Categories
AGENDA NASIONAL

Slot vaksin AstraZeneca habis ditempah

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Slot vaksin AstraZeneca Covid-19 bagi penduduk Kuala Lumpur dan Selangor telah ditempah sepenuhnya hanya dalam tempoh tiga jam 20 minit, selepas pendaftaran dibuka pada 12 tengah hari tadi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin yang telah berkongsi kemas kini mengenai proses pendaftaran melalui akaun Twitternya berkata mereka yang berdaftar akan menerima butiran lanjut mengenai temu janji pada aplikasi MySejahtera atau SMS mereka tidak lama lagi.

Mereka yang tidak berjaya mendapatkan slot masih berpeluang meletakkan nama mereka dalam senarai menunggu di laman web sama di http://vaksincovid.gov.my, katanya di Twitter.

Semalam, Khairy berkata vaksin AstraZeneca dibuka kepada 268,000 individu secara ‘siapa cepat, dia dapat’ di laman web itu bagi penduduk KL dan Selangor dan temu janji pertama bagi slot vaksinasi itu akan dijalankan pada 5 Mei di PPV yang ditetapkan.

PPV itu adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

Khairy juga dilaporkan berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan melancarkan inisiatif sama di negeri lain sementara menunggu penghantaran selanjutnya vaksin AstraZeneca.

Beliau berkata kerajaan juga dijadual menerima sejuta lagi dos vaksin AstraZeneca pada bulan ini melalui Akses Global Vaksin Covid-19 (COVAX).

“Kami akan memperluaskan pilihan ini di negeri-negeri lain, kecuali Sarawak yang telah menunjukkan penurunan dan akan memastikan mereka yang tidak mempunyai akses internet serta yang lain juga boleh mendaftar,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk KL, Selangor boleh daftar terima vaksin AstraZeneca mulai esok

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Penduduk Kuala Lumpur dan Selangor yang berhasrat mengambil vaksin Covid-19 AstraZeneca boleh mendapatkan tarikh dan tempat untuk menerima suntikan, dengan tempahan mula dibuka tengah hari esok (2 Mei) secara “siapa cepat, dia dapat”.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata mereka yang berminat hanya perlu mendaftar di http://vaksincovid.gov.my dan pilih tarikh serta tempat pemberian vaksin (PPV).

Beliau berkata janji temu pertama bagi slot vaksinasi akan dijalankan pada 5 Mei di PPV Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

“Selepas pilih tarikh dan tempat PPV, anda akan diberikan notifikasi mengenai waktu vaksinasi anda menerusi aplikasi MySejahtera atau menerusi sistem pesanan ringkas (SMS). Ini adalah satu-satunya cara bagi memilih untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca. Berita mengenai hospital tertentu mengambil tempahan untuk pemberian vaksin AstraZeneca adalah tidak benar.

“Pemilihan AstraZeneca ini dibuka kepada 268,000 orang, bermula secara ‘siap cepat, dia dapat’ di laman web khusus bagi penduduk Kuala Lumpur dan Selangor sahaja.

“Sekiranya berjaya JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan meluaskan konsep tempahan ini ke negeri-negeri lain, sementara menunggu penghantaran seterusnya daripada AstraZeneca,” katanya menerusi hantaran Twitternya hari ini.

Pada April 28 lepas kerajaan mengumumkan bahawa vaksin Covid-19 akan ditawarkan secara “siapa cepat dia dapat” kepada penduduk Kuala Lumpur dan Selangor.

Langkah itu bertujuan menangani kerisauan dan kebimbangan orang ramai mengenai vaksin berkenaan, di samping tidak mahu menganggu program imunisasi yang sedang berlangsung.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Denmark negara pertama Eropah henti guna vaksin AstraZeneca

SHAH ALAM, 15 APRIL: Denmark muncul negara pertama di Eropah yang menghentikan penggunaan vaksin
AstraZeneca pada Selasa, berikutan bimbang terhadap kesan sampingannya.

