Categories
SELANGOR

39 pembantu penguat kuasa sertai kursus asas parajurit muda

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 4 MEI: Seramai 39 pembantu penguat kuasa yang mewakili pelbagai jabatan menyertai Kursus Latihan Asas Parajurit Muda Penguatkuasa Selangor Siri 1/2018.

Kursus itu bermula pada 25 Mac lalu dan majlis penutup disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, hari ini.

Mohd Amin dalam ucapannya menasihatkan supaya anggota terbabit bertugas dengan lebih berdisiplin, berjiwa kental, tabah dan berkeyakinan apabila menjalankan tugas.

“Tugas sebagai seorang penguat kuasa di Selangor amat mencabar dan berisiko tinggi, lebih lagi apabila kita membuat tindakan perobohan atau memberikan kompaun kepada individu yang melakukan kesalahan.

“Pasti ada pihak yang bertindak agresif dan individu pastinya akan melakukan provokasi sama ada dengan kata-kata atau tindakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya anggota lebih bersabar dan menanganinya dengan berhemah.

Terdahulu, Mohd Amin turut melaksanakan pemeriksaan tamat latihan selain menyerahkan sijil dan lencana kepada peserta.

Categories
SELANGOR

Kursus Latihan Asas Parajurit terap elemen Smart Partnership

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 4 MEI: Kursus Latihan Asas Parajurit Muda Penguatkuasa Selangor Siri 1/2018 kini mengetengahkan konsep baru, iaitu Smart Partnership dan strategi lautan biru.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, konsep yang menerapkan elemen ketenteraan dalam modul latihan itu memberi banyak faedah kepada Pusat Latihan Penguatkuasa Selangor (PULAPES) dan Rejimen 502 Askar Wataniah dalam jangka panjang.

“Menerusinya, PULAPES dapat memberi pendedahan baru mengendalikan kursus ini selain Rejimen 502 menambah bilangan sukarelawan dalam pasukan askar wataniah yang merupakan aset penting sebagai benteng mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Tamat Kursus Latihan Asas Parajurit Muda Penguatkuasa Selangor Siri 1/2018, di sini.

Mohd Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela Persekutuan Negeri berkata, penguat kuasa yang menyertai kursus itu beruntung kerana diberi pendedahan lebih holistik dan dinamik.

“Selain diberi pengetahuan berkenaan undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan, tanah dan sivil serta perintah Am, mereka ini diberi latihan yang menekankan pembentukan disiplin, asas ketenteraan, pengurusan senjata dan menembak, kawad, latihan medan dan latihan kecergasan juga pandu arah,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

152 terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Seramai 152 penjawat awam dari tujuh buah jabatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017, manakala 31 orang pula menerima Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) 2018, yang diraikan dalam satu majlis, hari ini.

Anugerah terbabit disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin dalam ucapannya mahu pegawai dan anggota perkhidmatan awam menyebarkan ‘real news’ berhubung kejayaan dikecapi rakyat Selangor.

“Juga bagaimana Kerajaan Negeri Selangor mengiktiraf peranan penting tuan-tuan dan puan-puan di Selangor.

“Dengan adanya pegawai-pegawai dan anggota perkhidmatan awam yang komited dan dedikasi seperti di Selangor, saya yakin, Malaysia mempunyai masa depan cerah.

“Pengalaman amat bernilai dalam perkhidmatan ini turut dikongsi bersama masyarakat agar budaya kerja cemerlang ini dapat terus dipertahankan oleh barisan muda perkhidmatan awam,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, majlis diadakan kali kedua bermula tmahun lalu menggabungkan kedua majlis, sekali gus mengurangkan perbelanjaan sektor awam.

Katanya, ia sebagai sokongan dasar penjimatan Kerajaan Negeri yang mengamalkan konsep ‘value for money’.

“Syabas dan tahniah kepada penerima anugerah di atas prestasi cemerlang serta komitmen yang tinggi dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sentiasa berada di tahap tertinggi.

“Juga kepada penerima AJD, jasa-jasa sepanjang berkhidmat akan dikenang dan dihargai,” katanya.

