Categories
AGENDA NASIONAL

Pek beras sekilogram akan dikeluarkan, harga RM2.60

PUTRAJAYA, 2 NOV: Pek beras sekilogram pada harga RM2.60 akan dikeluarkan untuk pasaran tempatan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Azman Mahmood berkata inisiatif itu akan memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan beras pada harga lebih rendah berbanding pek lima kilogram dan 10 kilogram yang didapati di pasaran ketika ini.

Beliau berkata pengeluaran pek beras sekilogram itu merupakan inisiatif Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Azman berkata mesyuarat pengarah-pengarah negeri KPB semalam memutuskan untuk melaksanakan inisiatif itu bagi membolehkan pengguna mendapatkan beras pek satu kilogram di pasar raya dan kedai runcit.

“Ketika pandemik Covid-19, kita mendapati ada dalam kalangan rakyat yang terkesan dan sukar mendapatkan beras,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Azman berkata pek beras sekilogram yang mengandungi campuran beras tempatan dan import itu akan dilancarkan bersama beras wangi tempatan di bawah program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dalam masa terdekat.

Program SMART SBB yang menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan untuk meningkatkan produktiviti sawah serta pendapatan pesawah, membabitkan beberapa syarikat peneraju yang akan berfungsi sebagai pengurus projek.

Pesawah yang menyertai program SMART SBB melalui penyertaan berkelompok dan koperasi atau persatuan pesawah akan berunding dengan syarikat peneraju bagi melengkapkan pertanian kontrak atau sewaan dan bebas menanam varieti padi pilihan sama ada padi putih, padi hibrid, padi wangi atau padi organik.

Azman berkata mesyuarat semalam juga bersetuju agar tindakan dibawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dikenakan terhadap individu yang menyorok benih padi sah dan peruncit yang menjual benih padi melebihi harga siling RM35 bagi setiap 20 kilogram.

“Kita bersetuju untuk mempergiat penguatkuasaan industri padi dan beras bagi memastikan kesejahteraan 300,000 pesawah di seluruh negara serta pengguna,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Benih padi jenis NMR152 mampu hasilkan sehingga 10 tan sehektar

ROMPIN, 18 MAC: Agensi Nuklear Malaysia optimis pengeluaran hasil padi negara ini dapat ditingkatkan jika lebih ramai pesawah menggunakan benih padi nuklear NMR152 yang dibangunkan agensi itu.

Ketua Pengarahnya Dr Siti A’iasiah Hashim berkata benih padi itu berupaya menghasilkan lapan hingga 10 tan beras sehektar berbanding dua hingga tiga tan sehektar jika menggunakan benih padi biasa.

Beliau berharap dapat meningkatkan hasil padi negara dengan mengubah cara penanaman dan penggunaan benih padi berkeberhasilan tinggi seperti benih padi nuklear NMR152 dan beberapa variasi benih padi lain yang sedang dibangunkan.

“Usaha ini membolehkan kita mengurangkan kebergantungan pada negara luar seperti Thailand dan Vietnam untuk memenuhi permintaan beras dalam negara yang masih belum mencukupi.

“Saya percaya ini akan berjaya dicapai jika para penanam padi di negara ini bersedia menggunakan benih padi mutasi tersebut, apatah lagi benih berkenaan telah diiktiraf Jabatan Pertanian dan akan dijual pada harga subsidi kelak,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Siti A’iasiah sebelum itu menghadiri Majlis Penyerahan Benih Padi Nuklear NMR152 di Sawah Skim Paya Laka yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Nuklear Malaysia Dr Abdul Rahim Harun dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Rompin Mohd Faizul Miran.

Pada majlis itu, Nuklear Malaysia memberi sumbangan benih padi nuklear NMR152 dan baja Oligokitosan kepada lebih 20 penanam padi di sekitar kawasan tersebut yang terjejas oleh banjir beberapa bulan lalu, sebagai sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi berkenaan.

Siti A’iasiah berkata selain boleh meningkatkan hasil pengeluaran padi, benih padi nuklear NMR152 dilihat berdaya tahan tinggi terhadap cuaca tidak menentu dan penyakit karah.

“Kelebihan benih padi NMR152 ialah boleh hidup walaupun air kurang atau banyak ketika musim hujan atau kemarau selain boleh menangani angin ribut kerana batangnya lebih kuat dan dapat bertahan jika terkena penyakit karah,” katanya.

Beliau berkata walaupun menggunakan teknologi nuklear untuk menghasilkan benih padi berkenaan, orang ramai tidak perlu risau untuk menggunakannya kerana teknologi itu terbukti selamat dan tidak memberikan kesan sampingan.

