Categories
SELANGOR

Penjara Kajang lepas dua banduan 7 hari sambut Aidilfitri

KAJANG, 4 JUN: Penjara Kajang hari ini memberi pelepasan secara berlesen selama tujuh hari buat dua banduannya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abd Kadir Rais berkata, pelepasan itu adalah satu bentuk pemulihan banduan melalui penglibatan keluarga mereka.

Perasaan diterima semula dan berada di samping keluarga adalah satu bentuk sokongan yang penting buat banduan terutamanya apabila mereka cuba kembali semula ke pangkuan masyarakat.

“Kita perlu beri mereka peluang kedua. Esok apabila merasai sambutan Hari Raya bersama keluarga ia akan menggalakkan lagi mereka melakukan sikap baik tanpa dibelenggu kesilapan masa lalu.

“Sokongan komuniti ini penting supaya banduan tidak kembali semula melakukan perkara yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam sidang media pada majlis pelepasan kedua-dua banduan itu di sini, hari ini.

Pelepasan berlesen yang diberikan Jabatan Penjara itu mengikut Seksyen 43 Akta Penjara 1995 yang merupakan keistimewaan hanya untuk banduan yang layak dan memenuhi syarat yang ditetapkan.

Antara syarat yang ditetapkan termasuk banduan perlu berkelakuan baik, telah menjalani hukuman tidak kurang dari empat tahun dan mempunyai baki hukuman tidak lebih dari setahun.

Seorang daripada dua orang yang menerima keistimewaan itu hari ini, Muhammad (bukan nama sebenar), 36, berkata pembebasan ini satu permulaan bagi dirinya untuk mengatur kehidupan baharu setelah menjadi penghuni tirai besi selama tujuh tahun.

“Pembebasan ini bukan hanya sekadar untuk balik beraya, tetapi saya ada pelbagai perancangan yang ingin dilakukan sebagai persiapan untuk kehidupan setelah bebas nanti terutama dari sudut pekerjaan dan perhubungan bersama keluarga.

“Saya dah lalui pelbagai program pemulihan dan sebagai pelengkapnya, tempoh tujuh hari (pelepasan) ini umpama ujian bagi diri saya untuk mengintegrasikan diri semula dalam masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis sama.

Muhammad, yang dijemput pulang oleh keluarganya pagi tadi, turut mengakui teruja untuk berbuka puasa pada hari terakhir Ramadan bersama keluarga setelah tujuh tahun tidak dapat berbuat demikian.

Dalam pada itu, Muhammad turut menegaskan bahawa pemenjaraan bukanlah satu penamat atau noktah dalam kehidupannya dan dia berterima kasih kepada Jabatan Penjara yang menyediakan program pemulihan.

“Sebagai contoh, saya terlibat dengan pogram pendidikan pengajian tinggi sehingga membolehkan saya berjaya peroleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Politik dari Open University Malaysia dan kini dalam proses menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Sosial bahagian Kriminologi dari Universiti Sains Malaysia,” katanya.

Seorang lagi banduan yang dilepaskan secara berlesen dijangka dijemput oleh keluarganya pada petang ini.

– BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Sambutan Aidilfitri PERKESO Selangor meriah

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 2 JULAI: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 300 kakitangan dan pelanggan, di Wisma PERKESO, di sini, hari ini.

Pengarahnya, Zainol Abu berkata, sambutan tahunan itu bertujuan meraikan Syawal dan mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan serta pelanggan.

“Menggunakan tema Aidilfitri, majlis ini turut diserikan dengan pelbagai jenis juadah enak daripada pelbagai gerai yang diuruskan sendiri kakitangan kami mengikut jabatan masing-masing.

“Selain itu, kita turut mengadakan pertandingan gerai dan juadah paling enak serta pakaian paling ‘awesome’ untuk mereka yang layak,” katanya.

Antara juadah disediakan adalah nasi arab, sate, laksa, cendol dan pelbagai jenis minuman bertujuan membangkitkan suasana Syawal.

dav

Pada masa sama, Zainol turut menyampaikan sesi serahan faedah kepada enam penerima pencen kilat dan penerima zakat.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Shuhaimi Shafiei yang disahkan meninggal dunia pagi tadi.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis itu menghembuskan nafas terakhir, pada jam 11.10 pagi, di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat kanser limfoma.

Categories
SELANGOR

Manfaat cuti Aidilfitri dengan keluarga

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 JUN: Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud menasihatkan orang ramai memanfaatkan cuti Aidilfitri bersama keluarga sepenuhnya.

Katanya, hal itu kerana institusi kekeluargaan adalah landasan terbaik mencorakkan kehidupan, terutama generasi muda, pada masa kini.