Tujuh buah jabatan itu membabitkan Pejabat Setiusaha Kerajaan Negeri, Perbendaharaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Selain itu, Pejabat Mufti Negeri dan Majlis Sukan Negeri Selangor.

Pada majlis itu, Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) pejabat SUK, Dato’ Mazlan Md Noor menerima APC.

Turut menerima APC, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Sepang, Dato’ Puasa Md Taib dan Pegawai Daerah dan Tanah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Selain itu, bagi AJD pula dianugerahkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Norzaton Aini Mohd Kassim.

Categories
SELANGOR

Penjawat awam dituntut miliki kompetensi tinggi sepanjang berkhidmat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Penjawat awam negeri ini perlu memiliki kompetensi tinggi, ilmu pengetahuan dan kepakaran terhadap tugas yang dilaksanakan selain mengamalkan sikap profesionalisme.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, warga pentadbiran perlu menanamkan ciri-ciri itu dan mengaplikasinya sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Seperti yang kita semua sedia maklum bahawa profesionalisme adalah elemen yang penting dalam menggerakkan pengurusan perkhidmatan sektor awam dan swasta.

“Mantan Ketua Setiausaha Negara sebelum ini menggariskan beberapa ciri yang perlu ada dalam golongan profesional, oleh itu ia perlu diterapkan dalam diri setiap penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2017 dan Jasamu Di Kenang 2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Mohamed Amin berkata, antara ciri lain yang disarankan termasuk mempunyai komitmen tinggi dan bersedia menjalankan tugas, bertanggungjawab dalam setiap pekerjaan dalam tempoh masa ditetapkan dan mempunyai kemahiran, kebijaksanaan dan kemampuan.

“Penjawat awam juga perlu berintegriti dari segi objektif, tidak bias dan tidak mementingkan diri sendiri selain mempunyai ciri kreatif, inovatif dan bermotivasi.

“Ini membolehkan bertindak balas dengan cepat terhadap perkembangan persekitaran, menyesuaikan diri dengan dunia yang sentiasa berubah dengan dinamik,” katanya.

Categories
SELANGOR

PRU14: Penjawat awam disaran bersikap profesional

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), penjawat awam di negeri ini disarankan bersikap profesional dan tidak berat sebelah kepada mana-mana parti politik.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, sebagai penjawat awam yang profesional, prinsip ‘To serve the goverment of the day’ perlu diterapkan.

“Bukan hanya perlu bersifat neutral dalam politik tetapi perlu neutral juga dalam kerja dilakukan.

“Saya menyeru kepada seluruh penjawat awam Selangor untuk menjalankan tugas masing-masing dengan penuh profesional, berintegriti dan bersikap non-partisan terutamanya Pegawai Pengurus Plihan Raya dan petugas lain sepanjang tempoh musim PRU berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2017 dan Jasamu Di Kenang 2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Terdahulu, teka-teki berhubung tarikh PRU14 terjawab apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan ia akan diadakan, pada 9 Mei ini.

Pengundian awal ditetapkan, pada 5 Mei ini sementara hari penamaan calon pula ditetapkan, pada 28 April ini.

Manakala tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam, pada 8 Mei ini.

Categories
SELANGOR

Amin saran penjawat awam kekalkan mutu perkhidmatan terbaik

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 2 MAC: Penjawat awam negeri ini disaran meningkatkan mutu dan memberi perkhidmatan terbaik sepanjang masa terhadap pelanggan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, buat masa ini, kakitangan dan penjawat awam menunjukkan kualiti perkhidmatan lebih tinggi berbanding negeri lain, malah di peringkat persekutuan.

“Banyak pengiktirafan dicapai bukan sahaja di peringkat negeri, juga di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan dirangkul adalah bukti komitmen dan penglibatan sama seluruh kakitangan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) 2018, di sini, hari ini.

EKSA diaudit Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi mendapat pensijilan tersebut dengan tempoh diambil untuk pensijilan bermula dari Mei 2017 sehingga kini.

Terdahulu, Amin menegaskan, walaupun negeri ini dipimpin kerajaan berbeza dengan Kerajaan Persekutuan, tetapi ia tidak menjadi halangan bagi penjawat awam mencari lebih banyak kejayaan, terutama aspek perkhidmatan.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jadikan Rasulullah contoh, pupuk perpaduan dan kemakmuran

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 DIS: Umat Islam diminta menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh teladan dalam kehidupan ke arah memupuk kepaduan dan kemakmuran di Selangor.

