Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis guna dron pantau SOP bazar Ramadan, Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan dron untuk memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di bazar Ramadan dan Aidilfitri di sekitar Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata dron PDRM berkenaan digunakan untuk memantau SOP dari udara kerana PDRM mengalami kesukaran untuk memantau SOP di kesemua bazar.

“Seperti diketahui agak sukar untuk memantau kehadiran pengunjung ke dalam sesebuah bazar yang pada malam kebiasaannya boleh mencecah 2,000 hingga 3,000 pengunjung.

“Jumlah itu bagaimanapun boleh mencecah lebih lagi dan polis yang mengoperasikan dron ini akan memastikan pengunjung yang hadir ke bazar-bazar berkenaan mematuhi SOP,” katanya kepada Bernama semasa melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, awal pagi tadi.

Acryl Sani berkata penggunaan dron dalam masa sama mampu memberikan gambaran jelas sama ada penjarakan fizikal di sesetengah bazar dipatuhi atau sebaliknya.

Sementara itu, Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM Supt Rasha Azaldin Shafii berkata pihaknya telah menggunakan dron untuk memantau pematuhan SOP di bazar-bazar sejak Khamis lepas.

Beliau berkata beberapa pasukan unit dron akan dibahagikan untuk memantau beberapa bazar yang dikenal pasti di sekitar Lembah Klang.

“Kebiasaannya, kami akan memulakan penugasan unit dron di bazar selama 30 minit untuk memantau SOP. Pasukan saya akan mula menerbangkan dron pada waktu petang.

“Kami memantau SOP di bazar berdasarkan arahan Ketua Polis Daerah sekiranya perlu dan bukanlah setiap masa kami memantau,” katanya.

Rasha berkata segala video dan gambar akan dirakamkan dan boleh dilihat di pusat operasi unit dron yang ditetapkan.

“Dari pusat operasi dron ini, apabila dron diterbangkan ia boleh melihat segala pergerakan pengunjung di bazar dan jika nampak mereka tidak mematuhi SOP dron polis akan menegur mereka melalui pembesar suara dron,” katanya.

Turut hadir adalah Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

904 jangkitan Covid-19 punca 22 bazar Ramadan ditutup esok

SHAH ALAM, 30 APRIL: Sebanyak 904 individu yang dijangkiti Covid-19 direkodkan pernah berkunjung ke 22 bazar Ramadan yang diarahkan tutup operasi mulai esok.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata laporan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (Hide) menunjukkan angka kontak rapat yang tinggi dalam kalangan pengunjung dan peniaga di lokasi terlibat.

“Sistem yang dibangunkan Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia bertujuan memberi amaran awal bagi mencegah ledakan jangkitan wabak menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

“Bazar-bazar ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi yang boleh menjadi punca kepada penyebaran jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPKT berkata bazar di enam negeri dan satu wilayah itu akan ditutup selama tiga hari bagi tujuan sanitasi dan memperkemaskan semula tatacara operasi piawai (SOP).

Tambahnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga disaran mengetatkan penguatkuasaan pematuhan SOP di bazar Ramadan berkenaan.

Sebelum ini, KPKT mengarahkan dua bazar Ramadan di Selangor, Kuala Lumpur (dua), Johor (empat), Kedah (tiga), Pahang (dua), Perak (satu) dan Pulau Pinang (lapan) ditutup susulan ancaman penularan Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua bazar Ramadan di Selangor antara 22 diarah tutup mulai esok

SHAH ALAM, 30 APRIL: Bazar Ramadan di Subang Jaya dan Pandan Indah antara 22 bazar yang diarah tutup operasi mulai esok bagi membendung jangkitan Covid-19.

Menurut surat yang diedar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada pihak berkuasa tempatan enam negeri dan satu wilayah, arahan itu susulan ancaman penularan wabak di kawasan terbabit.

“KPKT menerima laporan daripada Hide (Hotspot Identification by Dynamic Engagement), Bank Negara yang telah mengesan ancaman penyebaran jangkitan Covid-19 di kawasan bazar Ramadan seperti yang dilampirkan.

