SHAH ALAM, 30 DIS: Kewujudan Pusat Siber Rakyat (PSR) diharapkan dapat meredakan kebimbangan ibu bapa yang selama ini terpaksa melepaskan anak mereka ke pusat siber semata-mata untuk mendapatkan akses internet.
Exco Wanita, Kebajikan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, kemudahan internet ini merupakan antara utiliti penting kehidupan masa kini selain air dan elektrik.
“Sekarang ini kemudahan selain dari air dan eletrik, talian internet ini juga akan dilebarluaskan di seluruh negeri.
“Jika dahulu kita berbangga memiliki komputer di rumah. Namun kini jika ada komputer tanpa internet ia tidak lengkap. Walaupun asas (internet) tapi kena bayar.
“Ada segelintir keluarga tidak mampu mengakses intertenet di rumah mereka. Selaku exco kita mahu mereka merasa kondusif dalam berikan latihan mengenai komputer,” katanya ketika merasmikan PSR Seksyen 19.
PSR Seksyen 19 yang telah beroperasi hampir enam bulan dirasmikan bertempat di Dewan Kempas Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) Seksyen 19B.
Dengan menempatkan 10 buah komputer untuk kegunaan pembelajaran, PSR beroperasi dari jam 3.00 petang sehingga 11.00 malam selain menempatkan guru mahir mengenai komputer melalui pembiayaan oleh Pejabat DUN Batu Tiga.
Sempena majlis pelancaran ini juga turut dibuka pendaftaran keahlian kelab PSR secara percuma yang menyaksikan Rodziah diberikan penghormatan menjadi ahli berdaftar pertama PSR.
Jelas Rodziah lagi, hampir 20 PSR telah diwujudkan di Selangor dan jumlah ini akan ditingkatkan dari semasa semasa.
Selain itu, beliau turut bercadang menempatkan beberapa kiosk komputer bagi memudahkan akses komputer kepada masyarakat selain bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)
Beliau menambah, sebagai komitmen menjadikan Selangor 100 peratus boleh mengakses internet kerajaan negeri telah menyediakan dana khusus berjumlah RM2.7 juta bagi menambah sebanyak 112 tiang pemancar jalur lebar dan perkara ini akan dilaksanakan tahun hadapan.
Katanya, satu pengumuman akan dibuat dan perkara ini dijangka dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Apakah kiranya kita banyakkan wifi percuma dari memberikan rebat RM200 pembelian telefon bimbit.
“Beli telefon siapa yang ingin membayar caj bulanan? Memperbanyakkan penyediaan akses internet percuma adalah lebih baik,” ujar beliau lagi.