Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Belanjawan 2018: MB bakal umum bantuan naik taraf maahad tahfiz

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 22 OKT: Percambahan jumlah Maahad Tahfiz di Selangor yang mencecah 226 buah di negeri itu mendorong Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada perkembangan institusi ini dalam Belanjawan 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal ini berikutan sebahagian besar Maahad Tahfiz masih berada dalam keadaan tidak memuaskan dan memerlukan pembelaan Kerajaan Negeri.

“Hanya beberapa minggu lepas saya berbincang dengan Pengarah dan pegawai JAIS mengenai perkembangan Maahad Tahfiz di Selangor yang sedang bercambah dengan begitu banyak di mana sudah ada 226 buah Maahad Tahfiz dalam Selangor yang berdaftar. Ada juga yang tak berdaftar.

“Walaupun ini Maahad Tahfiz persendirian tetapi kita bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan anak-anak kita dan warga pendidik dalam Maahad Tahfiz yang sebahagian besarnya dalam keadaan uzur dan memerlukan pembelaan.

“Dalam Belanjawan 2018 ini kita akan mengumumkan beberapa bentuk bantuan bagi menaiktaraf Maahad Tahfiz persendirian di dalam Negeri Selangor ini tetapi pada masa sama saya ingin menyatakan kita ada lebih 16,000 anak-anak warga hufaz di Maahad Tahfiz ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Kuala Selangor dan Penyampaian Anugerah Kampung Tradisi Terbaik dan Inovasi Desa Terbaik Negeri Selangor 2017 di Masjid Darussalam, Kampung Bukit Kuching Jeram di sini, malam tadi.

Sementara itu, ketika menyentuh peruntukan bagi pembangunan institusi Islam bagi 2017, Mohamed Azmin memberitahu, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan hampir RM300 juta merupakan jumlah terbesar setakat ini.

Katanya, institusi Islam seperti masjid merupakan nadi penting bagi usaha membangunkan ketamadunan Islam seperti yang dihasratkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Kita mahu menjadi umat yang kuat, gagah, berilmu, berakhlak, berkemahiran barulah kita dapat bersaing dengan sebuah dunia yang mencabar hari ini,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Belanjawan 2018: Inisiatif baru untuk masyarakat desa, anak muda, wanita

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 22 OKT: Sejajar dengan kemajuan dan kepesatan ekonomi dan pembangunan Selangor, Kerajaan Negeri memberi perhatian dalam usaha membangunkan masyarakat desa, golongan muda dan wanita dalam Belanjawan Selangor 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau akan mengumumkan beberapa inisiatif baru pada pembentangan belanjawan yang diadakan pada 3 November ini.

“Dalam menggubal Belanjawan 2018 kita sedang mencari apa lagi program yang harus kita lakukan. Simpanan kita baik, ekonomi kita kukuh, rizab kita besar tetapi kita mahu kekayaan ini dilimpahkan kepada rakyat khususnya di kawasan desa.

“Pada 3 November ini kita akan mengumumkan beberapa inisiatif baru, program baru dan insentif baru yang memberikan tumpuan pembangunan dan masyarakat desa termasuk anak-anak muda dan memberdayakan wanita-wanita di dalam negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Kuala Selangor dan Penyampaian Anugerah Kampung Tradisi Terbaik dan Inovasi Desa Terbaik Negeri Selangor 2017 di Masjid Darussalam, Kampung Bukit Kuching Jeram di sini, malam tadi.

Katanya, Selangor hari ini semakin maju hingga menyebabkan sesetengah kampung turut mengalami perubahan mendadak yang memerlukan tumpuan khusus oleh Kerajaan Negeri.

Beliau bagaimanapun turut menggesa supaya masyarakat desa mempertahankan watak dan jati diri kedesaan yang penuh tradisi.