“Ancaman penyebaran ini adalah hasil analisis pengesanan kontak yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan melalui aplikasi MySejahtera,” menurut surat bertarikh 30 April.

Di Selangor, bazar yang terlibat ialah Pusat Sementara Penjaja/Basar Ramadhan Puncak Jalil, Subang Jaya serta Stesen LRT Cempaka, Ampang Jaya.

Senarai 20 bazar Ramadan lain yang diarah tutup:

Kuala Lumpur
– Bazar Ramadan Taman Setiawangsa
– Bazar Iftar Ramadan Jalan Raja Alang

Johor
– Bazar Ramadan Belatuk Taman Scientex, Pasir Gudang
– Bazar Ramadan Kg Pasir, Jalan Mata Kuching, Johor Bahru
– Bazar Ramadan @Mart Kempas, Johor Bahru
– Bazar Ramadan Lok Heng, Kota Tinggi

Kedah
– Bazar Ramadan Taman Selasih, Kulim
– Bazar Ramadan Baling 2021, Baling
– Bazar Ramadan Kupang 2021, Baling

Pahang
– Bazar Ramadan Lurah Semantan, Temerloh
– Bazar Ramadan Temerloh Jaya, Temerloh

Perak
– Bazar Ramadan Bazar Nenas Kg Selabak, Teluk Intan

Pulau Pinang
– Bazar Ramadan MPKK Jalan Tenggiri, Seberang Perai
– Bazar Ramadan Attakwa Taman Bertam Indah, Seberang Perai
– Bazar Ramadan Bazar Ramadhan MBPP/MBSP
– Bazar Ramadan Kampung Melayu
– Bazar Ramadan Masjid Daerah Barat Daya
– Bazar Ramadan Iftar Ramadhan Jalan Berangan Bkt Bntng 2021
– Bazar Ramadan Bukit Gedung
– Bazar Ramadan Taman Tun Sardon

Categories
PBT SELANGOR

Peniaga, pengunjung bazar Shah Alam patuh SOP

SHAH ALAM, 27 APRIL: Lebih 90 peratus pengunjung dan peniaga bazar Ramadan sekitar Shah Alam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan berkata larangan membawa kanak-kanak bawah 12 tahun juga dipatuhi sepenuhnya oleh pengunjung.

“Mungkin daripada segi kekangan pengunjung perlu beratur panjang tetapi demi kepentingan umum, mereka akur dengan arahan ditetapkan.

“Saya berasakan pengunjung dan peniaga boleh mengikut norma baharu ini, justeru saya berterima kasih kepada mereka kerana memberi kerjasama,” katanya.

Mohd Rashidi Ruslan mengangkat sumpah jawatan sebagai pemangku Datuk Bandar Shah Alam di Wisma MBSA, Shah Alam pada 19 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan cek sumbangan bantuan makanan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi di Wisma MBSA di sini hari ini.

Mohd Rashidi berkata pemantauan di seluruh bazar berjalan sepanjang masa bagi memastikan tiada isu pelanggaran SOP yang boleh menjejaskan operasi.

“Paling penting, kita sudah memberikan keyakinan kepada Kerajaan Negeri untuk membenarkan bazar Ramadan dan berharap ia dapat beroperasi sehingga akhir bulan puasa,” katanya.

MBSA menempatkan seramai 200 anggota penguat kuasa di semua 51 bazar Ramadan kendaliannya bagi memantau pematuhan SOP.

Bermula 20 April, Kerajaan Selangor menyelaras semula penguatkuasaan SOP seluruh bazar Ramadan dan Aidifitri bagi mengelakkan kluster baharu serta gelombang keempat Covid-19.

Ketetapan baharu antaranya melibatkan laluan sehala, pelaksanaan sistem bernombor, mengehadkan bilangan pengunjung dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penganjur bazar Ramadan gagal patuhi SOP berdepan tindakan tegas

SEPANG, 26 APRIL: Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penganjur bazar Ramadan yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Dato’ Menteri Besar berkata penutupan operasi bazar juga akan dilakukan jika terdapat laporan ketidakpatuhan pengunjung dan peniaga.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan tidak mengambil tindakan melulu kerana taklimat dan ingatan akan diberi dahulu sekiranya didapati melanggar SOP yang ditetapkan.

