ABIM kelilingi Malaysia dedah sejarah sebenar penduduk Islam Xinjiang

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan keprihatinan terhadap perintah larangan berpuasa yang dikenakan terhadap umat Islam dari etnik Uyghur di daerah Xinjiang, China.

Larangan berpuasa berkenaan dikeluarkan sebagai justifikasi bagi memelihara kesihatan dan produktiviti kerja sementara kakitangan kerajaan dan kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun dilarang untuk hadir ke masjid untuk mendirikan solat jemaah selain larangan memakai tudung dan menyimpan janggut.

Naib Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata larangan dan sekatan terhadap kebebasan asasi untuk mengamalkan agama Islam di kalangan masyarakat Uyghur adalah tidak munasabah dan bercanggah dengan hak asasi mereka.

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Kerajaan perlu bersikap inklusif terhadap saranan rakyat

logoABIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memantau secara berterusan perkembangan membabitkan Semakan Berkala Sejagat – Universal Periodic Review (UPR) yang sedang dilalui oleh Malaysia di Geneva, Switzerland.

Komitmen dilandaskan pada hakikat Karamah (kemuliaan) Insaniah yang dijunjung dalam Islam sepertimana yang dituntut dalam surah Al-Isra? ayat 70 yang bermaksud,

?Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan kenderaan di darat dan di laut; dan Kami berikan rezeki kepada mereka dari yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan?.

Sebelum proses UPR di Geneva pada ketika ini, Abim telah mengadakan usaha advokasi dan konsultasi secara aktif dengan pelbagai pihak berkepentingan menerusi pelbagai medium serta saluran. Di peringkat Asean, pada September 2012, Abim telah menghantar wakil ke 2nd Regional Consultation of Asean Intergovernmental Commission on Human Rights with Civil society Organization on Asean Human Rights Declaration di Manila, Filipina.

Menerusi sidang tersebut, Abim sebagai satu-satunya Civil Society Organisation (CSO) berorientasi Islam yang mewakili Malaysia dan negara-negara Asean telah menyampaikan bantahan terhadap sebarang usaha untuk mendokong gagasan Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender (LGBT) untuk dijadikan sebahagian daripada Draf Akhir Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (Asean).
Bersempena tarikh semakan di Geneva, delegasi Abim telah menghadiri ?Diskusi Semakan Berkala Sejagat dan Status Hak Asasi Manusia Malaysia? anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) pada 22 Oktober 2013. Diskusi dan pembentangan yang turut dihadiri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (PBB), Global Moderate Movement (GMM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan beberapa organisasi penting yang lain.

Berdasarkan kepada pengamatan dan penglibatan Abim, kami mengharapkan agar beberapa perkembangan positif yang diusahakan kerajaan Malaysia selepas proses penilaian UPR pertama pada tahun 2009 yang lalu dalam sektor pendidikan, sosial serta ekonomi dapat diteruskan dan dipertingkatkan. Dalam bidang pendidikan sebagai contohnya, dasar kerajaan untuk menjamin akses bagi mendapatkan pendidikan percuma yang lebih luas merupakan sesuatu inisiatif yang harus dihargai.

Adalah menjadi harapan agar rekomendasi para perwakilan luar agar langkah-langkah, seperti menjamin akses kepada perkhidmatan kesihatan percuma yang luas dan kediaman, pada kos yang rendah serta berpatutan, dapat diterima oleh pihak kerajaan.

Di sebalik pencapaian tersebut, Abim mengharapkan agar kerajaan Malaysia perlu mengambil perhatian serius beberapa saranan yang dikemukakan para perwakilan antarabangsa. Saranan tersebut khususnya isu perlaksanaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Abim berpandangan bahawa perlaksanaan akta-akta tersebut, bukan satu-satunya penyelesaian mutlak ke atas rentetan kes-kes jenayah yang semakin membarah di negara ini.

Dalam hal ini, Abim turut menggesa kerajaan agar bersikap inklusif terhadap sebarang sumbang saran yang dikemukakan rakyat terhadap dasar-dasar berkaitan pemeliharaan hak sivil dan kebebasan politik, kerana ia jelas memberi implikasi negatif kepada komuniti antarabangsa terhadap tekanan hak asasi masyarakat sivil dan kebebasan berpolitik di negara ini.

Abim juga menggesa kerajaan terutama sekali pihak yang berkenaan memperkemaskan mekanisme pengurusan serta pentadbiran untuk orang pelarian, pemohon suaka politik serta warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Aspek sokongan kebajikan dan sosio-ekonomi yang sedia ada perlu diperkemaskan dengan kerjasama UNHCR dan NGO kemanusiaan dalam negara.

