Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Malaysia perlukan kerajaan telus, hala tuju jelas

SHAH ALAM, 5 DIS: Malaysia memerlukan kerajaan yang komited pada agenda reformasi serta telus, inklusif dan mempunyai hala tuju jelas untuk keluar daripada krisis kesan Covid-19.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan hari ini membawa agenda mengelirukan dan ketidakstabilan yang merencatkan usaha pemulihan ekonomi.

“Kita masih belum tahu dari mana sumber dana bagi memperoleh vaksin Covid-19, dan kita juga belum pasti bagaimana kerajaan akan bangunkan semula tunjang ekonomi negara yakni perusahaan kecil dan sederhana yang rata-ratanya dalam kalangan Melayu dan Bumiputera yang terjejas teruk,” kata ketua pembangkang dalam kenyataan media.

Presiden KEADILAN berkata wabak Covid-19 menunjukkan Malaysia sebagai sebahagian daripada masyarakat global saling berkait dan berhubung termasuk kesihatan awam dan perdagangan.

Katanya tidak terkecuali juga berkenaan keselamatan modal, pengemudian tatakelola jelas dan tegas serta kemampuan Malaysia menjadi destinasi pelaburan terbaik mencorak jalan keluar daripada wabak.

“Membandingkan Malaysia dengan negara prestasi jauh lebih rendah daripada kita tidak tepat dan mengelirukan. Kita harus lihat Malaysia hari ini dengan era lalu di mana negara tercinta ini antara kuasa ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan digesa untuk mendepani kebimbangan akibat penurunan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) matawang asing jangka panjang Malaysia.

Katanya kenyataan balas menteri kewangan berkait semak turun penarafan IDR tersebut amat membimbangkan apabila gagal menjawab persoalan dan kebimbangan dilaporkan Fitch Ratings berkenaan kestabilan politik dan tatakelola.

Sebelum ini agensi penarafan antarabangsa itu menyemak turun IDR mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ dari ‘A-‘ untuk pertama kali sejak krisis kewangan 20 tahun lalu.

Agensi itu dalam kenyataan media semalam berkata penurunan nilai IDR disebabkan Covid-19 yang menjejaskan beberapa kredit metrik utama Malaysia termasuk langkah kerajaan menangani pandemik dengan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan yang meningkatkan bebanan fiskal.

Fitch Ratings berkata metrik hutang kerajaan merosot disebabkan wabak berkenaan sekali gus dijangka melonjak hutang kerajaan kepada 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) 2020 berbanding 65.2 peratus pada 2019.

Penarafan IDR ‘BBB+’ disebabkan jangkaan lebihan akaun semasa mengecil kepada 3.4 peratus dari KDNK tahun depan berbanding 4.2 peratus tahun ini ketika tekanan import Malaysia disebabkan Covid-19 semakin reda dan langkah perbelanjaan kerajaan ke atas pembangunan infrastruktur.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Proaktif lindungi wanita jadi mangsa dera, beri pembelaan – Anwar

SHAH ALAM, 25 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kerajaan Persekutuan mencari langkah proaktif bagi melindungi kaum wanita daripada menjadi mangsa penderaan.

Ketua pembangkang berkata wanita yang didera harus diberi perlindungan munasabah supaya trauma dapat dirawat dan diberi perhatian secukupnya.

“Keganasan terhadap kaum wanita terutamanya penderaan domestik adalah isu besar lagi serius yang mesti diberi perhatian tatkala tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus berpanjangan.

“Ini menghadkan aktiviti kaum wanita dan kanak-kanak perempuan di luar dan menyebabkan mereka lebih terdedah pada penderaan di rumah,” katanya menerusi kenyataan sempena Hari Antarabangsa Menolak Gejala Keganasan Ke Atas Wanita hari ini.

Ahli parlimen Port Dickson berkata Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) juga melaporkan peningkatan gejala sama di pelbagai negara di sebalik ketidaktentuan penularan Covid-19.