Pengarah pihak berkuasa kesihatan Denmark tekad mengambil keputusan itu meski Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Agensi Perubatan Eropah (EMA) mengesyorkan vaksin berkenaan.

“Kempen suntikan vaksin Denmark akan diteruskan tanpa penggunaan vaksin AstraZeneca,” kata Soren Brostrom seperti dilapor AFP.

Vaksin yang dihasilkan oleh Universiti Oxford dilapor ada kesan sampingan iaitu pembekuan darah dalam kalangan penerima.

Lebih 12 negara turut mengikuti langkah Denmark, namun kebanyakan menggunakan semula vaksin terbabit selepas EMA mengesyorkan ia selamat dan berkesan.

Sejak menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca pada Mac, Denmark meneruskan pelan imunisasi bersandarkan bekalan Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Berdasarkan rekod semasa, hanya lapan peratus daripada keseluruhan 5.8 juta penduduk negara itu sudah menerima vaksin sepenuhnya, manakala 17 peratus lagi sekadar memperoleh dos pertama.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia teruskan penggunaan vaksin AstraZeneca

TUARAN, 5 APRIL: Malaysia akan terus menggunakan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca kerana insiden membabitkan vaksin itu jarang berlaku maka manfaatnya melebihi risiko, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia perlu lebih berhati-hati dengan penggunaan vaksin itu kerana insiden darah beku dan kematian dilaporkan berlaku di banyak negara.

“Kami akan meneruskannya, kami tidak mempunyai alasan untuk menghentikannya kerana seperti yang telah saya katakan, kita melihat manfaatnya melebihi risiko,” katanya kepada pemberita di sini semalam selepas melakukan lawatan rasmi ke Hospital Tuaran.

Turut hadir Pengarah Hospital Tuaran Dr G Mohan.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan telah menyediakan beberapa pelan sandaran jika penggunaan vaksin AstraZeneca ditangguh dan langkah itu akan diambil sekiranya ia didapati tidak sesuai digunakan di negara ini.

Dr Noor Hisham juga berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melihat kaedah terbaik untuk menjalin kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan lain bagi memperkasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di kawasan luar bandar serta pedalaman untuk memastikan penduduk mendapat suntikan vaksin.

“Setiap kawasan (luar bandar dan pedalaman) mungkin keperluannya berbeza. KKM (boleh) bekerjasama dengan pasukan polis, Angkatan Tentera Malaysia dan RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) untuk masuk ke kawasan tersebut.

“Kita juga akan melihat daripada segi logistik dan apakah vaksin yang terbaik untuk digunakan. Sebaik-baiknya kita mahu menggunakan vaksin tunggal dan bukannya dua dos, jadi vaksin terbaik buat masa ini ialah dos tunggal canSino serta vaksin Johnson and Johnson. Satu dos lebih mudah dan kita boleh meliputi seluruh kampung,” katanya.

Mengambil contoh Sabah, beliau berkata kurang daripada 400,000 penduduk negeri itu mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan vaksin, justeru angka tersebut perlu ditingkatkan.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata Sabah boleh dijadikan contoh terbaik dalam membendung penularan Covid-19 apabila jumlah kes baharu jangkitan wabak itu berjaya dikurangkan daripada empat digit pada Oktober tahun lepas kepada dua digit dalam tempoh enam minggu kebelakangan ini.

“Dalam setahun kita bertarung dan enam bulan lepas, ‘peperangan’ hebat (memerangi Covid-19) berlaku di Sabah… orang tidak sangka (Sabah) dapat turunkan (jumlah kes Covid-19) daripada empat angka kepada dua angka, ini satu kejayaan yang harus dipuji dan menjadi penanda aras untuk negeri lain.

