Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Al-Quran perlu difahami, jadikan panduan hidup

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 2 APR: Penjawat awam beragama Islam disarankan menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam mengejar kejayaan sama ada di dunia dan akhirat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya umat Islam memahami isi kandungan Al-Quran.

“Saya khatam Al-Quran dah lama, masa saya kecil dahulu tetapi pada masa itu saya tak faham apa-apa yang saya baca.

“Sekarang saya baca tafsiran Al-Quran barulah boleh saya boleh fahami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan April di Dataran Perdana, Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Selain itu, Mahathir turut mengingatkan supaya penjawat awam tidak hanya bergantung kepada doa semata-mata untuk mencapai kejayaan.

Katanya, ini kerana kejayaan tidak akan datang bergolek sekiranya hanya berdoa tanpa berusaha mencapainya.

Sementara itu, perhimpunan yang dihadiri lebih 100 warga kerja Jabatan Perdana Menteri pagi tadi turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Categories
NASIONAL

Kebanyakkan al-Quran dijual dalam talian tiada kelulusan KDN

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memantau modus operandi tiga pihak yang menjual al-Quran secara dalam talian di negara ini, tanpa mendapat kelulusan kementerian.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Mohd Nawardi Saad berkata, sebahagian besar naskah al-Quran yang dijual secara dalam talian, datang dari negara-negara jiran, yang didapati tidak memenuhi syarat dari segi standard percetakan di Malaysia.

“Siasatan kami mendapati penjual atau ejen terbabit membeli al-Quran dari negara jiran, yang sebahagian besarnya tidak memohon lesen import dari KDN, menyebabkan ia tidak dapat disemak oleh kami.

“Di Malaysia, percetakan naskah al-Quran berdasarkan kepada sistem percetakan Arab Saudi, yang dipanggil Rasm Uthmani, tetapi negara tetangga kita mempunyai standard percetakan yang berbeza dan dari segi tanda ‘waqaf’ (tanda-tanda untuk menghentikan bacaan sebentar) dan ‘ibtida’ (tanda-tanda untuk menyambung semula bacaan) juga berbeza, daripada apa yang kita gunakan di sini,” katanya lapor BERNAMA.

Mohd Nawardi berkata, kesalahan menjual naskah al-Quran tanpa kelulusan KDN, boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 8 (1) (d) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Katanya, pada masa ini pihaknya masih belum membuat sebarang tangkapan, tetapi aktiviti pihak terbabit kini dalam pemerhatian disamping mengumpulkan maklumat dan bukti sebelum mengambil sebarang tindakan.

Dalam pada itu, beliau berkata bahagiannya akan terus menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan, pejabat pos dan pintu masuk negara untuk memastikan tidak ada naskah al-Quran tanpa kelulusan KDN dijual kepada orang ramai.

“Naskah al-Quran yang dapat kelulusan KDN mempunyai cetakan cop khas berwarna biru dalam tulisan jawi, ‘Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran memperakui bahawa ayat-ayat al-Quran yang terkandung di dalam teks ini adalah betul’ disamping KDN menambah ciri baru dengan kod QR dan hologram,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, sejumlah 178 naskah al-Quran tanpa kelulusan KDN dirampas dari sebuah premis di Sungai Petani.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kedah, Zaki Mohamed berkata ketiga-tiga pihak itu didapati secara aktif melakukan pemasaran dalam talian untuk ‘menarik’ pengguna membeli al-Quran tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGAMA SELANGOR

Jalankan Program Tadarus Al-Quran setiap bulan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 JUN: Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud mencadangkan supaya program tadarus Al-Quran diadakan setiap bulan, bukan sahaja pada Ramadan.

Katanya, program tersebut boleh dianjurkan jawatankuasa masjid mahupun sekolah bagi mendekatkan masyarakat Islam dengan Al-Quran.

“Al-Quran adalah makanan jiwa, selain bertadarus, saya juga berhasrat supaya kelas tadabbur Al-Quran boleh dianjurkan sama.

