Categories
NASIONAL

Anwar: bakar kitab Bible bukan tradisi Islam

Oleh : AFEEQA AFEERA

PARLIMEN, 9 OKT : Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kekesalannya terhadap Putrajaya yang mempertahankan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berhubung ancamannya untuk membakar Bible bahasa Melayu untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

Sebaliknya, tegas Ketua Pembangkang itu tiada dalam tradisi agama Islam untuk mengugut serta membakar kitab suci mana-mana agama.

anwar“Saya kesal jawapan yang diberikan Menteri (Nancy Syukri) kerana beliau perlu lebih bertanggungjawab.

“Mana ada dalam tradisi Islam mengugut untuk membakar kitab agama mana-mana sekalipun.

“Ini gambaran yang diberikan bahawa kerajaan ini memilih untuk mendakwa dan memberikan ruang yang bebas untuk orang membuat kenyataan paling tidak bertanggungjawab,” katanya di ruang legar Parlimen hari ini.

Anwar berkata menteri berkenaan juga perlu menghormati undang-undang serta menjaga ketenteraman awam serta kerjasama antara masyarakat pelbagai kaum.

Semalam, Putrajaya mempertahankan tindakan Ibrahim yang didakwa membuat ugutan membakar kitab Bible berbahasa Melayu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Syukri berkata presiden Perkasa itu tidak berniat untuk menimbulkan kekecohan agama tetapi hanya mempertahankan kesucian agama Islam.

Nancy Syukri ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata kenyataan Ibrahim itu ditujukan kepada individu tertentu yang menyebarkan Bible versi bahasa Melayu Jawi.

Menurut Nancy, oleh kerana itu, tiada pendakwaan dilakukan terhadap Ibrahim.

Dalam soalan di Dewan Rakyat semalam, Lim meminta Perdana Menteri menjelaskan mengapa presiden Perkasa itu tidak didakwa mengikut Akta Hasutan berikutan ugutannya membakar Bible.

Laporan polis dibuat terhadap Ibrahim dan beliau dipanggil untuk direkod keterangan, tetapi tiada tindakan susulan.

HM

Categories
SELANGOR

MB: Isu Bible akan ditentukan selepas bertemu MAIS, JAIS

Oleh AFIX REDZUAN

HULU KELANG, 6 OKT: Isu pemulangan semula kitab Bible berbahasa Melayu dan Iban yang diambil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana mengandungi kalimah Allah akan ditentukan selepas pertemuan dengan Majlis Agama Islan Negeri Selangor (MAIS).

Datuk Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata beliau belum mahu memutuskan perkara ini sebelum beliau mendengar penjelasan daripada pihak JAIS.

“Saya belum mendapat penjelasan daripada Jais dan Mais. Itu perkara selanjutnya akan kita bincang sebab yang kita tumpukan minggu lepas adalah isu air dan beberapa perkara lain,” katanya kepada media di majlis sambutan Aidiladha bersama rakyat di Hulu Klang.

Pada 19 Jun lalu, Jais dititahkan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya merujuk isu pengambilan 300 kitab Bible dari Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) itu kepada pihak pendakwa raya supaya diselesaikan menerusi proses mahkamah.

“Tindakan ini perlu dilakukan demi menjaga kedaulatan undang-undang dan sensitiviti kedua-dua belah pihak yang terlibat,” kata Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan itu.

Azmin, ketika ditanya sama ada Kitab Bible tersebut masih berada dalam simpanan Jais, mengatakan setakat ini belum ada sebarang maklumat mengenainya dan akan berbincang bersama Jais.

“Tertakluk kepada perbincangan nanti. Tidak adil adil untuk saya membuat keputusan sekarang sebelum saya dapat maklumat,” jelasnya.

HM

Categories
SELANGOR

MB: Jangan buat spekulasi, 321 bible tidak dimusnahkan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 JUN: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan 321 Bible yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) awal Januari lalu sudah dilupuskan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata, kitab itu masih ada di bawah jagaan dan pemantauan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan tidak pernah diserahkan kepada pihak Peguam Negara.

bible bahasa melayuAbdul Khalid turut memaklumkan keputusan sama ada menyerahkan kembali Bible kepada BSM atau tidak kini dalam proses pelaksanaan dan masih menunggu laporan daripada Peguam Negara.

“Kita sedang menunggu laporan daripada Peguma Negara bagi proses pelaksanaan. Kita akan laksanakannya secepat mungkin dan apabila saya dapat laporan itu baru akan beritahu apa yang berlaku.

