Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat ke-88

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat Malaysia ke-88 kepada seluruh warga angkatan Tentera Darat, termasuk veteran dan semua yang pernah berkhidmat.

Istana Negara dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook menyatakan Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota angkatan Tentera Darat, khususnya yang bertugas di barisan hadapan atas pengorbanan yang dicurahkan dalam membantu kerajaan memerangi penularan wabak Covid-19.

Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para perwira dan anggota tentera darat yang terkorban semasa bertugas.

Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, baginda turut menyanjung tinggi jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota tentera darat dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.

“Semoga angkatan tentera darat terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa,” titah baginda.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN saran sidang Parlimen Mac, selaras titah Agong

SHAH ALAM, 24 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) menyarankan sidang Parlimen dilangsungkan seawal Mac ini, kata Majlis Presiden.

Menurutnya, perdana menteri diminta menjunjung titah dan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung perkara itu selaras sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“PAKATAN serta majoriti ahli parlimen berpendirian bahawa Parlimen harus memainkan peranan seperti
pihak Eksekutif dan Kehakiman yang berfungsi sewaktu darurat.

“Kami mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen, mengetengahkan isu serta masalah dihadapi rakyat ketika membendung pandemik Covid-19 selain merencana langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan.

Kenyataan itu melibatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Hari ini, Seri Paduka bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong: Parlimen boleh bersidang walaupun darurat

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau berkata tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Jan 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak Covid-19 yang meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau berkata Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.

Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka menegaskan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahu pun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

Ahmad Fadil berkata dalam sesi menghadap hari ini, Seri Paduka turut mengambil maklum hal sampingan berkaitan budaya, warisan dan etika tata perlakuan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas serta bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi.

Menyentuh perkembangan terkini wabak Covid-19, Seri Paduka mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi kerajaan berkaitan atas usaha merealisasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hari ini dan dijangka mengambil masa sehingga beberapa bulan.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para wira dan wirawati petugas barisan hadapan atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memerangi wabak Covid-19.

“Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga negara ini sentiasa dilindungi dan bebas daripada wabak ini dengan segera,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19, menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahu pun warga asing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong kurnia bantuan rumah baharu kepada mangsa banjir Pahang

PEKAN, 12 FEB: Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang mengalami kemusnahan harta benda, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan bantuan bagi membina rumah baharu kepada mereka yang terjejas.

Keprihatinan baginda terserlah, apabila turut berangkat turun padang bagi meninjau sendiri tapak pembinaan rumah baharu tersebut, masing-masing di Kampung Sungai Gangchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai hari ini.

Seri Paduka turut diiringi empat anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Sejurus tiba di Kampung Tanjung Pulai kira-kira 4 petang, baginda diberi taklimat ringkas oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Hafizah Zakaria, yang memaklumkan kerja pembinaan rumah setingkat berkeluasan 660 kaki persegi itu, akan bermula pada minggu depan.

Menurut Hafizah, pembinaan rumah yang mempunyai tiga bilik selain dilengkapi ruang makan dan tandas itu, akan mengambil masa 16 minggu yang dibina di atas tanah milik mangsa banjir sendiri.

Sementara itu, pemilik rumah Mohd Khanafiah Abu Bakar, 52, berkata, beliau sangat bersyukur dan tidak menjangkakan akan menerima sebuah rumah baharu pemberian Al-Sultan Abdullah.

Katanya, sebahagian struktur rumahnya runtuh akibat banjir pada awal bulan lepas dan beliau kini menumpang di rumah saudaranya, buat sementara waktu.

“Saya sangat terharu, rumah berkenaan merupakan rumah pusaka kami dan adik beradik, untuk berkumpul ketika raya dan kenduri, kami sangat menghargai pemberian baginda ini,” katanya yang menetap di Kampung Tanjung Pulai.

Bagi ibu tunggal Nur Hasnah Mat Yunos, 60, yang tinggal di Kampung Sungai Gangchong, Acheh, di sini, kurniaan baginda diibaratkan rezeki yang tidak disangka untuk mereka sekeluarga.