“Kita lihat ramai yang membaca Al-Quran namun tidak mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kerana tidak memahami apa isi kandungan dan maksudnya, sekiranya ada kelas tadabbur saya yakin masyarakat kita akan bertambah baik kerana mereka faham dengan Al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Khatam Al-Quran Perdana dan Diskusi Muslimat Selangor di Masjid Seksyen 7 di sini pagi tadi.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu turut dihadiri 1,000 peserta termasuk penjawat awam Selangor, hadir sama penceramah terkenal, Datuk Dr Norhafizah Musa dan Prof Madya Dr Sharifah Norhayaati Syed Ismail Al-Qudsy.

Dalam masa yang sama, Siti Mariah mahu golongan wanita mendalami ilmu agama dengan sebaiknya bagi membentuk keluarga bahagia.

“Ini penting kerana masalah sosial adalah isu yang sangat ditakuti pada waktu ini, jadi apabila wanita mengukuhkan agamanya, maka dia akan mendidik keluarga termasuk anaknya dengan lebih baik,” katanya.

Categories
GLOBAL

Bantu masyarakat Islam di Kemboja miliki al-Quran

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 31 MAC: Kesukaran mendapatkan naskhah al-Quran di Kemboja, menyebabkan ramai pelajar di sekolah agama atau maahad tahfiz di situ terpaksa berkongsi kitab suci, termasuk menggunakan salinan al-Quran yang difotokopi.

Ketua Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, ketika memulakan program ke Kemboja pada 1999, umat Islam Kemboja pada waktu itu amat daif kerana tidak mempunyai banyak keperluan seperti al-Quran, sejadah, kain pelikat, telekung wanita dan lain-lain.

“Amat menyedihkan waktu itu, tapi akhirnya ramai dermawan dari Malaysia datang ke Kemboja membawa keperluan tersebut.

“Sehingga kini, keperluan itu masih diperlukan kerana pembukaan sekolah tahfiz semakin bertambah, begitu juga masjid dan surau, malah bilangan penduduk Islam semakin ramai di banyak tempat di Kemboja termasuk di pedalaman,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Penasihat Islam di Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Sheikh Abdulrahman M Al-Herfi di pejabatnya, baru-baru ini.

Beliau berkata, pertemuan itu bertujuan memohon kerjasama dan jasa baik kedutaan Arab Saudi di Malaysia menyumbangkan al-Quran kepada golongan itu.

Sementara itu, Sheikh Abdulrahman memuji sikap Mustapha begitu komited memperjuangkan umat Islam sejagat, khususnya negara yang memerlukan sumbangan sama ada melalui wang ringgit, tenaga mahupun masa.

Saya sejujurnya bangga dengan pencapaian Mustapha dan ini contoh terbaik, malah beliau diberi pengiktirafan oleh pemimpin bukan Islam atas pengorbanan beliau,” katanya lapor Sinar Harian.

Katanya, kejayaan membina empat masjid, beberapa surau dan tiga sekolah agama tahfiz di Kemboja bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi Mustapha telah membuktikannya.

Justeru itu, pihaknya sedia membantu menyumbangkan al-Quran, dengan 1,000 naskhah pelbagai bahasa diserahkan kepada Mustapha untuk diberi kepada negara dilawati, khususnya negara Asean.

=EZY=

Categories
AGAMA SELANGOR

KAFA menengah lahirkan lebih ramai generasi Al-Quran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 FEB: Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperbanyakkan lagi sekolah KAFA menengah dalam usaha melahirkan generasi Al-Quran yang berjiwa rabbani.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Yunus Hairi berkata, usaha itu juga dilaksanakan ekoran terdapat permintaan tinggi daripada ibu bapa yang mahu memberikan pendidikan Islam terbaik untuk anak mereka.

Katanya, setakat ini terdapat 25 sekolah dan seramai 800 pelajar mengikuti pengajian pengajian terbabit.

“Kita cuba galakkan lagi anak ini mengikuti pengajian di peringkat menengah. Usaha ini dilaksanakan sejak 2014 dan yang pertama dilaksanakan, di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Guru KAFA 2017, Meraikan Guru KAFA Bersara dan Jasamu Dikenang 2018.

Dr Yunus berkata, kebanyakan pelajar menerima keputusan peperiksaan yang membanggakan hasil usaha melaksanakan inisiatif pengajian itu.

“Ini menunujukkan wadah untuk memberikan pendidikan Islam terbaik sebagai salah satu sumber pendidikan di negara ini adalah tepat,” katanya.