=EZY=

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Belanjawan 2018: “Ada sesuatu untuk wanita, tunggu sahaja”

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerajaan Negeri dijangka meningkatkan lagi usaha memberdaya golongan wanita di negeri itu melalui Belanjawan Selangor 2018 yang dibentangkan pada 3 November ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebaliknya menyerahkan kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk memutuskan perkara itu sebelum membuat pengumuman pada pembentangan belanjawan nanti.

“Insha Allah Ada sesuatu untuk wanita tetapi biarlah Dato’ Menteri Besar yang umumkan. Kalau saya beritahu sekarang tiada kejutan pula nanti,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, semalam.

Jelasnya, beliau juga berharap semoga belanjawan kali ini kekal menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat khususnya golongan wanita.

Katanya, golongan wanita merupakan antara komponen penting dalam merangka belanjawan yang menuju ke arah ‘belanjawan gender responsif’.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2018: 54% cadang Selangor tumpu kebajikan rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 OKT: Sebanyak 54 peratus pengguna media sosial memilih aspek kebajikan rakyat menjadi teras utama pembentangan Belanjawan Selangor 2018.

Kajian dijalankan menerusi laman sosial Twitter rasmi, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, bermula 8 Oktober lalu.

Ia melibatkan 8,969 pengguna Twitter yang membuat pilihan menerusi kajian survei berkenaan sehingga 12 Oktober jam 11 pagi ini.

Teras pendidikan berada di kedudukan kedua dengan 29 peratus, diikuti sembilan peratus bagi perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lapan peratus meliputi aspek kesihatan.

Mohamed Azmin akan membentangkan Belanjawan Selangor 2018, pada 3 November ini.

Sebelum ini, Mohamed Azmin berkata Belanjawan Negeri bakal memberi fokus kepada semua golongan menerusi kepelbagaian program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membabitkan semua peringkat.

Malah katanya, Kerajaan Negeri juga akan mengambil kira dan menjadikan pembangunan belia sebagai fokus tahun depan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor lebih konsisten

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 OKT: Penganalisis menjangkakan Selangor bakal mengumumkan beberapa lagi insentif dalam Belanjawan 2018 bagi membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi rakyatnya selaras kemampuan kewangan negeri itu yang semakin kukuh.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, hal itu ekoran rekod pentadbiran Kerajaan Negeri beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan insentif kepada rakyat bukan bermusim tetapi konsisten.

“Orang boleh kata Selangor sama dengan Persekutuan beri gula-gula kepada rakyat tetapi apa yang dapat diperhatikan, Kerajaan Negeri beri inisiatif kepada rakyat setiap tahun atau berpanjangan.

“Ini sekali gus menunjukkan Kerajaan Selangor lebih telus, akauntabiliti dan memikirkan kepentingan rakyat, bukan bayaran ‘one off’ tetapi terancang, bersifat berpanjangan, konsisten serta istiqamah.

“Kita juga lihat bila Kerajaan Selangor isytiharkan insentif, belanjawan itu tidak dipotong di tengah jalan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan dilihat terdesak untuk membentangkan bajet gula-gula pilihan raya walaupun mengetahui tiada jaminan kedudukan ekonomi dan kewangan negara berada pada tahap memuaskan.

Dr Rosli berkata, langkah berkenaan memberi risiko lebih tinggi untuk bajet itu dipotong antaranya sektor pendidikan dan kesihatan selepas beberapa bulan ia diumum.

“Berbanding hutang Kerajaan Persekutuan yang bertambah, Selangor pula menurut Laporan Ketua Audit Negara merupakan negeri kedua terendah mempunyai tunggakan bayaran balik hutang dengan nilai RM14.67 juta, pada 2016 berbanding RM27.09 juta, pada akhir 2015,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2018: IPR ditambah baik, diperkemas demi rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Belanjawan Selangor 2018 bakal memberi tumpuan untuk menambah baik dan memperkemas lebih 40 program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bagi memaksimumkan kesan program berkenaan kepada kumpulan sasaran terutama untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya, Kerajaan Negeri mahu memastikan rakyat diperkasa menerusi IPR bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat dalam suasana lembab ekonomi.