“Kita tidak mengubah benih padi dari segi genetik tetapi hanya mempercepatkan proses mutasi menggunakan sinaran gamma untuk menjadikannya lebih baik daripada induknya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga diberi amaran jangan sembunyi bekalan beras

SHAH ALAM, 18 MAC: Peniaga diingatkan supaya tidak menyembunyikan bekalan beras dan menjualnya pada harga kawalan, terutama ketika negara berdepan penularan Covid-19, kata ketua pengarah
Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian.

Azman Mahmood berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan rutin tiga kali seminggu di stor beras di seluruh negara membabitkan 168 pegawai penguat kuasa bagi memastikan bekalan mencukupi, lapor Harian Metro.

“Kita akan periksa di kedai, pasar raya dan kedai serbaneka untuk pastikan bekalan beras mencukupi dan tiada pembelian panik.

“Ini adalah rutin penguat kuasa sejak dulu, cuma kita giatkan lagi ketika isu wabak ini menimbulkan keresahan. Setakat ini semuanya terkawal,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac lalu mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac di seluruh negara, bagi mencegah penularan baharu Covid-19.

Categories
NASIONAL

JAWI jangka tempatkan mesin ATM beras di 85 masjid

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjangkakan 85 masjid, di kawasan itu bakal dilengkapi mesin ATM beras, khusus bagi membantu 23,000 asnaf yang berdaftar dengan pihaknya menerima beras secara percuma.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata, rancangan penempatan mesin ATM beras di masjid itu akan dibincangkan lebih lanjut, pada persidangan antara Jawatankuasa Masjid Wilayah Persekutuan, bulan depan.

“Mesin ATM beras pertama dilancarkan di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat malam ini (tadi),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesin ATM beras, di sini.

Mesin ATM berharga RM19,000 itu adalah kiosk pertama dalam negara dan mempunyai dua fungsi, iaitu mengeluarkan beras mengikut kuantiti diperlukan dan mempunyai tabung derma bagi mereka yang ingin menyumbang wang untuk tujuan isian semula.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sumbangan daripada badan korporat untuk menjadi rakan strategik bagi bersama memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Badan korporat yang mempunyai bajet Tanggungjawab Sosial Korporat diharap dapat menjadi rakan strategik masjid dan JAWI, dalam usaha mempermudahkan penyaluran bantuan kepada asnaf dan golongan yang memerlukan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 10 asnaf dari kawasan Datuk Keramat menerima kad pintar mesin berkenaan, yang melayakkan mereka menerima dua kilogram beras seminggu secara percuma.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia tiada masalah bekalan beras

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 14 JUN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan Malaysia tidak mempunyai masalah bekalan beras dalam negara.

Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Shamsuddin Ismail berkata, negara mengeluarkan 73 peratus beras tempatan dan selebihnya ditampung dengan import yang dilaksanakan melalui kontrak jangka panjang.

“Bagaimanapun, bagi memastikan sekuriti makanan terjamin, kerajaan sedang meneliti secara holistik berkaitan dengan pengurusan industri padi dan beras negara.

“Dalam menyediakan hala tuju terbaik, kerajaan akan mendapatkan pandangan daripada Majlis Penasihat Pertanian Negara, selain pandangan pihak luar yang terbabit dalam industri jugak akan diambil kira.

“Penelitian mendalam perlu dilaksanakan kerana urusan pengimportan beras perlu diuruskan dengan baik bagi memastikan bekalan beras negara tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, perancangan dan hala tuju baharu pengurusan industri padi beras negara ini juga akan memberi tumpuan khusus terhadap perkara berkaitan pengurusan stok penimbal, pengurusan subsidi dan insentif, urusan pengimportan beras sering dibangkitkan, permutuan dan isu membabitkan kebajikan pesawah.

 

Categories
NASIONAL

Hapus sistem monopoli BERNAS mampu kawal harga beras

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Pengguna di negara ini akan dapat menikmati harga beras lebih rendah apabila dasar monopoli ke atas pengimportan beras oleh syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dihapuskan.

Menteri Industri dan Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, penamatan monopoli oleh BERNAS dijangka mampu menurunkan dan mengawal harga beras seperti harga pasaran.

Katanya, hal itu akan membentuk pasaran yang lebih terbuka kepada hasil padi dan beras antaranya dengan mewujudkan persaingan sihat syarikat terlibat dalam industri padi dan beras negara.

“Dalam industri padi dan beras negara ini, kita ada pembekalan dan permintaan, jadi bila kita pecahkan monopoli Bernas, akan wujudlah persaingan lebih baik daripada syarikat terlibat bagi penuhi pembekalan dan permintaan itu, seterusnya mampu turun serta kawal harga.

