Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Edar 370 Topi Keledar Percuma

MBSA Topi 01

SHAH ALAM, 3 OGOS : Dalam usaha mendidik masyarakat terutamanya penunggang motosikal supaya berhati-hati dan mementingkan keselamatan khususnya menjelang Aidilfitri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif dengan mengedarkan 370 topi keledar secara percuma.

Pengedaran topi keledar itu adalah bersempena Kempen Selamat Pulang ke Kampung anjuran MBSA dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalanraya Selangor (JKJR), Sirim QAS International Sdn Bhd dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, kempen kali ketiga itu bertujuan memupuk kesedaran kepada penunggang motosikal supaya menggunakan topi keledar yang disahkan selamat mengikut piawaian yang ditetapkan.

Menurutnya, kempen ini mensasarkan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pekerja industri dan orang perseorangan.

“Melalui kempen ini, topi keledar akan diedarkan kepada orang ramai dengan menggunakan konsep pertukaran topi keledar lama yang tidak lagi menepati spesifikasi keselamatan kepada yang baru.

MBSA Topi 02

“Kempen ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada orang ramai dan diharapkan orang ramai sentiasa berhati-hati semasa berada di jalan raya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen itu di perhentian bas Jalan Persiaran Kayangan, Seksyen 7, di sini.

Katanya, kempen ini akan terus diperkasakan di masa akan datang melalui kerjasama dengan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).

Selain pengedaran topi keledar, Mohd Jaafar turut menyerahkan 500 pek bubur lambuk kepada penunggang motosikal dan orang ramai.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Asnaf Gembira Tidak Dilupakan Kerajaan Negeri Selangor

Gmbr yb rodziah kuala selangor 03

KUALA SELANGOR, 19 JULAI : Kira-kira 150 golongan Asnaf di sini gembira apabila Kerajaan Negeri tidak melupakan mereka di bulan Ramadan yang mulia ini.

Antara penerima tersebut,  Zaidah Jamil, 65, melahirkan rasa terharunya kerana golongan warga emas sepertinya tidak pernah diabaikan Kerajaan Negeri daripada menerima sumbangan seperti itu.

“Syukur sangat atas bantuan ini. Kalau tiada bantuan ini, tak dapatlah makcik hendak menyambut ibadah puasa dan Aidilfitri dengan rasa gembira,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Anisah Johari, 57, mengucapkan syukur apabila ada pihak yang prihatin untuk membantunya sekeluarga menyambut ibadah puasa pada tahun ini.

Beliau yang mewakili ibu saudaranya itu berkata, wang dan barangan makanan asas yang diterima itu akan digunakan sepanjang Ramadan untuk menampung keperluan harian mereka.

?Saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan ikhlas ini kerana ia amat bermakna buat kami sekeluarga,? katanya.

Gmbr yb rodziah kuala selangor 02

Bantuan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian seperti beras, gula dan minyak masak itu disampaikan Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail di Balai Penghulu, Masjid Barakah, Kampung Assam Jawa.

Rodziah ketika ditemui berkata, sumbangan itu adalah bagi meraikan golongan kurang bernasib baik bagi memastikan mereka dapat menjalani ibadah puasa dalam keadaan selesa dan penuh makna.

“Program ini adalah program tahunan yang dijalankan Kerajaan Negeri di bawah portfolio kebajikan untuk memilih mereka yang berpendapatan rendah menerima sedikit bantuan wang ringgit dan barangan keperluan harian.

“Tujuannya ialah supaya keluarga yang kurang bernasib baik ini dapat menikmati bulan Ramadhan dan Aidilfitri dalam keadaan sederhana,” katanya.

Tambah Rodziah, program ini akan diteruskan lagi di masa akan datang untuk memudahkan Kerajaan Negeri merekodkan bantuan yang sesuai untuk diserahkan kepada keluarga yang memerlukan di negeri ini.

Hadir sama, Adun Ijok, Dr Idris Ahmad.

Gmbr yb rodziah kuala selangor 01