Berdasarkan kepada beberapa kes yang berlaku sebelum ini, yang membabitkan pelarian serta pemohon suaka politik yang dihantar pulang khususnya pelarian Uyghur di China, Malaysia perlu lebih tegas dalam memelihara hak asasi manusia yang teraniaya walaupun Malaysia masih belum menandatangani Perjanjian berkaitan Status Pelarian 1951.

Satu lagi isu yang banyak disuarakan dalam sesi pendengaran Malaysia ialah isu kebebasan beragama. Walaupun Abim menghormati peruntukan Artikel 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagai masyarakat beragama kita menolak setegas-tegasnya usaha untuk mengarusperdanakan kebebasan individu tanpa batasan khususnya amalan LGBT. Abim turut menyarankan agar pihak kerajaan agar lebih serius dan proaktif dalam usaha menyelesaikan pertikaian melibatkan isu-isu sensitiviti agama.

Bagi tujuan tersebut, Abim menyarankan agar Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JPKA) yang diluluskan oleh Jemaah Kabinet harus diberikan nafas baru dengan peranan yang lebih signifikan dalam penyelesaian konflik antara penganut agama.

Adalah satu tren yang membimbangkan seandainya polemik-polemik keagamaan sebegini diheret ke mahkamah perundangan. Pada masa yang sama, sebarang provokasi melampau dari mana-mana kelompok yang ekstrim harus ditangani secara tegas menerusi saluran perundangan yang adil serta saksama! –

Mohamad Raimi Ab Rahim
Naib Presiden Antarabangsa, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)

Categories
SELANGOR

Pindaan PCA dibimbangi disalahgunakan

jenayah2 pcaSHAH ALAM 3 OKT : Pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang membenarkan tahanan tanpa bicara terbuka kepada penyalahgunaan kerajaan Umno-BN seperti yang terjadi kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut NGO, Lawyers For Liberty (LFL) berkata, apa yang dibimbangi pindaan PCA itu adalah individu yang tidak bersalah yang akan ke penjara dan kegagalan dalam melaksanakan keadilan.

“Kenapa undang-udang yang menyekat hak asasi manusia dijadikan pilihan untuk mencegah jenayah ?, seluruh masyarakat perlu terlibat dalam mencegah jenayah,” kata LFL dalam twitternya.

Menurut pengguna Facebook, Radin Muhd Imaduddin dalam responnya berkata, penyalahgunaan akta itu boleh berlaku apabila tafsiran undang-undang itu yang longgar dan subjektif kepada kuasa eksekutif.

Katanya, alasan meluluskan penahanan tanpa bicara bagi membolehkan Polis membanteras jenayah berat adalah ganjil sedangkan terdapat tindakan lain yang boleh digunakan seperti operasi cantas khas Polis.

“Teringat filem “Minority Report”, lakonan Tom Cruise dengan berbeza konteks, tapi hampir serupa matlamatnya,” kata beliau.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim beliau berkata, beliau sentiasa percaya bahawa undang-undang yang adil amat diperlukan untuk mengatur ketertiban hidup manusia.

“Namun saya amat terganggu dengan manusia yang ‘beriman’ dengan undang-undang ciptaan manusia seolah-olah ia sesuatu yang sakral sehinggakan apa yang tersurat dalam Akta dan Peraturan itu wajib diikut buta-buta tanpa budi bicara dan pertimbangan keadilan,” katanya.

Sebelum ini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah kerajaan meluluskan PCA terbukti satu tindakan angkuh serta mengenepikan prinsip keadilan sejagat.

Katanya pindaan PCA melanggar Perlembagaan Persekutuan dan mencabuli hak asasi manusia.

Categories
NASIONAL

MB saran masjid, surau gerakkan dana solidariti

MB Saran Masjid, Surau Gerakkan Dana Solidariti 1

SHAH ALAM 7 SEPT : Masjid dan surau di seluruh negeri disaran untuk menggerakkan usaha pengumpulan dana bagi membantu masyarakat Islam yang ditindas di seluruh dunia.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pada masa yang sama umat Islam diseru untuk terus mendoakan kesejahteraan umat Islam khususnya penindasan dan kezaliman yang berlaku di Mesir, Syria, Palestin, Rohingya dan Bangladesh.

Kata Abdul Khalid, Kerajaan Selangor menyumbangkan sebanyak RM50,000 untuk dana solidariti agar masyarakat Islam yang ditindas mendapat bantuan dan pembelaan.