“Rumah kami hanya rumah papan, bila banjir habis lantai rosak. Junjung kasih kepada Tuanku yang begitu baik dan sudi membina rumah baharu untuk kami,” kata Nur Hasnah yang menetap di kampung berkenaan bersama tiga anak dan dua cucu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri ucap Selamat Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah and Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada rakyat Malaysia yang menyambut perayaan itu, esok.

Ucapan Seri Paduka berdua itu dimuat naik menerusi hantaran sebuah poster di akaun Instagram dan Facebook Istana Negara, @istana_negara hari ini.

“Semoga anda dan keluarga yang disayangi dilimpahi kemakmuran, kesihatan yang baik, kegembiraan dan semangat muhibah antara kalangan rakyat Malaysia.”

Menerusi poster itu, Seri Paduka berdua turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati, mengamalkan penjarakan fizikal dan jaga diri semasa meraikan sambutan dalam suasana normal baharu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin janji bubar Parlimen selepas Covid-19 reda

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian dan komitmen untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan pandemik Covid-19 reda dan seterusnya mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana menteri turut mengingatkan semua pihak supaya berhenti melemparkan tohmahan yang tidak berasas terhadap keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memperkenankan Proklamasi Darurat ketika negara berusaha memutuskan penularan pandemik Covid-19.

Muhyiddin berkata sebagai ketua kerajaan, beliau sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

“Saya menyeru rakan-rakan saya baik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha untuk memerangi wabak Covid-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” katanya dalam perutusan khas secara langsung hari ini.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu semasa Perhimpunan Agung Tahunan parti tersebut November tahun lepas dilaporkan berkata jika pandemik Covid-19 berakhir dalam satu tempoh masa yang belum dipastikan, kerajaan akan membubarkan Parlimen dan seterusnya memberi ruang kepada PRU15.

Jelasnya lagi, kerajaan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda selepas Tuanku berpuas hati penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap kritikal dan perlunya pelaksanaan darurat selaras dengan keputusan jemaah menteri.

“Proklamasi Darurat yang dimasyhurkan oleh Tuanku adalah bertujuan untuk memberikan bidang kuasa tertentu kepada kerajaan untuk mengurus pandemik Covid-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.

“Tindakan-tindakan serta merta sedang diambil oleh kerajaan di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa.

“Proklamasi Darurat tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan Covid-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat,” katanya.

Muhyiddin berkata walaupun ada segelintir pihak yang cuba mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, beliau percaya Seri Paduka Baginda sebagai ketua negara amat memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara.

Menurut perdana menteri, kerajaan mengumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Feb ini bagi memantau perkembangan kes harian Covid-19 mengikut sektor dan lokaliti serta menilai semula keberkesanan PKP yang dilaksanakan.

“Apapun tindakan atau langkah seterusnya yang akan diambil oleh kerajaan pastinya berasaskan kepada matlamat untuk mengimbangi keperluan menjamin kelangsungan hidup rakyat dan melindungi nyawa anda semua,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri ucap takziah pemergian Jamali Shadat

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penghibur terkenal tanah air, Datuk Jamali Shadat yang meninggal dunia hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua menerusi satu hantaran di akaun Facebook Istana Negara, menzahirkan rasa sedih dengan pemergian pelawak ‘stand up’ itu dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu.

“Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara serta menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada dunia hiburan.

“Seri Paduka Baginda berdua juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” demikian menurut hantaran yang dimuat naik oleh Istana Negara.

Allahyarham Jamali Shadat yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, Selangor mempunyai lapan anak dan 39 cucu, cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama Atan bersama atuknya serta rakan dari pelbagai kaum pada zaman kegemilangannya.

Selain itu, pelawak lagenda yang terkenal sejak era 1970-an itu turut mempunyai kebolehan meniru dialek seperti Mandarin, Jawa dan Tamil dalam persembahan pentas.

