Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perkemas kaedah salur RM500 kepada anak yatim, elak salah guna

SHAH ALAM, 17 DIS: Pelbagai pihak menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri memberi sumbangan RM500 kepada anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Mereka bagaimanapun berharap kaedah penyaluran bantuan wang tunai wajar diperkemas bagi mengelak disalah guna individu tidak bertanggungjawab.

Dato’ Faridah Omar Shah

Pemilik RAHOMA Darul Fakir Dato’ Faridah Omar Shah berkata Kerajaan Negeri perlu menjelaskan sama ada wang itu disalur terus kepada anak yatim atau penjaga.

“Inisiatif ini sangat bagus dan ia bukti Kerajaan Selangor sentiasa prihatin dengan nasib rakyatnya tetapi bagaimana wang itu disalurkan kita tidak tahu,” katanya kepada SelangorKini.

Faridah turut mencadangkan golongan tersebut diletakkan di rumah jagaan anak yatim yang berdaftar bagi memastikan masa depan mereka lebih terjamin.

“Di mana mereka tinggal selepas ibu bapa meninggal dunia itu yang perlu diberi perhatian kerana belum tentu ada saudara mara mampu jaga terutama jika anak yatim itu mempunyai adik beradik ramai,” katanya.

Jamaluddin Wahab

Sementara itu Pengetua Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras Jamaluddin Wahab berkata keputusan Kerajaan Selangor itu sedikit sebanyak membantu anak yatim membeli keperluan asas.

“Namun, saya mencadangkan lebih baik wujudkan kad seperti kad Kiss (Kasih Ibu Smart Selangor), mudah untuk mereka membeli makanan atau kelengkapan belajar setiap bulan, hanya pergi ke kedai dan tunjuk kad,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan sumbangan kewangan berjumlah RM1.25 juta kepada anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM500 diperuntuk bagi setiap penerima dan dijangka memberi manfaat kepada 2,500 anak yatim di seluruh Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

B40 di Selangor dipelawa mohon RM500, jangka manfaat 15,000 individu

SHAH ALAM, 7 JULAI: Golongan berpendapatan rendah (B40) yang terkesan akibat Covid-19 dipelawa memohon bantuan sekali bayar berjumlah RM500 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua pegawai eksekutifnya, Saipolyazan M Yusop berkata permohonan dibuka secara dalam talian menerusi laman web http://www.zakatselangor.com.my. sejak 2 Julai lepas.

“LZS memperuntuk sejumlah RM10.5 juta bagi tujuan ini yang dijangka memberi manfaat kepada 15,000 individu dan ketua keluarga yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan akibat pendemik.

“Sumbangan ini diharap sedikit membantu golongan terkesan susulan pelaksananan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta PKP Diperketatkan di beberapa mukim,” katanya menerusi temu bual secara maya bersama Media Selangor.

Pada 2 Julai, LZS mengumumkan agihan zakat sebanyak RM69.3 juta menerusi 19 inisiatif bagi membantu golongan terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi yang akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember tahun ini.

Empat agenda bersasar dilaksanakan untuk memenuhi keperluan asnaf, fakir, miskin dan mualaf, meringankan beban golongan rentan, menyokong pemulihan institusi agama di Selangor serta menyokong keperluan asas barisan hadapan.

Categories
AGENDA NASIONAL

80,000 pesara, anggota polis terima bantuan RM500 mulai Mac

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Seramai 80,000 pesara, bekas dan petugas polis bakal menerima bayaran RM500 sekali bayar (one-off) yang dibuat secara berperingkat mulai Mac hingga November ini.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan pergerakan (PKP), Polis Diraja Malaysia bersetuju dengan memberi bayaran berkenaan kepada mereka yang layak mengikut statut Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) termasuk mereka yang belum menerima pingat.

Beliau berkata kemas kini maklumat pesara dan bekas polis boleh dibuat melalui pautan http://[email protected]. dan pemohon perlu menyediakan dokumen sokongan (perlu disahkan) seperti yang disyaratkan dalam Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 7 Tahun 2018, antaranya salinan kad pengenalan awam.

“Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen, Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai akan membantu dalam memudahkan urusan kemas kini maklumat dan pengesahan dokumen bagi memudahkan pesara, bekas dan petugas polis di kontinjen dan daerah masing-masing.

“Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi talian ‘hotline’, 03-22664011/4012/4013/4014/4015, manakala Bilik Gerakan e-Pesara PDRM beroperasi pada 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemberian sekali bayar sebanyak RM500 itu dibuat melalui Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis.

“Kerajaan bersetuju memberi inisiatif tersebut dalam ucapan Penggulungan Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada 26 November tahun lepas,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Permohonan bantuan RM500 kepada peniaga kecil dibuka esok

SHAH ALAM, 7 APRIL: Kerajaan Selangor membuka permohonan bantuan sekali bayar RM500 untuk peniaga kecil mulai esok, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bantuan itu dibuat melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin fasa kedua yang dibentang Dato’ Menteri Besar pada 1 April lalu.

“Insentif disediakan untuk para peniaga kecil dan penjaja Selangor yang berdaftar serta memiliki lesen,” katanya menerusi Twitter malam ini.

Bagi yang berminat boleh mendaftarkan diri di laman ini: http://selangorprihatin.com

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pasangan OKU Dinafi Hak Terima BR1M 2.0

OKU BR1M borhan 30 apr 01

DENGKIL 1 MEI : Pasangan Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan dari Jenderam Hulu dekat sini tidak menerima bantuan BR1M 2.0 bernilai RM500 sepertimana dijanjikan kerajaan Umno-BN.

Menurut Kamal Abdullah, 44, berkata mereka mendapat bantuan BR1M 1.0 dan itu mengesahkan kelayakan untuk menerima bantuan sama buat kali kedua.

Beliau mendakwa, rujukan dibuat kepada Ahli Parlimen Sepang, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, mendapati kuota pemberian automatik kepada golongan OKU seperti mereka telah dihapuskan.

“Saya dimaklumkan kami akan diberi BR1M 2.0 secara automatik tetapi sebaliknya yang berlaku.

“Sedang BR1M 1.0 diadakan dengan majlis khas melibatkan kehadiran lebih 100 orang OKU pada Oktober tahun lalu.

“Saya rasa wujud diskriminasi dalam perkara ini,” katanya yang menyara keluarga dengan bekerja kampung.

Kamal dan isteri, Noraini Salleh, 35, sudah melaporkan perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia dan Pertubuhan Pembangunan Orang-Orang Buta Malaysia.

Calon PR DUN Dengkil, Borhan Aman Shah berkata, pihak yang dilantik bagi pemberian BR1M 2.0 perlu bersikap adil tanpa diskriminasi.

Beliau berkata, kerajaan Umno-BN perlu melihat perkara itu secara teliti supaya tiada salah faham.

“Golongan OKU ini perlu dibantu, saya harap ketelusan dijadikan amalan dalam perkara ini.

“Jangan pula dibezakan antara penyokong dan bukan penyokong kerajaan. Itu tidak betul,” dakwanya.

Katanya, pemeriksaan mesti dilakukan sama ada golongan OKU perlu didaftarkan semula untuk menerima bantuan berkenaan.