“Kita percaya program IPR dan pengagihan adil diamalkan Kerajaan Negeri mampu memberikan kesan cukup positif kepada semua rakyat.

“Lebih penting, kita mahu mengangkat martabat rakyat dan melebarkan kumpulan kelas menengah dalam kalangan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau diminta mengulas Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 yang mendedahkan insiden kemiskinan Selangor berkurangan kepada kosong peratus pada 2016, berbanding 0.2 peratus pada 2014.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri akan terus berusaha meningkatkan kualiti hidup rakyat selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor.

“Saya juga sudah menyembah maklum laporan Jabatan Perangkaan Malaysia itu kepada Sultan Selangor.

“Kita sudah melihat kejayaan seperti dilaporkan dan Belanjawan Selangor 2018 akan fokus kepada usaha menambah baik semua program untuk manfat langsung kepada rakyat,” katanya.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan purata pendapatan isi rumah di luar bandar Selangor menunjukkan peningkatan mendadak menerusi kadar pertumbuhan sebanyak 12.3 peratus dalam tempoh dua tahun sehingga 2016.

Sementara itu, purata pendapatan isi rumah di bandar pula bertumbuh 6.9 peratus setahun.

Untuk keseluruhan, purata pendapatan di Selangor mencatat pertumbuhan 7.5 peratus setahun daripada RM6,214 pada 2014 kepada RM7,225 pada 2016.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kemukakan cadangan Belanjawan Selangor 2018

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 OKT: Rakyat Selangor disaran untuk memberi sebarang maklum balas dan cadangan bagi membentuk bajet tahunan negeri untuk tempoh 2018.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia boleh dikemukakan secara terus menerusi laman sosial Twitter rasmi milik Dato’ Menteri Besar itu.

“Maklum balas akan saya bahaskan bersama pasukan Belanjawan 2018. Mohon cadangan dan saranan,” tulisnya di Twitter.

Terdahulu, Kerajaan Negeri bakal membentangkan Belanjawan 2018, 3 November ini.

Sebelum ini, Mohamed Azmin berkata Belanjawan Negeri bakal memberi fokus kepada semua golongan menerusi kepelbagaian program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membabitkan semua peringkat.

Malah katanya, Kerajaan Negeri juga akan mengambil kira dan menjadikan pembangunan anak muda sebagai fokus tahun depan.

Sementara itu di Twitter, Mohamed Azmin turut membuat pengundian secara atas talian berhubung keutamaan prospek Belanjawan 2018 Selangor.

Hasil undian pengguna Twitter sehingga jam 12.40 tengah hari ini, pengguna sosial memilih 50 peratus aspek kebajikan rakyat sebagai teras utama Belanjawan Negeri.

Ia diikuti aspek pendidikan sebanyak 34 peratus, kesihatan dan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebanyak 8 peratus.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Tiada istilah belanjawan pilihan raya di Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJONG KARANG, 7 OKT: Tiada istilah belanjawan pilihan raya di Selangor seperti amalan Kerajaan Persekutuan tetapi sebaliknya Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaannya setiap masa dalam merangka belanjawan tahunannya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sama seperti tahun sebelumnya, pada November nanti beliau sekali lagi membentangkan belanjawan peduli rakyat bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri itu dapat diteruskan.

“Di Selangor tiada istilah belanjawan pilihan raya tetapi yang ada hanyalah belanjawan peduli rakyat seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat dan Ramah Mesra Bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Masjid Al-Munawarah, Sawah Sempadan di sini, semalam.

RAKYAT SELANGORSebelum itu ketika menyampaikan ucapan di hadapan lebih 500 penduduk di majlis sama, Mohamed Azmin berkata, barisan exco dan pegawai tinggi Kerajaan Negeri berusaha memahami denyut nadi rakyat terbanyak dengan mengadakan program turun ke padang.

