Categories
PBT SELANGOR

MBSA lancar Bas SEDA-10 Cari & Musnah Aedes

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melancarkan Bas SEDA-10 I.C (Search and Destroy Aedes-10 Minutes Information Center) sebagai salah satu inisiatif menjayakan kempen kesedaran deman denggi.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, ia juga merupakan usaha MBSA untuk menjalankan aktiviti promosi kesihatan di beberapa lokasi di sekitar Shah Alam.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan tanggungjawab kepada penduduk terhadap kepentingan mengamalkan kebersihan dalam menangani masalah demam denggi.

“Promosi ini merupakan usaha berterusan untuk menjadikan kawasan pentadbiran MBSA bebas masalah demam denggi.

SEDA1“Secara tidak langsung, ia diharap dapat memberi pendedahan kepada masyarakat untuk mempunyai sifat bertanggungjawab dan bersama-sama memerangi masalah kes demam denggi,” katanya kepada SelangorKini.

Majlis Pelancaran Bas SEDA-10 I.C disempurnakan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi diiringi Datuk Bandar, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, baru-baru ini.

Beroperasi pada setiap hujung minggu, waktu pengoperasian Bas SEDA-10 I.C ini bermula dari jam 2.30 petang hingga jam 6.30 petang di sekitar Taman Tasik Shah Alam.

Bas SEDA-10 I.C mula beroperasi pada 5 Ogos lalu di lokasi berhadapan Antan Batura sementara pada 12 Ogos lalu beralih ke lokasi berdekatan Kedai Kopi 1.

Pada 19 Ogos ini, ia dijangka singgah berhadapan Taman Tema Wetworld dan minggu berikutnya, iaitu pada 26 Ogos, Bas SEDA-10 I.C akan berlegar di lokasi berhadapan Kompleks PKNS.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco: Basmi Aedes tanggungjawab bersama

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 JUN : Tangungjawab membanteras pembiakan Aedes tidak terhad kepada Kerajaan Negeri sebaliknya kesedaran masyarakat awam terhadap bahaya Denggi juga perlu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, semua pihak disaran mengambil pendirian terbukadan bertangungjawab memastikan kawasan pembiakan Aedes dihapuskan.

“Ia bukan menjadi tangungjawab atau tugas Exco Kesihatan, PBT atau Menteri Besar sekali pun. Tetapi semua termasuklah pemimpin masyarakat, juga orang ramai perlu mempunyai kesedaran berkenaan bahaya aedes.

YB Daroyah“Kita semua harus sedar terhadap bahaya Aedes dan maut yang menanti jika terus mengabaikan kebersihan,” katanya.

Sementara itu, Dr Daroyah berkata, penjagaan berterusan terhadap persekitaran setempat perlu diberi keutamaan.

Katanya, ia bagi memastikan tiada sebarang habitat pembiakan Aedes yang mengundang kepada penularan kes demam denggi di Selangor.

“Sampah-sampah ditinggalkan secara tidak terurus boleh menjadi medium pembiakan aedes.

“Hujan pada malam dan awal pagi ketika ini juga boleh menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi,” katanya kepada SelangorKini.

DENGGI-GRAFIKDaroyah berkata, antara pendekatan dilaksana dalam mengawal dan mencegah penularan denggi termasuk semburan larvisiding dengan tujuan untuk memutuskan kitaran hidup Aedes diperingkat jentik-jentik.

“Justeru masyarakat disaran terus berwaspada dan mengamil langkah pencegahan termasuklah tidak membuang sampah atau beg plastik merata rata.

“Masyarakat juga dinasihatkan agar memakai pakaian berlengan panjang dan disyorkan menggunakan “insect repellent,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Sepang PBT pertama basmi aedes guna minyak masak terpakai

CYBERJAYA 25 JAN: Majlis Perbandaran Sepang (MPS) menjadi pihak berkuasa tempatan pertama diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) susulan kejayaannya menghasilkan semburan pembasmi nyamuk aedes ‘Aedes Bio-Based Fuel’ (ABBF) menggunakan minyak masak terpakai.

