungsi memperkasakan undang-undang dan mahkamah syariah negara ini.

“Ia menunjukkan para peguam syarie berganding bahu bersama-sama para ahli akademik, ahli politik kerajaan dan pembangkang, tokoh agama dan para pengamal undang-undang untuk melihat suatu undang-undang syariah yang lebih ketat digubal di peringkat negeri,” katanya.

Beliau menambah, Malaysia mempunyai dwisistem perundangan dan kehakiman iaitu sivil dan syariah.

Keunikan sistem tersebut adalah perundangan dan kehakiman sivil berada dalam bidang kuasa Persekutuan manakala perundangan dan kehakiman syariah berada dalam bidang kuasa negeri.

“Ada baiknya jikalau sebahagian daripada jenayah syariah secara dalam talian ini diuruskan di mahkamah sivil dengan menggunakan undang-undang sivil. Ini disebabkan terdapat pesalah yang bukan beragama Islam. Kelompok ini tidak boleh didakwa dan dibicarakan mengikut undang-undang syariah kerana mahkamah syariah tidak diberi bidang kuasa untuk membicarakan tertuduh yang bukan beragama Islam.

“Sebagai contoh penghinaan terhadap agama Islam tetapi dilakukan oleh orang bukan Islam. Malaysia mempunyai undang-undang yang cukup untuk mengenakan tindakan terhadap pesalah seperti ini khususnya berdasarkan kepada undang-undang sivil seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Ahmad Jailani berkata, pentingnya memperkasakan undang-undang dan mahkamah syariah untuk menangani kes kesalahan jenayah agama dalam talian khusus untuk penjenayah beragama Islam.

“Usaha ini agak ketinggalan berbanding undang-undang sivil. Ini disebabkan bidang kuasa undang-undang syariah sebagai undang-undang negeri tidak berpusat sebagaimana undang-undang Persekutuan. Setiap negeri memiliki hak autonomi mereka masing-masing yang wajib dihormati,” katanya.

Kaji semula enakmen

Berkongsi pandangan, peguam syarie, Ahmad Munawir Abdul Aziz berkata, dalam usaha mengemaskinikan undang-undang jenayah syariah dengan perkembangan semasa, pihak Majlis Agama Islam negeri sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam mentadbirkan aspek agama negeri masing-masing perlu mengkaji semula Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (EKJS) negeri berkaitan.

Selain itu, kata beliau, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah juga perlu dikaji dan digubal semula.

“Dengan bantuan dan kerjasama Pejabat Pendakwa Raya dan Peguam Negara, serta pakar perundangan Islam di negara ini, satu kajian semula perundangan Islam yang berkaitan dengan kesalahan jenayah syariah dalam talian dapat dicapai.

“Antara lain, satu kajian semula dan rombakan atau pindaan kepada undang-undang sedia ada termasuk akta/enakmen tatacara jenayah syariah yang memperuntukkan prosedur jenayah dalam kes jenayah atau dalam akta/enakmen keterangan syariah yang menyediakan undang-undang berkaitan keterangan dalam perundangan syariah di mahkamah perlu dikaji dalam usaha memartabatkan pentadbiran agama Islam di negara ini,” katanya.

Beliau yang juga Peguambela & Penguamcara Mahkamah Tinggi Malaya berkata, perkara sama dibuat dalam undang-undang jenayah sivil dengan mengemaskinikan Kanun Tata Cara Jenayah (CPC) dan Akta Keterangan 1950 (Evidence Act 1950).

“Undang-undang itu digubal oleh pihak kerajaan Persekutuan dalam usaha berdepan dengan perubahan masa dan aktiviti jenayah yang semakin berleluasa di alam maya, ” jelasnya.

Berhubung penguatkuasaan jenayah dalam talian berkaitan agama, peguam itu berpandangan, mahkamah syariah bukannya badan yang bertanggungjawab dalam menguatkuasakan jenayah syariah yang dilakukan di alam siber.

“Sebaliknya yang berkuatkuasa dalam menangani masalah ini adalah Jabatan Ketua Pendakwa Syarie atau Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing yang bertanggungjawab dan diberi kuasa penuh dalam membawa sesuatu kes untuk didakwa dan diadili oleh mahkamah syariah sebagai badan pengadilan,” katanya.

