Categories
KENYATAAN MEDIA

Kritikan terhadap Mahkamah Syariah bertentang semangat Perlembagaan Persekutuan

OLEH MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat kritikan yang diluahkan Surendra Ananth, salah seorang ahli Majlis Peguam (Bar Council) yang dilihat seakan-akan menafikan hak serta peranan Mahkamah Syariah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan beliau ini dirujuk daripada sebuah laman web portal berita (The Malaysian Insight) yang antara lain mengkritik cadangan Sahibus Samahah Mufti Perak yang mahu Mahkamah Syariah ditubuhkan berdasarkan kepada undang-undang tubuh negeri.

Walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Ghandi vs Ridhzuan Abdullah perlu dihormati daripada perspektif perundangan dan keadilan, namun peruntukan 121 (1A) juga perlu dihormati kerana ia adalah sebahagian daripada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebarang kritikan melulu terhadap mahkamah syariah seharusnya juga ditanggapi sebagai kritikan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Ini kerana Mahkamah Syariah adalah institusi yang secara jelas dipertahankan dan diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan sendiri malah dilindungi oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Maka, seharusnya setiap pandangan terhadap Mahkamah dan Perundangan Syariah boleh dibuat tanpa merendah-rendahkan kedudukan apatah lagi menafikan samasekali peranan badan-badan berkenaan.

ABIM menilai keputusan membabitkan hak jagaan anak-anak Indira Ghandi dan Mohd Redzuan Abdullah telah menimbulkan pelbagai bentuk perdebatan yang meluas dalam kalangan masyarakat.

Perbincangan secara inklusif dan harmoni berhubung isu-isu berkaitan dengan perundangan sivil dan syariah perlu dimatangkan tanpa dibayangi emosi keagamaan dan politik yang keterlaluan.

Keputusan ditetapkan Mahkamah Persekutuan pada 30 Januari lalu seharusnya menjadi anjakan ke arah mengemaskini prosedur serta tatacara perlaksanaan badan-badan perundangan syariah di negara ini.

Proses ini meliputi keterbukaan membicarakan kes-kes yang menyentuh kepentingan masyarakat bukan Islam, mengemaskini prosedur penentuan hak jagaan anak sekiranya kes seperti Indira Ghandi vs Ridzuan Abdullah serta Izwan Abdullah vs Deepak berulang lagi pada masa-masa akan datang.

Dengan sempurnanya proses ini pada masa akan datang, kedudukan dan peranan mahkamah syariah sepertimana yang ditetapkan dalam artikel 121 (1A) dapat diperkukuhkan selari dengan keistimewaan serta ruang telah ditetapkan pada Perlembagaan Persekutuan.

* Muhammad Faisal Abdul Aziz adalah Setiausaha Agung ABIM

Categories
SELANGOR

RM1 juta untuk ABIM teruskan misi bantuan kemanusiaan Syria

 

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 16 JAN: Sejumlah RM1 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bagi meneruskan usaha pertubuhan itu dalam misi bantuan kemanusiaan ke Syria.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, sumbangan terbabit diamanahkan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin kepada ABIM untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, Mohamed Azmin sangat prihatin dan cepat meluluskan permohonan ABIM supaya melaksanakan misi itu dengan segera.

“Kerajaan Negeri mahu melihat ABIM dan pemuda belia komited meneruskan perjuangan ini.

“Diharapkan ABIM memanfaatkannya sebaik mungkin terutamanya membantu pelarian ketika musim sejuk ini,” katanya kepada SelangorKini selepas penyerahan cek sumbangan di Pejabat ABIM, semalam.

Dr Daroyah berkata, Kerajaan Negeri mengalukan dan menyokong perjuangan yang dilaksanakan ABIM sekali gus merancang meneruskan pelbagai bantuan akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria, Syahir Azfar berkata pihaknya mengalukan dan berterima kasih atas sumbangan terbabit.

