Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pusat nilai Covid-19 dibuka setiap hari, atasi limpahan pesakit

SHAH ALAM, 15 JULAI: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Selangor akan dibuka setiap hari berbanding Isnin hingga Jumaat seperti sebelum ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu telah dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam pertemuan mereka semalam susulan kesesakan berlaku di Stadium Malawati dan Sri Andalas.

“Hal ini bagi mengatasi limpahan pesakit Covid-19 ketika hujung minggu yang dibawa sehingga Isnin. Justeru, saya menyuarakan kepadanya (Dr Noor Hisham) dan beliau setuju pusat penilaian dibuka setiap hari.

“Mereka yang didapati positif Covid-19 pada hari minggu masih boleh hadir ke CAC dan menilai tahap kesihatan pada hari tersebut,” katanya ketika bersiaran secara langsung menerusi Agenda Awani bertajuk Mengurus Peningkatan Kes Di Selangor di Astro Awani malam tadi.

Pada masa sama, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan memperluas promosi kewujudan CAC di daerah lain bagi mengatasi kesesakan seperti yang berlaku di Stadium Malawati dan Sri Andalas.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman baru-baru ini berkata sebanyak 34 CAC telah disediakan di seluruh daerah bertujuan menilai pesakit Covid-19.

CAC ditubuhkan pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi CAC Stadium Malawati, Sri Andalas terkawal lepas ditambah baik

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kehadiran orang ramai di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati di sini hari ini dilihat terkawal dengan jumlah kehadiran tidak seramai berbanding Isnin lepas susulan beberapa penambahbaikan yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM).

Tinjauan Bernama di CAC Stadium Malawati hari ini mendapati keadaan lebih teratur berbanding sebelum ini ekoran peningkatan kes Covid-19 di Selangor akhir-akhir ini, sehingga menyaksikan kawasan berkenaan menjadi tumpuan individu yang menetap di daerah Petaling bagi menjalani saringan Covid-19.

Jurucakap Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata beberapa penambahbaikan dilakukan sejak Isnin termasuk memperluaskan ruang Bahagian Kecemasan yang dilengkapi tangki oksigen manakala satu kawasan baharu dibuka di pekarangan stadium itu bagi tujuan saringan ke atas pekerja industri.

Jumlah pegawai perubatan serta ambulans turut ditambah, selain ruangan tempat duduk penonton di dalam arena stadium dipenuhkan bagi mengurangkan jumlah pengunjung yang berada di luar stadium.

CAC Stadium Malawati juga menerima sumbangan 10 buah khemah daripada Kerajaan Selangor, 14 buah khemah daripada Pasukan Bantuan dan Tindakan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) di samping sumbangan kotak makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Sementara itu, keadaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) daerah Klang di Dewan Taman Sri Andalas juga didapati lebih teratur dan terkawal berbanding hari pertama pengoperasian pusat berkenaan, Isnin lepas.

Tinjauan Bernama di sekitar CAC Andalas mendapati walaupun jumlah individu yang hadir untuk menjalani saringan Covid-19 dilihat agak ramai dan terpaksa beratur panjang, keadaan masih terkawal.

Semalam, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pengurusan CAC di Selangor akan ditambah baik khususnya berkaitan proses pendaftaran pesakit, bekalan tangki oksigen dan penambahan bilangan petugas kesihatan.

Dalam pada itu, tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam yang ditutup semalam ekoran penularan kes Covid-19 dalam kalangan petugasnya, mendapati aktiviti pemberian vaksin kembali beroperasi seperti biasa hari ini.

Susulan penutupan sehari PPV itu bagi tujuan sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 6,000 janji temu suntikan vaksin dijadualkan semula.

Hanya individu yang divaksin sahaja dibenarkan masuk dan menaiki lif yang diselia oleh petugas PPV dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pergi pusat penilaian Covid-19 terdekat jika Stadium Malawati sesak

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai di Selangor supaya memilih lokasi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) terdekat bagi mengelak kesesakan di Stadium Malawati Shah Alam.