“Saya percaya bazar lain juga padat namun jika kepatuhan mereka kepada SOP itu tinggi, akhirnya akan dapat lihat satu kawalan yang baik,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas lawatan ke Bazar Ramadan Kosmopleks menerusi Jelajah Ramadan Kita Selangor ke daerah Sepang di sini, hari ini.

Amirudin berkata setakat ini hanya Bazar Ramadan Greenwood ditutup akibat kegagalan mematuhi SOP namun telah diberi kebenaran beroperasi semalam.

Pada masa sama, beliau menyarankan semua bazar Ramadan melaksanakan format laluan sehala kepada pengunjung bagi mengelak penularan Covid-19.

“Dengan adanya format laluan sehala keadaan bazar akan lebih terkawal, cuma mungkin pengunjung kurang selesa tetapi itu realiti yang terpaksa dilalui bagi mengelak penularan wabak,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA tempatkan 200 anggota pantau SOP bazar Ramadan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menempatkan 200 anggota penguat kuasa di 51 bazar Ramadan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

Pemangku Datuk Bandar berkata anggota melibatkan kakitangan Jabatan Pelesenan, Kesihatan Persekitaran dan Sisa Pepejal selain dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Anggota akan memastikan pengunjung ikut ketetapan seperti tidak membawa kanak-kanak bawah 12 tahun. Kita minta semua pihak agar patuh.

“Gunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin dan MBSA berusaha memudahkan segala urusan bazar,” kata Mohd Rashidi Ruslan ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Hotel Concorde semalam.

Beliau menambah semua bazar termasuk 21 kendalian pihak swasta turut mengehadkan jumlah pengunjung mengikut keluasan lokasi.

“Kita ambil nisbah satu gerai tiga pengunjung. Jadi jika ada 100 tapak gerai, hanya 300 pengunjung dibenarkan dalam satu-satu masa,” katanya.

Bermula semalam, Kerajaan Selangor menyelaras semula penguatkuasaan SOP seluruh bazar Ramadan dan Aidifitri bagi mengelakkan kluster baharu serta gelombang keempat Covid-19.

Ketetapan baharu antaranya melibatkan laluan sehala, pelaksanaan sistem bernombor, mengehadkan bilangan pengunjung dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk.

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SOP baharu bazar Ramadan di Selangor mulai hari ini

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kerajaan Selangor menyelaras semula penguatkuasaan tatacara operasi piawaian (SOP) seluruh bazar Ramadan secara berperingkat mulai hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata setiap bazar akan menggunakan laluan sehala bagi mengelak kesesakan selain pelaksanaan sistem bernombor untuk pengunjung.

“Masa untuk pengunjung juga dihadkan. Langkah ini dibuat selepas kita membuat persampelan lima hari pertama bazar beroperasi.

“Taklimat baru pematuhan SOP ini sudah diberi kepada semua penganjur termasuk bazar Raya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi video di Facebook hari ini.

Menurutnya, berdasarkan laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, terdapat bazar yang tidak mampu mengawal pengunjung hingga bersentuh antara satu sama lain.

“Ada yang tidak imbas kod QR SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) atau MySejahtera. Tak beri laporan kehadiran malah membawa anak kecil kurang dari 12 tahun.

“Selepas ini jika langgar SOP lagi, kerajaan negeri menerusi PBT (pihak berkuasa tempatan) akan terus kenakan kompaun atau menutup terus operasi bazar,” katanya.

Bermula 14 April, kerajaan membenarkan datuk bandar, yang dipertua PBT dan pegawai penguat kuasa PBT Gred 19 ke atas mengeluarkan kompaun kepada pihak yang gagal mematuhi SOP bazar Ramadan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir 800 peniaga sertai saluran e-dagang

SUBANG JAYA, 19 APRIL: Seramai 780 usahawan mendaftar perniagaan mereka di saluran e-dagang, Platform Selangor (PLATS) sejak ia diperkenal awal bulan ini.