Pada 2014, Kerajaan Negeri memulakan pilot projek dengan menubuhkan beberapa kelas KAFA peringkat menengah di sembilan Sekolah Rendah Agama (SRA) sedia ada.

Ia bermula di SRA Bukit Sentosa, Bandar Tasik Puteri, Sungai Buloh, Kampung Jalan Kebun, Bandar Bukit Puchong, Jalan Klang Lama, Telok Panglima Garang, Jalan Pandan Indah dan Kampung Sungai Udang.

Pendidikan di KAFA menengah adalah pendidikan alternatif kepada murid yang tidak berpeluang untuk mengikuti pengajian sekolah agama menengah negeri atau persekutuan.

 

Categories
AGAMA SELANGOR

Hayati dan tadabbur Al-Quran, fahami serta amalkan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 JAN: Program Tadabbur Al Quran anjuran Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) diteruskan buat kali ke- 30 untuk lebih memahami dan menghayati kandungannya.

Pengerusinya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, adalah amat penting sebagai umat Islam untuk memahami isi kandungan Al Quran dan ajaran yang cuba disampaikan supaya dapat diamalkan.

“Sejak saya mula meminati dalam memahami tafsir Al Quran beberapa tahun lalu, saya mengambil platform ini untuk meneruskan program ini dan menggalakkan wanita Selangor turut serta.

“Kerana pada saya apabila saya mula merasai kemanisannya Al Quran, saya ingin kongsikan dengan semua orang,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Program Tadabbur Al Quran, di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, di sini, semalam.

Shamshida berkata, program itu menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila bulan lalu kira-kira 600 peserta yang hadir menyertai.

“Program ini tidak terhad kepada sebarang had umur malah ia terbuka kepada semua peringkat usia dari seluruh Selangor,” katanya.

Tambahnya lagi, objektif utama program adalah untuk umat Islam memahami maksud isi kandungan dan nilai terkandung di dalamnya.

=EZY=

RAKAMAN: Liqa’ Ukhwah 2016 Azam Membaca Al-Quran & Qasidah – Ustazah Sharifah Khasif

Rakaman Liqa’ Ukhwah 2016 : Azam Membaca Al-Quran & Qasidah – Ustazah Sharifah Khasif. Program ini telah dilangsungkan di SACC Shah Alam pada 1 Jan 2015 bermula 5 petang. Membincangkan keperluan kita mempelajari ilmu, seni dan kandungan Al-Quran seterusnya membudayakan Al-Quran dalam kehidupan.

Categories
SELANGOR

Worldwide sumbang RM1 juta perkasa pelajar tahfiz & OKU penglihatan

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 5 MEI: Worldwide Holdings menyumbang RM1 juta kepada Tabung Pendidikan Tahfiz Al Quran dan Qiraat Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) dan Al-Quran Braille kepada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).

Pengurus Besar Kanan Pentadbirannya, Ahamad Azman Azizul Rahman berkata, sumbangan disampaikan ketika majlis doa selamat dan kesyukuran sambutan ulang tahun ke-25 Worldwide Holdings, pada 29 April lalu.

Al-QUran“Ia bertujuan memperkasakan pelajar yang mendalami ilmu hafazan Al-Quran.

“Selain itu, ia turut memberi galakan kepada golongan cacat penglihatan untuk membaca Al-Quran,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian tazkirah oleh penceramah jemputan khas, Ustaz Roslan Mohamed.

Majlis dianjurkan bagi menzahirkan kesyukuran atas pencapaian Worldwide Holdings sebagai syarikat korporat yang berdaya saing di Selangor.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pendidikan berteras al-Quran & sains kembalikan kegemilangan era Rasulullah SAW

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Sistem pendidikan berteraskan Al-Quran termasuk melibatkan sains mampu mengembalikan kegemilangan modal insan seperti zaman kegemilangan Islam di era pemerintahan Nabi Muhammad SAW.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad percaya kegemilangan itu dapat dikembalikan melalui penubuhan sekolah berteraskan Islam seperti Sekolah Agama Menengah Tahfiz Aliran Sains.

“Sumbangan Al-Quran kepada manusia dan dunia sangat besar serta bermakna.

murid tahfiz 25 julai 01“Al-Quran sudah dibuktikan oleh sejarah kerana berjaya membina satu tamadun dan peradaban kehidupan manusia. Saya percaya ganerasi itu membaca, menghafaz, mengamal dan menghayati Al-Quran,” katanya.