Katanya, dengan sumbangan itu sedikit sebanyak membantu memudahkan perjalanan misi kemanusian itu nanti.

“Kita berharap sumbangan ini boleh dijadikan pilot projek atau projek angkat Selangor dalam pelbagai lagi misi kemanusian selepas ini,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan Persekutuan digesa dedah butiran TPPA

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Persekutuan digesa mendedahkan butiran baru Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kepada umum dan membuka ruang perbahasan terbuka berhubung perkara itu.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) , Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, perkembangan itu meliputi proses rundingan isi kandungan perjanjian itu yang cuba dijenamakan semula sebagai Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP).

Katanya, ia susulan daripada penarikan diri Amerika Syarikat daripada perjanjian itu.

“Dalam semakan kehakiman difailkan, pada 4 November 2015 lalu, ABIM dengan tegasnya berpandangan perlaksanaan TPPA menggugat secara langsung asas kedaulatan negara.

“Perlaksanaan mekanisme Investor-State Dispute Settlement (ISDS) langsung menggugat kedaulatan undang-undang negara mencemarkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Raimi berkata, usaha merealisasikan CPTPP menggantikan TPPA, turut dibantah pakar ekonomi terkemuka antarabangsa seperti KS Jomo, yang menyuarakan kebimbangan kesan CPTPP terhadap rakyat.

Katanya kesan itu adalah kenaikan harga keperluan penting seperti bahan perubatan, dan aliran perdagangan antarabangsa tidak memihak kepada rakyat.

“Merujuk implikasi berkenaan, ABIM mendesak Kerajaan mendedahkan setiap butiran rundingan CPTPP kepada masyarakat umum.

“ABIM menggesa dialog dan perbincangan terbuka serta inklusif diadakan membabitkan setiap stakeholder mewakili setiap segmen rakyat serta lapangan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Raimi berkata, ABIM menggesa hasil proses dialog serta perbincangan dikemukakan stakeholder diangkat  rujukan utama sebelum keputusan perlaksanaan CPTPP dibuat.

“Keputusan tergesa-gesa melaksanakan ketetapan CPTPP tanpa analisis kritis dan terbuka meninggalkan kesan buruk kehidupan rakyat pada ketika terpaksa mendepani kesenjangan ekonomi semakin melebar,” katanya.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

ABIM sumbang barangan keperluan, wang tunai ringankan beban Rohingya

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 22 JUN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) tidak melupakan warga Rohingya yang menetap di sini dengan menghulurkan bantuan kepada 130 keluarga golongan terbabit.

Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata, setiap keluarga menerima sumbangan barangan seperti beras, gula, minyak masak dan barangan kering lain bernilai RM9,100.

“Mereka ini merupakan keluarga 190 anak-anak Rohingya yang bersekolah di Rohingya Education Centre (REC) ini.

ABIM (2)“Setiap keluarga menerima barangan bernilai RM70 tak termasuk sumbangan tunai di mana kami berharap sumbangan tak seberapa ini mampu meringankan beban untuk menyambut hari raya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada program ‘Satu Keluarga, Sekampit Beras(SKSB)’ di sekolah REC, Bangunan Maru di sini, hari ini.

Jelasnya, sumbangan itu dikumpulkan melalaui sumbangan persendirian dan syarikat-syarikat korporat.

Katanya, beliau amat bersyukur apabila ramai warga tempatan bermurah hati untuk menghulurkan sumbangan.

Categories
SELANGOR

ABIM sasar Selangor dan KL laksana Dermaga

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 20 MEI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di bawah agenda pembangunan sosial dan keluarga komited menangani masalah dalam kalangan remaja menerusi program Diriku Permata Berharga (Dermaga).

Menerusi laman sesawang rasminya, ABIM berkata pihaknya mensasarkan Selangor dan Kuala Lumpur sebagai lokasi pelaksanaan program itu.