Beliau berkata demikian semasa Seminar Dunia : ‘Kebangkitan Islam, Demokrasi dan Pembangunan Sosia Ekonomi’ yang diadakan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

“Setiap individu dan institusi di dunia perlu menentang tindakan tidak sah rampasan kuasa itu yang berpotensi menyebabkan banyak berlakunya pelanggaran hak asasi manusia,” tegas Abdul Khalid.

Persidangan itu turut dihadiri Penasihat Ekonomi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Exco Selangor, Dr Halimah Ali dan Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Kira-kira 800 hadirin menghadiri persidangan itu yang membariskan pembentang kertas kerja dari dalam dan luar negara membincangkan gerakan kebangkitan Islam di seluruh dunia.

MB Saran Masjid, Surau Gerakkan Dana Solidariti

Categories
SELANGOR

Tragedi Mesir: Abim cadang Malaysia teladani ketegasan Turki

logo_abim_angkatan_belia_islam_malaysia

Malaysia perlu meneladani ketegasan kerajaan Turki yang tampil selaku jurubicara ummah di pentas antarabangsa, kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Manan.

Katanya, tragedi pembunuhan rakyat Mesir adalah kemuncak kepada episod malang yang melanda rakyat negara itu senjak rampasan kuasa terhadap kerajaan sah, 4 Julai lalu.

“Tragedi yang menimpa rakyat Mesir menjadi bukti kegagalan tentera pimpinan Jeneral Al-Sisi.

“Tragedi medan Rabaah Al-Adawiya dikhuatiri merebak menjadi konflik berdarah yang menjejaskan kestabilan dan keamanan di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara,” katanya pada kenyataan media.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, berkata kerajaan Malaysia wajar menggunakan pengaruh politik dan diplomatik untuk mendesak rejim tentera Mesir menghenti pembunuhan kejam.

Pada kenyataan media, beliau mengutuk sekeras-kerasnya serangan ganas dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tentera Mesir terhadap orang awam yang berhimpun secara aman.

“Kami menuntut pembunuhan beramai-ramai kanak-kanak, wanita dan lelaki, yang tidak bersenjata itu dihenti serta-merta dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Mengikut laporan tidak rasmi, hampir 3,000 terbunuh dan lebih 10,000 cedera ekoran kezaliman tentera Mesir ke atas peserta perhimpunan aman yang membantah rampasan kuasa.

Categories
NASIONAL

Lebih 1,000 Umat Islam Malaysia Bantah Kekejaman Rejim Bashar Assad

demo syria 14 jun 03

demo syria 14 jun 04KUALA LUMPUR 14 JUN: Lebih 1,000 umat Islam berarak dan berhimpun di hadapan bangunan Kedutaan Syria di Kuala Lumpur bagi membantah kekejaman rejim Presiden Bashar Assad terhadap rakyat negara itu.

Bantahan ini diadakan bagi menyahut seruan Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof Dr Yusuf Al-Qardawi yang menyeru seluruh umat Islam di dunia menjadikan hari ini sebagai ‘Hari Untuk Syria’.

Mengetuai bantahan itu adalah Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan, Timbalannya, Nik Abduh Nik Aziz dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor.

Turut hadir ahli NGO Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) serta Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis).

Rombongan memorandum itu dimulai sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan berarak lebih dua kilometer ke bangunan kedutaan Syria.

Konflik di Syria yang telah berlangsung selama dua tahun telah mengakibatkan kehilangan 94,000 nyawa.

Himpunan tersebut turut mendapat kerjasama polis yang mengawal keadaan.

demo syria 14 jun 02Tiga orang wakil iaitu Salahudin, Nasrudin, Nik Abduh cuba masuk untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil kedutaan Syria.

Bagaimanapun, wakil kedutaan berkenaan enggan menerima memorandum itu.

Antara isi kandungan memorandum itu mendesak agar Bashar kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan kemelut di negara bergolak itu.

Dalam pada itu, Nasrudin yang juga MP Temerloh itu mengutuk keganasan dan tragedi pembunuhan masyarakat Islam di negara itu.

“Bashar Assad telah menunjukkan kesombongannya kerana tidak menerima memorandum yang kita hantar ini.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam terhadap masyarakat Islam di Syria,” katanya.

Selain itu, satu memorandum juga turut dihantar ke Kedutaan Turki hari ini bagi menuntut penjelasan terhadap demonstrasi jalanan yang berlaku di negara itu.

Memorandum berkenaan diterima wakil kedutaan Turki dan menjelaskan bahawa Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan kini sedang melakukan perbincangan bersama kumpulan demonstrasi bagi menyelesaikan kemelut yang melanda.