Yang Dipertua MPS, Datuk Puasa Md Taib berkata ABBF dibangunkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sejak 2015, dan produk itu kini diguna di lokaliti terpilih seperti Taman Dengkil Jaya sebagai percubaan.

“Produk akan dipatenkan dan didaftarkan dalam waktu terdekat supaya penggunaannya boleh diperluas,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya MPS merancang menggunakan ABBF di kawasan yang merekodkan peningkatan kes demam denggi.

Antara kelebihan ABBF ialah mempunyai kesan membunuh nyamuk sama seperti semburan diesel, mengurangkan kesan toksik, tidak memedihkan mata atau menngeluarkan bau serta asap yang tidak selesa.

ABBF juga mengurangkan risiko kesihatan kepada pekerja yang melakukan aktiviti semburan dan mereka yang terdedah kepada asap semburan selain mesra alam sekitar.

Pada majlis hari ini, Puasa menerima sijil MBOR daripada Penolong Pengurus MBOR Ayman Izzaz.

Mengulas lanjut, Puasa berkata, kekangan yang dihadapi oleh MPS pada masa ini ialah bekalan minyak masak terpakai yang terhad iaitu sekitar 5,000 kilogram sebulan.

Sementara itu, Ketua Program Teknologi Biomass FRIM Wan Asma Ibrahim berkata minyak masak terpakai yang dibeli MPS diproses di bengkel biotenaga FRIM di Kepong.

Katanya, secara purata setiap tan minyak masak terpakai menghasilkan sekurang-kurangnya 80 peratus ABBF.

“Pada masa ini MPS membeli bekalan minyak masak daripada pengusaha makanan di kompleks beli-belah sekitar Sepang menerusi satu persefahaman,” kata Wan Asma.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Bersama perangi aedes, elak jadi mangsa Virus Zika

OLEH SYASYA SUFIAN

KELANA JAYA, 21 SEPT: Masyarakat disaran bertindak agresif atas kesedaran sendiri memastikan persekitaran rumah bersih daripada tempat pembiakan nyamuk aedes.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin, berkata sekiranya masyarakat ingin menghapuskan penularan demam denggi dan jangkitan virus Zika, mereka perlu terlebih dahulu bertindak melenyapkan nyamuk Aedes kerana kedua kes tersebut membiak dari nyamuk sama.

“Kebanyakkan penduduk sering menyalahkan kerajaan apabila berlaku kes demam denggi dan virus zika kerana tempat awam yang tidak bersih.

“Namun setelah Pejabat Kesihatan Daerah membuat kajian, separuh daripada kes berpunca daripada rumah itu sendiri, penduduk perlu mengambil inisiatif menghapuskan tempat pembiakan dengan memastikan tiada takungan air jernih yang boleh mengundang kewujudan jentik-jentik,” katanya.

img_2624Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas kempen Anti Zika dan Denggi di LRT Taman Bahagia, di sini, hari ini.

Katanya, kes demam denggi di sekitar kawasan hotspot juga menunjukkan pengurangan seperti di SS21 hanya 2 kes, SS22 (4 kes), SS25 (2 kes) dan SS17A (4 kes).

Selain itu, penduduk juga dinasihatkan untuk mendapatkan ‘repellent’ iaitu sejenis losyen atau semburan untuk mencegah gigitan nyamuk.

“Pemakaian gelang, ‘sticker’ atau klip pencegah tidak memberi perlindungan sepenuhnya dengan efektif berbanding losyen atau semburan.

“Penduduk yang mempunyai urusan di tempat potensi Zika seperti Singapura disaran juga membawa dan memakai ‘repellent’ tersebut bagi melindungi badan dari gigitan nyamuk aedes,” katanya.

EZY

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco terjah denggi, pupuk kesedaran bahaya Aedes

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 30 OGOS :Komitmen memerangi penularan denggi diteruskan menerusi program ‘terjah’ Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi bersama pasukan Jabatan Kesihatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Daroyah berkata, inisiatif berkenaan bagi memastikan masyarakat mempunyai kesedaran untuk menjaga persekitara kediaman bebas daripada pembiakan Aedes.

“Kerajaan Negeri amat serius memerangi wabak denggi kerana ia begitu meruncing dengan catatan tinggi, sejak awal Januari lalu.

