Categories
NASIONAL SELANGOR

MPK roboh premis beroperasi secara haram

MPK Kilang Haram 01

KLANG, 12 SEPT : Tindakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) meroboh premis perniagaan di Jalan Teratai, Meru disebabkan beroperasi haram dan menyalahi Akta Kanun Tanah Negara, tegas ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman.

Abdul Rani berkata, tindakan meroboh premis perniagaan melibatkan gerai makanan, kedai runcit dan buah-buahan di bahu jalan itu dilakukan selepas menerima aduan penduduk setempat.

“Apabila melibatkan Kanun Tanah Negara, tiada siapa pun boleh terkecuali dengan tindakan meskipun pemilik premis perniagaan itu orang kenamaan mahupun Adun,” jelasnya.

Sebelum ini, MPK menerusi Operasi Bersepadu bersama beberapa agensi lain bertindak meroboh sembilan premis perniagaan milik warga tempatan dan empat milik warga asing di Jalan Teratai, Meru, Klang.

MPK Kilang Haram 02

Abdul Rani berkata, tidak sewajarnya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mempersoalkan tindakan MPK itu kerana ianya operasi bersepadu pelbagai agensi kerajaan negeri dan pusat.

Ianya melibatkan Jabatan Perkhidmatan dan Persekitaran (JPP), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jangan salahkan MPK, tindakan ini adalah operasi bersama atas aduan penduduk, malah penduduk di situ sendiri mengakui bahawa mereka menghadapi masalah tersebut sejak 15 tahun lalu.

“MPK dan agensi-agensi yang terlibat dalam operasi itu menjalankan suatu tindakan betul kerana dilakukan setelah bermesyuarat,” ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penstrukturan Semula Air Bakal Selesai Dua Bulan Lagi

MB Melawat Loji Air Kuala Selangor 01

SHAH ALAM 2 JUL : Kerajaan Negeri menjangkakan bahawa rundingan pengurusan air dengan Kerajaan Persekutuan dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya juga telah menyediakan surat perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat berhubung perundingan tersebut.

“Ianya disediakan berdasarkan tawaran-tawaran yang perlu diterima selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Kita juga optimis dengan perkara ini berikutan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan persetujuan untuk proses penyusunan semula pengurusan air di Selangor,” kata Abdul Khalid di dalam Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Meru, Dr. Abdul Rani Osman berhubung perkembangan pengurusan air Selangor.

Abdul Khalid juga menjelaskan, sebagai persediaan rapi, Kerajaan Negeri juga menubuhkan satu pasukan pengurusan professional yang berkemampuan mengendalikan pengurusan air di Selangor sekiranya proses ambil alih berjaya.

“Pasukan pengurusan ini terdiri daripada eksekutif dari luar negara yang berkelayakan.?

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Tujuan penstrukuturan semula adalah supaya rakyat mendapat bekalan air terawat yang efisen dan pada harga yang berpatutan.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.