“Antara strategi digunakan di Sabah dalam membendung penularan jangkitan Covid-19 ialah kawalan sempadan, kapasiti dan keupayaan hospital, kaedah kesihatan awam, melindungi golongan berisiko tinggi dan memperkasa komuniti,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata tidak mustahil Malaysia mampu mencatat angka satu digit dan sifar kes baharu dalam sehari jika rakyat negara ini terus mematuhi prosedur operasi standard mengekang Covid-19 serta menggunakan kaedah kesihatan awam.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Covid-19 AstraZeneca selamat digunakan di Malaysia

PUTRAJAYA, 24 MAC: Vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca adalah selamat digunakan di Malaysia, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Mengambil maklum isu status keselamatan vaksin AstraZeneca di luar negara, Dr Adham memaklumkan bahawa Covid-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection (MAL21036009ACZ) daripada pemegang pendaftaran AstraZeneca Sdn Bhd yang telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac lepas (2021) adalah selamat digunakan di Malaysia.

Menurutnya data keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca yang diperolehi daripada kajian klinikal setakat 4 November 2020 yang melibatkan kira-kira 12,000 sukarelawan, menunjukkan tiada kesan sampingan yang teruk dilaporkan.

Beliau berkata kesan sampingan yang sering dilaporkan adalah sakit pada tempat suntikan, keletihan dan pening kepala serta dilaporkan sebagai ringan (mild) atau sederhana (moderate).

“Data juga menunjukkan kesan sampingan ini dilaporkan berkurang pada suntikan dos kedua berbanding dos pertama,” katanya dalam kenyataan berhubung isu status keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca.

Menurutnya lagi, kajian klinikal juga merumuskan bahawa tiada sebarang isu keselamatan berkenaan kesan ke atas profil dan kandungan darah termasuk penggumpalan darah setelah menerima suntikan vaksin itu.

Dr Adham berkata AstraZeneca Sdn Bhd telah mengadakan satu perjumpaan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 17 Mac lepas untuk menjelaskan situasi sebenar berkenaan isu keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca, terutamanya berkaitan dengan kesan sampingan penggumpalan darah (thromboembolic events).

Menurut syarikat itu, 17 juta orang awam telah menerima vaksin Covid-19 AstraZeneca di Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK) setakat 8 Mac lepas (2021), dan terdapat 15 kes deep vein thrombosis (DVT) dan 22 kes pulmonary embolism dilaporkan dalam kalangan penerima vaksin itu.

Menurut Dr Adham, penilaian terperinci daripada semua kes itu telah dibuat oleh pihak syarikat dan dirumuskan bahawa tiada sebarang bukti kukuh yang dapat mengaitkan vaksin Covid-19 AstraZeneca ke atas risiko berlakunya kes thromboembolic event.

Jumlah kes thromboembolic event yang dilaporkan juga adalah jauh lebih rendah berbanding dengan purata kes yang dijangka berlaku dalam saiz populasi berkenaan dan kesimpulan itu juga telah disokong oleh pihak European Medicines Agency (EMA), katanya.

“Oleh itu, adalah dirumuskan bahawa vaksin Covid-19 AstraZeneca selamat digunakan,” katanya.

Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19 sentiasa terjamin.

Pelaporan kesan ‘advers’ susulan imunisasi vaksin Covid-19 boleh dilakukan melalui anggota kesihatan, pelaporan terus kepada NPRA laman sesawang, www.npra.gov.my atau melalui aplikasi MySejahtera bagi kesan advers ringan, katanya.

Pada 15 Mac lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia akan meneruskan proses penerimaan dan pembelian vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca memandangkan tiada bukti menunjukkan vaksin itu menyebabkan darah beku.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata Malaysia telah menerima maklumat daripada AstraZeneca berhubung kesan vaksinasi dan setakat ini, tiada data menunjukkan kaitan langsung antara pemberian suntikan vaksin itu dengan kes darah beku yang menyebabkan kematian di beberapa negara.

Beberapa negara seperti Denmark, Norway, Iceland dan Thailand sebelum ini dilaporkan menggantung sementara penggunaan vaksin itu susulan laporan berlaku pembentukan darah beku ke atas beberapa individu selepas menerima suntikan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO syor terus guna vaksin AstraZeneca

GENEVA, 18 MAC: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu berkata pihaknya akan terus mengesyorkan penggunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca kerana manfaatnya melebihi risiko, lapor Sputnik.