“Alhamdulillah, berakhir latihan Kejurulatihan Dermaga dianjurkan bersama ABIM WP (Kuala Lumpur) dan ABIM Selangor pada 6-7 Mei lalu.

“Kita berjaya mengumpulkan lebih 20 jurulatih yang bersedia turun lapangan bagi proses pendidikan tidak formal dalam isu pendidikan reproduktif remaja,”katanya.

ABIM REMAJAPertubuhan itu juga berkata, pihaknya sedia menawarkan khidmat Dermaga kepada mana-mana sekolah mahupun pusat tumpuan komuniti termasuk masjid atau surau dalam zon Selangor dan Kuala Lumpur yang besar hati untuk bersama dalam program pendidikan remaja masing-masing.

Dermaga diilhamkan bagi membantu mengukuh kefahaman dan menyampai maklumat betul berkaitan kesihatan reproduktif kanak-kanak dan remaja.

Penubuhannya juga membantu memahamkan bahawa remaja juga punya tanggungjawab menjaga diri sendiri.

“Dermaga juga membantu remaja mengenal pasti tingkah laku berisiko atas sebab diri atau orang lain yang boleh mendekatkan diri pada risiko keselamatan diri,”kata kenyataan itu lagi.

Categories
NASIONAL

Pupuk gerakan Islamiyah, teladani perjuangan ABIM

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BANGI, 8 DIS : Perjuangan gerakan Islamiyah berpandukan teras dan ajaran sebenar perlu diwujudkan bagi memastikan perjuangan mengenainya berlanjutan sehingga kini.

Mengimbau perjuangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahli Akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar berkata, gerakan sedemikian terlahir hasil gabungan pemikir dan cendekiawan sekitar 1970-an.

“ABIM memainkan peranan dan fungsi yang jelas dan boleh dianggap sebagai gerakan Islam terbesar di Malaysia waktu itu yang mempertahankan prinsip Islam ketika kemelut agama berlaku di negara ini.

“Perjuangan ini perlu diteruskan dan dimanfaatkan khususnya golongan muda agar kemurniaan Islam itu dapat terus dipertahankan,” katanya.

img_2232Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum ‘Kebangkitan Islam di Alam Melayu dan Isu-Isu Masa Depan’ di Dewan Raya, Bangi Golf Resort di sini, petang ini.

Program anjuran bersama Nadwah Ilmuwan bersama Institut Darul Ehsan (IDE) turut dihadiri Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution dan Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Dr Shaharuddin Badaruddin.

ABIM adalah pertubuhan bukan kerajaan yang diwakili sebagai salah satu pergerakan beli Islam yang ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 yang pernah diketuai bekas Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ABIM telah didaftarkan secara rasmi di bawah Akta Pertubuhan 1966. Manakala pada tahun 2009, setelah Kerajaan Persekutuan membuat semakan terhadap dasar belia negara, ABIM didaftarkan penubuhannya di bawah Akta Pertubuhan-pertubuhan Belia 2007.

-nR-

Categories
NASIONAL

Presiden ABIM kongsi perkembangan masyarakat madani di pentas dunia

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 2 DIS: Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim diundang sebagai panelis dalam persidangan antarabangsa ‘World Forum On Muslim Democrats’ ketiga di Sasakawa Peace Foundation, Tokyo, Jepun, 24 dan 25 November lalu.

Berucap dipentas antarabangsa, Raimi berkongsi perkembangan dan pengalaman penggiat masyarakat madani (Civil Society) dalam merangsang perkembangan demokrasi serta keharmonian antara agama dan kaum di Malaysia.

abimMengisi slot ‘Capacity Building Of Civil Society In The Muslim World,’ Raimi turut mengetengahkan beberapa trend terkini perkembangan gerakan masyarakat madani di seluruh dunia.

Katanya, gerakan itu semakin menagih perhatian terutama sekali ke arah menjayakan interaksi antara agama serta kaum untuk mengatasi gejala Islamophobia dan ekstremisme sejagat.