“Saya percaya hubungan kekeluargaan sempurna dibentuk oleh ibu bapa yang menjalankan tanggungjawab dengan baik, mereka mencorakkan masa hadapan anak melalui pembinaan sahsiah cemerlang,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Beliau juga Ahli Dewan Negeri Seri Serdang turut bersyukur apabila Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya memperoleh kemenangan berganda dengan mempertahankan Selangor dan dianugerahkan kemenangan besar, iaitu membina kerajaan baru.

“Kita perlu menginsafi Malaysia adalah negara yang cukup istimewa dan unik. Walaupun berlainan kepercayaan, kebudayaan dan keturunan, kita mampu hidup aman juga sejahtera.

“Justeru, marilah kita meraikan kepelbagaian ini kerana saya amat yakin ia akan menjadi pemangkin yang tidak ternilai harganya dalam membina bangsa Malaysia bertamadun dan berkepedulian tinggi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Warga Sabah teruja hadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU KLANG, 10 JULAI: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri turut menarik perhatian masyarakat luar Selangor termasuk empat sekeluarga dari Ranau, Sabah yang kini menetap di Shah Alam.

Kakitangan sokongan teknikal sebuah syarikat swasta, Florianne Daumin, 28, berkata majlis itu turut menyediakan pelbagai pilihan juadah yang enak selain mampu menjadi landasan menjalinkan hubungan antara kaum.

Kecil DSC_3875“Sangat menarik. Makanannya banyak pilihan dan sedap, orang pun ramai dan semua pakai baju cantik. Tambah meriah lagi ada Jamal Abdillah. Tempat pun sesuai, tak sesak dan disediakan van shuttle.

“Hidangan pilihan saya selain buah tempatan sudah tentu lemang dan rendang kerana ia memang sedap dan makanan wajib ketika raya,” katanya ketika ditemui SelangorKini di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor di Padang MPAJ AU2, Taman Sri Keramat, di sini, semalam.

Sepupu Florianne yang juga chef sebuah hotel di Lembah Klang, Melvin Gatu, 25 pula menyifatkan juadah disediakan bertepatan dengan tema menyambut perayaan Aidilfitri.

Kecil DSC_3874“Bagi saya suasananya sungguh meriah. Saya tengok ada ramai terdiri daripada orang Melayu, Cina, India dan Sabah serta Sarawak seperti kami. Keadaan ini seolah-olah majlis perjumpaan semua kaum. Ini sangat baik untuk mengeratkan hubungan sesama kita tanpa mengira apa juga latar belakang.

“Masakannya hari ini pula saya dapati bertemakan hari raya bertepatan dengan majlis ini. Makanan wajib lemang, rendang, ketupat, sate dan pelbagai juadah lain yang sinonim dengan perayaan Aidilfitri sudah tentu menjadi pilihan ramai.

“Juadah paling menarik perhatian saya adalah Laksa Penang kerana memang menggemarinya sejak masih belajar di Pulau Pinang dahulu,” katanya.

Kehadiran Florianne dan Melvin turut disertai dua lagi saudara mereka untuk merasai sendiri kemerihan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Selangor.

Kecil DSC_3877Pesara kerajaan, Abu Bakar Nordin, 75, berkata majlis seumpama itu perlu diadakan setiap tahun kerana memberi peluang kepada rakyat Selangor bertemu DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan lebih dekat lagi.

“Saya fikir majlis seperti ini memang bagus kalau diadakan selalu kerana kita berpeluang bermesra dengan Sultan Selangor.

“Alhamdullilah, makanan memang mewah dan hebat belaka rasanya sampai tak termakan dan bila kita makan pula duduk bersama orang Cina, India dan lain-lain.

“Bila dah duduk sebelah menyebelah tu, kita pun bertegur sapa, tanya datang daripada mana dan berbual. Memang bagus,” katanya.

Kecil DSC_3892Sementara itu Ketua Komuniti India Selangor, R Kalaivany, 42, memuji langkah menyediakan kenderaan pengangkutan pengantara atau ‘shuttle van’ bagi membawa orang ramai ke tapak majlis.

“Kita boleh nampak ramai kaum berkumpul satu tempat, sungguh meriah. Lokasinya juga bersesuaian. Bas turunkan kita di hadapan, memang jauh kalau kita nak berjalan kaki tetapi ada disediakan ‘shuttle van’ untuk bawa kami hingga betul-betul di depan ini,” katanya.

Menyentuh juadah pilihannya, Kalaivany memberitahu dia memilih nasi beryani ekoran masakan Melayu memiliki rasa berbeza dengan yang disediakan kaum India.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Trend raya si anti sosial

OLEH NORHAYATI UMOR

Menjelang Syawal, rancak sungguh majlis rumah terbuka Aidilfitri dianjurkan, malah kemeriahannya dirasai segenap lapisan umur.