Menerusi perkongsian di Twitternya, Dr Noor Hisham berkata terdapat 12 lagi CAC di negeri itu yang boleh dikunjungi orang ramai iaitu masing-masing satu di daerah Klang dan Hulu Selangor serta 10 di daerah Gombak.

Berdasarkan infografik dikongsi, CAC daerah Klang terletak di Dewan Sukan Klang (Dewan Sri Andalas) sementara CAC daerah Hulu Selangor adalah di Klinik Desa Ulu Yam Lama.

Selain itu di daerah Gombak, CAC yang boleh dikunjungi adalah Klinik Kesihatan (KK) Kuang; KK Batu 8; KK AU2; KK Hulu Kelang; KK Taman Ehsan; KK Batu Arang; KK Sungai Buloh; KK Selayang Baru; KK Rawang dan KK Gombak Setia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor tingkat kapasiti CAC, nilai semua aspek

SHAH ALAM,13 JULAI: Kerajaan Negeri terus bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi meningkatkan kapasiti Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua aspek diambil kira termasuk faktor jumlah kakitangan dan sukarelawan perubatan serta lokasi yang sesuai.

“Warga Selangor boleh merujuk senarai CAC terkini bagi sembilan daerah di negeri ini.

“Sekiranya dikesan positif, mereka boleh hadir ke CAC di daerah masing-masing bagi mengelakkan kesesakan dan memudahkan urusan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

CAC yang dibangunkan akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kuarantin di rumah atau dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit akan dirujuk ke hospital.

JKNS menasihatkan orang ramai berkunjung ke CAC daerah masing-masing. Berikut senarai CAC di Selangor:

1.Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling
– Stadium Melawati Shah Alam

2.PKD Klang
-Klinik Kesihatan (KK) Pulau Indah
-KK Sungai Bertik
-KK Bukit Kuda
-KK Meru
-KK Bandar Botanik

3.PKD Gombak
-KK Kuang
-KK Batu 8
-KK Taman Ehsan
-KK Batu Arang
-KK AU2
-KK Hulu Klang
-KK Sungai Buloh
-KK Selayang Baru
-KK Rawang
-KK Gombak Setia

4.PKD Hulu Selangor
-Klinik Desa Ulu Yam Lama

5.PKD Kuala Langat
-Dewan AIM Point, Bandar Sungai Emas, Banting

6.PKD Sepang
-Stadium Mini Bandar Baru Salak Tinggi
-Dewan Orang Ramai Dengkil

7.PKD Kuala Selangor
-KK Bestari Jaya

8.PKD Sabak Bernam
-KK Sg Besar
-KK Sg Lima
-KK Sekinchan
-KK Sabak Bernam
-KK Parit Baru
-KK Sungai Air Tawar
-KK Bagan Terap
-KK Merbau Berdarah

9. PKD Hulu Langat
-Dewan Komuniti Taman Kajang Utama
-Dewan Komuniti Bandar Mahkota Cheras

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 4,000 hadir ke CAC Stadium Malawati sejak pagi

SHAH ALAM, 12 JULAI: Hampir 4,000 individu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13 hari ini bagi membuat penilaian kesihatan.

Pegawai Perubatan CAC Dr Ziti Akhtar Supian berkata jumlah berkenaan antara yang tertinggi direkodkan sejak dibuka lima bulan lalu.

“Dari pagi tadi jumlah pengunjung termasuk pesakit Covid-19 tidak berkurang sehingga jam 4 petang ini. Bagaimanapun kita tidak dapat pastikan jumlah sebenar.

“Berdasarkan pemerhatian, kami yakin jumlah yang datang ini mencecah 4,000 individu,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, tular di media sosial kesesakan di CAC berkenaan susulan peningkatan kes positif wabak sejak kebelakangan ini.

Orang ramai termasuk bayi dan warga emas terpaksa beratur lebih 500 meter selain ada pesakit yang membawa beg pakaian sebagai persediaan sekiranya ditahan di pusat kuarantin.

CAC bagi daerah Petaling itu beroperasi sejak 8 Februari lalu dengan kapasiti seramai 1,000 hingga 1,200 pesakit untuk dinilai sehari.