Katanya Persatuan Perubatan Malaysia menggariskan beberapa laporan peningkatan gejala penderaan sepanjang tempoh pengawalan pergerakan berpanjangan ketika mereka berdepan masalah kewangan dan tekanan jiwa memuncak.

“Di Malaysia kita kekurangan data atau maklumat bagi mengakses dan menilai gejala ini di mana terdapat banyak kes tidak dilaporkan.

“Ini menyebabkan kebijakan kerajaan kurang berkesan dan tidak dapat bertindak melindungi golongan wanita,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar: Pinda Belanjawan 2021, pertahan kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 15 NOV: Ketua pembangkang mengulangi gesaan supaya Kerajaan Persekutuan meneliti semula Belanjawan 2021 dengan membuat pindaan bagi menjaga kebajikan rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangkang hanya mendukung belanjawan itu sekiranya ia fokus memerangi Covid-19.

Katanya beliau tetap mempertahankan isu emolumen penjawat awam, perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan untuk barisan hadapan serta kelengkapan perubatan dan kesihatan.

“Saya yakin bahawa kita mampu mengemukakan belanjawan atau pindaan yang lebih baik untuk kepentingan rakyat,” kata presiden KEADILAN dalam kenyataan media.

Beliau berkata sebelum ini menteri kewangan membayangkan sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan maka ia tidak dapat membayar komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan memberikan kesan terhadap petugas barisan hadapan.

“Saya fikir ini satu kenyataan yang bersifat hambar dan berbaur ugutan serta sebahagian dari rencana untuk mengenepikan suara majoriti ahli parlimen,” kata Anwar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Hayati sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar sambutan

SHAH ALAM, 29 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam untuk memaknai sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW dengan penuh tawadhuk dan keimanan yang mendalam supaya Maulidur Rasul tidak menjadi sekadar sambutan semata-mata.

Presiden KEADILAN berkata akhlak mulia dan falsafah besar yang dibawa Baginda wajar dijadikan panutan dan teladan buat umat manusia.

“Peringatan Maulud seharusnya menggugah nurani kita untuk sentiasa waspada akan tahap iman dan akidah yang mesti mantap dan teguh.

“Bertitik tolak dari ini, umat Islam mesti mempunyai kefahaman yang benar dan penghayatan yang mendalam bahawa sosok Rasulullah SAW adalah sosok perubahan dan misi Baginda itu ialah misi transformatif yang sentiasa mengembleng umat untuk menuntut keadilan dan perubahan,” kata ketua pembangkang yang turut memetik ayat ke-21 dalam surah Al-Ahzab dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan risalah pembaharuan juga bermaksud sentiasa teguh menentang segala bentuk kebobrokan, tegas melawan kezaliman dan memperkukuh benteng akidah.

Anwar berkata semua pihak perlu kekal bersemangat dan tidak berputus asa di saat menghadapi wabak Covid-19 ketika ini.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar: Kerajaan harus patuh titah Agong, elak salah guna kuasa

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan harus patuh pada titah Raja-Raja Melayu agar menjaga batas semak dan imbang dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengelak salah guna kuasa, kata ketua pembangkang.

“Alhamdulillah, kita berjaya menyelamatkan negara ini daripada diisytiharkan darurat dan sekali lagi saya menzahirkan kesyukuran ke atas keprihatinan Raja-Raja Melayu mempertahankan keluhuran Perlembagaan daripada penyalahgunaan kuasa pemerintah.

“Peringatan dan penegasan Raja-Raja Melayu terkait penyalahgunaan kuasa dan prinsip keadilan tidak harus dipandang enteng, malah harus didukung oleh semua pihak yang punya kesedaran dan kejituan dalam menolak kebobrokan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi menjelaskan asas menolak cadangan mengisytiharkan darurat, perkataan “membatasi” ditanda dengan huruf merah.