Majlis rumah terbuka menjadi acara terbaik untuk bertemu mata dan saling bermaafan dalam suasana harmoni dan menggembirakan.

Tuan rumah biasanya menyediakan juadah terbaik untuk para tetamu dan memberi duit raya kepada si kecil yang sememangnya menanti habuan itu.

RAYA 2Meskipun budaya ini terus kukuh bertahan, peredaran zaman memperlihatkan sambutan hari raya mengalami `proses transformasi’ begitu besar.

Banyak yang berubah, baik suasana mahupun ‘mewahnya’ hidangan disajikan setiap kali ada rumah terbuka.

Tidak kurang sikap tetamu yang berubah ‘mood’ bagai dilanda tsunami.

Pernah viral suatu ketika dulu iaitu sampul duit raya yang isinya bukan wang ringgit tetapi kertas tertera ‘username’ dan ‘password’ Wifi serta bakul kecil diletakkan di hadapan pintu rumah dengan notis, “Tinggalkan telefon bimbit anda di sini, ini hari raya!”

Walaupun ia dianggap lucu, sebenarnya gambar itu menceritakan kebenaran yang berlaku pada hari ini.

Semua orang mahu tidak mahu perlu mengakui perkara ini. Hari raya sudah bertukar menjadi `hari berantisosial.’

Sikap anti sosial dibahagikan kepada dua iaitu pelaku secara sedar sengaja melakukan tindakan tanpa mempedulikan orang lain di sekelilingnya dan anti sosial yang langsung tidak ambil pusing terhadap apa berlaku di sekitarnya.

Siti Farhah Mohd Amir, 29, berpendapat raya anti sosial itu adalah sikap dan perilaku tidak mempertimbangkan penilaian dan keberadaan orang lain atau masyarakat secara umum di sekitarnya.

RAYAKatanya. mereka ini melekakan diri dengan penggunaan gajet dalam suasana yang sepatutnya lebih kepada beramah mesra bersama keluarga mahupun tetamu yang hadir.

“Puncanya mungkin disebabkan tarikan sambutan yang kerap dan berulang-ulang, contohnya suasana hari raya dianggap membosankan.

“Persoalan seperti bila nak kahwin, bila nak ada anak atau bila nak tambah anak turut menjadi punca berlakunya raya anti sosial,” katanya.

Seperti sedia maklum, sambutan Hari Raya Aidilfiti adalah perayaan utama masyarakat Islam yang sepatutnya diraikan dengan penuh kesyukuran.

Rumah terbuka yang dilakukan individu, mempersilakan sesiapa sahaja datang ke rumah. Inilah kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia berbanding negara lain.

Namun, berbeza pada yang anti sosial. Bergantung kepada sikap si pelaku sama ada sengaja atau tidak menjadi si anti sosial.

Pengaruh media sosial dan gajet turut menjadi punca berlakunya raya anti sosial.

Seseorang yang terlalu obses dengan penggunaan telefon mudah alih atau gajet akan menjadi seorang yang anti sosial di hari raya.

Fokus terhadap gajet membuatkan si pelaku tidak mempedulikan suasana di sekelilingnya sedangkan Islam menuntut umatnya mengeratkan silaturahim ketika Aidilfitri.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Raya yang dulu bukanlah yang sekarang

OLEH NORHAYATI UMOR

“Balik kampung, ho ho ho balik kampung…

“Perjalanan jauh tak ku rasa, kerna hati ku melonjak sama, ingin berjumpa sanak saudara, yang selalu bermain di mata…

“Ho ho hooo balik kampung…hati girang…”

BALIK KAMPUNGWah, memang lagu Allahyarham Sudirman ini mengasyikkan. Lebih lagi jika diputarkan ketika sedang memandu ke kampung halaman.

Walaupun berjam-jam menempuh kesesakan pastinya sedar atau tidak, separuh perjalanan sudah ditempuhi.

Bila sentuh berkenaan raya, apa agaknya yang menarik tahun ini ya?

Saya selalu mengimbau memori lalu.

Terbayang zaman kanak-kanak. Yang pastinya, ia adalah kenangan yang tidak mungkin akan dilupakan.

Tapi raya sekarang tidak semeriah dahulu. Ingat lagi, masa zaman kecil-kecil, rayalah hari paling seronok di dunia.

Malam raya pastinya adik beradik berkumpul. Kami sekeluarga akan tidur di depan televisyen.

Rumah riuh rendah, cahaya melimpah dalam rumah mahupun luar rumah.