Beliau berkata, secara umumnya jenayah siber lebih luas dan merangkumi kesalahan khusus di bawah Akta Multimedia dan/atau Kanun Keseksaan jika sesuatu kesalahan tersebut jatuh dalam kesalahan di bawah akta-akta tersebut

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Tahap kesedaran rendah punca haiwan dizalimi secara berleluasa

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Di sebalik penguatkuasaan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang antara lain mengenakan hukuman keras termasuk penjara kepada mereka yang didapati bersalah menzalimi haiwan, perbuatan itu dilihat masih berleluasa dengan sebahagiannya dilakukan secara terbuka.

Kezaliman yang dilakukan bukan sahaja terhadap haiwan belaan dan jalanan seperti anjing dan kucing, tetapi juga kepada binatang liar. Contohnya kejadian di Paya Terubong di Pulau Pinang pada 27 Jun lepas, apabila sejumlah monyet liar ditemukan mati dipercayai akibat diracun.

Menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Zaharinan Abd Aziz, pihaknya menerima 276 aduan membabitkan 13 kategori kezaliman dan pengabaian haiwan pada tahun ini setakat September lepas.

“Kami juga telah menjalankan sebanyak 5,597 operasi membabitkan pemeriksaan ‘pet shop’ (kedai haiwan peliharaan), tempat pembiakan haiwan, penginapan, ‘shelters’ (tempat perlindungan haiwan) dan pemilikan haiwan sepanjang tempoh berkenaan serta menyiasat sebanyak 39 kes.

“Antara kategori aduan kezaliman ialah tidak diberi makan dan minum, ditinggalkan pemilik berpindah, kurungan kotor, diikat dengan rantai yang pendek dan terdedah kepada panas dan hujan,” katanya ketika dalam webinar ‘Kebajikan Haiwan: Di mana Tahap Kesedaran Rakyat Malaysia’ anjuran Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia baru-baru ini.

Katanya, kes yang disiasat merangkumi 30 kes penganiayaan haiwan, dua kes pemberian racun dan tujuh kes pelagaan membabitkan 28 ekor anjing, sembilan ekor kucing, 116 ekor ayam laga dan 27 ekor ikan laga.

“Daripada 39 kes yang disiasat, lapan daripadanya telah selesai di mahkamah dengan tindakan di bawah Akta 772 iaitu Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

Denda maksimum RM100,000, penjara hingga tiga tahun

Zaharinan berkata perbuatan menyepak, menendang, mendera atau mencacatkan anggota haiwan dikira sebagai kesalahan penganiayaan yang dilakukan dengan sengaja, sama ada haiwan dimiliki ataupun yang terbiar.

Begitu juga dengan tindakan tidak menyediakan makanan dan minuman serta meracun haiwan.

Beliau berkata Akta 772 memperuntukkan beberapa seksyen khusus bagi kesalahan-kesalahan tersebut, iaitu Seksyen 29 untuk penganiayaan haiwan, Seksyen 30 (pembunuhan haiwan), Seksyen 31 (pemberian racun) dan Seksyen 32 (pelagaan haiwan).

“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Presiden Kelab Kucing Malaysia Khalid Rashid (kanan) bersama Doktor Veterinar Nurul Alia Azri (kiri) dan Presiden Persatuan Suara Haiwan Malaysia Nashriq Ismail Sabri (tengah) bergambar bersama selepas pelancarannya pada Program CSR Membantu ‘Cat Shelters’ sempena Kempen Hari Kebajikan Haiwan 2021 pada 30 Sept 2021. Foto BERNAMA

Tahap kesedaran rendah

Sementara itu, Pengarah Bahagian Regulatori JPV Dr Muhammad Razli Abdul Razak mengakui masalah kezaliman terhadap haiwan termasuk dari segi penjagaan kebajikan dan kesejahteraan masih berleluasa di negara ini berikutan tahap kesedaran masyarakat masih rendah.

