Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: Harga ayam mula tunjuk trend menurun

PUTRAJAYA, 22 SEPT: Pemeriksaan oleh pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati harga ayam di pasaran kini menunjukkan trend penurunan berbanding minggu sebelumnya.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata purata harga ayam di seluruh negara kini adalah sekitar RM8.79 sekilogram, turun berbanding sekitar RM11 hingga RM11.50 yang direkodkan dua minggu lepas.

Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan di 600 premis menjual ayam sejak kelmarin, 11 premis dikesan masih menjual ayam pada harga RM10 ke atas, 147 premis pula didapati menjual ayam pada harga RM9.50 ke atas, manakala 339 premis (RM9.50 ke bawah) dan 103 premis (RM8 ke bawah).

Beliau menyifatkan trend penurunan itu sebagai keberkesanan hasil penguatkuasaan KPDNHEP di seluruh negara termasuk kerjasama erat dengan semua peringkat rantaian pengedaran ayam termasuk peruncit, pemborong dan penternak.

“Kami akan terus melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga ayam kekal stabil,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di beberapa premis tumpuan di sekitar sini malam tadi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembeli harap harga ayam turun, rakyat bergelut dengan kesan pandemik

SHAH ALAM, 21 SEPT: Rata-rata pembeli akur dengan ketetapan harga ayam di pasaran antara RM8.50 hingga RM9.50 sekilogram yang dianggap masih membebankan.

Rejumah Dahalan, 72. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pembeli, Rejumah Dahalan, 72, bagaimanapun berkata kenaikan harga ketika ini tidak wajar memandangkan ramai rakyat bergelut dengan masalah kewangan ekoran pandemik Covid-19.

“Saya terkejut apabila melihat harga ayam naik kepada RM9.50, kalau ikutkan memang mahal dan membebankan sebab sebelum ini saya beli hanya RM7.90 sekilogram.

“Tetapi nak buat macam mana, cucu-cucu saya suka makan ayam, mahu atau tidak kena beli juga,” kata nenek kepada enam cucu ketika ditemui di Pasar Awam Seksyen 6 di sini hari ini.

Bagi Zailan Nor Salleh, 41, meskipun kenaikan harga ayam hanya memberi sedikit kesan terhadapnya, namun berharap masalah tersebut diatasi segera.

Zailan Nor Salleh, 41. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengurus jenama syarikat perniagaan makanan dan minuman berkata dia memahami situasi dihadapi peniaga yang mendapat bekalan ayam daripada orang tengah atau pembekal.

“Kalau boleh kita nak harga kembali seperti sedia kala, apatah lagi saya sering berbelanja sehingga RM300 sebulan untuk mendapatkan barang basah seperti ayam, ikan, sotong dan daging.

“Saya faham peniaga tiada pilihan lain dan terpaksa berbuat demikian, mereka pun nak dapat keuntungan, ditambah pula perlu membayar kos upah pekerja serta fasiliti,” kata bapa tiga anak yang tinggal di Bandar Puncak Alam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Semak dasar makanan negara, atasi isu berulang harga ayam naik

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan disaran menyemak semula dasar pertanian dan keselamatan makanan bagi mengatasi isu kenaikan harga ayam.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata kebergantungan terhadap import bekalan mentah untuk membuat makanan ayam menjadi punca kenaikan harga di pasaran ketika ini.

“Punca kenaikan harga ayam kerana Malaysia masih mengimport barang mentah untuk buat makanan ayam iaitu jagung. Jadi, saya menyarankan kerajaan melihat semula dasar berkenaan.

“Sekiranya jagung menjadi punca kenaikan berulang harga ayam, saya harap ia diberi perhatian sebagaimana sumber makanan asas lain. Malaysia mempunyai kawasan luas yang boleh diusahakan untuk pertanian,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas meninjau pematuhan harga ayam di Pasar Awam Seksyen 6 di sini hari ini yang turut disertai Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Abdullah.

Sementara itu, tinjauan mendapati peniaga di pasar terbabit menjual ayam pada harga antara RM8.50 hingga RM9.50 sekilogram.