Kemeriahan menyambut Syawal ketika zaman kecil memang tiada galang gantinya. Bangun awal pagi, bersiap dengan baju baru. Sangat teruja.

Seingat saya, zaman kecil dahulu tidak pernah ada tema baju raya seperti sekarang.

SALAMUntuk kami sekeluarga memang tidak pernah ada tema. Kalau ada tujuh adik-beradik, tujuhlah warna, corak dan gaya di pagi Syawal. Penuh warna-warni. Meriah sekali.

Begitu juga dengan mak dan abah. Tiada istilah ‘boria’.

Tetapi zaman sekarang, lain pula trendnya. Beberapa bulan sebelum raya, warna tema baju raya sudah dicanang seluruh keluarga (ramai macam ini), muafakat hendak menentukan tema warna apa tahun ini. Seronok juga.

Masing-masing keluar idea. Nak warna itu, ini. Suami isteri pun boleh bergaduh semata-mata warna tema hari raya.

Fesyennya juga lain-lain. Ada yang suka gaya kurung moden, ada yang jenuh pasang badan sebulan sebab hendak berkebaya, tidak kurang yang lelaki juga, masing-masing mahu nampak bergaya.

Paling comel dan seronok tentulah anak-anak kecil.

Tidak kisah bagaimana kita memilih baju raya, tentu ada kemanisannya sama ada zaman dulu mahupun sekarang.

Apa lagi yang seronok berkenaan raya? Oh lupa, semasa kita kecil tentunya kutip duit raya. Apa bezanya sekarang? Haha, saya pula yang nipis dompet hulur duit raya!

Waktu dulu, saya dan kawan-kawan akan pusing satu kampung kutip duit raya.

SAMPUL RAYATuan rumah dulu paling banyak hulur RM1. Kami anggap tuan rumah itu kaya. Duit yang dihulur tiada sampul raya. Hanya diberikan begitu sahaja.

RM0.20 paling banyak diterima. Tetapi waktu itu, 20 sen memang biasa.

Tidak ada rungutan pun keluar dari bibir kami. Senyum sahaja dan tetap seronok. Bagi saya itu semus bergantung kepada rezeki.

Saudara mara terdekat juga selalunya akan hulur lebih. Tetapi nak cerita, zaman dulu kutip duit raya memang menuntut kesabaran tinggi. Jenuh keliling kampung.

Namun, bila kita sudah dewasa, itulah memori paling ‘sweet’ dalam lipatan sejarah hidup.

Anak-anak sekarang lebih untung. Dengan perkembangan ekonomi dan taraf hidup masyarakat kini, tiada lagi yang ‘sudi’ hulur duit raya RM0.20. Apatah lagi di kota besar seperti Kuala Lumpur.

Malah, anak-anak kecil sekarang juga tidak seperti dahulu. Keluar dari rumah terus buka sampul dengan pakej rungutan kerana hanya diberikan RM1.

Diberi not hijau sekalipun tetap panjang muncungnya tidak puas hati.

Nilai duit tidak penting, sebaliknya keikhlasan yang dituntut supaya Syawal dapat dirai dengan penuh kegembiraan.

Walaupun umur bertambah, namun kemanisannya tetap ada. Aildilfitri yang dilalui setiap tahun akan masuk sebagai arkib kenangan di minda semua orang.

Apa yang penting, raikan hari kemenangan itu bersama keluarga tersayang secara bersederhana selaras tuntutan agama.

-AA-

Categories
SELANGOR

Juadah tradisi kekal pilihan utama Aidilfitri

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 JUL: Hidangan lemang, ketupat daun tebu atau daun buluh, lemang tepung, dodol, halwa maskat, pulut kukus dalam periuk kera, wajik, rendang dan lontong antara hidangan yang sering tergambar menjelang lebaran.

Namun, hakikatnya untuk mengekal dan mempertahankan sesuatu yang lama supaya tidak dihakis oleh hidangan baru memang sesuatu yang sukar.

Di pagi Syawal kebiasaannya dihidangkan menu tradisi, namun ada keluarga yang meninggalkan tradisi itu dengan alasan ‘makanan segera ada itu lebih mudah’.

ainBagi Siti Norain Masraban, 29, dia masih mengekalkan menu tradisi bersama keluarga untuk dinikmati sanak saudara dan jiran tetangga.

Katanya, ia perlu dikekalkan supaya generasi akan datang tahu dan akan meneruskannya sehingga tidak lupus dek zaman.

“Kami sekeluarga akan memasak bersama dan menu itu antara wajib disediakan. Kita menyambut Aidilfitri setahun sekali, bila lagi menu ini boleh dihidangkan.