“Bagaimanapun tamatnya monopoli Bernas ini tidak bermakna BERNAS terus dihapuskan, tidak. Bernas masih kekal cuma kita mahu membuka pasaran (padi dan beras) itu kepada umum,” katanya lapor The Malaysian Times.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penerimaan Sumbangan untuk Tabung Harapan bernilai lebih RM1 juta terdiri daripada pelbagai penyumbang di Parlimen Bakri.

Tambah Salahudin, keputusan penamatan monopoli terhadap Bernas juga secara tak langsung dapat memastikan jaminan terhadap keselamatan makanan serta kecukupan beras kepada rakyat.

Pada masa sama, katanya, kementerian kini sedang merangka model bagi industri dan pasaran padi beras negara setelah tiadanya monopoli Bernas, dan memerlukan maklum balas dari pelbagai pihak terutamanya rakyat sendiri.

“Kita akan mendapatkan maklum balas daripada Majlis Penasihat Pertanian Negara, maklum balas dalaman daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan sebuah badan yang akan ditubuhkan terdiri daripada pakar ekonomi, korporat dan pertanian.

“Kemudian Kita akan bandingkan semua maklum balas sebelum mengemukakan kertas cadangan model kepada kerajaan,” katanya.

Categories
SELANGOR

27 tan beras rezeki penduduk Tanjong Karang

SHAH ALAM, 27 JULAI: Tumpahan beras kira-kira 27 tan yang dibawa sebuah treler dalam satu kejadian di Jalan Tali Air 3, Tanjong Karang, malam tadi, ‘menarik’ perhatian penduduk setempat yang berpusu-pusu mengutipnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang Azmi Abbas berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tumpahan beras itu pada jam 10.55 malam dan tiba lima minit kemudian.

BERASKatanya, treler yang membawa muatan 40 tan beras dari arah Sitiawan, Perak menuju ke Senai, Johor itu bagaimanapun tidak terbabit dalam sebarang kemalangan.

Insiden berkenaan kemungkinan berlaku disebabkan keadaan permukaan laluan tidak rata ekoran kerja menambah baik jalan raya itu sedang dilakukan.

“Ketika jentera tiba, ramai penduduk setempat sedang berusaha membersihkan jalan raya menggunakan penyedok, namun tumpahan beras itu terlalu banyak.

“Bomba mengambil masa kira-kira satu jam membersihkan jalan itu dengan cara menyembur air untuk mempercepatkan proses,” katanya memetik BERNAMA, hari ini.

Kejadian tumpahan beras di jalan raya dua lorong itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas hampir tiga kilometer apabila hanya satu lorong boleh digunakan sehingga kerja pembersihan tamat.

Categories
NASIONAL

Harga beras import naik 5% hingga 7% bulan depan

KUALA LUMPUR 22 FEB: Harga semua beras import dijangka naik antara lima hingga tujuh peratus berkuat kuasa bulan depan, lapor BH Online.

Menurut sumber industri, kenaikan itu disebabkan ketidaktentuan ekonomi ketika ini yang memaksa pengusaha menaikkan harga beras import bagi mengimbangi kos operasi mereka.

Selain itu, katanya, faktor kelemahan ringgit dan harga minyak memberi kesan terhadap peningkatan harga beras import.

“Peningkatan antara 35 sen hingga 50 sen boleh dikatakan tinggi. Kalau naik 20 sen masih boleh dianggap wajar untuk pengguna.

“Setakat ini, kami (pengusaha) hanya dimaklumkan melalui panggilan telefon bukan menerusi notis rasmi dari pihak Padiberas Nasional Bhd (BERNAS),” katanya kepada BH, hari ini.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Harga beras di Malaysia patut lebih rendah

Oleh: Gooi Hsiao Leung

Merujuk kepada rencana Reuters bertarikh 19 Februari 2014 bertajuk “Thai rice to pour into global markets as subsidy ends”, berjuta tan beras Thailand bakal dieksport ke pasaran antarabangsa akibat daripada penghapusan skim subsidi padi Kerajaan Thailand pada akhir bulan Februari 2014.

Di bawah skim subsisdi padi Thailand, petani Thai telah dibayar sebanyak 15,000 baht setiap tan semenjak skim subsidi ini diperkenalkan pada bulan Oktober 2011.