“Usaha aktivis haiwan, persatuan-persatuan pencinta haiwan dan pegawai veterinar dalam menjaga kebajikan haiwan adalah tidak mencukupi. Usaha ini perlu mendapat kerjasama secara menyeluruh iaitu menerapkan rasa sayang terhadap haiwan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Veterinar Universiti Putra Malaysia Dr Syamira Syazuana Zaini berkata berdasarkan kajian International Journal of Environmental Research and Public Health pada April lalu, penganiayaan haiwan berhubung kait dengan isu keganasan rumah tangga.

“Sebagai contoh, di United Kingdom, sesuatu kes penganiayaan haiwan tidak akan terhenti pada hukuman terhadap pesalah sahaja, pihak berkuasa mereka akan teruskan penyiasatan sehinggalah mendapati kebanyakannya berpunca daripada keganasan domestik dan kesihatan mental masyarakat.

“Satu kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kuala Lumpur pada 2019 ke atas penduduk di Putrajaya, mendapati kesedaran mereka terhadap kebajikan haiwan masih kurang dan antara faktornya ialah kurang ilmu pengetahuan, cara menilai haiwan peliharaan mereka, persepsi, budaya, ekonomi dan komunikasi,” katanya.

Dr Syamira Syazuana berkata ada lima asas kebajikan haiwan yang perlu difahami oleh masyarakat, iaitu keperluan persekitaran yang bersesuaian; keperluan untuk dilindungi daripada kesakitan, penderitaan, kecederaaan dan penyakit; keperluan untuk ditempatkan bersama atau berasingan; keperluan untuk mempamerkan corak kelakuan semula jadi; dan diet yang sesuai.

“Bagi meningkatkan kesedaran terhadap kebajikan haiwan, beberapa alternatif boleh diterapkan dalam kalangan masyarakat, antaranya perubahan sikap manusia dari segi kesihatan fizikal dan mental, menggunakan participatory approach dengan haiwan-haiwan, komunikasi secara empati, serta pendidikan dan pendedahan terhadap kesedaran itu sejak kecil,” katanya.

Terap 5C

Sementara itu, doktor veterinar Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali berkata penerapan tanggungjawab lima ‘C’ iaitu Commitment, Consideration, Cost, Control dan Care perlu diterapkan dalam kalangan setiap pemilik haiwan peliharaan supaya penjagaan haiwan terbabit lebih terjamin.

“Memelihara dan menjaga haiwan merupakan komitmen seumur hidup dan (pemilik) perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan seperti tahap kesihatan, pindah rumah dan keadaan persekitaran bagi memastikan haiwan yang dijaga itu dapat menyesuaikan diri mereka.

“Selain itu, kaji sikap haiwan-haiwan yang ingin dipelihara kerana karekter dan diet mereka tidak sama dengan manusia. Pastikan anjing atau kucing peliharaan anda tidak berkeliaran dan mengganggu ketenteraman jiran kerana orang awam boleh mengadu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) jika mereka tidak selesa dengan gangguan haiwan-haiwan dan PBT berhak memindahkan dan memusnahkan mereka,” katanya.

Katanya bagi mengawal populasi haiwan-haiwan seperti anjing dan kucing, pastikan mereka dimandulkan dan hanya diberi ubat yang dipreskripsi oleh doktor veterinar bertauliah.

“Jangan pandai-pandai memberi ubat-ubatan manusia tanpa mendapat khidmat nasihat daripada doktor veterinar,” katanya dan mengingatkan masyarakat agar mengukur kemampuan sebelum memelihara haiwan belaan.

Ini katanya bagi mengelakkan haiwan peliharaan terbabit dibuang apabila pemilik tidak lagi mampu menjaga mereka, sama ada kerana kerap beranak atau faktor-faktor lain.

Hal ini ada kebenarannya kerana menurut Persatuan Haiwan Malaysia, kejadian pembuangan haiwan peliharaan di sekitar ibu negara meningkat tiga kali ganda ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut mereka, keadaan itu dikesan oleh sukarelawan persatuan yang bertugas menjaga kebajikan haiwan terbiar di satu-satu kawasan.

-BERNAMA