“Walaupun nampak biasa, namun nilai sentimental masih ada dan menggamit memori zaman kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Farhanah Fauzi, 30, berkata dia dan keluarga lebih suka menyediakan makanan segera seperti KFC, McD dan pizza.

Katanya, makanan segera lebih mudah terutama apabila keluarganya sibuk beraya ke rumah sanak saudara.

“Mungkinn nampak seakan kami melupakan tradisi itu. Namun, kami sekeluarga sibuk bekerja jadi makanan segera lebih mudah disediakan.

“Tiada siapa di rumah ketika kami keluar beraya. Jadi, jika secara tiba-tiba ada tetamu, itu menu yang akan disediakan terutama kemahiran memasak agak kurang,” katanya.

melatiSurirumah, Melati Abdul Aziz, 43, berkata dia bersama suami akan sibuk menyediakan hidangan wajib pagi raya untuk dinikmati anaknya.

“Saya tidak mahu anak saya terpinga-pinga dan tidak tahu apa nama kuih-muih atau hidangan lain terutama jika tidak pernah melihatnya,” katanya.

Katanya, setiap negeri di Malaysia mempunyai pelbagai jenis makanan tradisi yang mencerminkan identiti serta keunikan tersendiri.

Melati berkata, adakala bukan hanya hidangan sahaja tetapi balang kuih juga mempunyai nilai tersendiri apabila Aidilfitri menjelang.

“Sesetengah makanan tidak dibuat sepanjang masa, sebaliknya lebih kepada juadah keluarga atau untuk tetamu yang berkunjung,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Isteri hasrat tunai hajat Allahyarham Imam Besar Masjid Negeri

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 OGOS: “Saya akan menunaikan hasrat terakhir arwah suami saya. Dia mahu saya meneruskan hajatnya yang tidak kesampaian untuk mencetak naskah Mushaf Tartil untuk diwakafkan kepada sekolah pondok, rumah anak yatim dan masjid serta surau,” kata balu Imam Besar Masjid Negeri, Allahyarham Ahmad Mustafa Al- Muqri.

Nurazira Ahmad Bashir, 35, ibu kepada lima orang anak ketika ditemui pemberita begitu cekal menghadapi dugaan yang menimpa.

Bagaimanapun, untuk berkongsi kisah keluarganya, beliau menganggap ia perlu dirahsiakan kerana tidak mampu untuk meneruskan perbualan kerana masih lagi bersedih.

DSC_4338Dalam kejadian 9 Jun lalu, Allahyarham Ahmad Mustafa menghembuskan nafas terakhir pada usia 39 tahun di Institut Jantung Negara akibat komplikasi jantung selepas enam hari dimasukkan ke institut itu.

Beliau dilantik menjadi Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sejak 2008 dan banyak pembaharuan dilakukan termasuk program mengimarahkan masjid.

Menceritakan hajat suaminya itu, beliau yang lebih disenangi dengan panggilan Kak Zira berkata, sebelum Allahyarham meninggal dunia, Ahmad Mustafa sangat sibuk dengan naskah Mushaf Tartil dan rakaman cakera padat, bacaan doa, tahlil serta yassin.

“Apabila saya melihat tajuk VCD, ‘hadiah buat yang tersayang’ benar-benar menyentuh hati saya. Ia seakan seperti tahu beliau akan pergi meninggalkan kami.

“Sebelum Allahyarham pergi, selain meminta saya menjaga anak dengan baik, itu adalah perkara yang keluar daripada mulutnya untuk saya meneruskan niat dalam mencetak semula naskah Mushaf Tartil.

DSC_4350“Manakala, VCD itu juga saya mungkin boleh menjualnya semula sebagai pendapatan untuk menyara keluarga,” katanya.

Selain itu, Nurazira berkata, ketika Allahyarham masih hidup, beliau sangat mementingkan solat jemaah bersama keluarga.

“Menjaga solat lima waktu, itu juga adalah antara pesanan terakhir arwah. Semasa hayatnya, beliau sangat menitik beratkan solat,” katanya.

Beliau berkata, Ahmad Mustafa juga seorang bapa yang sangat penyayang dan lemah lembut dengan semua anaknya.

“Apabila beliau pulang dari masjid atau sebarang tempat, perkara pertama selepas menjejakkan kaki ke dalam rumah adalah bertanya di mana anaknya. Itu yang menjadikan beliau sangat rapat dengan mereka,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Nurazira memberitahu, beliau bersyukur kerana semua anaknya begitu tabah dengan pemergiannya walid mereka itu.