Apabila skim subsidi padi Thailand ini dihapuskan nanti, petani dijangka akan terpaksa menjual padi pada harga pasaran terbuka sekitar 8000 hingga 9000 baht sahaja (47% lebih rendah).

berasPetani juga akan terpaksa menjual padi pada harga yang rendah ini kerana kekurangan tangki simpanan beras kerajaan yang tidak membolehkan beras disimpan lama sehingga harga pulih semula.

Pengksport Thai meramalkan penurunan harga beras hancur 5% daripada USD 375/tan (RM 1,238/tan) kepada USD 350/tan (RM 1,155/tan) yang juga merupakan harga terendah dalam 7 tahun terkini.

Selain Thailand, India dan Vietnam juga bakal mengalami penurunan harga beras akibat daripada hasil tuaian yang tinggi. Pertambahan pengeluaran beras sebegini akan terus menekan harga ke paras yang lebih rendah.

Malaysia sebagai negara pengimport beras bakal menikmati harga beras import yang yang lebih murah. BERNAS juga bakal mendapat imbuhan keuntungan yang lebih besar akibat harga import yang lebih rendah.

Perkara diatas amat konsisten dengan kenyataan media saya pada 12 November 2013 yang bertajuk “BERNAS bakal diswastakan: Ketamakan Bermaharajalela” iaitu “Keuntungan (BERNAS) bakal meningkat 40% ke RM 165 juta pada jangkamasa terdekat kerana pengurangan harga beras antarabangsa akibat pengeluaran berlebihan di Thailand, Vietnam,
India dan Pakistan. Hal ini akan menguntungkan sesiapa yang memiliki BERNAS di masa hadapan.”

Sekiranya harga beras untuk rakyat Malaysia tetap kekal diparas lama, BERNAS bakal mendapat pertambahan keuntungan yang majoritinya bakal dikaut oleh seorang individu iaitu Tan Sri Syed Mokhtar sendiri.

Berdasarkan situasi pasaran antarabangsa terkini, harga beras di Malaysia sepatutnya lebih banyak rendah, dan kerajaan harus memastikan harga beras turun bagi membantu meringankan beban rakyat yang semakin terhimpit akibat kenaikan kos sara hidup.

* Gooi Hsiao Leung adalah Ahli Parlimen Alor Setar

Categories
NASIONAL SELANGOR

Asnaf Gembira Tidak Dilupakan Kerajaan Negeri Selangor

Gmbr yb rodziah kuala selangor 03

KUALA SELANGOR, 19 JULAI : Kira-kira 150 golongan Asnaf di sini gembira apabila Kerajaan Negeri tidak melupakan mereka di bulan Ramadan yang mulia ini.

Antara penerima tersebut,  Zaidah Jamil, 65, melahirkan rasa terharunya kerana golongan warga emas sepertinya tidak pernah diabaikan Kerajaan Negeri daripada menerima sumbangan seperti itu.

“Syukur sangat atas bantuan ini. Kalau tiada bantuan ini, tak dapatlah makcik hendak menyambut ibadah puasa dan Aidilfitri dengan rasa gembira,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Anisah Johari, 57, mengucapkan syukur apabila ada pihak yang prihatin untuk membantunya sekeluarga menyambut ibadah puasa pada tahun ini.

Beliau yang mewakili ibu saudaranya itu berkata, wang dan barangan makanan asas yang diterima itu akan digunakan sepanjang Ramadan untuk menampung keperluan harian mereka.

?Saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan ikhlas ini kerana ia amat bermakna buat kami sekeluarga,? katanya.

Gmbr yb rodziah kuala selangor 02

Bantuan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian seperti beras, gula dan minyak masak itu disampaikan Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail di Balai Penghulu, Masjid Barakah, Kampung Assam Jawa.

Rodziah ketika ditemui berkata, sumbangan itu adalah bagi meraikan golongan kurang bernasib baik bagi memastikan mereka dapat menjalani ibadah puasa dalam keadaan selesa dan penuh makna.

“Program ini adalah program tahunan yang dijalankan Kerajaan Negeri di bawah portfolio kebajikan untuk memilih mereka yang berpendapatan rendah menerima sedikit bantuan wang ringgit dan barangan keperluan harian.

“Tujuannya ialah supaya keluarga yang kurang bernasib baik ini dapat menikmati bulan Ramadhan dan Aidilfitri dalam keadaan sederhana,” katanya.

Tambah Rodziah, program ini akan diteruskan lagi di masa akan datang untuk memudahkan Kerajaan Negeri merekodkan bantuan yang sesuai untuk diserahkan kepada keluarga yang memerlukan di negeri ini.

Hadir sama, Adun Ijok, Dr Idris Ahmad.

Gmbr yb rodziah kuala selangor 01