Persidangan antarabangsa itu menghimpunkan penggiat demokrasi dalam kalangan dunia Islam dengan persidangan kali ini terarah membincangkan kepentingan menangani Islamophobia serta faham ekstremis yang mencalarkan wajah progresif Islam di pentas antarabangsa.

Muslim Demokrat merupakan satu gerakan evolusi pembaharuan politik yang semakin meraih momentum.

Sejak tahun 2014, Forum Sedunia Muslim Demokrat (WFMD) yang dipelopori Datuk Seri Anwar Ibrahim, B J Habibie, Surin Pitsuwan, Abdullah Gul, Tariq Ramadan dan pemimpin masyarakat madani telah menggariskan hala tuju Muslim Demokrat bagi melaksanakan reformasi menyeluruh, menegakkan keadilan sosial, membanteras korupsi dan tatakelola yang baik.

Dalam kesempatan sama, Raimi turut menemui dan berbincang perihal masa depan Asia dengan dua tokoh besar Asia dari Thailand dan Jepun.

Mereka adalah mantan Menteri Luar Thailand yang juga Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin Pitsuwan dan mantan Menteri Alam Sekitar dan Menteri Luar Jepun, Prof Yoriko Kawaguchi.

Sidang kali ini dirasmikan Dr Surin Pitsuwan, tokoh diplomat Muslim di peringkat antarabangsa dan ucaptama oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi surat yang dibacakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

-nR-

Categories
SELANGOR

ABIM saran wujud jawatankuasa khas tangani isu agama

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 23 OGOS: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyarankan Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa khas sebagai perunding bagi membantu menyelesaikan hal berkaitan sensitiviti antara agama.

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Abdul Rahim, berkata jawatankuasa tersebut bakal menjadi landasan pemimpin dan pertubuhan agama untuk berbincang serta mencari persefahaman jika timbul isu berkaitan agama.

“Usaha ini memudahkan Kerajaan Negeri menangani isu sensitif dan dapat mencari persefahaman melalui sesi dialog atau perbincangan.

“Kerajaan Negeri juga disaran turut duduk bersama memberi dan menerima pandangan serta saranan daripada ahli jawatakuasa dalam menyelesaikan sebarang isu,”katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

ABIM-RAIMI-300x236Raimi menjelaskan, terdapat pelbagai isu sensitif membabitkan agama perlu diselesaikan dengan bijak supaya tidak timbul sebarang kekecohan yang boleh menjejaskan keamanan negara.

“Jawatankuasa ini bertindak sebagai satu inisatif dalam usaha mewujudkan persefahaman serta perpaduan antara kaum dan agama.

“Selain itu, orang bukan Islam dan badan bukan kerajaan harus diberi peluang menyertai sesi dialog dalam memberikan pandangan sekiranya wujud konflik,” katanya.

-nR-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bebaskan Anwar!

OLEH : MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru rakyat Malaysia mengimbau semula pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang genap setahun pada 10 Februari 2016.

Sesungguhnya peristiwa pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Pembangkang merupakan peristiwa hitam yang tragis dalam sejarah politik dan perkembangan demokrasi negara yang kita cintai.

Anwar Ibrahim merupakan simbol dan lambang keberanian pemimpin yang sanggup mengambil segala risiko – hatta mengorbankan kebebasannya jasadnya – demi perjuangan membela hak rakyat dan menyanggah kezaliman elit pemerintah.

Tampak semakin jelas, dalam situasi negara yang terus-terusan dilanda krisis kepimpinan dan integriti yang mencemar reputasi rakyat Malaysia seantero dunia, pemimpin berjiwa besar yang sanggup mengenepikan kepentingan peribadi bagi menempuhi perit-jerih perjuangan bersama rakyat terbanyak semakin sukar dicari.