Jamali Shadat meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 pagi tadi, pada usia 78 tahun di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat diharap kekal disiplin patuhi SOP – Agong

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar rakyat terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam keadaan negara kritikal menghadapi pandemik Covid-19.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah juga menasihati rakyat supaya terus bertenang, tabah dan cekal menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pelaksanaan Proklamasi Darurat demi kepentingan dan keselamatan diri bersama serta negara.

“Sememangnya, dengan pelaksanaan PKP, Seri Paduka Baginda amat memahami cabaran yang dihadapi, khususnya aktiviti ekonomi harian rakyat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media bersempena Hari Wilayah esok.

Pada masa yang sama Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat, khususnya petugas barisan hadapan, yang telah menunjukkan semangat solidariti, kesepaduan dan daya ketahanan yang tinggi dalam menghadapi serta memerangi penularan wabak Covid-19.

Pandemik Covid-19 telah memberikan satu pengajaran yang amat bermakna kepada rakyat Malaysia dan Seri Paduka Baginda menzahirkan kesyukuran kerana semua pihak mampu menangani dan memerangi krisis ini kerana sikap prihatin, katanya.

Al-Sultan Abdullah yang genap dua tahun menjadi Ketua Negara hari ini bertitah semangat keprihatinan ini amat terserlah melalui usaha-usaha petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus siang dan malam membendung wabak Covid-19.

“Ia juga terserlah melalui usaha-usaha murni kerajaan dan sukarelawan membantu golongan yang memerlukan serta juga melalui pematuhan SOP oleh rakyat jelata.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa prihatin ini bukan sekadar slogan sahaja, tetapi merangkumi keseluruhan pembentukan dan pemikiran dasar kerajaan sehingga ke peringkat pelaksanaan dan penyampaiannya.

“Walaupun kerajaan berada dalam situasi yang sukar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan,” kata Ahmad Fadil.

Sementara itu sesuai dengan tema Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini “Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin”, Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat agar menghayati semangat patriotisme dan cintakan Wilayah Persekutuan dengan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain.

Sikap itu termasuk prihatin terhadap keluarga, sahabat, jiran, pekerja dan semua insan yang berada di sekeliling.

Bersempena Hari Wilayah esok, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat agar menunaikan tanggungjawab sosial dan nilai-nilai murni terhadap komuniti setempat bagi memastikan keharmonian terpelihara dan kekal berpanjangan.

Titah Al-Sultan Abdullah, ia selari dengan tema sambutan kali ini, bersesuaian dengan aspirasi Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensinya, mengutamakan kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif seperti ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup warganya.

“Seri Paduka Baginda dimaklumkan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi program Wilayah Prihatin telah menyediakan pelbagai inisiatif kepada warganya yang terkesan akibat ancaman Covid-19.

“Ia selaras dengan semangat inisiatif tersebut membantu golongan terbabit, tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka,” kata Ahmad Fadil.

Al-Sultan Abdullah bertitah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya juga menjadi antara nadi yang menjana pertumbuhan negara ini dengan menyumbang sebanyak 13.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas.

Angka pertumbuhan ekonomi hanya akan bermakna apabila rakyat mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi, kediaman yang selesa, pendidikan yang sempurna, kesihatan yang baik, alam sekitar yang lestari dan keselamatan yang sentiasa terpelihara, titah Seri Paduka.

Sementara itu, bersempena genap dua tahun Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Ahmad Fadil turut mengambil kesempatan merafak sembah tahniah dan setinggi-tinggi syukur.

“Semoga Allah SWT terus memberkati pemerintahan Tuanku – Daulat Tuanku – menjunjung kasih,” kata Ahmad Fadil.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong: Pemergian Tun Salleh Abas kehilangan besar negara

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah, menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara, serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara,” menurut satu kenyataan menerusi Facebook Istana Negara hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Raja, Besut, Terengganu menjadi Ketua Hakim Negara pada 1984 hingga 1988 dan pernah memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih atas tiket PAS pada 1999.

Allahyarham yang juga merupakan seorang daripada tokoh yang membantu mendraf Rukun Negara pada 1970, melanjutkan pendidikannya di Universiti Wales, United Kingdom (UK) pada 1949 dan memperoleh ijazahnya dalam bidang undang-undang.