“Alhamdulillah, anak saya boleh menerimanya,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Ziarah kubur tidak terhad hari raya sahaja

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JULAI: Amalan menziarahi pusara yang sering dijadikan rutin Aidilfitri seharusnya dilakukan secara lebih kerap dan bukan terhad ketika pagi raya sahaja.

Bagi, Akmal Auzal, 28, berkata umat Islam di negara ini sudah terbiasa dengan tabiat menziarah dan membersihkan pusara pada musim perayaan sahaja.

kubur“Rasanya tidak perlu tunggu sampai pagi Syawal baru hendak ke kawasan perkuburan hingga kadang-kadang sudah tidak tahu mana satu kubur yang hendak diziarah pun ada.

“Jadi, tabiat ini perlu diubah dan kerapkan lagi amalan menziarahi kubur, rasanya tiga hingga empat kali sudah cukup kalau tidak dapat lakukan selalu.

“Namun, saya tidak katakan salah untuk ziarah di pagi Syawal, amalan itu bagus tetapi jangan terhadi pada hari raya sahaja,” katanya kepada Selangor Kini.

Sementara itu, Ismail Abdul Hamid, 51, pula berkata amalan menziarahi pusara mampu mendekatkan diri dekat Allah SWT dan meningkatkan taqwa.

Ismail“Kita kena selalu pergi ke kubur, bukan sahaja dapat bersihkan kubur kaum keluarga tetapi boleh membuatkan kita juga ingat akan mati selalu.

“Bila sudah ingat mati, maka kita akan dekatkan diri kepada Allah, ingatkan diri bahawa yang di dunia ini sementara kerana bila-bila masa boleh jadi penghuni kubur.

“Selain itu, kita juga dapat doakan yang di dalam sana kerana ia akan jadi cahaya buat mereka,” katanya yang berasal daripada Kuala Selangor.

-NFN-

 

Categories
SELANGOR

Selangor batal rumah terbuka Aidilfitri, hormati tragedi MH17

SHAH ALAM, 25 JULAI: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan pembatalan Rumah Terbuka Aidilfitri di Dataran Dewan Negeri Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah , di sini, yang sepatutnya berlangsung pada hari raya pertama.

Khalid-Ibrahim-SELANGORDalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar di sini, Abdul Khalid berkata, pembatalan itu sebagai menghormati tragedi pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditembak dan terhempas di timur Ukraine yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal , pada 17 Julai lalu.

“Seluruh negara bersedih dengan tragedi ini, namun umat Islam masih disyariatkan untuk meraikan Aidilfitri selepas sebulan mengerjakan ibadah bulan Ramadan.

“Kita berharap rakyat Selangor menyambut Aidilfitri tahun ini secara bersederhana dan penuh tertib,” katanya.

-NFN-

 

Categories
BERITA UTAMA

Q & A: Abdul Khalid ceria imbau kenangan Aidilfitri, tenang sentuh kemelut penukaran MB

Sempena menjelang sambutan Aidilfitri ketika politik Selangor hangat diperkata pelbagai pihak, wartawan Selangor Kini, NAZLI IBRAHIM secara eksklusif mewawancara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang gemar membahasakan diri sebagai kita.

Bagaimana aktiviti puasa dan hari raya sebagai Menteri Besar?

Saya rasa sangat bertuah kerana dapat bekerja di bawah Sultan Selangor yang bersedia menjalankan aktiviti bersama rakyat iaitu bersembahyang di lebih 19 masjid, mengadakan program sumbangan berbuka puasa, bersolat Maghrib, Isyak dan bertarawih 20 rakaat.

Ini memberi peluang bukan sahaja beribadah tetapi juga dapat bersama rakyat di seluruh negeri. Ini perlu diteruskan untuk menunjukkan tiada ruang antara pemerintah dan rakyat.

Apakah kenangan Aidilfitri zaman kanak-kanak yang paling diingati?

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Masa kanak-kanak sudah tentulah berasa lebih bebas dan ceria kerana kita rasa gembira, tidak terikat kepada adat dan tertib.

Bagaimanapun (berbeza) sekarang, dulunya kita tidak punya kesempatan untuk melihat tv warna yang adakalanya lebih besar dari layar wayang tetapi sekarang ada tv warna dan permainan elektronik.

Kami merayakan bukan sahaja hari raya tetapi malam tujuh likur dengan bermain meriam buluh yang sangat berisiko pada waktu sekarang. Kedua, berlari-lari di halaman kerana aktiviti dalam rumah tidak banyak.

Aktiviti lain yang digemari?