14079738_10207160269905469_4091960206458698396_n“Untuk memperlihatkan betapa seriusnya usaha Kerajaan Negeri dalam membanteras wabak denggi ini program ‘terjah’ akan diteruskan di lokasi hotspot denggi sekitar Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Pada program itu, Daroyah turun padang meninjau persekitaran kediaman di Seksyen 16, di sini, malam tadi.

“Terjahan kali ini turut menjumpai jentik-jentik di dalam rumah tetapi tiada kompoun dikeluarkan dan hanya amaran lisan sahaja diberikan kepada pemilik rumah terbabit.

“Penduduk sekitar juga dinasihati supaya sentiasa menjaga kebersihan kawasan rumah mereka dengan membersihkan tempat yang berkemungkinan menjadi tempat pembiakan jentik-jentik,” katanya.

Di akhir program itu, Daroyah berkata, pelantikan ejen SEDA-10 turut dibuat menerusi penganugerahan sijil kepada penerima.

Inisiatif tersebut sebagai komitmen membantu Kerajaan Negeri memupuk kesedaran untuk memerangi denggi dalam kalangan masyarakat.

Statistik sehingga 6 Ogos lalu, daerah Petaling mencatatkan kes denggi tertinggi dengan 338 kes diikuti Hulu Langat dengan 230 kes.

Kesuluruhan bagi statistik denggi di Selangor untuk tempoh tersebut mencatatkan 851 kes.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kediaman tak ada penghuni berpotensi biak Aedes

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 JULAI: Kediaman tidak berpenghuni yang dibiarkan untuk tempoh lama berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes disebabkan pembuangan sampah domestik dan pukal.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata hasil lawatan ke pangsapuri Bandar Baru Kundang yang menjadi lokasi hotspot pembiakan denggi di daerah Gombak mendapati 243 daripada 548 unit kediaman tidak berpenghuni dan dilabel sebagai bermasalah selain dihuni warga asing.

daroyah01“Kawasan ini dilabel sebagai bermasalah kerana mempunyai potensi menjadi tempat pembiakan Aedes. Selain itu, setengah daripada penghuni di sana bukan warga tempatan tetapi dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Vietnam.

“Hasil daripada lawatan mendapati unittidak berpenghuni ini dipecahkan indivitu tidak bertanggungjawab untuk dijadikan tempat pembuangan sampah. Pelbagai jenis bahan buangan dapat dilihat di dalam premis seperti sampah pukal pembinaan, perabut, pakaian juga sampah domestik.

“Sikap malas dan tidak bertanggungjawab sebahagian penduduk merisikokan semua penghuni pangsapuri berkenaan kepada masalah denggi selain masalah bau yang busuk dan persekitaran kurang menyenangkan,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk meluluskan peruntukan RM164,000 bagi kos pembersihan dan baik pulih unit premis bermasalah di pangsapuri yang mempunyai tujuh blok itu.

Daroyah berkata, Majlis Perbandaran Selayang sudah mengeluarkan notis kepada JMB untuk menjalankan aktiviti gotong-royong tetapi tidak mendapat respon baik daripada penduduk sejak masalah itu dikenalpasti Pejabat Kesihatan Daerah Gombak dan dipanjangkan kepada MPS), pada April lalu.

daroyah02Selain itu, MPS diarahkan untuk mengkaji dan meneliti semula cara pelaksanaannya supaya kejadian sama tidak berulang lagi.

“MPS juga bertindak mengeluarkan notis kepada 243 pemilik unit kosong untuk menjalankan kerja pembersihan di kediaman milik masing-masing melalui penampalan notis pintu kediaman dan melalui pos kepada pemilik yang berada di luar kawasan menggunakan alamat dibekalkan.

“Selepas berlangsung beberapa siri gotong-royong melibatkan MPS, PKD, JMB dan penduduk setempat, daripada jumlah 243 unit kosong bermasalah, 67.1 peratus atau 163 unit kediaman sudah dibersihkan. Bagaimanapun, kejadian sedemikian tidak mustahil akan berulang jika tiada pemantauan berterusan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Malas dan tidak bertanggungjawab undang risiko denggi

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 JULAI: Sikap malas dan tidak bertanggungjawab sebahagian penduduk mendatangkan risiko semua penghuni Pangsapuri Bandar Baru Kundang kepada masalah denggi.

Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi berkata hal itu menyebabkan kawasan perumahan terbabit menjadi lokasi hotspot denggi.

Katanya, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sudah mengeluarkan notis kepada 243 pemilik unit kosong di Pangsapuri Bandar Baru Kundang, untuk menjalankan kerja pembersihan.

1 (2)Bagaimanapun beliau berkata tindakan itu tidak mendapat respon baik dari penduduk.

“Apartment 7 blok Bandar Baru Kundang memiliki sebanyak 548 unit kediaman. Daripada jumlah itu, 243 unit daripadanya tidak berpenghuni dan bermasalah.

“Selain daripada itu, setengah daripada penghuni di sini merupakan warga asing. Lawatan mendapati unit tidak berpenghuni ini dipecahkan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk dijadikan tempat pembuangan sampah.

“Pelbagai jenis bahan buangan dapat dilihat seperti sampah pukal pembinaan, perabut, pakaian juga sampah domestik,” katanya dalam lawatan ke sebuah lokasi hotspot pembiakan denggi di Daerah Gombak.

Daroyah berkata selepas beberapa siri gotong-royong, daripada jumlah 243 unit kosong bermasalah, 67.1 peratus iaitu 163 unit kediaman dibersihkan.

“Walaubagaimanapun, kejadian sedemikian tidak mustahil akan berulang,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

SEDA-10 banteras aedes dapat sambutan

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 6 JUN: Komitmen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terhadap usaha membanteras denggi dengan melancarkan aktiviti Jom “Cari dan Musnah Aedes” iaitu dibawah program SEDA-10 (Search and Destroy Aedes for 10 minutes) semakin mendapat sambutan masyarakat setempat.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran SEDA-10, Syamira Suhana Mohd Basari, berkata sehingga kini lebih 20 program dan aktiviti dilaksanakan SEDA-10 sejak dilancarkan 9 April lalu.

AEDES 1“Kebanyakan kawasan hotspot yang kita jalankan semakin mendapat sambutan dan galakan penduduk setempat apabila mereka makin sedar tentang bahayanya Aedes setelah diberi penerangan.

“Kita bukan sahaja menjalankan aktiviti di kawasan Hotspot malahan di kawasan lain yang berpotensi seperti dimaklumkan Ahli Majlis selaku pengerusi SEDA setiap Zon, kita akan laksanakan program,” katanya.

Beliau berkata demikia kepada SelangorKini ketika Program Gotong royong & sesi taklimat SEDA-10 di Pangsapuri Sri Suria, Seksyen 34, Shah Alam, di sini, pagi tadi.

Syamira berkata, peranan utama SEDA-10 adalah untuk mengadakan aktiviti mencari dan musnah Aedes selain mengadakan taklimat untuk kesedaran penduduk tentang bahayanya denggi.

“Kita juga memberikan pendidikan kesihatan berkaitan demam denggi disamping memberi latihan kemahiran kepada agent-agent SEDA.

“Dengan kerjasama penduduk dengan MPP, kita lihat program ini semakin menampakkan hasil yang positif apabila kes semakin menurun. Namun kita masih dalam situasi berjaga kerana trend demam denggi datang tidak tentu masa dengan keadaan cuaca juga yang tidak menentu,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Waspada pembiakan aedes, penduduk mesti prihatin

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 4 JUN: Masyarakat disaran mengambil berat kes penularan wabak denggi sekali gus bertindak sewajarnya dengan memberikan kerjasama membasmi pembiakan nyamuk Aedes.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Suhaimi Shafiei, berkata tidak kira di kampung dan taman penduduk perlu bersedia lebih peka mengambil tanggungjawab mengenai kes denggi dan lakukan pemeriksaan.