Dengan pelaksanaannya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, ia sekali gus menjadikan sistem pentadbiran Kerajaan Negeri meningkat lebih cekap dan berkesan.

“Rasulullah dalah pemimpin teragung dalam sejarah peradaban manusia dengan keperibadian baginda yang luhur, amanah serta bijaksana, diakui semua sahabat dan musuhnya.

“Semua sifat terpuji ini adalah aset utama baginda bagi megukuhkan perpaduan pelbagai kaum sehingga menjadi model terbaik dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat.

“Dengan mengambil contoh sifat Rasulullah ini, kesejahteraan Selangor pasti akan tercapai sepenuhnya jika aspek kesatuan ummah dijaga dan terpelihara dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor 2017 di Stadium Malawati, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor tahun ini berkata, sambutan majlis itu adalah peningkatan dakwah yang relevan dengan kehidupan umat Islam masa kini.

Katanya, Rasulullah adalah satu rahmat kepada seluruh alam dengan baginda mewariskan kepada umat Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

“Selagi umat Islam berpegang teguh dengan dua perkara ini, mereka tidak akan tersesat dan sentiasa diredhai Allah.

“Sehubungn itu, marilah kita bersama-sama menjadikan Rasulullah sebagai contoh teladan yang baik dalam kehidupan seharian kita,” katanya.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berangkat hadir serta merasmikan majlis berkenaan.

Turut serta, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.

Categories
SELANGOR

Jolokan Selangor ‘The Crown Jewel of Malaysia’ dan ‘golden state’ memang tepat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 SEPT: Jolokan The Crown Jewel of Malaysia’ atau ‘golden state’ terhadap Selangor memang tepat ekoran statusnya sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, hal ini berikutan Selangor menyumbang sebanyak 22.7 peratus KDNK nasional bagi tahun 2016.

MOHD AMIN“Selangor ini juga negeri termaju di Malaysia dengan jumlah penduduk 6.14 juta atau 20 peratus daripada jumlah penduduk negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor 2017 (MPIPANS 2017) di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Jelasnya, keadaan ini sudah pasti menyebabkan cabaran penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini berbeza berbanding negeri lain.

Katanya, antara faktor kejayaan ini adalah mutu penyampaian perkhidmatan kakitangan awam negeri ini.

“Dalam era globalisasi, perkhidmatan awam perlulah sentiasa dinamik, berdaya maju dan berani keluar dari zon selesa dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya lagi.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi dorongan yang penuh dengan memberi pelbagai insentif kepada jabatan yang gigih membudayakan inovasi dan kreativiti dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

Categories
SELANGOR

29 kumpulan pamer inovasi rebut hadiah RM178,000

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM,19 SEPT: Sebanyak 29 kumpulan daripada pelbagai jabatan menampilkan keativiti ciptaan dalam Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor (MPIPANS) 2017 bagi merebut hadiah wang tunai RM178,000.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, terdapat empat kategori dipertandingkan pada konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu.

Katanya, ia membabitkan kategori Penciptaan Bidang Penyampaian Perkhidmatan, Penambahbaikan Bidang Penyampaian Perkhidmatan, Penciptaan Bidang Inovasi Sosial dan Penambahbaikan Inovasi Sosial.

MOHD AMIN“Terdapat perubahan kategori dipertandingkan kali ini supaya ia menepati dan bergerak selari dengan perubahan format dan garis panduan diperkenalkan oleh INTAN bagi konvensyen MPIPA yang akan dimulakan tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan MPIPANS di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Katanya, lebih membanggakan terdapat lima kumpulan hibrid turut bertanding tahun ini berbanding hanya satu kumpulan tahun sebelumnya.