“Dimusnahkan? Tidak ada. Jangan buat spekulasi buruk,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco, di Bangunan SUK, di sini, hari ini.

_MG_6215 copyBaru-baru ini, isu pemulangan Bible mula kembali panas apabila Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengeluarkan kenyataan tidak menyokong keputusan Peguam Negara yang enggan mengenakan sebarang pendakwaan ke atas penggunaan kalimah ALLAH dalam kitab yang dicetak dalam bahasa Melayu dan Iban itu serta menolak dipulangkan kembali kepada BSM.

Bagi menyelesaikan konflik itu, beberapa siri pertemuan diadakan dengan JAIS dan MAIS untuk perbincangan sebelum Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor berkenaan perkara itu sebanyak dua kali, pada minggu lalu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: Ugut ‘pancung kepala’, tindakan Perkasa jejas imej Islam

SHAH ALAM 24 JUN: Kerajaan Selangor kesal dengan ugutan “memancung kepala” yang dibuat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang hanya memberi kesan buruk kepada keharmonian pelbagai bangsa dan agama.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ugutan dibuat Perkasa itu tidak memberi manfaat bahkan ia memberi persepsi negatif terhadap Islam yang menitikberatkan persaudaraan, keadilan, keharmonian, saling hormati menghormati dan kesederhanaan.

MB“Kita melihat kenyataan sebegitu hanya mencerminkan pemikiran tidak bertamadun dan perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia terutama masyarakat Islam,” kata Abdul Khalid dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, Kerajaan Selangor menyeru semua pihak berhenti mengambil kesempatan di atas isu Bible demi kepentingan diri atau politik.

“Dan menghormati titah DYMM Sultan Selangor agar kes ini diserahkan kepada mahkamah,” kata Abdul Khalid.

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor titah isu BSM dirujuk kepada pendakwa raya

SHAH ALAM 19 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya merujuk isu Bible yang diambil kepada pihak pendakwa raya.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Baginda Sultan bertitah supaya isu melibatkan Bible yang ambil daripada Pertubuhan Bible Malaysia (BSM) itu diselesaikan menerusi proses mahkamah.

Jais-logo kecik“JAIS perlu segera merujuk perkara ini kepada pihak pendakwa raya untuk tujuan rujukan di mahkamah.

“Tindakan ini perlu dilakukan demi menjaga kedaulatan undang-undang dan sensitiviti kedua-dua belah pihak yang terlibat,” kata Mohamad Munir dalam kenyataannya.

Mohamad Munir juga berkata Baginda Sultan mahu pertikaian sama ada memulangkan atau untuk melupuskan barang kes boleh diputuskan di mahkamah.

“Prosedur undang-undang menetapkan pelupusan barang kes yang dirampas semasa serbuan dan siasatan boleh dirujuk oleh pihak pendakwa raya kepada mahkamah bagi mendapatkan satu perintah sama ada perintah pelupusan atau perintah pemulangan,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadap Sultan Selangor di istana bagi mengemukakan cadangan pemulangan semula Bible kepada PBM.

Bagaimanapun, Abdul Khalid selepas pertemuan berkata keputusan penuh akan diketahui pada Isnin depan.

EZY

JURNAL BERITA : Najib selalu ‘ponteng’, hanya 26 kali datang Parlimen

Sinopsis

1. ‘Citizen Journalist’ tingkat kualiti penerangan, perkongsian terkini program setempat

2. Pembinaan ‘billboard’ bernafas baru, tingkat penerangan MES

3. MB menghadap DYMM Sultan Selangor esok, bentang isu bible

4. 43 projek ‘Selangorku Sejahtera’ dibangun bawah PBT

5. Exco Perumahan cabar MBSA, MBPJ capai taraf 5 bintang

6. Najib selalu ‘ponteng’, hanya 26 kali datang Parlimen sejak jadi PM

7. PR Selangor terbuka benarkan ADUN pembangkang sertai mesyuarat PBT

8. Pengiktirafan pasukan PANTAS wajar, tingkat penyelesaian masalah bencana

9. Kolam alternatif patuhi piawaian kualiti air mentah

10. Lebih 700,000 pokok ditanam jayakan kempen Hijaukan Bumi

11. Fuziah, Surendran diarah keluar Dewan Rakyat

12. AKTIVITI YB: Masak lauk sekampung gegar Kampung Bahagia

http://tv.selangorku.com

Categories
SELANGOR

MB menghadap DYMM Sultan Selangor esok, bentang isu bible

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 JUN: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pemulangan kitab Bible kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM).

