Categories
NASIONAL

Pakatan Rakyat Saman 7 Jawatankuasa SPR

sivarasa pc izzah 01

KUALA LUMPUR 15 JULAI : Pakatan Rakyat (PR) hari ini memfailkan saman terhadap tujuh anggota jawatankuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  berhubung dakwaan penipuan dalam pelaksanaan penggunaan dakwat kekal ketika Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa berkata, saman tersebut akan turut memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan PRU13 sebagai tidah sah.

“Saman difailkan PR ini kepada tujuh anggota SPR termasuk pengerusi dan timbalan pengerusi adalah secara individu kerana mereka kegagalan melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan adil dalam pilihan raya.

“Adalah jelas dakwat kekal digunakan tidak kekal tidak sepertimana diumumkan akan bertahan sehingga tujuh hari,” dakwanya ketika sidang media di parlimen hari ini.

Beliau berkata, sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada mereka maka mahkamah perlu mengarahkan pembentukan anggota jawatankuasa SPR yang baru.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendakwa, tindakan SPR keseluruhannya dilihat berat sebelah dan memihak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Mereka sedaya upaya mungkin mempertahankan kenyataan Perdana Menteri termasuk dalam urusan mengenai rasuah membeli undi serta menyerang Ketua Pembangkang,” katanya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tubuh Jawatankuasa Khas Parlimen Untuk Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya

Tony 1

PETALING JAYA, 24 MEI : Pakatan Rakyat (PR) akan menggesa Perdana Menteri menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji persempadanan semula kerusi yang lebih adil, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Menurut Tony, persempadanan itu akan membolehkan kedua-dua gagasan politik, PR dan Umno-BN berbincang mengenai sistem pilihan raya yang lebih adil dan saksama.

Katanya, cadangan itu akan dikemukakan PR dalam sesi Dewan Rakyat yang bakal bersidang pada Jun depan.

“Saya hendak cadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam sesi Parlimen seterusnya untuk menyediakan jawatankuasa khas bagi membuat kajian supaya negara ini memiliki sistem pilihan raya yang adil.

“Kita harap Umno-BN akan mendengar permintaan ini,” katanya kepada lebih 3,000 penyokong sempena Himpunan Kesyukuran PR di padang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Himpunan 1

PR akan menggunakan pertambahan anggota mereka di Parlimen untuk membolehkan persempadanan kawasan pilihan raya dilakukan dengan adil apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan persempadanan penghujung tahun ini.

Pimpinan gabungan itu pernah mengeluarkan kenyataan sekiranya perkara itu melibatkan pertambahan kerusi, persetujuan dua pertiga majoriti diperlukan untuk meluluskan perubahan sebelum diluluskan di Dewan Rakyat.

BN pada ketika ini tidak memiliki majoriti dua pertiga Dewan Rakyat, dengan hanya 133 kerusi, dan PR mempunyai 89 kerusi, maka memerlukan sokongan daripada pemimpin pembangkang bagi tujuan tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, pimpinan PR akan berlawan secara habis-habisan di Parlimen untuk menentang penipuan yang dilakukan Umno-BN.

Beliau turut menggesa rakyat untuk menolak kerajaan yang terang-terangan mengamalkan sifat perkauman dan korup dalam pentadbiran.

“Kita akan laksana segala yang mungkin untuk mendedahkan penipuan yang dilakukan Umno-BN. Kita tidak sesekali akan tunduk pada kerajaan yang bersifat perkauman dan korup.

“Kita akan lawan habis-habisan dan pastikan persempadanan semula kerusi tidak digunakan untuk memenangkan Umno-BN. Kita adalah pakatan yang akan melaksanakan reformasi di Malaysia,” katanya.

Himpunan 4

Categories
NASIONAL

Izzah Sanggah SPR, Kemuka Surat Aduan Sebagai Bukti

Izzah SPR 01

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyanggah kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang mendakwa pihaknya tidak menerima sebarang makluman membatalkan senarai pemilih yang didakwa meragukan sebelum memfailkan permohonan semakkan.

Sebaliknya Izzah mendedahkan satu surat yang ditandatangani Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Baria bagi membuktikan bahawa pihak suruhanjaya telah menerima surat berkenaan.

Selain itu, surat peguam melalui Tetuan Chooi & Company turut diterima dan disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan SPR, Nur Ezdiani Rolen.

“Pembatalan nama-nama yang alamat berdaftarnya tidak lengkap atau tidak wujud terkandung dalam Rang-Rang Daftar pemilih Lembah pantai P121 yang mana semua nama yang kita bantah kita maklumkan kepada SPR.

“Kita sebut di perenggan terakhir sila maklumkan secara bertulis dalam masa tujuh hari dari tarikh di sini sama ada pihak tuan akan membatalkan nama-nama terkandung yang dilampirkan bersama surat.

“Jika kami tidak menerima apa-apa jawapan atau jawapan yang tidak boleh diterima, kami telah diarahkan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tuan tanpa notis selanjutnya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa soal tidak menghubungi SPR sebelum difailkan ke mahkamah dibangkitkan sedangkan pihaknya melakukan perkara berkenaan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Pada saya kenyataan ini lagilah menghancurkan sebarang kredibiliti yang masih ada dalam SPR. Bukan sahaja mereka (tidak) mengambil serius dengan (dakwaan) pengundi hantu kita tonjolkan tapi boleh membuat dakwaan yang tidak berasas,” ujarnya.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan lebih 4,600 pengundi yang didakwanya meragukan dalam Rang Daftar Pemilih dalam Parlimen Lembah Pantai.

Categories
NASIONAL

Putar Belit Fakta, Nurul Izzah Ambil Tindakan Undang-Undang

SHAH ALAM, 6 NOV : Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog media berkaitan laporan isu kebebasan beragama, yang didakwa berunsur fitnah.

Izzah dalam satu kenyataan media menegaskan, beliau  mengarahkan dua peguamnya, Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah untuk melaksanakan tindakan tersebut.

“Saya telah mengarakan peguam saya, Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia, Berita Harian, serta kemungkinan beberapa media termasuk blog-blog, berkaitan laporan berunsur fitnah aqidah yang memutar belitkan sebahagian dari kenyataan penuh saya tempoh hari.

“Saya tidak merelakan fitnah aqidah sebegini diteruskan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, demi menegakkan kebenaran dan demi keadilan,” katanya.

Semalam, muka depan Utusan Malaysia menyiarkan artikel bertajuk ?Melayu Bebas Pilih Agama?? dengan memetik laporan portal Malaysiakini berhubung kenyataan Izzah.

Laporan itu berkata, pada forum ‘Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab’, Nurul Izzah didakwa menegaskan bahawa setiap rakyat di dalam negara ini tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama-agama tertentu.