Pada Mei, Kerajaan Selangor menyediakan 20 khemah dilengkapi kipas, kerusi dan sistem audio untuk kegunaan pesakit dan petugas kesihatan di CAC terbabit.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

7,000 kit kesihatan diagih ke semua CAC di Selangor

SHAH ALAM, 9 JULAI: Sebanyak 7,000 kit penilaian di rumah yang membantu pesakit Covid-19 memantau tahap kesihatan ketika kuarantin akan diagih ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di negeri ini.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata sebanyak 1,000 kit termasuk oximeter atau penukur kandungan oksigen dalam tubuh diberi kepada pesakit kategori satu dan dua di CAC Stadium Malawati semalam.

“Pesakit perlu mengemas kini tahap kesihatan menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) setiap dua kali sehari bagi membolehkan doktor melakukan pemantauan.

“Menerusi aplikasi ini, doktor memantau keadaan terkini pesakit berdasarkan kadar oksigen dalam darah selain menentukan sama ada mereka perlu dimasukkan ke hospital atau sebaliknya,” katanya selepas sesi serahan kit berkenaan di sini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Pakej Kita Selangor 2.0, peruntukan RM1.25 juta bagi membekal kit berkenaan kepada individu yang dikesan positif.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesakit Covid-19 disaran ke CAC daerah, elak sesak di Stadium Malawati

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pesakit Covid-19 dinasihatkan ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di kawasan berhampiran di negeri ini untuk tindakan dan rawatan susulan.

Pengarah kesihatan Selangor berkata sebanyak 34 pusat tersebut telah disediakan di seluruh daerah bertujuan untuk menilai golongan berkenaan.

“Jika anda dikesan positif, saya menyeru supaya hadir ke pusat penilaian berhampiran. Hal ini bagi mengelak berlakunya kesesakan terutama yang berlaku semalam di Stadium Malawati, Shah Alam.

“Saya faham ramai orang memilih CAC ini (Stadium Malawati) kerana kawasan parkir yang luas, mudah dan besar. Namun, saya amat berharap mereka dijangkiti pergi ke daerah masing-masing,” kata Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata demikian ketika program Urus Situasi Kritikal PKPD di Selangor menerusi siaran langsung Agenda Awani malam ini.

CAC ditubuhkan pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Perintah Kawapan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuat kuasa membabitkan 34 mukim di lapan daerah di Selangor selama 14 hari bermula Sabtu lalu hingga 16 Julai.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perubahan butiran pusat penilaian Covid-19 Sepang

SHAH ALAM, 21 JUN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan berlaku perubahan butiran Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang.

Ia membabitkan penambahan e-mel CAC yang terletak di Dewan Orang Ramai Dengkil iaitu [email protected].

“Sekiranya anda pesakit Covid-19 yang menjalani rawatan di rumah dan mengalami sebarang gejala, sila hubungi nombor CAC dan pasukan pemantauan di rumah akan membantu anda.

“Sekiranya gejala anda bertambah teruk, sila hubungi 999 atau ke hospital terdekat dengan kenderaan sendiri,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Orang ramai boleh merujuk senarai lengkap nombor telefon beserta hari dan waktu operasi CAC seluruh negeri menerusi Facebook JKNS.

CAC dibentuk pada akhir Januari bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Perubahan butiran pusat nilai Covid-19 di empat daerah

SHAH ALAM, 13 JUN: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di empat daerah mengalami perubahan butiran melibatkan lokasi, waktu operasi dan nombor telefon.

Jabatan Kesihatan Daerah Selangor (JKNS) memaklumkan CAC yang terlibat ialah Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak, Kuala Langat, Sepang dan Hulu Selangor.

“Sekiranya anda pesakit positif Covid-19 yang menjalani rawatan di rumah dan mengalami sebarang gejala, sila hubungi nombor CAC. Pasukan pemantauan di rumah akan membantu anda.

“Sekiranya gejala anda bertambah teruk, sila hubungi 999 atau ke hospital terdekat dengan kenderaan sendiri,” katanya menerusi Facebook.

Orang ramai boleh melayari Facebook rasmi JKNS untuk mendapat maklumat lanjut mengenai CAC.