“Harga purata tersebut adalah hasil semakan semula dan perubahan harga dibuat pihak peniaga semasa pemeriksaan dijalankan KPDNHEP Selangor,” kata Mohd Zawawi.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kenaikan kos makanan ternakan punca harga ayam meningkat

PUTRAJAYA, 19 APRIL: Mengakui berlaku peningkatan harga ayam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peningkatan kos makanan ternakan ayam yang diimport adalah antara penyebab utamanya.

Berikutan itu, katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pemilik ladang ayam besar di negara ini, serta perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), bagi membolehkan penetapan harga ayam standard dilaksanakan.

Hasilnya, harga ayam standard ditetapkan pada harga RM7.90 dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, yang akan bermula Rabu ini sehingga 20 Mei, berbanding RM7.50 pada SHMMP Hari Raya Puasa 2020.

“Terdapat pelbagai faktor kenaikan harga ayam, tetapi yang paling ketara peningkatan kos makanan ternakan ayam sejak Januari tahun ini, iaitu jagung dan soya yang diimport dari luar negara,” katanya dalam sidang media mengumumkan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 di kementeriannya hari ini.

SHMMP Hari Raya Puasa 2021 selama 30 hari iaitu 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan, melibatkan 12 jenis barangan membabitkan empat kategori iaitu ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

Nanta berkata, kawalan harga dilaksanakan di setiap peringkat rantaian pengedaran ayam, iaitu peringkat ladang, borong dan runcit, bagi mengekang kenaikan harga ayam yang berlebihan.

“Penetapan ini tidak membebankan peniaga, kerana setiap rantaian pengedaran ayam tersebut mendapat keuntungan masing-masing,” katanya yang berharap penetapan harga ayam itu mengurangkan rungutan rakyat, berhubung isu kenaikan harga terutama ayam yang merupakan sumber protein yang mudah diperolehi.

Beliau berkata kawalan harga ayam itu hanya melibatkan ayam hidup, ayam standard dan ayam super sahaja, semasa musim Perayaan Hari Raya Puasa.

“Harga bagi bahagian ayam yang telah dipotong tidak kawal, contohnya dada, kaki dan paha,” katanya.

Nanta memberi amaran agar harga ayam atau barangan lain tidak dinaikkan melebihi harga yang ditetapkan dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021.

“Kita galakkan mereka untuk jual dengan harga lebih murah daripada yang ditetapkan dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021.

“Sekiranya ada yang menaikkan harga barangan, kita akan ambil tindakan nasihat terlebih dahulu dan sekiranya mereka tetap berdegil, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Semalam, Nanta dilaporkan berkata, KPDNHEP mengeluarkan 24 notis kepada pemborong yang disyaki mencatut dalam Operasi Antipencatutan 8.0 (Ops Catut 8.0) selama dua hari, bermula 15 April di seluruh negara.

Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan, susulan kenaikan mendadak harga ayam yang dikesan baru-baru ini juga, turut mengeluarkan 16 notis kepada penternak atas kesalahan sama.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Bekalan ayam di Selangor dijangka pulih dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kekurangan bekalan ayam di Selangor sehingga berlaku kenaikan harga dijangka pulih dalam masa terdekat, kata pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.

Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata maklum balas diterima pengilang memproses ayam, jumlah kemasukan ayam di peringkat ladang ditingkatkan dan ia dijangka dapat menstabilkan semula harga ayam di pasaran.

“Punca berlakunya kenaikan harga ayam ketika ini adalah kerana pengurangan bilangan pengeluaran ayam ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu akibat permintaan berkurangan ketika itu.

“Pihak pengilang memaklumkan jumlah kemasukan ayam di peringkat ladang dikurangkan kira-kira 60 peratus kerana peladang kurang yakin dengan situasi pasaran menyebabkan mereka mengalami kerugian akibat permintaan berkurangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, KPDNHEP Selangor melakukan pemeriksaaan mengejut di dua kilang memproses ayam di Kampung Melayu, Sungai Buloh dan Klang bagi mendapatkan maklumat berkaitan isu itu.