“Pada masa ini, WHO menganggap manfaat vaksin AstraZeneca melebihi risiko dan mengesyorkan agar vaksinasi diteruskan,” kata kenyataan itu.

WHO sentiasa berhubung dengan Agensi Ubat-Ubatan Eropah dan pihak berkuasa di seluruh dunia untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keselamatan ubat-ubatan.

Jawatankuasa Penasihat Global WHO mengenai Keselamatan Vaksin dijangka mengumumkan keputusannya mengenai keselamatan AstraZeneca pada Khamis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO kaji semula keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca

GENEVA, 16 MAC: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih menjalankan kajian semula terhadap keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca/Oxford apabila Perancis, Itali, Sepanyol dan Jerman menyertai negara lain menangguhkan penggunaan vaksin ini.

Beberapa negara bertindak menangguhkan penggunaan vaksin itu berikutan laporan segelintir penerima vaksin itu mengalami darah beku dan meninggal dunia, lapor Xinhua.

“Sejak Jumaat, beberapa negara telah menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca sebagai langkah pencegahan setelah laporan mengenai darah beku oleh penerima vaksin daripada dua kumpulan yang dihasilkan di Eropah,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Isnin.

Katanya kajian itu tidak semestinya berkaitan dengan vaksinasi, tetapi merupakan praktik rutin dan ini menunjukkan bahawa sistem pengawasan berfungsi dan wujudnya kawalan yang efektif.

Jawatankuasa Penasihat Global WHO mengenai Keselamatan Vaksin telah mengkaji data yang ada dan sedang berhubung rapat dengan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) dan akan bertemu pada Selasa.

Pada Isnin, Perancis, Jerman dan Sepanyol memutuskan untuk menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca / Oxford Covid-19 sebagai “langkah pencegahan” sementara menunggu penilaian oleh EMA, yang membenarkan penggunaannya di Kesatuan Eropah (EU) pada 29 Januari.

Sebelum itu, Austria, Itali, Bulgaria, Denmark, Romania, Estonia, Lithuania, Luxembourg, Latvia dan negara-negara bukan EU Norway dan Iceland juga menangguhkan sepenuhnya atau sebahagian penggunaan vaksin AstraZeneca.

Tedros berkata ancaman terbesar dihadapi kebanyakan negara sekarang ialah kekurangan akses kepada vaksin kerana beberapa negara terkaya di dunia membeli secara berlebihan manakala banyak negara lain langsung tidak memperolehnya.

WHO meminta semua negara bersolidariti memastikan vaksinasi bermula dalam 100 hari pertama tahun ini.

“Tidak ada negara yang akan bebas pandemik walaupun setelah divaksinasi melainkan kita semua melakukannya bersama-sama,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia tetap guna vaksin AstraZeneca, yakin isu ‘keselamatan’

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Malaysia yakin dengan keputusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berhubung persetujuan bersyarat penggunaan vaksin AstraZeneca dalam mencegah Covid-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kerajaan menerima ketetapan agensi tersebut untuk memperoleh vaksin keluaran firma Britain-Sweden bersama Universiti Oxford.

“Malaysia percaya dengan pertimbangan NPRA dalam mengeluarkan persetujuan (bersyarat) yang tentunya meneliti perkara penting iaitu keselamatan, kualiti dan keberkesanan vaksin AstraZeneca,” katanya seperti dilapor New Straits Times.

Kenyataan Adham dibuat selepas Denmark dan beberapa negara Eropah menangguhkan penggunaannya susulan beberapa pesakit di Denmark mengalami darah beku selepas menerima vaksin itu.

Adham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti laporan terbitan European Medicines Agency (EMA) pada 11 Mac mengenai kes di Denmark dan menjelaskan tiada petunjuk mengaitkan AstraZeneca sebagai penyebab atau kesan sampingan dalam kejadian itu.