Kemas kini butiran CAC di klinik kesihatan empat daerah:

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM wujud tiga pusat panggilan bantu CAC, satu di Selangor

SHAH ALAM, 9 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) akan mewujudkan tiga pusat panggilan bagi menambah baik proses pemantauan pesakit oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Ketua pengarah kesihatan berkata sebagai permulaan ia dibina di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mempunyai kes wabak yang tinggi.

“Pusat itu akan menerima panggilan daripada pesakit bergejala untuk disalurkan ke CAC berkaitan dan menjawab pertanyaan berkaitan pemantauan kendiri di rumah.

“Ia juga menyalurkan panggilan kecemasan ke Perkhidmatan Sistem Panggilan Kecemasan (MERS 999),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata KKM juga akan menambah jumlah talian telefon di 33 CAC di tiga negeri terbabit bagi mengurangkan kesesakan talian.

“Ini kerana terdapat peningkatan mendadak sejak April lalu sehingga memberikan beban tugas kepada anggota di CAC.

“Terdapat peningkatan sehingga 150 peratus daripada jumlah kedatangan pesakit ke CAC, iaitu 4,000 sehari ke 10,000 sehari pada 5 Jun lalu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata peningkatan kes menyebabkan panggilan ke CAC tidak berjawab dan situasi tersebut mendatangkan kegelisahan kepada pesakit yang menjalani pemantauan di rumah.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Perubahan butiran pusat nilai Covid-19 di empat daerah

SHAH ALAM, 8 JUN: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di empat daerah mengalami perubahan butiran melibatkan lokasi, waktu operasi dan nombor telefon.

Jabatan Kesihatan Daerah Selangor (JKNS) memaklumkan CAC yang terlibat ialah Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak, Hulu Langat, Sepang dan Hulu Selangor.

“Sekiranya anda pesakit positif Covid-19 yang menjalani rawatan di rumah dan mengalami sebarang gejala, sila hubungi nombor CAC. Pasukan pemantauan di rumah akan membantu anda.

“Sekiranya gejala anda bertambah teruk, sila hubungi 999 atau ke hospital terdekat dengan kenderaan sendiri,” katanya menerusi Facebook.

Orang ramai boleh melayari Facebook rasmi JKNS untuk mendapat maklumat lanjut mengenai CAC.

Kemas kini butiran CAC di Klinik Kesihatan empat daerah:

Categories
AGENDA NASIONAL

Khemah berkipas untuk pesakit Covid-19 di CAC Stadium Malawati

SHAH ALAM, 17 MEI: Sebanyak 20 khemah dilengkapi kipas, kerusi dan sistem audio disediakan bagi keselesaaan orang ramai di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemudahan tersebut yang ditambah baik sejak semalam untuk kegunaan pesakit dan petugas kesihatan.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan semasa Covid-19 di Selangor dan melaksanakan langkah proaktif bawah kapasiti yang ada bagi menangani perebakan wabak ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut dimaklumkan penambahan 300 katil di unit rawatan rapi (ICU), manakala 1,300 lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Serdang.

“Ketetapan baharu turut dibuat agar MAEPS Serdang hanya merawat pesakit dari Selangor dan Kuala Lumpur sahaja berikutan keputusan mewujudkan PKRC di beberapa negeri lain seperti Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor,” kata Amirudin.

Kerajaan Selangor menyediakan beberapa inisiatif bagi melancarkan operasi CAC terutama di Stadium Malawati meliputi penyediaan 150 sukarelawan antaranya dalam kalangan penjawat awam.

Turut diwujudkan pusat panggilan untuk penilaian pesakit di rumah selain kaunter khas bagi memotong gelang atau penamatan kuarantin bagi mengurangkan kesesakan di CAC.

Dato’ Menteri Besar turut mencadangkan pusat penilaian swasta melibatkan klinik dan fasiliti perubatan dibenarkan membuat Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO).

Semalam, Amirudin berkata Kerajaan Selangor sentiasa berusaha memenuhi keperluan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor meskipun CAC bukan bawah bidang kuasanya.