Bercakap dalam Konvensyen Sekolah-sekolah Agama Menengah Tahfiz Aliran Sains Kebangsaan Kali Ke-5, beliau mengharapkan usaha ke arah memperkasakan kurikulum ini menjadi perhatian pelbagai pihak dalam menjayakan visi dan sekolah berkenaan di Malaysia.

Ahmad Zaharin berkata, mata pelajaran sains ingin dibuktikan sebagai model pengintegrasian dengan Al-Quran selain memantapkan akidah guru dan juga pelajar.

Tahun ini, fokus konvensyen bertemakan Al-Quran dan Sains ke arah memantapkan kemenjadian guru.

Seramai 154 orang guru tahfiz aliran sains dari seluruh negara menyertai konvensyen itu yang berlangsung sehingga 20 November bertempat di Hotel Carlton Holiday & Suites, di sini, hari ini.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kanak-kanak 5 tahun hafal 29 Juz, ulama menangis

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM, 2 JULAI: Kisah kanak-kanak berumur 5 tahun dari Timur Tengah, Indonesia yang berupaya menghafal 29 Juz Al-Quran membuatkan juri, ulama dan penonton turus sama menitiskan air mata.

Mereka teruja dan kagum dengan kebolehan Musa ketika diuji hafalan dalam Pertandingan Hafiz Indonesia 2014 rancangan televisyen RCTI yang berupaya menuturkan setiap ayat Al-Quran dengan lancar dan jelas.

Salah seorang juri, Ustadz Amir Faishol Fath ketika diminta memberikan komen berkata mengatakan sambil menangis, “Saya tidak punya bahasa. Subhanallah”

musa1Beliau kemudian menghampiri Musa dan mencium tangannya sebagai penghormatan terhadap orang yang dimuliakan Allah dengan Al Qur’an.

Abi Amir berkata, kanak-kanak itu membuatnya kagum kerana menganggap Allah sendiri memuliakannya walaupun umur masih muda apabila jiwanya diindahkan dengan al-Quran.

“Ayah bonda semua, inilah buktinya bahawa sekalipun anak kecil masih sangat lemah kemampuannya, namun kita tunduk dengan kemuliaannya kerana al-Quran maka kerana Allah memuliakannya,” katanya.

Katanya, wang kertas tetap bernilai walaupun dipijak kerana manusia menetapkan nilai untuk wang itu.

“Bagi Musa, Allah menetapkan nilai yang mulia ke atasnya kerana dia sudah pun menghafaz Al-Quran walaupun masih muda,” katanya.

musaPeserta Hafiz Indonesia 2014 itu sudah hafal 29 juz dan memasuki 30 juz.

Hebatnya, hafalan Musa sangat baik sehingga ketika diuji Syaikh Ali Jaber, Ustadz Amir Faishol Fath dan sejumlah penonton dengan lancar dia meneruskan aayat yang dibacakan kepadanya.

Video yang dimuat naik ke laman youtube pada 29 Jun lalu sudah dilayari seramai 456,850 penonton.

-NFN-

JURNAL BERITA – MB: Projek Horas tambah bekalan air mentah

1. MB: Projek Horas tambah bekalan air mentah, siap Julai 2015

2. MB: Manifesto PR PRK Kajang tingkat pembangunan negeri

3. Sultan Selangor: Ibu bapa perlu serius didik anak budayakan Al-Quran

4. PKR: Kesesakan trafik di Kajang sejak zaman Umno

5. Risalah burukkan Wan Azizah, PKR Selangor lapor Polis

6. Exco: Pemilik buat pembakaran terbuka berdepan tindakan undang-undang

7. Kerajaan Pusat digesa naik taraf Lebuhraya Besraya bagi atasi kesesakan

8. Bekas timbalan menteri Umno isytihar sokong Wan Azizah

9. Haniza : Program MES perlukan pendedahan lebih meluas

10. Ahli Parlimen Serdang kesal projek Park ‘n Ride gagal siap ikut tempoh

11. PBT perlu rangka dasar kutip minyak masak untuk kitar semula

12. PKNS anjur seminar pengurusan nilai dan kejuruteraan 17 Mac ini