Pada 1957, beliau kembali ke Malaysia dan menjadi majistret di Kota Bharu, Kelantan dan tidak lama selepas kemerdekaan pada tahun yang sama, Salleh dipindahkan ke ibu negara Kuala Lumpur di mana beliau berkhidmat sebagai Penolong Pendakwa Raya.

Beliau kemudian pergi ke UK semula untuk memperoleh ijazah sarjananya dalam undang-undang antarabangsa dan perlembagaan di Universiti London.

Allahyarham kembali semula ke tanah air pada 1962, dan dilantik sebagai Penasihat Undang-undang dan Penolong Pendakwa Raya untuk kedua-dua Negeri Sembilan dan Melaka.

Setahun kemudian, beliau pulang ke Kuala Lumpur dan menyandang berbagai-bagai jawatan di bawah Jabatan Peguam Negara, dan akhirnya dilantik sebagai Peguam Cara Negara.

Allahyarham meninggalkan isteri Toh Puan Junaidah Wan Jusoh dan lima anak serta 26 cucu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong luang masa santuni mangsa banjir, sampaikan sumbangan

PEKAN, 14 JAN: Keceriaan jelas terpancar di raut wajah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Kampung Serambi, Pekan hari ini sejurus menerima keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan tiga anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah turut kelihatan menyantuni penduduk kampung berkenaan dengan bertanya khabar.

Lebih istimewa Seri Paduka Berdua turut meluangkan masa menemani penduduk berkenaan menikmati juadah tengah hari di pusat pemindahan yang menempatkan kira-kira 100 mangsa banjir itu.

Dalam lawatan berkenaan, Seri Paduka Berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada penduduk yang terjejas bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir.

Selain Kampung Serambi, baginda turut menyantuni mangsa banjir di Kampung Tanjong Medang, Kampung Acheh, Kampung Temai, Kampung Padang Rumbia, Kampung Pulau Rumput dan Kampung Paloh Hinai.

Sementara itu, Robiani Bakar,56, berkata kunjungan baginda sekeluarga menghilangkan rasa sedihnya yang kematian anak akibat kanser esofagus dua tahun lalu.

“Selepas kematian anak sulung saya, hari-hari tanpa gagal saya mesti ziarah kubur arwah, sampai menghidap pelbagai penyakit sehingga saya strok.

“Alhamdulillah, lega dan hilang rasa sedih, baginda berdua amat baik dan pesan supaya saya jaga kesihatan…saya amat tersentuh dan terharu, memang saya tak jangka baginda akan duduk dan berborak di meja kami,” katanya kepada Bernama.

Bagi Nur Aniza Md Jan,35, harapan beliau untuk bertemu baginda akhirnya menjadi kenyataan apabila dapat bersemuka dengan keluarga diraja itu secara nyata serta terharu dengan keprihatinan Al-Sultan Abdullah.

“Macam tak percaya selalu saya tengok baginda berdua di Facebook dan media sosial lain tapi hari ini ada depan mata saya, baginda sempat bertanya usia kandungan saya sekarang dan pesan supaya jaga diri dan anak baik-baik,” katanya yang dijangka melahirkan cahaya mata ketiga pada bulan depan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong titah pihak berkuasa proaktif bantu mangsa banjir di pedalaman

KUANTAN, 6 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menitahkan pihak berkuasa supaya lebih proaktif menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap di pedalaman.

Seri Paduka bertitah, baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah membaca beberapa status meminta pertolongan yang dimuat naik di media sosial seperti Twitter oleh mereka yang terdesak meminta bantuan.

“… ada pihak yang mengatakan mereka terperangkap di satu tempat dan tidak ada bantuan. Saya harap kita dapat segera bantu mereka dan pastikan mereka ini selamat.

“Pihak berkaitan perlu lebih aktif dan yang mana mempunyai helikopter boleh memainkan peranan lebih aktif meninjau kawasan supaya dapat mempercepatkan bantuan pada waktu kecemasan,” titah Seri Paduka.