Program Perkhidmatan Farmasi KKM mengatakan walaupun vaksin tersebut diberi pendaftaran bersyarat oleh Lembaga Pemantauan Dadah (DCA) Malaysia tetapi ia belum disenarai untuk digunakan dalam Program Imunisasi Nasional Covid-19.

“NPRA akan terus memantau keselamatan vaksin untuk kegunaan pencegahan Covid-19 biarpun tiada petunjuk jelas mengenai kejadian di negara berkaitan dan kemas kini lebih lanjut akan dibuat merujuk hasil dapatan EMA serta dikawal selia jika perlu,” katanya.

EMA dalam kenyataan di laman sesawangnya memaklumkan menyedari keputusan diambil Pihak Berkuasa Kesihatan Denmark untuk menghentikan sementara penggunaan vaksin tersebut sementara menunggu hasil siasatan penuh terhadap laporan darah beku dialami pesakit termasuk satu kes kematian.

Selain Denmark, negara Eropah lain seperti Norway, Iceland, Estonia, Latvia, Lithuania dan Luxemburg juga menangguhkan sementara penggunaan vaksin AstraZeneca.

Sementara itu, Thailand menjadi negara pertama di rantau Asia Tenggara yang membuat keputusan sama.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 2 Mac telah mengumumkan DCA telah memberikan kelulusan bersyarat kepada tiga produk vaksin Covid-19 termasuk produk dibangunkan AstraZeneca untuk digunakan di negara ini.

Dilaporkan proses penghantaran vaksin tersebut akan dijalankan pada April.

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin AstraZeneca dijangka tiba di Malaysia suku kedua 2021

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Kumpulan pertama penghantaran vaksin Covid-19 AstraZeneca ke Malaysia dijangka tiba pada suku kedua tahun ini, demikian menurut sebuah syarikat farmaseutikal.

Presiden AstraZeneca bagi Malaysia Dr Sanjeev Panchal berkata syarikat itu akan terus memenuhi komitmennya dalam menyediakan akses yang meluas dan saksama tanpa keuntungan

“Kami menjalin kerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia untuk membantu membendung pandemik itu bagi membolehkan rakyat kembali hidup seperti biasa dan membuka laluan ke arah pemulihan ekonomi negara,” menurutnya dalam kenyataan di sini semalam.

Hari ini, Vaksin Covid-19 AstraZeneca (AZD1222) telah diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat di Malaysia oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi imunisasi aktif individu berusia 18 tahun dan ke atas bagi mencegah Covid-19.

Dr Sanjeev berkata kelulusan itu menandakan satu lagi pencapaian penting susulan perjanjian bersejarah dengan kerajaan Malaysia bagi membekalkan sejumlah 6.4 juta dos vaksin Covid-19AstraZeneca kepada jutaan rakyat di negara ini.

Beliau berkata kelulusan itu diberikan berdasarkan penyerahan yang merangkumi keputusan analisis interim program Fasa 3 yang dikendalikan Universiti Oxford dan diterbitkan dalam The Lancet pada 8 Disember tahun lepas.

Katanya, kebenaran Malaysia adalah bagi dua regimen dos standard vaksin Covid-19 AstraZeneca yang menunjukkan ujian klinikal mampu bertoleransi dan berkesan dalam mencegah gejala Covid-19 tanpa kes teruk dan dimasukkan ke hospital melebihi tempoh 14 hari selepas dos kedua.

“Hari ini adalah hari yang kita nanti-nantikan… pendaftaran bersyarat ini akan memberikan akses untuk jutaan rakyat Malaysia kepada vaksin AstraZeneca yang berkesan, bertoleransi dan mudah digunakan sebaik sahaja bekalan boleh didapati,” katanya.

Dr Sanjeev berkata ujian klinikal mendapati ia adalah seratus peratus melindungi daripada penyakit yang teruk, dimasukkan ke hospital serta kematian, lebih 22 hari selepas pengambilan dos pertama yang menyaksikan setiap dos vaksin mempunyai kadar keberkesanan sebanyak 76 peratus terhadap gejala Covid-19 dalam tempoh 90 hari pertama selepas vaksinasi.