Pengurus Operasi Rakan Digital Selangor Najwa Ashiqen Abdul Rahman berkata mereka terdiri daripada peniaga berasaskan makanan termasuk 200 peniaga bazar Ramadan.

Pengurus Operasi Rakan Digital Selangor Najwa Ashiqen Abdul Rahman ketika ditemui di Bazar Ramadan Bandar Kinrara pada 19 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

“Jumlah ini merangkumi perniagaan di enam pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan sambutan amat menggalakkan apabila 400 telah mendaftar pada minggu kedua ia diperkenal,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memberi pendedahan mengenai PLATS kepada peniaga Bazar Ramadan Bandar Kinrara di sini hari ini.

Najwa Ashiqen berkata pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus peniaga dari 80 gerai di bazar itu mendaftar saluran e-dagang berkenaan.

Tambahnya, setakat ini seramai 100 sukarelawan Rakan Digital Selangor yang terdiri dalam kalangan belia turun padang bagi memberi pendedahan kepada peniaga.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan 1,000 sukarelawan bagi membantu memberi kesedaran berhubung agenda pendigitalan negeri ini.

Saluran e-dagang tersebut dimulakan tahun lalu dengan pelancaran PLATS e-bazar iaitu bazar Ramadan digital pertama di negara ini berikutan ketiadaannya akibat penularan Covid-19.

Program itu ditambah baik menerusi PLATS 2.0 pada 11 April lalu dan Kerajaan Negeri menyasarkan lebih ramai peniaga menyertai program e-Dapur seiring perkembangan era pendigitalan serta berjalan sepanjang masa.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengunjung puas hati harga juadah bazar Ramadan

SHAH ALAM, 18 APRIL: Rata-rata pengunjung bazar Ramadan di Stadium Shah Alam berpuas hati terhadap harga juadah yang ditawarkan setiap gerai.

Pengurus syarikat pendidikan Rajae Mohamad Ali, 37, berkata harga bagi setiap makanan dan minuman berpatutan malah sama seperti dua tahun lalu.

“Jadi, dengan harga yang masih sama seperti ini, saya dapat beli lebih banyak makanan untuk keluarga,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Dia juga berpuas hati terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) peniaga dan pengunjung yang mengamalkan penjarakan fizikal dan mendaftar melalui MySejahtera.

Sementara itu, peniaga bubur lambuk Ashraf Baharudin, 26, berkata meskipun bilangan pengunjung agak ramai namun masing-masing mengambil langkah kawalan kendiri.

“Harga makanan di sini juga murah dan boleh dapat makanan bungkus serendah RM4 manakala air manis dan kuih-muih boleh dapat RM2.

“Sambutan agak menggalakkan namun apabila cuaca hujan lebat jualan agak kurang dan lambat habis,” katanya lagi.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Had 150 pengunjung bolehkan jarak sosial di bazar Ramadan

SHAH ALAM, 16 APRIL: Hanya 150 pengunjung bazar Ramadan dibenarkan berada dalam kawasan terbabit dalam satu-satu masa, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata langkah itu bagi membolehkan penjarakan sosial susulan dakwaan ada bazar gagal mengawal tatacara operasi piawai (SOP).

“Semoga kita sentiasa menjaga SOP agar peniaga dapat menjalankan jualan seperti biasa.

“Di samping merancakkan ekonomi setempat kita juga dapat menjalani aktiviti membeli belah seperti biasa,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Seri Serdang turut meluangkan masa melawat bazar Ramadan di kawasannya bersama penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan penyelia Pusat Wanita Berdaya.

Siti Mariah memuji tindakan MBSJ melaksanakan sistem kad yang menghadkan 150 pengunjung masuk ke bazar tersebut.