AEDES 1“Mereka perlu ada sifat inisiatif dalam turut serta meneyrtai program yang dianjurkan Kerajaan Negeri mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerana kita tinggal di dalam komuniti berkongsi lantai dan bumbung, jadi dituntut semua masyarakat mengambil tanggungjawab demi kesihatan bersama dalam mengurangkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Dengan usaha itu kita dapat mengurangkan peningkatan wabak denggi yang berlaku di kawasan ini kerana ini antara kawasan tertinggi di seluruh Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata beliau sedikit kecewa dan terkilan dengan penduduk yang ambil enteng dan tidak turun padang sewaktu program basmi denggi anjuran pihak berkuasa dijalankan.

“Setiap kali pihak berkuasa anjurkan program, rakyat sendiri yang tidak memberi respon mahupun mengambil berat.

“Tetapi bila ada antara ahli keluarga yang dijangkit demam denggi, seringkali menyalahkan pihak lain.

Katanya, isu denggi bukan perkara kecil, ia melibatkan nyawa dan menjadi peranan rakyat hidup bermasyarakat untuk turut serta aktiviti seperti itu dan secara tidak langsung dapat menyelamatkan ramai nyawa.

“Diharap setiap masyarakat peka kerana denggi ini boleh terkena pada sesiapa saja tidak kira usia,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Denggi terus menurun, Selangor komited perangi aedes

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 MEI: Statistik kes demam denggi terus memperlihatkan trend penurunan dari minggu ke minggu walau terdapat kebimbangan apabila bermulanya musim hujan, baru-baru ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata sepanjang tahun ini, catatan kes daftar minggu ini (21 Mei) adalah yang terendah iaitu 700 kes yang direkodkan berbanding 1301 kes bagi epid ke-11.

DAROYAH DENGGI“Terima kasih kepada setiap seorang daripada kita atas kesedaran dan rasa tanggungjawab masing-masing memastikan persekitaran bebas dari tempat yang mampu membiak Aedes.

“Kita tidak mampu membenteras masalah ini jika ia diletakkan hanya di bahu pihak berkuasa. Kalau bukan kita siapa? Jangan sampai ada yang menderita kerana kita.

“Terus sebarkan kesedaran kepada semua ahli keluarga, sahabat handai, jiran dan masyarakat berkenaan bahaya membiarkan tempat pembiakan ini terus ada di persekitaran kita,” katanya menerusi laman sosialnya Facebook.

Dr Daroyah berkata, Kerajaan Negeri akan terus komited dan memantau terutama dalam dua minggu terdekat selain menasihatkan masyarakat terus prihatin serta berwaspada terhadap tahap kebersihan persekitaran masing-masing.

Katanya, semua medium yang berpotensi untuk pembiakan aedes perlu dihapuskan daripada persekitaran rumah dan premis masing-masing.

13239249_10206504517672073_2055745030972326319_n“Bagaimanapun, musim hujan yang tiba sedikit menggusarkan kerana dijangka akan menyebabkan telur nyamuk Aedes yang selama ini pasif pada cuaca kering akan menetas dengan banyak dan menjadi jentik-jentik dengan adanya air bersih yang bertakung terutama akibat hujan.

“Telur nyamuk akan menetas menjadi jentik-jentik dan dalam masa tujuh hari ia akan menjadi nyamuk dewasa yang membawa virus denggi.

“Telur nyamuk yang boleh bertahan selama enam bulan walaupun dalam cuaca panas dijangka akan menetas dengan banyaknya dan dijangka akan menyebabkan angka kes denggi meningkat jika tiada langkah pencegahan serta kawalan yang optimum diambil semua pihak khususnya diri-sendiri,” katanya.

Untuk rekod, epid ke-14 sebanyak 1189 kes direkodkan dan terus menurun ke epid 15 (1137), epid ke-16 (929), epid ke-17 (892), epid ke-18 (781), epid-19 (732) dan epid ke-20 (700) kes.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Gempur tempat pembiakan nyamuk Aedes

OLEH : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memeriksa kawasan rumah kosong dan rumah tinggal dalam usaha memerangi pembiakan nyamuk Aedes.

Timbalan Setiausahanya, Rosli Bakar, berkata pihaknya terlebih dahulu memaklumkan kepada mana-mana pemilik yang berkenaan.

AEDES 1“Kita tidak boleh memasuki kawasan rumah yang tidak berpenghuni sembarangan kerana ia menyalahi undang-undang.