Beliau berkata keberkesanan vaksin selepas pengambilan dos kedua lebih tinggi dalam tempoh lebih lama, mencapai 81.3 peratus dengan pengambilan dos selang 12 minggu atau lebih, dan penyelidikan turut menunjukkan bahawa ia mengurangkan jangkitan virus itu sebanyak 67 peratus.

“Vaksin itu boleh disimpan, diangkut dan ditangani dalam keadaan suhu sejuk yang biasa (dua hingga lapan darjah Celsius/36 hingga 46 darjah Fahrenheit) bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan… ia juga senang digunakan dalam keadaan penjagaan kesihatan yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata vaksin itu telah mendapat kebenaran untuk digunakan di negara-negara Kesatuan Eropah, United Kingdom, Argentina, Republik Dominika, El Salvador, Mexico, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Bahrain, Oman, Mesir, Algeria, Maghribi dan benua Asia seperti India, Taiwan, Filipina, Thailand dan Vietnam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand mulakan program pemvaksinan Covid-19

BANGKOK, 28 FEB: Thailand pada Ahad memulakan program vaksinasi Covid-19 dengan Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul menjadi antara individu pertama untuk menerima suntikan vaksin Sinovac Covid-19, CoronaVac dari China.

Anutin, yang juga Menteri Kesihatan Masyarakat dan empat menteri kabinet lain menerima vaksin Sinovac di Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura di Wilayah Nonthaburi untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan dan keberkesanannya.

Anutin diberikan suntikan vaksin oleh Dr Yong Yong Poovorawan, seorang profesor perubatan dalam bidang hepatologi pediatrik di Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha yang turut hadir dan menyaksikan proses vaksinasi itu bagaimanapun tidak disuntik vaksin kerana beliau tidak tergolong di dalam kumpulan berusia 18 hingga 59 tahun yang layak menerima vaksin Sinovac.

“Hari ini adalah hari bersejarah apabila vaksinasi Covid-19 bermula. Saya harap Thailand akan mendapat vaksin yang mencukupi tidak lama lagi yang akan membawa kepada pemulihan ekonomi,” kata Prayuth.

Thailand menyasar untuk vaksinasi 50 peratus penduduknya menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, di Samut Sakhon – pusat wabak terbaharu di negara itu sejak pertengahan Disember lepas, seramai 159 petugas barisan hadapan terdiri daripada kakitangan perubatan, polis, pegawai imigresen, media, dan pegawai pihak berkuasa tempatan adalah antara kumpulan awal yang menerima vaksinasi di Hospital Samut Sakhon hari ini.

Anutin yang turut melawat Samut Sakhon bagi menyaksikan proses vaksinasi itu memberi jaminan bahawa semua vaksin Covid-19 telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah Thailand (FDA).

Pada Rabu, Thailand menerima kumpulan pertama 200,000 dos vaksin Sinovac, dan 117,000 dos vaksin Oxford-AstraZeneca yang tiba pada hari yang sama.

Kementerian Kesihatan Awam memaklumkan bahawa vaksin Sinovac telah diedarkan ke 13 wilayah berisiko tinggi termasuk Bangkok yang akan mula memberikan suntikan vaksin kepada kumpula barisan hasapan dan mereka yang berisiko tinggi, tidak lama lagi.

Namun, vaksin AstraZeneca yang tiba pada Rabu masih perlu menjalani proses kawalan kualiti yang dijangka selesai pada minggu kedua Mac ini.

Thailand telah memesan sebanyak 61 juta dos buatan tempatan dari AstraZeneca.

Vaksin berkenaan akan dihasilkan secara tempatan oleh Siam Bioscience di bawah perjanjian pemindahan teknologi. Kumpulan pertama vaksin itu dijangka dapat diperoleh mulai Jun hingga Ogos (26 juta) dan dari September hingga Disember (35 juta).