Terdahulu Al-Sultan Abdullah berkenan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ke pusat pemindahan sementara (PPS) Wisma Belia untuk menyantuni mangsa banjir dengan diiringi oleh anakanda, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Seri Paduka yang mengenakan pakaian seragam tentera juga menzahirkan simpati dan dukacita kepada mangsa banjir di Pahang dan Malaysia amnya dan berharap rakyat menerima bantuan sewajarnya untuk meringankan beban mereka berdepan situasi sukar ini.

“Kita semua sedang menghadapi ujian besar dan saya berharap semua yang terlibat dapat bersabar. Bagaimanapun, dalam keadaan ini, saya berharap semua pihak dapat menjaga tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan Covid-19 supaya tidak ada petugas atau mangsa (banjir) dijangkiti,” katanya.

Pada program itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan barangan bantuan seperti sabun antibakteria dan makanan ringan kepada 178 mangsa daripada 43 keluarga yang ditempatkan di PPS tersebut.

Sementara Al-Sultan Abdullah menyantuni mangsa banjir, Raja Permaisuri Agong pula meneruskan rutin menyinsing lengan baju bagi menyediakan juadah kepada mangsa banjir, di PPS Sri Damai yang menempatkan 128 orang daripada 49 keluarga.

Antara juadah yang disediakan dengan bantuan pelajar tahun akhir diploma penyediaan makanan Kolej Universiti Yayasan Pahang ialah ayam masak kicap halia, kobis masak lemak, sardin goreng dan telur asin.

Pelajar Izzudin Mat Zin, 20, mengakui kagum dengan kecekapan Raja Permaisuri Agong memasak dalam jumlah yang banyak dan dalam kesibukan memasak, berupaya menyelia dapur dengan teratur membolehkan semua hidangan disiapkan dalam tempoh segera.

“Saya juga mendapat ilmu baharu apabila Raja Permaisuri Agong menegur cara saya memotong bahan mentah. Tak sangka, walaupun sibuk menjaga dua juadah yang sedang dimasak, Seri Paduka masih dapat memerhatikan cara saya membuat kerja,” katanya.

Rakan sekelasnya, Muhammad Ariff Hashim, 23, pula menyifatkan peluang memasak bersama Seri Paduka sebagai peluang untuk belajar resepi Tunku Azizah yang sememangnya dikenali dalam dunia masakan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir simpati terhadap mangsa banjir, seru hulur bantuan

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa simpati kepada mangsa bencana banjir di beberapa negeri, khususnya di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Perak dan Selangor.

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar semua mangsa banjir tabah mengharungi dugaan dan musibah yang menimpa mereka.

Seri Paduka Baginda juga menyeru pihak berkuasa, khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), supaya terus menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri yang terjejas.

“Rakyat khususnya di kawasan rendah pula dinasihati untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri, keluarga serta bersedia berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan segera jika diarahkan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan menyantuni pemandu lori yang terkandas susulan banjir di Plaza Tol Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada 5 Januari 2021. Foto Facebook Istana Negara

Mengambil kira kenaikan mendadak kes positif Covid-19 harian di negara ini, Seri Paduka Baginda menitahkan supaya aspek norma baharu dan tatacara operasi piawai (SOP) diamalkan semua petugas dan mangsa banjir serta menjadi keutamaan di semua PPS bagi membendung penularan wabak.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan mencemar duli mengadakan lawatan mengejut, bertemu mangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS di Maran, Pahang (Sekolah Menengah Kebangsaan [SMK] Maran, Surau Kampung Jara, Sekolah Kebangsaan [SK] Kuala Sentul dan Masjid As Syakirin).

Kenyataan itu menyebut Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa banjir yang berada di PPS itu dan mengurniakan sumbangan kepada mereka bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Nadma, Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Daerah serta agensi penyelamat dan jabatan kerajaan seperti polis, bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus lumus membantu rakyat setiap kali banjir,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat mendoakan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda.

Hujan lebat sejak Sabtu lepas menyebabkan banjir di enam negeri – Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak – dengan Johor dan Pahang terjejas teruk apabila ramai mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke PPS.

-BERNAMA