“Mana mungkin pemimpin bangsawan memahami kesusahan yang ditanggung rakyat,” katanya.

Terdahulu, Belanjawan Selangor sering menjadi perhatian penganalisis ekonomi dan rakyat dalam dan luar Selangor ekoran pelbagai inisiatif disediakan untuk rakyatnya.

Selain itu, sering terdapat elemen kejutan dalam Belanjawan Selangor apabila kerap menampilkan idea segar yang kemudiannya menjadi ikutan Kerajaan Persekutuan dan negeri lain.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2018: Skim khusus angkat martabat petani, pesawah

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJONG KARANG, 7 OKT: Nasib pesawah dan petani di Selangor sentiasa mendapat perhatian Kerajaan Negeri apabila satu skim khusus bakal diumumkan bagi mengangkat martabat golongan itu dalam Belanjawan 2018 Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri juga akan memastikan keselesaan penduduk dengan memberi perhatian terhadap isu jalan raya walaupun sebahagiannya di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Pada tahun lepas mereka menghadapi masalah penyakit hawar daun bakteria (BLB), kita segera turun memberikan bantuan dan pada tahun ini pesawah menghadapi masalah penurunan hasil pendapatan kerana masalah yang sedang dihadapi mereka.

“Saya dimaklumkan jalan kampung, jalan PLB, jalan ladang masih memerlukan perhatian walaupun sebahagiannya dalam bidang kuasa Persekutuan tetapi saya akan bincang dengan Pegawai Daerah dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), bagaimana kita dapat salurkan peruntukan untuk memberikan keselesaan kepada penduduk kampung berkenaan,” katanya.

BANGUNAN SUKBeliau berkata demikian pada Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat dan Ramah Mesra Bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Masjid Al-Munawarah, Sawah Sempadan di sini, semalam.

Jelasnya, sebelum itu beliau ada menerima emel panjang daripada Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Rozana Zainal Abidin yang memberitahu beberapa isu membabitkan pesawah dan petani dengan panjang lebar yang memerlukan pembelaan.

Katanya, selain skim khusus untuk golongan petani dan pesawah, Kerajaan Negeri juga akan mengumumkan bantuan kepada beberapa sekolah agama di negeri itu dalam belanjawan nanti.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

Belanjawan 2018 MBSA anggar hasil RM461.8 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengumumkan Belanjawan 2018 iaitu belanjawan defisit, dengan anggaran hasil RM461.8 juta dan anggaran perbelanjaan RM484.3 juta.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, defisit RM22,535,860 juta bakal ditampung dengan rezab MBSA.

“Diharap dengan Belanjawan 2018 ini, MBSA akan dapat merancang dan meningkatkan perkhidmatan perbandaran seperti kutipan sisa pepejal, pembersihan awam, penyenggaraan jalan dan longkang.

“MBSA juga berhasrat membina lebih banyak kemudahan dan infrastruktur awam seperti gerai serta kemudahan sukan dan riadah untuk manfaat dan kesejahteraan masyarakat di kawasan pentadbiran MBSA,” katanya.

MBSA04Pembentangan Belanjawan 2018 diumumkan Datuk Bandar, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad ketika Mesyuarat Penuh, di Wisma MBSA, di sini, pada 27 September lalu.

Shahrin berkata, MBSA turut memperuntuk hampir RM20 juta untuk melaksanakan 10 projek pembangunan di kawasan pentadbirannya di bawah Belanja Pembangunan.

Ia termasuk kerja membina gerai di Seksyen U6 dengan kos RM4 juta, membina gerai dua tingkat di Jalan U10/A (RM3 juta), meningkatkan kualiti air di Taman Tasik Shah Alam (RM2 juta), membina Pusat Sukan Lasak dan Trek Basikal Kanak-kanak di Taman Tasik Shah Alam (RM2 juta) dan membina Trek Basikal sepanjang 21km (RM2 juta).