Setakat ini, Thailand merekodkan 25,951 kes Covid-19 dengan 83 kematian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand pertama kali lulus vaksin keluaran AstraZeneca

BANGKOK, 22 JAN: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh AstraZeneca Plc dan Universiti Oxford dengan bekalan pertama 50,000 dos dijangka diterima bulan depan.

Menurut akhbar Bangkok Post semalam, Setiausaha Agung FDA, Paisarn Dunkum berkata vaksin keluaran AstraZeneca dari Itali itu diluluskan pada Rabu dan lesen import dan pendaftaran vaksin tersebut sah selama setahun.

AstraZeneca merupakan penghasil vaksin Covid-19 pertama diluluskan di Thailand. Sebelum ini, FDA menerima permohonan untuk pendaftaran vaksin daripada AstraZeneca dan Sinovac Biotech Ltd dari China.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul berkata kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 daripada AstraZeneca dijangka diterima pada minggu pertama bulan depan.

Anutin, yang juga Menteri Kesihatan Awam, berkata kumpulan pertama 50,000 dos vaksin AstraZeneca adalah sebahagian daripada 26 juta dos yang diperoleh oleh kerajaan dengan harga AS$5 (RM20.20) setiap dos.

“Rundingan sedang berlangsung untuk mendapatkan lebih banyak bekalan kerana kerajaan berhasrat memberi vaksinasi kepada 50 peratus penduduk menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Anutin berkata beliau secara sukarela menjadi orang pertama di Thailand menerima vaksinasi Covid-19.

Thailand telah menempah 61 juta dos daripada Oxford-AstraZeneca dan tambahan dua juta lagi dos daripada Sinovac Biotech.

Dalam pada itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) melonggarkan sekatan terhadap 13 jenis perniagaan termasuk pusat kecergasan, kemudahan urut tradisional dan spa bermula esok susulan situasi Covid-19 bertambah baik di ibu negara itu.

Bagaimanapun, 13 lagi jenis perniagaan dan premis termasuk sekolah dan institusi pendidikan, tempat hiburan termasuk pub dan bar, tempat rekreasi seperti taman air, taman hiburan, taman permainan dan kedai judi masih ditutup.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 12,795 kes Covid-19 dan 71 kematian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia meterai perjanjian peroleh 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin Covid-19, iaitu tambahan 10 peratus lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.

Beliau berkata ini bermakna kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40 peratus, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai sebelum ini bersama fasiliti COVAX dan Pfizer.

Menerusi perjanjian yang ditandatangani dengan fasiliti COVAX dan Pfizer, Malaysia dijadualkan menerima bekalan yang meliputi 30 peratus rakyat negara ini.

“Kerajaan juga dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan tambahan jaminan bekalan vaksin melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya menerusi rakaman video berhubung perkembangan terkini isu itu yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk memastikan liputan vaksin kepada 70 peratus rakyat.

Perdana menteri berkata melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai setakat ini, kerajaan akan membelanjakan keseluruhan AS$504.4 juta (RM2.05 bilion).

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata perjanjian dengan Sinovac, CanSino serta Gamaleya juga akan memberi nilai tambah kepada sektor sains dan teknologi tempatan yang bakal memberi pulangan kepada rakyat serta pembangunan negara.

“Ini termasuklah melakukan proses pembotolan vaksin dalam negara, penyelidikan dan pembangunan, serta perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi,” katanya.

Menurut Muhyiddin kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan syarikat-syarikat farmaseutikal lain bagi memastikan negara mempunyai jaminan akses bekalan vaksin mencukupi.

“Vaksin yang diperoleh ini akan dipastikan selamat dan berkesan,” tegas beliau.

Perdana menteri berkata kerajaan sedar usaha mencegah pandemik Covid-19 daripada terus menular adalah penting bagi memastikan keadaan ekonomi rakyat dan negara dapat dibaik pulih pada kadar segera.

– BERNAMA