Tambahnya, selepas PKP dilonggarkan, permintaan terhadap ayam dilihat semakin meningkat sekali gus memberi impak terhadap harga ayam ketika ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fomca: Harga ayam perlu dikawal, jadi pengguna bijak

SHAH ALAM, 21 JUN: Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mahu kerajaan melaksanakan skim harga maksimum ayam standard dan menangani isu ini dengan serius demi pengguna, kata presidennya.

Mohd Yusof Abdul Rahman berkata pihak berkuasa perlu mengawal perkara tersebut yang kebiasaannya bermula di peringkat ladang sehingga menyebabkan penjual terpaksa menaikkan harga jualan.

“Isu pengguna ditekan atau ditindas oleh harga bekalan makanan yang tidak munasabah bukan perkara baru berlaku sehari dua, jadi kerajaan perlu lihat rangkaian yang menyebabkan isu ini berlaku.

“Kebiasaannya apabila permintaan tinggi, pembekal, pemborong dan peniaga mula akan ambil kesempatan dengan menaikkan harga,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohd Yusof berkata pengguna wajar bersikap bijak menentukan permintaan supaya tidak menjadi tinggi sehingga menyebabkan pihak industri bertindak menaikkan harga.

“Apabila berlaku kenaikan harga ayam, kita perlu beralih kepada bekalan makanan lain tetapi ada pengguna tidak bersedia beralih kepada daging atau ikan,” katanya.

Semalam Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan kerajaan akan melaksanakan skim harga maksimum bagi ayam standard sekiranya masih berlaku kenaikan harga secara mendadak.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya akan menetapkan harga siling ayam standard sama seperti yang dilaksanakan ketika musim perayaan.

Cadangan tersebut timbul susulan terdapat peniaga menjual ayam pada harga antara RM10 dan RM11 sekilogram berbanding RM7.50 ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Categories
EXCO SELANGOR

Pasar Agro Selangor jual ayam, daging bawah harga kawalan 22 – 23 Mei

SHAH ALAM, 21 MEI: Pasar Agro Selangor (SAM) menawarkan jualan ayam dan daging segar di bawah harga kawalan bermula esok sehingga Sabtu sempena sambutan Aidilfitri, kata EXCO Industri Asas Tani.

Ir Izham Hashim berkata harga sekilogram ayam ditawarkan ialah RM7.20 sekilogram berbanding harga kawalan RM7.50 sekilogram, sementara daging segar dijual RM33.50 (harga kawalan RM34 sekilogram).

“Antara lokasi jualan ialah Tapak Pasar Tani Saujana Utama, Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Tapak Pasar Tani Seksyen 13 Shah Alam, Tapak Pasar Tani Kelana Jaya SS6, Pusat Operasi Fama Dengkil dan Pusat Operasi Fama Puchong.

“Kesemua tapak jualan ini dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang, dan pelanggan boleh membeli barangan ini secara pandu lalu sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Izham berkata jualan istimewa itu dilaksanakan khas bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barang mentah bermutu dengan harga berpatutan.

“Ini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk bantu rakyat. Untuk rujukan, orang ramai boleh layari laman Facebook Agro Selangor atau Facebook Izham Hashim,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kenapa harga ayam tidak stabil?

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 JAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani digesa memberi penjelasan berhubung harga ayam di pasaran yang sentiasa berubah hampir setiap hari.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berkata, walaupun harga ayam ditetapkan melalui mekanisme pasaran iaitu penawaran dan permintaan, tetapi perubahan harga yang dilihat adalah terlalu kerap dan tidak stabil.

“Kenapa perkara ini boleh berlaku? Mengikut Kementerian harga ayam dipengaruhi oleh penawaran dan permintaan serta bergantung kepada kos pengeluaran seperti bahan mentah makanan, buruh, ubat-ubatan dan utiliti.

“Siapakah yang sebenarnya menetapkan harga ayam? Adakah pihak tertentu mempengaruhi harga ayam untuk membolot keuntungan besar? Apakah tindakan kerajaan untuk memastikan harga ayam lebih stabil?” soalnya dalam kenyataan.

Timbalan Pengerusi DAP Perak itu juga berkata Kerajaan harus menangani masalah itu untuk memastikan harga ayam tidak melambung tinggi kerana daging ayam merupakan makanan utama bagi semua kaum di negara itu.