Projek lain meliputi kerja menaik taraf sistem saliran projek tebatan banjir Seksyen 25 (RM1.5 juta), membina gerai dan kedai dua tingkat di Jalan Utas 15/7 (RM1.5 juta), mereka bentuk dan membina Pusat Perkhidmatan Setempat di Wisma MBSA (RM1.2 juta).

Turut sama diberi fokus adalah membina kiosk di Seksyen U19, Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen 20 dan Jalan NU5/N, Seksyen U5 (RM1 juta) serta meroboh dan membina semula 20 unit gerai di Seksyen 17 (RM1 juta).

=EZY=

Categories
SELANGOR

Meja Bulat Belanjawan 2018 ruang kongsi beri cadangan bernas

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 SEPT: Penganjuran sesi perbincangan bagi pembentangan Belanjawan 2018 memberi ruang pelbagai pihak berkongsi idea demi manfaat negeri dan rakyat keseluruhannya.

Pengasas Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), Datuk Boonler Somchit, berkata langkah Kerajaan Negeri mengadakannya adalah tepat untuk rumusan bernas bagi tujuan berkenaan.

“Perbincangan seperti ini bagus kerana memberi kesempatan banyak pihak mengemukakan idea dan berkongsi kepakaran mengenai pembentangan belanjawan 2018 yang akan dilaksanakan.

Meja Bulat“Dengan ini ia menghasilkan satu gerak kerja baik menerusi perkongsian pelbagai input diperoleh maka strategi sebegini memang bagus,” katanya kepada SelangorKini.

Boonler adalah salah seorang panelis dalam Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2018 dianjurkan Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Mantan Setiausaha Agung Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria berkata, Kerajaan Negeri perlu terus mempertingkatkan pencapaian ekonomi dengan mempelbagaikan aktiviti dan meneroka pasaran baru demi kemajuan negeri.

“Aktiviti termasuk industri harus terus dipertingkatkan dengan menarik lebih banyak pelaburan ke Selangor ke arah memperkukuhkan pencapaian ekonomi dan mampu menyediakan belanjawan baik demi manfaat bersama.

“Dengan cara itu, rakyat mendapat peluang turut serta dalam industri dan teknologi baru dibawa masuk dari luar demi masa depan dan kemajuan negeri,” kata panelis itu lagi.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan Selangor 2018 fokus pembangunan belia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Belanjawan Selangor 2018 dijangka akan memfokuskan golongan belia iaitu tunjang kepada pembangunan sesebuah negara.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana Selangor mempunyai pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membabitkan semua peringkat, bahkan rizab yang tinggi membolehkan negeri itu memfokuskan pelbagai golongan.

“Program IPR hanya di Selangor. Tiada satu negeri yang mempunyai program terbaik seperti ini antaranya program Peduli Sihat. Di Johor dan Perak atau negeri lain tidak ada.

“Begitu juga program kepada peniaga untuk membesarkan perniagaan termasuk yang tiada modal.

Azmin“Menerusi program ini, kita membantu ramai peniaga bukan Nasi Lemak Anak Dara sahaja tapi bila saya turun Umno marah kata makcik tua tidak tolong,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Tabung Komuniti Selangor dan Makan Malam Bersama Sukarelawan Selangor di Midlands Convention Centre, di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mengambil kira dan menjadikan pembangunan anak muda sebagai fokus tahun depan.

“Bagi program Hijrah, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM240 juta kepada 35,000 peniaga. Manakala, sejumlah RM1.92 bilion sudah dibelanjakan bagi keseluruhan program IPR dan kita mempunyai rizab hampir RM4 bilion, setakat ini.

“Jika kita tidak belanjakan bagi program itu, rizab akan melebihi RM6 bilion. Namun, saya percaya lebih banyak memberi, lebih banyak pulangan yang kita akan dapat,” katanya.