“Raja-raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka Baginda untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa,” kenyataan itu dipetik.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah usul yang dibawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin “tidak perlu buat masa ini” kerana wabak Covid-19 berjaya dibendung.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kepada semua pemimpin politik agar memberhentikan segera segala percakaran politik yang mengganggu kestabilan negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar seru kerajaan gubal Belanjawan 2021 bersama pembangkang

SHAH ALAM, 27 OKT: KEADILAN menyeru kerjasama kedua belah pihak antara kerajaan dan pembangkang bagi merangka Belanjawan 2021.

Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi merencana strategi yang ampuh dalam menangani dampak pandemik Covid- 19, pengangguran dan juga masalah kemiskinan.

Ketua pembangkang menyatakan perkara demikian dalam kenyataan medianya hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata semua parti politik mesti bersedia duduk bersama di meja rundingan dan mencapai satu ‘Konsensus Nasional’ demi kelangsungan dan kesejahteraan rakyat serta negara.

“Semua parti mempunyai wakil dalam Parlimen juga perlu bersama-sama mencari formula terbaik bagi mencapai beberapa objektif dan persefahaman, antaranya bersetuju supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak diadakan sehingga 2023, selain mencapai kesepakatan untuk merangka dan meluluskan Belanjawan 2021 serta rang undang-undang yang lain,” katanya lapor BH Online.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata pembangkang bersedia dipanggil dan bertemu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat depan.

“Kami bersikap objektif, jika ia demi rakyat dan negara, kami akan sokong. Untuk Belanjawan 2021 yang akan datang, memandangkan Yang di-Pertuan Agong mahu kerajaan ini berjalan dan belanjawan ini diluluskan, jadi panggil kami.

“Kami ada pasukan yang mampu menyalurkan buah fikiran dan idea terbaik. Kami bersedia pada bila-bila masa, panggil segera,” katanya dalam temu bual bersama Astro Awani semalam.

Ahad lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia pada masa ini.

Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di parlimen adalah amat penting bagi rakyat dalam menangani wabak Covid-19.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Tolak usul darurat, Agong fahami resah rakyat

SHAH ALAM, 25 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan penolakan usul pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berlandaskan semangat perlembagaan dan memahami keresahan rakyat seperti disuarakan pelbagai pihak.

Ketua pembangkang berkata beliau menyambut baik serta menghargai kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah dan Raja-Raja Melayu atas kenyataan serta pendirian mengenai permohonan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Keputusan dan ketetapan bersejarah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menolak usul perdana menteri dan jemaah menteri untuk mengisytiharkan darurat itu jelas memperkukuh sistem Raja Berperlembagan dan Demokrasi Berparlimen,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Presiden KEADILAN itu berkata beliau mengambil maklum dan menghayati nasihat baginda agar pimpinan politik termasuk ahli parlimen untuk tidak berlebihan berpolitik.

Anwar menambah pihaknya juga mempastikan perancangan menangani Covid-19, masalah pengangguran dan kemiskinan serta menjana pertumbuhan ekonomi dapat dilaksanakan dengan lebih terencana dan berkesan.

“Tokoh-tokoh politik termasuk ahli-ahli parlimen harus prihatin dan menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat perlembagaan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat, institusi Parlimen dan negara agar dapat diimbangi pelbagai tuntutan terkait keadilan, menolak rasuah dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Al-Sultan Abdullah sebelum itu bertitah tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara menerusi kenyataan yang disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Ahmad Fadil berkata sebelum ini Al-Sultan Abdullah berkenan memperhalusi dan berbincang bersama Raja-Raja Melayu mengenai permohonan yang dipersembahkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang, Jumaat lalu.

Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Istana Negara: Agong dimaklumkan jumlah ahli parlimen sokong Anwar

SHAH ALAM, 13 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah dimaklumkan jumlah ahli parlimen yang didakwa menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara berkata jumlah itu dikemukakan ketua pembangkang dalam pertemuan kurang 25 minit bersama baginda.