Sivakumar menjelaskan Dewan Rakyat pernah pernah mengeluarkan jawapan bahawa bekalan daging ayam mencukupi bagi menampung keperluan rakyat Malaysia untuk sepanjang tahun.

Hal itu kerana pengeluaran ayam pedaging adalah melebihi keperluan negara dengan kadar sara dirinya 105 peratus.

“Kini, industri itu berkeupayaan untuk mengeluarkan dua juta ekor ayam sehari iaitu bersamaan dengan 768 juta ekor ayam setahun. Memandangkan pengeluaran ayam di negara kita adalah stabil dan mencukupi, kenapakah harganya masih tidak stabil lagi?,” soalnya.

Beliau berkata peningkatan pengeluaran ayam juga adalah konsisten pada setiap tahun iaitu pada kadar empat hingga lima peratus setahun.

Ia kerana ayam pedaging yang berada di pasaran dirancang pengeluarannya 60 hari lebih awal.

“Kementerian berpendapat perancangan pengeluaran ayam dilakukan dengan baik oleh pihak industri.

“Tetapi kementerian juga harus sedar ketidakstabilan harga mempunyai impak terhadap kepenggunaan terutamanya kepada golongan miskin,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Harga ayam cecah RM10 sekilogram

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 JULAI: Harga ayam seluruh negara didapati naik lebih RM2 sehingga mencecah RM10 sekilogram berbanding harga kawalan RM7.90, sejak Khamis lalu.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata harga RM7.90 itu adalah harga kawalan yang di tetapkan kerajaan menjelang Ramadan, namun tamat pada 1 Syawal iaitu 6 Julai lalu.

yusuf fomca“Selepas hari raya, harga akan kembali seperti biasa bergantung kepada pasaran dan permintaan.

“Bagaimanapun, ia tidak sepatutnya naik terlalu tinggi dan penguatkuasa perlu membuat siasatan serta mengambil tindakan ke atas peniaga juga pemborong yang menjual dengan kadar harga yang tidak sepatutnya,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum ini, dakwaan mengatakan harga ayam turut naik ketika musim hari raya kali ini yang berpunca daripada ayam mengalami wabak bronkitis berjangkit (IB) atau sakit kerongkong.

Mohd Yusuf menyaran kementerian menyiasat terlebih dahulu untuk mendapatkan kesahihan wabak yang didakwa beberapa pihak.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) beranggapan ia hanya andaian semata-mata.

ayam-di-pasarTimbalan Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Ahmad Dahuri Mahmud, berkata itu spekulasi dan kementerian akan mengambil tindakan tegas kepada peruncit yang mengaut keuntungan secara tidak munasabah apatah lagi sempena musim perayaan.

“Kita tidak pasti harga ayam naik sebab apa kerana pihak kita belum menerima sebarang maklum balas daripada mana-mana peruncit berkenaan kenaikan harga ayam.

“Kita tunggu peruncit berikan fakta dan sebab mengapa mereka naikkan harga ayam. Kalau sengaja mereka naikkan, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tiada laporan rasmi kematian lebih 800 ayam

OLEH : HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 APR: Kerajaan Negeri tidak menerima laporan rasmi berhubung dakwaan kematian lebih 800 ekor ayam di Selangor akibat fenomena panas melampau baru-baru ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata hasil siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor menyatakan angka terbabit tidak boleh disahkan begitu juga dengan punca cuaca panas itu.

ayam“Bagaimanapun Kerajaan Negeri akan terus memantau perkara ini dan melihat ruang untuk menghulurkan bantuan sekiranya ia benar berlaku,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Maklumbalas daripada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Hulu Selangor juga menjelaskan kadar kematian unggas adalah pada kadar biasa antara tiga hingga tujuh peratus ketika ini.

“Pejabat terbabit menghubungi semua ladang berlesen dan maklumbalas diperoleh tiada kematian unggas luarbiasa daripada fenomena panas itu.

“Kita sedang menunggu laporan dari daerah yang lain,” katanya.