“Ini suatu pencapaian membanggakan sekali gus membuktikan bahawa kita memang serius membudayakan inovasi di tempat kerja dan juga bersedia berkerjasama dengan mana-mana pihak bagi menghasilkan produk inovasi terbaik serta memberi impak positif kepada ‘stake holder,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Air pasang besar pertama diramal esok

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 SEPT: Air pasang besar pertama diramalkan berlaku bermula esok sehingga Jumaat ini di lima daerah berisiko tinggi iaitu Klang, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Sepang dan Kuala Langat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, arahan persediaan bagi menghadapi bencana peringkat tinggi dikeluarkan susulan jangkaan fenomena bencana itu.

Katanya, fenomena terbabit turut dijangka berlaku sehingga Disember depan.

MOHD AMIN“Bagi daerah Klang, kawasan dijangka membabitkan Pengkalan Tok Muda, Batu 14 Jalan Kapar, Sementa, Pelabuhan Klang, Jalan Pandamaran, Banting dan Taman Selat Damai.

“Manakala bagi Sabak Bernam, hanya tiga kawasan dijangka terbabit iaitu Tebuk Mendeling, Sungai Ayer Tawar dan Sungai Panjang,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Mohd Amin berkata, empat kawasan Kuala Selangor pula membabitkan Tanjung Karang, Kampung Kuantan, Pantai Remis dan Pekan Sungai Buloh.

Katanya, tiga kawasan di Kuala Langat iaitu pesisir Pantai Bagan Lalang, Sepang dan Pantai Kelanang serta pesisir Pantai Tanjung Sepat.

Categories
SELANGOR

Selangor – Pulau Pinang meterai MOU laksana bandar pintar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang memeterai memorandum persefahaman hubungan kerjasama pembangunan inisiatif bandar pintar membabitkan kedua-dua negeri itu.

Perjanjian ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Sarul Bahiyah Abu di Setia City Convention Centre (SCCC), petang ini.

Permeteraian disaksikan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Menurut perjanjian itu, Jawatankuasa Bandar Pintar terdiri daripada wakil kedua-dua negeri ditubuhkan bagi merealisasikan perancangan dan pelaksanaan usaha bagi aktiviti yang dilaksanakan di bawah perjanjian persefahaman itu.

IMG_6873Memorandum persefahaman turut ditandatangani sebagai inisiatif secara bersama untuk melaksanakan pembangunan Bandar Pintar yang mula dilaksanakan di Selangor sejak 2014.

Di Selangor, pembangunan bandar pintar dilaksanakan secara positif menerusi pembangunan Selangor Cyber Valley yang mendukung kepada pelaksanaan gagasan Smart State.

Terdahulu, Selangor mendahului negeri lain dengan mendukung agenda pembangunan negeri pintar, Smart Selangor meliputi beberapa komponen antaranya internet of things, bandar hijau, jaringan pengangkutan dan pelaksanaan dasar bermanfaat buat seluruh masyarakat.

Categories
SELANGOR

Kuala Langat tumpuan pembangunan pusat komersial baru

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SEPANG, 24 MAC : Daerah Kuala Langat kini menjadi antara kawasan tumpuan baru bagi projek pembangunan dan pusat komersial.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, berkata perkembangan itu seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri menggalakkan pembangunan di seluruh negeri ke arah Smart Selangor yang peduli.

12814344_1036330599762026_8139961523677097160_n“Kedudukan daerah Kuala Langat yang bersempadan dengan Petaling, Klang dan Sepang menjadikannya sebagai lokasi paling strategik dan terbaru.

“Kawasan seperti Bukit Canggang, Sijangkang, Olak Lempit menjadi perhatian tinggi pemaju perumahan untuk mendirikan rumah kediaman dan pusat komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian pada MajlisAnugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) di Hotel Sama-Sama, semalam.

Pada masa sama katanya, akses pengangkutan di daerah itu juga dijangka semakin baik menerusi perkhidmatan bas percuma Bas Smart Selangor Mei ini dan pembesaran projek MRT.

MDKL1“Tambahan laluan stesen MRT ke kawasan Putra Heigh yang bersempadan dengan daerah Kuala Langat, akan memudahkan akses pengangkutan kepada penduduk perumahan di kawasan berdekatan.

“Begitu juga dengan pembesaran projek pembangunan Saujana Putra dan projek pembangunan Rembayu yang akan memberikan cabaran besar kepada MDKL,” katanya.

-nR-