Pertama, yang paling saya sukai walaupun agak teruk adalah mengacau dodol. Mengacau dodol biasanya memakan masa lebih lapan jam. Kita mengacau dodol dari pagi sampailah hampir malam baru selesai. Lagi lama mengacau dodol lagi teruk sebab dodol jadi lebih kental dan memerlukan lebih banyak tenaga. Selepas berbuka puasa, kita akan bekerja kuat untuk mengacau dodol tersebut.

Kedua, kita gembira mendapat pemberian (duit raya) dari ahli keluarga tetapi tak banyak. Dahulu tak pakai ringgit, cuma beberapa puluh sen, 50 sen atau paling banyak 70 sen tetapi boleh beli nasi lemak dan juga air teh dan adakalanya roti canai.

Maknanya tidaklah banyak tetapi saya digalakkan kalau dapat duit itu saya simpan dalam buku pejabat pos, kemudian cukup duit boleh beli kasut dan baju.

Apakah juadah hari raya paling disukai?

Saya sudah tentu suka dengan ketupat dan kuah kacang. Selain itu, dari tahun ke tahun keluarga bersama-sama membakar lemang dan rendang tetapi di Kuala Selangor, rendang bukan sahaja rendang daging dan rendang ayam tetapi kita juga buat rendang kerang.

Oleh kerana kita adalah kawasan tanaman kelapa, rendang kita penuh dengan santan. Kalau sekarang tentu dianggap tinggi kolestrol tetapi pada masa itu seronok dimakan dan memberi kita tenaga dan kekuatan untuk bermain dan merayakan hari raya.

Selain ibu bapa, pusara siapa yang diziarahi?

Saya sangat bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang menjaga penuh tanggungjawab dan tertib. Almarhum ayah dan ibu mendidik dan setiap tahun saya membawa keluarga untuk melawat pusara dan berdoa supaya Allah memberi rahmat.

Satu lagi pusara yang saya lawati adalah bekas ketua saya, Tun Ismail Ali. Saya bekerja dengan Tun yang pernah menjadi Gabenor Bank Negara. Beliau adalah pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan saya adalah Ketua Eksekutifnya.

Saya bekerja dengannya selama 18 tahun. Beliau mendidik saya supaya menjadi orang yang boleh diamanah dan boleh dipercayai. Harta paling penting bagi kami ialah amanah yang diberi rakyat.

Copy of nazli-mbBagaimana menghadapi tekanan sebagai seorang Menteri Besar?

Perkara ini tidaklah saya anggap saya tahu apabila memasuki politik. Bagaimanapun saya tahu menyertai politik memanglah mencabar daripada pekerjaan sektor swasta tetapi saya anggap ia cabaran kepada pemimpin yang ingin menegakkan prinsip.

Kerana itu, kita mestilah mempertahankan prinsip dan kita dapat menjalankan satu reformasi untuk kepentingan rakyat bukan untuk kepentingan diri kita sendiri. Jadi perkara yang berlaku, saya anggap cabaran kepada mereka yang ingin menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pandangan Tan Sri dalam isu penukaran Menteri Besar?

Rakyat Selangor pada Mei 2013 memilih pasukan yang diketuai saya sebagai Menteri Besar di bawah panji Pakatan Rakyat. Kita berhasil meningkatkan kerusi Pakatan pada PRU-12 daripada 26 kepada 44 kerusi daripada 56 kerusi yang ditandingi. Bererti kita dapat melonjak penguasaan hingga melebihi tahap dua pertiga kerusi di Dewan Undangan Negeri.

Ini pilihan rakyat. Sebab itu Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu meneliti dari segi pemilihan rakyat. Adalah perlu walaupun Pakatan ada bercita-cita untuk menggunakan Selangor sebagai asas pelancaran ke Putrajaya tetapi penting untuk memberitahu rakyat bahawa rakyat Selangor mungkin tidak memikirkan Selangor akan digunakan sebagai alat ke Putrajaya.

Walaupun rakyat bersetuju bahawa Pakatan terus berkembang tetapi tidak boleh diperalatkan untuk dijadikan batu loncatan kepada Putrajaya. Kalau ini nak dijadikan adalah baik meminta mandat semula kepada rakyat Selangor.

Berdasarkan situasi sekarang, bagaimana agaknya prestasi Pakatan pada PRU14?

Kalau perkara ini tak diselesaikan dengan penuh tertib dan penuh adab, sudah tentulah ini menjejaskan bukan sahaja PR di Selangor tetapi PR di PRU-14. Jadi, saya berdoa harap perkara ini dapat diselesaikan dengan penuh tertib dan bertanggungjawab dan mengikut lunas Enakmen Kerajaan Negeri Selangor.

Ini kerana Enakmen Kerajaan Negeri Selangor memperakui bahawa Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor adalah penentu orang yang akan mengepalai pentadbiran negeri Selangor iaitu menjadi Menteri Besar.