“Bagaimanapun, beliau (Anwar) tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut,” kata Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah juga menasihati Anwar supaya “akur dan menghormati” proses perundangan yang termaktub dalam perlembagaan.

Pada 8 Oktober lalu, Anwar memaklumkan mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar tolak dakwaan miliki saham, gesa pihak berkaitan siasat

SHAH ALAM, 12 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan beliau memiliki saham dalam sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Tegasnya, khabar angin yang mengaitkan namanya dengan syarikat tertentu adalah palsu dan berniat menipu pembeli saham.

“Saya difahamkan tersebar khabar angin di pasaran saham yang mengaitkan nama saya dengan kaunter-kaunter tertentu di Bursa Malaysia. Ini adalah tidak benar sama sekali.

“Ingin ditegaskan bahawa saya tidak memiliki saham dalam mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia,” kata Presiden KEADILAN dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Anwar turut menggesa Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti memantau serta mengambil tindakan sewajarnya.

“Tindakan perlu diambil supaya pasaran saham tidak dimanipulasi oleh individu tertentu untuk mengaut keuntungan dengan menyebar khabar palsu,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar diperkenan menghadap Agong, persembah majoriti ‘kukuh dan meyakinkan’

SHAH ALAM, 8 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkenan menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong minggu depan untuk menjelaskan jumlah majoriti yang diperolehinya.

“Pada majlis menghadap tersebut, saya akan mempersembahkan keterangan  lengkap mengenai jumlah majoriti ahli parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini,” kata ketua pembangkang.

Dalam kenyataannya hari ini, Anwar memaklumkan baginda memperkenankan untuk menerimanya menghadap pada 13 Oktober ini.

Dalam sidang media mengejut pada 23 September lalu, beliau mendakwa mendapat majoriti “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baharu dan menyatakan kerajaan sekarang “sudah jatuh”.

Anwar berharap rakyat untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar simpati bayi maut akibat Covid-19, gesa semua patuhi SOP

SHAH ALAM, 7 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim terkesan dengan mangsa korban Covid-19 terbaharu melibatkan seorang bayi perempuan berusia setahun di Semporna, Sabah, semalam.

Justeru, ketua pembangkang menggesa semua rakyat bersatu dan tingkatkan disiplin serta amalan kebersihan untuk melawan wabak itu.

“Ini sangat menyayat hati tatkala keluarga tidak dapat menatap dan mengucup untuk kali terakhir.

“Takziah saya kepada keluarga semua mangsa korban Covid-19. Saya berharap kita akan terus kuat semangat dan bersatu melawan wabak ini, ” kata ahli parlimen Port Dickson dalam kenyataan hari ini.

Anwar juga menggesa rakyat beri sokongan kepada barisan hadapan dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam usaha menumpaskan pandemik yang meragut 141 nyawa setakat ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan empat kematian akibat Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar: Tegas penguatkuasaan, patuh SOP kunci bendung penularan Covid-19

SHAH ALAM, 6 OKT: Kerajaan Persekutuan digesa telus menangani Covid-19 dengan tidak ada sesiapa dikecualikan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan hendaklah dikuatkuasakan tegas tanpa selektif.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu memberikan maklumat dalam menangani gelombang terbaru wabak ini bagi mengelak sebarang spekulasi dan khabar angin.

“Adalah mustahak bagi politisi dari kedua-dua pihak dalam mengutamakan maslahat rakyat tatkala kemelut. Kualiti kepimpinan mesti ditonjolkan,” kata ketua pembangkang dalam kenyataan media, semalam.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata hanya dengan kepatuhan dan kesepaduan sebagai sebuah negara sahaja menjamin kesejahteraan bagi membendung pandemik ini.

“Semuanya terletak di bahu masing-masing untuk sentiasa bersiap-siaga untuk diri kita dan orang sekeliling.

“Saya turut mendoakan kepada semua yang dijangkiti dengan wabak Covid-19 ini agar lekas sembuh dan terus kuat semangat,” katanya.