Justeru amatlah malang; di kala negara memerlukan lonjakan gergasi untuk segera keluar dari kemelut sosio-politik dan ekonomi yang kian mencengkam, pemimpin pejuang rakyat yang komitmennya telah diuji dan kualiti kepimpinan telah diiktiraf di peringkat antarabangsa di dibiarkan mendekam di penjara selama 5 tahun.

Anwar bebasAnwar Ibrahim – tanpa ragu – merupakan seorang tahanan politik yang dipenjarakan secara arbitrari, yakni pemenjaraan salah yang dilakukan tanpa bersandarkan bukti yang kukuh.

Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Working Group on Arbitrary Detention – UNWGAD) telah sebulat suara mendapati Anwar dipenjarakan secara haram, dan melanggar undang-undang antarabangsa melalui Pendapat No. 22/2015:

“Pemenjaraan Saudara (Anwar) Ibrahim adalah arbitrari. . . mengambil kira semua hal dalam kes tersebut, Kumpulan Kerja ini berpendapat bahawa jalan untuk membetulkan keadaan adalah untuk membebaskan Saudara (Anwar) Ibrahim dengan serta merta, dan memastikan hak-hak politik beliau yang dirampas oleh kerana pemenjaraan beliau ini dikembalikan”.

Pemenjaraan politik bukanlah sesuatu yang baru lagi menghairankan. Dalam apa pun nama sistem dan istilahnya dalam liku-liku sejarah peradaban manusiawi, hakikatnya tetap sama – bahawa wujud insan-insan tidak berdosa sepanjang zaman yang dihumbankan di balik jeriji dek pertuduhan palsu yang menjengkelkan dan dakwaan memualkan!

Hanya segelintir yang buta sejarah berani menafikan betapa undang-undang telah disalahgunakan oleh pemegang tampuk kekuasaan untuk memenjarakan secara zalim seteru politik dan para penentang yang lantang memperjuangkan prinsip kebenaran dan keadilan.

Demikianlah juga, hanya pemerintah yang telah tercabut rasa kemanusiaannya laksana Al Sisi dan Shekh Hasina yang tega memekakkan telinga dan memejamkan mata dan terus-terusan membelenggu musuh politik sementelahan dikutuk masyarakat bertamadun seantero dunia.

Walaupun demikian, ABIM berkeyakinan majoriti rakyat Malaysia masih punya ketinggian akalbudi, naluri kesedaran yang mendalam dan dhamir yang suci untuk mengakui hakikat bahawa Anwar Ibrahim merupakan mangsa politik keji konspirator yang sanggup menggunakan apa sahaja helah bagi mengaibkan dan merampas hak kebebasan seteru yang tidak dapat ditundukkan dalam gelanggang politik demoktratik secara budiman, adil dan saksama.

Pertuduhan dan sabitan kesalahan seksual ke atas beliau melalui kerahan dan sebaran propaganda lucah yang diarusperdanakan buat tontonan umum telah meninggalkan warisan memori yang memalukan khususnya buat generasi muda negara.

ABIM menilai bahawa seluruh episod serangan yang jijik terhadap peribadi DSAI telah membiakkan budaya fitnah dalam masyarakat dan menyuburkan amalan Qazaf – menuduh wanita dan lelaki yang baik berzina atau liwat tanpa mendatangkan 4 orang saksi – yang amat dibenci oleh ajaran agama.

Bahkan sebaliknya, penekanan terhadap pemeliharaan maruah (hifz ‘ird) dan kemuliaan insaniah yang digariskan dalam objektif pensyariatan Islam telah dilanggar dengan wewenangnya dalam siri serangan propaganda terhadap beliau.

Sahsiah peribadi dan komitmen keIslaman Anwar Ibrahim, yang diiktiraf oleh ulama-ulama’ muktabar dan cendiakawan Islam di pelbagai belahan dunia dari usia mudanya sewaktu memimpin gerakan Islam sehinggalah saat dan tika ini telah tercalar dan tercemar dengan tuduhan Qazaf yang dipropagandakan pada peringkat nasional.