Tiga-konsesi-air-setuju-tawaran-ambil-alih-300x202Ada ura-ura mendakwa Splash mendekati individu dalam PKR bagi mendapat penyelesaian yang berpihak kepada Splash dalam isu pengambilalihan konsesi air. Benarkah dakwaan ini?

Sama ada dakwaan ini benar atau tidak tetapi dia akan mencerminkan bahawa jika itu berlaku bermakna mana-mana parti yang membenarkan orang boleh melobi ke atas keputusan yang dibuat Kerajaan Negeri, bererti membelakangkan tujuan memberi kuasa rakyat untuk dapat kebaikan dan pentadbiran yang tulus dan bertanggungjawab.

Saya rasa perkara ini perlu dihindarkan dan berilah keupayaan kepada pentadbiran untuk mencari jalan supaya dapat menentukan pembelian konsesi air ini dibuat dengan harga berpatutan, munasabah dan mestilah menguntungkan rakyat.

Dalam kemelut sekarang, apakah mesej kepada rakyat?

Saya rasa rakyat Selangor perlu meneliti dengan penuh bertanggungjawab dan jangan pula mengikuti berita fitnah atau tidak benar. Tetapi saya rasa rakyat Selangor mesti menerima hakikat bahawa Selangor mempunyai tatacara pelantikan yang penuh tertib dalam Enakmen Kerajaan Negeri Selangor. Saya percaya sudah tentu Kerajaan Negeri dan juga pihak DYMM Sultan Selangor akan mengikuti tatacara dengan penuh tertib dan bertanggungjawab.

Categories
NASIONAL

Rakyat Malaysia perlu kikis sikap sambut Aidilfitri serba baru

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 11 JULAI: Umat Islam di negara ini masih berpeluang merayakan sambutan Aidilfitri dalam suasana meriah walaupun berjimat cermat.

Bersesuai dengan bulan Ramadan sebagai bulan tarbiyyah dan penghulu segala bulan yang penuh dengan keberkatan, umat Islam wajar membudayakan amalan berjimat dalam setiap perbelanjaan.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengikis kebiasaan dan tradisi menyambut Aidilfitri dengan pakaian dan kelengkapan rumah serba baru.

org beli baju raya 12 jul 01Katanya, perbelanjaan perlu dibuat secara berhemah dengan membuat penilaian berdasarkan pendapatan dan tabungan mereka, bahkan hasil berjimat di bulan Ramadan juga boleh menampung keperluan perbelanjaan menyambut Aidlifitri.

“Ramai di kalangan kita berbelanja sakan untuk juadah serta sering berbuka di luar. Sedangkan semua tahu seusai ramadan, kita akan menyambut Aidilfitri dan sudah tentu memerlukan perbelanjaan besar.

“Perkara ini dapat diatasi jika mereka mengamalkan budaya berjimat ketika bulan ramadan dengan membelanjakan lebihan duit itu untuk menampung keperluan dan perbelanjaan untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.

Yusof berkata, masyarakat juga perlu mengelak menggunakan gaji semasa untuk persiapan perbelanjaan Aidilfitri, bahkan bagi yang mempunyai bajet terhad, memadai jika memakai pakaian raya tahun lalu jika masih dalam keadaan baik.

“Sebagai contoh baju melayu, ramai di kalangan kita hanya memakainya pada hari raya dan mungkin beberapa kali sahaja untuk majlis rasmi. Jadi apa salahnya, baju melayu yang sama diulang pakai untuk raya berikutnya.

“Buanglah tradisi raya semua benda perlu diganti sehingga seseorang itu terpaksa berbelanja lebih daripada kemampuan yang akhirnya terjerat hutang,” katanya.

FOMCAMohd Yusof juga menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati ketika berbelanja untuk persiapan hari raya di karnival jualan murah.

Katanya, sebahagian pusat membeli belah mengadakan jualan murah lebih kepada gimik untuk menarik pengguna untuk datang, tetapi harga barangan yang ditawarkan selepas diskaun tidak berbaloi untuk pengguna.

“Pengguna perlu bijak membuat tafsiran sama ada peratusan diskaun yang tawarkan itu tulen. Pengalaman FOMCA, sebahagian pusat membeli belah menaikan harga sesuatu barangan terlebih dahulu dan selepas ditawarkan diskaun setinggi 70 peratus harganya masih sama atau kurang sedikit daripada harga asal.

“Dalam situasi ini, pengguna perlu bijak merancang kewangan dan membuat pilihan rasional dalam berbelanja. Dinasihatkan supaya pengguna membawa wang secukupnya serta tidak terlebih berbelanja,” katanya.

-NFN-