“Kita meminta kebenaran dahulu memandangkan pemeriksaan itu penting dijalankan kerana premis sebegini berpotensi menjadi kawasan pembiakan Aedes,” katanya.

Terdahulu, beliau menyertai 34 pasukan Task Force Denggi menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah di sekitar Seksyen U8 bermula jam 9 pagi.

Turut serta ialah Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari dan wakil persatuan penduduk.

Bermula 29 Oktober 2015, sebanyak 131 kes demam denggi dicatatkan di sekitar kawasan itu sehingga kini.

Sejak awal 2016, sebanyak 2,744 premis diperiksa di Shah Alam selain 97,895 premis menerima semburan (fogging).

Dalam tempoh sama, sebanyak 88 kompaun atas kesalahan membiak jentik-jentik Aedes dikeluarkan dengan kadar RM500 setiap satu.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

PBT perlu kreatif tarik minat masyarakat perangi Aedes

Oleh: DR DAROYAH ALWI

Selain pencegahan melalui aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes, Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan tambahan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya menggandakan usaha melalui projek khas kesedaran dan pendidikan masing-masing yang melibatkan komuniti dan masyarakat setempat.

Dalam usaha kita memerangi gejala denggi, setiap PBT telahpun mempunyai program khas di PBT masing-masing bagi menarik minat masyarakat setempat untuk turut serta dalam memastikan persekitaran kita bersih dari gejala yang mampu membawa maut ini.

Sebagai contoh di Majlis Perbandaran Sepang (MPSP), mereka melaksanakan program-program pendidikan bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan orang awam seperti penubuhan Denggi Action Community (DAC), Denggi Action Kids (DAK) serta kempen Bas Sekolah Tanpa Aedes (BATAS).

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula mengambil inisiatif menganjurkan Program Gerak Advokasi Denggi, ia merupakan gerakan kesedaran awam terhadap bahaya demam denggi dengan kaedah memberi nasihat dari rumah ke rumah secara langsung dan membabitkan pelbagai pihak antaranya pemimpin masyarakat, sukarelawan serta pelajar.

Selain daripada memberi nasihat dan didikan berkenaan bahaya denggi, MBSA juga akan mengedarkan risalah dan bahan promosi program ini di tempat strategik dengan tujuan memupuk kefahaman kepada semua pihak bahawa wabak itu boleh dikawal jika masyarakat prihatin dan mengutamakan aspek kebersihan dalam kehidupan.

Program-program sebegini mampu menarik minat dan perhatian masyarakat untuk turut serta dalam usaha memastikan persekitaran kita bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Program-program khas di PBT lain antaranya mewujudkan Search And Destroy Dengue Rangers (SEDAR) di pelbagai peringkat oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), penubuhan skuad Denggi dan makmal Nyamuk Toxo oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan edaran risalah pelbagai bahasa oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Terbaru, Kerajaan Negeri bakal melancarkan Mobile Apps Denggi sebagai aplikasi pintar yang memaparkan data denggi secara mingguan dalam masa terdekat. Aplikasi ini telahpun dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan ia mendapat respon positif daripada masyarakat apabila mereka mampu mendapatkan maklumat terkini situasi denggi di kawasan masing-masing secara terus.

Sehingga 19 September lalu, kes kematian demam denggi di Selangor terus meningkat kepada 101 kes dan ia sangat membimbangkan, kita mengharapkan tindakan drastik daripada semua pihak.

Petaling mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 36 kematian, Hulu Langat (23), Klang (15), Gombak (13), Sepang (7), Kuala Langat (3), manakala Kuala Selangor dan Hulu Selangor masing-masing dengan dua kematian.

Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius tentang perkara ini. Tanggungjawab ini bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa semata-mata, ia memerlukan kerjasama dari semua pihak termasuk masyarakat dan orang awam.

Di minggu epid ke 37, empat daerah utama terus menunjukkan kes denggi tertinggi iaitu daerah Petaling (20,164 kes), Hulu Langat (11,282 kes), Klang (6,071 kes) dan Gombak (5,330).

# Dr Daroyah Alwi adalah Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Selangor