Abdul Khalid berkata, beliau akan membentangkan beberapa pilihan yang dicapai hasil perbincangan dengan anggota Exco Negeri berhubung isu berkenaan di hadapan Sultan, pada 18 Jun ini (esok).

Katanya, keputusan berhubung isu itu perlu dilaksanakan dengan tatacara dan prosedur yang betul berdasarkan pandangan Kerajaan Negeri dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), selain keputusan yang diputuskan Peguam Negara (AG) sebelum ini.

bible bahasa melayu“Semalam (16 Jun) ada perbincangan bersama MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), manakala hari ini dengan Exco, selepas itu kalau ada ketetapan saya akan hadap Tuanku Sultan esok, kemudian baru ada pengumuman berkenaan sebarang keputusan.

“Saya akan beri kepada Tuanku pilihan yang dipersetujui kita.Sudah tentu akan pulangkan tetapi prosesnya perlu dilakukan dengan betul,” katanya di Lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya hasil perbincangan bersama MAIS berhubung pemulangan kitab Bible kepada BSM dan turut menafikan perbincangan berlangsung dalam keadaan tegang, petang semalam (17 Jun).

khalid dun 5“Bila berbincang, sudah tentu ada perbezaan dan kita hanya bersetuju berbincang berkenaan ketetapan yang boleh dilakukan dan tidak seharusnya boleh selesai dalam hari ini. Boleh jadi, Exco juga ada beberapa pandangan,” katanya.

Pada 12 Jun lalu, Peguam Negara memutuskan kes BSM ditutup kerana tidak ada isu untuk didakwa dan menasihatkan Kerajaan Negeri mengikut proses undang-undang dalam mengendali barang kes yang diambil daripada persatuan itu.

Kerajaan Negeri kemudiannya meminta JAIS mendapat khidmat nasihat Exco Agama, Salehen Mukyi dan Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman berkenaan prosedur dan tatacara menurut peruntukan undang-undang bagi tindakan lanjut yang perlu diambil.

Bagaimanapun, MAIS dalam kenyataannya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara menutup kes dan mendakwa Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan JAIS memulangkan barang kes kepada BSM.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu Bible: MB panggil Exco, MAIS & Penasihat Undang-Undang bincang kes

Selangor ambil perhatian kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dato’ Adzib Mohd Isa berkenaan isu rampasan Bible versi Bahasa Melayu dan Iban milik Persatuan Bible Malaysia (BSM).

Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi untuk memanggil mesyuarat bersama Mufti Negeri Dato’ Seri Setia Haji Mohd Tamyes Abd. Wahid, EXCO Agama YB Salehen Mukyi, Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman serta wakil MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengadakan perbincangan pada minggu hadapan.

“Kerajaan Negeri akan cuba mendapatkan persetujuan bersama sebelum mengadap DYMM Sultan Selangor untuk kata putus,” kata Menteri Besar.

Khamis lalu, Peguam Negara telah memutuskan kes BSM ditutup kerana tiada kes untuk didakwa dan menasihatkan Kerajaan Negeri untuk mengikut proses undang-undang dalam mengedali barang kes yang diambil daripada BSM.

Kerajaan Negeri kemudiannya meminta Jais mendapat khidmat nasihat YB Salehen dan Datuk Nik Suhaimi tentang prosedur dan tatacara menurut peruntukan undang-undang bagi tindakan lanjut yang perlu diambil.

Terdahulu, MAIS dalam kenyataannya mengatakan tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara menutup kes dan mendakwa Kerajaan Negeri tiada kuasa untuk mengarahkan JAIS memulangkan barang kes kepada BSM.

DIKELUARKAN OLEH SEKRETARIAT AKBHAR PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
SELANGOR

MB beri tempoh sebulan kepada AG respon isu pengambilan Bible

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 4 JUN : Kerajaan Negeri memberi tempoh sehingga bulan depan kepada Peguam Negara (AG) untuk mengemukakan respon berhubung isu rampasan Bible sebelum ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tempoh itu difikirkan sesuai memandangkan kes pengambilan bible itu sudah memasuki tempoh enam bulan kini.

MB“Kami masih menanti Peguam Negara untuk menyelesaikan perkara ini dan kita meletakkan sasaran, jika tidak, Menteri Besar akan berjumpa dengan Peguam Negara.

“Jadi kita anggap sebulan lagi adalah masa yang boleh diterima,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini.