Marilah kita bersama-sama merenung dan menghayati mesej penting Syeikh Dr. Yusuf Qaradhawi dalam surat umumnya kepada seluruh rakyat Malaysia pada 27 Oktober 2014 sewaktu Dato Seri Anwar Ibrahim melalui fasa-fasa terakhir kes perbicaraan beliau di Mahkamah Persekutuan:

“Dalam kaitan inilah, Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin besar. Dengan jejak sejarah perjuangan dan pengalamannya, kesabaran, ketahanan dan kegigihannya sejak muda hingga sekarang, seharusnya beliau dihormati dan dilayani selayaknya, sesuai dengan perjuangannya, dan tidak wajar sama sekali beliau dilempari tuduhan-tuduhan palsu yang tidak berasas.”

Bersempena genap setahun penahanan Dato Seri Anwar Ibrahim pada 10 Februari 2016, ABIM dengan ini menuntut agar Dato Seri Anwar Ibrahim dibebaskan segera secara sah menurut saluran perundangan dan dibersihkan dari segala sabitannya melalui semakan kehakiman yang sedang diusahakan oleh barisan peguam beliau.

Sementara proses tersebut berlangsung, beliau haruslah diberikan segala haknya sebagai tahanan politik yang dijamin di bawah perundangan antarabangsa termasuklah hak bagi mendapatkan rawatan berterusan menurut pilihannya bagi mengubati kesakitan dan kecederaan beliau yang kini telahpun berusia 68 tahun.

ABIM turut menuntut agar hak untuk bertemu dengan peguam-peguam beliau yang dijamin oleh peruntukan undang-undang diberikan sepenuhnya tanpa sekatan-sekatan politik dan birokratik yang menjejaskan akses beliau terhadap nasihat perundangan yang selayaknya.

Keluarga Dato Seri Anwar Ibrahim juga haruslah diberikan akses sepenuhnya untuk bersua, bertemu mata dan berkomunikasi tanpa sebarang halangan dengan beliau sewaktu di penjara.

Akhir sekali, jika ada satu pengajaran penting yang perlu kita insafi dari peristiwa pemenjaraan insan bernama Anwar Ibrahim ialah beliau mengajar setiap daripada rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan untuk menjadi berani – berani menyatakan keberanan dan keadilan, dan berani menguasai ketakutan yang membelenggu diri dari menyatakan dengan penuh lantang bangkangan terhadapan kebatilan dan kezaliman.

Inilah mesej penting pemimpin pejuang rakyat seperti yang diungkapkan oleh pejuang pembebasan apartheid Nelson Mandela “I learned that courage was not the absence of fear, but the triumph over it. The brave man in not he who does not feel afraid, but he who conquers that fear”.

Jika takut pada risiko, jangan bicara soal perjuangan!

MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Categories
NASIONAL

ABIM minta syarikat terlibat Israel putus hubungan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 OKT: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk serangan berterusan dilancarkan Israel ke atas bumi Palestin mengakibatkan kemusnahan dan pembunuhan rakyatnya.

Presidennya, Mohamad Raimi Md Rahim, berkata siri pencerobohan itu adalah pencabulan hak asasi manusia yang sengaja dilakukan Israel ke atas Tebing Barat dan Jerusalem.

Katanya, ABIM memandang serius perkara itu dan telah menyatakan bantahan dengan berhimpun di hadapan Kedutaan Amerikat Syarikat (AS) di Kuala Lumpur.

ABIM RAIMI“ABIM mendesak kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan dilakukan Israel ke atas Palestin.

“Kita meminta syarikat di negara ini yang mempunyai hubungan langsung atau tidak langsung dengan Israel agar memutuskan hubungan berkenaan,” katanya kepada Selangor Kini.

Selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Raimi berkata ABIM senada dan menyertai kempen global, Boikot, Penjualan dan Sekatan (Boycott, Divestment and Sanctions (BDS)) yang meningkatkan tekanan ekonomi dan politik ke atas Israel.