“Insya-Allah jika sistem ini dikekalkan operasi bazar Ramadan boleh diteruskan dan pada masa sama orang ramai kekal mematuhi SOP,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB bimbang sikap alpa rakyat cetus gelombang keempat Covid-19

GOMBAK, 15 APRIL: Dato’ Menteri Besar bimbang sikap alpa rakyat terutama di negeri ini mencetuskan gelombang keempat perebakan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keterujaan orang ramai keluar membeli barangan sejak Ramadan sehingga mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP) menyumbang kepada peningkatan kes.

“Saya sangat risau wujud kluster bazar Ramadan, jangan sampai menjadi punca tercetusnya gelombang Covid-19 yang akhirnya merugikan kita semua.

“Semoga perkara ini tidak berlaku, sebab itu saya gesa patuh SOP, Insya-Allah kita semua selamat,” katanya berucap pada Majlis Iftar Hijrah Selangor di Banquet Hall Al-Hijrah hari ini.

Semalam, Amirudin berkata pihaknya tidak teragak-agak membatalkan operasi bazar Ramadan jika orang ramai gagal mematuhi SOP.

Malaysia merekodkan sebanyak 2,148 kes baharu Covid-19 hari ini, tertinggi direkodkan sejak Mac.

Sarawak mencatatkan kes harian tertinggi dengan 512 kes diikuti Selangor (459) dan Kelantan (221).

Categories
AGENDA NASIONAL

Guna pembesar suara, arah pengunjung bazar Ramadan Putrajaya jaga SOP

PUTRAJAYA, 15 APRIL: “Tolong jaga jarak, tolong bagi kerjasama semua, sila patuhi SOP”, itu antara laungan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) kepada pengunjung bazar Ramadan di Presint 3 hari ini.

Seawal 4.30 petang, orang ramai mulai membanjiri tapak bazar berkenaan dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan pendaftaran MySejahtera.

Pengunjung dilihat berbaris di luar bazar dan mematuhi arahan penggiliran untuk masuk ke bazar mengikut kapasiti tapak itu bagi mengelakkan kesesakan.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika melancarkan Op Pantau di tapak bazar berkenaan dilaporkan kurang berpuas hati dengan pematuhan SOP yang dipamerkan pengunjung yang ramai di bazar itu.

Tinjauan Bernama hari ini di bazar berkenaan mendapati pengumuman dibuat secara berkala setiap 30 minit agar pengunjung menjaga SOP serta memberi saranan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan warga emas tidak digalakkan memasuki tapak bazar.

Pengumuman juga memberi saranan kepada pengunjung untuk mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja untuk membeli juadah.

Turut kelihatan di tapak bazar ialah anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini memaklumkan pihaknya menerima aduan mengenai kegagalan pematuhan SOP di beberapa lokasi bazar Ramadan di seluruh negara.

Menurut Dr Adham, kerajaan memandang serius perkara tersebut dan tidak menolak kemungkinan bazar Ramadan ditutup sekiranya terdapat kluster baharu dipercayai daripada aktiviti bazar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali ketika ditemui di bazar berkenaan berkata beliau telah mengemukakan cadangan penambahbaikan SOP kepada pihak PPj.

Antara syor itu ialah mengehadkan pembeli antara lima dan 10 orang di gerai yang laris, dan menggunakan sistem penggiliran atau sistem nombor bagi pembeli untuk mengelakkan kesesakan pada satu-satu masa.

“Tentang keluar masuk (ke bazar), syor dibuat untuk membuat sistem penggiliran juga namun kita memahami jangka masa singkat untuk membeli juadah selain sistem trafik sesak dan kawasan parkir yang kurang di kawasan ini,” katanya.

Pengarah Bahagian Komersial, Pembangunan Perniagaan dan Pelesenan, Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj Noor Sita Abbas berkata pihaknya mengambil maklum mengenai saranan yang dikemukakan dan akan menambah bilangan penguat kuasa PPj mulai esok.

Beliau berkata kemasukan pengunjung akan dihadkan kepada 800 orang pada satu-satu masa.

Menurut Noor Sita, terdapat 160 gerai di tapak bazar itu dan bilangan pengunjung boleh mencecah 20,000 orang setiap hari kecuali hari hujan.

-BERNAMA