Pada awal tahun ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak mengambil lebih 300 kitab Bible dalam Bahasa Melayu daripada premis Persatuan Bible Malaysia (PBM).

Berikutan pengambilan itu, pelbagai pihak mendesak Kerajaan Negeri bertindak lebih tegas seterusnya memulangkan semula kitab Bible itu.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri akan merujuk perkara berkenaan kepada AG atas nasihat pegawai undang-undang negeri sementara menunggu sebarang keputusan selanjutnya.

Pada masa sama, beliau menegaskan tindakan Kerajaan Negeri berhubung isu pengambilan Bible dilakukan mengikut undang-undang.

EZY

Categories
SELANGOR

Rampasan Bible dilaksana mengikut undang-undang, tidak ada agenda lain

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 APRIL: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sekali lagi menegaskan tindakan Kerajaan Negeri berhubung isu rampasan Bible dilakukan mengikut undang-undang.

Beliau berkata, keputusan semasa dibuat berasaskan kedudukannya sebagai ketua pentadbiran negeri dan bukan atas agenda lain.

Katanya, tindakan merujuk kepada Peguam Negara (AG) juga dilakukan atas nasihat pegawai undang-undang negeri sementara menunggu sebarang keputusan selanjutnya.

IMG_8932“Saya menjalankan satu tugas, sebagai orang yang memimpin negeri kena ambil kira kepentingan undang-undang dan pentadbiran.

“Keputusan juga perlu mengambil kira peranan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) dan MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) dalam kerja yang kita lakukan,” katanya pada sidang media di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan sesetengah pihak yang mahu Kerajaan Negeri bertindak lebih tegas seterusnya memulangkan semula kitab Bible yang dirampas.

Pada awal tahun ini, JAIS bertindak merampas lebih 300 kitab Bible dalam Bahasa Melayu daripada premis Persatuan Bible Malaysia (PBM).

bible bahasa melayuMenjawab soalan lain, Abdul Khalid juga menafikan tindakan menanti keputusan AG dibuat sebagai satu teknik ‘permainan selamat’ dalam menghadapi pemilihan PKR yang bermula hujung bulan ini.

“Saya jalankan tugas ini dan tidak ada kaitan dengan pemilihan, sebab kalau tidak betul, ada juga tidak marah dan sokong. Jadi, saya akan buat secara tertib dan teratur dalam menangani isu ini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PKR tawar jadi orang tengah bantu selesai isu rampasan Bible

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 3 JAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menawarkan diri menjadi orang tengah bagi mempertemukan semua pihak yang terbabit dalam kes rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya isu berkenaan dapat diselesaikan segera.

Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata PKR menyatakan rasa prihatin terhadap konflik yang berlaku dan berpendapat segala salah faham serta prejudis di kalangan sebahagian penganut agama Islam dan Kristian boleh diselesaikan secara praktis juga harmoni.

Nur-Manuty“PKR yakin pendekatan berhikmah dalam menangani isu keagamaan adalah cara terbaik bagi mengelakkan ketegangan antara penganut agama Islam dan Kristian di negara ini berterusan.

“Sesungguhnya, ketegangan hidup beragama adalah bertentangan dengan prinsip beragama, Perlembagaan Malaysia dan amalan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Muhammad berharap dialog dan rundingan yang bakal dianjurkan kelak dapat memberi kesedaran serta kefahaman berkenaan kepentingan budaya dialog antara masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR berkata, pertemuan berkenaan akan menjadi medan sesuai yang bersifat interaktif dan akan mengumpulkan pandangan secara objektif berkenaan keresahan serta kebimbangan sebenar masyarakat pelbagai agama untuk dicari penyelesaian terbaik oleh semua pihak.

Semalam, JAIS menyerbu Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara dan merampas 300 Bible dalam bahasa Iban dan Melayu.

JAIS turut menahan dua pegawainya iaitu Pengerusi PBM, Lee Min Choon dan Setiausaha Agung, Simon Wong untuk dibawa ke Balai Polis Damansara Utama.

Pada masa sama, Dr Muhammad berkata, konflik dan ketegangan negara masa kini menampakkan dengan jelas bahawa perhubungan dan persefahaman rakyat Malaysia masih berada ditahap membimbangkan.

“Justeru, bagi mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku, PKR sentiasa menganjurkan supaya disuburkan budaya interaktif untuk mewujudkan iklim kondusif ke arah kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” katanya.

-NFN-