Baru-baru ini, didakwa berlaku kematian lebih 800 ekor ayam di seluruh Selangor akibat fenomena panas melampau sekali gus menjejaskan kadar pengeluaran dan meningkatkan harga jualan.

Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor, Datuk Ishak Mat Arif berkata penternak mengeluh selepas tiada apa yang boleh dilakukan selain berhadapan kerugian akibat hasil ternakan yang mati.

EZY

Categories
SELANGOR

Bau busuk, penduduk desak projek ternakan ayam dibatalkan

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 APR: Penduduk Mukim Kerling mahu projek ternakan ayam dibatalkan kerana projek itu menyebabkan pencemaran udara dan mengancam kualiti hidup.

Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, projek itu bakal mengundang pembiakan lalat dan bau busuk menjejaskan kesihatan penduduk ekoran jarak kediaman hanya 500 meter.

bantah ayamKatanya, penduduk mendesak kelulusan merancang (KM) dikeluarkan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) terhadap projek itu dibatalkan segera.

“Jawapan Menteri Besar kepada saya semasa pengggulungan Dewan Negeri Selangor (DNS) tempoh hari adalah Jawatankuasa Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam menangguhkan permohonan (pembangunan) itu kerana melibatkan masalah aliran sungai.

“Sebab itu mereka ingin menilai semula kesesuaian tapak itu. Jadi Jabatan Teknikal seperti Jabatan Veterina, Jabatan Kesihatan dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) meneliti perkara itu,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengarahkan supaya kesesuaian tapak itu dikaji semula memandangkan berdekatan dengan sungai.

Jelasnya, penduduk setempat tidak mempunyai masalah sekiranya kediaman mereka bersebelahan dengan projek tanaman selagi tidak menggunakan najis ayam basah sebagai baja.

Tambah Kee Hiong, sejak kebelakangan ini projek penternakan ayam semakin bertambah di kawasan Hulu Selangor.

Beliau turut memaklumkan, perjumpaan bersama pemilik ladang dan MDHS diadakan Rabu ini bagi membincangkan masalah itu.

Semalam, penduduk Mukim Kerling berkumpul menyatakan bantahan terhadap projek itu ekoran mengundang pelbagai kesan alam sekitar dan kesihatan.

EZY

Categories
SELANGOR

Wan Azizah : Peniaga nafi ada ayam dijual RM1

KAJANG, 13 MAC : Calon Parti Keadilan Pakyat (PKR)N N25 Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mendapati tidak ada ayam yang dijual dengan harga RM1 seperti didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Wan Azizah dalam sesi bertemu peniaga di Pasar Kajang seawal jam 8.00 pagi tadi turut bertanya beberapa peniaga ayam sama ada mereka menjual dengan harga RM1 seekor.

“Saya tanya peniaga ayam, ayam satu ringgit ada? Mereka cakap tak ada. Mereka terus tunjuk tanda harga yang ditulis ayam sekilo RM8.40,” katanya kepada wartawan.

P1030581Memetik laporan Harakah Daily, beliau berkata, Pasar Kajang harus diberi perhatian khususnya daripada segi infrastruktur yang perlu diperbaiki dan paling penting adalah kebersihan.

“Hari ini kita hanya bertemu dengan peniaga di sini sebagai memperkenalkan calon dan kita akan adakan pertemuan selanjutnya dengan peniaga.

“Kita akan senaraikan keutamaan dan itu perkara pertama harus dilaksanakan,” katanya.

Pelbagai barangan yang boleh diperoleh di Pasar Kajang daripada barangan basah, kering serta pakaian, selain terdapat beberapa kedai borong yang turut menjadi tumpuan peniaga kecil.

Pada kesempatan itu, Wan Azizah turut membeli petai dan diberi sejambak bunga ros oleh peniaga.

lawak-najib-beli-ayamSemalam saya pergi pasar malam, saya dapat nangka madu dan daging. Saya dapat petai danakan masak sambal petai,” katanya yang mengakui petai adalah ulam kegemarannya tetapi hanya makan untuk masa tertentu.

Pasar Kajang adalah satu-satunya pasar yang ada di kawasan berkenaan menyebabkan ia menjadi tumpuan utama penduduk di sana.