BDS adalah kempen dimulakan pada 9 Julai 2005 membabitkan 171 NGO Palestin untuk menyokong perjuangan rakyatnya bagi memboikot, penjualan dan sekatan antarabangsa terhadap Israel.

Kempen dijalankan juga supaya Israel mengakhiri pendudukan dan penjajahan ke atas bumi Palestin, memberikan kesaksamaan penuh untuk warga Arab-Palestin di Israel dan menghormati hak pelarian Palestin untuk kembali ke negaranya.

-NR-

Categories
SELANGOR

ABIM puji Selangor perkasa belia

Oleh : AFEEQA AFEERA

GOMBAK, 6 OKT : Usaha Kerajaan Selangor memperkasa golongan belia melalui penganjuran pelbagai program di negeri itu disambut baik Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata langkah itu penting untuk membentuk gagasan belia yang lebih aktif dan berketerampilan di peringkat antarabangsa.

Beliau juga memuji kerjasama yang diberikan Kerajaan Negeri terhadap ABIM dalam menggerakkan generasi muda di Selangor.

ABIM RAIMI“ABIM berhasrat menawarkan program galakan membaca, wacana ilmiah, isu semasa dan perbincangan berkenaan ekonomi atau hal berkaitan pembudayaan budaya di Selangor.

“Kita harap lebih banyak aktiviti yang memanfaatkan perpustakaan untuk generasi muda dan usaha ini dilakukan bersama Kerajaan Negeri,” katanya kepada Selangor Kini.

Raimi berkata, ABIM juga mahu menjadikan Selangor sebagai negeri contoh yang memiliki belia terbaik di Malaysia serta menjadi “world leader”.

“Kita mahu generasi muda melihat masa depan negara supaya mereka berpotensi memberi sumbangan bukan hanya di peringkat negeri, tetapi boleh dieksport kejayaannya di seluruh negara,” katanya.

Sejak Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor mengambil alih pentadbiran negeri, pelbagai program untuk belia disediakan antaranya Insentif Perkahwinan Belia, Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dan Adun Muda Selangor.

-NR-

Categories
NASIONAL

ABIM komited bantu isu pelarian

Oleh : AFEEQA AFEERA

GOMBAK, 5 OKT : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) komited membantu pelarian di seluruh dunia yang berdepan krisis kemanusiaan di negara mereka.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata sikap terbuka yang diamalkan organisasi itu adalah selaras dengan visi kemanusiaan sejagat yang perlu diberi perhatian.

Katanya, meskipun tindakan menerima pelarian membawa kesan, namun ia bukanlah alasan untuk tidak membantu golongan yang memerlukan.

ABIM RAIMI“Walaupun dasar luar Malaysia tidak menerima atau melindungi pelarian, namun kita sentiasa mengamalkan dasar kemanusiaan tinggi untuk membantu mereka.

“Hanya mereka yang pro kepada peperangan dan kezaliman sanggup membiarkan pelarian bebas dan tidak mendapat tempat di negara masing-masing,” katanya kepada Selangor Kini.

Raimi berkata, usaha memberi perlindungan kepada warga Syria terus dipergiat dengan sokongan moral daripada rakyat Malaysia.

Katanya, kemahiran Malaysia menguruskan pelarian tidak boleh dinafikan, apatah lagi negara itu antara yang terkehadapan dalam isu berkenaan.

“Kita perlu pandang sudut kemanusiaan dengan positif dan inilah sumbangan yang boleh kita berikan.

“Fokus ABIM adalah membantu pelarian seperti Palestin, Bosnia, Vietnam, Xinjiang, Syria dan negara yang mengalami krisis kemanusiaan berdasarkan sokongan moral rakyat Malaysia,” katanya.

pelarian syriaMalaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian.

Sejak empat tahun lepas, kira-kira empat juta pelarian Syira melarikan diri ke negara jiran dan bergelumang dalam kancah kemiskinan.

-NR-